Saturday 11 October 2014

TRIPLETS LOVES: LAKARAN BAHAGIA BY SILENCER

BAB 2

http://tripletsloves.blogspot.com/

PAGI-PAGI buta lagi, Wardina sudah bersiap-siap. Puas dirinya menilik itu dan ini. Habis segala mak nenek di wajahnya dibelek. Mana yang dirasakannya kurang, akan dilakukan sesuatu agar dirinya dapat tampil dengan sempurna. Dia mahu menjemput suaminya dari laut! Argh! Girang sungguh rasa hati. Tidak sabar pun ada.
            Bila teringatkan tentang hal semalam dirinya rasa begitu bersalah. Bersalah kerana membuatkan suaminya tidak tenang. Dia sedar apa yang terjadi semalam hanyalah atas rasa cemburunya sahaja. Cemburu yang tidak bertempat. Dan akibat peristiwa semalam, dia tidak dapat tidur lena. Asyik terkenangkan kembali ayat romantis suaminya di pantai semalam. Masih terasa kehangatan pelukan suami di tubuhnya. Wardina mengeluh. Sudahlah! Dia mahu lupakan apa yang terjadi semalam. Dia perlu mulakan hari yang baru. Ya!
Skarf kepala dibetulkan. Tanpa berlengah lagi, Wardina segera melangkah. Ah, tidak sabar rasanya! Selang beberapa minit dirinya sudah sampai di kawasan perhentian para nelayan-nelayan di sini. Wardina melangkah dengan laju menuju ke arah kerumunan orang ramai yang berasak-asak di pantai. Wardina senyum. Lebar senyumannya. Suaminya sudah sampai!
Tanpa dipinta dan tanpa sedar laju sahaja kaki itu berlari mendapatkan suaminya. Namun, ke mana kaki itu mahu dituju? Kepala toleh kanan dan ke kiri. Mana suaminya? Kenapa dalam kumpulan orang ramai di sini, wajah suaminya tidak menjelma di mata? Wardina mula panik. Kaki seiring dengan detakan jantung yang laju, mencari jejak si suami.
“Abang! Abang!” tanpa ada sebarang perasaan malu, Wardina menempik di situ. Kepala toleh kanan dan ke kiri, ingin memastikan keberadaan suaminya. Namun, jawapan matanya tetap sama. Ternyata mata itu tidak menipunya. Di mana suaminya?! Entah kenapa peluk renik sudah terbit di dahi. Tubuh Wardina juga automatik jadi hangat. Suaminya? Mana suaminya?
Dia berdebar. Bicara hati sendiri usah dibilang bagaimana. Penuh dengan misteri dengan persoalan yang belum mampu diungkapkan. Suami aku? Suami aku, mana?
“Hey.. Ermm..” Wardina tarik nafas. Dia tak boleh berkasar. Pesanan suaminya cuba dipraktikkan agar tidak berkasar dengan orang apatah lagi jika kita mahu meminta pertolongan ataupun bantuan.
“Maaf.. Ermm.. Nampak suami saya tak?” Wardina pandang lelaki itu.
Mende (Apa)? Laki mung(kau)? Dok ahu (tak tahu) aku, mana..” Simple! Ini kesimpulan yang dapat Wardina rumuskan. Tak guna punya mamat! Dia tak nampak aku tengah rush macam orang gila ni! Mana suami aku?!
“Nampak suami saya tak?” terjah Wardina pada orang lain pula.
“Hey, adik manis..” Ah! Pedulikan! Wardina lari! Tak guna layan nelayan bodoh macam ni. Orang tanya lain jawab lain.
“Maafkan, saya. Nampak suami saya tak?” soal Wardina lagi. Wajahnya serius. Dia takut! Di mana suaminya?
Lagi bertambah panik diri Wardina apabila nelayan lelaki itu menggeleng. Tak! Tak mungkin! Apa ni? Kenapa semua orang tak nampak suaminya? Jantung Wardina rancak berdetak. Kepalanya naik pusing. Sekeliling ruangannya diperhatikannya sekali lagi. Mustahil! Mustahil! Wardina duduk. Begitu juga dengan kepalanya.
Hatinya jadi sayu. Mengenangkan akan peristiwa semalam, membuatkan dirinya makin bersalah. Abang. Mana abang?  Mata itu jelas makin berair, dan pandangannya mula dikaburi dengan cecair lutsinar yang hangat.
