Sunday 19 March 2017

NASI LEMAK TEPI KUBUR KARYA IZMA QAHIERA

                                   Bab 1


PAGI ini ayah buka kedai lebih awal. Barang-barang dah siap bersusun bila aku balik dari pasar 
borong. Laju betul. Dia minum Tongkat Ali ke malam tadi? Luar biasa betul semangat bekerja dia sejak kebelakangan ini.
 “Ayah.” 
Ayah pandang aku sekejap lepas tu dia naik ke belakang Hilux. Masih banyak lagi barang yang belum diturunkan. Semuanya barang basah yang aku beli di pasar borong tadi.
“Ayah.” 
“Hish! Apa kau ni?” Ayah bercekak pinggang. Aku senyum. Nak cakap ke tak ni? Aku takut kena sekeh pula nanti. Tapi kalau tak cakap nanti hati masih tertanya-tanya.
“Ayah mimpi jumpa mak muda ke malam tadi?” Tak semena-mena ayah gelak. Macam betul aje ni. 
“Kenapa?”
“Tu, mana pergi jambang? Licin habis kena tarah.”

Ayah gelak lagi. Diurut-urutnya dagu dan pipi yang dah licin. Bila dah tak ada jambang, baru aku perasan. Handsome juga ayah aku ni. Dia tak macam orang tua yang sebaya dengan dia. Perut masih maintain kempis. Jalan pun masih steady lagi. Lutut pun masih kuat. Penyakit pun belum ada yang teruk-teruk lagi. Kecuali penyakit yang satu ni baru belajar-belajar nak menyinggah. Penyakit angau.
“Dah lebat sangat jambang ni. Tak kena air masa ambil wuduk.”
“Hmm, yalah. Tak lama lagi kan memang nak kena ambil wuduk selalu. Maklumlah…” Aku tayang sengih nakal sambil naik turunkan kening. Mesti ayah faham apa yang aku maksudkan. 
“Choi!” Ayah baling sepapan petai dari atas Hilux. Muka dah merah padam. Malulah konon!
“Kalau pasal merapu serah kat kau, kan? Cepatlah tolong. Ayah nak keluar kejap lagi.”
“Nak pergi mana?”
“Adalah…” Ayah teruskan kerja. Hajat di hati nak menyoal lagi. Tapi takut angin baik ayah berubah pula. Tak apalah. Ada masa, boleh tanya lagi.
Selesai mengosongkan Hilux, ayah capai kunci motor. Aku pandang saja dari dalam kedai. Biarlah dia keluar. Lagipun kedai belum sibuk lagi. Hari masih awal. Orangorang surau pun belum balik sejak subuh tadi.
“Awak, bagi ayam lima belas ekor.” 
Aku tinjau ke luar kedai. Tak perasan pula ada orang datang sebab aku tak dengar bunyi motor. Aku senyum pada gadis yang memanggil tadi. Tercuit sedikit hati bila dia panggil macam tu. Awak, awak. Macam nama panjang aku biawak pula.
“Banyaknya. Nak buat kenduri ke?” Aku bertanya sambil mengira ayam yang ada di dalam tong. Mujurlah aku beli lebih stok ayam di pasar borong tadi. Itu pun tinggal sepuluh ekor. Entah cukup ke tidak nak sampai ke malam nanti.
“Haah, nak buat kenduri. Petang karang. Tepung pulut ada tak, bang?” 
“Ada. Pergi tengok kat dalam.” 
Gadis itu masuk ke dalam kedai. Sambil memotong ayam, aku panjang-panjangkan leher. Jumpa ke tak tepung pulut yang dia cari? Dalam pada tu aku terfikir-fikir. Anak siapa ni, ya? Tak pernah jumpa pula sebelum ni.
“Jumpa tak?” Dari tadi aku tengok dia tawaf satu kedai. Dia ni kenal ke tak tepung pulut?
“Boleh tolong tak, bang?” Belum sempat aku jawab apa-apa, dia dah bagi sehelai kertas yang penuh bertulis dari depan sampai ke belakang. Mak oi! Punyalah banyak senarai barang yang dia nak. Kenapalah dia tak beli kat pasar borong saja? Boleh dapat harga yang murah sikit.
