Monday 6 October 2014

PELITA DI BAWAH PURNAMA BY FAZLINDA RIDZUAN

BAB 4

adnilzaff.blogspot.com




Wajah monyok Qairynn dipandang lama oleh wanita tua itu. Buat seketika dia memerhatikan sahaja gelagat cucunya itu sedang duduk bersendirian di atas buaian di halaman rumah itu. Macam ada yang tidak kena sahaja dengan Qairynn. Susah dia mahu melihat cucunya itu duduk termenung sendiri melainkan ada saja onarnya mahu membuatkan orang naik angin dengan kerenah manjanya.
“Kenapa ni, sayang?” soal Puan Sri Benazir saat mendekati Qairynn yang sedikit menunduk di atas buaian yang terbuai perlahan itu.
Qairynn terus mengangkat pandangannya ke arah datang suara neneknya itu. Wanita berselendang ungu itu sedang memandang tepat kepadanya. “Takde apa-apa.” Perlahan sahaja jawapan Qairynn.
Nada sebegitu yang kedengaran dari ulas bibir Qairynn segera membuatkan wanita itu mengerti. “Kita minum petang jom?” umpan Puan Sri Benazir lagi.
“Tak mahu. Rynn nak duduk sini.”
“Kenapa ni? Cakap dengan nenek, sayang. Jangan buat nenek risau,” ucap Puan Sri Benazir lembut kepada cucu kesayangannya itu.
“Abang Aryan keluar dia tak nak bawak Rynn dah sekarang. Sampai sekarang dia tak balik-balik. Rynn sunyi,” jawab Qairynn agak rendah. Sampai hati lelaki itu meninggalkan dia begitu sahaja. Entah ke mana Aryan pergi sampai tidak mahu mengangkut dia sekali.
“Itu aja ke masalahnya sampai termenung macam ni?” usik Puan Sri Benazir lantas menggeleng sendiri. Mahu ketawa rasanya mendengar masalah besar cucunya itu.
Qairynn diam tidak menjawab mahu pun memandang wanita tua itu. Hanya Aryan yang ada di mindanya saat ini.
“Mari temankan nenek minum petang. Berbual dengan nenek. Come!” ajak wanita itu lantas tangannya dihulurkan kepada cucunya itu.
Mahu tidak mahu Qairynn bangun mendekati Puan Sri Benazir. Wanita tua itu menepuk lembut lengan Qairynn sambil mereka berjalan menuju ke meja marmar tidak jauh dari situ.
“Mungkin dia keluar dengan kawan-kawan dia. Sebab tu dia tak ajak Rynn sekali. Kadang-kadang orang lelaki bila mereka berkumpul, mereka tak suka ada wanita di antara mereka,” pujuk Puan Sri Benazir.
“Ye ke? Mana nenek tahu? Atuk yang cakap ke?” kening Qairynn berkerut memikirkan kelogikan alasan neneknya itu.
“Nenek tahu, sayang. Sebab orang perempuan pun begitu,” sambut Puan Sri Benazir lantas ketawa kecil. Naif benar cucunya ini.
“Ayah dengan umi pun tak datang ambil Rynn..” keluh anak itu perlahan sahaja.
“Ayah dengan umi ada kerja. Bukannya mereka sengaja tak datang sini. Lagipun minggu lepaskan Rynn dah balik rumah ayah?” ucap Puan Sri Benazir.
Sekali lagi Qairynn termangu sendiri. Semua orang ada urusan masing-masing. Dia? Termenung sendiri sepanjang hari macam mak kucing hilang anak. Nak mengulang kaji pelajaran pun takde mood rasanya.
“Apa kata kalau kita keluar?” ajak Puan Sri Benazir lembut.
“Tak mau! Rynn tahu, nenek mesti nak ajak Rynn pergi tengok karpet yang baru sampai tu kan?” Qairynn terus memandang neneknya dengan sorotan mata mengecil. Bosan sudah dia meninjau gedung karpet milik datuknya itu. Kalau tak pun ke gedung jubah pula. Takde apa yang mampu menarik matanya di sana. Bertambah bosan lagi ada.
Jawapan pantas Qairynn membuatkan wanita tua itu ketawa besar. “Habis tu Rynn nak pergi mana? Nenek tak kisah asalkan bukan pergi main bowling lagi.”
“Rynn tak mahu keluarlah, nek. Takde mood,” ucap Qairynn perlahan. Dia sebenarnya mahu menunggu Aryan balik. Kalau Aryan pulang sewaktu dia di luar, tak dapatlah dia berjumpa Aryan. Sehari dia tidak nampak muka Aryan dia benar-benar rindu.
Puan Sri Benazir diam saat Nong datang membawa hidangan minum petang di meja itu. Qairynn pula sekadar memandang kosong ke arah rumah sebelah. Tanpa sedar perlakuannya itu diperhatikan oleh neneknya itu tanpa putus. Dalam diam wanita tua itu mengeluh sendiri. Sedikit sebanyak dia dapat meneka mengapa cucunya jadi begini. Sayangnya tegahan dan tegurannya sering tidak membawa erti kepada Qairynn. Kini ‘angau’ cucunya ini sudah semakin parah dilihatnya. Hati siapa yang senang melihat itu semua?
