Tuesday 16 June 2015

MR KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN KAR RUBY NUR AIRIS

BAB 2



Perlahan-lahan dikunyahnya coklat di tangan. Dia memang menyukai coklat tidak kira berjenama apa-apa pun, asalkan yang boleh dan halal dimakan melainkan coklat yang tengah hangat di perkatakan. Dia juga tahu coklat mengandungi antioksida yang berguna bagi menghalang kanser dan sakit jantung. Coklat juga boleh memperbaiki ‘mood’ yang rosak kerana ia mampu meningkatkan hormone serotin dalam otak. Ya, seperti dia sekarang. ‘Mood’nya memang tidak baik sekarang tetapi dia tetap menggagahkan diri supaya bertenang dan bersyukur.
Bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana dia masih dapat melihat sinar mentari pagi hari ini, Bersyukur kerana dia masih mempunyai iman yang kuat bagi menempuh setiap dugaan hidup sepanjang dia bernafas di muka bumi ini. Segalanya…semuanya…syukur Alhamdulillah…Auni mahu tenang setenangnya di dalam dirinya sendiri. Dia mahu tenang di dalam hidupnya. Namun mampukah dia bertenang?
Kebisingan orang ramai yang lalu-lalang di depannya di rasakan sunyi sepi. Sesepi hatinya kini. Hatinya sedikit sebak. Otaknya ligat memikir, agaknya siapa lagi yang boleh membantunya. Dia sedar dia tidak ramai kenalan di daerah itu. Dengan duit di tangan yang cukup-cukup tambang bas sahaja agaknya ke mana tujuannya tika ini?
Balik ke rumah sewanya di Kuala Lumpur ataupun kembali semula ke rumah pusaka ayahnya? Jika balik semula ke negeri kelahirannya, dia harus mengadap makcik Ana, ibu tirinya. Masih tergirang-girang di telingannya kata-kata makcik Ana 2 minggu yang lalu.
“Kalau aku kata kau mesti kahwin dengan Borhan, kau mesti kahwin! Aku tak sanggup dah nak tanggung sekolah kau tu, kahwin je senang!! Dah besar panjang nak duduk goyang kaki lagi…sekolah-sekolah tu buang masa dan duit je!!!” bebel makcik Ana sambil jari telunjuknya menujah-nujah kepala Auni.
“Tapi makcik….pengajian saya tinggal satu semester saja lagi. Lagipun duit rumah-rumah sewa yang arwah ayah tinggalkan kan ada? Selama ni pun dengan duit tu juga yang ayah gunakan untuk perbelanjaan pengajian saya dan abang.” Auni cuba membela nasibnya.
Muka makcik Ana memerah dan tanpa kata tangannya melekat di pipi kiri Auni. “Hey, budak tak sedar dek untung! Duit-duit tu dah jadi kepunyaan aku sekarang!! Jangan harap sesen pun aku nak beri kat kau!!! Masuk bilik, esok pagi-pagi kita pergi pejabat kadi….kau nikah dengan Borhan. Borang-borang dan segala urusan untuk nikah, aku dah selesaikan sebelum kau balik cuti lagi. Tak payah belajar lagi, kau jadi bini sudah!!!”
Emm…itulah cerita 2 minggu yang lalu, dengan tekad malam itu tanpa pengetahuan makcik Ananya, Auni keluar dari rumah arwah ayah dan ibunya. Rumah yang pernah menjadi saksi kebahagiaan hidupnya bersama ayah, ibu dan abangnya ketika dulu. Itu cerita dulu. Dan ketika arwah ayah mengambil keputusan mengawini sepupunya sendiri, Auni di bawa tinggal bersama abang dan kakak iparnya.
Ketika itulah Auni bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar, Kuantan Pahang. Dia bahagia seketika, Jauh dari ibu tiri yang sentiasa mencari kesalahannya dan sentiasa merajuk supaya arwah ayah mengikut telunjuknya. Tahun pertama Auni berada di universiti, abang dan kakak ipar terlibat dengan kemalangan yang telah meragut nyawa keduanya. Mereka pergi tanpa mempunyai zuriat.
