Thursday 10 March 2016

BIAR HATI BERBISIK RINDU KARYA ZURI YANIE

BAB1



OMBAK tak sudah-sudah memukul pantai. Burung-burung pula terbang kembali ke sarang masing-masing setelah seharian keluar mencari makan. Mentari mula menyembunyikan wajah di hujung laut sekaligus menyerlahkan warna jingga di ufuk barat.
Cantik.
Beberapa anak kecil berkejaran di gigi air lalu menjerit kecil tatkala ombak memukul kaki. Kelihatan ibu mereka terkial-kial mengejar sambil tangan kiri memegang erat simpulan selendang. Barangkali tidak mahu diterbangkan angin.
Layang-layang terbang tinggi mencecah paras pohon nyiur biarpun malam bakal melabuhkan tirai sekejap saja lagi. Masih ada beberapa orang kanak-kanak lelaki leka berlumba-lumba menaikkan layang-layang mereka, mahu menunjukkan kehebatan masing-masing. Siapa yang terbang tinggi, dialah yang akan dikagumi. Dan besok, perkara yang sama akan berulang tanpa rasa jemu.
Nina masih duduk di atas sebatang kayu mati sejak dari dia turun ke pesisir pantai itu. Rambut yang ikal mengurai beralun ditiup bayu petang, dibiarkan saja bermain-main nakal di wajah. Matanya masih sayu memandang ke hujung laut, ke arah matahari yang makin menutup wajah.
Resah.
Itulah perasaan Nina kala ini. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata, hari ini fikiran dia seakan tepu. Sebab itulah seharian dia hanya duduk di situ mengadap laut. Selalunya, hanya laut yang dapat mengurangkan resah yang kian menggila di dalam hatinya. Namun kali ini lain pula jadinya. Tidak berjaya.
Panggilan telefon dari nenda dua hari lepas memaksa dia memijak kaki ke sini, pulang ke vila itu. Vila Tengku. Sejak kecil Nina tinggal bersama-sama dengan nenda. Begitu juga mama dan abangnya, Muhriz. Maka di sini adalah rumah merangkap kampung halamannya.
Permintaan nenda untuk pulang pada hari minggu sebegini rupanya berhajat. Malam semalam, perbualan hanya antara dia dan nenda di bilik bacaan akhirnya sampai kepada sebab utama nenda memanggil dia pulang.
Ah, nenda… Nina akhirnya mengeluh berat mengenangkan permintaan wanita yang bergelar nenek itu.
Sejenak dia memejamkan matanya rapat dan melepaskan hela panjang. Kali ini, dia cuba meraih keyakinan diri disebalik keinginan hati. Dia masih buntu untuk membuat pilihan apatah lagi menyuarakan hasratnya. Sudahnya, dia masih di situ mengutip sisa-sisa kenangan suatu ketika dulu.
Berkali-kali kenangan bersama ayahnya berputar di kotak ingatan. Memori yang mereka kongsi bersama terlalu manis untuk dilupakan begitu saja apatah lagi untuk memungkiri janjinya pada lelaki itu dulu.
Masih segar di ingatan Nina tentang peristiwa itu. Peristiwa yang menjadi titik permulaan terjadinya perpisahan mereka.
“Assalamualaikum.” Ayah memberi salam tatkala kakinya memijak lantai flat. Nina yang masih tekun menyusun cebisan-cebisan gambar di atas permaidani hanya mendongak melihat ayah yang sedang menyangkut kot tebal. Langsung tidak membalas salam ayah dek kerana merajuk tidak diambil di pusat asuhan tadi.
“Nina tengah buat apa, sayang?” Ayah datang menegur Nina sambil mengusap belakang tubuh Nina. Ah, sentuhan ayah tak pernah berubah. Lembut dan ada rasa sayang. Hati Nina yang mula rasa sebal dengan sikap sambil lewa ayah kembali reda dengan sekelip mata.
