BAB 2
SATU
cawan berisi kopi panas diletakkan di hadapan Ardina. Mata Ardina masih
tertumpu ke arah skrin televisyen. Faira segera mencapai alat kawalan jauh
televisyen lalu ditekan butang berwarna merah.
“Ala... baru nak tengok hero mati
tadi,” rengek Ardina. Faira menggeleng seketika.
“Fai ajak Dina ke sini bukan
saja-saja tau,” balas Faira sambil menyandarkan tubuhnya di badan sofa. Cawan
yang berisi air kopi itu segera diambil oleh Ardina, matanya galak memandang
keadaan sekeliling rumah banglo dua tingkat itu. Tercuit hati Faira melihat
gelagat sahabatnya itu.
“Maaflah Fai... aku kagum dengan
rumah ni, mewah... cantik, selesa...” lebar senyuman di bibir Ardina.
Perlahan-lahan dia menyuakan cawan berkenaan ke bibirnya.
“Indah khabar daripada rupa,” luah
Faira seketika. Ardina mati kata-kata, selalu sangat dia mendengar ungkapan
berkias daripada sahabatnya itu kebelakangan ini.
Ardina meletakkan semula cawan
berkenaan di atas meja, hilang seleranya apabila melihat wajah mencuka Faira.
Terkedu Faira apabila menyedari perbuatan Ardina tadi, dia menyiku perlahan
lengan sahabatnya.
“Tak sedap ke? Kurang manis?” soal
Faira sedikit runsing.
Ardina menggeleng segera.
“Mana ada. Kau tu yang buat selera
aku hilang. Apalah sangat masalah kau ni Fai, Meer tu punyalah ramai pemuja
dulu. Kau ni macam tak ada perasaan pada dia je...” luah Ardina. Faira memeluk
kemas bantal mini yang ada di hujung sofa.
“Entahlah.” Faira menjungkit
bahunya. Menggeleng Ardina lagi, pening juga dia hendak mengurangkan beban
sahabatnya ini apatah lagi jika berkaitan dengan hal rumah tangga mereka.
“Fai, masalah kamu berdua ni
sebenarnya... tak ada komunikasi yang berkesan saja. Seorang ke laut, seorang
ke darat. Itu je masalahnya, kalau terserempak sekalipun. Sah, sah kau yang
lari dulu. Sebab tu Meer ingat kau tak suka dia, betul tak?” duga Ardina. Faira
hanya diam. Bersungguh-sungguh dia cuba memahami penjelasan sahabatnya itu.
“Itulah, aku dah pesan dulu. Meer ni
kena kau yang mulakan dulu,” sambung Ardina lagi. Terkebil-kebil mata Faira
mendengar apa yang dicadangkan oleh Ardina tadi.
“Dina, awak tak fahamlah. Situasi
kami ni memang awak tak faham,” balas Faira. Ardina menghela nafas panjang.
“Sebab ini masalah rumah tangga kamu
berdua. Aku tak nak masuk campur, aku tolong dengar saja... itu boleh. Eh, aku
nak balik dulu. Nak maghrib dah ni,” bingkas Ardina bangkit dari dudukan. Faira
mencuri pandang ke arah jam dinding.
“Dina temankan Fai makan malam
sekali,” luah Faira. Ardina mematikan langkah. Wajahnya memandang ke arah
Faira.
“Kau ni kan... aish, lemah aku.
Nanti, kalau Meer balik. Aku nak campak mana?” soal Ardina, Faira gelak kecil.
Dia turut bangun, tangannya meraih bahu Ardina.
“Dia selalunya lewat malam... Dina
teman ya? Fai nak masak sup ikan. Mesti sedap,” pujuk Faira.
“Kau ni, masak belum lagi dah puji
sendiri.” Ardina menggaru-garu kepalanya yang masih bertudung litup. Faira
senyum gembira, sekurang-kurangnya makan malam kali ini tidak sunyi.
“Nak aku tolong apa-apa?” soal
Ardina. Faira menggeleng, dia menarik lengan Ardina agar berjalan di
belakangnya.
