Sunday, 19 February 2017

ALAHAI MISS BLUR KARYA AYRA ZAHRA

Bab 1



“NURAIN  AWATIF!” Jeritan daripada Puan Fauziah yang lantang dari tingkat atas membuatkan Awatif berlari dengan laju sekali menuju ke arah itu. Dia yang berada di dapur ketika itu untuk bersarapan hanya sempat menyalut Nutella di sekeping roti Gardenia. .
 Puan Fauziah memicitkan kepalanya berkali-kali. Digelengkan kepalanya dengan perlahan. Terkejut dia sewaktu menolak pintu bilik anak gadisnya sebentar tadi. Bilik Awatif saat ini umpama rumah kucing yang tak siap. Katil milik anak daranya langsung tidak berkemas.  “Astaghfirullahalazim,  Awatif. Bilik  sendiri  pun tak boleh nak kemas ke?” bebel Puan Fauziah lalu menoleh ke belakang menunggu anak daranya naik.
    “Ya,  mummy. Kenapa ni? Awa tak sempat pun nak sumbat roti dalam mulut tau. Mummy  dah jerit panggil nama Awa. Ada yang tak kena ke,  mummy?” soal Awatif dengan selamba lalu menyumbat mulutnya dengan roti Gardenia yang dibawanya tadi. Mata Awatif langsung tidak perasankan keadaan biliknya saat ini. 
  “Kamu boleh tanya kenapa? Apa pasal bilik tak berkemas ni? Sedar sikit kamu tu perempuan,” tegur Puan Fauziah. Geram sungguh dengan kerenah Awatif yang sedang menayangkan wajah  blurnya ketika ini. Awatif menjenguk keadaan biliknya.
   “Apa yang dah jadi dengan bilik Awa ni? Masa turun tadi bilik ni Awa dah kemas. Ini tak sampai setengah jam Awa dekat bawah dah bertukar wajah jadi macam ni. Kenapa ni?” soal Awatif dengan wajah yang terkejut. 
  “Kalau Awa dah kemas takkan bersepah macam ni pula. Siapa yang buat?” soal Puan Fauziah. Awatif menoleh ke arah  mummynya. 
   “Agak-agak  mummy  la kan, ini kerja si Cookie ke?” Dengan selamba badaknya Awatif menyoal Puan Fauziah.
  “Mummy tak tahu pula  Cookie kesayangan kamu  tu boleh buat bilik kamu jadi begini rupa. Sekarang ni tak usah nak cakap banyak.  Mummy  nak kamu kemas bilik ni. Sakit mata  mummy  tau tengok bersepah. Jangan sampai  mummy minta  daddy  hantarkan Cookie ke tempat lain,” arah Puan Fauziah dengan wajah yang serius. 
   Awatif masih lagi mengunyah saki-baki roti yang ada di tangannya dengan penuh tanda tanya. Mendengar saja tentang Cookie, terus dia memandang wajah mummynya dengan gaya yang sungguh comel sekali. 
  “Tak  payah  kamu  nak  tayang  muka comel  rupa  itu. Jangan  nak  membodek mummy.”  Puan  Fauziah  bercekak pinggang sewaktu memandang wajah Awatif. Dia sudah masak sangat dengan kerenah Awatif. 
    “Mummy, mana aci macam ni. Main ugut pula. Cookie mana bersalah dalam hal ni. Awa tau, ni mesti kerja budak  Akid. Mesti dia  yang  lakukan  semua  ni...”  protes Awatif dengan tidak puas hati. 
  “Akid!” Kali ini Puan Fauziah menjerit memanggil nama anak lelakinya. Dengan sepantas kilat, Akid berlari mendapatkan  mummy  kesayangannya. 
  “Yes, mummy...” Akid mendekati Puan Fauziah dengan  senyuman  puas.  Awatif memandang  wajah  Akid dengan  tajam sekali.  Dia  tahu,  ni  tak  lain  tak  bukan kerja Akid. 
  “Kamu  yang  sepahkan  bilik kakak kamu?”  soal Puan Fauziah. 
   “Mana ada, mummy. Akid tak masuk pun tadi.” Akid membela diri. Awatif mencebik pada adiknya. 
  “Akid... Ada baiknya  Akid mengaku. Jangan salahkan Kak Awa kalau sekejap lagi Kak Awa minta Cookie gigit kaki Akid. Cookie tu dia dengar cakap Kak Awa tau,” gertak Awatif sambil berpeluk tubuh. 
   Akid merupakan satu-satunya adik yang Awatif ada. Dia sememangnya nakal dan suka sangat cari pasal dengan kakaknya. Dia memang suka tengok rupa Awatif apabila marah. Mendengar saja kakaknya menyebut tentang Cookie, terus membuatkan Akid rasa tidak senang. Dia sememangnya takut dengan Cookie. 
  “Cakap dengan  mummy. Siapa yang buat?” soal Puan Fauziah lagi. Akid melihat wajah  mummynya yang serius  ketika  ini. Puan  Fauziah  mengetap  bibirnya dengan geram. 
   “Hmmm... Yalah, Akid mengaku. Memang Akid sengaja sepahkan bilik Kak Awa ini,” jawab Akid sambil menunduk. Gerun pula dia melihat wajah  mummy.
   “Mengaku pun. So mummy,  bukan salah Awa. Akid punya  kerja.  Cookie  mummy jangan  bagi  pada  daddy,”  pinta Awatif pula. 
    “Akid, kenapa buat bilik Kak Awa macam ni?” soal Awatif. 
    “Saja aje. Suka-suka,” sengih Akid dengan selamba. Dengar saja alasan yang keluar dari mulut Akid membuatkan Awatif bengang seketika. 
  “Hei, budak ni kan memang nak kena betul. Mummy  dengar tak apa Akid cakap tadi? Dia suka-suka sepahkan bilik Awa.”        “Tak kesahlah apa pun alasan kau orang. Mummy mahu kau orang berdua kemas sekarang,” arah Puan Fauziah lagi sebelum berlalu turun ke tingkat bawah. Pening kepalanya dengan kerenah anak-anaknya.     “Mummy, apa yang bising-bising dekat atas tu?” soal Encik Fathudin sebaik saja ternampak kelibat isterinya. 
   “Anak-anak abanglah. Kalau sehari tak bagi saya menjerit memang tak sah,” bebel Puan Fauziah. Encik Fathudin tersenyum sambil membaca surat khabar. Sudah mengerti apa yang berlaku. Sudah tentu Akid menyakat Awatif lagi. 
    “Anak dara abang tu nama saja umur dua puluh tiga tahun tapi perangai mengalahkan budak-budak. Itu belum lagi datang muka  blur  dia. Ya Allah, kalau waktu dia blur  kan bang, saya rasa menyirap saja darah ni tahu,” bebel Puan Fauziah. Suaminya tersenyum. 
  “Anak dara kita sorang tu aje, Puan Fauziah oi. Walaupun dia  blur  dan berperangai seperti budak-budak, dia tetap anak  kesayangan  awak,  kan?” jawab Encik  Fathudin dengan selamba. Puan Fauziah sudah mengetap bibir.

