Monday 6 October 2014

PELITA DI BAWAH PURNAMA BY FAZLINDA RIDZUAN

BAB 3

adnilzaff.blogspot.com




“Ayah..” Qairynn menjerit kegembiraan saat terpandangkan Tan Sri Qayyum di dalam rumah itu. Tanpa sesaat pun dibazirkan dia terus meluru ke arah ayahnya itu. Dia sendiri tidak sedar bukunya dicampakkan begitu sahaja dek kerana terlalu gembira melihat kehadiran emak dan ayahnya di ruang tamu rumah itu.
“Mana Rynn pergi ni? Lama ayah tunggu tau,” ucap Tan Sri Qayyum sambil memeluk anaknya itu. Dahi Qairynn dikucup penuh kerinduan. Baru beberapa hari tidak bertemu anak bongsunya ini dia sudah angau.
“Rynn pergi rumah mama. Kenapa ayah tak panggil Rynn kat sana?” soal Qairynn manja. Tubuh ayahnya masih tidak mahu dilepaskan.
“Malaslah ayah nak kacau Rynn kat sana. Tak salam umi ke?” ucap Tan Sri Qayyum sambil menunjukkan isterinya yang tersenyum sahaja memandang mereka dua beranak.
Qairynn menoleh. “Umi..” seru Qairynn lantas mendekati emaknya itu. Setelah mencium tangan emaknya dia terus dipeluk oleh Puan Sri Bethina agak lama.
“Sihat ke, sayang?” ucap wanita itu lembut. Tersiksa hatinya berpisah daripada anaknya ini. Demi menjaga hati emak dan ayahnya, dia terpaksa membiarkan Qairynn di sini.
“Rynn sihat. Umi dengan ayah sihat ke?”
“Kami sihat tapi umi rindukan anak manja umi ni. Sebab tu umi datang sini,” ucap Puan Sri Bethina lembut. Raut anaknya itu diusap manja. Bibirnya tersenyum bahagia saat memandang sang anak yang sedang meningkat remaja. Walaupun tidak berada dalam dakapannya sepanjang masa dia tahu Qairynn dijaga baik oleh emak dan ayahnya.
“Kalau umi rindu kenapa umi tak ambil Rynn bawa balik rumah sana?” ucap Qairynn sambil mencebik sedikit. Selama ini dia lebih diberi perhatian oleh datuk dan neneknya berbanding emak dan ayahnya. Tidak seperti kakak-kakaknya yang tinggal bersama emak dan ayah mereka. Dia pula berada di sini seorang diri.
Puan Sri Bethina memandang suaminya seketika. Rintihan hati anaknya itu menerbitkan kesayuan di hatinya. Tetapi apakan daya. Kehendak ibu dan ayahnya kadang-kala membuatkan dia merasa serba salah.
“Hari Jumaat ni ayah ambil ya? Kita balik rumah sana,” ucap Tan Sri Ahmad Qayyum lembut.
“Ayah janji?” soal Qairynn mula ceria semula.
“Insya-Allah nanti ayah datang..” ucap Tan Sri Qayyum sambil memandang isterinya seketika. Pandangan isterinya masih tidak lekang dari raut si anak. Dia tahu hati wanita itu terdera akibat rindukan Qairynn selama ini.
“Kalau ayah sibuk, umi kena datang ambil Rynn tau,” ucap Qairynn mula memandang emaknya pula. Nadanya jelas memberitahu yang dia berharap benar janji itu dapat dikotakan oleh emak dan ayahnya.
“Ya, sayang. Nanti kami datang ambil Rynn.” Sayu sahaja bunyi jawapan Puan Sri Bethina kepada anaknya itu. Dia tahu Qairynn sunyi selama berada di sini. Hanya Aryan dan Adrina yang sering menemani anaknya ini.
“Rynn buat apa kat rumah Aryan tadi?” soal Puan Sri Bethina lembut.
“Buat homework dengan Abang Aryan,” jawab gadis itu pantas.
“Jangan kerap sangat habiskan masa kat sana, sayang. Rynn dah ni jadi anak dara tau. Tak manis kalau anak dara kerap sangat menghabiskan masa di rumah anak bujang orang,” tegur Puan Sri Bethina lembut.