Akhirnya Nina mengalah dan bingkas bangun lalu memeluk erat tubuh ayah. Lama Nina membenamkan wajah ke dada ayah kerana gemarkan wangian lelaki itu. Wangian ubat-ubatan yang melekat di tubuh ayah menjentik keinginan Nina untuk segera membesar dan menjadi sepertinya.
“Nina dah lupa apa yang mama pesan ya?” Ayah menarik pipi mungil Nina dan kemudiannya mengelus rambut Nina yang cuma separas bahu.
Waktu itu Nina cuma ketawa mengekek, mempamerkan barisan gigi kecil yang tersusun cantik dan bersih. Hasil jagaan rapi ayah sendiri. Nina selesa diperlakukan begitu. Tindak-tanduk ayah terhadap Nina bagaikan percikkan bunga api di langit yang menyeronokkan. Nina bahagia.
“Kenapa sepah-sepahkan rumah ni, sayang? Mama tentu tak suka.” Kali ini ayah menarik lembut hidung mancung Nina pula. Suara ayah mendatar dan tidak pula marah-marah biarpun letih.
Nina hanya diam di dalam pelukkan ayah, tersenyum gembira dengan layanan ayahnya itu.
Ayah kemudiannya bangun, meninggalkan Nina sendirian lalu mengutip beberapa anak patung dan periuk mainan Nina lalu diletakkan ke dalam bakul. Kemudian, ayah mengambil tempat di sofa panjang lalu melepaskan lelah di situ.
Pendiang yang dinyalakan oleh mama sewaktu mereka tiba di rumah tadi menghangatkan tubuh yang kedinginan. Nina kembali ke dalam rangkulan ayah tanpa dipinta. Rindu biarpun tidak berjumpa hanya beberapa jam.
Biasanya pada waktu begini ayah akan membawa dia dan Muhriz bersiar-siar di tepi tasik di Drury Lane Garden sambil menaburkan cebisan roti kepada itik-itik di situ. Memandangkan sekarang ini salji sedang turun dan musim dingin akan berlarutan, Nina terpaksa bermain di dalam rumah saja.
“Mama tak buka pemanas rumah ya, sayang?” Rambut ikal Nina diusapnya ayah dengan penuh kasih sayang. Sekilas bibir ayah mendarat ke pipi gebu Nina.
Nina hanya mampu menggeleng mendengar pertanyaan ayah. Selepas kembali dari pusat asuhan, mama biarkan Nina bermain di ruang tamu flat berbalutkan pakaian panas dan pendiang. Tak apa, Nina sudah biasa sejuk begini sebenarnya.
“Apa yang Nina buat dari tadi ni, sayang?” Ayah ulang soalan yang sama sewaktu dia melangkah masuk ke dalam flat itu tadi.
“Nina susun puzzle. Ayah kan pernah cakap, puzzle baik untuk otak? Nina nak jadi pandai macam ayah. Nanti bila Nina besar, Nina nak jadi doktor gigi macam ayah.” Nina menyeringai mempamerkan barisan gigi yang tersusun cantik. Memang itu cita-cita Nina. Ayahlah idola Nina. Ayahlah juga pendorong Nina.
Biarpun Nina masih kecil, Nina sudah menanam cita-cita ingin berbaju putih. Kadang-kadang Nina akan curi-curi memakai kot makmal ayah dan menggayakannya di hadapan cermin.
“Anak ayah ni walaupun umur lima tahun, dah pandai rupanya.” Tubuh Nina diangkat lalu dilambung. Mengekek Nina ketawa kerana gayat bercampur geli tatkala diperlakukan begitu.
“Memanglah you tak perasan anak membesar kalau you asyik kat kolej tu saja. Orang lain pun belajar jugak, tapi tak macam you!”
Mama tiba-tiba muncul dari balik dinding dapur. Di tubuhnya melekap apron merah jambu beropol dan di tangannya ada sebatang senduk diunjukkan ke arah ayah.
