Tuesday 16 June 2015

BENCI/CINTA AWAK BUDAK NAKAL KARYA QASEH FARINA

BAB 4



“Yaya buat apa?” Along datang menghampiri Yaya di bawah bangsal beratap zink di tepi rumah Nek Ngah. “Along nak tolong boleh ke?”
“Tak apalah along. Yaya boleh buat sendiri.”
Meh lah along tolong... Boring lah dari tadi duduk saja tak buat apa-apa.” Along rampas centong besar diperbuat daripada kayu dari tangan Yaya. Kerja mengacau rendang di dalam kawah sederhana besar itu diambil alih. “Macam mana Yaya boleh tahan panas api ni? Along baru sekejap mengacau rendang ni pun, dah rasa berbahang dah ni.” Along sengih memandang Yaya.
“Yaya dah biasa buat kerja ni, along. Along tu lainlah orang bandar,” usik Yaya seraya membalas senyuman Along.
“Yalah kan. Yaya dah biasa. Kenapa Nek Ngah lagi suka guna kayu bila masak hah?! Atas rumah tu pun, Nek Ngah gunakan dapur kayu juga,” soal Along. Tangannya hanya memegang hujung centong untuk mengacau rendang. Sejauh mungkin dijarakkan tubuhnya dari tungku dapur.
“Biasalah along, orang tua tak suka masak guna dapur gas. Bukannya tak ada dapur gas dekat rumah ni. Ada dua lagi. Satu Mak Ina beli, lagi satu Mak Long belikan tapi Nek Ngah tak nak. Tak sedap katanya,” balas Yaya mesra. Entah kenapa dia rasa serasi pula bersama Along. Terus terlupa perasaan malu petang tadi kerana sikap ramah Along ini.
“Tak sedap? Tak fahamlah along apa yang tak sedapnya? Rasanya sama saja pakai dapur gas ke, pakai dapur kayu ke.”
Ish! Tak adalah along... Rasa dia ada beza...”
“Iya ke? Rasa asap adalah!”
“Nek Ngah kata, rasa asap tulah yang buat lauk lagi sedap.”
Spontan Along ketawa mendengar alasan Yaya ini. “Agaknya lah kan? Sebab tu sate rasanya sedap, ada rasa asap.” Along ketawa lagi. Yaya senyum pelik. Apa kena mengena sate dengan rasa asap hah?
“Kita belum kenal lagikan?” suara Along selepas ketawanya reda.
“Eh! Bukan petang tadi kita dah kenal ke?” Yaya jatuhkan pandangannya ke wajah Along. Pantas dia membandingkan raut wajah Along dan Ayin. Memang Ayin lebih kacak dari Along. Muka Ayin tu, muka boleh cari makan tapi Along ni wajahnya manis. Sedap mata memandang. Ayin tu harapkan muka saja handsome, tapi kedekut dengan senyum buat apa!
“Along baru tahu nama Yaya saja. Memandangkan Yaya anak angkat Mak Su Ina, maka secara rasminya Yaya dah jadi sepupu along juga. Jadi..., wajib along kenal Yaya ni dengan lebih rapat lagi,” kata Along sambil dahi berkerut menahan panas api yang mula marak. Cepat Yaya suraikan kayu sedikit supaya api tidak semakin besar. Nanti santan sudah kering, dagingnya tak empuk lagi. Centong kayu di tangan Along, diambil semula. Along kemudiannya duduk di bangku kayu berhampiran.
“Ceritalah pada along tentang Yaya. Mama ada cerita pasal keluarga Yaya. Macam mana Yaya boleh jadi anak angkat Mak Su. Yang lain along tak tahu,” pinta Along. Air muka Yaya berubah tiba-tiba. Saat hari raya semakin hampir, apabila disentuh soal umi dan abahnya, buatkan sedih yang tertunggak datang menerpa.
“Maafkan along, Yaya. Kalau kata-kata along tadi buat Yaya sedih.” Along bangun meninggalkan bangku lalu menghampiri Yaya semula. Yaya senyum pahit. Cuba mengaburi kesedihan di wajahnya dari pandangan Along.
“Tak banyak cerita pasal Yaya yang boleh Yaya bagitau. Semuanya Mak Long dah ceritakan,” balas Yaya enggan membuka relung duka di hatinya.