“Eh.. Ina.” Sapaan seseorang dari arah belakang mengejutkan Wardina. Air mata itu segera diseka. Tubuh berdiri tegak menghadap sang empunya suara. Oh.. Pak Lang.
“Kamu buat apa dekat sini? Tak pergi dekat laki kamu ke?” sambung Pak Lang. Mata yang berair itu tadi sudah bertukar menjadi sinaran yang tidak mampu diungkapkannya.  Senyuman manis terbentuk di situ.
“Pak Lang nampak suami saya? Mana? Abang Ruzain ada dekat mana?” terjah Wardina. Tidak sabar.
“Ada. Tu.. Dekat pondok belakang sana. Dengan Mawar.” Mendengar sahaja nama Mawar, terus mati senyuman itu. Wajah yang seakan-akan bersinar dengan sinaran teruja seakan mulai hilang serinya. Suaminya dengan Mawar? Apa dia buat dengan perempuan tu? Rasa ingin mengamuk! Di sini! Tapi, bimbang pula kerana perempuan itu adalah anak si ketua kampung ini, Pak Lang! Mesti nampak tak manis pula.
Hati Wardina berdongkol-dongkol geramnya. Beribu-ribu sumpah seranah dilemparkan pada si gadis itu. Tak guna! Bibirnya diketap. Geram! Segera, tanpa sedar kakinya sendiri melangkah ke arah arah yang ditunjukkan Pak Lang padanya tadi.
Tanpa sebarang pamitan yang baik mahupun salam sebagai tanda perpisahan, Pak Lang ditinggalkan begitu sahaja. Dia sudah hilang kewarasan diri. Apa yang terbayang dalam kepala otaknya sudah tidak mampu dibayangkan. Dapat dia bayangkan betapa mesranya mereka bergelak ketawa bersama, sambil bercakap tentang itu dan ini dan menepuk halus bahu masing-masing sebagai tanda gurauan. Ah! Wardina sudah hilang pertimbangan. Semakin terbakar perasaannya apatah lagi apa yang terbayang di mata terpampang jelas dalam realiti.
“Woii, perempuan!!” jerit Wardina dari jauh. Mawar kaget. Terangkat bahunya gara-gara suara itu. Ruzain pusing belakang. Turut sama terkejut pabila mendapati isterinya ada di sini.
“Dasar perempuan tak guna! Eh, perempuan kau tahu tak dia siapa? Huh?! Kau tahu tak dia siapa?! Dia laki aku!! Dia laki akulah. Yang kau terhegeh-hegeh lagi dengan laki orang ni kenapa? Huh?!” suara Wardina sudah hilang ayunya. Sudah hilang nada lembutnya. Nada suaranya seakan-akan pecah gara-gara menempik dengan kuat. Matanya merah menyala akibat menahan amarah yang hebat.
Ruzain bangun. Ingin mendapatkan Wardina lekas. Bahu Wardina ingin diusapnya. Ingin menenangkan amarah gadis itu tapi Wardina bertindak menepis tangan itu. Ruzain agak terkejut dengan tepisan itu. Wajahnya berubah. Wardina belum pernah bertindak sekasar ini dengannya.
“Ina.. Ina, balik sekarang.” Ruzain bersuara tenang. Tapi, tidak bagi Wardina. Hatinya terbakar dan rasanya sungguh pedih sekali. Memang dia jelas tidak percaya. Suaminya suruh dia balik? Apa suaminya sudah berani membela perempuan ini secara terang-terangan? Wajah suaminya dipandang. Mata itu dicari lalu dipanah tepat ke dalam dasar anak mata hitam Ruzain.
“Kenapa? Abang nak bercekarama lagi dengan minah ni? Eh, minah! Apa kau dah buat pada laki aku, huh?” segera mata Wardina terpanah pada sarapan pagi yang terhidang di situ.
“Oh.. Patutlah kau rajin sangat bagi laki aku makan, kau guna-gunakan laki aku, ya?!” Segera bekas-bekas makanan itu ditarik Wardina sebelum dibuang ke tanah. Membulat mata Ruzain. Mawar pula jelas terkejut dengan perbuatan itu. Mulutnya ditekup.
“Ya, Allah. Rezeki..” Mawar menghalang Wardina. Wardina segera menepis lengan Mawar. Gadis itu jatuh terduduk menyembah bumi.
“Ina!” suara Ruzain naik satu oktaf. Bukan niatnya mahu meninggikan suara namun dia terpaksa.