   “Awa, kamu nak ke  mana pula tu?” soal Puan Fauziah sewaktu melihat Awatif kucing kesayangannya itu. Awatif menoleh.    “Nak tengok cerita Korea.  Mummy  nak join  tak?” Sengih Awatif dengan selamba dan siap pelawa Puan Fauziah untuk turut serta menonton drama Korea kesukaannya.    “Itu  sajalah  kerja  kamu kan  sejak  jadi penganggur ni? Hari-hari menghadap laptop  tengok cerita Korea. Kamu tu dah besar panjang, Awa,” bebel Puan Fauziah lagi.
   Awatif seperti biasa buat muka tak ada perasaan apabila mendengar mummynya membebel. Diusap Cookie dengan manja.        “Ya  mummy, Awa tahu. Sabar ya, mummy. Kalau Awa  dah  dapat  kerja nanti,  confirm  Awa tak sempat nak menghadap benda tu semua.” Ringan saja mulut Awatif menjawabnya. 
  “Mulut kamu ni Awa, macam bertih jagung tahu tak? Ada saja benda yang dijawabnya. Sekarang  mummy  nak kamu naik atas bersiap dan ikut  mummy  dengan daddy  beli barang dapur.  No excuse. Panggilkan Akid sekali.” Puan Fauziah mula memberikan arahan kepada anak gadisnya.  “Shopping, mummy? Wah, sukanya. Sekejap, Awa siap,” jawab Awatif dengan teruja. Encik Fathudin sudah menggelengkan kepalanya. Masak sangat dengan anak gadisnya pantang diajak berjalan. 