“Dina kan tetamu, naik atas. Pergi
rehat dulu, solat. Nanti dah siap, Fai panggil.” Faira menolak tubuh Ardina
agar melangkah naik ke tangga.
“Kau?” soal Ardina.
“Fai naik nanti, Dina pergi bilik
sebelah kanan ya.”
“Eh, seganlah. Bilik kau dengan Meer
tu kan?” duga Ardina.
“Bilik tetamu,” balas Faira dengan
senyuman manis. Berkerut wajah Ardina.
“Hari tu kau kata...”
“Dah, naik... naik.” Faira tahu
Ardina sengaja mengusik dia. Setelah kelibat Ardina hilang dari pandangan, dia
melangkah ke dapur pula. Ardina tiada, sunyi pula yang terasa.
SYAMRUL
memandang wajah Syed Dameer yang khusyuk menghirup coffee latte di
hadapannya. Suasana tenang di Kafe Arjuna Seri memberi mereka masa untuk
merehatkan minda seketika. Syamrul mengetuk jarinya ke papan meja, tersedar
Syed Dameer yang ralit memandang kelibat manusia yang berpusu-pusu di luar
kafe.
“Kenapa kau tak balik lagi? Dah
maghrib ni. Nanti isteri aku kecoh pula kat rumah,” ujar Syamrul. Berkerut dahi
Syed Dameer seketika, dia merenung wajah Syamrul pula. Bila masa pula Syamrul
sudah berkahwin?
“Kau perli aku ke?” balas Syed
Dameer. Syamrul menyengih.
“Mana ada perli. Aku beri peringatan
je tu.”
Syed Dameer meletakkan semula cawan
ke meja. Dia mengurut perlahan belakang tengkuknya.
“Baliklah Meer, suruh isteri kau
yang urutkan. Aku bukan apa, kalau kau masih degil macam ni. Asyik nak lari
saja. Macam mana nak bahagia?” tegas suara Syamrul. Syed Dameer gelak kecil,
menggeleng sahabatnya itu apabila dia bereaksi sedemikian.
“Apalah kau ni Syam. Buat apa? Kalau
dia pun sama macam aku. Dia ke kiri, aku ke kanan. Susah-susah, aku...”
“Hah! Kau jangan buat main-main
Meer. Tarik balik niat kau tu. Apa bendalah kamu berdua ni, aku pening kalau
asyik fikir masalah kau. Tak fikir nanti, kau kata aku tak sayang kawan.”
Syamrul segera memotong kata-kata Syed Dameer tadi.
“Syam, jujur aku kata. Dia...
entahlah, aku rasa macam aku yang perasan seorang diri tapi dia... entah. Aku
malaslah nak fikir,” bentak Syed Dameer seketika.
“Macam ni lah. Aku dah buat
keputusan. Aku nak balik sekarang, kau nak balik ke tak?” duga Syamrul. Syed
Dameer mengangguk perlahan. Syamrul bingkas bangun, terkejar-kejar Syed Dameer
mendapatkan sahabatnya itu.
“Aku pandu,” ujar Syed Dameer.
“Dah kereta kau, kaulah yang pandu.”
Syamrul menggeleng.
Syed Dameer menghidupkan enjin kereta.
Ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh sahabatnya itu, fikir Syamrul.
“Meer, kau okey ke tak ni? Kalau
rasa tak sihat. Aku tolong pandu, aku bujang lagi ni...” luah Syamrul sambil
menepuk bahu kiri Syed Dameer.
“Aku okeylah... kenapa?” duga Syed
Dameer pula.
“Kau jumpa Nita pagi tadi, kan?”
Syed Dameer mengangguk.
“Dia halau aku,” luah Syed Dameer.
Syamrul pecah ketawa seketika.
“Gelak... gelaklah... aku turunkan
kau tepi jalan nanti. Sanggup?” ugut Syed Dameer. Syamrul mati ketawa. Dia
membetulkan kolar kemejanya seketika.
“Kau ni pun satu. Tak serik-serik,
dia dah tak nak jumpa kau. Kau paksa lagi. Cuba sedar diri sikit Meer. Faira tu
isteri kau, kau ada tanggungjawab pada dia tau. Bukan pada Nita tu,” balas
Syamrul.