Walaupun dia kehilangan abang tetapi ayahnya masih ada, dengan pertengkaran yang agak besar antara ayah dan makcik Ana, Auni masih belajar di universiti. Mujur arwah ayahnya tidak mengikut kata makcik Ana yang mahukan Auni berhenti belajar tetapi kini….Auni pasrah. Ayah tercinta meninggalkannya 2 bulan yang lepas dan kembali kepada penciptaNya manakala makcik Ana pula menjadi ‘raja’.
Perlahan-lahan dikesatnya air mata yang begitu pemurah sejak akhir-akhir ini. Sesekali ada mata yang memandangnya tapi tidak dihiraukannya. Biarlah apa yang orang lain kata terhadapnya, mereka tidak tahu apa masalahnya yang sebenar. ‘Ah, air hidung pula yang mengalir sama.’ Desir hati Auni.
Diseluknya kocek baju kurung yang di pakainya. ‘Mana pula sapu tangan ni? Dalam ‘darurat’ boleh pula menghilangkan diri yang sedia kecik tu.’ Auni cuba mencari dalam beg sandangnya pula. Tiada. ‘Habislah muka aku yang sedia comot ni…emm…nak buat macam mana? Air mata + air hidung = Amadung!!La macam bunyi tajuk lagu la pulak, tak pun macam bahasa korea kot. Emm…ada ke bahasa korea bunyi macam tu?’
“Nah, kesat muka kau!”
Sapu tangan berbau wangi dan bercorak abstrak dihulurkan seseorang. Cepat Auni mengambilnya lalu mengesat segala air-air dimukanya. Mujur juga ada yang prihatin dengan perempuan yang comot macamnya. Mujur juga ada yang simpati dengannya.
“Terima ka…” Ucapan Auni terhenti, matanya bulat memandang insan prihatin yang berdiri di hadapannya. ‘Iskandar? Buat apa kat sini?’
“Awak buat apa kat sini Is? Nak tengok saya menangis ke nak tengok saya dah betul-betul pergi?” Matanya masih bulat memandang lelaki itu.
“Auni, cara macam ni tak dapat selesaikan apa-apa pun.”
Auni mengerutkan dahinya. “Cara apa? Selesaikan apa?” Dia betul-betul tak faham apa yang lelaki itu maksudkan. ‘Bukankah tadi aku dah beritahu atuk Hisyam yang aku mahu balik?’ hatinya berbisik.
“Kau tu! Jangan lari dari masalah!!”
“Tapi saya tak lari la…saya cuma nak balik. Tu aje…”
Iskandar memandang tajam gadis di hadapannya. ‘Tak lari? Nak balik? Menangis keluar air mata dan airrrr…..tu apa?’ Dia terasa ingin ketawa melihat wajah yang sah-sah cuba menafikan tekaannya tadi. Iskandar mengukir senyumannya. Senyuman yang selalu di lemparkan kepada sesiapa pun. Dia ialah lelaki yang mudah tersenyum. Lelaki yang kaya dengan sifat yang mudah mesra.
“Kau nak balik mana? Biar aku tolong hantarkan. Balik kepangkuan Borhan dan makcik Ana atau balik ke rumah sewa kau yang sah-sah berkunci dan kunci tu pula pada kawan kau dan kau terpaksa pulak cerita kat dia yang kau terpaksa lari dari rumah coz makcik kau paksa kau kahwin dengan anak sedara dia dan….”
            “Ok, stopstop…!!” Auni bangun dari duduknya. Matanya tajam memandang Iskandar yang sudah tersengih macam kerang busuk. Agaknya kerang yang busuk pun iri hati dengan kebusukan sengihan Iskandar. Emm…siapa tahukan?
“Banyak la awak punya paksa dan terpaksa. Saya dah beritahu atuk Hisyam la.” Auni geram dan dia  memberitahu perkara yang benar.
“Saya nak balik dan atuk mengizinkannya. Tiada apa-apa yang saya sorokkan dari Is. Apa pula kena-mengena denagn saya nak lari pula. Nonsense.” Hati Auni sedikit cuak dengan Iskandar. lelaki yang sukar di fahaminya.
