Tuesday 23 September 2014

PELITA DI BAWAH PURNAMA BY FAZLINDA RIDZUAN

PROLOG

http://adnilzaff.blogspot.com/



Lamunannya terbang jauh mencari seseorang yang kini sudah jauh meninggalkannya. Tidak sangka setelah hampir 18 tahun dia bernanung di bawah kasih lelaki itu, hari ini dia akan ditinggalkan mengutip sisa kenangan sendirian.
Ayah, maafkan Rynn. Rynn rindukan ayah sangat-sangat. Luahan itu bergema di hatinya lagi.
Sayu..
Pedih..
Tetapi apakan daya. Dia tidak punya daya untuk mengubah keadaan yang mendatang. Saat yang sama kenangan hitam yang merubah hidupnya kembali terimbau di ruang matanya. Sesak nafasnya saat terkenang semua itu. Tetapi sehingga kini kenangan itu masih terus memburunya tanpa belas kasihan.
Menungan gadis muda itu tergugah apabila tiba-tiba lengannya disentuh oleh seseorang di sisinya. Daripada memandang awan biru dia menoleh kepada wanita yang duduk di sebelahnya. Isyarat yang diberikan oleh wanita itu agar dia mengalihkan alat pendengaran yang melekap di telinganya segera dipatuhi.
“Kita dah nak sampai KL ni.” Nenek gadis muda itu berkata lembut.
Gadis muda bernama Qairynn Asyikin itu akur dengan suruhan neneknya. Tali pinggang keselamatan di kerusi dipasang semula. Ketika dia menoleh lagi neneknya masih lagi merenungnya bersama senyuman. Tanpa sebarang paksaan dia ikut membalas senyuman wanita 64 tahun yang berasal dari Parsi itu.
Mengerti akan kedukaan cucunya itu wanita bernama Benazir itu menarik kepala Qairynn agar rebah ke bahunya. Tangan cucunya itu ditepuk lembut seolah mahu mendodoikan remaja itu. Kesayuan Qairynn seperti dapat dirasainya. Kesedihan Qairynn ingin sekali ditawarkannya. Namun apalah dayanya. Hanya ini sahaja usahanya untuk menggembirakan Qairynn semula.
Mujur juga kunjungan mereka ke bumi Makkah sebelum ini berjaya memberikan sedikit ketenangan kepada Qairynn. Qairynn tidak lagi berair mata. Qairynn tidak lagi berkurung diri di dalam kamar. Benarlah.. penawar setiap kesakitan itu ada pada ALLAH. Manusia harus rajin memintanya.
“Semuanya akan baik-baik saja nanti, sayang. Percayalah..” ucapan itu hampir tidak kedengaran dari mulut wanita tua itu. Namun sebenarnya kata-kata itu adalah untuk meyakinkan dirinya yang suatu hari nanti hidup Qairynn pasti akan bercahaya semula. Insya-Allah..

No comments:

Post a Comment