“Abang kenapa? Kenapa abang nak bela sangat perempuan ni?” Wardina mula persoalkan suaminya sendiri. Hujung matanya menjeling Mawar. Gadis itu sibuk mengutip beberapa ketul ayam goreng. Bibir Wardina mengorak senyuman sinis. Berlagak baik, nak selamatkan rezeki konon. Makin geram Wardina jadinya.
“Eh, perempuan! Tak payah nak tunjuk baiklah!”  kepala Mawar ditolak Wardina sekuat hati.
“Ina!” lengan Wardina ditarik Ruzain sebelum…
Pangg!!
Suasana sepi. Amarah yang bermaharajalela mulai surut. Wardina diam. Mawar pula tergamam dengan tindakan drastik Ruzain itu. Ruzain juga terkedu. Wajah Wardina yang menunduk menghalang dirinya dari melihat wajah si isteri. Ruzain gigit bibirnya. Ya, Allah! Apa aku dah buat ni?
“Ina..” kaki itu melangkah setapak menuju ke arah Wardina.
“Tak payah.” Wardina bersuara membuatkan langkah Ruzain mati. Suara mendatar itu begitu mengusarkan hatinya.
“Abang.. sebenarnya abang sayangkan Ina, tak?” Ruzain tergamam dengan pertanyaan tenang Wardina yang secara tiba-tiba itu. Wardina angkat wajah. Sebelah tangannya menekup pipi sebelah kanan. Rasa berbirat pipinya akibat tamparan itu. Tamparan seorang lelaki.
Ruzain tidak menjawab soalan itu. Wardina tunduk sedikit wajahnya. Tahulah dia kini akan jawapannya.
“Abang tak perlu nak tampar Ina segala. Lagi senang kalau abang cakap. Cakap terang-terang dengan Ina..” Wardina berjeda. Bebola matanya diangkat. Namun, tidak berjaya. Lelehan air mata itu tetap juga menitis di situ.
“Ina faham kalau abang dah tak sayangkan Ina. Tak perlu abang nak tampar Ina macam ni.. Cukup bila abang hanya cakap yang abang dah tak perlukan Ina lagi. Ina faham, abang.” Air mata itu menitis tanpa henti. Ruzain ingin mendekat tetapi Wardina tarik kakinya berundur ke belakang.
“Sakit..” terpacul ayat itu dari mulut Wardina. Hujung bibirnya terasa panas. Lantas, tangan itu dilarikan. Terkejut dirinya apabila mendapati akan cecair merah yang melekat di jarinya. Wajah Ruzain berubah.
Wardina melangkah pergi. Meninggalkan Ruzain dan Mawar. Laju dia berlari dengan harapan suaminya akan mengikut jejak langkahnya. Ternyata, hampa. Ruzain masih kekal di situ. Wardina menggeleng. Nampaknya, memang jelaslah.. suaminya sudah tidak mahukan dirinya lagi. Wardina menangis dan menangis semahu-mahunya..

ANGIN laut menyapa pipi gebu itu dengan penuh halus. Sesekali, pipi itu akan dilarikan. Pedih rasanya akibat deruan angin yang menyapa. Wardina tahan diri lagi. Seharian, dia habiskan masa dengan meratap segala apa yang berlaku di dalam hidupnya. Kenapa hidupnya perlu berakhir begini? Sungguh, dia tidak sangkakannya. Anganan fantasi sewaktu kecil, mahu mengecapi bahagia sentiasa terasa punah dibawa arus. Mata itu dipejam. Rasa pedih. Mungkin kerana matanya yang memerlukan rehat. Namun, bila dirinya baring, itu semua jadi sia-sia kerana setiap kali tubuhnya berbaring pasti bayangan Ruzain akan menjelma. Tidak! Dia tidak mahu lagi menerima bayangan itu. Sekarang, dia mahu berdikari. Meneruskan hidup tanpa Ruzain.
Namun, persoalannya.. mampukah?
Wardina menggeleng. Mampu atau tidak, itu belakang cerita. Apa yang penting dia perlu belajar sekarang supaya nanti hari-harinya tidaklah akan perit dan memedihkan. Bunyi pinggan kaca yang berlabuh di atas meja kayu menyentakkan Wardina. Dia malas mahu pusing belakang kerana dia sudah tahu itu siapa.
Hembusan nafas terdengar di situ. Wardina pejam mata. Automatik, kakinya melangkah pergi. Tidak boleh berlamaan apabila berdua-duaan dengan suaminya. Jantungnya sentiasa memainkan rentak yang gila!