Tawa Nina susut mendadak. Nina diam membungkam. Lengan ayah dipeluk erat. Sejak akhir-akhir ini, setiap kali ayah kembali dari kelasnya mama pasti menyinga. Itu tak termasuk lagi dengan suara mama yang kuat memecahkan kesunyian tetangga.
Entah apalah yang mengganggu fikiran mama kali ini pula. Mama betul-betul buatkan Nina gerun.
Honey, Nina is here. If you want to shout out, wait till her fall asleep.” Ayah memperlahankan suara, menegur lembut tetapi tegas. Ubun-ubun Nina dibelai lembut olehnya. Takut nanti Nina mula lari ke dalam bilik.
Nina hanya mampu membatukan diri di dalam pelukan ayah. Nina tahu ayah dan mama sengaja bertutur dalam loghat British setiap kali bergaduh. Tapi Nina sekarang sudahpun berusia lima tahun. Nina bergaul dengan kawan-kawan yang berambut perang ketika di pusat asuhan. Bahasa perantaraan mereka tentulah Bahasa Inggeris U.K. Takkanlah apa yang sedang dibicarakan antara ayah dan mama, Nina langsung tak faham?
“I tak kira. Kali ini Nina pun patut tahu apa yang berlaku antara you dengan I.” Mama membentak keras. Senduk di tangan dilempar ke dinding.
Berdegup laju jantung Nina melihat mama bertindak sedemikian. Nina kenal sangat dengan mama. Hidup Nina banyak dihabiskan bersama mama jika hendak dibandingkan dengan ayah. Mama tidak akan marah sesuka hatinya. Pasti ada sesuatu yang menggangu fikiran mama waktu tu sehingga mama bertindak seperti tadi.
Ayah sudahpun bangun. Kali ini ayah dukung Nina ke tangga flat itu.
“Nina naik ke atas dulu. Tunggu ayah kat dalam bilik. Nanti ayah tukarkan baju Nina lepas tu kita turun makan malam ya, sayang?” Ayah menyorongkan patung beruang ke dalam dada Nina. Tubuh Nina disorong ke tangga lalu mata ayah menyoroti langkah Nina hingga lenyap dari pandangan.
Tapi Nina berpatah balik semula. Nina ingin perhatikan apa yang bakal berlaku antara mama dan ayah di sebalik celahan anak tangga. Sambil-sambil itu, patung beruang yang Nina namakan Nini, Nina peluk erat-erat.
“Berapa kali I nak cakap pada you? Jangan marah sesuka hati di depan anak-anak terutamanya Nina. Dia tak patut tengok mama dia garang macam ni.” Ayah bersuara lembut, seakan-akan memujuk dan berjalan menghampiri mama. Ketika ayah cuba merangkul tubuh mama, mama tepis dengan kuat.
“Jangan sentuh I dengan tangan jijik you! I tak sangka dengan you ni, Mus.” Mama mula menangis. Melihat kepada keadaan mama, Nina jatuh kasihan. Mama tak pernah menangis. Setiap hari Nina hanya lihat senyuman di wajah mama. Mama seorang ibu yang penyayang, lemah-lembut dan kuat. Tetapi hari ini, airmata mama gugur jua.
“You memang pandai ambik hati semua orang, kan? With your smiles and your grace, you make girls chasing you!” Mama mula bercakap yang bukan-bukan. Dada ayah menjadi mangsa tumbukan mama.
“Apa yang you cuba sampaikan ni, Maya? Kalau ianya dari silap I, maafkan I. I tak pernah berniat nak lukakan hati you langsung.”Ayah hanya bersabar dengan tindakan mama. Bahkan ayah masih cuba meraih mama ke dalam pelukannya.
“Dulu bukan main lagi you cakap you cintakan I, sayangkan I. Kalau betul you macam tu, kenapa sekarang ni you ada perempuan lain?!” Mama mula mengongoi. Akhirnya mama terduduk di atas sofa panjang dan menekup wajah di situ.
Ayah kelihatan tergamam dengan kata-kata mama. Keadaan jadi sepi. Hanya tangisan mama yang kedengaran di ruang tamu flat itu.