“Entah-entah Aryan keluar dengan girlfriend dia tak?” ucap Puan Sri Benazir sambil ikut memandang ke arah rumah sebelah.
Qairynn menoleh pantas kepada neneknya itu. “Mana abang Aryan ada girlfreind, nek. Mengarut ajalah!” degusnya pantas. Entah kenapa seperti ada obor marak mula membakar ulu hatinya. Hatinya menjadi panas tiba-tiba.
“Manalah tahu.. kalau tak kenapa dia tak bawa Rynn sekali? Selalukan dia mesti ajak Rynn pergi mana-mana dengan dia. kalau dia keluar dengan girlfreind dia, mestilah dia tak mahu diganggu,” duga wanita tua itu masih dengan muka selamba.
Berubah wajah Qairynn kepada neneknya itu. Kini wajahnya juga sudah mula terasa panas sehingga ke otak. Macam rasa nak meletup aja kepalanya mengenangkan kata-kata neneknya itu.
“Kenapa nenek cakap macam ni pada Rynn? Nenek saja je nak bagi Rynn marahkan?” bentak Qairynn sedikit meninggi.
Puan Sri Benazir tenang sahaja dengan keletah cucunya itu. Malah masih ada senyuman yang mampu diukirnya biarpun wajah Qairynn sudah merah padam. “Kenapa pulak Rynn nak marah? Kalau Aryan ada kekasih, baguslah.”
Qairynn merenung tajam wajah Puan Sri Benazir. Mulutnya terasa ringan sahaja mahu menjawab. Namun mengenangkan yang berada di hadapannya ini adalah neneknya, dia hanya menahan dada yang turun naik dihambat rasa.
“Sebagai adik Rynn kena terima hakikat yang Aryan dah ada pilihan hati. Tak boleh rasa tamak, sayang. Aryan masih ada hak kepada hidupnya sendiri.”
“Nenek cakap apa ni?” getus Qairynn sedikit kasar.
“Nenek tak suka Rynn mengharap sesuatu yang belum pasti, sayang. Dalam hubungan persahabatan antara lelaki dan wanita, kita kena letakkan batas kepada diri kita sendiri,” jelas Puan Sri Benazir tetap lembut.
“Batas apa? Rynn sayangkan abang Aryan macam abang kandung sendiri! Rynn tetap akan berkawan dengan dia. Rynn tahu Abang Aryan pun macam Rynn jugak!” tegas Qairynn dengan renungan tajam. Semakin menyala api di hatinya ini mendengar kata-kata neneknya itu.
“Tapi nenek tahu sayang yang ada di hati Rynn tu tak sama macam sayang Aryan pada Rynn. Nenek yakin Rynn faham apa yang nenek maksudkan ni. Kalau hubungan ni langsung tak berlandaskan cinta, kenapa mesti cemburu, sayang?” tegur Puan Sri Benazir sekali lagi.
Berderau darah Qairynn mendengar kata-kata Puan Sri Benazir. Tiba-tiba dia bangun dari duduknya kasar. Dengan pantas dia berlari masuk ke dalam rumah sambil diperhatikan oleh Puan Sri Benazir. Perlahan ketenangan di hatinya tadi menyurut saat Qairynn berlalu pergi dengan cara begitu.
Hati tua itu walang. Kini apa yang berada di benaknya sudah semakin kelihatan di matanya. Wanita itu tahu Qairynn sudah ada perasaan sayang yang lain kepada Aryan. Bukan lagi sebagai adik. Tetapi sebagai seorang dara kepada si teruna. Itu yang dia teramat bimbang!
Di dalam biliknya Qairynn berdiri termenung di tingkap. Matanya terus memandang ke arah tingkap rumah sebelah. Tingkap itu terbuka luas. Tetapi tiada batang tubuh Aryan di situ. Selalunya mereka akan bertenggek sambil berborak di tingkap yang saling menghadap itu.
“Abang, bila abang nak balik?” Qairynn mula bercakap dengan tingkap rumah sebelah itu. tiada jawapan yang kedengaran melainkan dia hanya mendengar helaan nafasnya sendiri. Baru beberapa jam dia tidak nampak wajah Aryan. Dia sudah kesunyian yang teramat sangat.
Memandang kosong ke arah rumah banglo di sebelah tiba-tiba dia kembali teringat kata-kata neneknya itu. Benarkah Aryan keluar dengan kekasih? Kalau benar kenapa dia tidak tahu? Tak mungkin.. desis hati Qairynn sendiri. Kalau betul Aryan sudah ada kekasih mesti dia orang pertama yang tahu.
“Tapi takkan tiba-tiba Abang Aryan ada kekasih pulak?” sekali lagi dia berkata-kata sendiri. Segala perilaku Aryan semenjak kebelakangan ini cuba diamati sedalam-dalamnya oleh mindanya itu. Rasanya tiada apa yang pelik pun dengan Aryan.
“Argh!! Nenek kelentonglah tu..” desis Qairynn sendiri. Dia yakin Aryan keluar dengan kawan-kawan lelakinya.

