Sunday 13 March 2016

BIAR HATI BERBISIK RINDU KARYA ZURI YANIE

BAB 4


SEBENTAR lagi matahari akan menyembunyikan wajah di ufuk barat dan rembulan penuh bakal mengambil alih menyinari langit hitam pekat. Awan hitam yang membawa hujan lebat petang itu baru saja berhenti berarak. Namun hujan tetap masih turun renyai-renyai. Seolah-olah belum puas menyirami bumi.
Haruman rumput tumbuh menghijau di sekitar kampus yang baru disiram hujan petang tadi langsung tidak menggangu Nina yang mengatur langkah pulang ke asrama. Keadaan jalan bertar hitam berlopak air di sana sini tidak menggugat aturan derap langkah Nina.
Nina mengambil laluan pejalan kaki untuk sampai ke asrama. Lebih selamat dari kesibukan kenderaan yang berpusu-pusu keluar dari kampus yang kemungkinan besar akan menyimbah lopak air yang membanjiri jalan ke arah pejalan kaki. Jarak antara asrama dan kampusnya cuma beberapa meter saja. Dia sendiri yang membuat pilihan untuk berjalan kaki daripada berebut-rebut dengan pelajar lain di situ untuk menaiki bas.
Sebuah novel dan sebuah lagi buku catatan hariannya digenggam erat sambil menghayun langkah pantas. Sekali-sekala Nina akan berlaga bahu dengan pengguna jalan kaki yang datang dari arah bertentangan. Tidak pula Nina ringan mulut meminta maaf seperti selalu.
Sudah seminggu fikiran Nina sarat dengan wajah Amil. Perasaan benci terhadap lelaki itu sungguh tak tergambar. Selepas kali pertama Nina keluar berdua dengan lelaki itu, dia sudah nekad untuk memutuskan saja tali pertunangannya dengan Amil.
Masih terbayang-bayang lagi perbuatan Amil padanya sewaktu lelaki itu menghantar dia pulang ke asrama malam itu selepas mereka berkunjung ke restoran steak.
“Terima kasih Nina sebab sudi temankan Amil makan malam.” Amil memulakan bicara tatkala kereta dipakir di hadapan pintu pagar utama asrama. Lelaki itu memalingkan wajahnya ke arah Nina, menatap wajah mulus Nina yang disimbahi cahaya lampu neon jalan. Masih kelihatan lembut dan tenang.
“Sama-sama.” Nina menjawab ringkas. Jam pada dashboard kereta direnung sekilas. Waktu itu sudah menginjak ke angka 11. Setengah jam saja lagi para pelajar dibenarkan berada di luar kawasan asrama. Jika terlambat masuk ke asrama nanti, nama akan diambil oleh pengawal keselamatan asrama dan akan dibawa ke jabatan disiplin pelajar asrama.
“Mungkin lain kali kita boleh keluar lagi. Mungkin hujung minggu nanti.” Amil menyambung. Dia masih berharap dapat keluar lagi dengan Nina. Dia masih tidak puas menatap wajah itu dan mendengar Nina berbicara memandangkan gadis itu lebih suka berdiam diri dan hanya menjadi pendengar saja.
“Nina tak pasti Nina ada masa nak keluar lagi ke tak. Amil pun faham sajalah, Nina ambil IB. Tak boleh nak main-main sangat.” Nina menekan perkataan main-main supaya Amil mengerti.
Dia sebenarnya mencari alasan untuk tidak lagi bertemu dengan Amil. Selepas menemani Amil mengisi perut di restoran steak tadi, dia lebih suka mendengar. Lelaki itu banyak bercerita tentang keluarganya. Dia terlalu berbangga dengan kekayaan yang dimiliki oleh keluarganya sehingga membuatkan Nina hilang minat untuk mendengar. Sudahnya, gadis itu diam saja dan mengangguk bila perlu.
Lagipun tak lama lagi mereka akan menikah. Tak salah rasanya mereka simpan saja keinginan untuk mengenal hati budi. Apa salahnya mereka bercinta selepas berkahwin? Kan lebih manis begitu?
“Nina tak suka keluar dengan Amil?” soal Amil kecewa. Bukan dia tidak mencuba untuk mendekati gadis itu, cuma Nina saja yang bersikap dingin. Memang dia akui dia terlalu memilih gadis yang lebih suka bersikap terbuka, bergaya dan semestinya seksi. Tetapi mereka semua hanya teman untuk bersuka ria. Bukannya untuk dijadikan isteri.
