Sunday 28 December 2014

DIA ... COACH HANDSOMEKU BY WANIZA AMI

BAB 2





ADIK, bila nak cari kerja? Asyik duduk rumah saja. Semak mata abang.” Zaril mengikat tali kasutnya sebelum keluar menjalani latihan.
      “Abang main di padang ye?”
      “Tak, hari ni ada latihan tektikal. Bukan di padang. Soalan abang bila nak jawab?”
      “Hari ni nak pergi temuduga kerjalah. Adik kerja kilang saja dulu.” Julia duduk bersila di tepi abangnya. Zaril mengangkat kening.
      “Duit.” Satu perkataan yang disukai Julia tetapi melemahkan Zaril. Tangannya menyeluk poket seluar dan wang RM100 dihulurkan ke tangan Julia.
      “Kerja rajin-rajin.” Kepala Julia digosok kasar dan dengan pantas tangannya diambil lalu Julia menciumnya dengan wajah terharu. Propa saja lebih. Zaril menggeleng. Mahu saja dilepuk adiknya yang seorang itu.
      “Maju Zaril untuk negara!” Jerit Julia. Maznah ketawa sendiri melihat gelagat anak-anaknya. Julia mendapatkan Maznah dan mencium pipi ibunya pula.
      “Doakan anak ibu ni berjaya menjadi pekerja kilang coklat terbaik dunia.”
      “Iyalah, jangan Julia curi makan pula.” Hidung Julia dicubit manja.
Menunggu Kira memang menyeksakan. Menunggunya ibarat menunggu puteri siap berdandan. Hampir setengah jam barulah Kira datang menjemputnya. Mereka berdua pergi menghadiri temuduga bersama-sama.
        Sebaik sahaja memakir kereta di hujung kilang, Julia dan Kira jalan beriringan ke pejabat kilang coklat tersebut. Belum pun sempat mereka berdua menaiki anak tangga untuk ke pejabat, terdengar jeritan daripada seorang lelaki tidak jajuh daripada mereka.
“Fuyoo adik Zaril datang temudugalah!” Jerit seorang lelaki dari arah kantin kilang. Julia memberhentikan langkahnya. Lelaki itu menghampiri mereka berdua  dengan jalan yang penuh lagak. Julia tersenyum melihat kaki lelaki itu yang jalan mengengkang.
        “Aku teringin nak cabar abang kau tu lawan bola dengan aku,” ujarnya dan pencungkil gigi yang masih di dalam mulut itu diludah keluar.
        “Euwww” Kira dan Julia menjauhi lelaki itu dengan mata yang menjeling tajam.
        “Aku Nash.” Dia memperkenalkan dirinya dan seorang lagi temannya menghampiri mereka.
        “Aku Angah.” Senyuman lelaki yang baru tiba itu sedikit melegakan Kira dan Julia. Nampak ikhlas sekali senyumannya berbanding  Nash sebentar tadi.
        “Kami ahli pasukan bola sepak kilang ni. Gembira dapat jumpa awak. Saya minat dengan abang awak. Harap-harap tiba masanya nanti bolehlah kami berkenalan dengan dia.” Angah senyum manis.
         “Wei, apa kau ni angah? Aku ni lagi hebat tau tak?” Nash menolak bahu Angah yang hanya menggeleng lemah.  Julia memandang kedua belah kaki Nash.
         “Hek eleh, kaki kengkang perasan pro. Jom naik.” Tangan Kira ditarik perlahan. Menyinga Nash mendengar perkataan ‘kengkang’ yang keluar spontan daripada mulut comel Julia itu. Angah ketawa.
      “Bukan nama kau dah memang Nash Kengkang ke?” Angah menambah minyak ke dalam api yang sedang membara. Tanpa banyak bicara dia terus meninggalkan temannya yang masih lagi ketawa.
        Keluar sahaja daripada pejabat selepas ditemuduga, Kira dan Julia berpelukan. Esok mereka berdua akan mula bekerja. Turun sahaja daripada bangunan dua tingkat itu, Julia terus terpandangkan Nash yang sedang mengangkat kotak-kotak yang berisi coklat ke dalam lori.
       “Nash kengkang! Jumpa lagi esok. Bye Angah!” Julia menjerit sambil melambaikan tangannya. Nash terus mencampak dengan kuat tuala yang tersangkut elok di lehernya ke lantai.
       “Kurang asam betul budak tu!” Agaknya kalau Julia ada di depan mata mahu dipenyek-penyekkan Julia dan dimasukkan terus ke dalam kotak. Julia dan Kira terus pulang ke rumah untuk makan tengahari bersama-sama Maznah.