Meluat! Mengada-ada!
Maya mendegus kasar melihat gadis tomboi yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Namun pandangan Qairynn dilihatnya sedang terhala ke arah lain. Dia tahu Qairynn masih tidak perasan akan dirinya.
“Kau cari siapa?” soal Maya saat gadis tingkatan 5 itu melintas di tepinya.
Qairynn terus menoleh kepada Maya sambil menghentikan langkahnya. “Kakak cakap dengan saya ke?” lembut sahaja ucapan Qairynn tanda menghormati pelajar seniornya itu.
“Siapa kakak kau?” getus Maya semakin meluat.
Wajah Qairynn berubah mendengar bicara kasar Maya itu. Biadap benar kakak senior ini.
“Aku tanya kau cari siapa kat sini? inikan kelas budak form 6. Kelas kau kat bangunan lain!” ucap Maya keras dengan jelingan tajam kepada Qairynn.
Huh! Dia ingat dia panggil aku kakak aku nak jadi kakak angkat dialah! Boleh jalan! Maya masih ingat, Aryan ada bercerita serba sedikit.. oh! Bukan serba sedikit tapi serbanya Qairyn! Qairynn! Qairynn! Sampai telinganya jadi berbulu mendengar cerita tentang perempuan lain dalam ‘dating pertama’ mereka beberapa minggu yang lalu. Seingatnya Qairynn ada dua orang kakak.
Dah ada dua kakak, cukuplah tu! Tak payah nak sibuk jadikan aku kakak angkat kaulah! Nak muntah aku.. hati gadis muda itu terus mencemuh Qairynn.
“Emm.. saya cari Abang Aryan. Saya nak balik dengan dia,” jawab Qairynn agak rendah. Matanya terus memandang Maya yang tiba-tiba sibuk pula mahu mengambil tahu tujuan kedatangan dia ke sini. Gayanya bercakap macam dia sudah berbuat salah besar. Tak tahu pula dia yang pelajar lain dilarang masuk ke kawasan kelas tingkatan 6 atas ini.
“Kau tak reti nak balik sendiri ke? Asyik nak kena tunggu Aryan? Ke kau tak ingat nombor bas intrakot tu?” perli Maya cukup jengkel.
Qairynn menelan liur memandang Maya. Apahal pulak dia nak menyibuk ni? Aku memang balik dengan Abang Aryan pun selama ni. Tiba-tiba pulak dia nak marah. Ada peraturan baru ke apa ni? Hati Qairynn semakin dijeruk kehairanan melihat gelagat Maya yang tak ubah macam polis trafik ini.
“Saya memang selalu balik dengan dia..”
“Kau ni nama aja tomboi! Tapi balik nak kena berteman jugak rupanya. Aryan kan nak STPM tahun ni. Dah tentulah dia kena stay lepas habis sekolah! study! bukannya melayan kehendak engkau aja,” sambut Maya sebelum sempat Qairynn mahu menghabiskan kata. Wajah Qairynn dipandang dengan mata terbuntang. Ada sesuatu pada gadis ini yang membuatkan dia sakit hati.
