Friday 24 February 2017

CINTA? BIAR BETUL KARYA ANNA MILIA

Bab 4 

  FARID yang memandu ke bengkel. Aisya pula mengekori mereka.
 “Kau bukan setakat perdajalkan  dia, dengan aku-aku sekali kena tempias.” Farid berleter.
  “Aku  coverlah semua kos. Kalau kau nak cat satu kereta pun,  no problemlah, Farid.”
 “Kau tak rasa kasihan ke kat dia? Habis rosak berpuluh-puluh biji kek dia.”
  Khaffy terdiam. Dia memang rasa bersalah tetapi rasa itu ditolak jauh-jauh.
 “Kau  cover  sekali kerugian  cup-cake  dia,” suruh Farid.
 “Tengoklah dulu macam mana.” Farid menggeleng.
  “Ni, nanti aku berlakon yang aku tak cukup duit. Aku akan minta hutang dengan kau dan kau tak setuju. Kau pun berlakon sekalilah.”
    “Huh? Kau nak  perdajal  dia sampai macam mana lagi ni?” 
   “Sampai dia tahu macam mana sakitnya bila messed up dengan  family  aku.” 
      Mereka  tiba  di bengkel  mengetuk  dan mengecat. Ketika mereka sudah memperolehi anggaran harga bagi kedua-dua kenderaan, Khaffy menarik tangan Farid. Dia memulakan lakonan.
  “Aku tak cukup duit. Dia kata seminggu siap. Mana aku nak cari duit. Kau ada?”
    Farid  mengeluh.  Apalah  nasib  aku  hari ni, Sudahlah kereta dijahanamkan. Menipu pula. Tak tahulah apa lagi selepas ini.
   “Kau ada duit tak?” 
  “Sorry,  Khaffy. Aku tak ada duit sebanyak itu.” 
  Nurhafizah  menjulingkan  matanya  ke atas. Bengang betul dengan lelaki yang baru sahaja menyusahkan hidup majikannya itu.   “Macam inilah Encik Khaffy, saya akan bayar kos kereta saya. Bila awak dah ada duit nanti, awak boleh bayar balik.” 
  Bulat mata Farid memandang Aisya. Khaffy juga terkedu tetapi riak wajahnya dikawal supaya tidak menggambarkan rasa terkejutnya. 
  “Awak percayakan dia ke?” tanya Farid. Khaffy mencerlung pada Farid. 
   “Insha-Allah.  Kalau  Allah  dah  tulis  ada rezeki, adalah.” 
   Nurhafizah menggeleng. Inilah sikap Aisya yang dia tidak suka. Terlalu percayakan orang walaupun tidak dikenali.
   “Kalau  setakat  orang  datang  hutang cup-cakes  dua tiga biji okeylah. Ini banyak sangatlah, Aisya.” Aisya senyum.
   “Aku nak  call  abang aku kejap. Nak suruh dia bawa kita ke rumah Puan Dahlia.”
  Khaffy hanya memerhatikan  gelagat Aisya. Persepsinya, masih  kekal seperti kelmarin.  Wanita itu cukup sempurna. Tapi sayang, tidak sesempurna hatinya. Hati Aisya kotor dan busuk. 
    “Fizah, abang aku baru dapat  emergency call.  Dia ada kes. Boleh tak kau suruh abang kau jemput kita?” 
   Nurhafizah tersenyum suka. Dia segera mengeluarkan  telefon  bimbitnya.  Dia menghubungi abangnya. 
   Aisya menapak ke kereta. Kotak-kotak berisi  cupcake  dikeluarkan. Dia meletakkan semua kotak di atas lantai. Dia membuka kotak dan mengasingkan beberapa  cup-cake yang masih elok. Hanya ada dua puluh biji yang tidak terusik. Mujurlah  cup-cake  yang diletakkan di kusyen belakang tidak terjejas. Khaffy hanya mengawasi tingkah laku Aisya. Semua yang dilakukan oleh wanita itu diperhatikan penuh minat.
  “Macam mana?” Aisya bertanya sebaik sahaja merapati Nurhafizah. 
  “Okay. Abang aku datang sekejap lagi.”  “Banyak mana yang rosak?” Aisya tersenyum pahit.
   “Selamat dalam 100 biji aje.”
 “Maknanya. Tak cukup lebih 50 bijilah?” Aisya angguk. 
  “Kita nak buat macam mana?”
  Aisya menggeleng. 
  “Apa kata kalau kita bungkuskan  cookies dalam  cup dan ikat dengan plastik. Sempat ni kalau abang aku datang awal.” 
  “Okaylah tu. Tapi yang tu tak payah charge pada Puan Dahlia. Kira untuk 100 biji aje,” putus Aisya.
 Perbualan mereka didengari oleh Khaffy dan Farid.
