Friday 19 June 2015

KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

PROLOG



Prolog I

Semua pernah tercipta
Seakan terhapus sudah segala
Tak mampu ku kembali
Biarkan saja berakhir di sini
Biar patah hatiku
Biarkanlah…
Aku pergi demi hidupmu

Biar hancur harapku
Lepaskanlah…
Aku pergi demi bahgiamu

Selagi kita masih bersama
Semakin ku terluka…

Aku pergi bukan kerana aku tak cinta tetapi aku pergi kerana aku terlalu cinta dan demi melihat kau bahagia....





Prolog II
Dania  melihat jam di tangan sekilas kemudian keluhan kecil dilepaskan. Waktu sudah menginjak ke pukul 7.45 pagi tetapi dia masih tercegat di situ. Aisey…sungguh dia dah lambat! Bebelnya sambil kepalanya digaru-garu. Dia memang sudah berjanji dengan Ku Ariff untuk datang lebih awal sedikit hari itu kerana ada banyak perkara yang perlu Ku Ariff terangkan tentang kerja-kerjanya tapi tengok….dia lambat juga. Haishhh…. Itulah kau Nia, siapa suruh bangun lambat! Bebelnya lagi memarahi diri sendiri. Tote bag di bahu dikemaskan letaknya.
Sambil membebel-bebel, kakinya terus diayunkan laju menghala ke rumah banglo dua tingkat milik lelaki yang bernama Tengku Ariff Khalis a.k.a majikan terjunnya itu. Sebaik berdiri di hadapan rumah banglo tersebut, loceng ditekan  sedang dalam hati bukan main berbuku lagi. Ketika itu memang bermacam-macam rasa ada. Sejak beberapa hari lepas mulutnya  tak habis-habis menyumpah seranah Tengku Syakila a.k.a mangkuk ayun. Dasar perempuan gedik! Jeritnya dalam hati melepaskan amarah yang bukan main menggunung lagi. Rasanya sudah seperti gunung Kinabalu tingginya. Kalau ditarah harus sehari nipis dia kerjakan. Okey tipu! Macam ada magik nak tarah gunung kinabalu sehari boleh rata.
Selang beberapa minit menanti pintu pagar terbuka. Nafasnya dihela. First day kerja kot! Mata ditalakan tajam ke arah halaman rumah tersebut. Terpandangkan, Tengku Ariff Khalis yang sudah sedia menanti di hadapan pintu rumahnya dan dengan muka yang masam mencuka, Dania terkedu. Dada mula berirama. Kencang. Dan dengan mata terkebil-kebil, lelaki itu dipandang atas bawah.
Adesss….mati aku! Desisnya dalam hati. Muka majikan sementaranya itu pula macam nak telan orang sahaja gayanya. Dalam keadaan kalut dan berdebar-debar, nafas dihela. Relax Nia... relax. Dia tu pun orang bukan katak hijau yang kau takutkan sangat tu. Bisiknya menenangkan diri sendiri.
"Kenapa lambat?" soal Ku Ariff keras. Sejak pukul tujuh pagi tadi lagi dia sudah tercongok di halaman rumahnya tetapi baru sekarang pembantu rumahnya itu sampai. Suruh datang awal pun masih lambat lagi. Tak pasal-pasal dia yang lambat masuk ke pejabat hari itu. Dia memang pantang dengan orang yang tidak menepati masa.
Dania berdeham. "Erm...sorry Ku Ariff, saya dah keluar awal tapi susah nak dapat bas datang sini sebab itulah saya lambat. Lagipun hari ni first day saya ke sini jadi saya tak pasti lagi bas mana untuk ke sini." teragak-agak Dania menjawab sambil buat muka kasihan. Pandai-pandailah kau kelentong Nia walaupun kau datang bawa kereta sebenarnya. Kau lambat pun sebab dah memang kau jenis manusia yang susah nak bangun awal. Bebelnya memarahi diri sendiri. Tengok muka Ku Ariff yang sedang tajam memandangnya itu kecut pula rasanya. Haish…boleh tembus kepala dek panahan jelingan lelaki itu.
Ku Ariff mendengus perlahan. Hendak dimarahi pun tak guna juga sebab dia tahu memang susah mendapatkan bas untuk ke rumahnya itu. Malas hendak bercakap banyak dia terus mengajak pembantu rumahnya itu menuju ke gazebo yang terletak di tepi halaman rumahnya. Sebaik mereka duduk di situ dia terus menghulurkan beberapa helai kertas ke arah gadis di hadapannya itu.