“Banyak ni. Muat ke nak sumbat dalam motor tu?”
Dia pandang aku. Macam ada benda yang dia nak cakap. Cantiknya mata dia. Makin cantik bila dia tenung dalam keadaan takut-takut macam tu.
“Saya angkut sikit-sikitlah nanti,” jawab gadis itu.
Alahai! Merahnya pipi dia. Macam tak pernah bercakap dengan lelaki aje budak ni.
“Macam ni ajelah. Pergi balik dulu. Nanti saya hantar barang-barang ni.”
“Boleh ke macam tu?”
“Boleh. Tapi lambat sikitlah. Tunggu ayah saya balik dulu. Sebab tak ada orang nak jaga kedai.”
Gadis itu mengangguk. Aku pun angguk juga. Tapi kenapa dia tak pergi lagi? Kan aku dah cakap yang aku akan hantar barang-barang dia.
“Errr, ada apa-apa lagi ke?” Aku tanya dia. Seram juga duduk dalam kedai berdua-duaan ni. Iman aku ni bukannya tegap sangat. Ada awek lawa depan mata. Senang sangat mata ni rasa tercabul.
“Saya belum bagi alamat,” jawab gadis itu.
“Eh, ya tak ya juga. Kejap.” Aku pula yang kelamkabut. Buku rekod pemiutang aku bukakan untuk dia. 
“Saya bayar tunai tau bang.”
“Ya, tahu. Tulis aje alamat kat situ. Senang kalau nak hantar barang lagi lain kali.”
Aku perhatikan gadis itu menulis. Geram pula aku dengan tangan putih mulus tu. Hish! Apa ni mata? Jaga perangai sikit boleh tak? 
“Nah.” Gadis itu hulur buku yang dah siap bertulis. Aku baca dua kali alamat yang dia tulis. 
“Warung Nasi Lemak Tepi Kubur? Oh, ini kedai yang baru nak buka tu, ya? Hari ni dah mula berniaga ke?” Saja aku beramah mesra. Untung-untung boleh jadi pembekal tetap barang-barang mentah di kedai dia.
“Besok baru buka. Hari ni nak buat kenduri doa selamat sikit,” jawab gadis itu.
“Err, tanya sikit boleh? Tak pernah nampak pun sebelum-sebelum ni. Baru pindah ke sini ke?” Dengan beraninya aku buat sesi berbasa-basi. Bukan nak mengurat. Tapi saja nak ambil tahu hal orang-orang kampung. 
“Ya. Mak dah pencen jururawat, baliklah sini. Arwah ayah ada belikan rumah kat sini.”
“Siapa nama arwah ayah?”
“Sabri.”
Aku tak perasan pula nama tu. Kalau aku sebut nama tu pada ayah mungkin dia kenal agaknya.
“Pergilah balik dulu. Nanti saya hantar barangbarang yang awak minta tadi.” Aku keluar dari kaunter. Nak sambung memotong ayam.
“Rasa-rasanya pukul berapa boleh hantar?” Gadis itu bertanya. 
“Tak pastilah. Tapi memang akan hantar.” Aku tengok jam tangan. Kalau ayah ada boleh aku hantar barangbarang yang dia nak ni sekarang. Ayah ni degil tau. Duludulu lagi aku dah suruh dia cari seorang lagi pembantu. Tapi dia kedekut pahit. Konon berdua pun boleh jaga kedai. Sekarang ni aku tengok dia yang lebih banyak mengelat. Pagi saja nampak muka. Dah nak tutup kedai nanti baru muncul balik. Tak adil betul!
“Jangan lambat sangat tau. Saya tunggu kat warung.” Gadis itu mengingatkan. 
Aku pandang gadis itu sampai bunyi motor dia dah tak kedengaran. Aku tengok alamat tadi sekali lagi. Tak semena-mena aku senyum meleret. Dia ada tinggalkan nombor telefon. Nama dia pun boleh tahan sedap juga nak disebut.
“Yusma…”
Teringat cara dia memanggil aku tadi membuatkan senyum aku makin lebar. Sekejap saja lebarnya. Senyum hilang tatkala teringatkan seseorang.

