Wednesday 10 February 2016

HEY! MR SPOTLIGHT KARYA IZMA QAHIERA

BAB 4



“Wanginya office. Cleaner dah sampai ke Munirah?"
Dia tak menjawab. Cuma ibu jari kanannya ditunjukkan ke arah pantri. Aku menjongket kening, nak tahu siapa yang ada di sana. Tapi Munirah membalas dengan mengangkat bahu. Hish! Berat mulut betullah dia ni.
Aku letak briefcase di atas meja Munirah. Teragak-agak juga aku nak ke pantri. Siapa pula yang rajin sangat mengemas pejabat pagi-pagi ni? Aku menyorok sikit di tepi pintu. Ada seorang gadis berbaju kurung sedang membancuh air. Figure dari belakang boleh tahan juga. Tapi siapa ni?
"Ehem!"
Aku berdiri di tengah-tengah pintu sambil berpeluk tubuh. Muka sengaja aku garangkan sedikit. Bukan nak marah betul-betul. Cuma nak menakut-nakutkan saja.
Gadis itu berpaling. Cara dia menoleh dah macam ala-ala ratu cantik tahun 2016. Rambut yang melepasi bahu dielus perlahan. Uik! Betul ke apa yang tengok ni? Berbeza sangat penampilannya dari semalam. Dia senyum. Okey, lesung pipit tu memang trademark dia. Tak jadilah nak marah. Tak sampai hati sebenarnya nak buat-buat garang.

"Good morning bos. I made a cup of coffee for you. Let's have a sip.
Amboi! Bukan main lagi dia. Aku kemam bibir kuat-kuat. Nak senyum sebenarnya. Tapi sengaja aku tahan. Dia tatang dulang berisi satu mug yang masih berasap kemudian melintas di depan aku.
"Nak letak kat mana ni?"
"Err, minum kat sini ajelah. Saya tak suka minum kat dalam bilik. Takut tumpah, habis fail-fail yang bersepah kat atas meja tu nanti."
Dia tenung aku, kemudian bagi isyarat supaya ikut dia masuk ke bilik. Aku bukakan pintu untuk dia, tapi aku tak ikut dia masuk sekali. Ini bilik aku ke? Alahai! Siapa yang rajin sangat kemaskan bilik aku ni?
"Mulai hari ni saya akan kemas bilik Encik Azraf dan seluruh pejabat. Tak kisahlah berapa Encik Azraf nak bayar saya. Selain dari kemas pejabat, saya akan bancuhkan minuman untuk semua orang termasuk Encik...eh, kenapa tercegat aje kat luar tu? Masuklah."
Dia tarik kerusi di tempat aku dan mempersilakan aku duduk. Tapi kaki aku macam dah terpaku di situ. Apa yang perlu aku katakan pada dia? Sabar Azraf. Mungkin dia dah lupa, kau tak suka orang usik barang-barang kau. Aku tarik nafas dalam-dalam, cuba menghalau rasa marah.

"Encik Azraf..."
Aku buka mata.
"Encik marah ke saya kemas bilik ni?"
"Siapa yang suruh awak buat semua ni?"
"Alamak! Encik tak suka ya?Tak apa, biar saya sepahkan balik macam tadi. Maaflah. Saya ingatkan nak buat kejutan macam dalam novel tu. I'm so sorry. Sorry tau. Lepas ni saya takkan sentuh apa-apa barang dalam..."
"Raisya..."
Dia pandang aku dengan muka sedihnya. Kedua-dua tangan dia menarik cuping telinga sendiri. Alolo, comelnya dia buat macam tu. Aku berdeham beberapa kali, cuba kembali kepada watak bos. Tapi tak semena-mena Raisya menyelerakkan kembali surat-surat yang telah disusun di dalam bekas. Fail-fail di meja sisi dilambakkan semula di atas meja kerja aku.

