BAB 4
“Di sana nanti, Kris akan tinggal
dekat rumah yang babah sediakan. Berkenaan pengangkutan, babah sudah sediakan
motosikal dengan sebuah Ranger. Tentang pengurusan ladang dan penternakan,
babah mahu Kris belajar bersunguh-sungguh. Sebarang seminar dan kursus yang
dianjurkan oleh pihak kementerian, Kris wajib hadir. Tiada alasan, dan babah
sasarkan setahun dari sekarang hasil keuntungan bersih mencecah setengah juta
ringgit. Tapi ingat, sasaran akan meningkat dari tahun ke tahun!” bicara Kameel
bagaikan angin lalu yang menyapa gegendang telinga. Sikit pun tak sampai ke
hati yang sedang ketandusan.
Suraya yang menjadi pendengar sejak
tadi, hanya mampu menadah telinga. Namun hatinya sedang dilanda badai gelora.
Berat hatinya membenarkan Kris pergi.
“Kris… dengar tak babah cakap?”
Kris Al-Hadi mengangguk perlahan.
Dia angkat kepala lalu dihala ke arah si ibu. Wajah itu sugul!
“Bu..” Kris cuba memujuk.
“Tak sangka anak ibu akan berjauhan
dengan ibu. Selama 24 tahun Kris tinggal dengan ibu, sejak bersekolah hinggalah
ke universiti Kris tinggal dekat rumah ni. Tapi, dengan sekelip mata saja Kris
nak pergi.” Suara Suraya sudah kedengaran sayu untuk melepaskan Kris memulakan
kehidupan baru.
Kameel yang mendengar celoteh
isterinya sekadar mampu menggeleng kepala. Kerana Surayalah, si anak terlebih
manja. Hendak dihantar Kris ke sekolah berasrama penuh, isterinya menegah.
Memilih universiti juga harus disekitar kawasan lembah Klang. Tidak terlalu
jauh dari rumah dengan alasan Kris boleh pulang setiap hari.
Kerana perhatian yang sedikit lebih
daripada yang lain, dia akui Kris Al-Hadi tidak berapa disenangi oleh anak-anaknya
yang lain. Ada sahaja yang menjadi isu dan perbalahan! Bukan dia tidak sedar,
namun sebagai bapa, selagi sesuatu itu tidak memudaratkan selagi itu dia
bertindak untuk menjadi pemerhati.
“Kris…”
Suara Suraya kembali membawa Kameel
ke alam realiti. Isteri dan anak bongsunya masih berdiskusi. Kedua-duanya
diperhatikan.
“Ya, bu!”
“Sebelum terlupa, ibu nak pesan
sesuatu!”
Suraya bangkit lalu bergerak
mendekati Kris yang duduk di tengah-tengah sofa berangkai. Tanpa sempat Kris
membalas apa-apa, Suraya melabuhkan punggung.
“Jangan lupa baca surah Yassin dan
ayat Qursi bila sampai ke sana nanti.” Gumam Suraya sambil memperkemaskan jaket
yang tersarung ditubuh Kris.
Kris pula sudah tersenyum nipis
mendengar pesanan ibunya.
“Kenapa bu?” soalnya ringkas.
“Yelah, manalah kita tahu apa
yang ada dekat sana!”
“Maksud ibu?” Kris mula merasa
tidak sedap hati. Berkerut dahinya memikirkan maksud disebalik bicara puan
besar. Kameel yang masih berada di ruang yang sama, hanya mampu menggeleng.
Surat khabar di tangan, bukan lagi menjadi fokusnya.
“Rumah yang Kris nak duduk nanti,
sudah dekat dua belas tahun tak pernah dihuni orang! dulu stor, mungkin Kris
nak datang mereka akan kemas. Jadi, ibu harap Kris pandai jaga diri dan
berdoalah semoga tak berlaku perkara-perkara yang tak elok!” pesanan Suraya
menyebabkan Kris menelan liur.
