Wednesday 10 February 2016

SEIKAT CINTA TERSIMPUL RINDU KARYA ANNIS RIZANI

BAB 3



“SUFI, boleh tak tolong pergi jumpa klien Kak Rina ni?” Arah Puan Marina kepada Sufiyya.
Aduhh, keluh Sufiyya di dalam hati. Semakin hari, semakin kerap pula Kak Rina mengarahkan aku untuk berjumpa dengan kliennya. Padahal, itu bukanlah sebahagian daripada tugas-tugas Sufiyya. Dia bungkam. Di dalam  hatinya masih merungut-rungut sendirian.
            Sufiyya hanyalah pembantu peribadi Puan Marina yang berjawatan Pengurus Unit di sebuah syarikat insurans terkemuka negara. Gaji pun bukanlah sebesar mana walaupun dia mempunyai segulung ijazah. Tugas hakiki Sufiyya adalah membantu urusan-urusan dokumentasi antara pejabat cawangan dengan ibu pejabat di Kuala Lumpur, dan bukannya pergi bertemu dengan klien-klien Puan Marina.
            Dengan langkah longlai Sufiyya menghampiri meja Puan Marina yang terletak bersebelahan dengan mejanya. Puan Marina sedang membelek-belek kertas sambil membebel sendirian.
            “Klien ni, tandatangan dia susah sangat nak tiru, Sufi. Dia kena sign borang revival ni, kalau tak, polisi dia lapsed nanti. Kalau sign dia senang, Kak Rina boleh tiru aje, tak payah susah-susah jumpa dia.” Puan Marina menghulurkan borang tersebut kepada Sufiyya. Borang yang berada di tangan, diperhati sedalam-dalamnya oleh Sufiyya. Hanya nombor polisi yang ditulis oleh Puan Marina.
            “Nanti Kak Rina call dia untuk buat appointment. Sufi tolong pergi jumpa dia, boleh?” Puan Marina mendongak memandangku yang sedang berdiri di sebelahnya. Hmm, apa pilihan yang aku ada Kak Rina oii... Antara ikhlas dengan tidak Sufiyya mengangguk.
            “Dia ni, kat mana Kak Rina?” tanya Sufiyya dalam keadaaan terpaksa.
            “Dia kat Petronas, kat Gebeng.” What? Hampir saja suara Sufiyya terlantun keluar mendengar tempat yang disebutkan itu. Agak jauh dari pejabat yang terletak di tengah-tengah pusat bandar.
Sufiyya hanya memerhatikan Puan Marina membelek-belek telefon Blackberry miliknya. Mungkin sedang mencari nombor telefon klien tersebut. Sufiyya kembali ke tempatnya bersama borang di tangan.
            “Helo Riz, apa khabar?” Kedengaran suara Kak Rina mesra menyapa kliennya. Aduhh, lelaki ke? Hati Sufiyya merintih lagi. Matilah aku kalau Khairy tahu, monolog Sufiyya berterusan mengenangkan lelaki yang baru saja tiga bulan menjadi tunangannya.
Hati Sufiyya mulai berbolak-balik. Bimbang Khairy akan berfikir yang tidak-tidak. Bukan Sufiyya tak tahu dengan sikap cemburu Khairy yang semakin menjadi-jadi selepas mereka bertunang. Semasa di alam percintaan tidaklah seteruk sekarang.
            Perbualan Puan Marina dengan kliennya sudah tidak  Sufiyya hiraukan. Hatinya sedang sibuk  berbicara sendiri sambil berharap agar Puan Marina membatalkan arahannya sebentar tadi.
Sedang Sufiyya memerhatikan surat lampiran daripada ibu pejabat yang dikepilkan bersama borang revival, matanya tertancap kepada nama yang tertera. Muhammad Mukhriz bin Sulaiman. Sufiyya cuba mengingat sesuatu. Klien ini belum pernah culas membayar premium kerana dia membuat potongan gaji melalui bank. Kenapa pula boleh tertunggak selama tiga bulan?
            Pantas Sufiyya membuka sistem untuk melihat status pembayaran klien itu. Setelah memasukkan nombor polisi, tertera maklumat klien pada skrin komputer. Berusia 35 tahun dan telah berkahwin.
Eh, kenapa tiada nama untuk pewaris? Biasanya orang yang telah berkahwin akan mewariskan polisi kepada isteri atau pun anak. Sempat Sufiyya meneliti maklumat lelaki itu. Kemudian dia meneliti pula maklumat pembayaran premiumnya. Ya, tertunggak kerana status autodebit yang tertera,  failed.
            “Sufi,” panggil Puan Marina setelah dia menamatkan panggilan telefonnya. Sufiyya berpaling ke arah Puan Marina.
