Friday 16 January 2015

CINTA HATIKU ENCIK NAGA BY ADAH FIRAISAA

BAB 1
Adah Firaisaa Jsd


‘BIARKAN rembulan menyaksikannya
Biarkan hujan membasuh dosa
Nanti perlakukah terhadapmu oh kekasihku.. huuu’

Laju Marha mencapai telefon bimbitnya sebaik sahaja nada dering lagu Kepangkuanmu, nyanyian Shima untuk drama Susuk kedengaran. Sebaik sahaja telefon bimbit itu dilekapkan di telinga. Kedengaran suara keras menerjah dengan soalan.
 Mung kat mana?”
Serta merta bahu Marha terhenjut gara-gara terkejut mendengar soalan yang dilontarkan dengan suara kasar dan keras sebegitu.
“Marha kerjalah abang, kenapa? Abang sihat? Lama tak dengar khabar. Kak Mila okay?” soal Marha lembut. Setiap tutur katanya diatur dan disusun dengan penuh tertib, risau kalau tersalah cakap, maki hamun pula yang menjadi halwa telinga nanti.
“Tak payah nak tanya khabar sangatlah. Tak penting pun untuk mung tahu!” Herdik suara itu lagi. Marha diam. Kalau ikutkan hatinya yang tidak sabar, mahu sahaja membalas balik apa yang dikatakan. Memandangkan yang sedang bercakap itu adalah abang sulungnya. Seorang yang wajar dia hormati sebagai pengganti arwah abah dan arwah mama sebagai orang tua, dia akhirnya akur bahawa dia perlu tebalkan iman, kuatkan hati dalam mengharung kata-kata kesat dan herdikan yang diberikan.
“Yelah, abang nak apa? Cakap cepat sikit. Nanti bos nampak, bising pula. Marha tak nak kena cop curi tulang.” Suaranya perlahan berbisik.
“Bagi aku duit, aku nak lima ribu.” Pinta Amir tanpa segan silu. Rahang Marha bagai nak tercabut. Dia terkedu.
Banyaknya! Apa abang nak buat dengan duit sebanyak tu? Otak Marha berbicara.
“Lima ribu? Banyaknya abang, abang nak  buat gapo banyak gitu mo?”
“Eh! Mung jangan banyak soal boleh. Ada ke tidak? Aku nak! Aku tok sey pinjam, tapi aku nak!” Suara Amir meninggi kembali. Marha manjauhkan sedikit telefon bimbit daripada telinganya.
Sakit!
Suara kuat itu menusuk terus ke gegendang telinga. Marha menarik nafas menahan perasaan.
“Abang, Marha bukan tak nak bagi, tapi Marha tak ada duit sebanyak tu sekarang. Kalau seribu Marha adalah. Seribu boleh abang?” Marha masih cuba bersabar dan berunding. Iyalah, lima ribu tu! Mana nak cekau? Semua duit dia simpan dalam Amanah Saham Berhad, dan dia dah tetapkan hanya enam bulan sekali duit yang disimpan di dalam ASB itu di keluarkan. Ini baru bulan tiga, belum sampai bulan enam lagi. Kalau duit untuk cukup-cukup makan adalah.
“Seribu?? Seribu nak buat apa? Eh mung lupa ya? Mana pergi duit mung banyak-banyak? Dahla mung mengampu arwah abah letakkan nama mung atas duit simpanan dia, rumah kat kampung pun abah bagi kat mung, aku sebagai anak sulung ni macam bukan anak je! Lima ribu takkan berkudis kot?” marah Amir.
“Abang, apa lagi yang abang ungkit ni? Bukan ke semua duit Marha dah bahagi sama rata, duit bahagian Marha pun Marha dah serah kat abang, takkan abang dah lupa?” Marha cuba mempertahankan diri sendiri. Dia mula sebak. Kenapa abang ungkit lagi? Bukan salah aku!