“Baca.” Arahnya dengan suara yang agak keras.
Sebaik melihat kertas tersebut, Dania telan liur. Aduhlah, takkanlah banyak sangat kerja yang kena dibuatnya sampai berhelai-helai kertas yang diberikan oleh ‘bos’ barunya itu. Kertas-kertas tersebut dicapai dan dibelek-belek. Memang masaklah kau Nia. Bisiknya perlahan. Belum dibaca lagi isi kandungan kertas tersebut, hatinya sudah menyumpah Ku Ariff dengan bermacam-macam ayat manis. Ayat manislah konon!
"Apa ni?" soal Dania sepatah. Konon pura-pura tanya. Kening dijungkitkan.
"Surat perjanjian." selamba Ku Ariff menjawab.
"Untuk apa?" Dania semakin tidak mengerti. Apa kejadahnya setakat kerja pembantu rumah nak kena tandatangan surat perjanjian segala. Bebelnya.
"Supaya awak tak sesuka hati berhenti," Ku Ariff masih lagi beriak selamba. Tubuhnya disandarkan ke kerusi kemudian kakinya disilangkan sambil matanya memandang tajam ke arah pembantu rumah baharunya itu.
Dania turut membetulkan duduknya. Pandangan Ku Ariff dibalas tajam. "Tapi saya bukan nak kerja seumur hidup pun kat sini. Tak payahlah perjanjian semua ni. Setakat pembantu rumah aje pun bukan jawatan officer!" balas Dania jengkel. Sengaja menunjukkan protes. Kertas tersebut diletakkan ke atas meja agak kasar kemudian tangannya dipelukkan ke tubuh.
Melihat riak pembantu rumahnya itu, Ku Ariff menggeleng sambil simpan senyum. Budak ni kalau bercakap ikut sesedap mulut dia aje. Sudahlah tu bukan main berani lagi melawan. Gumamnya.
"Iyalah saya tahulah tu, tapi ini sebagai jaminan awak tak berhenti sesuka hati. Awak boleh baca dalam fasal tiga ada tercatat di situ, kalau nak berhenti kena bagi notis sekurang-kurangnya tiga bulan jadi senang saya nak cari orang ganti. Kalau awak berhenti tanpa notis, gaji awak untuk bulan itu tidak akan dibayar malah awak yang terpaksa membayar saya tiga bulan gaji awak," terang Ku Ariff panjang lebar. Biarlah dikatakan zalim pun tapi dia sudah penat asyik bertukar orang gaji. Jadi kalau dibuat perjanjian begitu tentu orang gaji barunya itu akan berfikir banyak kali sebelum berhenti. Hendak  mencari orang gaji indonesia memang senang tapi terpaksa duduk serumah pula. Tak mahulah dia sebab dia pun tinggal keseorangan sahaja di situ.
Dania terdiam lama.  Kertas di atas meja dipandang lagi. Bibirnya digigit-gigit sambil otaknya ligat memikir. Ala, setakat nak kena bayar balik gaji tiga bulan tu tak adalah masalah besar pun baginya. Abah dan along kan ada. Lagipun perjanjian itu tak adalah pelik sangat pun, setakat perjanjian biasa-biasa sahaja. Desisnya.  
"Okeylah, saya setuju." Setelah lama terdiam akhirnya Dania bersuara semula.
Ku Ariff menghela nafas perlahan. Lega. Tak payah dia cari pembantu rumah lain!
“Bagus, sekarang awak sign dekat situ,” suruh Ku Ariff sambil menunjukkan ke arah kertas di atas meja. Pen di dalam poket kemejanya dicapai dan diletakkan di atas kertas tersebut.
Tidak berfikir panjang lagi, pen dicapai dan surat perjanjian tersebut terus ditandatangani sebelum diserahkan kepada Ku Ariff semula. “Done!” ucap Dania sepatah.
Ku Ariff menyambut kertas yang dihulurkan dan kertas tersebut dibelek-belek. Sebaik melihat tandatangan di atas kertas tersebut wajah pembantu rumahnya itu dipandang semula.
"Nama awak Zahirah kan?” soalnya dengan kerutan di dahi.
Perlahan-lahan Dania mengangguk. Teragak-agak sahaja gayanya. Tiba-tiba dia rasa cuak.
“Tapi kenapa saya tengok tandatangan awak ni macam pelik aje," Kertas tersebut ditunjukkan.
Dania terdiam. Alamak, macam manalah dia boleh terlupa pulak. Haish!