            “Nasib baik, tak payah ke Gebeng. Petang ni dia ke Megamall sebab dia ada latihan boling. Tapi, Kak Rina memang tak sempat nak jumpa dia  sebab dah lambat nak hantar anak tuisyen pulak ni. Sufi pergi jumpa dia kejap, ya?” Untung juga pejabat ini letaknya berhampiran dengan Megamall.
            “Pukul berapa nak jumpa tu?” tanya Sufiyya inginkan kepastian.
            “Kak Rina forward nombor telefon dia, nanti Sufi call dia sebelum Sufi balik, boleh?” Sufiyya hanya membalas dengan anggukan lemah.
            “Jangan lupa, minta bayaran premium daripada dia, ya. Kak Rina dah beritahu tadi, dia kena bayar sehingga bulan terkini dan sampaikan salam Kak Rina kepada dia, ya?” Sufiyya mengangguk lagi sambil berdoa di dalam hati agar klien ini tak jadi datang.
            “Kak Rina pergi dulu ya Sufi. Jangan lupa tau, jumpa dia.” Sufiyya hanya memerhatikan Puan Marina tergesa-gesa meninggalkan pejabat. Dah lewat sangatlah agaknya tu. Sufiyya kembali meneliti skrin komputer.
            “Hai, bos dah balik pun moyok ke?” Teguran Fakizah yang sedang melintasi meja untuk ke tandas, meleraikan lamunan Sufiyya.
            “Dia balik pun, tak senang juga. Nak kena jumpa klien dia pulak petang ni,” adu Sufiyya kepada Fakizah.
            “Hmm, nasib baik bos aku tak pernah nak suruh aku buat kerja luar. Kalau tak, aku pun jadi macam kau. Moyok memanjang,” balas Fakizah sambil tertawa kecil. Ya, dia beruntung kerana mendapat Pengurus Unit yang memahami skop kerja sebenar seorang pembantu peribadi yang tugasnya hanya di pejabat.
            “Aku bukannya apa, takut juga kalau-kalau Khairy bising. Sudahlah di luar waktu pejabat, jumpa lelaki pulak tu. Marah cemburu satu hal, marah kerja lebih masa secara percuma satu hal. Yang sini bos, yang sana tunang. Dua-dua nak kena jaga,” rungut Sufiyya lagi.
            “Lain kali cakap aje dekat Kak Rina, ada hal. Lainlah kalau dalam waktu pejabat. Siapa tak marah, nak suruh kerja luar, kerja lebih masa sampai malam, tapi tak pernah nak bayar claim dengan overtime.” Sufiyya mengangguk lemah usai cadangan Fakizah itu. 
            Sufiyya menanti detik tibanya jam 5.30 petang dengan perasaan yang bercampur-baur. Berat benar rasa hati kali ini. Kenapa ya? Sebelum ini, pernah juga dia bertemu dengan klien lelaki tapi tak adalah berperasaan sebegini. Macam ada yang tak kena saja. Janganlah ada perkara buruk berlaku ke atasku, doa Sufiyya di dalam hati. Dia menyibukkan diri dengan mengemas meja dan menyediakan dokumen untuk ditandatangani oleh klien ini.
            Tepat jam 5.30 petang, seperti yang dijanji, Sufiyya menunggu klien itu di kopitiam berhampiran pejabat. Setelah sepuluh minit menunggu, Sufiyya dihampiri oleh seorang lelaki.
            “Sufiyya, kan?” tanya lelaki itu. Suffiya mendongak. Wow, maskulin betul. Kalau Sophea tengok, tentu tak berkelip matanya, bisik Sufiyya lagi merujuk kepada adiknya. Bukan dia tak tahu selera adiknya itu yang gemar mencuci mata melihat lelaki bertubuh tegap dan tinggi.
            “Ya saya. Err, Encik Mukhriz ke?” tanya Sufiyya kembali sambil memerhatikan lelaki itu yang sedang tersenyum dan melabuhkan punggung di hadapannya.
            “Nasib baik tak salah orang. Panggil saya Riz aje.” Sufiyya mengangguk ketika Mukhriz melambai tangan ke arah pelayan.
            “Panggil saya Sufi aje,” arah Sufiyya pula dibalas senyuman Mukhriz.  
            Untuk seketika Sufiyya membiarkan Mukhriz membuat pesanan untuk dirinya. Sufiyya sendiri telah pun menghabiskan satu set roti bakar. White coffee yang dipesan tadi masih lagi bersisa.
            “Berapa bulan ya outstanding?” tanya Mukhriz setelah pesanannya tiba.
            “Tiga bulan.” Sufiyya membalas ringkas.