“Eh, kalau mung tak nak tolong sudahlah! Banyak pulak bunyinya. Aku tak mengakulah ada adik macam mung! Mintak tolong sikit pun berkira. Kedekut sangat! Bawaklah harta tu masuk kubur!! Sial!”  jerit Amir. Kemudian terus dimatikan panggilan.
Marha menarik telefon bimbit di telinga perlahan ke atas ribanya. Tangan kirinya menekup mulut, menahan suara esak tangis daripada di dengar oleh staff  Raff  Binaan Sdn. Bhd. Air mata tumpah juga akhirnya. Tak mampu menahan setiap kata yang ditujukan pada dia, hanya dengan juraian air mata inilah yang mampu menguatkan hatinya semula.
“Marha!”
Tiba-tiba pintu bilik dikuak laju. Sepantas kilat Marha mengesat air matanya di pipi. Kiera yang berdiri di hadapan pintu tergamam.
“Kenapa masuk office aku tak ketuk pintu dulu?” soal Marha dengan suara yang serak kesan menangis.
“K...Ka...k... eh! kau macam tak biasa dengan aku pulak. Aku kan selalu masuk bilik kau macam ni. Kau kenapa menangis?”
Pintu bilik pejabat ditutup rapat.
“Jangan buat-buat tak tahulah. Macam biasa, mereka waktu susah akulah yang mereka cari. Bila dah senang lenang. Mereka buang aku macam anak pungut je gayanya.” Jawab Marha laju tanpa berselindung. Air matanya jatuh lagi dari tubir mata. Kali ini dia betul-betul tak mampu menahan bibirnya daripada bercerita. Kisah yang berlaku antara mereka adik-beradik dah lama sangat berlaku. Tetapi dari tahun ke tahun, hari ke hari, bagi abangnya, Amir, semua ini seperti baru sahaja berlaku. Setiap kali kemahuannya tak dapat Marha penuhi, apa lagi, pasti kisah ini di ungkit. Allahurabbi... sesak di dada hanya Allah yang tahu.
“Marha… sabar. Aku ada dengan kau. Jangan sedih okay. InsyaAllah. Pegang kata-kata aku. Dia akan berubah. Walaupun bukan hari ini, mungkin esok, lusa. Allah sayangkan kau, sebab itu Allah berikan kau ujian ni. Hidup aku mungkin lain pula ujiannya. Dahla, aku tak suka kawan aku sedih-sedih macam ni. Nanti awan mendung duk payung je company kita ni, semua orang rasa sejuk, malas nak kerja. Sebabnya? Sebabnya pengurus kewangan kita ni muncung, masam mencuka. Abang-abang staff kat luar tu mana boleh tengok kau tak senyum, mahu diorang ikut kau sekali moody. Tak naklah aku kerja dalam mood tak elok. Senyum please….” Kiera, kawan merangkap pembantunya cuba memulihkan keadaan. Marha senyum dalam air mata.
“Thanks Kiera, even kau tahu aku tak boleh berhenti bila menangis, kau tetap nak buat aku tak menangis. Tapi aku mintak maaf, aku senyum lebar mana pun kalau air mata ni dah keluar, payah sangat nak berhenti.” Jawab Marha perlahan.
“Aku tahu. It’s okay. Kau rest dulu okay, anyting call aku. Menangis puas-puas, tapi jangan sampai bengkak mata sudah. Nanti staff lain tanya, aku malas nak ‘mengcover’. Esok aku balik Perak, kau jangan nakal-nakal, jangan tertekan sangat tau? Ada ngerti?”
“Faham bos!”  Marha menangguk, namun air matanya masih lagi tak mahu berhenti.
“Terima kasihlah panggil aku bos, merasa jugak aku dengar panggilan tu.” Usik Kiera sambil bangun dan menapak keluar. Marha senyum dalam air mata.
Biarlah Marha melepaskan perasaanya sebentar. Berat sangat dugaan yang dia hadapi, sesekali harus dilepaskan juga.