“Kau dengan Nita tu sama je. Baik
kau kahwin dengan dia,” luah Syed Dameer.
“Betul ni? Eleh, bukan aku tak faham
jiwa kau tu. Mulut yelah kata macam tu. Hati tu... hati kau, rasa sama?” duga
Syamrul.
“Aku cari dia sebab Faira juga.”
Syamrul memandang wajah Syed Dameer serius. Belum pernah dia terfikir Syed
Dameer akan berkata sebegitu.
ARDINA
menjengah ke ruang dapur. Tiada pula kelibat Faira di situ, dia berjalan di
sekitar ruang tamu. Tergaru-garu jari Ardina di kepala apabila tidak tahu di
mana keberadaan Faira sekarang. Matanya menangkap tubuh seseorang yang keluar
dari bilik bersebelahan laluan ke dapur.
“Kau buat apa situ?” soal Ardina.
Faira yang menutup pintu bilik hanya membalas dengan senyuman.
“Solat,” balas Faira sambil
membetulkan butang pada leher blausnya. Ardina mengerutkan dahi.
“Bukan bilik kau kat atas?” Ardina
menunding jarinya ke tingkat atas. Faira balas dengan gelengan.
“Dah pindah.” Faira jawab selamba.
Ardina mengetap bibir seketika, patutlah dia tidak nampak langsung Faira naik
tadi sewaktu hendak solat.
“Macam hotel pulak rumah kau ni,
boleh pindah-randah. Esok kau nak pindah ke mana pula?” perli Ardina. Faira
hanya mencebik, dengan Ardina sahaja dia boleh menerima sindiran sebegitu
tetapi dengan orang lain tidak sama sekali.
“Pindahlah rumah Dina,” balas Faira.
Mencebik Ardina apabila Faira membalas sebegitu. Dia menarik kerusi di meja
makan, Faira hanya senyum puas apabila mengetahui dia telah berjaya mengenakan
sahabatnya itu semula.
“Baik kau pindah ke bilik Meer.”
Ardina bersuara. Terdiam Faira seketika. Pinggan kosong yang dihulurkan oleh
Ardina langsung tidak dia perasan. Dahinya sedikit berkerut.
“Fai?” tegur Ardina.
“Dina, rasanya...”
Pintu rumah dibuka perlahan. Terkedu
Ardina, nasib dia sudah bersiap diri sebab akan bertolak selepas makan nanti.
Wajah Syed Dameer dipandangnya seketika, lelaki itu ralit menanggalkan kasut di
kakinya. Ardina bingkas bangun.
“Fai, aku rasa baik aku balik dulu.
Iyalah, tadi Meer suruh aku hantar kau balik je. Aku pergi dulu.” Faira sempat
merentap perlahan lengan sahabatnya itu. Ardina memalingkan wajahnya ke arah
Faira semula.
“Kenapa?” duganya.
“Dina duduklah. Makan dulu, Fai rasa
Meer akan naik bilik terus. Duduklah,” luah Faira. Rasa bersalah semakin
menggunung di hati Ardina. Kalau dia cabut lari nanti pasti Faira akan merajuk
dengan dirinya kelak.
“Kau ni... aku pergi dululah.”
Ardina bertegas, lengannya yang masih dipaut kemas oleh Faira segera ditariknya
kembali. Faira terdiam. Matanya masih mencuri pandang Syed Dameer yang
merebahkan diri di atas sofa ruang tamu.
“Meer, aku dah hantar isteri kau
dengan selamatnya. Dia yang paksa aku makan, aku dah kenyang... aku balik dulu.
Fai, jaga diri.” Ardina menarik tombol pintu. Faira yang masih berdiri kaku
hanya mampu memandang kelibat Ardina hilang di pandangannya sahaja.
Syed
Dameer berdehem seketika. Faira melangkah semula ke ruang dapur.
“Kau ada masak apa?” soal Syed
Dameer. Terkedu Faira apabila dia memaling, tubuh lelaki itu betul-betul di
belakangnya. Faira menelan air liur yang tersekat di kerongkongnya.