KEESOKAN harinya selepas habis waktu bekerja, Julia mendapat panggilan telefon daripada Zaril mengajaknya dan Kira makan bersama pasukan bola sepak selepas selesai latihan di padang bola sepak Wisma FAM. Nampaknya Kira yang kelihatan lebih teruja. Julia gelak besar apabila melihat bedak padat mula dikeluarkan daripada beg tangan Kira.
      “Dah lawa dah, tak payah nak tebal sangat nanti abang aku kata macam hantu kum-kum,” usik Julia. Mungkin Julia tidak faham bagaimana gementarnya Kira setiap kali berhadapan dengan Zaril. Mata Zaril yang sedikit kuyu itu memang mendebarkan jiwanya. Lantaklah Julia mahu kata apa, yang penting dia tampil cantik di hadapan Zaril.
        Setibanya di Restoran Jamal Mohamed yang terletak di Kelana Jaya wajah Julia mula terasa panas. Teringat pula peristiwa di dapur beberapa hari yang lepas. Selepas bersalaman dengan Zaril, dia menarik kerusi yang agak jauh daripada Muiz. Julia dan Kira cuma memesan nasi ayam dan air laici bagi mengisi perut yang sudah pun berkeroncong sedari tadi. Muiz bangun dari tempat duduknya. Entah kenapa, terdengar sahaja bunyi kerusi di tolak, Julia jadi malu. Bagaikan dapat merasai langkah Muiz yang menuju ke arahnya.
       “Ehem...” Muiz yang sedang berdiri mengintai sedikit wajah Julia. Kira bangun untuk ke tandas. Dia tak mahu jadi pengacau dalam drama singkat antara Muiz dan Julia.
       “Eh, coach.” Julia berpura-pura terkejut.
      “Terkejut? Kena ambil kelas lakonan lagi nampaknya.” Muiz berlalu sambil tersenyum manis. Julia menekup wajahnya dengan kedua belah telapak tangan. Zaril memandang Julia daripada tempat duduknya. Amboi, pandai pula dia malu, fikir Zaril. Dia sesekali tidak menghalang jika Muiz dan Julia menjalinkan hubungan cinta. Muiz sememangnya lelaki yang baik dan memang layak untuk menjaga Julia yang masih belum matang itu.
Black memulakan perbualan.
       “Setakat air tongkat ali, memang aku telan sahaja. Iyalah untuk tenaga. Bukan macam setengah orang, telan air akar kayu sikit dah tersembur keluar.” Lagaknya bukan main lagi. Matanya mengerling pada Kira dan Julia. Nak tunjuk hebat agaknya.
        “Kalau aku, minta maaflah. Air masak sahaja yang aku telan. Kau minum yang campur dengan kopi ye Black?” Soal Bala yang menjadi pemain pertahanan dalam pasukan mereka.
       “Eh, aku telan yang asli punya, air rebusan asli. Tak mainlah yang ada campuran. Tak lelaki namanya tu.” Jawabnya dengan cebikan dan kening yang terjongket. Muiz senyum simpul dan hanya mengangguk.
       “Coach tak minum air tongkat ali ke?” Soalan Julia mengundang reaksi yang mengejutkan daripada Zaril dan semua pemain. Muiz apatahlagi. Kira mencubit perlahan paha Julia.
       “Apa?” Julia memandang Kira.
       “Berani kau tanya macam tu?” Bisik Kira. Zaril dan Muiz berpandangan sesama sendiri dan mula ketawa kecil. Sudahnya, semua yang ada di situ mentertawakan Julia. Sebenarnya dia teringin sekali berbual dengan Muiz tetapi akibat terlalu gementar soalannya terlalu terbuka untuk di soal pada seorang lelaki.
         “Adik Zaril, kenalah kahwin dulu dengan coach barulah dapat jawapannya.” Tawa Black sangat kuat hinggakan Julia mengetap bibirnya dengan geram. Muiz tidak menjawab sebaliknya hanya mengerling Julia yang mengecilkan matanya. Siap kau, Black!

