Thursday 10 March 2016

MAHALNYA CINTA KARYA THEYA NUR

BAB 4



“CEPATLAH, TIF!” panggil Hajah Fauziah. Anak perempuannya itu masih lagi berdiri di sisi keretanya. Sedari tadi sibuk membetulkan tudungnya yang elok sahaja terletak di atas kepala. Tiada apa yang cacat tetapi tetap mahu memandang cermin.
           “Kejap, umi,” sahut Tif. Dia membuat ‘pemeriksaan’ terakhir sebelum berlari-lari anak ke arah uminya.
           Hajah Fauziah merenung penampilan anaknya hari ini. Lain sungguh daripada hari-hari yang sebelumnya. Jika sebelum ini anaknya memang gila fesyen dan hari ini… Tif hanya memakai baju t yang memang dikhaskan untuk pekerja-pekerja di kedainya bersama sneakers. Hilang terus high heelsnya.
           “Kenapa dengan umi ni? Tadi beria panggil, sekarang diam je. Ada yang tak kena ke?” soal Tif. Dia mula risau melihat uminya sebegitu.
           “Betul ni keputusan Tif? Jangan menyesal. Jangan komplain banyak kerja, leceh atau apa-apa jelah,” ujar Hajah Fauziah.
            Sampai hari ini dia masih belum dapat percaya bahawa anaknya mahu menjadi kuli di kedainya. Dia melamar Tif untuk menjadi pengurus, bukannya pekerja bawahan. Entah apa yang sebenarnya difikirkan oleh anak gadisnya ketika ini sampai sanggup membuat keputusan sedrastik ini.
           “Umi pandang rendah dekat Tif, ya? Tak apa, Tif tunjukkan dekat umi yang Tif tak manja macam yang umi fikirkan.”
           Hajah Fauziah tersenyum mendengarkan kata-kata Tif yang sudah berlalu masuk ke dalam kedai. Mahu memulakan hari pertama bekerja dengan penuh semangat, gamaknya. Dia terus melangkah ke arah kedai gubahan hantarannya itu apabila menyedari dia sudah mula tersenyum seperti orang gila di tepi jalan. Tak pasal kena angkut dengan JKM nanti.
            Matanya tertancap pada Tif yang sedang berbicara dengan seorang wanita. Pelanggan mungkin. Wah, dah pandai layan pelanggan. Cekap sungguh. Lega hatinya melihat anaknya yang sudah pandai melayan pelanggan. Dia melangkah ke pejabatnya dengan hati yang senang.
           Tif bengang mendengar kata-kata perempuan di hadapannya ini. Mujur tak makan penampar.
           “Tak sangkakan, you jadi kuli je.. Susah-susah masuk universiti, akhirnya jadi kuli je? Sadis betul hidup you ni,” sinis sahaja perempuan di hadapan Tif itu berbicara.
           Maya yang berdiri di hadapannya itu dicerlung. Saat ini, perempuan itu kelihatan begitu kecil di matanya. Sekali pijak, jadi lempeng! Lempeng basi.
           Sungguh menyakitkan hati apabila bertemu lagi dengan bekas rakan sekelasnya itu. Setelah bertahun tidak berjumpa, Tif tidak menyangka mulut perempuan itu masih lancang apabila berbicara.
           “I ada dengar daripada Yana yang you dah tunang tapi putus. Betul ke? Makin bergandalah malang hidup you pada pandangan I.” Maya masih terus mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar. Senyuman yang menjengkelkan terus terukir di bibir yang dioles dengan gincu merah mak ngah itu.
           Tif menarik nafas panjang. Uh, Yana! Si ‘wartawan tak jadi’ yang sering menghebahkan perkembangan semasa bekas pelajar 3 Cempaka. Bagaimanalah cerita putus tunangnya boleh sampai ke telinga Yana? Pelik betul!
           “Semalang-malang aku, malang lagi bakal suami kau. Nak tau sebab apa dia malang? Sebab dapat kau! Clear?”
           Hati Tif puas kerana dapat menutup mulut lancang Maya. Memang diakui, berhadapan dengan Maya, dia tidak boleh menjadi dirinya yang sebenar kerana dirinya terlampau lemah untuk melawan keceluparan Maya. Berhadapan dengan Maya, dia harus bertukar menjadi seorang yang sinis dan bermulut tak berinsurans.
           “Jaga mulut you sikit! Jangan sampai tangan I naik ke muka you,” ujar Maya dengan penuh amarah. Berang mendengar kata-kata Tif. Matanya merenung tajam wajah Tif yang masih selamba.
           Malas mahu memanjangkan cerita, Tif berlalu. Bimbang juga jika tangannya terlebih dahulu menghadiahkan penamparnya pada muka Maya yang jelas-jelas meminta penampar daripadanya.