            Bunyi ombak sungguh menenangkan perasaan Wardina. Namun, tidak setenang seperti yang awalnya. Hujung matanya sibuk toleh kanan dan kiri. Mana suaminya? Dah balik ke? Dah putus asa ke? Apa ni?! Kenapa cepat benar?! Wardina jadi bengang. Apa memang tekaannya selama ini benar? Kepalanya menunduk.
            Dan di kala itu, alangkah terkejutnya dia pabila ada tangan berkulit kuning langsat sedang masuk di celah lengannya. Tangan itu melingkari pinggangnya sementara kepala lelaki itu diletakkan di atas tengkuk dirinya. Wardina kaku. Tidak boleh angkat kepala lagi.
            Wardina cuba angkat kepalanya namun Ruzain tegar mengeraskan kepalanya. Wardina mendengus geram. Apa ni? Mahu dia jalan menunduk macam ni ke? Nak suruh tulang tengkuk dia patah ke apa? Lantas, Wardina ingin menolak kepalanya naik namun ada suara yang menghalangnya.
            “Tunggu… abang nak cakap se (satu) benda. Jangan tengok abang.. sebab abang…malu.” Niat Wardina terbantut. Kepalanya dibiarkan bertahan begitu. Rasa terharu yang mulai hadir ditepis sekuat hati. Tidak mahu mudah cair dengan kata-kata suaminya. Namun di sebalik kata-kata hatinya yang keras, telinga itu boleh pula sebesar mungkin dipasang agar dapat mendengar dengan jelas ayat yang akan diungkapkan suaminya.  Ayat apakah itu? Misteri benar. Wardina oh Wardina.
Kalu depan abang, ada banyok orang puang comel lotei(cantik sangat) pung, abang akan tetap pilih sayang.” Wardina diam. Ayat apa tu? Tak romantik langsung!
Kalu (kalau) abang bangun dari tidur, abang nok tengok sayang ada depan mata abang. Kalu abang nok gikeje (nak pergi kerja), abang nok (nak) sayang jadi orang yang sokmo (sentiasa) abang…” Ruzain diam. Wardina mengigit bibirnya. Kenapa suaminya diam? Dan di kala itu juga, terasa tengkuknya sudah bebas dari bebanan yang ditanggungnya tadi. Wardina angkat muka. Kenapa? Ruzain tinggalkan dirinya sendiri lagi ke? Lantas, kepala itu toleh belakang.
Terjengul wajah Ruzain di belakangnya. Lelaki itu berdiri tegak menghadapnya membuatkan Wardina rasa tidak selesa dengan pandangan yang satu itu. Kenapa suaminya berubah watak tiba-tiba? Apa yang dah jadi? Pelik.
Wardina pandang Ruzain. Tiada bait bicara terkeluar dari situ. Yang ada hanyalah bicara hatinya sendiri, menyuruh sang suami bersuara agar hatinya yang lembut ini bisa cair dengan setiap patah perkataannya.
“Abang.. abang dok pandai nok cakap hok (yang) sweet-sweet gitu. Abang dok (tak) pandai susun ayat hok (yang) comel-comel. Ayat abang terabur kali sebab abang dok pandai nok pujuk orang tapi..” dagu Wardina diangkat agar pandangan mereka bisa bersatu. Wardina patuh. Hakikat jarak antara mereka yang begitu dekat sekali ketika ini begitu mendera perasaan Wardina. Apatah lagi bila ditambah dengan deruan angin yang agak kencang antara mereka menambahkan lagi momen-momen yang indah pada dirinya. Wardina telan liur. Dia tidak suka dekat dengan suaminya kerana dia tahu dia tidak kuat.
“abang cuba paksa diri abang untuk sayang. Sayang..” suara Ruzain seperti tersekat-sekat. Apakah suaminya sedang menahan sebak? Wardina menanti dengan sabar bicara seterusnya dari sang suami. Pandangan redup Ruzain padanya membuatkan hati Wardina berlagu indah.
Namun, bicara yang diharapkan dari Ruzain hancur sebaliknya diganti dengan sentuhan yang cukup menggetarkan perasaan Wardina. Sentuhan lembut yang mungkin mampu membuatkan dirinya jatuh ke pangkuan sang suami. Ruzain gigit bibirnya.