“Tandatangan kena sama dengan nama ke?" selamba Dania menyoal sambil berlagak tenang. Walaupun dalam hati bukan main kalut lagi tetapi kena cover line. Kalau tidak habis!
Dengan riak yang masih seperti tadi, pembantu rumahnya itu dipandang lagi. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. "Tak.." jawabnya sepatah. Walaupun ada keraguan di hatinya tetapi tak kuasa pula dia hendak bertanya lebih. Lantaklah! Bisiknya.
"Okey, tugas awak macam yang saya pernah beritahu sebelum ini. Ruang tamu perlu dibersihkan hari-hari. Barang-barang dalam fridge awak kena tengok. Mana yang dah expired tolong buang. Cermin-cermin semua mesti dilap. Porch kena cuci setiap hari. Kemas semua bilik walaupun tak digunakan. Bilik saya yang penting sekali. Hari-hari perlu dibersihkan. Vacuum, lap, dan keringkan air di bilik air. Saya tak suka basah-basah." panjang lebar Ku Ariff memberi arahan. Serius saja nada suaranya.
Dania buat muka menyampah. "Kalau tak nak basah haa jangan guna," bebelnya perlahan. Kerek nak mampus. Argghh…tension aku! Jeritnya dalam hati.
"Awak cakap apa tadi?" sergah Ku Ariff tiba-tiba. Keningnya dikerutkan. Gadis di hadapannya itu direnung tajam.
Tersentak, Dania angkat kepala. Perasan akan pandangan tajam lelaki di hadapannya itu, air muka Dania berubah serta merta. Liur ditelan payah. Kecut pula perutnya melihat riak Ku Ariff yang begitu. Garang kot!
Laju Dania gelengkan kepala sambil tangan digawangkan di hadapan ‘bos’ barunya itu.
"Eh tak…tak ada apa-apa. Saya cuma cakap okey aje. Tak ada  masalah. Saya akan buat semua tu." balas Dania teragak-agak.  
Ku Ariff berdeham. Duduknya dibetulkan dan pembantu rumahnya itu dikerling sekilas. Macam aku tak dengar kau cakap apa! Bisiknya jengkel. 
Melihat riak lelaki itu yang nampak macam ‘okey’, Dania hela nafas. Fuhh! nasib baik dia tak dengar kalau tidak hari pertama mula kerja sudah dihambat balik. Jaga mulut Nia jangan celupar sangat. Ingat, kau ada perjanjian yang perlu diselesaikan. Bisiknya mengingatkan diri sendiri. Nasib baik di hadapan Ku Ariff kalau tidak sudah ditampar mulutnya sendiri kerana sudah ‘terover’ bersuara.
Malas hendak memanjangkan perkara tersebut, Ku Ariff terus mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya dan diletakkan ke atas meja.
"Okey, ini kunci pendua rumah dan bilik untuk simpanan awak. Saya nak ingatkan awak, dalam rumah ni ada CCTV jadi setiap apa yang awak buat semua saya tahu. Jangan curi tulang atau lakukan sesuatu yang tak sepatutnya," perlahan tetapi tegas Ku Ariff bersuara cuba mengingatkan. Baginya, pembantu rumah bukannya boleh diberi muka, silap haribulan habis semua barang berharga disapunya. Sebelum apa-apa jadi baik dia ingatkan siap-siap. Tengok muka baik belum tentu hati pun baik. Desisnya.
"Lagi satu saya nak ingatkan, kalau basuh baju saya jangan campur-campur. Basuh asing-asing. Saya tak nak nanti ada yang rosak pulak. Baju saya bukannya murah. Baju kotor ambil dalam bilik, saya letakkan dalam bakul tepi pintu bilik air. Baju yang dah kering tolong iron dan susun dalam almari," arahnya lagi.
Dania memandang Ku Ariff tajam. Tubuhnya ditegakkan. Arahan yang baru diterimanya itu langsung tidak boleh diterima akal. "Eh, kejap-kejap.” Tangannya sudah diangkat.
Ku Ariff tegakkan kepala sambil menjungkitkan kening.
“Kena basuh baju juga ke?" soal Dania dengan dahi yang sudah berkerut seribu.
"Yup. Kalau tak, apa guna saya ambil awak bekerja kalau baju saya, saya kena basuh sendiri," balas Ku Ariff sinis.