MEMANDANGKAN Julia tidak bekerja pada hari itu, maka dia bercadang untuk melihat abangnya berlatih di padang. Dia ke dapur untuk membasahkan tekaknya. Melihat sahaja bungkusan yang mengandungi akar-akar kayu yang sudah dipotong kecil-kecil, Julia mula menyoal ibunya.
       “Ibu, ni apa?” Soal Julia. Bungkusan itu dibeleknya.
       “Tongkat ali. Tok Wan suruh ibu rebuskan.” Maznah senyum lebar.
       “Tok wan tak ada isteri buat apa nak minum tongkat ali?”
Maznah berhenti daripada mengacau pengat di dalam periuk.
       “Julia ingat tongkat ali untuk itu saja ye? Tidaklah sayang. Tongkat ali ni untuk memberikan tenaga pada lelaki. Cuba  Julia tengok tok wan tu, walaupun dah tua dia  masih mampu berkebun di kampung. Itulah gunanya,” terang Maznah.
        “Ibu, Julia nak rebus satu.” Terus bungkusan itu dibuka getah gelangnya. Dengan penuh senyuman Julia merebus akak kayu tongkat ali itu sehingga mendidih. Sebaik sahaja di sejukkan, air rebusan itu dituang masuk ke dalam botol.  Siap semuanya, Julia memeluk ibunya sebelum menunggang motor ke padang tempat abangnya berlatih.
        Akibat lewat kerana merebus air tongkat ali, Julia nampaknya terlepas melihat coach Muiz melatih pasukannya. Dia berlari mendapatkan Muiz yang sedang menanggalkan wisel yang tergantung di lehernya.
        “Nah, air” Botol air dihulurkan.
        “Kenapa warna air ni lain macam?” Muiz menoleh ke sisinya. Julia menyengih.
        “Air tongkat Jenol memang macam ni.” Kakinya terus melangkah pergi dengan disertai nyanyian kecil.
        “Black!” Panggil Muiz. Tangannya menggamit penjaga gol yang baru sahaja mahu membuka kasutnya. Berlari dia mendapatkan Muiz.
        “Nah, minum air ni. Bagus untuk awak” Muiz terus beredar. Tanpa banyak bicara Black terus meneguknya.
Prurrrrrrrrrrrrrr!
Tersembur sebahagian air yang hampir melalui kerongkongnya.
       “Air apa ni coach?!”
       “Tongkat ali makcik Julia,”
       “Apa?” Black meludah ke padang. Terasa mahu muntah pun ada. Dengan tekak yang mula rasa lain macam, Black berlari ke tepi padang dan mula muntah. Mereka yang lain cuma ketawa besar. Itulah cakap besar lagi, dah malu depan semua orang. Muiz duduk berhampiran dengan Julia.
       “Nakal kan?” Soal Muiz. Julia senyum.
       “Niat saya baik.”
Muiz memusingkan sedikit badannya untuk lebih mudah matanya menatap wajah Julia.
      “Ok, beritahu satu sebab kenapa buatkan air tu untuk saya.”
      “Ibu kata nanti kuat bertenaga.” Julia menggaru pipinya berkali-kali. Memang itu pun niatnya. Black jadi mangsa bukan salahnya. Siapa suruh Black main teguk sahaja air yang dihulurkan oleh Muiz tadi? Tak fasal-fasal dah muntah tepi padang.
Takut juga dia jika dimarahi oleh Muiz. Julia cuba melarikan wajahnya daripada direnung Muiz.
       “Terima kasih.” Ucapan Muiz sedikit mengejutkan Julia.
       “Sama-sama. Esok saya buatkan lagi.” Julia beriak gembira.
       “Eh, tak apa. Saya tak nak. Terima kasih atas niat yang baik tadi. Awak ni unik.” Muiz bangun untuk pergi tetapi dengan segera Julia memanggilnya.
       “Coach suka lari begini. Cakap dengan saya sepatah dua kemudian terus pergi.” Julia meluahkan rasa hatinya.
        “Kenapa? Rindu? Tak puas cakap sedikit begini?” Muiz telus dan dia duduk semula. Julia gelak kecil. Kakinya dihayun ke depan dan ke belakang. Muiz memandang sahaja kaki yang bergoyang  itu.
       “Julia comel bila duduk hayun kaki begini.”
       “Apa?” Julia ketawa besar kali ini. Tak sangka pula kaki yang bergoyang pun nampak comel pada pandangan Muiz. Mereka berdua menentang mata masing-masing. Julia tidak mahu mengalah malah dia terus memandang dengan senyuman. Nampaknya Muiz yang terpaksa beralah apabila terpaksa menundukkan wajahnya buat seketika dan ketawa. Muiz bangun lalu meninggalkan Julia yang tidak mampu mengendurkan senyumannya langsung.

1 comment: