Sunday 19 February 2017

CINTA? BIAR BETUL KARYA ANNA MILIA

Bab 1



AISYATUL UMAIRA  memerhati para pengunjung Pasaraya Besar Maximise Emporium sementara menunggu abangnya mencuba pakaian. 
  Jam tangan dikerling. Sudah lebih lima minit dia menunggu. 
   Jahit baju ke,  try  baju? Dia ni dari kecik sampai sekarang tak  ubah-ubah.  Buat apa pun  lambat.  Haishhh... Tension betullah.
    Penat tercegat di situ, Aisya menapak ke  fitting room. Terus sahaja pintu bilik kecil itu diketuk bertalu-talu.
  “Cepatlah. Kat luar ni dah panjang orang berbaris tunggu abang.  Apesal  lambat sangat ni? Tersangkut zip seluar ke?” Aisya ketawa kecil. Seronok mengusik abangnya.      Ahmad Khaffy Mukriz tersentak. Jemari yang sedang menanggalkan kemeja pada tubuhnya terhenti. Matanya dikecilkan mengamati suara manja dan mengada yang kedengaran dari luar  fitting room.
  Dek kerana tiada sahutan, Aisya mengetuk pintu dengan lebih kuat. 
   “Hey! Cepatlah. Buka pintu ni, biar Aisya tengok.” 
 “Cepatlah,” gesa Aisya lagi bernada rengekan apabila kali ini, memang ada seorang pelanggan yang berbaris di belakangnya. 
   Ketika meriah tangannya mengetuk, daun pintu dibuka dari dalam. Terus tangannya ditarik masuk ke dalam bilik kecil itu tanpa sempat dia mengelak. 
 Aisya tergamam. Lelaki itu bukan abangnya. Dia sudah tersalah bilik. Mereka saling memandang. Khaffy terpegun seketika melihat raut wajah di hadapannya. Sempurna  sungguh. Wajah ala-ala wanita Arab  itu memukau pandangan matanya. 
  Aisya bertambah kalut apabila melihatkan susuk tubuh yang separuh terdedah. Dada bidang lelaki itu sempat dipandang sekilas sebelum dia berpaling ke arah pintu. Jarinya cuba menarik selak pada pintu.    Khaffy terlebih dahulu bersandar pada pintu. 
 “Kenapa dengan awak ni? Saya baru masuk aje.  Try baju pun belum. Yang awak ketuk pintu macam nak roboh kenapa? Awak ada masalah mental ke?”
 “Sa... Saya minta maaf, encik. Saya ingatkan abang saya kat dalam bilik ni. Saya minta maaf sangat-sangat,” pohon Aisya sambil menyusun sepuluh  jari  di hadapannya. Matanya masih dilarikan ke arah lain, mengelak dari memandang dada  sado  putih melepak itu. Dalam pada itu, dia masih berjaga-jaga andai lelaki  itu cuba melakukan sesuatu yang tidak senonoh terhadapnya.
  “Lain kali, jangan main terjah aje. Tadi awak kata nak tengok, kan? Habis tu, kenapa sekarang ni awak asyik pandang dinding bilik ni aje? Awak tak nak tengok ke zip saya yang tersangkut?” Seronok pula Khaffy menyakat Aisya. Tangan lelaki itu sudah berada pada kawasan zip seluar.
  Dia benar-benar nak buka seluar ke? Aisya menelan liur. 
 Ketika dia sudah berkira-kira untuk menjerit, Khaffy segera menarik selak pintu. 
  “Keluar  sekarang.  Lain  kali  jangan susahkan  orang. Supermarket  ni bukan bapak awak punya. Nak ketuk ikut suka hati.  Awak  ni  boleh  dicaj  atas  kesalahan sexual harassment against men.”
   “Saya minta maaf, encik,” ulang Aisya. Dia benar-benar rasa bersalah. Macam manalah dia boleh yakin sangat yang abangnya masuk ke bilik ini tadi? 
 Entah kenapa, Khaffy boleh sahaja tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Mungkin kerana kasihan melihat reaksi Aisya yang bersungguh-sungguh memohon maaf. Aisya berasa lega melihat respons lelaki itu. Dia melangkah kelaur. Daun pintu dirapatkan semula.  Aisya memalingkan tubuhnya membelakangkan pintu. Dia mengusap dadanya dalam usaha memujuk hatinya supaya bertenang. Dia tersenyum kelat pada lelaki yang sedang  berbaris  tadi. Pandangan lelaki  itu kepadanya cukup menjelikkan. Pastinya lelaki  itu memikirkan yang  dia dan lelaki tadi berkelakuan sumbang di dalam bilik kecil itu. 
   Aisya menapak beberapa langkah lagi lalu berhenti apabila matanya tertancap pada susuk tubuh abangnya sedang melangkah ke arahnya. 
   Fuh! Nasib baik Abang Akram tak nampak apa yang berlaku tadi. 

