Wednesday 22 February 2017

CINTA? BIAR BETUL KARYA ANNA MILIA

Bab 3 

   KETIKA  melangkah keluar dari bangunan Mika Consultant, Khaffy melihat Farid sudah menunggunya di dalam kereta.    “Kawan saya dah datang. Awak tolong hantar kereta company  ke  office.” Khaffy memberikan arahan kepada Syazwan.  
 “Baik, bos.” Syazwan menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat. 
 Tanpa berlengah, Khaffy terus menyeberangi jalan. 
   “Dah lama ke kau tunggu?” 
 “Baru aje. Sebatang rokok pun belum sempat habis,” jawab Farid usai menghembuskan asap rokok. 
  Khaffy  tidak masuk ke  dalam  kereta. Sebaliknya  dia bersandar pada pintu sambil melontarkan pandangannya tanpa arah. 
   Melihatkan perlakuan Khaffy, Farid terus mencampakkan  rokoknya  ke  luar  tingkap.  Dia  menguatkan pendingin hawa kereta. Tidak cukup dengan itu, dia menggoncang haruman kereta yang disangkut pada laluan udara pendingin hawa. 
   “Okay  dah! Kereta aku dah tak ada bau rokok,” ujar Farid sambil membuka pintu di sebelah pemandu. Tangannya mengibas-ngibas udara,  kononnya menghalau saki-baki  bau asap rokok. 
   Khaffy menjenguk ke dalam kereta. Masih ada saki baki bau asap rokok. Dia menggeleng, namun melangkah juga ke dalam kereta. 
 “Kelmarin aku ada jumpa sorang perempuan ni. Lawa betul.” 
 “Sejak bila kau boleh cakap pasal perempuan? Bukan kau alah dengan perempuan?  Taboo, kan?” sindir Farid. Dia tahu sejarah cinta Khaffy yang terputus di tengah jalan. Dia juga tahu kisah rumah tangga lelaki itu yang menemui kegagalan. 
 “Itulah. Aku pun pelik. Macam ada something  yang special  tentang dia.” 
  “Seksi tak?” tanya Farid penuh minat. 
  “Yang ni spesies lain terus. Dia pakai jubah dan tudung labuh.” 
 Bulat mata Farid mendengar kata-kata sahabatnya itu. 
 “Kenapa dah  berubah  benar  taste  kau ni?  Tudung labuh  dia ada tak macam Mak Cik  Senah  yang  jual nasi lemak ayam berempah dekat kafe  office  kau tu?” 
 “Ish  kau ni. Taklah macam mak cik 60 tahun tu. Dia ni masih nampak moden dan elegan walaupun  dressing macam tu.”
   Farid ketawa besar. Persepsinya, semua perempuan yang memakai jubah dan bertudung tak ada bezanya dengan Mak Cik Senah.
  “Dah punah  taste  kawan aku ni,” kutuk Farid. 
   “Tunggu sampai kau jumpa dia. Baru kau boleh cakap,” tukas Khaffy.
   “Jadi tak ni? Nak pergi cari bekas adik ipar kau tu?” 
    “Jadilah.” “Okay, aku dapat maklumat, dia akan hantar tempahan  cup-cake  hari ni kat  birthday party. Kita tunggu aje depan kedai dia. Bila dia dah keluar, kita  follow? Boleh macam tu?” 
    Khaffy angguk. 
    “Keluar, biar aku yang  drive,” ujar 
Khaffy. 
  “Kenapa pula?” 
  “Alah! Keluarlah. Banyak tanyalah kau ni.”   Farid mengikut sahaja. Mereka bertukar tempat duduk.
  Ketika  mereka  tiba  di hadapan  Honey  Bakery,  Farid perasan kereta Perodua Axia berwarna Lava red yang baru meninggalkan Honey Bakery. 
    “Kawan aku kata dia naik Axia merah.” 
    “Ni.  Axia yang depan  kita sekarang ni?”
Khaffy meminta kepastian. 
  “Axia tulah kut.”
  “Ya ke tak ni?” tanya Khaffy yang perlukan kepastian sebelum dia bertindak. 
   “Yalah tu.  Follow  ajelah.” 
 “Bagus. Tak perlu tunggu lama,” ujar Khaffy perlahan. Dia terus mengekori kereta di hadapannya. 
  “Lepas  follow  dia, kita nak buat apa pula?” tanya Farid. 
  “Kita  perdajalkan  dia.” 
  “Huh? Nak  dajalkan  macam mana?” 
  “Kau tunggu dan tengok aje.” 
 Usai mengucapkan kata-kata itu, satu bunyi dentuman kuat menyebabkan tubuh mereka berdua terdorong ke hadapan. Mujurlah mereka memakai tali pinggang keledar. Farid membesarkan anak matanya. Bonet kereta yang kemek dan berasap dipandang dengan rasa tidak percaya. Dia kemudian memandang Khaffy.
  “Ini ke yang kau kata  perdajal  tadi?”  Khaffy angguk. Senyuman jahat tersungging di bibirnya. 
     Apabila melihat pemandu dan 
penumpang kereta Perodua  Axia keluar dari kereta, Khaffy segera menanggalkan tali  pinggang  keledarnya  dan  melangkah  keluar.  Pandangan tajam Farid kepadanya diabaikan.