“Alah, umi.. mama pun ada kat rumah sekali.”
“Umi tahu, sayang..” jawab Puan Sri Bethina sambil menghela nafas perlahan. Serba salah dia mahu mengungkapkan kata-kata. Bukan hal itu yang menjadi kudis di matanya selama ini. Dia tidak berapa gemar melihat Aryan dan anak gadisnya bergaul begitu rapat. Bukannya dia tidak pernah nampak cara Aryan melayan anak gadisnya. Berpelukan begitu sahaja sedangkan anak gadisnya masih seorang perempuan. Keluar masuk ke bilik tidur tanpa segan silu. Itu yang dia tidak suka.
Sebagai ibu dia bimbang melihat anaknya bergaul tanpa batas dengan lelaki walaupun diakui Aryan memang sayangkan Qairynn. Tetapi sayang Aryan masih berbatas, tidak akan sama dengan abang kandung. Hakikatnya Aryan bukan abang kandung kepada Qairynn. Lagipun mata seorang ibu sepertinya lekas menangkap kelainan anak gadisnya. Dia paling bimbang Qairynn hilang arah hanya kerana layanan penuh bermadu Aryan.
“Tak salah Rynn nak berkawan dengan Aryan. Tapi umi tak suka Rynn terlalu bebas dengan dia. Kamu berdua bukannya budak kecil lagi,” nasihat Puan Sri Bethina lembut.
“Maksud umi?” berkerut kening Qairynn memandang uminya. Pelik! Selalunya uminya tidak kisah dia berkawan dengan Aryan. Sekarang ni lain pulak. Bukannya sehari dua mereka kenal dengan Aryan. Sudah berbelas tahun. Jadi apa masalahnya?
“Maksud umi, anak ayah ni dah besar. Dah boleh kahwin. Aryan tu lelaki, nak. Ada keburukannya kalau lelaki dan perempuan berkawan terlalu akrab,” ucap Tan Sri Qayyum pula sambil tersenyum.
Qairynn terdiam memikirkan kata-kata kedua ibu dan ayahnya. Selama ini dia tidak pernah terfikir sehingga ke situ.
“Rynn, umi tak senang tengok Aryan sentuh anak dara umi macam tu aja. Berdosa, sayang.” Suara Puan Sri Bethina teralun cukup lembut menegur perilaku Qairynn.
“Umi, Abang Aryan tu bukannya ada buat apa-apa pun pada Rynn..” sambut Qairynn tidak senang dengan kata-kata ibunya itu.
“Umi tahu. Hari ni memanglah Rynn rasa macam tu. Tapi bila lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan, ada makhluk ke tiga yang ikut sekali. Anak umi ni nampak aja macam tomboi. Tapi masih suka pakai pakaian seksi, manja macam perempuan lain. Jangan macam ni, sayang. Rynn tak kesiankan umi dengan ayah ke?” luah Puan Sri Bethina perlahan. Anaknya yang ini paling susah disuruh bertudung seperti kakak-kakaknya. Ada saja alasan yang diberikannya untuk mengelak.
Qairynn terdiam mendengar teguran emaknya itu. Melihat wajah si anak sudah mula berubah, Puan Sri Bethina mula menggapai tubuh anaknya itu. Dahi Qairynn dikucup penuh kasih.
“Umi nak Rynn jaga maruah diri. Itulah harta yang paling berharga bagi seorang perempuan, sayang. Kalau maruah diri sudah lenyap, semuanya dah takde makna lagi. Seorang lelaki yang baik dia takkan membiarkan orang yang dia sayang jatuh ke dalam api neraka. Lelaki yang baik dia akan memelihara maruah wanita-wanita yang disayanginya.”
Qairynn memandang si emak sebelum mengangguk perlahan.