   HADIF Fakhri  menolak troli dengan perlahan-perlahan. Dia hanya mengekori mamanya, Datin Khadijah dari belakang. Kalau  ikutkan,  malas  dia  menemani  mamanya  ke mari  untuk mencari barang-barang keperluan mereka sekeluarga tetapi apa pilihan yang dia ada hari ni. Mahu atau tidak dia harus menemani mamanya.                “Mama, bab-bab beli barang dapur ni kerja orang perempuanlah. Hadif mana tahu nak beli barang-barang ni semua,” jelas Hadif Fakhri. Datin Khadijah terus menghentikan langkahnya lalu menoleh ke belakang memandang wajah anak terunanya.
 “Siapa kata mama nak suruh Hadif belikan? Mama nak Hadif temankan mama sebab Mak Biah dan  bibik  tak ada. Siapa lagi mama nak minta tolong kalau bukan pada Hadif? Dekat rumah tu tinggal Hadif, mama dan papa aje, kan. Nak harapkan Reen, manalah dia larat nak datang, Hadif. Mama tak  nak  pula  menyusahkan  dia tambah-tambah  dengan keadaan dia sekarang ni.” 
    “Itulah dari dulu lagi mama suruh carikan menantu untuk mama. Kalau Hadif kahwin, ada juga mama kawan,” terang Datin Khadijah. Hadif pula buat selamba. Dia sudah lali dengan permintaan mamanya itu.
  “Mama, Hadif bukan tak nak tapi masalahnya sekarang ni Hadif tak jumpa lagi orang yang Hadif cari,” balas  Hadif lalu  mengekori  Datin  Khadijah  yang sudah  pun bergerak ke rak barang-barang yang perlu dibeli. 
  “Ada saja jawapan kamu,” jawab Datin Khadijah sambil menggelengkan kepalanya sebelum memilih  ayam untuk keperluan keluarganya.  Mata  Hadif mula meliar  ke sana sini. Nampak sangat wajahnya yang sedang kebosanan ketika ini.