“Betul ke?” Iskandar menyoal sambil mengecilkan matanya. Tangan kirinya meraup rambutnya ke belakang manakala tangan kanannya diselukkan ke dalam kocek seluar jeans. Habit yang biasa di lakukannya tanpa sedar.
“Apa pula tak betulnya. Ingat saya tipu ke? Tak percaya? Saya pun sebenarnya tak minta Is percaya dengan kata-kata saya. Cukup sekadar faham. Itu sahaja. Emm…” Sedikit sedih dengan pertanyaan Iskandar, Auni pantas menjawab.
Auni mengambil beg sandang dan beg pakaiannya, dia memandang kembali ke arah sahabat yang telah banyak membantunya. “Emm…oklah encik Iskandar…saya nak balik dan nak beli tiket bas…so…terima kasih di atas layanan baik selama saya di rumah Is dan terima kasih kerana telah membantu anak yatim yang di dalam kesusahan ini. Moga Allah swt sahaja yang mampu membalasnya. Mungkin suatu hari nanti saya boleh membalasnya. InsyaAllah jika di izinkanNya.” Auni senyum memandang Iskandar. Dan amat berharap senyumannya dapat membayar kebaikan Iskandar.
Kakinya melangkah meninggalkan Iskandar yang kelihatan keliru. Dia mula terfikir ke manakah arah tujuannya sementara cuti belum berakhir? Mungkinkah dia patut mencari kerja sahaja dan mencari bilik sewa? Dan itulah yang sepatutnya dia lakukan semenjak dua minggu yang lalu. Bukannya menyusahkan orang lain dengan masalah kecilnya. Sepatutnya dia tidak terlalu bergantung dengan sesiapa pun. Sepatutnya dia berdikari sendiri.
Ya, itulah yang sepatutnya dia lakukan dari dulu lagi. Auni sedikit kesal dengan tindakannya sendiri. Dia seperti tidak dapat berfikir ketika dia keluar dari rumah arwah ayahnya dulu. Jiwanya lemah ketika itu, hatinya kacau dan dia telah mencuba menghubungi beberapa sahabat perempuannya yang dia kenali ketika dia belajar di daerah itu.
Kehampaan, kebanyakan mereka telah bercuti bersama keluarga masing-masing. Yalah, ketika itu musim cuti sekolah dan cuti semester bagi universiti. Dalam kekacauan minda dan jiwa Auni teringatkan bussines card yang di berikan Iskandar. Tanpa berlengah lelaki itu di hubungi dan selang beberapa minit sahaja Iskandar datang. Datang sebagai penyelamatnya. Datang sebagai pembelanya.
Itulah Iskandar. Adam Iskandar. Lelaki yang tanpa soalan tanpa pertanyaan membantunya. Begitu juga penerimaan atuk Hasyim, mak Zah dan suaminya abang Mie. Mereka semua menerimanya dengan tangan terbuka. Tanpa soalan. Cuma dengan rasa rendah hati, Auni menceritakan sendiri apa yang telah terjadi kepadanya. Agar tiada rasa curiga di hati mereka yang sudi menerimanya.
Mereka semua baik dengannya terutama mak Zah yang tidak pernah mempunyai anak. Mak Zah kelihatan begitu menyayanginya. Dia di anggap anak perempuan yang tidak pernah di miliki. Tetapi yang paling memeranjatkannya adalah pernah suatu hari atuk Hasyim menyuruhnya supaya tinggal sahaja di situ selamanya dan menjadi cucu angkatnya. Perkara yang tidak pernah terlintas di fikiran.
Cuma malam tadi, kata-kata Iskandar telah menyedarkannya dari mimpi indah. Ya, memang tidak manis di lihat jiran tetangga seorang gadis asing tinggal sebumbung dengan seorang lelaki walaupun masih ada orang lain di dalam rumah. Ya, dia sepatutnya menjaga maruah atuk Hasyim yang cukup di kenali masyarakat dan maruahnya sendiri sebagai seorang perempuan.
“Auni!!” tiba-tiba hujung lengan bajunya ditarik.