“Sup ikan,” balas Faira. Syed Dameer
mengangguk seketika. Dia berjalan terlebih dahulu ke meja makan, apa yang
sedang bermain di fikiran Faira sekarang adalah pesanan Bonda Dahlia tadi.
“Komunikasi yang berkesan...
komunikasi yang berkesan...” bisik Faira perlahan. Syed Dameer melipat lengan
kemejanya. Faira memandangnya seketika, Syed Dameer mendongakkan wajah. Dia
mengerutkan dahi seketika apabila melihat wajah runsing Faira itu.
“Meer dah solat?” soal Faira. Inilah
kali pertama dia soal perkara sedemikian kepada Syed Dameer. Kalau selepas ini,
dia bakal diherdik oleh suaminya itu dia rela. Faira pasrah menunggu jawapan
Syed Dameer.
“Dah. Aku... er, Meer solat dengan
Syam tadi. Kat masjid bandar,” jelas Syed Dameer. Faira naik pelik. Tiba-tiba
Syed Dameer membahasakan dirinya, Meer. Pinggan kosong dihulurkan oleh Syed
Dameer segera diambil oleh Faira. Satu senduk penuh nasi diletakkan ke atas
pinggan berkenaan. Lima minit mereka membisu seketika.
“Kenapa Fai ke rumah bonda tadi?”
soal Syed Dameer. Faira sudah mengagak soalan berkenaan yang bakal ditanya oleh
Syed Dameer.
“Meer cuma nak tanya Fai hal ni kan?
Sebab tu Meer layan Fai baik,” bentak Faira. Syed Dameer menolak pinggan yang
sudah berisi nasi dan sup ikan itu ke hadapan, seleranya mati mendengar
kata-kata Faira itu.
“Okey. Fine. Fai tak pernah
nak beri Meer peluang. Bila Meer buat macam ni, Fai ingat Meer ambil
kesempatan!” balas Syed Dameer. Faira mengetap bibir. Rasanya mereka belum
pernah bertikam lidah, cuma hanya membisu setiap kali soalan yang diutarakan
tinggal soalan.
Faira bingkas bangun. Dia menahan
rasa yang sudah lama tersimpan di jiwanya sekarang. Syed Dameer membalas
pandangan mata Faira.
“Kalau Meer rasa yang Fai tak pernah
beri Meer peluang. Meer silap! Fai tak pernah nak ambil tahu hal Meer selama ni
sebab Fai beri Meer peluang. Peluang yang secukupnya kalau Meer mahukan masa.
Kenapa sampai sekarang Meer tak pernah berterus-terang? Meer jumpa lagi dengan
Nitasha, bukan?” tebak Faira. Syed Dameer melarikan pandangannya, entah
daripada siapa pula Faira mengetahui perkara berkenaan.
“Hal Nitasha bukan masalah kita,”
bidas Syed Dameer.
“Bukan masalah kita? Kalau bukan
masalah kita kenapa Meer jumpa dia secara sembunyi? Kenapa Meer tak dapat
lupakan dia?” soal Faira bertubi-tubi.
Syed Dameer mengetap bibir bawah.
Dia faham situasi akan bertambah serius jikalau dia melayan soalan-soalan itu.
Faira menahan amarah, dia memaling ke arah lain. Geram apabila Syed Dameer
asyik membisu sebegitu.
“Fai...”Syed Dameer bersuara apabila
melihat Faira melangkah pergi. Dia mengejar tubuh isterinya itu.
“Jangan buat baik dengan Fai,
bersebab. Fai tak suka!” sempat Faira meluahkan apa yang terbuku di hatinya
sebelum dia menutup kemas pintu bilik berkenaan. Terkedu Syed Dameer seketika.
Dia merapatkan tubuhnya ke daun pintu, tombol berkenaan dipegangnya padu. Dia
tahu Faira telah mengunci mati pintu berkenaan. Dia yakin.
“Meer tak buat semua ni bersebab.
Meer tak pernah bersebab untuk menikahi Fai dulu...” luah Syed Dameer lalu
melepaskan pegangan tangannya pada tombol berkenaan. Faira yang bersandar di daun pintu, terduduk di lantai
seketika. Dia menerkup kedua belah tangannya ke kepala, mahu mengusir segala
apa yang dia dengari dan luahkan tadi. Dia tidak mahu ingat walaupun sebaris kata-kata
Syed Dameer.