“Jangan cari penyakit lagi, Haliq. Dah lupa ke apa yang kaum Hawa ni buat pada kau dulu?” Aku mengingatkan diri sendiri.
Buku pemiutang aku tutup dan terus sambung kerja. Barang-barang yang Yusma nak perlu dilengkapkan segera. Agak kelam-kabut juga kerja aku hari ini. Mana nak menyiapkan barang-barang yang Yusma nak dan melayan pelanggan-pelanggan lain yang masuk ke kedai. Dah macam lipas kudung aku buat kerja. Mujurlah dah terbiasa buat kerja sorang-sorang sejak kebelakangan ini. Tapi penatnya Tuhan sajalah yang tahu. 
“Pukul berapa aku nak hantar barang-barang Yusma ni? Ayah ni pun satu. Tak ingat nak balik ke?” Aku mengomel sorang-sorang sambil tertinjau-tinjau ke jalan besar.
Matahari dah nak tegak di atas kepala. Tapi batang hidung ayah pun aku belum nampak lagi. Handphone dia tinggalkan pula di kedai. Pandai betul dia. Tak mahu aku kacaulah tu. Tapi aku banyak kerja ni. Barang-barang yang Yusma pesan pun aku belum hantar. 
“Assalamualaikum. Yuhuuu…”
Dari jauh aku nampak ayah bersiul-siul sambil membunyikan hon motor. Ewah-ewah! Senang hati betul orang tua ni. Macam baru jumpa mata air.
“Ayah pergi mana? Lama orang tunggu tau.” Sambil membebel, aku hidupkan enjin Hilux.
“Alah, kau ni. Tak bolehlah ayah keluar ambil angin kejap. Kau tu nak pergi mana pula?” Ayah perhatikan aku memunggah barang-barang yang Yusma pesan ke dalam 
Hilux. 
“Kau nak hantar barang kat warung tepi kubur tu eh?” 
“Mana ayah tahu?” Tegak badan aku bila ayah tanya macam tu. Makin pelik bila ayah berdeham kuat. Ceh! Tibatiba saja batuk. Nampak sangat menipunya.
“Ayah agak-agak aje. Pagi tadi tuan punya kedai tu ada menjemput orang surau. Dia nak buat kenduri doa selamat petang karang.” Ayah menjawab, tapi mata melilau ke tempat lain. Gaya dah macam orang buat salah. 
“Huh! Entah sempat entah tidak dia nak buat kenduri petang ni. Barang-barang semua ada kat sini. Ayahlah ni. Lama sangat keluar. Tak ada siapa nak jaga kedai. Orang dah cakap, carilah pekerja seorang. Ayah degil.” Kan dah keluar mulut Joyah aku. Geram tau. Kalau budak kecik memang dah lama aku sekeh-sekeh.
“Yalah, yalah. Ayah ikutlah cakap kau. Tapi alangalang nak cari pembantu tu, carilah yang lawa sikit. Buat cuci-cuci mata.” Ayah gelak.
“Nak cari mak nyah ke?” Tiba-tiba jadi bongok sekejap. Tak faham kenapa ayah nak aku cari pembantu yang lawa. Atau penggunaan bahasa ayah dah salah?
“Mak nyah tu untuk kau bolehlah. Selera ayah masih kat perempuan sejati.”
“Oh, cakaplah nak pembantu perempuan. Hmm, ayah ni nak suruh orang cari pembantu kedai ke mak baru? 
Lain macam aje ayah ni dari pagi tadi.” 
“Ah, kau ni ada-ada ajelah. Pergi hantar barang tu cepat,” arah ayah. Dia buat-buat periksa pintu Hilux. Tak tentu arah betul aku tengok orang tua ni.
“Pintu tu dah rapatlah, ayah. Berapa kali nak check?” Aku bagi jelingan tajam. Muka ayah merah padam. 

