BAB 3
“Ha, Kris.. lambat balik hari ni?”
Suraya yang baru turun ke dapur menegur Kris yang baru mengunci pintu rumah. Haus
di tengah-tengah malam.
“Oh ibu..” Dengan lambat-lambat,
Kris menoleh ke belakang. Wajah ibunya direnung lama.
“Kris… kenapa ni? Tenung ibu
lama-lama? Tak sihat?”
Kris menggeleng. Setiap kali dia
memandang begitu, pasti ibunya berfikir dia tidak sihat dan memerlukan rawatan.
Sebenarnya hati dia yang tak sihat! Semalam dia berfikir dan terus befikir.
Akhirnya dia tahu, sesuatu harus dilakukan.
“Bu..” ibunya diseru lalu kaki
dihayun mendekati batang tubuh wanita yang selama ini sentiasa ada menyokong
dirinya.
“Ada apa ni Kris?”
Suraya mendekati anak bongsu
berketinggian 175 sentimeter. Susuk tubuh itu kelihatan sedikit kurus dan
rambut pula ala-ala dawai yang bersimpul. Keras! Tak tahulah sama ada Kris
mencuci rambutnya atau pun tidak!
“Bu.. Kris nak cakap sesuatu dengan
ibu!” tutur Kris satu persatu. Untuk seketika, dia telan liur. Terasa berdebar
dengan tiba-tiba.
“Kris nak cakap apa? Anak ibu nak
kahwin ke?” Suraya mengulum senyum. Dalam usia anak yang semakin menginjak
dewasa, dia masih menanti salah seorang daripada mereka mendirikan rumah
tangga. Dia memiliki lima orang anak, empat daripadanya lelaki manakala yang
seorang lagi anak perempuan. Khairyl sudah bertunang, nama tunangnya Yasmin.
Mungkin hujung tahun nanti, majlis perkahwinan akan menyatukan mereka. Apa pun,
segala-galanya bergantung kepada keadaan.
Yang sulung berusia 29 tahun,
namanya Khusyairi dan anak keduanya pula bernama Khairyl. Baru menyambut usia
28 tahun pada awal Januari tadi, manakala Khair pula sudah berusia 27 tahun.
Sarah, satu-satunya anak gadis dalam keluarga kecil mereka, baru sahaja
menginjak usia 26 tahun dan yang bongsu sudah tentulah si Kris Al- Hadi. Baru sahaja
24 tahun, namun manja dan tahap kebergantungan terhadap keluarga masih lagi
menebal. Kerana itu, abang-abang dan kakaknya sering kali merasa iri hati.
Salah dia juga jika Kris jadi
begitu, dia tidak sanggup berjauhan dengan si bongsu itu setelah keempat-empat
anaknya yang lain melanjutkan pengajian di luar negara. Dia sunyi dan sebagai
pengubat sunyi, dia meminta supaya Kris tidak dihantar ke sekolah berasrama dan
tidak dibenar melanjutkan pengajian ke luar negara. Kris manja dan tidak
berdikari adalah kerana salahnya juga!
“Bukanlah bu..” suara garau Kris
menyedarkan Suraya dari lamunan. Dia kuntum senyum.
“Habis, Kris nak cakap apa?” soal
Suraya bersama tangan yang kejap memegang tangkai mug.
“Bu.. Kris ni menyusahkan ibu
dengan babah ke?” tanpa diduga oleh Suraya, soalan itu ditebak kepadanya. Dia
terkedu! Sebagai orang tua, tidak sekalipun dia berasa terbeban atau merasa
susah membesarkan anak-anak kandungnya. Kenapa pula Kris menyoal sebegitu.
“Kris… kenapa cakap macam tu? Ibu
tak pernah anggap anak-anak ibu menyusahkan!”
Kris yang menyoal kini tertunduk
menekur lantai. Sebenarnya ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Itu hanya
mukadimahnya sahaja!
“Ibu tengok Kris macam nak beritahu
sesuatu je. Kalau nak cakap apa-apa, sila cakap. Ibu boleh dengar.”
Suasana hening seketika, yang
kedengaran hanyalah keluhan kecil Kris.
“Cakaplah Kris, mana yang ibu boleh
tolong.. ibu akan tolong Kris!” gumam Suraya maish lembut memujuk si anak
berterus terang tentang apa yang sedang menganggu fikiran.
“Bu…”
“Ya, Kris.. ibu dengar! Cakaplah.”
Kris tarik nafas dalam-dalam sebelum
dihela perlahan. Mengumpul kekuatan untuk meluahkan semuanya.
“Kris rasa, ada baiknya Kris pergi
dari sini bu.” Tuturnya perlahan namun sudah cukup menggoncang hati si ibu.
Cepat-cepat Suraya meletakkan mug yang belum digunakan ke atas meja. Tak jadi
ke peti ais, hilang terus rasa dahaganya!