AZAN
subuh sudah kedengaran. Faira meringkuk baring di atas katil, dia tidak mampu
tidur nyenyak tadi. Peristiwa semalam masih berlegar-legar di fikirannya lagi.
Dia bingkas bangun, matanya mencuri lihat ke arah pintu bilik. Pasti Syed
Dameer bermalam di rumah Bonda Dahlia lagi, fikir Faira.
Dia melangkah ke bilik air.
Kesejukan air paip sedikit sebanyak menyegarkan jasadnya. Wajahnya ditatap pada
cermin. Sudah kelihatan matanya yang sembab itu, berjaga sepanjang malam tadi.
Usai menunaikan solat tadi, dia
menguak perlahan pintu biliknya. Kepalanya menjengah terlebih dahulu sebelum
dia melangkah keluar. Keadaan sunyi. Hanya kedengaran bunyi jarum jam yang
bergerak. Kakinya melangkah perlahan ke ruang dapur. Faira memandang bekas pinggan
Syed Dameer yang langsung tidak terusik itu. Silap dirinya, luah Faira di dalam
hati.
Matanya teralih ke arah sofa panjang
di ruang tamu. Ada kelihatan kot luar milik Syed Dameer. Dia ada di sini? Fikir
Faira. Dia gagahkan diri untuk melangkah ke ruang tersebut. Ada sekujur kaki
yang terjuntai di hujung sofa. Faira mengetap bibir, ternyata Syed Dameer masih
berada di sini malam tadi.
Faira mengintai dalam kesamaran
cahaya. Dia dapat melihat setiap inci wajah suaminya itu. Kekesalan mula terbit
di hatinya. Dia tahu, apa yang terjadi semalam adalah silapnya bukan Syed
Dameer. Dialah punca mereka berbalah semalam.
“Meer...” Faira mengoncang perlahan
bahu Syed Dameer. Tiada reaksi. Dia merapatkan bibirnya ke cuping telinga
lelaki itu.
“Meer, bangun...” bisik Faira
beberapa kali. Tubuh Syed Dameer bergerak sedikit. Gelabah Faira mengundur diri
sehingga terjelepok jatuh di sebelah meja kecil, alat kawalan jauh yang berada
di bucu meja terjatuh sama.
Tegak badan Syed Dameer bangun dari
pembaringan. Terkebil-kebil matanya memandang ke arah meja berkenaan. Faira
yang sudah terduduk di atas lantai hanya mampu menerkup mulutnya. Wajah Syed
Dameer yang baru terjaga itu membuatkan Faira tercuit hati. Kali pertama dia
melihat suaminya sebegitu. Sebelum ini, dia hanya melihat wajah Syed Dameer di
pintu rumah sahaja.
Apabila melihat Syed Dameer mahu
merebahkan tubuhnya, Faira segera menghalangnya.
“Meer, dah subuh. Bangun!” arah
Faira.
“Hurmm...” rengek Syed Dameer
seketika. Menggeleng Faira. Dia meletakkan telapak tangannya di dahi Syed
Dameer. Mana tahu lelaki berkenaan jatuh sakit sebab perbalahan semalam. Mana
tahu, getus hati Faira.
“Meer...” ulang Faira sambil meraup
perlahan wajah suaminya itu.
“Jangan tinggalkan Meer...” tangan
yang melekap di dahi Syed Dameer kini berada di pelukan lelaki berkenaan.
Terdorong tubuh Faira ke arah dada bidang Syed Dameer.
“Meer!” jerit Faira apabila
menyedari tangan Syed Dameer mula merayap ke tempat lain. Terbeliak mata lelaki
berkenaan, pelukan tangannya segera dileraikan. Terduduk Faira sekali lagi.
“Apa Fai buat ni?” soal Syed Dameer
tidak puas hati. Dia membelek pakaian yang membalut tubuh badannya. Faira
menggosok belakang pinggulnya, tidak semena-mena dia ditimpa musibah pagi-pagi
buta.