     “NAH, ini  list  barang yang  mummy  dah tulis. Awa pergi cari barang ini semua. Mummy  nak pergi ke tempat barang basah,” arah Puan Fauziah. Awatif merenung kertas putih yang sudah berada di tangannya ketika ini. 
   “Akid, kamu ikut  mummy, karang kamu berdua jalan sama-sama, mulalah nak bertegang urat.” Akid sudah tersengih lalu menganggukkan kepalanya. Awatif mencebik pada Akid. 
   “Okey,  mummy. Awa pergi cari barang-barang ni semua lepas tu Awa cari  mummy dekat barang basah,” jawab Awatif sebelum berlalu dengan troli.
  Pada mulanya, Awatif menolak trolinya dengan perlahan,  namun  dengan  tiba-tiba saja  dia  meningkatkan kelajuan pada trolinya dan mula mencari setiap barang yang telah dicatat oleh  mummynya. 
   “Mana kicap ni?” bebel Awatif seorang diri. Gaya Awatif mencari barang ketika itu umpama dia sedang menyertai suatu permainan. Dia tidak peduli pandangan orang yang memandangnya. Di dalam kepalanya hanya ingin menyiapkan misi yang ditugaskan oleh  mummynya.        “Tumpang lalu... Tumpang lalu...” Riuh mulut Awatif sewaktu melintasi orang yang sedang sibuk mencari barang keperluan mereka. Awatif ni dah bertukar menjadi ‘Running Woman’  ke apa? 
    Tidak sampai setengah jam pun, troli yang dibawa oleh Awatif hampir penuh dengan barang. Maraton sungguh. Melihat kelajuannya dalam mencari barang, boleh  join rancangan seperti Amazing Race mahu pun Explorace. Setelah selesai mencari kesemua barang yang diperlukan, Awatif mula menolak troli menuju ke bahagian barangan basah. Troli yang ditolaknya kini tidak seligat tadi kerana sudah berat dengan barang-barang keperluan yang diambilnya tadi. 
    “Mana pula dia orang ni?” Awatif mencari kelibat mummynya. Matanya melilau-lilau mencari Puan Fauziah di celah-celahan orang yang sememangnya ramai di bahagian barangan basah. Tanpa disedari... 
   “Aduh...” Kedengaran suara seseorang mengaduh. Awatif menoleh ke depan. Dia terkejut. 
    “Owh no...  Auntie, maaf-maaf. Awa tak sengaja. Awa tak nampak  auntie  dekat depan,” ujar Awatif sebaik saja terpandangkan yang  dia telah terlanggar seorang  auntie  yang sedang memilih sayuran yang ada di situ. Datin Khadijah menggosokkan lengannya akibat dilanggar oleh troli Awatif. 
      “Maaf,  auntie.” Awatif mendekati  Datin Khadijah lalu dicapai tangan Datin Khadijah sebelum dikucupnya. Terkejut Datin Khadijah dengan perilaku si gadis itu.     “Tak apalah, anak bukan sengaja pun,” jawab Datin Khadijah sambil tersenyum. Awatif mula rasa bersalah. 
   “Maafkan Awa, ya,” mohonnya lagi. Awatif merenung wajah Datin Khadijah penuh pengharapan. 
      “Mama, kenapa ni?” sapa Hadif Fakhri yang baru saja muncul. Dia pelik apabila melihat mamanya mengerutkan dahi malah mamanya turut  mengusap lengannya.              Datin Khadijah mendongakkan kepalanya lalu memandang Hadif manakala Awatif pula masih lagi berdiri membelakangi Hadif. 
      “Tak ada apa pun.  Accident  sikit,” jawab Datin Khadijah dengan senyuman. Hadif terus memeriksa lengan Datin Khadijah, bimbang jikalau lengan mamanya itu tercedera. Hadif kemudiannya memandang pada gadis yang berada di depannya. Sungguh tajam sekali pandangannya pada Awatif ketika itu.
       “Awak ni tak ada mata ke?” soal Hadif kepada Awatif. Dia merenung Awatif dari atas ke bawah. 
     “Mata  saya?  Mestilah  ada. Encik tak nampak ke mata saya ni ada satu, dua?” bidas Awatif dengan selamba sambil menunjukkan mata kanan dan kirinya. 
    “Isy, budak ni. Loyar buruk pula dengan aku,” ujar Hadif Fakhri. Awatif mengerutkan dahinya. Aku salah cakap ke? soal Awatif sendirian. Dia memandang wajah Hadif dan Datin Khadijah silih berganti. 
  “Hadif...”  Datin Khadijah menegur  anak bujangnya. menoleh pada mamanya. Datin  Khadijah menggelengkan kepalanya. 
   “Maaf ya,  auntie. Sungguh Awa tak sengaja tadi langgar  auntie.” Sekali lagi Awatif meminta maaf. Dia membetulkan tudungnya. 
    “Lain kali kalau rasa mata tu rabun pakailah cermin mata. Ini tak main langgar aje. Mata tu biar tajam sikit,” marah Hadif. Datin Khadijah terus mengusap bahu anaknya. 
  “Hadif...” 
 “Saya minta maaf. Saya tak  perasankan  auntie  tadi. Oh ya, janganlah awak risau, mata saya ni memang sihat. Tak ada rabun.” Dengan ringan, Awatif menjawab.     “Awak ni kan...” Belum sempat Hadif mahu membidas, sudah ada suara yang memanggil Awatif. 
   “Kak Awa!” jerit Akid. Dengan pantas, Awatif mencari suara itu. Akid mendekati kakaknya. 
     “Kak Awa,  mummy  dah bising cari kakak tak jumpa. Jomlah cepat,” ujar Akid sebaik saja berdiri di depan kakaknya. Dengan pantas, dia menarik tangan Awatif.
     “Eh, nanti-nanti. Akid, tolak troli ni,” arah Awatif lalu menarik tangannya. 
   Hadif dan mamanya hanya melihat saja kerenah si Awatif saat ini. Akid menghela nafasnya dengan berat. Dengan bermalasan dia memegang troli. 
   “Isy, Kak Awa ni berapa kotak nak beli makanan Cookie, hah?” soal Akid sebaik saja terpandang kotak makanan kucing di dalam troli. Awatif tersengih sewaktu Akid memegang salah satu dari kotak makanan Cookie. 
     “Jangan banyak songeh, tolak aje troli ni pergi pada mummy. Sekejap lagi Kak Awa datang,” arah Awatif lalu menyerahkan troli tersebut kepada adiknya. Akid hanya mengikut saja lalu menolak troli tersebut. Awatif menoleh kembali pada Datin Khadijah. 
    “Maaf sekali lagi ya  auntie  dan juga Encik...?” Awatif memandang wajah Hadif.     “Hadif...” jawab Hadif. 
  “Hah,  encik  kreatif?”  soal  Awatif dengan blur. Hadif menepuk dahinya. 
  “Bukan kreatif, tapi Hadif... Diulang sekali lagi ya, Hadif... H-A-D-I-F, Hadif,” eja Hadif dengan geram. Isy, perempuan ni betul ke tidak? desis hati Hadif. Datin Khadijah menahan diri dari gelak. Awatif tersengih lalu menganggukkan kepalanya. 
   “Oh,  Hadif. Ingatkan kreatif. Maaf  ya auntie  dan Encik Hadif. Minta diri dulu, ya?” jawab Awatif lalu melangkah meninggalkan Hadif dan juga Datin Khadijah. Baru saja dia melangkah, tiga tapak ke depan kakinya terhenti seketika. Awatif menoleh ke belakang dan tersenyum lalu melambaikan tangan sebelum dia bergegas menuju ke kaunter pembayaran.       “Sewel ke apa budak ni? Ada masalah telinga agaknya,”  bebel  Hadif  dengan selamba  sewaktu  memandang Awatif yang sudah pun melangkah ke depan. Datin Khadijah tersenyum. 
    “Hadif, tak baik cakap orang begitu. Dia bukannya sengaja pun. Jomlah,” tegur Datin Khadijah lalu meneruskan misinya. Hadif pula terus mengekori dari belakang. 

No comments:

Post a Comment