“Sumpah demi ALLAH, Maya. I tak pernah sayangkan sesiapa melainkan you.” Ayah cuba menarik jemari mama tapi mama tepis dengan kuat.
“Habis tu, takkanlah mata I ni buta tengok you berkepit dengan perempuan tu? You ingat I ni suka-suka tuduh you macam tu ke?” Mama mula bertukar nada, berlembut.
“I sumpah, Maya. I tak pernah ada sebarang hubungan dengan sesiapapun. Mungkin apa yang you tengok tu, waktu tu I keluar makan tengah hari dengan budak-budak kelas yang lain.” Ayah cuba terangkan kepada mama. Suara ayah dan pujukkannya seolah-seolah dia sedang menenangkan perasaan mama yang bergelodak.
“I kerja macam orang gila nak tampung perbelanjaan keluarga kita. Anak-anak kita, I yang uruskan. Sewa flat ni, I yang bayarkan. Dengan gaji 1700 lebih sebulan tolak dengan semua perbelanjaan rumah, sewa flat ni dan perbelanjaan anak-anak untuk sekolah. Semua ni I lakukan demi you, I sayangkan you. Tapi ni ke balasan yang I dapat?” Mama menahan esak. Wajahnya basah dengan tangisan.
“I tahu, Maya. I minta maaf kalau I ada buat you rasa cemburu dan sakit hati dengan perangai I. Kita memang tak sepatutnya hidup macam ni. Tapi percayalah pada I.” Ayah merayu-rayu pada mama. Kemudian, ayah merangkul erat tubuh mama.
“I dah tak tahan hidup kat U.K. ni, Mus. Lepas I tamat belajar tahun lepas, perbelanjaan kita meningkat. Muhriz dan Nina kena tinggal di pusat asuhan. Bila tiba musim salji macam ni, bil elektrik melambung. Itu tak termasuk belanja harian.” Mama mengadu dalam sendu.
“I tahu you tertekan. Lepas I habis belajar, kita akan balik ke Malaysia. I akan berkhidmat dengan kerajaan dan you boleh jadi cikgu di sekolah menengah. Kita tak perlu ikat perut macam sekarang lagi.” Ayah memujuk lembut.
“I tahu you tertekan sebab itulah you tuduh I macam-macam. I tak salahkan you. Tapi, tunggulah untuk beberapa bulan lagi sehingga I tamat belajar.” Kali ini ayah menarik wajah mama dekat dengan wajahnya.
“I akan pastikan you hidup bahagia hingga ke akhir hayat you.”
Nina memejam matanya rapat. Semakin Nina cuba melupakan tangis mama waktu itu, semakin ia datang menghantui. Sungguh, Nina kasihankan mama. Nina sayangkan mama dan Nina juga sayangkan ayah.
Tapi sayangnya, selang dua minggu kemudian mama datang mengambil Nina dan Muhriz di pusat asuhan dengan mata dan hidung yang kemerah-merahan.
Muhrizlah yang cuba menenangkan mama waktu itu. Perjalanan yang cuma mengambil masa selama 15 minit menjadi 30 minit untuk sampai ke rumah. Mama terpaksa berhenti di bahu jalan semata-mata untuk menghamburkan tangisnya.
Kasihan mama… hanya itu yang mampu Nina gambarkan kala itu.
Malam itu tanpa diduga, mereka bertiga terbang di awan biru. Mama umumkan yang mereka akan pulang ke Malaysia tanpa ayah. Dan sehingga kini, Nina hanya hidup bertemankan kenangan bersama ayah saja.
Desiran ombak mengembalikan Nina ke alam nyata. Kini, di pesisir pantai itu cuma tinggal Nina seorang saja. Akhirnya dia bangun lalu menyusun langkah ke vila lama milik nenda yang masih utuh hanya 500 meter dari tempat dia duduk.