“Fai yang patut tanya Meer. Apa Meer nak buat
tadi?” balas Faira. Syed Dameer menonyoh perlahan kelopak matanya.
“Buatlah apa-apa yang Meer boleh
buat tadi,” jawabnya selamba. Faira bangkit segera, dia melangkah untuk
meninggalkan Syed Dameer tetapi lengannya dipaut mengejut oleh Syed Dameer.
“Kalau Fai tak dapat terima diri
Meer lagi. meer sanggup tunggu,” bisik Syed Dameer. Faira menelan air liur. Dia
keliru sebenarnya. Kenapa seperti dia yang bersalah dalam hal ini? Sedangkan
Syed Dameer yang melayannya seperti orang asing sebelum ini.
Pegangan
tangan Syed Dameer pada lengan Faira itu terlerai juga. Syed Dameer melangkah
ke arah tangga, Faira mengekori langkah Syed Dameer dengan ekor matanya. Dia
terkedu seketika.
Tudung yang dipadankan dengan baju
kurung pahang dibeleknya seketika di hadapan cermin. Dia sudah mendengar enjin
kereta milik Syed Dameer tadi. Pasti suaminya akan pergi keluar sebentar lagi.
Dia mengintai kelibat Syed Dameer dari celah pintu yang tidak ditutup rapat.
Keadaan sunyi, pasti Syed Dameer sudah tiada.
Faira memandang ke arah ruang tamu.
Galak matanya memandang ke sekeliling ruang. Dia berpaling ke arah ruang dapur.
Bibirnya digetap rapat, ada Syed Dameer yang sedang elok berdiri di bucu meja.
Matanya menangkap wajah Faira.
“Aku hantar kau pagi ni,” ujar Syed
Dameer. Faira lega. Lega kerana dia lebih selesa dengan diri Syed Dameer yang
ini.
“Dina...”
“Aku dah call dia tadi.” Syed
Dameer melangkah ke arah Faira, dia menyarung kot luarnya apabila menyedari
Faira masih belum berganjak.
“Aku tak buat ni sebab nak ambil
kesempatan. Mulai hari ni, aku akan selalu hantar kau.” Syed Dameer meragut beg
galasnya yang elok terbaring di atas sofa panjang. Dia duduk semula untuk
memakai stoking di kakinya. Faira bergerak ke kabinet kasut. Dia mengeluarkan
kasut miliknya, tangannya teragak-agak untuk mengambil kasut milik Syed Dameer.
“Yang paling hujung sekali.” Syed
Dameer bersuara. Seolah-olah gerak geri Faira tadi sentiasa dia perhatikan.
Cepat tangan Faira mencapai kasut kulit yang berada di hujung kiri. Dia meletakkan
di atas lantai. Baru sahaja hendak memalingkan wajah ke arah Syed Dameer,
lelaki itu sudah berdiri di sebelahnya.
“Petang nanti mama suruh datang
makan malam bersama. Aku ambil kau,” pesan Syed Dameer sebelum dia membolos
diri keluar. Faira mengangguk perlahan. Sebenarnya, dia lebih selesa dengan
Syed Dameer yang semalam.
FAIRA
membelek stok pakaian yang baru sahaja sampai dari
kilang awal pagi tadi. Ardina yang kebetulan baru keluar dari ruang belakang
tersenyum melihat kelibat Faira. Nampaknya kali ini Faira tidak lagi termenung
seperti kebiasaan. Tangannya mencuit bahu Faira seketika.
“Happy nampak? Caddle
light dinner ya malam tadi?” usik Ardina.
“Dina ni memang... suka mengusik,”
mencebik bibir Faira. Ardina tergelak kecil.
“Jadi?” soal Ardina. Faira naik
pelik. Bertaut rapat keningnya memikirkan soalan pendek Ardina itu.
“Jadi apa?” soal Faira semula.
“Semuanya baik-baik, kan?” duga
Ardina pula. Faira memandang ke sekeliling, dia menarik lengan Ardina sehingga
mereka berada di ruang rehat di hujung laluan belakang. Terkebil-kebil wajah
Ardina melihat reaksi Faira sebegitu.