“Umi bukannya marah Rynn berkawan dengan Aryan. Umi faham selama ini Rynn selalu dengan dia. Tapi jangan terlalu rapat macam sebelum ni. Fahamkan apa yang umi maksudkan ni? Jangan biarkan dia masuk dalam bilik tidur Rynn sesenang itu. Rynn pun masuk ke bilik tidur dia bila berada di rumah sana. Tak baik, sayang. Aryan tu dah 19 tahun. Lelaki yang dah akil baligh ni mereka dah ada keinginan seksual pada perempuan. Rynn kena pandai jaga diri” Wanita awal 40-an itu berkata lagi. Harap-harap anaknya ini lebih jelas apa yang paling dia bimbangi selama ini tatkala anaknya ini tidak berada di hadapan matanya.
Sekali lagi Qairynn mengangguk sambil merenung tampang emaknya itu. Nasihat itu cuba disematkan di dalam otaknya.

“Abang..” panggil gadis itu riang lantas duduk di tepi lelaki itu.
“Kenapa lambat? Dah 5 minit abang tunggu kat sini baru nampak muka,” ucap Aryan sambil menoleh.
“Rynn sambung buat homework tadi. Lagipun atuk ada kat atas. Nanti kalau Rynn tak siapkan homework atuk marah,” jawab Qairynn lembut. Sambil duduk di tepian kolam renang itu, kakinya mula dicelupkan ke dalam air biru di hadapan matanya itu. Dingin! Hatinya terasa damai saat ini.
“Atuk mana boleh marah cucu kesayangan dia yang paling manja ni. Nanti atuk jugak yang tak lalu makan bila tengok cucu dia ni merajuk,” giat Aryan sambil tergelak sendiri. Bukannya dia tidak tahu betapa Qairynn cukup dimanjakan oleh sepasang suami isteri itu. Qairynn dilayan macam puteri di rumah besar ini.
Qairynn mencebik perlahan. Dia langsung tidak merasakan kebenaran daripada bicara itu. “Takde mananya atuk tu nak manjakan Rynn. Atuk tu semuanya tak boleh! Itu salah! Ini tak betul!” cebir Qairynn perlahan. Tan Sri Al Rashid yang dikenalinya selama ini seorangnya tegas sebenarnya.
“Rynn degil mestilah atuk marah. Dengan abang atuk okay je. Atuk lebih sayangkan abanglah tu berbanding cucu dia ni,” sambut Aryan lantas ketawa melihat Qairynn menjulingkan matanya ke atas, meluat dengan bicaranya.
“Ayah datang ke tadi?” soal Aryan lembut.
“Mana abang tahu?” tanya Qairynn pantas.
“Abang nampak kereta dia kat depan rumah ni.”
“Ayah datang jenguk Rynn,” jawab Qairynn perlahan.
“Rindu dengan ayah dengan umi ke ni?” usik Aryan sambil memaut bahu gadis itu. Hidung Qairynn sempat dicuitnya nakal.
“Mestilah rindu. Abang lainlah. Mak dengan ayah abang selalu ada depan mata abang,” jawab Qairynn sambil mencebik sendiri.
“Alah.. Rynn pun selalu jugak jumpa umi dengan ayahkan? Tiap-tiap minggu umi dengan ayah datang sini jumpa Rynn. Okaylah tu,” sambut Aryan langsung tidak terkesan dengan perbandingan itu. Bahu Qairynn semakin dipautnya dekat kepadanya.
“Tapi tak sama..” jawab Qairynn agak rendah.
“Janganlah monyok macam ni. Abangkan ada kat sini?” pujuk Aryan perlahan. Pipi lembut Qairynn diusapnya lembut. Terasa bersalah pula menyebut tentang itu.
Qairynn sekadar tersenyum hambar. Perbuatan Aryan terus membawa ingatannya kepada pesanan uminya petang tadi. “Jangan terlalu rapat..” itulah kata-kata uminya yang masih berdiri utuh di benaknya. Tiba-tiba hatinya merasa tidak enak dengan perbuatan lelaki itu.
“Kenapa ni? Macam takde mood aja?” soal Aryan sambil merenung tampang si gadis di sisinya itu. Selalunya Qairynn mudah dipujuk. Tetapi sekarang macam ada sesuatu yang sedang dipendamkan oleh gadis ini.
“Takde apa-apa,” jawab Qairynn perlahan sambil kakinya menguis-nguis air kolam separas betisnya itu.