“Buat apa termenung sorang-sorang kat tepi pantai? Abang tengok dari tadi lagi Nina sekejap-sekejap mengeluh. Macam ada masalah negara aje.” Muhriz yang duduk memerhati Nina dari jauh sejak dari tadi menegur tatkala Nina membuka pintu pagar kecil belakang vila itu.
Nina mengambil tempat di hadapan abangnya itu. Perbezaan umur hanya setahun tidak menjadi satu halangan untuk dia membahasakan Muhriz sebagai abang.
“Ceritalah. Manalah tahu abang boleh tolong.” Muhriz menyandarkan tubuhnya ke bahu kerusi batu. Penat menghabiskan masa petangnya di gimnasium, barulah dia muncul di sekitar vila ini mencari Nina. Menurut mama, Nina balik ke sini untuk berhujung minggu. Sebab itulah dia juga pulang ke sini untuk berjumpa Nina. Jika tidak, jangan haraplah.
Nina hanya mampu memerhati. Gaya dan tutur bicara Muhriz tak ubah seperti mama tapi rupanya saling tak tumpah seperti ayah. Setiap kali terpandangkan Muhriz, fikirannya pasti menerawang kepada ayah di negara asing.
Apakah ayah masih lagi di sana? Masih ingatkah lagi ayah pada mereka di sini? Biar beribu mama menitipkan kata benci pada ayah, Nina tetap menyayangi lelaki itu hingga hujung nyawa.
“Nina tanyakan sesuatu boleh? Abang tak marah?” Nina bersuara ragu-ragu. Apakah nanti kata-katanya bakal menjentik bara dendam ke dada Muhriz?
“Belum tanya lagi takkanlah abang nak marah. Lagipun, pernah ke abang marahkan Nina sebelum ni?” Muhriz memulangkan soalan kembali kepada Nina.
Segera Nina menggeleng. Nina akui semenjak kembali ke tanah air 14 tahun dahulu, Muhriz bagaikan berubah watak. Dia sendiri melantik dirinya menjadi ketua keluarga. Dialah yang menjadi pelindung kepada Nina dan mama.
Sewaktu kembali ke Malaysia, mama membawa mereka ke sini. Pertama kali berjumpa nenda, Nina punya tanggapan sendiri terhadap wanita tua berkebaya nyonya itu. Nenda masih lagi kelihatan muda dengan pakaian yang kemas dan bersalut barang kemas. Jika diletakkan mama dan nenda bersebelahan, mereka ibarat kakak dan adik.
Waktu itu, masih jelas diingatan Nina dengan kata-kata nenda pada ayah.
“Menantu tak kenang budi! Bernikah satu sen pun tak pakai wang, duit anak aku pun kau kikis!”
Waktu itu Nina hanya mampu melihat mama menangis tersedu-sedan dan memohon ampun pada nenda. Kasihan mama, terlalu berat beban yang digalas oleh mama kala itu.
“Itulah kau, Maya! Dulu aku suruh kau menikah dengan sepupu kau sendiri kau tak nak. Kau pilih jugak budak miskin tu jadi laki kau. Tengok sekarang apa dah jadi?” Marah nenda waktu tu meluap-luap. Nina dan Muhriz hanya mampu menatap sayu pada mama.
“Itulah kau, cinta konon! Hah, akhirnya kau datang melutut jugak pada aku. Kau mesti ingat Maya, orang miskin tak mampu nak hidup kaya macam kita. Aku cukup benci dengan dia orang. Nasib baik kau cepat sedar.”
Semenjak hari itu, Nina dan Muhriz membesar di sini. Mama bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di sekolah menengah sehingga menjadi pengetua sekolah berkat kesungguhan mama mendidik. Tapi sayang, sehingga kini nenda tak pernah berhenti menyebut tentang kesilapan perkahwinan mama yang dahulu.
“Apa yang Nina nak tanya?” Fikiran Nina berderai tentang kenangan lama. Wajah Muhriz menjadi tujahan matanya.