“Pasal umi dan abah Yaya tu, Yaya sabarlah. Sudah ketentuan Allah SWT begitu. Along tahu dah dekat nak raya ni, tentu Yaya rasa sedih bila teringatkan umi dan abah Yaya tapi Yaya tak perlu sedih sebab kami ada. Kami pun sebahagian dari keluarga Yaya jugakan?” ujar Along. Yaya angguk perlahan. Segera diusir rasa pilunya sebentar tadi.
“Dah! Esok nak raya. Tak baik bersedih-sedih malam ni. Kita cerita pasal lain nak?”
“Cerita pasal apa?” soal Yaya semula selepas pilunya kembali dikunci di dalam hati.
“Yaya sekolah tingkatan berapa?”
“Dua. Along?”
“Tingkatan lima.”
“Ayin?”
“Eh! Minat juga ke nak tahu pasal Ayin?” Along senyum sumbing. Ini senyum nak mengusik ke, senyum perli?
“Saja nak tahu,” balas Yaya sambil buat-buat sibuk mengacau kuah rendang yang semakin kering.
“Saja nak tahu ke, dah berkenan? Maklum sajalah... Ayin tukan lagi handsome dari along ni...” Along mengusik lagi. Yaya jeling Along sekejap sambil buat muka. Berkenan dengan Ayin? Oh! Pleaselah... Budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut dan teramat kerek macam tu? Not my tastelah! Tengoklah sekarang ni. Entah di mana dia agaknya? Orang tengah sibuk dekat bawah ni tolong Nek Ngah memasak juadah untuk santapan di pagi raya, bukan reti dia nak turun menolong sekali. Berlagak yang ampun. Harapkan muka saja lawa, tapi perangai hampeh!
Apasal Yaya buat muka macam tu?”
“Buat muka apa?”
“Ya! Buat muka macam ni.” Along ulang tayang mimik muka yang diekpresikan oleh Yaya sebentar tadi.
“Eh! Mana ada Yaya buat muka macam tu?”
“Jangan nak tipulah, Yaya. Along nampak...”
Yaya tak tahu nak balas apa.
“Ayin tu nampak saja macam tu Yaya. Dalam bab cintan-cintun ni dia champion tapi, itu dululah. Sekarang ni dia dah single. Along takut dalam Yaya tak suka Ayin tu, nanti bila terjatuh hati pada Ayin, buruk padahnya.” Along mengeluarkan amaran sambil menyeringai menayang gigi. Budak macam Ayin tu terror dalam hal cintan-cintun? Rasa tak percaya saja. Siapalah perempuan malang tu agaknya ya? Tadi Along kata, itu dulu. Sekarang Ayin dah single. Tentu awek Ayin tinggalkan dia pasal tak tahan dengan perangai kekwat Ayin tu. Yaya buat muka lagi. Along sengih lagi.
******
Hari Raya menjelma. Pagi itu semua orang sibuk. Nek Ngah, Mak Ina dan Yaya sibuk di dapur menyiapkan juadah untuk dihidang di atas meja. Pak Long, Along, Syidan dan Ayip sibuk bersiap hendak ke masjid. Ayin? Sibuk nak balik KL. Pagi-pagi lagi dah buat bising. Kompelin tak dapat tidur malam tadi. Panas dan banyak nyamuk katanya. Pak Long dan Mak Long pekak kan telinga saja bila Ayin tak habis-habis merungut. Barangkali mereka sudah lali dengan perangai Ayin tu. Yaya pula yang rimas. Ayin membebel, lebih teruk dari Nek Ngah. Ini dia muda belia lagi. Bila dah tua macam Nek Ngah, entah macam mana agaknya. Sebab itulah awek Ayin tinggalkan Ayin agaknya, tukas benak Yaya.
Ketika Ayin melintasi dapur untuk ke bilik air di luar rumah, sempat Yaya menjeling kepadanya. Yaya lihat muka Ayin sama seperti semalam. Malahan bertambah teruk. Muka Ayin tu bukan macam asam kecut lagi dah! Kali ni dah serupa tapai. Tapai basi yang dah benyek! Dari tingkap dapur rumah Nek Ngah, Yaya lihat Ayin mencangkung di tepi pintu di luar bilik air. Kenapa budak tu? Takkan nak memburan dekat situ? Kot nak memburan pun, masuklah dalam jamban. Bukan jauh sangat pun. Sebelah bilik air tu saja. Tak senonoh betul perangai!
“Yaya! Yaya tengok apa?” sapa Mak Long.
“Yaya tengok Ayin tu, mak long.” Muncung Yaya panjang ke luar rumah.
“Kenapa?” Mak Long menghampiri Yaya.