Jangan-jangan dia akan berkongsi
rumah dengan penghuni dari makhluk lain tak? Ah, tiba-tiba dia berasa gerun!
“Bu…. Tolong jangan takutkan Kris!”
“Eh, ibu tak takutkan Kris. Ibu
cakap perkara yang betul. Biasalah Kris.. lombong tinggal memang macam tu.
Benda-benda mistik memang sudah selalu kita dengar. Sekarang terpulang pada
Kris untuk hadap semua tu. Ibu doakan anak ibu selamat dimana sekalipun kaki Kris
melangkah!” tukas Suraya cuba memujuk hati sendiri. Namun Kris yang mendengar
semakin tidak keruan. Mahu sahaja dibatalkan perjalanannya kali ini.
“Ish, takutlah bu!”
“Itulah awak, Su! Anak nak pergi,
kalut duk bercerita tentang alam mistik! Bukannya nak bagi galakan ke apa ke..
ini ditakut-takutkan budak tu!” Kameel membebel.
“Eh, mana ada bang!”
“Yang awak cakap tu, bukan ke
menakutkan si Kris?”
“Ish.. taklah sampai macam tu
sekali! Kenapa pulak nak takut, ibu yakin hantu tak berani kacau Kris!” tutur
Suraya optimis.
“Kenapa pulak tak berani nak kacau
Kris?” Ujar Kris sudah naik hairan.
“Oh, Kris tahu!” dia tersenyum.
Terlupa bahawasanya, hantu atau syaitan tidak mengganggu orang beriman seperti
dia. Mereka pun fikir dua tiga kali sebelum timbul keinginan untuk menyakat
dirinya. Kris tersengih sendiri.
“Apa yang Kris tahu ni?” tanya
Suraya hairan melihat Kris tersengih-sengih.
“Yelah bu, hantu tak ganggu manusia
yang alim!” ucap Kris membuatkan Suraya dihambat lucu. Kris memang cepat
perasan orangnya!
“Kau silaplah, Kris! Sebenarnya, hantu
takkan kacau hantu, percayalah!” Celah Khair yang baru turun dari tingkat atas.
Dia tersenyum dan terus sahaja melabuhkan punggung di sofa bertentangan dengan
babah, ibu dan adik lelakinya. Mereka yang lain-lain, dia tak tahu kemana
perginya.
“Sebenarnya, apa yang cuba kau
sampaikan?” Kris menyoal dengan mata yang sengaja dikecilkan.
“Faham-faham sendirilah!” luah
Khair bersama ketawa besar.
“Ish, main-main pulak Khair ni.”
Suraya menegur bersama tawa halus.
“Jangan risau, Insya-Allah tak ada
apa-apa! Pergilah!” sambung Suraya setelah reda dengan tawanya sendiri. Wajah
si anak kesayangan, direnung penuh kasih.
“Ibu ni… buat Kris cuak je!” Kris
yang tadi berdebar kini sudah boleh menarik nafas lega. Rupa-rupanya mereka
hanya bergurau!
“Ha, pukul berapa Kris nak pergi?”
Khair pula mengubah topik.
“Kejap lagi!”
“Dekat tempat orang,
pandai-pandailah bawa diri! Jangan menyombong tak bertempat.” pesan Khair
ringkas dan padat. Dia tahu, Kris bukan jenis manusia yang suka bermasyarakat.
Tidak suka bercampur dengan orang, kalau sikap itu diteruskan, kelak diri
sendiri yang susah nanti.
“Insya-Allah aku ingat segala
pesanan kau bro!” balas Kris bersama anggukkan kecil.
**
Maka
pagi itu bermulalah perjalanan kehidupan Kris di tempat orang. Dengan
menaiki Keretapi Tanah Melayu, Kris
tinggalkan kota dan berhijrah ke sebuah desa di negeri Perak. Di negeri ini, dia datang bersama sebuah
harapan dan azam yang baru semoga sekembalinya nanti, dia adalah Kris Al-Hadi
yang baru dan kepulangannya nanti penuh dengan penghormatan.
No comments:
Post a Comment