“Ada apa sebenarnya?” soal Ardina.
Kali ini Faira menunjukkan isyarat agar dia diam. Ardina mengangguk perlahan.
“Fai rasa Meer...” wajah Faira
kelihatan runsing.
“Kenapa dengan dia?” soal Ardina
cemas.
“Dia macam tak sihat.” Ardina
menahan gelak apabila mendengar kata-kata Faira itu. Cepat sahaja Faira mencubit lengan Ardina apabila dia
menyedari dirinya bakal ditertawakan oleh Ardina lagi.
“Apalah kau Fai... apa benda yang
dia buat semalam sampai kau kata dia tak sihat? Cuba bagi aku klu. Biar aku
faham,” pinta Ardina. Faira mengetap bibir. Dia tidak akan sesekali memberitahu
perihal mereka bertikam lidah kepada Ardina. Dia tidak akan bercerita. Faira
menggeleng seketika.
“Ke kau yang tak sihat ni Fai?
Menggeleng seorang diri ni... Fai, aku banyak kerja lain, kalau kau rasa tak
sihat badan ke. Baliklah, aku hantarkan. Nak?” soalan Ardina dibalas dengan
gelengan.
“Tak ada apalah Dina. Mungkin Fai
yang banyak fikir,” ujar Faira. Ardina menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu. Dia
memandang wajah Faira seketika.
“Mungkin kau lupa Fai, aku ni kan
kenalan Meer waktu kat kolej dulu. Cuma dia yang terlajak pandai, sambung
ijazah. Aku ni yang merempat cari kerja kat sini. Aku kenal dia, sebab tu aku
suruh kau bertindak dulu. Dia takkan buat sesuatu dengan sebab yang remeh.
Semua perkara dia ambil serius. Kau kena cuba kenal dia dulu ya?” pinta Ardina.
Faira hanya mendengar, sudah puas dalam tempoh dua tahun ini dia cuba mendekatkan
diri dengan Syed Dameer tetapi lelaki itu yang seperti mengasingkan diri. Dia
sendiri tidak pasti, samada semua itu adalah anggapan dia ataupun perkara yang
sebenarnya.
“Sebenarnya, perkara yang bonda
beritahu Fai semalam yang buat Fai fikir macam ni.” Faira menunduk wajah.
“Perkara apa? Kau tak cerita kat aku
semalam. Mesti kau gelabah sangat sebab nampak Meer balik waktu tu.” Ardina
mengusik lagi.
“Miss!”
Perbualan mereka terganggu dengan
kehadiran seorang lelaki di ruang hadapan. Ardina melangkah terlebih dahulu.
Faira memandang ke arah lelaki tersebut. Bersungguh-sungguh dia mengintai wajah
pemilik tubuh tinggi lampai itu.
Faira mengalihkan pandangan apabila
menyedari lelaki berkenaan turut mencuri pandangnya seketika. Ardina melangkah
ke arah Faira yang berdiri di hadapan kaunter, wajahnya sedikit ceria memandang
Faira. Naik pelik dia melihat gelagat Ardina itu.
Matanya mencari kelibat lelaki
berkenaan. Sudah hilang dari pandangan. Sekeping kad dihulurkan oleh Ardina
kepada Faira.
“Siapa?” soal Faira.
“Entahlah aku tak ingat sebab muka
dia buat aku terpesona tadi.” Ardina gelak kecil. Menggeleng Faira sambil
mengambil kad yang dihulurkan oleh Ardina itu.
Matanya
menyoroti nama yang tertera di atas kepingan kad berkenaan.
“Kamirul Razilin.” Faira berfikir,
dia seperti pernah mendengar nama ini dan wajah lelaki tadi seperti pernah
dilihatnya juga. Namun, dia tidak pasti bila dan di mana.
“Aku bawa stok baju ni ke belakang
dulu.” Ardina melangkah ke ruang belakang semula. Faira yang cuba mencari
kelibat lelaki berkenaan di laluan luar Butik Busana Dahlia tetapi gagal. Dia
memandang kembali kad yang berada di tangannya itu. Kamirul Razilin, siapa dia?
Fikir Faira lagi.
No comments:
Post a Comment