“APALAH nasib badan, kenapa aku selalu dipinggirkan keluarga sendiri? Betul pesan arwah mama dan arwah abah, jangan terlalu mengharap walaupun adik-beradik sendiri, sebab semuanya manusia. Masing-masing punyai perasaan dan rencana sendiri dalam kehidupan.  Aku pulak? Bila diperlukan, mereka tetap  akan mencari walaupun aku berada jauh di luar negeri. Tetapi,  bila aku tidak diperlukan, sebelah mata pun tak mahu pandang. Sahkan mahu menegur atau bertelefon bagai untuk bertanya khabar. Sudahlah Marha, jangan kau mengharap mereka akan berbaik-baik dengan kau macam dulu. Mereka yang sekarang bukan macam dulu!” suaranya perlahan namun tegas memarahi diri sendiri.
Sekali lagi dia mengeluh sambil termenung di balkoni penthousenya. Air mata mengalir lagi malam ini tanda hatinya rasa sakit, namun dia tahu dia harus kuatkan semangat. Tak boleh terus menerus melayan kerenah keluarganya.
Entah kali yang ke berapa bumbung dunia itu dipandang untuk meluahkan perasaan. Berpura-pura mengira permata langit itu sedikit sebanyak memberi dirinya kekuatan untuk melupakan kisah dukanya. Bila hampir lenguh mulutnya menguap, baru dia bergerak meninggalkan balkoni itu.
Tak sangka, dia fikir dalam tempoh lima tahun pemergian orang tua mereka, adik beradiknya akan menerima apa yang telah diwasiatkan. Namun hari ini, Abang Amir sekali lagi mempersoalkan kenapa abah memilihnya sebagai penama bagi aset yang ada. Bukannya abah tak bagi langsung harta pada anak-anak yang lain, hanya kerana rumah pusaka dan duit simpanan abah atas namanya, sehingga sekarang mereka adik-beradik bermasam muka. Bila dimaki, dituduh sembarangan, hati dia tetap terguris walau dia redha dengan ketentuan yang ada.
Marha bangun dan bergerak mendekati katil. Sambil berbaring otaknya masih ligat memikirkan jalan terbaik untuk keluarga mereka bersatu semula. Memang dia boleh hidup sendiri dengan apa yang dia ada sekarang, namun apalah erti kehidupan tanpa darah daging sendiri bersama-sama. Puas berkalih ke kiri dan kanan,  akhirnya, malam itu dia terlelap dan tidurnya menelan kisah sedih yang berlaku siang tadi.
Penthouse Pelangi Mall, di tengah-tengah Bandar Kota Bharu ini dibeli hasil titik peluhnya yang bekerja sebagai Pengurus Kewangan di Raff Binaan Sdn. Bhd dan juga dicampur sedikit wang simpanannya ketika bekerja sambilan di universiti dulu. Dia mewarisi sikap arwah ayahnya yang pandai berjimat dalam menguruskan kewangan, jadi, tidak hairanlah jika di usia 25 tahun, dia sudah mampu  membeli penthouse yang sederhana besar ini.
Keluarganya tidaklah berada sebenarnya, hanya hidup dalam suasana sederhana dan biasa-biasa sahaja. Namun dia langsung tidak betah tinggal di rumah peninggalan arwah kedua orang tua kerana adik-beradiknya yang lain sering mempertikai keputusan arwah ayah yang memberi rumah  pusaka itu kepadanya.
 Kini walaupun tanah pusaka itu di atas nama Marha Karmila binti Mohammad Fikran, dia dengan senang hati membenarkan kakak kesayangannya, Mursyida Khalisa tinggal di situ. Hanya kakak itu yang selalu membelanya, hanya kakak itu memahaminya. Abang Amir, Abang Zarif, Kak Tina dan Abang Uda pula, hanya menganggapnya adik-beradik jika mereka memerlukan bantuannya sahaja. Dia sedar tuhan telah mengaturkan segalanya dalam kehidupan seorang manusia, jadi, dalam menikmati takdir hidup dia hanya mampu bersabar dan redha andai ada duri-duri kecil cuba mengguris perasaan dan jiwa. Lagipun, dengan membiarkan kakaknya tinggal di situ, sekurang-kurangnya mengurangkan beban keluarga kakaknya yang juga tidak berapa senang memandangkan abang iparnya hanya bekerja kampung. 