           Maya menghentakkan kakinya beberapa kali. Geram kerana Tif meninggalkannya begitu sahaja tanpa memberi apa-apa reaksi. Sudahnya, tanpa memilih apa-apa rekaan, Maya berlalu dari kedai itu. Dia sudah tiada perasaan mahu memilih rekaan gubahan.
           Nia yang dari tadi melihat drama sebabak antara anak majikannya itu dengan seorang pelanggan wanita menggamit Tif sebaik sahaja pelanggan tadi keluar dari kedai.
           “Apa halnya? Bergaduh ek?” soal Nia.
           Tif memandang ibu kepada tiga orang anak yang sabar menanti jawapannya. Dia menimbang sama ada mahu memberitahu atau tidak. Mengenangkan dia sudah lama mengenali wanita yang tua dua tahun daripadanya itu, Tif mengambil keputusan untuk bercerita.
           “Tak adalah sampai bergaduh. Bertekak je, kak,” ujar Tif. Kata-katanya itu membuatkan Nia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
           “Tak sama ke bergaduh dengan bertekak?”
           “Entah. Tak samalah agaknya,” jawab Tif ringkas. Dia ketawa mengenangkan dirinya yang bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu. Main cakap je, tapi tak tahu.
           Nia menampar lembut lengan Tif.
           “Kenal ke? Macam anak orang kaya je dia tu,” Nia menelah. Melihat tas tangan berjenama milik pelanggan tadi, membuatkan dia dapat menebak taraf wanita itu.
           “Classmate masa tingkatan 3. Tapi tak rapat. Memang anak orang kaya pun. Berlagak tak habis dia tu. Dari dulu. Ingat dia kaya, boleh sesuka hati nak rendah-rendahkan orang lain. Ingat dah berubah, rupanya sama,” ujar Tif panjang lebar. Hatinya masih sebal dengan Maya.
           “Biasalah orang kaya. Orang kebanyakan macam kita ni, pandang sebelah mata je,” sokong Nia.
           Bukan dia tidak pernah jumpa orang kaya sebegitu, banyak. Semuanya menganggap duit itu boleh menentukan darjat dan taraf. Mungkin di dunia ya, tetapi di mata Allah, iman dan amal yang dikira. Bukan harta.
           “Dahlah, kak. Cakap pasal dia buat sakit hati, buat tambah dosa. Baik saya buat kerja,” kata Tif. Dia memohon diri untuk ke bahagian belakang kedai.
           Di bahagian itu tempat orang yang mempunyai bakat menggubah dan mereka rekaan. Dalam hati, dia memuji rekaan yang dihasilkan oleh pekerja di kedai uminya ini. Cantik dan kemas.
           Dia memandang beberapa orang pekerja lelaki dan perempuan sibuk mengangkat kotak-kotak yang baru sampai daripada pembekal. Dia mendekati longgokan kotak di hujung sudut kedai. Dua kotak diangkat masuk ke dalam stor.
           “Letak! Akak cakap letak, Tif!” arah satu suara. Tif kenal suara itu. Kak Jiha.
           Tanpa meletakkan kotak itu ke lantai, Tif menyoal kepada Kak Jiha dengan riak tak puas hati.
           “Kenapa pulak?”
           “Tif tu anak Puan Hajah Fauziah. Mana boleh angkat kotak bagai. Dah, letak!” arah Kak Jiha lagi.
           Tif mengeluh. Ini yang dia malas ni. Dia merenung wajah Kak Jiha yang bujur sirih berwarna kuning langsat itu.
           “Habis saya nak buat apa? Nak menggubah dekat belakang tu, saya tak reti. Saya buat yang saya reti jelah,” kata Tif.
           “Tif buatlah kerja lain. Tak payah angkat berat-berat. Nanti penat.”
           ‘Itulah yang saya nak Kak Jiha oi. Penat. Itu yang saya cari sebenarnya,’ Tif membalas sekadar dalam hati. Nanti Kak Jiha pasti akan mengatakan dia gila. Mana ada orang yang rela hati mahu penat kecuali ada beberapa fius dalam otak dah putus.
           “Cuba akak pandang saya ni sebagai pekerja. Kita sama. Saya dekat sini untuk bekerja, kak. Tak ada gunalah saya digelar sebagai pekerja dekat Gee’s Collection ni tapi saya goyang kaki. Pandang saya sebagai pekerja, bukan anak kepada pemilik kedai ni,” hujah Tif sebelum berlalu selepas menerima anggukan lemah daripada Kak Jiha.
           Selesai mengangkat kotak bersama beberapa orang pekerja lain, Tif berlalu ke kaunter bayaran. Dia mengambil keputusan untuk bekerja di bahagian itu sahaja. Mahu bekerja di bahagian reka-mereka ni, memang tak boleh. Lingkup nanti.
           Mahu melayan pelanggan pula, dia tidak reti. Bab-bab mencadangkan itu ini kepada orang lain bukanlah bidangnya. Jadi sebagai jalan selamat, baik dia bertugas di kaunter sahaja.          
           “Aik, tadi kata nak pergi belakang. Sekarang ada dekat sini pulak,” tegur Nia sebaik sahaja melihat Tif duduk di kerusi sebelahnya. Memerhatikan pelanggan yang sibuk membuat pilihan mengikut cita rasa sendiri.
           “Tak sesuailah kerja dekat belakang tu dengan saya, kak. Tak kena dengan jiwa saya,” balas Tif. Dia bingkas bangun sebaik sahaja ada yang menghampiri kaunter untuk membuat bayaran.
          Tangan Tif laju menari di atas mesin duit itu. Dulang-dulang hantaran yang dibeli oleh pasangan bakal mempelai itu dibawa oleh beberapa orang pekerja lain ke kereta milik pasangan itu.
           “Terima kasih. Selamat pengantin baru,” ucap Tif sebelum pasangan itu berlalu. Seperti biasa, ucapan itu dibalas dengan senyuman oleh pelanggan.
           Satu persatu pelanggan yang membuat bayaran dilayan dengan mesra bersama senyuman yang tak lekang dari bibir. Apabila melihat suasana di dalam kedai lengang, Tif terduduk di kerusi. Wow! Serius penat.
           Matanya terarah ke luar kedai yang tidak dipedulikan sejak dia asyik melayan pelanggan. Dah malam rupanya. Patutlah sejuk semacam.
           “Tak nak balik ke?” soal Kak Jiha yang sudah siap sedia untuk pulang bersama tas tangannya yang besar. Mampu memuatkan seorang bayi di dalam beg itu nampaknya. Entah apa yang Kak Jiha bawa agaknya.
           “Ha? Balik? Sekarang ke?” soal Tif kembali. Perasaannya terasa bagai terlalu awal untuk pulang.
           “Iyalah sayangku! Habis nak tidur sini ke?”
           Tif hanya menggelengkan kepalanya. Jam pada tangannya dikerling. 9.45 malam. Patutlah semua dah bersiap mahu pulang.
           Dia terus keluar daripada kedai itu sebaik sahaja semua pekerja pulang. Dia akan pulang sendiri memandangkan dia membawa keretanya. Sengaja tidak mahu menumpang uminya. Takut nanti uminya ada urusan luar. Lebih baik dia bawa keretanya sendiri. Lebih mudah.
           Teringat pula pada Tania. Setelah memberitahu uminya, dia terus memandu keretanya ke kondominium Tania. Dia melangkah laju ke arah lif sebaik sahaja memarkir keretanya.
           Loceng pada dinding ditekan beberapa kali. Jarinya berhenti menekan apabila daun pintu dikuak lebar. Terkejut Tif apabila seorang lelaki yang kemas berkemeja berdiri di muka pintu.
           “Ta.. Tania ada?” Sekelip mata, Tif bertukar menjadi seorang yang gagap. Terlampau terkejut melihat lelaki di rumah temannya.
           “Oh, sekejap.”
           Lelaki itu menutup pintu semula. Tif masih lagi berfikir, siapa lelaki itu? Sejak bila Tania pandai membawa lelaki pulang ke rumah. Dah lewat malam pula tu. Janganlah benda tak baik berlaku.
           Tif sibuk berdoa sewaktu pintu dibuka kembali. Kali ini pintu dibuka oleh Tania.
           “Wei! Apa kau buat ni? Apa lelaki tu buat dekat rumah kau? Malam-malam buta macam ni. Kau dah gila ke? Kena tangkap basah nanti macam mana?” Tif menyerang Tania tanpa Tania sempat membuka mulut.
           “Tif, aku….”
           “Sejak bila kau pandai bawa lelaki balik rumah ni? Tania, kau biar betul? Ingat dosa, Tania. Aku….”
           “Zatifa Adelia!”
           Tania menjerit supaya temannya itu berhenti bercakap dan memberi ruang kepadanya untuk berbicara. Mana tahan terus dituduh sebegitu.
           “Bukan aku dengan dia je ada dalam rumah ni. Tengok ni.” Tania menunjuk ke arah deretan kasut di hadapan muka pintu. Menunjukkan betapa ramainya orang yang berada di dalam rumah itu.
           “Err… sorry!” pohon Tif. Malu pula rasanya kerana menuduh temannya yang bukan-bukan. Nampak tak betapa kolotnya pemikiran kau, wahai Zatifa Adelia? Tif mula memarahi dirinya.
           Tania menggelengkan kepalanya tanda dia tidak kisah.
           “Kebetulan, kami baru nak makan ni. Jom masuk,” ajak Tania. Tanpa menunggu keputusan Tif, Tania menarik supaya temannya itu segera masuk.
