Saturday 29 November 2014

MIMPI KITA SAMA BY WAWA AKIL

BAB 6

http://wawaakil.blogspot.com/2014/11/mimpi-kita-sama-bab-6.html

Airis menekan butang merah pada handphonenya. Beberapa kali dia memandang Samsung galaxy Meganya. Entah apa yang bermain dibenak fikirannya tika ini. Tetapi yang dia pasti, hatinya begitu gundah.
Dia tarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembusnya kembali. Fikirannya menerawang mengingatkan perbualan dengan Khaled Zidan tadi. Keluhannya dilepaskan lagi.
Khaled Zidan memang sudah betul-betul gila. Bukan setakat gila tetapi sudah tahap meroyan.
Dia bangun. Hasratnya mahu ke pantry untuk membancuh milo panas. Hajatnya mahu bersarapan di café bersama Balkis terpaksa dibatalkan. Dia sudah hilang keinginan untuk makan. Seleranya mati. Tertutup  rapat.
Dia berselisih dengan bapa saudaranya yang juga mahu ke pantry. Pelik! Jarang Imran ke pantry. Biasanya hanya kakitangan yang malas sepertinya saja yang menggunakan kemudahan di pantry berkenaan.
“Paksu tak keluar ke?” soalnya. Mereka beriringan masuk ke pantry. Imran geleng. Tengahari ni dia mahu keluar lunch bersama Datuk Salim, jadi sementara menunggu waktu tengahari, dia mahu mengalas perutnya dengan benda-benda ringan.
“Mmm.. paksu nak keluar lunch kejap lagi. Tapi perut ni lapar pulak. Kat rumah tadi tak sempat nak sarapan. Si kecil tu meragam, Maksu tak sempat nak sediakan sarapan pagi,” dia bercerita.
Biskut dalam tin dibukanya. Dia bangun untuk memanaskan air. Dua cawan milo dibawa ke meja. Satu diserahkan kepada Airis.
“Kakak pula kenapa? Kakak belum sarapan lagi ke?” soalnya pula. Hairan juga dia, selama ini Airis sentiasa menjaga pemakanannya. Sarapan pagi tidak pernah diabaikan.
“Tak kot. Rasa malas pula nak turun ke café,” katanya. Tetapi dalam hatinya lain pula berkata, tak ada selera kerana seleranya hilang sebaik saja Khaled Zidan dapat menjejaki dirinya melalui Anita.
“Mmm.. jangan skip sarapan,” dia bawa air yang sudah siap dibancuh. Satu untuk dirinya dan satu untuk Airis. Sesekali buat air untuk anak saudara tak ada salahnya. Dari dulu dia kerap memanjakan Airis.
“Kakak masuk dulu. Nak sambung buat kerja. Deadline sudah dekat,” Airis bangun.Deadline hanya sekadar alasan saja, sebenarnya dia tiada mood. Semua gara-gara lelaki tak cukup sifat itu.
Dia tahu pasti Imran sudah mengetahui mengenai Harian Kota yang disaman dan dia pasti surat saman itu sudah berada diatas meja paksu dan mungkin salinannya sudah difax kepada waliq, sebagai pemilik Harian Kota.
Beberapa kali dia menggeleng kepala mengingatkan saman berkenaan. Sepanjang dekat 10 tahun bekerja dia tidak pernah disaman. Rekodnya bersih tetapi hari ini bukan saja rekodnya tercemar, rekod bersih Harian Kota juga turut musnah.
Dia menuju ke sinki untuk membasuh cawan yang digunakan tadi.
“Mmm.. tengahari turun makan. Nanti kosong pula perut tu. Kakak ada gastrik nanti tak pasal-pasal kakak pengsan kat office,” dia mengingatkan Airis. Kalau tidak diingatkan pasti anak saudaranya itu lupa untuk makan.
‘Okey..”
“Kejap kakak,” panggilnya. Airis yang mahu melangkah keluar tidak jadi berbuat demikian. Dia masuk dan kembali berlabuh disisi Imran.
“Paksu dengar mama carikan kakak calon suami?  Betul ke?” soalnya. Dia tahu pun melalui abang iparnya semalam yang bercerita kakak sulungnya itu mengatur dinner untuk Airis berkenalan dengan anak Datin Juwairiah.
Dia tarik nafas lega. Ingatkan Paksu mahu bertanyakan pasal saman.
“Siapa cakap dengan paksu? Mama atau Aida?” soalnya. Serkapnya. Bukan dia tak tahu perangai si adik dan dia lebih kenal siapa mamanya. Benda-benda macam ni gerenti mama akan berkongsi dengan adik kesayangannya itu.
Imran geleng. Serkap jarang Airis tidak mengena.
“Habis? Kalau tak mama dan Aida, siapa lagi,” soalnya. 
“Waliq,” pendek saja dia berkata.
“Waliq? Biar betul…” beberapa kali Airis menggelengkan kepalanya. Macam tak percaya,”
“Apa lagi walidq cakap?” dia ingin tahu. Manalah tahu waliq ada bercerita sesuatu kepada bapa saudaranya itu.