Sah! Memang ada benda yang dia sorokkan. Tak apa. Lambatlaun aku tahu juga nanti.
Belum sempat pun Hilux berhenti di pintu belakang Warung Nasi Lemak Tepi Kubur, Yusma dah lebih dulu menerpa. Nampak sangat yang dia sedang mengejar waktu.
“Ha! Sampai pun barang-barangnya. Baru ingat nak pergi kedai. Kenapa lambat sangat?” Yusma terus ke belakang Hilux. Tak sabar-sabar nak turunkan barang-barang.
“Tak ada orang jaga kedai tadi. Maaf, ya.” Aku senyum. Punyalah manis aku senyum, tapi dia balas dengan senyum kelat. Hilang wajah sopan dan malu-malu alah yang aku tengok pagi tadi. 
Yusma angkut satu guni bawang besar ke dalam. Lepas tu dia tak keluar lagi. Orang lain pula yang gantikan dia mengangkut barang-barang yang dipesan tadi masuk ke dalam. Perempuan juga. Mesti Yusma tengah marah. Kalau aku jadi dia pun aku akan geram. Kalau barang-barang ni sampai awal entah-entah dah siap masak agaknya. Aku tolong sekali budak perempuan itu mengangkat barang-barang masuk ke dapur. Besar juga warung ni. Banyak juga meja yang dah siap bersusun. Meja tebar roti canai pun ada. Ini sudah bagus! Tak payahlah nak ke kedai mamak lagi lepas ni.
“Ini anak Abang Shafi’e, kan?” Seorang wanita keluar. Ini mesti mak Yusma. Rasa-rasanya dia ni hampirhampir sebaya dengan ayah. Aku mengangguk sambil kesat peluh. 
“Duit mak cik dah bayar kat ayah, ya. Cakap kat ayah, baki tu tolong sedekahkan kat surau.”
Terjongket kening aku. Amboi! Aku yang penatpenat bawa barang, ayah pula yang dapat upah? Oh, jadi di sinilah tempat ayah lepak sepanjang pagi? Patutlah beria-ia 
11
sangat cukur jambang segala. Mak si Yusma ni pun boleh tahan lagi aku tengok. Bibir bukan main merah lagi. 
“Oi!” Bahu ditolak kasar. Ya Allah. Aku berangan ke tadi? Bila pula Yusma ada di sebelah aku?
“Nah, mak saya bagi. Petang ni lepas Asar. Jangan lupa datang.” Yusma hulur satu plastik berisi dua bungkus nasi lemak dan dua botol air mineral. Kemudian dia masuk semula ke dapur. Hish! Rasa bersalah pula bila tengok dia kelam-kabut macam tu. Minta-minta sempatlah mereka semua siapkan juadah untuk kenduri petang ini.
“Okey, bang. Semua barang dah bawa turun.” Budak perempuan yang menggantikan Yusma tadi tolong tutupkan pintu belakang Hilux.
Aku pandang belakang Hilux kemudian pandang dia. Eh, macam pernah jumpa.
“Kenapa pandang saya macam tu?” Muka dia nampak cuak.
“Aku macam biasa tengoklah muka kau. Kau 
pernah kerja kat pasar borong ke?”
Budak perempuan itu menggeleng perlahan. 
“Kalau bukan kat pasar borong, kat mana aku pernah nampak kau, eh?”
“Manalah saya tahu. Saya pernah datang dalam mimpi abang kut.” Budak perempuan itu menyeringai suka. 
“Kau datang dalam mimpi aku sebagai apa? Ahli sihir yang pegang penyapu tu ke?” Aku ketawa kuat. Dia pun ketawa juga. Tapi bila perasan Yusma sedang bercekak pinggang di pintu, cepat-cepat dia berlari masuk ke dapur. Aku pun tak tunggu lagi di situ. Barang-barang dah dihantar, nasi lemak percuma pun aku dah dapat. Nak tunggu apa lagi? Baliklah, kan?
12
Ketika dalam perjalanan balik, berulang-ulang kali aku mengerling bungkusan yang Yusma bagi tadi. Dah dekat dua tahun aku mengendalikan urusan penghantaran barangbarang dari kedai ayah. Tak pernah lagi orang bagi aku apaapa barang atau makanan sebagai tanda terima kasih. Ini yang pertama. Lain macam sangat pelanggan baru aku ni.
“Mak Yusma dah syok kat ayah ke?” 

No comments:

Post a Comment