Sesudah itu Kris kembali didapatkan
dan lengan si anak ditarik menuju ke
arah meja di tengah-tengah ruang dapur.
“Duduk dulu!” Arah Suraya dituruti
Kris. Kedua-dua mereka duduk di kerusi. Sebelah menyebelah!
“Kris nak kemana ni?” suara bimbang
seorang ibu terlontar tanpa sedar. Ya, Suraya merasa bimbang untuk melepaskan
Kris pergi jauh dari dirinya.
“Entahlah bu, kemana-mana pun Kris
tak kisah! Asalkan jauh dari sini.”
Suraya terdiam mendengar nada lirih
si anak, namun jauh disudut hati, dia sedar Kris sedang terluka dengan layanan
adik beradiknya. Yang menyokong hanyalah Khair, selebihnya, tidak sudah-sudah
memperkecil dan memperlekehkan kemampuan si bongsu yang paling disayang.
“Dah nekad? Takkanlah Kris sanggup
tinggalkan ibu?” Suraya cuba memancing simpati si anak. Manalah tahu, Kris
mengubah fikirannya semula. Dia hanya mencuba walaupun harapan yang
diharap-harapkan adalah tipis. Dia cukup kenal siapa anaknya. Kris degil, keras
kepala dan berhati batu namun masih lagi hormatkan dirinya dan jenis anak yang
tidak gemar mencampuri urusan orang lain.
“Kalau terpaksa, Kris tak ada
pilihan!” sahut Kris senada.
“Kris nak kemana ni nak? Utara,
selatan, barat atau timur?”
“Entahlah bu, Kris belum fikirkan
lagi. Apa yang nyata, Kris perlu pergi dari sini!” Kris Al-Hadi mengeluh
perlahan. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu kemana hala tuju hidupnya selepas
ini namun keputusan untuk berhijrah terpaksa diambil andai di sini sudah tiada
apa-apa lagi yang tinggal untuk dirinya.
“Kenapa tiba-tiba je Kris nak pergi
ni? Kris kecil hati dengan along dengan angah?” Suraya menebak namun Kris tetap
seperti tadi. Tidak menafikan dan tidak pula mengakuinya.
“Kalau Kris kecil hati dengan
mereka, ibu harap Kris maafkanlah mereka. Seburuk-buruk along dengan angah,
mereka tetap darah daging Kris. Tetap abang kandung Kris!” ucap Suraya cuba
memujuk hati anak yang sudah terluka.
“Tak perlulah bu… lebih baik Kris
pergi dari sini. Biar semua orang puas hati.”
Keputusan Kris Al-Hadi tidak dapat
ditentang lagi. Itulah anak bujangnya, kalau A katanya sudah tentulah A
jawapannya. Mana mungkin B ataupun C.
“Ibu minta maaf biarkan along
dengan angah cakap yang bukan-bukan tentang Kris. Sepatutnya ibu tegur
perbuatan mereka!” Suraya sudah mula rasa bersalah. Kerana membiarkan kedua
anaknya bercakap sesuka hati, salah seorang anaknya yang lain terluka dalam
diam. Kini Kris mahu pergi, tegarkah dia melepaskan?
“Kris, ibu tak sanggup biarkan Kris
pergi jauh dari ibu. Siapa nak jaga ibu nanti, siapa yang nak temankan ibu beli
pokok bunga dan siapa yang nak hantarkan ibu ke pasar?” ujar Suraya satu persatu.
Nanti, bila Kris tiada, tentu tiada
siapa lagi yang akan menemankan dirinya ke nursery
membeli pokok bunga. Tiada siapa yang akan ambil berat tentang kesihatannya
yang akhir-akhir ini sering terganggu, dan yang pasti dia hilang seorang
pembantu yang selama ini setia menemani.
“Ibu.. kalau ibu sayangkan Kris…
ibu perlu lepaskan Kris.” pohon Kris seraya memaut eat lengan ibunya. Dia
pandang wajah Suraya dalam-dalam, mengharapkan keizinan dan restu untuk
memulakan langkah pertama.
“Tapi ibu tak sanggup berjauhan
dengan Kris!” Suraya dihambat sebak.
“Kris akan sentiasa ada untuk ibu.
Cuma jarak Kris dengan ibu sedikit jauh.”
“Tapi…”
“Shh, ibu kena izinkan Kris pergi
dan doakan yang terbaik untuk Kris! Kris tetap dalam Malaysia. Tak jauh mana!”
Aju Kris seraya memaut tubuh ibunya
ke dalam dakapan. Dia sayang ibunya, dan kerana sayang itu dia harus pergi agar
insan yang disayang tidak gundah apabila melihat dia bertelagah dengan
abang-abangnya yang lain.
No comments:
Post a Comment