“Mmm.. takde apa pun. Semalam kebetulan waliq kakak telefon, tanya kakak dah balik ke belum. Bila dah sembang-sembang tu terkeluarkan cerita mama sibuk mahu mengkenenkan kakak dengan Darius tu,”
“Kenapa kakak tak cakap dengan paksu,” soal Imran. Pelik juga dia selama ini anak saudaranya tidak pernah merahsiakan apa-apa daripadanya. Jadi apabila abang iparnya bercerita semalam dia sedikit terkejut.
Airis terdiam. Dia bukan mahu  menyembunyikan cerita itu daripada Imran tetapi segam bila melihat kesungguhan mama mahu mencari calon suami untuknya.
 Kenapa? Kakak tak berkenan ke dengan Darius tu?” dia cuba menebak hati anak saudaranya. Memanglah dia tahu selama ini Airis tidak berkenan dengan Darius tetapi siapa tahu benci akan bertukar menjadi sayang.
“Gila apa paksu ni…” dia tampar bahu Imran. Paksu ni agak-agaklah kalau nak bergurau pun. Jika diberi Darius tu secara percuma kepadanya belum tentu dia mahu menerimanya.
“Paksu nak tengok kakak merana?” soalnya. Mulutnya diherok. Wajah Imran dipandangnya. Bukan Imran tidak tahu sejarah hidup Darius sebelum ini tetapi bapa saudaranya itu masih lagi bertanya soalan tidak berapa logik.
“Saja je paksu nak uji kakak. Mmm.. entah apa yang kakak benci sangat dengan Darius tu. Dia ada pernah buat sesuatu pada kakak?” dia bertanya.
Manalah tahu diluar pengetahuannya Darius melakukan sesuatu sehingga membuatkan anak saudaranya itu agak ketara membenci temannya itu.
Cepat saja Airis menggeleng. Hish mana ada. Nak dekat dengan Darius pun dia takut apatah lagi mahu berbaik-baik dengan lelaki itu. Darius saja setiap kali datang ke rumahnya bertemu Imran cuba untuk mendekati dirinya.
“Hish mana ada… kakak bukan benci dia tetapi kakak tidak suka sikapnya. Dia playboy, wanita keliling pinggang, kelab malam jadi rumah keduanya dah tentu bertemankan minuman keras,”
Imran diam. Dia bersetuju sepenuhnya dengan apa yang diperkatakan Airis tadi. Dia bukannya tidak pernah bertembung dengan Darius yang mengunjungi kelab-kelab malam. Mengangkut wanita hingga ke bilik hotel.
Dia pun bukannya baik sangat kerana dia juga pernah mengunjungi kelab malam atas urusan bisness tetapi tidaklah sampai minum dan mabuk-mabuk. Kalau boleh dielak, dia akan elak untuk tidak berurusan dengan orang-orang seperti ini.
 “Jadi pandai-pandailah kakak berbincang dengan mama. Jangan sampai Datin Umi Kalthumyang anggun lagi jelita kita berjauh hati dengan kakak nanti. Kita sebagai anak ni janganlah keras hati sangat, mama tu hanya seorang saja di dunia ini. Tiada galang gantinya,”
 Imran memberi nasihat. Kadangkala menasihati Ery lebih senang daripada menasihati Airis. Nampak luaran Ery lebih degil tetapi hakikatnya si kakak, Airis dua kali ganda degilnya.
Lambat-lambat dia mengangguk. Kalau dibiarkan Imran berleter, tak mustahil akan menjadi seperti mamanya. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dia sudah tersenyum, geli hati mengingatkan persamaan antara bapa saudaranya dengan mamanya.
“Senyum…senyum.. macamana kes saman hari tu?” Airis tersedak. Akhirnya! Soalan yang ditakuti muncul juga.
Hish paksu ni orang baru nak melupakan pasal surat saman itu, dia pula yang membangkitkan semula  ingatan itu.
“Dah jumpa lawyer kita pasal saman tu?” soalnya. Dia melihat anak saudaranya sedikit terganggu. Seingat dia sejak dia mengambil alih Harian Kota daripada Datuk Hassani syarikat itu tidak pernah disaman.
Ini boleh dikira mencipta sejarah dan dicipta   oleh Airis Ilmani. Anak gadis kepada pemilik Harian Kota. 20 tahun Harian Kota diwujudkan dan dalam tempoh itu syarikat akhbar mereka clean dari kes saman menyaman.
Airis geleng. Dia tidak berkesempatan untuk berurusan dengan Encik Bakri pasal surat saman berkenaan. Dia pasti peguam syarikatnya juga sudah menerima notis saman daripada Khaled Zidan.
“Kalau boleh berbincang dengan Khaled Zidan tu akak pergilah berbincang dengan dia. Mana tahu dia melihat akak hatinya jadi lembut,” entah mengapa dia dapat merasakan lelaki itu seperti sengaja mencari masalah dengan Airis.