Qairynn walaupun suka digelarkannya dengan tomboi tetapi nampak sangat ayu dengan kulit putih melepak dan bibir yang kemerahan. Itu yang hatinya bimbang benar melihat Aryan dekat dengan Qairynn. Dulu memang dia tidak boleh nak kata apa. tetapi sekarang mereka adalah sepasang kekasih!
Qairynn terkedu mendengar bicara kasar Maya. Tiba-tiba dia kehilangan upaya untuk melawan sedangkan selama ini dia dikenali dalam keluarga sebagai anak yang suka melawan.
“Aku nak kau tahu yang Aryan tu boyfreind aku. aku tak suka kau manja mengada-ada dengan dia lagi lepas ni. aku nampak kau meleset dengan dia, siap kau!” getus Maya tatkala Qairynn hanya membisu.
Spontan bibir Qairynn terbuka. Dadanya seperti mahu pecah mendengar pengakuan Maya. Aryan dan Maya... ah! Susah dia mahu menyebutnya biarpun sekadar dalam hati. Entah kenapa hatinya terasa amat pedih saat ini.
“Kau fahamkan apa yang aku cakap ni?” ucap Maya sekali lagi tatkala Qairynn sekadar terkebil-kebil memandang kepadanya.
“Abang Aryan tak cakap apa-apa pun pasal ni?”
“Kenapa pulak dia nak kena cakap dengan kau? Dia kena mintak izin kau ke nak bercouple dengan aku? Suka hati dialah nak bercinta dengan siapa pun. Ke kau terkejut sebab dia tak pilih kau?” tukas Maya cukup pantas.
Berubah terus wajah Qairynn mendengar kata-kata Maya yang kedengaran cukup mengejek itu. Entah kenapa dia merasakan betapa rendahnya nilai dirinya di mata Maya. Ya! dia sekadar adik angkat kepada Aryan. Dia bukan kekasih Aryan.
Perlahan Qairynn menyuak sebahagian rambut yang jatuh menutupi sebelah matanya sambil menghela nafas perlahan. Kata-kata Maya membuatkan dia teringat kepada bicara neneknya tidak lama dulu.
“Saya takde apa nak cakap. Saya pergi dulu,” ucap Qairynn rendah sebelum berpaling.
Longlai dirasakan langkahnya saat itu. Dia hilang maya entah kenapa! Betapa peritnya dia memikirkan perubahan yang tidak dijangka ini. Patutlah Aryan tidak lagi lekat di rumah semenjak kebelakangan ini. Lelaki itu tidak lagi banyak bergurau dengannya. Rupanya Aryan sedang dilamun asmara. Tetapi kenapa dia tidak gembira dengan semua ini? bukankah sebagai adik dia seharusnya mendoakan kebahagiaan kepada lelaki yang dianggap sebagai abang?
Mengapa dia terasa seperti mahu menangis? Mengapa setiap apa yang dipandangnya sepanjang jalan ini hanya membuatkan hatinya semakin parah? Mengapa rasa ini yang datang kepadanya? Mengapa? Mengapa?
Qairynn tidak tahu apa sebenarnya semua ini!

3 comments:

  1. Sianya qairynn ...Aryan dh berubah...must diorg berpisah sambung blaja nnt kn...sambung lg yer xsabar nk tau kisah diorg....

    ReplyDelete