“Hmm.. kalau Rynn tak suka jumpa abang, abang baliklah. Abang datang pun Rynn macam tak happy aja,” cebir Aryan perlahan. Bosan pula dia macam bercakap sendiri. Qairynn macam tidak berminat mahu melayannya berbual.
Spontan si gadis menoleh. Anak matanya mula beradu pandang dengan Aryan.
“Kenapa ni?” soal Aryan lembut.
“Umi tegur Rynn tadi.” Qairynn mula membuka rahsia yang sedang terkurung itu.
“Tentang?”
“Kita..” jawab Qairynn sepatah sahaja.
“Maksudnya?” kening Aryan mula berkerut saat merenung tampang yang mula menunduk merenung air di dalam kolam renang itu.
“Umi cakap kita tak boleh terlalu rapat lagi. Umi tak suka.”
Spontan wajah Aryan berubah. Bicara itu cuba dimengertikan sebaik-baiknya. Perlahan pelukan di bahu gadis itu terlerai. “Umi cakap apa, sayang?” soal Aryan lembut.
“Umi cakap abang tu lelaki, Rynn perempuan. Umi tak suka kita terlalu bebas berkawan macam dulu. Itu aja yang umi cakap,” luah Qairynn tenang.
Bicara itu membuatkan Aryan mengeluh perlahan. “Umi marah abang ke?” soal Aryan masih tidak berpuas hati dengan penjelasan pendek-pendek Qairynn itu. Apa yang diucapkan Qairynn membuatkan hatinya merasa tidak sedap.
Qairynn menggeleng tanpa memandang. “Umi tegur Rynn. Sebab Rynn ni perempuan. Kena pandai jaga maruah diri,” jelas Qairynn masih seringkas-ringkasnya.
“Tapi abang tak de niat nak buat apa-apa pada Rynn. Rynn tahukan abang sayang Rynn macam adik abang sendiri,” sambut Aryan pula.
Qairynn diam pula. Dalam diam dia termenung sambil memikirkan semula segala yang ada antara dia dan Aryan selama ini. Namun kata-kata uminya terus berada di puncak pemikirannya. Dia tidak tahu bolehkah dia mengubah keadaan mereka berdua selepas ini. Dia sudah terbiasa dengan semua itu.
“Rynn jangan risau. Abang akan jaga Rynn baik-baik. Abang janji umi takkan marah Rynn lagi. Biar abang yang cakap dengan umi,” bisik Aryan lembut. Tanpa sedar bahu gadis itu kembali dipautnya. Wajah sedikit murung itu direnung mesra. Spontan itu juga kucupan halus dilepaskan di pipi Qairynn, membuatkan gadis itu terkesima seketika.
Saat dia menoleh kepada Aryan lelaki itu sedang merenung lunak kepadanya dengan sedikit senyuman. Tiba-tiba dadanya terasa sebu memandang lelaki itu. Entah kenapa dia terasa malu pula. Tidak tahu bagaimana perlakuan lelaki itu secara drastik membuatkan arus di hatinya berubah keras.
Qairynn kekeluan tidak berupaya membalas. Pelukan Aryann tidak mampu juga ditolaknya. Bersama lelaki ini dia merasakan dirinya kuat untuk berpaut. Namun apa yang berada di hatinya ini membuatkan dia menjadi pemikir sendiri. Mengapa selama ini saat dirinya disentuh Aryan dia tidak pernah merasa begini? Mengapa lain benar rasa ini?
“Senyumlah sikit..” Aryan memujuk lagi.
“Ehheemmm..” deheman kuat itu mengejutkan sepasang manusia yang sedang ralik di tepi kolam itu. Spontan mereka berdua menoleh ke belakang.
“Qairynn masuk dalam!” ucap Tan Sri Al Rashid dari atas balkoni. Pandangannya terpasak lama kepada cucu perempuannya yang sedang elok dipeluk Aryan. Bukannya dia tidak nampak apa yang dilakukan Aryan kepada Qairynn sekejap tadi.
“Atuk dah panggil..” bisik Qairynn kepada Aryan.
“Pergilah masuk,” jawab Aryan juga berbisik.
“Jumpa esok.”