Airis mendengus. Buat apa nak berurusan dengan mamat tu. Lebih baik dia direct kepada lawyer syarikat Kenchana Holdings. Kalau dengan Khaled Zidan kerja mudah akan menjadi sukar. Belum tentu masalah dapat diselesaikan.
Imran teringat surat laywer yang sampai dimejanya seminggu lepas. Dalam beringat-ingat itu terkena juga. Kalau babit kes saman malu memang susah mahu menang. Itu yang dirisaunya.
Melihat jumlah yang dituntut, dia hanya mampu mengurut dadanya. RM2 juta bukan satu jumlah yang kecil. Dengan jumlah sebanyak itu boleh menampung gaji pekerja sehingga setahun.
Kalau kalah gamaknya tahun ini kakitangan tidak merasalah bonus seperti tahun-tahun sebelumnya. Kalau dulu bonus dua bulan gaji akan diagihkan kepada kakitangan berdasarkan keuntungan syarikat tetapi sekarang dia tidak pasti boleh atau tidak untuk memberikan bonus.
“Hari tu paksu dah cakap hati-hati apabila menulis. Jangan sentuh peribadi orang terlalu mendalam. Dia boleh saman malu kalau dia rasa benda yang kita tulis tu menjatuhkan maruah dia,”
Airis diam. Mengiyakan kata-kata Imran. Tetapi sekarang ini dia dapat merasakan Khaled Zidan lebih kepada sikap mengada-ngada. Kalau tidak, tiadalah syarat yang mengarut diberikan kepadanya.
Walaupun  dalam artikelnya ada disebut pasal wanita dalam hidup lelaki itu tetapi dia rasa tidaklah sampai menjatuhkan maruah Khaled Zidan. Dia masih tahu batas-batas yang perlu dia hormati. Salah satunya adalah maruah orang.
“Nanti kakak call lawyer dia tu. Tapi paksu jangan bimbanglah. Kakak akan settle semuanya. Insyallah kita tidak perlu turun naik mahkamah. Macam paksu cakap dulu, benda kecil kalau masuk mahkamah tak berbaloi,” dia member jaminan lisan. Selepas ini dia akan membuat percaturan dengan lelaki bernama Khaled Zidan.
“Paksu serah pada kakak. Apa-apa perkembangan beritahu paksu nanti. Kalau tak boleh handle kakak serah pada laywer kita saja,” dia bersuara. Imran menilik jam di pergelangan tangannya.
“Lambat pula Datuk Salim ni. Janji pukul 12 tengahari sekarang ni dah dekat 12.30 belum call lagi,” katanya.  Cawan yang diminum tadi dibawa ke sinki.
Airis tidak membalas kata-kata itu, dia bersedia untuk keluar dari pantry. Begitu juga dengan Imran yang tergesa-gesa keluar sebaik saja menerima panggilan telefon. Sempat Imran mengangkat tangannya kepada Airis.
Airis menuju ke mejanya kembali. Cukuplah buat masa ini makan biskut kering dan milo panas. Kalau dia lapar petang nanti, pandai-pandailah dia turun ke café mencari makanan.
“Akak..” panggil Baizura. Gadis itu yang tadinyasibuk menjawab panggilan memanggilnya. Gagang telefon ditekup dengan tangannya.  Gadis yang agak pendiam di Harian Kota. Susah mahu mendengar suaranya.
“Ye Zura.. ada apa?” soalnya.  Tempat gadis itu dihampirinya.  Baizura penyambut tetamu, merangkap telefonis di Harian Kota tersenyum melihat dia menghampiri meja kerjanya. Manis! Orang yang jarang tersenyum bila tersenyum, manis sekali, desisnya.
“Ada orang nak jumpa akak. Dia tunggu kat bilik menunggu. Lelaki kak, handsome tapi muka macam tapai basi. Tak reti senyum langsung,” Baizura mengeluarkan pandangannya.
Aik sesekali bersuara boleh tahan juga Baizura ni. Tak adalah pendiam mana. Mulut pun boleh dikategorikan  berbisa juga, Desisnya. Dia tergelak mendengar kata-kata terakhir  Baizura tadi.
Tapai basi?Kasihan pula diakepada lelaki itu.
“Dia ada cakap siapa?” risiknya.  Baizura geleng. Bukan dia tak tanya tadi tetapi lelaki itu nampak macam karek saja. Langsung tidak senyum atau beramah mesra. Muka macam tegang semacam saja.
“Lelaki kak… wajah dia dah handsome tapi muka tak senyum langsung. Takut saya nak tanya banyak-banyak,” ujar Baizura.

“Mmm.. akak pergi sana kejap,” katanya. Kakinya melangkah kearah bilik mesyuarat yang terletak berdekatan pintu utama. Dalam kepalanya bersarang seribu pertanyaan. Siapa yang mahu berjumpa dengannya? Setahu dia, dia tiada langsung temu janji hari ini.

1 comment:

  1. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Giaonhan247 chuyên dịch vụ mua hàng mỹ từ dịch vụ order hàng mỹ hay nhận mua nước hoa pháp từ website nổi tiếng hàng đầu nước Mỹ mua hàng ebay ship về VN uy tín, giá rẻ.

    ReplyDelete