  “Kenapa awak brek mengejut?” soal Khaffy bernada kasar. 
   Khaffy masih belum dapat melihat wajah pemandu Perodua Axia itu. Wanita itu sedang tunduk membelek belakang keretanya yang dirempuh. 
 Farid turut melangkah keluar dari keretanya. Dia tergamam melihat kerosakan pada bahagian hadapan kereta BMW miliknya. Kepala yang tidak gatal terus digaru. 
  Ketika pemandu itu mengangkat wajahnya, Khaffy terkedu.  Wanita  sama yang  ditemuinya  di  Maximise Emporium kelmarin. Kenapalah mereka orang yang sama?
  “Lampu kuning,” jawab Aisya tegas. Khaffy dapat mengesan yang wanita itu turut terkejut apabila melihat dirinya. 
     “Bukan lampu merah cik oiii. Kuning tu maksudnya masih boleh teruskan pemanduan.” 
   “Tapi cikgu memandu saya ajar, lampu kuning tu bersedia untuk berhenti,” tukas Aisya. Matanya dipakukan semula pada keretanya. 
    “Tapi cikgu saya pula ajar, bila nampak lampu kuning  tu  kita  laju  sikit  sebelum  bertukar  merah,”  ujar Khaffy yang masih mahu menegakkan benang yang basah.    
      Aisya senyum segaris. 
  Farid yang baru  mengalihkan  pandangan dari kereta ke wajah Aisya terus terpaku. Masya-Allah, cantiknya janda Danni ni, desis hatinya. 
  “Tapi awak tetap salah. Undang-undang jalan raya kita, siapa hentam belakang, dia yang salah.” Nurhafizah, pembantu Honey Bakery bersuara. Nurhafizah sering menemani  Aisya  menghantar  tempahan  jika  tidak  terikat dengan jadual kuliahnya.  Pandangan Khaffy beralih kepada Nurhafizah. Begitu juga dengan Farid. Aisya pula memandang Khaffy. Dalam  fikirannya  terdetik  sesuatu.  Adakah lelaki ini sengaja melanggarnya kerana masih berang dengan peristiwa kelmarin? 
  “Macam inilah encik, kita buat  report ajelah,” putus Aisya apabila Khaffy tidak bersuara. 
   “Saya tak boleh  report. Ini bukan kereta saya. Ini kereta bos. Kami cuma pinjam aje.” 
   “Kalau dah tahu kereta pinjam, bawalah elok-elok. Ini tidak, melaram dengan kereta bos, menyusahkan orang.” 
    Aisya mencerlung ke arah Nurhafizah. Dia tidak gemar cara gadis itu berbicara. Baginya agak kasar. 
    “Habis tu, macam mana ni? Takkan kita nak tungu kat sini? Saya ada tempahan yang perlu dihantar,” ujar Aisya. 
  Usai mengucapkan ayat itu, Aisya teringatkan kotak-kotak  cup-cake  yang disusun di dalam bonet kereta. Bulat mata dan mulutnya sambil memandang Nurhafizah. Reaksi Aisya menarik perhatian Farid dan Khaffy. 
     Mendengarkan bunyi hon yang bertalu-talu dan jalan yang kian sesak, Aisya mengambil keputusan untuk mengubah keretanya ke bahu jalan. Khaffy juga mengubah kereta milik Farid.
   Aisya membuka bonet kereta. Apa yang dikhuatirinya, berlaku. Semua kotak berisi cup-cake terhenyak. Aisya memejamkan matanya. Dia mengangkat keluar kotak yang paling atas lalu penutupnya dibuka. Sebahagian besar  cup-cake  rosak. Aisya menarik nafas dalam. Farid dan Khaffy saling berpandangan. 
   “Awak bukan setakat kena bayar ganti rugi kereta, awak kena bayar juga kerugian perniagaan kami untuk hari ini.” Nurhafizah bersuara garang. Dia tunak memandang Khaffy. 
    Aisya mengerling jam tangannya. Masih berbaki satu jam sebelum majlis hari jadi anak pelanggannya berlangsung. 
    “Encik, macam mana ni? Nak buat  report ke tidak?” tanya Aisya. Dia perlukan jawapan. 
 “Kalau saya tak nak?” tanya Khaffy kembali. 
  “Encik nak bayar tak kos baiki kereta saya?”
    Farid  menarik  lengan  Khaffy  menjauhi Aisya  dan Nurhafizah. 
   “Tak payah reportlah. Kereta aku sikit aje. Kereta dia yang teruk. Kau tak ada masalah nak bayar pada dia, kan? Lecehlah nak report  polis.” 
     Khaffy angguk. 
  Khaffy menghampiri Aisya. Saat mata mereka bertentangan, Khaffy melarikan pandangannya ke arah lain. Tidak mampu untuk melawan pandangan itu walaupun pandangan itu redup memayungi wajah manis milik Aisya. 
  “Kita pergi bengkel sekarang.” Aisya angguk.

No comments:

Post a Comment