“Sakit ke?” soal Ruzain. Wardina mendengus kecil. Dia mengharapkan sentuhan ataupun kata-kata yang bisa membuatkan dirinya terasa seperti di awang-awangan sentiasa. Tapi, hampa.. Apa beginikah cara suaminya nak pujuk dia? Begini caranya suaminya mahu meminta maaf? Lantas, tangan itu ditepis Wardina.
“Apa abang buat kat sini?” dingin soalan itu. Ruzain mengeluh kecil. Nampaknya, Wardina masih marahkan dirinya.
“Kenapa abang datang sini? Kenapa abang tak pergi dengan Mawar? Ina kan tak guna! Ina ini kan sentiasa malukan abang. Kenapa abang datang sini?” pabila soalan itu bergema ada air mata berlangsung di situ. Membayangkan kembali bagaimana indahnya momen-momen antara suaminya dan si perempuan itu pagi tadi. Oh! Sungguh hatinya sakit bagaikan dibelah belati yang teramat tajam. Sakitnya mencucuk-cucuk jiwanya. Sungguh pedih dan memeritkan.
“Satu malam Ina tak dapat tidur. Fikirkan abang. Ina rasa bersalah sebab buat abang tak tenang. Ina takut sangat. Terasa malam lambat berlalu untuk ke pagi. Dan bila paginya, hanya Ina aje yang tahu macam mana perasaannya . Senyum panjang sorang-sorang. Tak sabar nak jumpa abang, nak peluk abang, nak cium abang, dan nak cakap.. Ina minta maaf. Sepanjang Ina berjalan abang, otak Ina asyik berjalan. Fikirkan apa ayat yang sesuai untuk Ina ungkapkan pada abang. Abang Ina minta maaf, rasa macam terlalu formal dan tak mesra. Ina tolak. Fikir yang lain. Abang ku sayang, Ina nak mintak maaf dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, tapi rasa macam gedik pulak. Tolak lagi. Macam tu, abang. Macam tu sekali Ina fikirkan untuk abang. Demi meraih sekeping hati seorang suami, Ina rasa macam nak gila. Tapi..” Wardina semakin sebak dan esakannya kian berlagu. Tangan naik menekup mulut.
“Apa yang Ina nampak, apa yang Ina pandang membuatkan Ina rasa macam.. macam.. Ina takut..” Wardina pejam mata. Tidak tahu ayat apa yang sesuai untuk menggantikan apa yang dirasakannya ketika itu.
“Ina takut nak terima hakikat abang. Ina hanya ada abang. Dulu dan sampai sekarang. Sebab , semua orang memang tak sukakan Ina. Bencikan Ina. Dulu keluarga Ina buang Ina. Ina masih boleh terima. Seluruh orang kampung tak sukakan Ina pun, Ina masih boleh terima. Tapi, bila abang.. bila abang..” Wardina tarik nafas. Dia perlu bertenang.
“Lupakanlah, abang. Ina rasa macam buang masa. Senang cerita macam ni, abang.. Abang lepas..” belumput ayat itu dihabiskan Wardina, bibirnya sudah diragut Ruzain. Membulat mata Wardina pabila bibir merah itu menerima kucupan lembut sang suami. Entah kenapa, kucupan itu tidaklah pula ditolak Wardina.
“Ina dapat doh (dah) jawapan dia, apa?” Wardina tergamam. Dia terkedu. Apa yang perlu dia jawab? Ruzain yang melihat reaksi beku Wardina, pantas sekali lagi mengucup bibir wanita itu. Sekali lagi, Wardina kaku.
“Abang..” Wardina tolak dada Ruzain agar menjauhinya sedikit. Dia perlukan ruang supaya dirinya dapat bernafas dengan tenang dan selesa. Tapi, hatinya sekali lagi dipagut bimbang. Suaminya melangkah, mendekati dirinya. Tangan sasa lelaki itu naik mengusap rambutnya. Dari rambut, tangan itu turun dengan penuh syahdu kepada setiap inci di wajahnya. Bila tiba tangan itu di pipi kanan Wardina, sentuhannya bertukar lebih lembut dan mengujakan Wardina.
“Maafkan abang?”
“Kenapa abang berdua dengan Mawar? Ina, tak suka! Ina tak suka bila abang dekat dengan Mawar!” Wardina berterus-terang. Ruzain diam. Rambut itu masih dibelainya lembut.
“Abang tak doknape-napepon (ada apa-apa pun) dengan Mawar tu. Percayalah, sayang. Dia mari pung (pun) sebab nak bagi abang makan masa pagi tu,” terang Ruzain.
