Thursday 10 March 2016

MAHALNYA CINTA KARYA THEYA NUR

BAB 5

“SAYA ada terambil barang awak ke sampai awak tenung saya macam nak telan?” soal Tif agak sarkastik.
           “Mungkin,” jawab lelaki itu pendek.
           “Hah?” Tif tidak percaya. Niatnya sekadar bertanya dengan soalan yang agak ringan. Tak sangka pula lelaki itu mahu mengiakan soalannya.
           Lelaki di hadapannya itu menguntum senyum. Senyuman itu membuatkan Tif terpesona sebentar. Oh, lelaki ini ciptaan Allah yang sangat indah. Mata yang cantik dan senyuman yang manis. Indahnya ciptaan KAU, Ya Allah! Kagum sebentar.
           “Apa pulak yang saya ambil? Saya baru jumpa awak dan barang awak pun saya tak usik,” ujar Tif sebaik sahaja dia tersedar daripada ke‘terpersonaan’nya.
           Sekali lagi lelaki itu menguntum senyum. Tif terasa mahu menyuruh lelaki itu berhenti senyum kerana senyuman lelaki itu terlampau manis untuk dipandang. Takut ada yang kena diabetis nanti.
           “Jangan buat saya pening boleh tak, encik… encik yang saya tak tahu nama? Dan tolonglah berhenti pandang saya macam tu. Saya rasa macam saya ni pencuri yang besar betul kesalahannya,” kata Tif. Sebelum meneguk air oren.
           “Memang awak pencuri pun. Sayakan dah cakap tadi. Awak dah ambil barang saya,” bicara lelaki itu dengan suara yang perlahan. Matanya masih tak lepas merenung gadis yang mencuri perhatiannya itu.
            “Jangan putar belit boleh? Saya tak faham,” bentak Tif dengan suara yang masih terkawal. Sesuka hati sahaja lelaki itu menggelarnya pencuri. Undang-undang mana yang membenarkan lelaki itu menggelarnya sebegitu?
           Lelaki itu mengangkat bahunya sebagai jawapan kepada soalan Tif.
           “Huh! Menyakitkan hati je cakap dengan awak ni!” kata Tif perlahan. Tidak mahu lelaki itu mendengar kata-katanya.
           “Bos, bila kita boleh mula?” soal Tania yang tiba-tiba muncul dari ruang tamu.
           “Sekarang,” jawab Hazriq. Dia bangun dari kerusi.
           Bos? Tif terasa kaku sebentar. Jadi, inilah bos yang sering menjadi kemarahan pada Tania. Inilah dia lelaki yang berlagak itu. Oh, sekarang aku tahu!
           “Panggilan awak untuk saya tadi, bunyinya menarik juga. Encik yang awak tak tahu nama? Tapi saya sarankan awak panggil saya, Riq. I’m Hazriq Ayyad.”
           Tif masih kaku di meja makan apabila Hazriq melangkah ke ruang tamu. Otaknya saat ini sudah sesak dengan pelbagai persoalan. Malas mahu berfikir lebih, dia bangun menuju ke dapur.
            Usai membasuh semua pinggan dan mengemas meja, dia berjalan menuju ke ruang tamu. Dia berhenti di pintu yang memisahkan ruang tamu dan ruang makan. Mengubah fikiran untuk tidak ke ruang tamu memandangkan ada perbincangan yang agak serius di situ.
           Wajah Hazriq dipandang. Serius benar lelaki itu ketika bekerja. Tiada lagi senyuman manisnya. Buat seketika, Tif memerhati lelaki itu.
           Lelaki itu tampak santai memakai baju-t polo berwarna putih bersama jeans berwarna hitam. Rambutnya digaya spike. Stailista dan kacak! Ops, terpuji pulak!
           “Apa yang kau buat dekat situ? Sinilah,” panggil Tania.
            Terkejut Tif dibuatnya. Sekelip mata, semua mata terarah ke arahnya membuatkan wajahnya merona merah.
           “Aaa.. tak apalah.” Tif malu sendiri. Janganlah perasan yang aku sibuk tengok lelaki tu.
           “Tak nak tak apalah. Oh ye, minta tolong buatkan air boleh?” pinta Tania.
           Tif kembali ke dapur. Pati epal di dalam peti sejuk dikeluarkan. Selesai mengacau air, ais dari dalam peti sejuk dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam jag air. Gelas-gelas disusun di atas dulang sebelum dia menatang dulang itu ke ruang tamu.
           Kehadirannya tidak disedari kerana mereka semua sibuk melakar sesuatu pada beberapa helai kertas yang besar. Tanpa mempedulikan mereka, Tif meneruskan kerjanya menuang air ke dalam gelas.
           “Jemput minum,” pelawa Tif sebelum dia keluar ke balkoni.
           Dari rumah Tania, pandangan yang menarik menjadi tatapan. Lagi-lagi malam. Lampu neon berkelip di mana-mana.
           “Hello, Ms. Tif!”
           Tif mengurut dadanya perlahan. Dia berpaling pada lelaki yang berdiri di sebelahnya itu.
           “Dah habis bincang ke?” soal Tif tanpa memandang lelaki itu.
           “Belum. Sambung dekat pejabat, esok,” kata Hazriq.
           Hazriq memandang gadis yang berdiri di sebelahnya itu. Gadis itu hanya tinggi paras bahunya sahaja. Pendek dalam bahasa mudahnya.
           Wajah gadis itu ditenung lama. Entah apa yang menarik minatnya sejak tadi, dia sendiri tidak pasti. Dia sedar Tif tidak selesa dipandang sebegitu tetapi dia sendiri tidak faham dengan dirinya kala ini.
           “Apa yang awak pandang? Saya tak sukalah,” tegur Tif. Dia perasan lelaki itu sedang memerhatikannya lagi.
           Hazriq ketawa.
           Tif terasa mahu menutup telinga mendengar tawa lelaki di sebelahnya itu. Bukan kerana tawanya sumbang, tetapi kerana ketawa lelaki itu terasa indah untuk didengar. Aduh Tif! Tolonglah berhenti memuji macam dia ni sempurna sangat.
           “Bos, kami nak balik dah ni. Bos tidur sini ke?”
           Terkejut Hazriq apabila Farid berkata begitu padanya. Dia akui, hanya Farid yang berani bergurau dengannya. Mungkin kerana Farid sudah lama mengenalinya.
           “Boleh ke?”
           Tania bagai tertelan batu jalan apabila bos ‘kesayangannya’ itu berkata sebegitu. Sejak bila bos pandai bergurau pulak ni?
           “Gurau jelah. Dah, jomlah balik. Lewat dah ni,” Hazriq menapak ke arah pintu.


“KAU ada baca jampi apa-apa ke sebelum masuk rumah aku tadi?” soal Tania sebaik sahaja Hazriq, Azalia dan Farid hilang dari pandangan matanya.
           “Jampi apa pulak? Kau fikir aku ni Harry Potter ke nak jampi-jampi bagai?”
           Tif terus masuk ke dalam bilik. Penat seharian bekerja belum hilang. Dia mahu tidur. Hasratnya mahu bercerita pada Tania akan pertemuannya dengan Maya pagi tadi dipadamkan.
           Tania membuntuti Tif masuk ke dalam biliknya.
           “Eh, bila kau tukar cat ni? Tak beritahu aku pun.” Tif bertanya sebaik sahaja mengesan perubahan di dalam bilik temannya itu. Susun atur di dalam bilik itu turut berubah. Nampak lebih elegan berbanding dahulu. Gabungan coklat gelap dan putih.
           “Baru lagi. Dalam dua minggu lepas. Kau jangan nak tukar topik eh?!” marah Tania.
           “Topik apa? Kau tanya je tadikan dan aku dah jawab. So, dah habislah topik tu, kan?”
           Tania semakin sakit hati. Tif jika diberi peluang mahu berlawak, memang berlawaklah dia. Sayangnya, lawak dan Tif bukanlah gabungan yang sesuai.
            “Kau tahukan kalau kau buat lawak memang tak lawak. Lagi-lagi masa macam sekarang ni!”
           Tif tersenyum sahaja melihat Tania yang sudah naik angin dengannya. Dia memeluk temannya itu agar dapat meredakan marah temannya itu. Bahaya kalau Tania naik angin. Mahu dicampaknya aku dari tingkat 17 ni.
           “Aku tengok bos pandang kau semacam je. Dia pun asyik dekat-dekat dengan kau. Itu yang aku tanya kau ada baca apa-apa jampi ke?”
           Tif menggigit bibirnya. Jika Tania perasan, pasti Farid dan Azalia juga perasan. Oh, malunya!
           “Aku kena baca jampi dulu baru orang pandang aku, ek?” soal Tif. Sengaja mahu memadamkan topik panas itu menggunakan cara halus.
           “Bukan macam tu maksud aku. Maksud aku ialah kau dah buatkan bos aku yang hati kering tu macam… Aku pun tak tahu nak gambarkan macam mana, yang penting cara bos aku lain,” terang Tania panjang lebar.
           Bukannya dia tidak perasan yang bosnya itu kerap mencuri pandang Tif sewaku makan tadi. Bosnya yang aneh itu semakin bertambah anehnya hari ini. Jangan-jangan, bosnya sudah terjatuh hati pada Tif. Boleh jadi juga tapi apa salahnya.
           Tif memandang pelik ke arah Tania yang tersengih-sengih. Ha, ni kenapa pulak ni? Dah tersampuk ke apa? Malas mahu melayan kegilaan Tania, Tif berlalu keluar dari bilik.
           “Wei, aku belum habis cakap lagi. Kau nak pergi mana tu?” jerit Tania kegeraman apabila perasan dia ditinggalkan.
           “Nak pergi tandaslah. Kenapa nak ikut ke?” balas Tif dengan suara yang menjerit juga.
           Tania tidak menjawab. Mahu mengelaklah tu. Zatifa Adelia binti Radzhar. Dia cukup kenal dengan temannya itu. Mereka pernah menjadi teman sebilik semasa di universiti dahulu. Dia sudah masak dengan perangai Tif yang satu ini. Melarikan diri jika mahu mengelak apa-apa daripadanya. Ke tandaslah, dapurlah, kedailah.
         

“KENAPA kau tiba-tiba muncul dekat rumah aku, ek?” soal Tania. Saat itu, mereka berdua telah pun berbaring di atas katil.
           “Ada bendalah yang aku nak cerita pasal seorang minah ni. Tapi nantilah. Aku penat,” ujar Tif malas.
           “Cerita jelah. Aku nak dengar. Nanti entah bila lagi kau nak datang rumah aku untuk bercerita. Cepatlah,” desak Tania. Dia mahu temannya itu bercerita padanya malam ini juga. Lagi lama disuruh menunggu, lagilah dia penasaran.
           Tif pura-pura tidak dengar. Matanya sudah layu saat ini. Menunggu masa untuk dipejam sahaja. Benar, penat memang memenatkan.
           Tania menanti balasan daripada temannya yang berbaring di sebelahnya. Sesaat, dua saat….
           “Kurang asam pedas punya kawan! Hoi, bangun! Aku tau kau pura-pura tidur, kan? Kau buka mata kau sekarang!” marah Tania dengan suara yang memekik.
           Tif menutup telinganya menggunakan bantal. Sakit telinga mendengar pekikan suara Tania yang boleh menyebabkan kondo ini runtuh jika ditingkatkan lagi volumenya.
           “Apa dia?” soal Tif dengan hati yang sebal. Siapa yang tak geram apabila tidurnya diganggu. Matanya dibuka kecil. Cukuplah hendak melihat wajah Tania yang sudah memerah.
           “Kau cerita cepat!” arah Tania dengan gaya seorang ketua platun sedang mengarah anak-anak buahnya. Sekelip mata, Tania kelihatan seperti sedang memegang senapang dengan muka yang garang.
           “Aduh, kau ni!”
           Tif terus bangun dan duduk bersila di atas katil sambil menghadap temannya yang sedia menanti ceritanya. Tif berkira-kira sebentar bagaimana mahu membuka cerita memandangkan Tania tidak pernah mengenali Maya.
            “Tadi aku terjumpa balik dengan bekas classmate aku masa tingkatan 3 dulu. Classmate yang menyakitkan hati.” Tif memulakan cerita. Baru buka cerita, matanya sudah kembali segar-bugar.  
           “Bunyi macam kau tak suka setengah mati je dekat dia,” tebak  Tania.
           Dia mahu mendengar cerita yang disampaikan oleh temannya ini kerana satu sebab.  Sebabnya, dia melihat Tif begitu lain apabila membuka mulut soal rakan sekelasnya itu. Seakan ada api yang terbit di dalam mata temannya itu. Nampak marah geram, sakit hati dan yang seangkatan dengannya.
           Tambahan lagi, dia tidak pernah mengenali teman-teman Tif sewaktu di sekolah menengah kerana dia dan Tif bertemu buat pertama kalinya di universiti. Ketika itu, mereka berdua ditempatkan di dalam bilik yang sama.  Sejak itu barulah mereka  berdua berteman rapat.
           “Terima kasih kerana memahami. Memang aku tak suka dia tapi taklah sampai benci,” tambah Tif lagi.
           “Aik? Tak suka dengan benci lain eh?” soal Tania.
           Hampir sahaja berderai tawa Tif mendengar soalan Tania. Siang tadi dia diuji dengan soalan yang sama jenis dengan soalan Tania oleh Kak Nia. Ada chemistry pulak mereka berdua ni, hati Tif berdetik.
           “Lainlah, sebab benci tu macam ada unsur-unsur berdendam sikit. Kes aku ni lain. Aku cuma tak suka dengan perangai dia yang tak pernah nak berubah tu,” jelas Tif dengan alasan yang disusun rapi. Kedengaran logik walaupun ada yang kurang logiknya di situ.
           Tania menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kata-kata temannya itu agak sukar untuk difahami, berbelit. Lagi pula, hari sudah larut malam. Agak sukar untuk otaknya mencerna apa yang dikatakan Tif dengan baik.
           “Tak kisahlah. Ha! Apa kata kau cerita sejarah yang membuatkan kau tak suka dengan classmate kau tu,” saran Tania. Dengar cerita lebih senang faham berbanding mendengar penjelasan Tif yang bercampur dengan perkataan-perkataan yang memeningkan kepala.
           “Dulu, umi aku sekolahkan aku dekat sekolah swasta. Kira sekolah anak orang kaya. Umi nak yang terbaik untuk aku, katanya. Tapi, dalam kelas aku, akulah yang paling ‘miskin’ sekali sebab aku bukan anak Dato’. Budak lain tak kisah pun pasal tu cuma adalah seorang hamba Allah ni yang entah apa penyakit dia, suka sakitkan hati aku. Nama dia Maya binti Dato’ Yusuf.”
           Tif berhenti bercerita sebentar. Mengambil nafas sebelum menyambung ceritanya.
            “Macam-macam dia buat dekat aku sampai aku tak sanggup nak ingat. Dia buat aku macam sampah. Dia terlalu taksub dengan kekayaan papa dia sampai dia pandang rendah pada orang kebanyakan macam aku. Satu benda yang aku tak boleh lupa bila nampak muka dia. Mungkin aku akan ingat sampai bila-bila.”
            Tif berhenti lagi. Kala itu, terasa dirinya sangat malang apabila bertemu dengan perempuan angkuh yang digelar ‘Queen’ sewaktu zaman persekolahan dahulu. Baginya Maya tidak lari daripada berperangai seperti seorang nenek sihir. Queen dengan nenek sihir, jauh bezanya!
            “Apa dia buat?” Tania bertanya dengan penuh berhati-hati. Takut menyinggung perasaan teman baiknya itu. Baru hari ini dia tahu mengapa temannya itu kelihatan keberatan sewaktu dia menghulurkan salam perkenalan dahulu. Dia boleh dikatakan anak orang kaya juga dan kerana itulah Tif takut hendak berkawan dengannya. Ya, itulah sebabnya!
            “Tak ada apalah. Dahlah, jom tidur.”
            Tif segera menutup ceritanya. Tidak mahu mengenang apa yang telah lama dilupakan. Air mata yang sudah menitis diseka segera. Nanti apa pula kata Tania. Dia terus menekup muka dengan bantal. Mahu menghilangkan bayang Maya yang masih melekat di dalam ingatannya.
            Tania mengeluh perlahan kerana tidak berjaya mengetahui sejarah selanjutnya mengenai perempuan yang tidak disukai oleh Tif itu. Apalah yang rahsia sangat ya Tif? Tak apalah, aku tak nak desak kau, bisik hati kecil Tania. Dia turut sama berbaring di sebelah Tif.
           Esok nak bangun dengan penuh semangat! Tania mula memasang azam. Dengan bacaan basmalah, Tania memejamkan matanya.