            “Jadi saya kena bayar penuh ke?”
            “Ya, sebab takut lapsed polisi Encik Mukhriz kalau tak bayar penuh.” Terang Sufiyya lagi.  
            “Err, Riz, please.” Suara Mukhriz tegas. Mungkin tidak selesa berencik-encik begitu.
            “Err, maaf. Riz.” Sufiyya menyebut nama panggilan itu. Lalu terukir senyuman di wajah Mukhriz.
            “Sebenarnya macam ni, saya nak stop polisi ni sebab saya dah ada insurans nyawa syarikat. Boleh ke nak stop? Awak rasa Kak Rina setuju ke?” Sufiyya menelan liur. Kenapa tak tanya dengan Kak Rina, pertanyaan yang hanya terluah di dalam hati Sufiyya. Sudah tentulah Puan Marina tak setuju kerana ini akan menjejaskan komisyennya.
            “Saya rasa boleh.” Kalau Kak Rina tahu, begini jawapan yang diberikan kepada kliennya, mati aku.
            “Tapi, awak kena fikir, berapa banyak yang awak rugi kalau awak stop. Lagi pun, polisi yang syarikat tu, kalau awak berhenti kerja, awak tak akan dapat apa-apa. Sedangkan yang ini, akan berterusan dan awak akan dapat hasil daripada akaun pelaburan awak tu. Belum lagi kira duit poket yang awak dapat kalau awak masuk hospital.” Selamba saja Sufiyya menggunakan perkataan awak, macam dah lama kenal lagaknya.
            “Iya juga eh? Saya dah bayar polisi ni, lebih dua tahun dah rasanya. Darab dengan RM200 saya bayar tiap-tiap bulan, dah berapa kat situ?” Mukhriz mencongak-congak sendirian.
Hmm, berjaya juga aku menyelamatkan satu akaun Kak Rina, Sufiyya tersenyum di dalam hati sambil  memerhatikan Mukhriz yang sedang terkumat-kamit mengira. Ah, kenapa aku risaukan akaun klien Kak Rina, sedangkan dia semakin kaya tapi kebajikan aku langsung tidak dijaganya, satu suara berbisik ke telinga Sufiyya. Isy, tapi Kak Rina baik, cuma dia agak berkira, satu suara lagi menekan suara yang pertama tadi.
            “Eh, tak jadilah stop kalau macam tu.” Sufiyya bagaikan tersedar daripada mimpi, lalu mengukir senyum. Ternyata Mukhriz termakan psikologi yang dimainkannya.
            “Kalau macam tu, awak sign kat sini. Bayaran premium tiga bulan, ya?” Sufiyya segera menghulurkan borang revival untuk ditandatangani bagi menghidupkan kembali polisinya.
            “Amboi, laju aje mintak duit.” Mereka berdua tertawa. Orang-orang syarikat insurans memang mata duitan, hati Mukhriz berbicara sendiri.
            “Err, kenapa awak tak letak beneficiary? Kena letak tau.” Busy body pula Sufiyya kali ini.
            “Memang nak letak penama, tapi nantilah. Saya belum terfikir nak letak nama siapa.” Ramai benar senarai pewarisnya, letak nama aku boleh juga, hahaha... Sufiyya bermonolog lagi.
            “Eh, saya dah lambat ni, ada latihan boling. Ada apa-apa lagi tak?” tanya Mukhriz sambil mengeluarkan sejumlah wang lalu dihulurkan kepada Sufiyya.
            “Tak ada apa-apa dah. Resit nanti awak minta pada Kak Rina, ya?” Mukhriz mengangguk dan bingkas berdiri.
“Minggu depan ada tournament boling, datanglah tengok. Tapi kalau saya kalah jangan gelakkan saya pulak, ya.” Mukhriz tersenyum. Sufiyya tertawa sambil memerhati. Senyuman Mukhriz cukup menawan. Pandangan matanya menenangkan jiwa.
Sufi, tak ingatkah kau pada status diri? Dia pula telah beristeri. Satu suara mengingatkan. Spontan, Sufiyya termalu sendiri.
“Insya-Allah,” balas Sufiyya ringkas sambil memerhatikan Mukhriz menuju ke kaunter pembayaran.
“Saya dah bayarkan. Sebagai balasan, kena datang tengok saya main boling minggu depan,” ujar Mukhriz ketika melintasi meja yang mereka duduki. Aik? Minta balasanlah pulak dia. Huh, tak ikhlas.
Sufiyya memandang sehinggalah kelibat Mukhriz hilang ketika dia melintas jalan menuju ke Megamall. Sufiyya tersenyum lagi. Ah, itu hanyalah gurauan nakal seorang lelaki.


No comments:

Post a Comment