“Okay, sayang..”
Tanpa kata Qairynn berlalu. Batang tubuh datuknya yang masih berdiri memandang ke arah mereka tidak mampu dipandangnya. Seriau dia melihat wajah serius datuknya itu.
“Atuk..” tegur Aryan sambil tersengih sedikit. Namun dia akhirnya ikut berlalu apabila melihat sorotan mata lelaki tua itu terpanah tajam kepadanya.
“Manalah minah sorang ni pergi. Aku dah lapar tahap gaban dah ni,” keluh Aryan kebosanan di dalam ruangan kantin sekolah yang agak lengang itu. Berkali-kali dia memandang ke arah pintu masuk kantin namun kelibat Qairynn masih tidak menjelma.
Jam ddi pergelangan tangan ditelek Aryan lagi. rasanya sudah lebih sejam waktu sekolah sesi pagi berakhir. Namun kelibat Qairynn masih tidak muncul. Seingat dia Qairynn tidak ada pula berpesan yang dia ada program selepas sekolah.
“Jadi penunggu ajalah aku hari-hari. Asyik menunggu dia aja. Tak pernahnya nak tepati masa,” keluh Aryan sendiri. Bosan menunggu akhirnya dia pergi membeli makanan untuk mengisi perut. Bersendirian di satu meja, Aryan khusyuk menikmati makanannya tanpa memandang sekelililing.
“Aryan..” sapa satu suara lembut mendayu.
Aryan terus mengangkat pandangan ke arah datangnya suara lunak itu. Batang tubuh yang bersalut baju kurung serba putih itu ditatap tanpa berkelip. Senyuman yang dipamirkan Maya sempat membuatkan Aryan hilang seketika dari dunia nyatanya.
Aryan tergamam seketika. Lain yang ditunggu lain pula yang datang. Entah apa anginnya Maya mahu menegurnya hari ini. selalunya gadis itu tidak ramah dengannya.
“Aryan..” sekali lagi namanya teralun lembut di ulas bibir kemerahan itu.
Aryan terus tersedar dari hayalnya. “Er.. iya?” balasnya sedikit gugup. Secangkir senyuman terus diukir sekadar mahu menutupi kealpaannya tadi. Entah kenapa saat ini berhadapan dengan Maya perasaannya mula tidak menentu.
“Belum balik lagi?” soal Maya. Tanpa dipelawa dia mula melabuhkan punggung di hadapan Aryan.
“Belum..” jawab Aryan sepatah dalam pada dia masih cuba mengawal dirinya.
“You ni rajinkan? Waktu macam ni pun you masih kat sini lagi,” puji Maya sambil tersenyum manis di hadapan lelaki itu.
Kata-kata Maya membuatkan Aryan tersenyum sambil menggeleng sendiri. Apa yang rajinnya dia? Dia masih berada di sekolah kerana menunggu Qairynn. Bukannya sebab study. Semenjak tadi dia hanya duduk melepak kosong di kantin ini.
“I tunggu adik I,” jawab Aryan biasa. Mee goring di dalam pinggan yang masih bersisa dihabiskannya.
“Siapa adik you? Si tomboi tu ya?” ucap Maya mula memintal rambutnya. Gelagat Aryan dipandang tanpa jemu. Lelaki ini semakin dipandang semakin kacak pula di matanya.
Aryan memandang Maya pantas. Gelaran itu agak sinis kedengaran di telinganya. “Nama dia Qairynn..” ucap Aryan biasa.
“What ever!” sambut Maya cukup perlahan. Meluat pula dia mendengar nama itu.
“Ada apa you tegur I ni?” soal Aryan pula. Aneh! Tiba-tiba sahaja mahu berbual mesra dengannya sedangkan selama ini mereka jarang bertegur sapa walaupun hari-hari bertemu di sekolah. Dia hampir tidak pernah kelihatan di mata gadis cantik ini selama mereka menuntut di sekolah yang sama.
“Saja nak tegur you tak boleh ke?” tanya Maya semula. Sekali lagi bibirnya tersenyum.
Aryan terdiam. Walaupun agak pelik namun dalam dia senang dengan perubahan ini.