Nina hanya menggeleng-geleng. Dia bingkas bangun tatkala melihat nenda yang masih anggun menghampiri mereka.
Melihat Nina bangun, Muhriz juga turut bangun lalu bersalaman dengan nenda. Dia kemudiannya kembali ke tempat duduknya tadi.
“Nenda nak jus? Nina boleh ambilkan.” Nina bertanya lembut.
Nenda hanya menggeleng-geleng lalu mengambil tempat duduk Nina tadi.
“Baru sampai, Muhriz? Dah lama tak balik jenguk mama kamu kat sini, baru hari ni nampak batang hidung. Bila dah dapat kereta, hilang macam lipas kudung.” Kata-kata nenda dibiarkan saja Muhriz masuk ikut telinga kiri dan keluar melalui telinga kanan.
Tengku Mariam hanya memerhati Muhriz yang lebih suka duduk menghenyak tubuh ke bahu kerusi batu itu. Semenjak mendapat tempat di universiti tempatan, Muhriz makin jauh dengannya. Perangai Muhriz juga mula berubah bila dihadiahkan kereta hasil keputusannya yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dahulu. Bila ditanya mahu menyambung pengajian di luar negara ataupun tidak, Muhriz menolak mentah-mentah. Katanya perlu menjaga mamanya di sini. Bila jadi begini, lain pula ceritanya. Cakap tak serupa bikin.
“Muhriz sibuk sikit dengan tugasan tutorial,” bohong Muhriz.
Sejak belajar di universiti tempatan, Muhriz kurang berminat untuk balik ke sini. Dia lebih suka menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Jika di sini, nenda sering mengugut dia dengan cara yang sama wanita itu mengugut mama dan Nina. Bingit. Dia pelik bila mama dan Nina tak pernah bosan mendengar ugutan wanita ini. Bahkan, masih lagi tinggal di sini.
“Nina ambilkan jus untuk abang.” Melihat nenda lebih berminat akan Muhriz, Nina segera menyusun langkah ke pintu dapur.
“Duduk dulu, Nina. Nenda nak tanyakan tentang hal semalam.” Nina tidak jadi mengorak langkah. Dia mengambil duduk lambat-lambat. Cubaan melarikan diri dari nenda tidak berhasil.
“Nina setuju?” Tengku Mariam terus kepada soalan pokok. Tidak dibiarkan Nina ternanti-nanti. Dari pagi tadi Nina menghilang, puas dicarinya. Bila dilihat dari arah biliknya tadi, barulah dia tahu Nina menghabiskan masanya di tepi pantai.
Keputusan Nina untuk menyambung pengajian di luar negara langsung tidak berkenan di hatinya. Dia amat takut jika Nina menurut jejak mamanya. Program persediaan ke luar negara selama dua tahun turut diselit dengan percintaan antara Maya dan Mus yang berakhir ke jinjang pelamin. Biar dia tak pernah merestui hubungan mereka berdua namun hingga kini Maya dan anak-anaknya bahagia. Biar berjuta kali dia membenci Mus, Nina dan Muhriz tetap darah dagingnya.
Nina diam seketika. Wajah Muhriz dan nenda direnung bersilih ganti. Entah jawapan apalah yang harus Nina berikan kepada wanita itu. Dia bingung.
“Nina, naik sekejap. Mama nak minta tolong sikit.” Suara mama dari beranda biliknya mematikan perbualan mereka. Nina pantas mendongak mencari wajah mama disebalik susunan besi beranda.
“Ya, ma. Nina naik sekarang,” laung Nina.
“Nenda, naik ke atas dulu.” Nina bingkas bangun, meninggalkan nenda yang terpinga-pinga.
Tengku Mariam terkulat-kulat ditinggalkan cucunya begitu saja. Muhriz juga turut bangun meninggalkan dia di situ setelah meminta diri. Kini cuma tinggal dia sambil mendengar alunan azan berkumandang dari arah masjid berdekatan tanpa meninggalkan kesan di hati.





No comments:

Post a Comment