 “Bila abang keluar? Aisya tak perasan pun.” 
  “Abang tak sempat  try  pun. Budak tadi silap bagi saiz. Dah masuk baru perasan. Lepas tu punyalah lama tunggu dia cari saiz L. Rasa macam tak nak beli aje.” 
   Aisya kecilkan matanya. 
 “Baru nak  try?” 
Melihatkan Akram Hakimi mengangguk, Aisya mengeluh.
 “Sekejap aje. Lepas ni kita carilah barang Aisya pula,” pujuk Akram sebelum berlalu ke  fitting room. 
   Aisya  berjalan menjauhkan dirinya  dari kawasan fitting room. Dia bimbang andai terserempak dengan lelaki tadi. Mata Aisya mendarat pada sehelai kemeja bercorak petak yang dipakaikan pada patung. Dia menghampiri. Tangannya menyentuh fabrik dari kain kapas sambil mata menilik kemeja itu. 
 Cantik jugak kalau beli untuk Ustaz Yaakob. 
  Aisya memanjangkan lehernya mencari jurujual. Anak matanya tanpa sengaja menangkap kelibat lelaki yang memarahinya tadi. Pandangan mereka bertembung. 
  Khaffy mengangkat tinggi dua kemeja berlainan warna. Tangan kanannya memegang kemeja lengan panjang berwarna hitam  manakala  di tangan kirinya pula, kemeja merah terang.
  “Mana satu yang cantik?” Khaffy bertanya.   Aisya  terkedu.  Biar  betul  lelaki  ini bertanya pendapatnya? Aisya berpaling ke belakang. Mana tahu lelaki itu sedang bercakap dengan seseorang yang berdiri di belakangnya. Tidak ada sesiapa di belakangnya.
  “Saya cakap dengan awaklah! Mana satu yang cantik?” tanya Khaffy sekali lagi.
   Aisya  memandang kedua-dua kemeja. Dia memang sukakan warna merah. 
 “Merah,” jawab Aisya sambil tersenyum manis. Sekali lagi Khaffy terpanar. Cukup sempurna, desis hatinya. 
  Khaffy sekadar menjongketkan kedua-dua keningnya kepada Aisya sebagai respons. 
   “Adik. Saya nak warna hitam,” ujar Khaffy kepada jurujual. 
 “Astaghfirullahalazim. Ada juga orang macam ni dalam dunia. Tanya pendapat orang, tapi tak nak ikut.” Aisya bercakap sendiri.  Dia melangkah pergi  dengan  rasa sebal. Terasa bodoh pula kerana melayan soalan lelaki tadi. Namun Aisya tidak dapat menghalang matanya dari menatap wajah itu sekali lagi. Tatkala itu juga, Khaffy juga berpaling memandangnya. 
  Aisya kaget. Terus kaki diayun laju meninggalkan lelaki itu. 
   “Adik,  cancel  yang hitam. Saya nak yang merah,” ujar Khaffy apabila kelibat Aisya sudah tidak kelihatan di situ.
   Khaffy menggeleng kecil. Kenapa dia perlu ikut pilihan gadis itu sedangkan memang dari awal hatinya lebih berat  pada  warna  hitam?  Soalan  tadi  sekadar  mahu  menarik perhatian gadis itu. Sejak berpisah dengan isterinya, dia langsung tidak memberi perhatian kepada kaum hawa. Jauh sekali untuk meletakkan kepercayaan kepada mereka. Dia sudah cukup penat disakiti. Hatinya sudah mati untuk mereka. Namun kenapa setelah lebih tiga tahun berlalu, tibatiba sahaja dia tertarik dengan gadis itu?
    “Aisya.” Khaffy menuturkan nama itu tanpa sedar. 
  Aisya menghampiri abangnya yang melanglah keluar dari  fitting room. 
  “Okay?” tanya Aisya. Dia berharap sangat abangnya mengatakan ya. Dia sudah penat menemani abangnya. Berjam-jam mereka meronda di tingkat bahagian pakaian lelaki. Baru sehelai seluar yang dibeli oleh abangnya. 
  “Okay,” jawab Akram. 
 “Alhamdulillah. Jomlah. Aisya dah penat ni.” 
  “Eh! Sekejap. Abang nak tengok  T-shirt.”      “Hah?”  Melopong  Aisya  mendengarkan  kata-kata Akram. 
 “Aisya pergi cari baju Danish dululah. Letihlah teman  abang,”  rungut Aisya. Ketika dia  berpaling untuk melangkah ke tingkat tiga, Akram menarik tangannya.        Akram dapat mengesan perubahan riak wajah adiknya itu walaupun senyuman masih terukir di wajah itu 
 “Okeylah-okeylah, abang pergi bayar kemeja ni. Aisya tunggu kat tangga. Kita pergi cari baju Danish samasama,” putus Akram. 
  Adegan tarik tangan itu diperhatikan oleh Khaffy usai dia membuat pembayaran di kaunter. Diperhatikan penuh minat pasangan yang disangkanya sebagai suami isteri. 
  Aisya  menunggu di tangga sementara Akram bergerak ke kaunter bayaran. Khaffy menapak ke arah tangga. Langkahnya cukup perlahan supaya dia boleh memandang wajah itu dengan lebih lama.
    Kau  memang  gilalah,  Khaffy. Dia tu isteri  orang. Khaffy memarahi dirinya.    Khaffy terus melangkah namun pandangannya tidak  lagi meliar ke  pelosok wajah  Aisya. Apabila dia melintasi Aisya, dia hanya mengerling ke arah gadis itu melalui ekor matanya.
   Aisya yang sibuk membaca sesuatu pada telefon bimbit langsung tidak perasankan kehadiran Khaffy. 
   Khaffy senyum sendiri. 
  Sempurna sungguh gadis itu di matanya. Walaupun hanya bahagian muka sahaja yang kelihatan, dia yakin semuanya indah di sebalik jubah moden longgar dan hijab yang melepasi dada gadis itu. 

No comments:

Post a Comment