Tuesday 21 March 2017

JODOH YANG TERTANGGUH KARYA ROSE EZADORA

Bab 2

"Bu ...” 
Aku menoleh ke arah suara Camelia yang 
memandang aku dengan wajah hairan. 
Alamak! Aku mengelamun lagi! Kan dah tertangkap. Malunya aku. 
“Ibu dengar tak apa yang Lia tanya tadi?” soal Camelia dengan raut muka yang masih hairan.
“Hemmm... Tadi Lia tanya apa?” soal aku.
“Lia tanya, ibu nak pergi SPCA tak esok? Kita buat kerja amal sikit. Lia dah lama tak jenguk tempat tu. Tak tahu si comot tu masih ada ke tak. Lia bukan tak nak adopt si comot tu... Tapi si kecil ni bukan faham sangat tentang kucing. Mahu mati kucing tu dibuatnya,” jelas Camelia sambil tersengih. Tangan menggosok kepala Sandra yang kini sudah berada di pangkuannya.
Aku faham situasi Camelia. Tengok apa yang telah dilakukannya kepada si Ginger, kucing Parsi aku. Entah hilang ke mana agaknya sekarang ini. Pastinya kucing itu lari atau menyorok. Mana tidaknya, kunjungan si kecil Casandra dua minggu yang lalu pasti memberi kenangan buruk kepada Ginger. Casandra telah mengetuk kepala Ginger dengan botol susu dan telah menjinjing kucing itu hanya dengan memegang ekor sebelum memeluknya. 
“Bu, mana Ginger? Lia tak nampak pun masa sampai tadi?” soal Camelia. Dia baru perasan si kucing oren itu tidak kelihatan. 
Aku menoleh ke arah tempat Ginger tidur. Memang Ginger tiada. Sudah lesap! 
“Entah! Tapi ibu perasan ada dalam bilik ni tadi. Temankan ibu. Ni entah mana dia hilang. Kejap lagi keluarlah dia tu,” kata aku. 
“Meow... Meow...” Tiba-tiba terkeluar suara Casandra. 
Dia mengerti, ibu tok dan uminya membicarakan tentang Ginger, si kucing oren. Dia membongkok sambil mencekak pinggang. Aku dan Lia hanya tersenyum melihat telatah si kecil Casandra. Comel... Sungguh comel!
“Bu... Alim tengok gate tu kena cat semula. Nak Alim catkan ke?” Tiba-tiba Halim muncul. 
“Suka hati Alim la... Ibu tak kisah. Ibu boleh aje upah sesiapa nanti,” jawabku, beralas. 
“Tak payah upah orang, bu. Alim buatlah nanti,” jawab Halim penuh yakin. 
Aku hanya tersenyum. Dalam hati terasa lega. Aku tahu niat Halim yang jujur ingin membantu aku.
“Abang nak air apa? Lia ambilkan,” tanya Camelia kepada suaminya. 
“Apa-apa aje yang sejuk,” jawab Halim. Kemudian dia membiarkan Casandra berjalan terkedek-kedek mengikut uminya.
Aku dan Halim turut sama ke dapur.
“Esok jadi tak?” soal Camelia kepada aku.
“Jadi apa?” tanya aku sambil menghirup jus. 
Camelia senyum.
“Pergi SPCA tu ke? Lia pergi sorang atau dengan Alim? Habis tu, Sandra macam mana?” sambung aku untuk mendapatkan kepastian.  
“Haah.. Pergi SPCA,” jawab Camelia.
“Esok berapa hari bulan?” tanya aku lagi.
“5 September,” jawab Camelia.
“Lia pergi dengan ibu aje. Alim jaga Sandra kejap. Bukannya lama. Paling lama pun dua tiga jam aje,” jelas Camelia. 
“Boleh tak bang?” tanya Camelia lagi. 
“Bila?” tanya Halim.
“Esok,” jawab Camelia sepatah.
Halim diam. Diam tandanya tidak ada bantahan. 
Camelia tersenyum.
“Hemmm... Pukul berapa nak ambil ibu?” tanya aku lagi. 
“Lapan,” jawab Camelia sepatah.
“Hemmm... Okey. Nanti Lia jangan lupa bawa bekas lauk minggu lepas. Ibu dah simpan kat kabinet dapur tu,” kata aku. 
Camelia hanya mengangguk. Kemudian dia membawa gelas-gelas yang telah kosong ke dapur untuk dicuci. Kemudian dia membuka kabinet dapur untuk mengambil dua bekas makanan lalu dimasukkan ke dalam beg. 
“Kami nak pergi Giant kejap ni. Ibu ada apa-apa nak kirim ke? Ada barang-barang yang tak cukup?” tanya Camelia lagi. 
Aku hanya menggeleng. 
“Kalau macam tu, esok kita jumpa. Dah, jom bang,” ajak Camelia ingin meminta diri untuk pulang.
“Nanti teman ibu tok lagi tau? Bye sayang...” ucap aku sambil melambai ke arah Casandra yang turut membalas lambaian aku.
Perlahan Camelia berjalan meninggalkan aku yang berdiri di depan pintu.
“Assalamualaikum… Insya-Allah jam 8 esok, bu,” 
ulang Camelia sekali lagi.
Aku hanya memerhatikan kereta bergerak meninggalkan halaman rumah. Tanpa aku sedar, Ginger turut berdiri di kakiku. Entah bila dan dari mana dia muncul. Seperti faham-faham sahaja keadaan sudah selamat untuk memunculkan dirinya. 
Aku geleng kepala. 

No comments:

Post a Comment