"Awak buat apa ni?" Aku masuk ke dalam dan terus tutup pintu. Tak syoklah kalau Munirah dan staf-staf lain terdengar nanti.
Raisya menjauhkan diri dari meja yang sudah bersepah. Tangannya kembali memegang cuping telinga.
"Saya mengaku saya pandai-pandai sendiri. Saya cuma nak tunjukkan kesungguhan saya. Serius ni Encik Azraf. Saya nak kerja kat sini..."
"Kalau ya pun nak sangat kerja kat sini tak payahlah sampai nak menangis. Saya tak pandai pujuk perempuan menangis ni. Lainlah kalau awak tu buah hati saya."
Tangan yang memegang telinga terus terlepas. Wajah Raisya merona merah. Dia tunduk memandang lantai. Aku datang dekat dan duduk di bucu meja. Dari atas sampai ke bawah aku perhatikan. Sampai ke hujung kain baju kurungnya, aku ketawa perlahan. Raisya tak berani angkat muka. Mungkin dia fikir aku masih marah agaknya.
"Cantik baju hari ni."
Aku buat suara tegas, Tapi tangan menekup mulut. Tak sabar nak gelak kuat-kuat sebenarnya.
"Pinjam baju mak. Saya tak ada baju kurung. Jeans banyaklah." Raisya berkata jujur.
"Hmm, patutlah..."
Aku berjalan ke arah pintu. Tombol pintu aku pegang dan aku pulas perlahan. Raisya mendongak. Mukanya kembali keruh. Ketika aku menolak daun pintu, dia datang dekat dan terus digoncang-goncangnya lengan aku.
"Encik Azraf, saya nak kerja kat sini. Saya janji takkan usik barang Encik Azraf. huuu..."
"Tolong keluar..." Aku cuba lepaskan pegangan tangannya.
"Tak nak! Saya nak kerja kat sini. Ampun Encik... ampun!!!"
Alamak, dia dah meraung. Aduh! Perangai lama dia dah makin terserlah. Cepat-cepat aku tutup pintu semula dan menyuruh Raisya duduk di sofa.
"Awak ni emosional sangatlah. Saya belum habis cakap lagi." Aku mundar-mandir di depan Raisya.
"Encik Azraf..."
"Diam!"
Terhenjut badan Raisya. Diam pun. Kalau lagi sekali dia buka mulut memang aku sumbat mulut dia.
"Saya nak awak keluar dan ambil briefcase saya di meja Munirah." Aku berikan arahan pertama.
"Itu saja?" Dia bertanya tapi masih tidak berganjak dari situ.
"Hmm, saya nak awak kemas semula bilik ni. Dah siap kemas nanti saya nak awak balik dan..."
"Ala..saya nak kerja sini!"
"Raisya Azzahra!"
Spontan aku terkam bahu dan badannya aku tolak hingga dia tersandar ke sofa. Terlopong mulut Raisya dengan tindakan mengejut aku. Cepat-cepat aku seluk sapu tangan di kocek baju dan aku sumbat ke dalam mulutnya. Aku pegang kedua-dua tangannya dengan kuat kerana tak mahu dia meronta-ronta.
"Padan muka! Mulut awak ni macam popcorn tau tak? Pot pet pot pet! Now listen! Aku genggam buku lima dan aku tayang di depan muka Raisya. Aku angkat jari kelingking dan buat seperti sedang mengira.
"First, ambil briefcase saya. Second, kemas bilik ni semula. Third, pergi balik dan tukar baju awak ni. Awak ingat awak ni masih student lagi ke? Saya tak nak tengok baju kurung yang gedoboh dan kasut sukan ni. Macam ni nak kerja dengan saya? Pergi balik. Pakai ajelah apa-apa yang awak rasa selesa. Faham?"
Raisya mengangguk laju. Tangannya terlepas dari pegangan Azraf. Dia menarik keluar sapu tangan yang menutup mulutnya. Sebaik sahaja, sapu tangan di tarik, Raisya terus berlari keluar. Aku tahu dia sedang terperanjat. Tapi aku dah ketawa berdekah-dekah.
Eh, macam mana kalau dia tak datang-datang lagi selepas ni. Atau dia bawa abang dia untuk belasah aku. Seingat aku dia ni kaki mengadu. Pantang silap sikit mesti dia jadikan abang dia sebagai pelindung. Aku meninjau ke tingkap. Dia sedang memakai topi keledar.
Sepantas mungkin aku berlari keluar. Hairan Munirah melihat aku kelam-kabut macam tu. Tak kisahlah tu. Apa yang penting aku tak boleh biarkan dia hilang lagi. Cukuplah lapan tahun. Puas aku ajar hati ni untuk berkawan dengan perempuan lain. Tapi citarasa hati ni hanya pada Budak Lesung.
Laju juga Raisya ni bawa motor. Mentang-mentanglah badan tu kecil. Aku pula yang seriau tengok dia mencelah-celah di tepi kenderaan beroda empat. Sengaja aku jauhkan jarak. Takut dia perasan yang aku follow dia balik ke rumah. Betullah dia cakap. Tak jauh mana pun rumah dia dengan tempat kerja. Memang sempat sangat kalau dia balik makan tengahari.