Auni sedikit tersentak. Dia tersenyum memandang Iskandar yang kelihatan serba salah. Namun kakinya di gagahi dan masih melangkah. Namun terasa beg pakaian di tangan kanannya diambil manakala tangan kirinya ditarik kuat oleh lelaki itu. Berkerut dahi Auni. Di pandangnya Iskandar penuh kegeraman.
“Eh, apa ni Is…” Auni berusaha menarik kembali tangannya namun semakin kuat Iskandar memegang dan menariknya supaya mengikut.
Mahu atau tidak Auni terpaksa mengikut Iskandar. Sakit di tangan tidak sesakit hatinya dengan perlakuan kasar Iskandar. Sakit di tangan tidak sesakit perasaannya kerana di sentuh lelaki itu. Beberapa kali Auni cuba melepaskan tangannya namun tidak berjaya. Iskandar pula semakin laju langkahnya dan sampai di tepi sebuah motorsikal BMW HP4 berwarna hitam barulah tangan Auni dilepaskanya. Sebuah helmet dihulurkan kepada Auni manakala sebuah lagi disarungkan kekepalanya sendiri.
“Ki…kita nak kemana?” Auni kehairanan dengan tujuan Iskandar menghulurkan helmet kepadanya. Helmet itu hanya di pandang sahaja tanpa berusaha mengambilnya.
“Mencuba untuk selesaikan masalah kau.”
“Tapi…tapi…naik motor dengan awak?”
“Yupp dan  kita akan ke tempat lain, tak pun balik ke rumah aku coz sebenarnya atuk yang  suruh bawa kau balik semula. Dia yang beria-ia meyuruh aku mencari kau.”
“Tak naklah saya. Emm…bye…” Pantas Auni melangkah dan berlari-lari anak meninggalkan Iskandar yang masih menhulurkan helmet kepadanya.
“Auni!!!” Jerit Iskandar. Kuat.
Beberapa mata menoleh ke arah Iskandar dan ada juga yang turut memandang ke arah Auni yang kian menjauh namun itu seketika sahaja kerana masing-masing kemudiannya membuat hal sendiri. Tiada istilah ‘jaga tepi kain orang’. Bagi mereka pemandangan begitu biasa sahaja. Ianya hanya drama antara pasangan lelaki dan perempuan yang bertelagah. Ianya hanya wayang kehidupan di celah-celah hiruk piruk manusia-manusia yang berada di dalam isi perut dunia. Segalanya drama dan wayang.
‘Kenapalah gadis yang nampak lemah dan lembut seperti dia sebenarnya agak keras hati dan kepala ye??’ Iskandar merungut-rungut dalam hati. Kakinya turut melangkah menyaingi Auni lantas menarik kuat tangan kanan gadis itu.
“Is…eh! Lepaslah. Hey!! Sakitlah!!!” Auni menarik-narik tangannya.
Bagaikan tidak mendengar, Iskandar sengaja dan semakin kuat menarik tangan Auni supaya mengikutnya. Mahu atau tidak Auni terpaksa mengikut langkah Iskandar. Laju bagaikan sedikit berlari atau berlari-lari anak namun lskandar nampaknya hanya berjalan sahaja tapi tidaklah berlenggang. Beberapa kali Auni menjeling Iskandar namun lelaki itu tidak menoleh sedikit pun ke arahnya. Ego!!!
Sampai di tepi motosikal, sekali lagi helmet disuakan kepada Auni namun masih tidak bersambut. Auni mengusap-ngusap pergelangan tangannya yang sakit. Umpama sakit hatinya dapat jua di usap. Auni mengusap pergelangan tangannya yang sedikit memerah di pegang Iskandar. Umpama cuba membuat jauh-jauh kemerahan di kulit putihnya. Iskandar sudah menyarungkan helmet di kepalanya.
“Pakailah.” Iskandar menyuakan lagi helmet di tangan.
Auni masih tidak menyambutnya dan memandang kosong ke hadapan. ‘Macam mana nak naik motor tinggi ni? Aku bukannya pernah naik spesis motor yang tinggi-tinggi macam ni dannn….dengan lelaki lain pulak tu.’ Auni mengomel-ngomel halus. Yalah, sepanjang hidupnya cuma dua lelaki sahaja yang dia sanggup bonceng motor iaitu abah dan abangnya. Tiada yang lain. Muktamad.