Bila melihat Nina petang tadi, dia akui dia mula jatuh cinta buat pertama kali. Kerana itulah, dia mahu mereka luangkan lebih masa bersama-sama.
“Kita tak pernah kenal dengan lebih dekat, Nina. Apatah lagi nak luangkan masa bersama-sama sebelum ni. Setiap kali keluarga Amil melawat keluarga Nina, Amil tak pernah ada peluang nak bercakap dengan Nina. Mungkin waktu nilah kita boleh ambil peluang untuk kenal diri masing-masing,” luah Amil, mohon Nina memahami hatinya.
“Bukan macam tu maksud Nina. Tak lama lagi kita akan kahwin. Apa salahnya kalau kita bercinta lepas nikah? Waktu tu kita boleh kenal hati budi. Kita boleh keluar sama-sama, habiskan masa berdua. Amil pun akan temankan Nina sambung belajar di U.K. Masih panjang lagi masa untuk kita bersama.”
Nina meluahkan pendapat, meminta Amil mengerti. Selebihnya dia mula resah kerana masih berada di dalam perut kereta lagi. Takut nanti namanya tersenarai dalam pelajar yang lambat masuk ke asrama. Tak pernah dibuatnya sebelum ini.
Amil mengeluh berat mendengar alasan Nina. Pelbagai alasan yang diterimanya oleh Nina namun kali ini hujah gadis itu panjang lebar. Sudahnya dia mula menyandarkan tubuh ke bahu tempat pemandu, melepaskan keluhannya di situ. Nina sememangnya seorang gadis yang dingin. Tak punya hati untuk bercinta.
“Nina dah lambat. Tinggal 15 minit lagi nak masuk ke asrama.” Nina sudah menggenggam beg tangan.
 Tanpa Nina duga, tidak semena-mena Amil menarik tubuhnya ke dalam pelukkan. Bukan itu saja, lelaki itu tanpa segan silu mendaratkan bibirnya ke pipi Nina.
Terkejut dengan perilaku Amil, tak semena-mena telapak tangan Nina mendarat di pipi lelaki itu. Marahnya meluap-luap dengan tindakan Amil tadi. Turun naik dadanya menahan getar.
“Tergamak Amil buat Nina macam ni?” Menggigil tangannya selepas menampar pipi Amil. Dia tidak menduga Amil berani bertindak sejauh itu. Mereka baru saja pertama kali keluar bersama. Perbuatan Amil sudah melampaui batas!
“Oh relakslah, Nina! Kita dah bertunang pun. Tak salah kalau Amil cium Nina sekalipun.” Amil mula hilang arah. Tak pernah mana-mana gadis sebelum ini menolak perilakunya pada mereka. Bahkan mereka semuanya suka, seronok!
“Tak salah? Amil jangan nak samakan Nina dengan mana-mana perempuan yang Amil bawa ke katil. Nina ada maruah, ada harga diri. Kalau macam nilah perbuatan Amil, baik kita putuskan saja pertunangan kita. Nina tak sudi bersuamikan lelaki macam Amil ni.” Nina meluahkan kata geram. Geram dan marah bercampur baur menimbulkna rasa benci dengan mendadak.
Cincin pertunangan di jari manis ditanggalkan dan dibaling ke wajah Amil. Lelaki seperti Amil patut diajar. Bukan semua perempuan sama saja. Dia ada maruahnya yang perlu dipertahankan. Ikatan pertunangan bukannya boleh dijadikan medium untuk mereka bebas melakukan apa saja!
“Nina!”
Jeritan Amil langsung tidak diendahkan oleh Nina. Gadis itu cepat-cepat menghilang di balik dinding bangunan asrama. Marahnya bukan kepalang. Bila tiba di bilik nanti, akan dia buangkan jambangan mawar yang dihadiahkan oleh Amil padanya ke dalam tong sampah saja.
NINA kini sudahpun tiba di hadapan pintu bilik. Selepas menyelak daun pintu, Nina mendapati keadaan bilik sunyi sepi tanpa Hana. Keadaan bilik yang tersusun rapi menandakan Hana masih belum pulang dari keluar berdua menonton wayang bersama-sama teman lelakinya. Kata Hana, hari ini adalah hari untuk menghabiskan masa bersama-sama Zamir.
Nina mengambil tempat di birai katilnya lalu memandang kosong ke arah katil Hana di sebelah. Kini hanya sepi menyelubungi hati tatkala berseorangan di bilik. Akhirnya Nina menarik tuala di birai katil lalu menapak ke bilik air. Usai solat Maghrib nanti, Nina mahu bersiap-siap untuk menghabiskan bacaan novelnya di atas katil saja.