DI ATAS KATIL, lelaki yang hanya memakai seluar pijama tanpa berbaju itu masih terkebil-kebil matanya walaupun hari sudah larut malam. Entah kenapa matanya degil malam ini. Susah benar mahu memejamkan sepasang matanya malam ini.
           Wajah perempuan yang sama hadir di ruang mata dan ingatannya. Puas diusir agar bayangan itu pergi namun bayangan itu tetap degil. Bayangan itu yang degil atau dia yang degil tidak mahu melupakan perempuan itu? Hazriq menempelak dirinya sendiri.
           Baginya perempuan itu tidaklah secantik mana. Comel mungkin adalah sikit. Habis apa yang menyebabkan dia tidak puas menatap wajah itu tadi? Hazriq mula mencari jawapan. Dia sendiri tidak faham akan apa yang dia alami ini. Sungguh tidak mengerti.
           Perempuan itu berhijab, memakai pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuhnya, tidak menonjolkan auratnya, tiada rambut lurus dan panjang untuk tatapannya tetapi kenapa? Kenapa perempuan itu tampak begitu menarik di matanya?
            Bukankah jika ditanya sebelum ini ditanya oleh sesiapa, perempuan bagaimana yang didambakan? Dengan yakin dia akan menjawab, perempuan yang seksi, cantik, rambut panjang, tubuh seperti model. Yang pasti, perfect!
            Tapi mengapa kali ini terasa persepsinya terhadap wanita idamannya berubah? Mengapa kali ini dia terasa perempuan yang berhijab itu lebih baik? Sedangkan selama ini dia memandang wanita yang berhijab itu sebagai kampung.
           Hazriq mengusutkan rambutnya.
           “Yang kau ni asyik fikirkan dia, apa hal?” Hazriq memarahi dirinya sendiri.
           Matanya dipejamkan. Berharap kali ini matanya mahu menuruti kemahuan tuannya. Tidur!

No comments:

Post a Comment