Sebulan sekali, dia memberi sedikit wang kepada kakaknya untuk sama-sama menyara anak-anak saudara yang teramat dia sayangi. Banyak kali abang iparnya menolak wang dia berikan, namun atas alasan hadiah kepada anak-anak saudara yang selalu mengisi hidupnya, kakak dan abang iparnya terima juga. 
Seringkali abang ipar dan kakaknya mengusik, “Mar, kalau dah nak sangat hidup terisi, kahwinlah cepat-cepat. Nanti terisi la dengan  suami dan anak”. Namun, dia hanya ketawa dan mencipta seribu satu alasan untuk memulakan hidup berumahtangga.
Bagi dirinya, cinta sejati untuk di bawa ke alam kehidupan dan diaplikasikan dalam rumahtangga bukanlah permainan. Perlu ikhlas dan memerlukan tuntutan perhatian yang sebetulnya demi memastikan cinta dan alam rumahtangga aman dan harmoni. Sekaligus dia sedar bahawa dia masih belum sedia untuk mengabdikan dirinya untuk tuntutan yang satu ini. Hidupnya masih di kelilingi kesibukan kerja dan juga luka-luka yang di hadiahkan oleh adik-beradiknya yang lain, serta tersimpan memori pahit yang disimpan sendiri selama ini.
Selain itu, risau bila berumah tangga, dia asyik melayan kerja dan perasaan sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri. Lagi pun dia selalu mengatakan jodoh telah di tentukan oleh tuhan, maka dia jarang memikirkan masalah jodoh walaupun seringkali ditanya oleh ibu-ibu saudaranya. Jawapan yang diberikan hanyalah senyuman manis yang menjadi harapan semoga soalan  itu tidak di ulang lagi.


“MAMA, abah. Kenapa Abang Amir, Abang Zarif, Kak Tina dan Abang Uda layan Karmila macam ni? Siapa Karmila pada mereka, kenapa mereka benci sangat pada Karmila ni mama?” Lirih suara Marha Karmila bertanya kepada kedua orang tuanya. Encik Fikran hanya tersenyum memandang wajah anak kesayangannya. Anak yang selalu menurut kata. 
“Sabar sayang, Karmila dah lupa apa pesan abah? Allah sentiasa bersama orang-orang yang bersabar. Hari ini Karmila terluka, sedih, tapi percayalah sayang, kebahagiaan akan menjelma, akan bersemuka dengan Karmila satu hari nanti. Abah dan Mama selalu doakan Karmila, Karmila pun jangan lupa, doakan mama dan abah kat sini tau. Anak yang baik, akan selalu mendoakan kedua orang tuanya, kan?” pesan Encik Fikran.
Puan Siti Norsyahadah mengucup dahi Karmila. “Sayang, jangan mengikut perasaan kamu sangat. Ingat, Allah bersama orang yang bersabar.. Assalamualaikum sayang. Semoga anak mama dan abah lebih teguh, lebih tabah menghadapi hari- hari yang bakal mendatang”. Karmila mula menangis,  rasa baru berjumpa ibunya kenapa harus berpisah lagi.
“Mama! Janganlah pergi dulu, Karmila tak nak lagi rasa keseorangan mama, abah. Temanilah Karmila, Karmila sunyi ... setiap hari hidup Karmila hanya dengan kerja. Semua ni untuk lupakan apa yang telah berlaku. Mama, abah, please. Jangan tinggalkan Karmila lagi.” kata Marha dalam sendu. Namun kedua orang tuanya hanya tersenyum dan berlalu. Dia cuba mengejar namun kakinya bagaikan di rantai, kaku diam di atas bumi dan di antara abah dan mama, dia melihat satu pasangan tersenyum kepadanya, namun siapakah mereka berdua?