“Awalnya balik hari ni.” Hana bersuara lalu meletakkan beg tangan ke atas katil. Gadis itu baru saja pulang setelah Nina selesai menunaikan solat Maghrib. Nina sudah bersiap-siap di atas katil, mencari muka surat yang ditandanya pada novel yang baru dipinjamnya semalam.
“Kau ni aku tengok kalau tak ulangkaji, baca novel. Tu novel yang kat atas meja tu mesti pinjam petang tadi, yang kat tangan belum habis baca lagi.” Hana mula mengomel. Tangannya ligat menarik baju tidur di dalam loker pakaian sebelum menapak ke bilik air.
Dia kasihankan Nina. Sudahlah hidupnya banyak dihabiskan dengan buku-buku ilmiah, gadis itu lebih suka terperap di dalam bilik saja. Tak suka bergaul dan berkawan dengan orang lain. Itu tak termasuk lagi dengan hal dia dan Amil. Dia turut perasan Nina pulang dari keluar berdua dengan Amil minggu lepas dengan wajah basah. Dia tidak mahu masuk campur hal peribadi gadis itu jika Nina tidak mahu bercerita.
Nina hanya senyum. Dia meneruskan bacaannya setelah muka surat yang ditandanya sudah dijumpai. Dibiarkan saja Hana mengomel sendirian.
“Sekali-sekala ikutlah aku keluar. Ni tak, dah macam kera sumbang aku tengok kau ni,” luah Hana sungguh-sungguh. Menanti reaksi Nina dengan sabar. Tetapi mata Nina tetap tertancap pada barisan ayat-ayat di dalam novel di tangan.
“Daripada layan kau macam ni, baiklah aku pergi mandi dulu,” kata-kata Hana berselang keluhan.
‘Nina ni, kalau dia tak mahu layan kita jangan harap dia nak dengar apa yang kita cakapkan,’ omel Hana di dalam hati.
Melihat mata Nina masih tertancap pada novel di tangan, Hana menapak ke pintu bilik dengan gelengan.
Nina biarkan saja Hana pergi begitu saja. Bukannya dia tak mahu keluar bersama Hana, dia cuma tak mahu mengganggu Hana dan teman lelakinya. Mengenai hal berkawan, bukannya dia tak ada kawan. Kawan-kawan di kelas memang ramai. Cuma dia lebih suka menyendiri setelah tamat waktu belajar.
Sekejap saja bacaan Nina, panggilan telefon membantutkan keinginan Nina untuk meneruskan bacaan. Tatkala nombor telefon Vila Tengku tertera di skrin, dada Nina mula bergendang hebat.
“Kenapa Nina buat nenda macam ni?” Suara nenda terus menerjah tatkala Nina tekapkan telefon ke telinga. Tak ada salam dihulurkan, nenda terus menjerkah.
“Nina tahu tak Nina dah malukan nenda di depan Uncle Madi?” Suara nenda meninggi, menggetarkan perasaan Nina.
Nina hanya diam. Masih menanti kata-kata nendanya yang seterusnya.
“Kalau keputusan Nina putuskan pertunangan dengan Amil muktamad, Nina jangan harap Nina dapat sambung belajar di U.K.!” Kata-kata nenda muktamad. Talian ditamatkan begitu saja oleh nenda, menyentap jantung Nina.
Tak semena-mena airmata Nina mengalir lesu menuruni pipinya. Nendanya langsung tidak bertanya sebabnya Nina bertindak sedemikian bahkan menetapkan keputusannya. Sungguh tak adil. Bertahun dia hidup dibawah telunjuk wanita itu. Apa salahnya kali ini giliran nendanya pula menurut keinginannya yang satu ini?
Tidak mahu Hana melihat dia dalam keadaan begini, Nina berlari keluar dari bilik itu. Langkah disusun sehingga tiba ke pinggir tasik yang menjadi pemisah antara asrama perempuan dan asrama lelaki.
Di situ, dia menjerit sekuat hatinya. Biar reda perasaan yang terbuku di hati. Dia sungguh terluka dengan keputusan yang dibuat oleh nendanya. Keinginan untuk mencari ayahnya di U.K. akan lenyap begitu saja jika dia tidak menurut kata nenda. Sampai bila-bila dia tidak akan bertemu ayahnya lagi.
Akhirnya Nina terjelepuk ke atas rumput. Dilepaskan tangis sepuas-puasnya.