Sampai di sebuah taman perumahan, Raisya berhenti di kedai runcit. Tak lama kemudian dia keluar dengan sebuah plastik sederhana besar. Tak pasti pula aku barang apa yang dia beli. Sambung ikut dia lagi hinggalah dia berhenti di sebuah rumah yang bercat warna kuning air. Tapi dia tak terus masuk ke dalam rumah. Selepas menongkat motor, dia pergi ke seberang sana. Ada sebuah rumah kecil di situ.
Helmet masih di kepala, Raisya menyangkung di depan pondok kecil itu. Pintu pondok dibuka, keluarlah beberapa ekor kucing pelbagai warna. Raisya menggigit hujung plastik yang dibeli tadi kemudian menuang isi plastik itu ke dalam sebuah bekas. Oh, dia beli makanan kucing rupanya tadi.
Melihat perlakuan Raisya, spontan saja tangan kanan meraba dada di sebelah kiri. Teringat parut yang berbekas di situ. Kenangan yang tak mungkin aku lupakan selagi otak ni masih boleh berfikir dengan waras.
Tok! Tok! Tok!
Tingkap kereta diketuk. Seorang lelaki yang berpakaian sukan tanpa lengan sedang merenung dengan seribu kerutan di dahi. Wajahnya nampak tak puas hati. Tapi aku tak takut pun. Aku matikan enjin dan keluar dari kereta.

"Apsal kau ikut adik aku? Kau nak culik dia ya?"
Hek eleh mamat ni. Apa dia fikir badan dia berketak-ketak aku takut ke? Sekali aku tarik bulu ketiak yang tak bercukur tu nanti baru dia tahu. Handsome sangat ke muka aku sampai dia tak perasan kawan lama dia ni?
"Adik abang tu lawalah. Nak pinang buat bini boleh tak?" Sengaja aku menyakat. Aku berdiri jauh sikit. Risau juga sebenarnya. Kalau dihayunnya buku lima tu nanti, tak pasal-pasal ke hospital pula perginya.
"Baik kau berambus kalau nak hidup lama."
"Kau Hazri kan?"
"Macam mana kau tahu nama aku?"
Aku garu kulit kepala yang sudah berpeluh. Senyum sinis aku hadiahkan pada dia. Adik-beradik ni memang ada penyakit susah nak cam orang agaknya.
"Nak tanya sikitlah. Mak kau masih pandai buat serawa durian tak? Aku dah lama tak makan. Kalau minta dia buatkan sikit untuk aku, boleh tak?"
Hazri pandang aku dari bawah ke atas. Lama dia perhatikan kepala aku yang berkilat ni. Aku ambil sapu tangan dan lap kepala yang berpeluh. Ketika aku menyimpan semula sapu tangan dikocek seluar, Hazri sudah ketawa terbahak-bahak.
"Kau pernah jadi cikgu tiusyen adik aku kan? Siapa nama kau eh? Ala..." Hazri menepuk-nepuk dahi sendiri. Cuba nak ingat semula nama aku.
"Azraf..." Aku tolong dia. Lambat sangat nak tunggu memori lamanya timbul semula.
"Ha! Ya betul, Azraf. Ya Allah! Tak sangka boleh jumpa kau kat sini."
Adegan peluk-memeluk pun berlaku. Bermula sesi mengimbau kenangan lama di situ. Sambil recall semula kisah-kisah lama, aku curi-curi pandang Raisya yang masih leka melayan kucing-kucingnya. Tak nak ke Hazri jemput aku ke rumah? Aku dah penat berdiri ni.
"Eh, kau belum jawab soalan tadi. Kenapa kau ikut adik aku?"
"Saja. Aku nak tahu dia tinggal kat mana. Tak salah rasanya kalau majikan ambil tahu pasal pekerja, kan?"
"Uik! Dia bekerja kat tempat kau ke? Patutlah..."
Hazri gelak. Matanya tak lepas melihat kepala aku. Puas gelak dia tepuk-tepuk bahu aku. Tak apa, bagi dia gelak dulu. Kejap lagi baru tanya.
"Aduhai...Raisya...Raisya..." Hazri menghabiskan sisa tawa.
"Kenapa?" Dah tak sabar nak tahu apa yang membuatkan Hazri ketawa sampai tak cukup nafas.
"Patutlah Raisya minta aku duit pagi tadi. Katanya balik nanti nak cari cermin mata hitam kat pasar malam. Tak tahan bekerja kat tempat silau!"
Ceh! Abang dengan adik sama aje sengal!

No comments:

Post a Comment