Hanya mata yang menghantar  pemergian mereka ditemani sendu. Dia memejam matanya, menangisi perpisahan itu dan terlupa terus pada pasangan yang memandangnya. Sebaik sahaja dia membuka mata, dia bukan lagi berkeadaan seperti tadi, dia memerhati sekeliling. 
Di sini ada bantal, almari, kerusi, oh! Aku di bilik rupanya. Huh! Bermimpi lagi nampaknya. Bisik hati kecilnya.
Namun matanya berair, basah. Kesan menangis dalam mimpi tadi mungkin. Kuat betul penangan mimpinya tadi, hingga di luar mimpi dia turut menangisi pemergian orang tuanya.
Memang sejak akhir-akhir ini, dia sering merasakan kesunyian. Hatinya rasa kosong. Mungkin ini yang kakaknya katakan, kekosongan yang perlu diisi dengan lelaki atas nama suami. Namun, bagaimana dia mahu bersuami? Dengan keadaan dirinya sahaja yang mengetahuinya. Selama ini apabila di tanya ibu saudara, kakak, dia hanya tersenyum dan alasan masih belum bersedia memberi tumpuan kepada keluarga, namun hakikatnya, tersimpan kisah duka. Adakah insan yang bergelar lelaki mahu menerima perempuan yang sepertinya? Dirinya yang penuh kekurangan berbanding wanita-wanita lain. Itu yang membuatkan dirinya tak pernah membuka hati kepada mana-mana lelaki yang cuba mengetuk  pintu  hatinya.
Dia duduk termenung di birai katil. Masih menangis, merindui arwah mama dan arwah abah. Kenapa cepat mereka meninggalkan dia. Dulu, jika adik-beradik lain bergaduh dan mengusiknya, dia masih ada Mursyida, mama dan abahnya. Namun selepas abah dan mamanya pergi dia bagaikan hilang tempat mengadu dan bermanja.
Selepas peristiwa dia dan abang Amir bergaduh, hanya Mursyida yang setia menampung duka di hatinya. Dia bukan meminta rumah pusaka itu, bukan meminta duit simpanan abah diletakkan atas namanya. Dia juga tidak sangka bahawa selepas pemergian abah, seorang peguam datang memberikan wasiat. Sebab itulah semua adik beradik yang lain marah benar dengan dirinya. Dia dituduh mengampu harta abah. Hati mana yang tak cedera jika dituduh membuat perkara sebegitu sedangkan waktu itu dia masih belum lagi pulih daripada kesedihan pemergian mama dan abahnya.
Bila difikirkan semula, kenapa sebenarnya mereka masih memerangi dirinya? Sedangkan, tiga per empat daripada jumlah duit simpanan abah dibahagi sama rata antara mereka enam beradik, malah bahagiannya juga turut habis diberi kepada Abang Amir. Sesuku lagi baki yang ada diberikan pada rumah anak-anak yatim mengikut wasiat ayahnya. Apa lagi yang mereka mahu, dia sendiri tidak memahami. Yang dia tahu, menurut segala kata abang dan kakaknya, supaya tiada sengketa antara mereka. Setiap tahun, ulang tahun kelahiran mereka Marha raikan, kadang-kadang, berhabis juga. Namun, walaupun dia menurut, mereka tetap bermasam muka dengan Marha. Habis segala ikhtiar dilakukan, namun hubungan itu tetap hambar, tawar, setawar air sungai.
Lima tahun dia merasakan dia hanya dua beradik dengan Mursyida, hari raya pun, di sambut dengan Mursyida juga. Hanya pulang sekejap di pagi raya, bertemu saudara mara yang ada, dan selepas itu, dia hanya duduk membaca Yaasin di kubur arwah abah dan mama. Tiada istilah raya kedua, ketiga, keempat dan seterusnya dalam hidup dia. Hanya kerja yang dia utamakan  untuk memenuhi ruang yang kosong di hati.

No comments:

Post a Comment