“Kenapa dia jamu abang aje? Tu.. Ayah dia? Pak Lang tu? Tak naklah pulak dia jamu,” Wardina menjuihkan bibirnya. Ruzain senyum.
“Pak Lang makan doh (dah) masa tu. Lepas makan, Pak Lang gi (pergi) tengok bot ye (dia) kejap. Pulok tu, masa tulah sayang mari.” Wardina diam. Penjelasan itu sedikit sebanyak menenangkan hati Wardina. Persoalan yang memberat di dada mula terungkai sendiri. “Sayang dok soh (jangan) bimbang. Abang dok pernoh (tidak pernah) curang. Abang sayangkan sayang sorang (seorang) aje.”
“Maafkan abang ya, sayang?” kepala itu mengangguk. Ruzain senyum lantas tubuh Wardina ditarik masuk ke dalam lembah pelukan hangatnya.
“Maafkan abang, sayang.” Ulang Ruzain lagi. Wardina pejam mata. Terasa indah pelukan itu.
“Jom kita makan? Nanti abang tuam  luka tu. Nampok macam nok lebam. Kekgi muka bini abang nampokdok comel kangsusoh pulok.” Wardina gelak kecil. Jarinya ingin menyentuh hujung bibirnya. Nampak macam nak lebam ke?
“Nak makan.. Abang masak apa?” rengek Wardina. Manja. Ruzain senyum. Suka dengan keletah manja isterinya. Hakikatnya itulah hari-hari bahagianya. Bersyukur punya Wardina di sisi. Cukuplah, dan dia sudah tak perlukan apa-apa lagi di dunia ini asalkan ada dirinya dan Wardina.
“Nasi putih, sayur kankung, ikan kerisi dan telur mata.” Jawab Ruzain riang. Wardina berhenti melangkah dengan matanya membulat.
“Kenapa?” tanya Ruzain pelik.
“Kenapa telur mata? Ina tak makan telur mata. Tak suka,” rungut Wardina.
“Bukan untuk sayanglah. Untuk abang. Kita makan se pingganlah sayang. Baru sweet!! Kang?” Wardina gelak.
“Eee!! Tak malu nak makan sekali. Ina tak nak suapkan abang,”
“Tak apa. Abang ada tangan.”
“Tapi, Ina nak abang suapkan untuk Ina.”
“Boleh sayang. Boleh.. Tapi duduk atas riba abang lah..” Wardina gelak kecil.
“Menggatal aje kerjanya. Tak nak lah. Malu.” Balas Wardina jujur.
“Tak dok orang pun, sayang. Oloh, halal apa? Kita kahwin doh kang.” Wardina pandang sekeliling. Benar! Tak ada orang. Line clear! Yeay!
“Dah, jom.. Duduk sining.” Paha Ruzain ditepuk halus. Wardina senyum. Tanpa berlengah lagi terus duduknya dilabuhkan di situ. Suapan pertama bermula. Wardina senyum.
“Makan nape gini, sayang oii. Comot sungguh la,” nasi tepi bibir Wardina diambil Ruzain sebelum disuapkan ke mulutnya pula. Wardina senyum lagi. Suka! Suaminya memang pandai ambil hatinya! Oleh disebabkan hatinya sudah girang tahap petala langit, entah kenapa tangannya begitu ringan memeluk tengkuk Ruzain.
“Mari.. Ina suapkan abang pulak.” Pelawa Ina. Tangannya laju sahaja mencubit sedikit telur mata itu.
Say.. Aaaa,” Ruzain gelak. Macam budak-budak. Tapi dia patuh sahaja. Hati kalau dah bahagia, apa-apa saja sanggup dia lakukan. Telur itu akhirnya berjaya disuapkan ke mulut Ruzain. Ruzain senyum. Suka! “Sedap?” Ruzain gelak kecil.
Nok lagi, “ pinta Ruzain.
“Nak lagi? Cium dulu,”
Nokhok mane? Banyok pilihan ning. Pilih mana se.” Balas Ruzain selamba. Merah muka Wardina dibuatnya. Ruzain gelak.
“Oloh.. Muka meroh doh. Mehnok tengok, sket gane.”  Wardina menggeleng. Kepalanya menunduk. Ruzain gelak. Dia turut sama menundukkan wajah, mengintai wajah si isteri. Wardina geram segera wajahnya dirapatkan ke dada Ruzain. Ah! Malu! Malu tapi bahagia!

No comments:

Post a Comment