“You ni low profile sangat. Kadang-kadang I rasa segan nak tegur you, Aryan. You ni macam tak suka bergaul dengan pelajar kelas lain. You asyik berkepit dengan adik you tu aja,” ucap Maya lembut.
“I bukan top student kat sini. Lainlah you..” balas Aryan mendatar. Entah kenapa ringan benar mulutnya mahu memuji dalam menyindir Maya.
“Takkanlah top student mesti dengan top student jugak kut. Kalau dengan yang tak top pun apa salahnya kan? Kenalah keluar sikit dari kepompong yang ada. Barulah tak bosan,” urat Maya selamba sambil tersengih.
Aryan ketawa kecil. “Yalah.. bila dah bosan barulah terfikir nak tegur dengan pelajar yang low profile macam I ni,” sambut Aryan usai tawanya.
“Nak tunggu you yang datang tegur I, sampai bila? Berjanggut menunggu pun you tak datang-datang!” Maya pantas mengembalikan semula perlian itu kepada Aryan.
Aryan tersentak mendengar kata-kata Maya. Paras gadis sebaya dengannya itu dipandang lama. Apa maksud Maya? Melihat renungan bercahaya gadis itu tiba-tiba hatinya berombak sendiri. Dadanya berdebar hebat. Apakah selama ini Maya juga menyimpan rasa yang sama seperti dia? Hanya dia yang tidak perasan.
“Kenapa? Terkejut ke?” ucap Maya berani.
Aryan menelan liurnya perlahan. “I tak faham apa yang you maksudkan ni,” ucap Aryan lembut.
Baru sahaja Maya mahu membuka mulut gadis itu tiba-tiba memusatkan pandangan ke arah pintu masuk kantin itu. Riak wajahnya berubah serta merta. “Lain kalilah kita cakap. I pergi dulu,” ucap Maya sedikit rendah. Sibuk aja perempuan sorang ni! getus hatinya dalam diam.
Aryan terpinga-pinga seketika melihat gelagat Maya yang sudah berubah. Namun seketika kemudian Qairynn muncul di sisi meja itu membuatkan dia mengerti mengapa Maya ingin berlalu segera.
Qairynn sempat memandang Maya yang melintasinya. Jelingan tajam gadis itu membuatkan dia terpaku seketika.
“Kenapa dengan dia?” soal Qairynn kehairanan. Tak pasal-pasal jeling orang. Sawan ke apa dia ni? Qairynn terus memandang lenggok Maya yang semakin menjauh sebelum kembali memandang Aryan. Lelaki itu turut sedang memandang Maya dengan wajah kebingungan.
“Dia nak apa dengan abang?” soal Qairynn lantas duduk di kerusi yang sama diduduki Maya tadi.
“Tak tahu,” jawab Aryan ringkas dalam pada dia terus terfikir-fikir apa yang diluahkan Maya sebentar tadi. Kata-kata itu sedaya upaya cuba diertikan setepat-tepatnya. Namun semakin itu dia semakin tidak sabar mahu bertemu dengan hari esok. Dia ingin mendengar jawapan yang pasti kepada segala persoalan di benaknya ini.
“Sorrylah.. Rynn kena tolong cikgu Zubaidah kat bilik guru tadi. Tak sempat nak bagitahu abang. Jom balik,” celah Qairynn dalam pada Aryan terus termenung sendiri.
Spontan Aryan terus memandang gadis di hadapannya itu. “Jom..” ucapnya pantas.
Sepanjang perjalanan pulang itu Qairynn lebih banyak berceloteh sendiri. Aryan di sebelahnya hanya mencelah sekali sekala. Melihat Aryan semacam keletihan, Qairynn akhirnya diam memandang ke luar bas.
Sesampai di rumah Aryan terus berlalu ke rumahnya. Qairynn yang sedang berdiri di hadapan pintu pagar rumah datuknya itu langsung tidak dipamitnya. Qairynn memandang lama lelaki itu. Sedetik dua itu dia kehairanan melihat kelainan Aryan. Namun Aryan terus berlalu sehingga kelibat lelaki itu hilang daripada pandangan matanya.

No comments:

Post a Comment