"Erkk..kenapa Ku Ariff tak hantar dobi aje?" selamba Dania menyoal. Bab basuh baju memang satu masalah besar. Nak guna mesin basuh pun tak tahu ni, so apa kes? Nak basuh dengan tangan? Ada rabak baju Ku Ariff dia kerjakan nanti. Sudahlah tu nak kena iron lagi. Terbakar tak pasal-pasal pulak. Adoiiii Zahirah….tolonglah aku weiiii! Jeritnya dalam hati. Rasa hendak dihentak-hentak kakinya di hadapan Ku Ariff di saat itu juga. Kalau Tengku Syakila ada lagi bagus, boleh aku terajang terus. Bisiknya geram!
Sudah bulat mata Ku Ariff memandang gadis di hadapannya itu. Budak ni memang menaikkan darah betul. Gumamnya.
“Kalau saya hantar dobi, tak payahlah saya bayar gaji awak!” bidasnya agak keras.
Dibebel begitu, Dania terus terdiam. Reda Nia, reda. Buat aje! Pujuk hatinya. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Tubuhnya ditegakkan. Ku Ariff dipandang. Rasa hendak ditanya tapi macam takut sahaja. Tapi, seluar kecil Ku Ariff pun dia kena cuci juga ke? Kalau betul, yuckkk, Gelilah! Mulalah dia rasa hendak menangis di situ juga. Seluar kecik abah pun dia tak pernah tolong cuci. Uwaaaaa!
“Kenapa?” Dengan riak seperti tadi, Ku Ariff bertanya pula. Dari riak pembantu rumahnya itu dia tahu ada sesuatu yang gadis itu tidak berpuas hati.
Melihat muka Ku Ariff yang sudah berubah seperti hendak telan orang ketika itu, Dania gelengkan kepala. Tangannya diangkatkan tanda mengalah. Terus tidak tertanya apa yang bermain di kepalanya tadi. Cuci aje Nia. Redo...faham tak apa makna redo?
"Okey…okey, saya faham kerja-kerja saya. Kalau tak ada apa-apa lagi boleh saya mula sekarang? Saya rasa Ku Ariff pun tentu dah lambat nak pergi kerja kan?" soal Dania sengaja mengubah topik perbualan. Cakap lebih-lebih nanti tak pasal-pasal kena backhand dengan Ku Ariff pulak.  Belum sempat Tengku Syakila masuk hospital dia yang masuk ke sana dulu. Tak ke naya jadinya!
Ku Ariff menggeleng. Nasib baik sudah tidak ada orang yang hendak bekerja di rumahnya, kalau tidak memang sudah kena reject dah budak Zahirah ni. Bebelnya dalam hati. Malas hendak memanjangkan cerita, dia terus bangun dari duduknya. Baru selangkah dia berjalan, dia berpaling semula dan memandang pembantu rumahnya tajam.
"Oh ya, kalau telefon rumah ni berbunyi tolong angkat sebab saya aje yang akan menelefon. Biasanya kalau saya telefon mesti ada hal yang saya nak beritahu," arahnya lagi. Serius sahaja nada suaranya. Tubuhnya dipalingkan semula sebelum mula melangkah lagi.
"Eh...eh! Ku Ariff kejap…" jerit Dania lantang dan terus buru-buru bangun menghampiri lelaki itu.  
Langkah Ku Ariff terhenti lagi dan dia menoleh.
"Ada apa lagi?" soalnya keras. Entah apa lagilah yang budak ni nak agaknya.
Dania tersengih. "Nombor telefon Ku Ariff  tolonglah tinggalkan, manalah tahu kot-kot jadi apa-apa masa Ku Ariff tak ada, senang saya nak telefon bagitau.." dengan riak tak bersalah Dania menjawab. Iyalah manalah tahu kot-kot terkena lintar pintas ke, berlaku kebakaran ke, ada kecurian ke, bukan ke senang dia maklumkan.
Semakin bulat mata Tengku Ariff Khalis memandang pembantu rumahnya itu tetapi dihulurkan juga business kad yang diletakkan di dalam dompetnya.
"Kalau tak penting tak payahlah telefon," tuturnya selamba.
"Kalau tak ada apa-apa, saya pun tak ingin nak telefon," perlahan Dania menjawab. Ku Ariff dijeling sekilas sebelum terus berlalu masuk ke dalam rumah.
Ku Ariff terkedu. Langkah pembantu rumahnya itu diiringi dengan pandangan tak percaya.  Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Baru sehari masuk kerja sudah pening dia melayan. Perempuan dari kampung manalah agaknya yang dikenalkan oleh sepupunya itu. Haish! 

No comments:

Post a Comment