  “Kau tak kesian ke kat mereka?” Farid berbisik di telinga Khaffy. 
   Khaffy sekadar menjongketkan bahunya. Berat untuk mengaku yang dia memang ada perasaan kesal. 
  Aisya menghampiri mereka berdua. Dua biji  cupcake dihulurkan kepada Khaffy dan Farid. Laju sahaja tangan Farid menyambar huluran itu sementara Khaffy kelihatan teragak-agak.
 “Makanlah.” Akhirnya  Khaffy menerima pemberian Aisya.  Ekor matanya dapat melihat Farid sedang tersenyum sinis padanya. 
   “Terima kasih.” 
  Nurhafizah mengejar langkah Aisya. “Dah tahu cup-cake  tu tak cukup, buat apa kau bagi kat  diorang?”
  “Fizah, tak bankrap kita kalau setakat sedekah dua tiga biji. Selagi makanan tu menjadi darah daging mereka, selagi itulah...” 
 “kita dapat pahala.” Suara mereka bergema serentak. Nurhafizah sudah acap kali mendengar kata-kata itu. Aisya tersenyum manis. 
    “Pandai pun,” puji Aisya. 
  Nurhafizah menjulingkan matanya ke atas.
  Aisya melabuhkan duduknya di atas kerusi yang disediakan untuk pelanggan. Dia mengeluarkan  cup-cake yang sudah comot. Usai membaca doa makan, Aisya mencuit sedikit cup-cake  lalu disumbat ke dalam mulutnya.
   “Kau  bagi  kat  mereka  yang  elok.  Kau sendiri  makan yang rosak, buruk.” Aisya menggeleng kecil. 
   Khaffy yang setia mendengar perbualan dua  wanita  itu berpaling.  Dia melihat cup-cake  yang sedang dipegang oleh Aisya. Kenapa asyik nak bagi markah penuh aje pada perempuan tu? Khaffy mengeluh.
  “Mana ada rosak. Masih boleh makan. Cuma tak cantik aje. Kau tak nak ke?”
  Nurhafizah menggeleng. Suasana sepi antara mereka. 
    Farid bangun. Dia melangkah ke mesin air kotak yang terletak di suatu sudut bengkel. Tekaknya perlu dibilas dengan air apabila rasa manis  icing  dirasakan masih melekat di kerongkongnya. Dia membeli empat kotak air. Dua kotak dihulurkan kepada Aisya dan Nurhafizah. 
 “Terima  kasih, encik.  Semoga Allah memberkati rezeki encik,” ujar Aisya ikhlas. Farid terkedu. Khaffy menjeling dari ekor matanya. 
  “Amin,” ujar Farid. 
  “Nama saya Farid. Tak payahlah berencik-encik dengan saya.” 
  “Saya Aisyatul Umaira. Awak boleh panggil saya Aisya,”  ujar  Aisya  penuh sopan.  Farid  perasan  yang  Aisya kerap mengelak daripada memandang wajahnya.   “Hah! Abang aku dah sampai.” Nurhafizah bersuara ceria. 
  Mereka semua memandang ke arah sebuah kereta Toyota Hilux yang memberhentikan kereta di hadapan bengkel. Aisya  dan Nurhafizah melangkah keluar  dari bengkel.
  “Terima kasih sebab datang jemput kami. Abang Akram sibuk sikit hari ni. Maaflah menyusahkan abang Harris,” ujar Aisya. 
    Harris menghadiahkan senyuman paling manis kepada Aisya. Mana ada susahnya. Aisya tidak tahu betapa gembiranya dia apabila Nurhafizah menghubunginya tadi. Dapatlah dia menabur jasa pada wanita idaman hatinya itu. 
   “Tak ada susahnya, Aisya.” Harris meratah wajah Aisya yang dibasahi peluh. Ringan tangannya mahu mengelap peluh itu. Alahai, Aisya. Kenapa awak cantik sangat? 
 Khaffy mengetap rahang. Matanya mencerlung pada Harris. Dia dan Farid membantu memindahkan kotak ke dalam kereta Harris.
  “Mana  handphone  awak?” Khaffy menghulurkan tangannya kepada Aisya.  
   Aisya mengeluarkan telefon bimbitnya lalu diserahkan kepada Khaffy.
    Menggunakan telefon bimbit Aisya, dia menghubungi nombor telefonnya. Aisya hanya memerhatikan perlakuan Khaffy.
   Setelah telefon bimbitnya berdering, Khaffy memulangkan telefon Aisya.
   “Awak dah ada nombor saya. Jangan risau, saya tak akan lari.” 
       Aisya mengangguk kecil.

No comments:

Post a Comment