Geram dengan kebisuan Auni, Iskandar terus menyarungkan helmet di tangannya kekepala Auni dan mengetatkan talinya. Dia sedikit tersenyum melihat Auni bagaikan tersentak dengan perlakuan bersahajanya. ‘Itulah bisu sangat, biar dia terkejut dengan keromeoan aku ni….’ Iskandar tersenyum lagi,mempamerkan senyuman cantiknya. 
 Enjin dihidupkan. Iskandar menunggu. Mahu tak mahu Auni memanjat motorsikal besar itu. Dia sedikit janggal sebenarnya, dengan berbaju kurung dan kain yang terpaksa diangkat sedikit. Hanya tuhan yang tahu perasaannya ketika itu. Malu dan terasa di malukan. Ini memang betul-betul salah Iskandar. Dalam banyak-banyak kereta yang tersadai di rumahnya itu…mengapalah motor besar ini yang di bawanya tika ini.
Auni menjarakkan sedikit tubuhnya dari menyentuh Iskandar namun hujung jaket hitam yang di pakai Iskandar dipegangnya. Kuat sekuat-kuatnya. Bukannya apa, bimbang dia akan terjatuh. Siapa yang susah? Diri sendirilah yang susah. Tidak pasal-pasal pula nanti keluar berita dalam akhbar ‘seorang gadis mati terjatuh motor besar sebab tidak mahu memegang jaket hitam berkilat di sebabkan dia malu dan segan.’ Hai, tidak ke sadis tragedi hidupnya! Seorang gadis yatim piatu yang mempunyai nasib malang yang bertimpa-timpa.
Umpamanya di timpa tangga. Namun tangga yang menimpanya adalah tangga batu. Berketul-ketul jatuh menghempap. Memusnahkan dan menghancurkan. Jika untung nasibnya masih baik. Di cari orang, masih terbentuk jasadnya. Jika tidak, hanya cebisan yang terlihat. Dan dia pula roh yang berlegar-legar. Terawang-awang hanya mampu melihat tubuh yang sudah hancur termamah tangga batu.
Angin bertiup laju. Menderu-deru bunyinya bersama bunyi deruan motor yang di naiki Auni. Laju selaju degupan jantungnya. Auni memegang dada kirinya. Di situ terasa sesuatu yang dia tidak tahu apa. Kelajuan motorsikal yang di tunggang Iskandar makin melaju dan Auni makin memegang erat hujung jaket kulit Iskandar.
 ‘Ya Allah, lindungilah hambaMu yang dalam kesusahan ini. Lindungilah hambaMu yang dalam ketakutan sebab motor laju sangat. Aamiiin.’ Doa Auni dalam hati. Jaket Iskandar makin ditarik banyak dan kuat. Inilah kali pertama dan terakhir rasanya dia akan menaiki motor dengan encik Iskandar yang perasan dirinya handsome bangat. InsyaAllah.
##########
            Iskandar makin menambahkan kelajuan motorsikalnya. Segaja. Hatinya ketawa kuat. Dia tahu Auni kurang selesa menaiki motorsikal dengannya. Sifat pemalu gadis itu nampaknya sukar di kikis dari dirinya. Iskandar perasan dari zaman sekolah lagi Auni kurang bercampur atau berbual dengan pelajar lelaki. Cuma ada seorang sahaja pelajar lelaki yang di lihatnya sering mendampingi Auni. Seorang telah di taruh dendam kepadanya sampai mati. Engku Hanif, nama yang telah menjadi musuhnya secara senyap.
            ‘Hanif…kebahagian kutelah kau ragut bertahun dulu. Bagaimana agaknya jika kebahagiaan kau aku pula meragutnya. Kemurungan syarikat milik keluarga kau menjadi tanda pertamanya. Sekarang bagaimana dengan hati dan perasaan kau?’
            Angin kuat menyapa lalu tubuh Iskandar. Sekuat tekadnya kini. Dia pasti suatu hari nanti segalanya akan tenang dalam hatinya. Bila? Bagaimana? Dia sendiri tidak tahu.

No comments:

Post a Comment