           Tif menikus di belakang Tania kerana dirinya kini menjadi tatapan oleh beberapa pasang mata yang begitu asing padanya. Dan terasa bertambah segan apabila dia menyedari sepasang mata memandangnya dengan pandangan yang tajam.
           “Maaf ya semua. Ni kawan saya, Zatifa Adelia. Boleh panggil dia, Tif. Ha, apa lagi, makanlah. Kejap lagi boleh sambung kerja,” pelawa Tania ramah.
           Malam ini rumahnya dipilih sebagai tempat untuk mereka sepejabat menyiapkan kerja mereka beberapa buah lakaran untuk dipilih. Memang itu biasa dilakukan oleh pekerja di bahagian perekaan.
           Memilih mana-mana rumah pekerja setiap kali ada projek untuk direka. Kata bosnya, untuk mengembangkan lagi idea. Tambahan lagi, suasana tidaklah setegang di pejabat.
           “Duduklah Tif. Makan sekali,” pelawa salah seorang teman sepejabat Tania yang bernama Azalia.
           “Tak apalah,” Tif menolak. Segan pula dia mahu duduk semeja dengan teman-teman sekerja Tania. Dan yang paling penting, ada sepasang mata yang tidak lepas daripada merenung dirinya. Itu yang membuatkan Tif semakin tidak selesa.
           Siapa dia ni? Pandang macam aku dah bunuh kucing kesayangan dia je! Tif mula berbicara sendiri di dalam hatinya. Mempersoalkan apa sebenarnya yang membuatkan lelaki yang tidak dia kenali itu merenungnya seperti mahu menelannya.
           “Tania, aku masuk bilik kau eh? Actually aku tidur sini hari ni,” bisik Tif pada telinga Tania.
           “Kau jangan nak mengada! Yang bab tidur sini tu, okey je. Tapi bab yang kau nak masuk bilik dulu tu, aku tak benarkan. Kau makan dulu. Perut kau tu dahlah mengada. Nanti gastrik kau datang, naya aku,” kata Tania agak kuat.
           Tif menepuk dahinya apabila mendengar suara Tania yang kuat. Penat-penat aku berbisik, kau boleh cakap kuat pulak. Adus!
           “Takkan tak sudi nak makan dengan kami, cik Tif?” Farid pula bersuara.
           “Eh, bukan. Sudi je cuma takut mengganggu. Tak apalah, saya makan dekat dapur je,” balas Tif. Menggunung rasa segannya apabila dikatakan tidak sudi makan bersama.
           Tanpa suara, Tania mengarahkan Tif duduk bersama mereka di meja makan. Matanya dijengilkan pada Tif, memberi amaran agar tidak membantah. Tif terpaksa akur memandangkan Tania sudah mula menggunakan kuasa vetonya sebagai tuan rumah.
           Sesalan di dalam hati memuncak apabila melihat hanya satu tempat kosong yang tinggal dan malangnya tempat itu di sebelah lelaki yang dari tadi tidak puas-puas merenungnya tanpa sepatah kata. Hanya renungan tetapi mampu membuatkan jantungnya berdebar kencang. Bagai baru sahaja menghabiskan larian sejauh 1000km. Uih, jauhnya! Ada ke orang yang lari sejauh itu?
            Dengan langkah yang berat, Tif menapak juga ke tempat kosong itu. Dia cuba menjarakkan sedikit kerusinya kepada Azalia di sebelah kanannya. Apakan daya mahu menghalang. Hatinya menjerit apabila Azalia terlebih dahulu menyuruhnya bergerak ke kiri lagi. Mendekatkan lagi jarak antara dia dan lelaki itu. Umi!!!!
           Tif masih menyuap makanan ke mulut apabila seorang demi seorang meninggalkan ruang makan menuju ke dapur. Dia tidak kisah memandangkan dia bukannya terlibat dengan apa-apa perbincangan antara mereka semua. Jadi, dia bebas makan berapa lama pun dia suka.
           Melihat lelaki itu berlalu ke dapur membuatkan Tif mahu bersorak kegembiraan. Namun sorakan itu bagai terhenti apabila lelaki itu keluar dari ruang dapur dan mengambil tempat di hadapannya. Tif berpura-pura tidak perasan. Makanan yang sudah hilang rasanya itu terus disuap ke mulut.
           Suapannya dihentikan apabila dia terasa tangannya sudah tidak mampu digerakkan. Dia mengangkat wajah. Matanya bertaut seketika dengan sepasang anak mata yang berwarna hitam pekat milik lelaki yang tidak diketahui nama itu.
           Keluhan pendek dilepaskan. Penat ditenung tanpa henti dari tadi. Apa yang lelaki ini mahu daripadanya?

No comments:

Post a Comment