“Ayin..., entah buat apa mencangkung dekat luar bilik air tu.” Sekali lagi Yaya juihkan mulutnya ke tempat yang sama. Mak Long merapati tingkap dan turut menjengah ke luar rumah.
“Ya Allah... Ayin!” Mak Long memekik. Cepat Yaya berselindung di balik dinding apabila Ayin memandang ke arah tingkap tempat dia berdiri. Takut Ayin perasan dia sedang mengintip di situ.
“Apa ma...?!” Suara Ayin seperti tidak puas hati.
“Cepatlah! Buat apa duk mencangkung termenung dekat situ? Nak pergi sembahyang rayalah! Kalau lambat nanti papa tinggalkan pula,” jerit Mak Long dari tingkap dapur.
“Sejuklah mama nak mandi!” sahut Ayin.
“Mak ngah dah buatkan untuk dia air panas tadi, Yah!” sampuk Nek Ngah di meja makan. “Suruh dia mandi air yang dalam tong hitam tu. Mak Ngah dah siap campur dengan air panas dah,” sambung Nek Ngah lagi.
“Biar sajalah dia mandi air kolah tu mak ngah,” pangkas Mak Long.
“Kesian dia. Sejuk nanti!”
“Mak ngah rajin sangat melayan perangai dia. Sebab tulah Ayin tu melampau-lampau mengada-adanya.” Mak Long berpaling melihat Nek Ngah. Tak banyak sikit, Nek Ngah juga memainkan peranan menyebabkan Ayin jadi macam tu. Dimanjakan sangat Ayin tu!
“Kamu ni Yah... Jangan zalim sangat dengan anak sendiri. Kamu juga yang ajar dia mandi dengan air panas dekat bandar sana tu.”
“Dekat bandar tu lain, mak ngah... Rumah kami tu ada water heater. Senang... Petik suis di dinding, dah keluar air panas. Dekat kampung ni, kesian Yah tengok mak ngah kena siapkan air panas untuk Ayin tu,” balas Mak Long pula. Nek Ngah hanya gelengkan kepala. Nak buat macam mana? Tak dilayan ragam si Ayin tu, dia rasa bersalah. Dilayan, dia pula yang salah. Mak Long jengahkan semula mukanya di tepi tingkap.
“Nek Ngah suruh Ayin mandi air yang dalam tong hitam tu!” Mak Long menjerit seperti tadi menyampaikan pesanan Nek Ngah. Yaya panjangkan leher mengintai dari belakang Mak Long. Dia lihat Ayin bangun lalu masuk ke dalam bilik air sambil mulut kelihatan seperti merungut. Sesaat selepas itu...
Pang! Kedengaran pintu bilik air ditutup dengan kuat. Hampir hendak tercabut pintu bilik air Nek Ngah yang dah uzur tu. Sudahlah tunggu waktu hendak tertanggal saja. Nampaknya, pendek umurlah pintu tu! Mak Long geleng kepala. Nek Ngah pula kedengaran mengeluh kecil. Tak faham betul Yaya. Apa yang Ayin marahkan sangat tu? Marah sebab Nek Ngah dah siapkan air panas untuk dia mandi atau marah sebab dia disuruh mandi air panas? Pening kepala! Ke dia tak nak mandi? Takut air macam kambing? Gerutu benak Yaya. Lantas secebis senyuman tersungging di bibir Yaya. Kambing!
******
Pulang dari masjid selepas solat Hari Raya Aidilfitri, Along sibuk mengajak Yaya, Syidan dan Ayip pergi berjalan-jalan. Katanya hendak beraya ke rumah penduduk-penduduk di sekeliling kampung.
“Jomlah Yaya...”
“Malaslah, along. Nanti tak ada orang tolong Nek Ngah kalau ada tetamu datang beraya.” Lembut Yaya menolak. Bukannya dia tak mahu temankan Along. Mood nak beraya tidak berapa ada sangat. Masih terasa kekurangan beraya tanpa abah dan uminya.
“Syidan dan Ayip pun ikut sekali. Baru seronok jalan raya ramai-ramai. Jomlah Yaya...” pujuk Along lagi.
“Pergilah Yaya. Temankan Along tu.” Mak Ina menyampuk. “Kesian Along tu, dah beria-ia sangat dah tu!” tambah Mak Ina pula. Baru Yaya hendak membuka mulut untuk menjawab, Mak Ina menyambung kata-katanya. “Pasal rumah ni jangan risau. Mak Ina dan Mak Long kan ada?”