“Awak…”
Nina disapa lembut dari belakang. Perlahan-lahan Nina mengangkat wajah memandang ke arah air tasik yang tenang. Airmata di wajah diseka dengan hujung jari.
Sekilas dia mencari wajah yang menegurnya tadi di belakang. Tatkala pandangan mata mereka bersabung, Nina melarikan anak mata ke arah tasik di hadapannya semula.
“Awak ada masalah ke?” Raof masih berdiri menatap belakang tubuh Nina. Kedua-dua tangannya menyeluk poket jaket bagi melawan kedinginan malam.
Sewaktu dia melintasi kawasan ini tadi, dia ada terdengar suara gadis menjerit. Tatkala dia tiba di situ, dia melihat Nina menangis sendirian. Sayu hatinya tatkala mendengar tangis Nina. Nina seolah-olah kesal dengan apa yang berlaku padanya. Sebab itu di sini, menanti tangis Nina reda. Tapi gadis itu tetap begitu. Sudahnya, dia menegur.
“Kalau awak tak kisah, saya temankan awak kat sini.” Raof masih diam berdiri di tempatnya tadi. Dia bimbangkan keselamatan Nina. Di sini merupakan laluan pejalan kaki pelajar lelaki berulang alik dari asrama ke kampus. Dia bimbang Nina akan diganggu oleh mereka.
Nina hanya diam. Perasaannya sudahpun reda. Dia mula bangun dan ingin mengatur langkah menuju ke asrama. Teringatkan akan diri yang baru sudah menangis dan pastinya akan dikesan oleh Hana, dia mengambil tempat duduknya semula.
“Awak dah makan?” Raof menyoal, cuba mencari raut wajah empunya diri. Dari tadi dia hanya melihat belakang tubuh Nina saja.
Nina diam. Menggeleng tidak apatah lagi hendak mengangguk. Dia bingung dengan siapa dia sedang bercakap. Dia tak pernah kenal mana-mana lelaki di situ kecuali rakan sekelas saja.
Melihat Nina hanya membatu, Raof membuka mulut.
“Saya rasa elok saja kalau awak balik. Tak elok kalau awak duduk kat sini sorang-sorang. Bahaya. Sini laluan pejalan kaki budak-budak asrama lelaki. Saya takut nanti berlaku benda yang tak elok pada awak.” Raof meluahkan kata dengan harapan Nina mengerti. Bukannya dia tidak ingin menemani gadis itu di sini lama-lama. Rasanya tak elok jika hanya mereka berdua dalam keadaan gelap begini.
Nina masih diam. Dia tidak mahu balik ke biliknya lagi. Dia tak mahu Hana melihat dia dalam keadaan begitu. Nanti gadis itu akan membedilnya dengan pelbagai soalan. Dia belum bersedia untuk bercerita kepada sesiapa tentang masalahnya.
“Tapi kalau awak masih nak duduk kat sini, saya tetap akan temankan awak.” Raof akhirnya mengalah bila Nina masih berdegil duduk di situ. Sudahnya dia mencari kerusi yang tak berapa jauh dari tempat Nina duduk. Matanya tak lepas-lepas dari mengawasi Nina. Bimbang Nina akan bertindak di luar jangkaannya. Entah apalah yang bermain di fikiran Nina sekarang ini sehingga gadis itu tidak takut berada di situ keseorangan?
Setengah jam Nina di situ, akhirnya Nina bangun mengatur derap ke arah asrama. Sewaktu melintasi Raof, lelaki itu turut bangun.
Raof terkedu melihat Nina. Rupa-rupanya gadis yang sedang menangis sendirian tadi adalah gadis yang diintainya dalam diam. Lama matanya terpaku pada Nina. Bibirnya kelu untuk berkata-kata. Selebihnya, dia langsung tidak menyangka akan bersua dengan Nina dalam keadaan begitu.
“Terima kasih sebab temankan saya.” Nina bersuara dalam serak. Dipandang sekilas ke arah Raof. Dia malu bila lelaki yang langsung tak dikenalinya itu sudi menemani dia melepaskan sedih yang terbuku di hati.
Raof mula sedar tatkala Nina mula meninggalkan dia di situ. Segera dia mengejar Nina, menyaingi langkah gadis itu.
“Saya temankan awak balik.” Mereka berjalan seiring. Biarpun Nina tak bersuara sepanjang langkah mereka, bagi Raof, dia sudah cukup bertuah.



No comments:

Post a Comment