“Yaya ikut, ya? Along nak kutip duit raya banyak-banyak ni.” Heh! Lawak betul Along ni. Mengalahkan budak-budak tadika excitednya. Belum sempat Yaya mengangguk setuju, Shidan dan Ayip sudahpun menunggu di mata tangga. Sama juga seperti Along rupanya. Tak sabar-sabar nak kutip duit raya. Shidan dan Ayip memang padanlah begitu perangainya. Budak-budak Ribena lagi. Yang si Along ni, dah besar gajah macam ni perangai sama seperti Shidan dan Ayip, apa hal?
“Okeylah! Yaya ikut. Budak tu?” Yaya juihkan muncung pada Ayin yang sedang terbaring di hadapan televisyen. Berlengeng tanpa baju. Ke mana tah terbang baju Melayu dia tadi. Kipas berkaki pendek dihadapkan terus ke mukanya. Panas sangatlah tu! Ayin sibuk main games PSP sambil makan kuih bangkit tepung. Muka masam mencuka tak payah nak diceritalah. Orang celebrate hari raya ni, sukanya bagai nak rak. Yang si Ayin ni pula,  buat muka macam ayam tercekik buah mengkudu kenapa?! Kelat bukan semacam tapi bermacam-macam!
“Kita nak ajak Ayin juga ke?” soal Along. Yaya angkat bahu menjawab. Along berpaling kepada Ayin. “Yin! Kita orang nak pergi jalan raya. Ayin nak ikut tak? Nak ikut jomlah join.”
Ayin buat muka selamba tidak memberi sebarang reaksi. Yaya terus tarik tangan Along ke pintu. Malas hendak menunggu jawapan Ayin yang tentunya tak akan kunjung tiba. Tengok muka pun dah tahu dah. Apa yang tertulis di sebalik riak air mukanya senang sangat dibaca. Menyampah! Tak nak ikut sudah! guman hati Yaya. Betul kata Nek Ngah, Ayin ni memang tak suka balik kampung. Sejak balik dari solat raya tadi, entah berapa puluh kali Ayin bising mengajak Pak Long dan Mak Long balik ke KL semula. Loghat betul!
Kerana tidak tahan dengan ragam Ayin, dua hari kemudian, Pak Long dan Mak Long pulang ke KL semula. Pak Long kata, dia bukannya tidak mahu tinggal di rumah Nek Ngah lama-lama. Telinga Pak Long dah tak tahan dengar Ayin membentak. Dua minit sekali memekak mengajak balik ke KL. Rimas Pak Long dibuatnya.
Bagus juga Ayin balik ke KL semula. Kasihan Nek Ngah tu. Dah seperti orang gaji Ayin pula. Serba-serbi kehendak Ayin, Nek Ngah turuti. Semuanya semata-mata mahu menjaga hati Ayin. Kalaulah lagi lama Ayin dekat rumah ni, confirm cepat Nek Ngah dapat penyakit semput. Apa tidaknya, tak sempat Nek Ngah nak melabuhkan punggung sudah dipanggil oleh Ayin. Hendak itulah, nak inilah. Memerintah saja tahunya!
Petang itu selepas Pak Long, Mak Long, Along dan Ayin balik, Yaya tiba-tiba rasa semacam. Dia jadi sunyi. Sepi. Seperti ada kekurangan. Kerap muka budak asam kedondong, asam kecut, tapai benyek tu singgah di dalam benaknya. Tak tahulah kenapa. Ada yang tak kena nampaknya. Dalam hati mula disapa satu perasaan anih. Kenapa ni? Takkan aku dah suka dengan budak tu kot? Mustahil... Impossible... Mana boleh aku rasa macam tu dekat dia? Budak tu, harapkan muka saja okey, tapi perangai arekkk... Sebenarnya bila tengok dua tiga kali muka Ayin tu, boleh tahan juga. Kalau dia senyum mesti lagi handsome, desis Yaya.
Ah sudah! Lagu mana ni? Takkan dia dah angaukan si Ayin pula? Ayin tu bukannya taste dia. Kalau dah hampir sedozen gelaran terindah buat Ayin tu, mustahil dia sukakan Ayin. Budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut, tapai benyek, teramat kerek dan perangai arek macam tu, dia boleh terjatuh hati? Tak boleh jadi ni.
Apa yang dapat Yaya rasakan, dia seperti tidak sabar-sabar pula menunggu Ayin pulang semula ke kampung ini lagi. Hmm..., entahlah... Nampaknya dia kenalah tunggu hingga raya tahun depan.
Raya tahun depan?! Ush! Lama lagi tu!

No comments:

Post a Comment