Tuesday 30 June 2015

KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

BAB 6



"Macam mana dengan pembantu baru kau tu Arif?" soal Khir sambil memandang tajam wajah teman di sebelahnya. Gelas di tangan diletakkan ke atas meja semula.
Ku Ariff tersenyum. "Okeylah, tapi macam yang aku pernah cerita sebelum ni. Dia tu jenis yang tak boleh kena tegur mesti ada aje yang dijawabnya. Kalau bab kerja memang baguslah cuma perangainya tu aje yang buat aku pusing. Tapi kadang-kadang tu terhibur juga aku dengan kerenah dia." Akuinya jujur.
"Hai Ariff, lain macam aje bunyi tu? Ada apa-apa ke yang kita orang tak tahu?" Danial yang hanya mendengar sedari tadi menyoal pula. Pelik. Setahunya sahabatnya yang seorang ini memang susah sikit hendak bercerita tentang perempuan sambil tersenyum-senyum begitu. Sejak kenal Ku Ariff, sahabatnya itu memang jenis susah hendak rapat dengan mana-mana perempuan padahal bukan main ramai perempuan yang menyendeng. Maklumlah anak orang kenamaan malah kacak pula tu. Sudahlah muka mixed yang sememangnya menjadi kegilaan perempuan.
Sudah tergelak Ku Ariff mendengar soalan Danial tadi. Khir dan Joe juga sudah memandangnya semacam. "Mana ada apa-apalah. Gila nak jatuh cinta dengan pembantu rumah. Memanglah aku akui dia tu cantik tapi budak-budak sangatlah. Baru masuk 22 tahun.” Telahnya.
"Kau sekarang dah 38 tahun. Hurm, okeylah tu walaupun beza umur hampir 16 tahun. Lagipun, kalau kau suka pembantu rumah pun apa salahnya. Senang hidup kau nanti dah ada isteri yang pandai buat kerja-kerja rumah. Kau tu sudahlah cerewet nak mampus," kutuk Johari selamba.  
“Amboi Joe, tak agak-agak nak mengutuk,” balas Ku Ariff dengan senyuman.
Johari tergelak. “Kenyataan Riff.”
Ku Ariff tersengih. "Budak tu baru sebulan lebih kerja dengan akulah. Aku pun bukannya kenal dia sangat.” Dalihnya.
“Kalau dah cinta masa bukan ukurannya. Tak kenal boleh berkenalan. Yang jauh boleh didekatkan. Apa ada hal,” celah Khir sambil tergelak.
Ku Ariff turut tergelak. “Sudahlah, tak payah cerita hal dia lagi. Mesti tersedak-sedak dia dekat rumah tu sambil buat kerja sebab korang asyik mengumpat dia dari tadi."  Balas Ku Ariff cuba mengubah topik cerita. Dia pun sudah naik segan asyik bercerita tentang pembantu rumahnya itu padahal antara mereka bukannya ada apa-apa. Berjumpa pun jarang sekali.
Johari, Khir dan Danial sudah tersenyum melihat raut muka sahabatnya  yang sudah  berubah rona  ketika itu. Mesti ada apa-apalah tu. Fikir mereka dalam hati. 
"Oh ya Danny, Nia apa khabar? Lama aku tak jumpa dia." Tiba-tiba Khir menyoal. Danial dipandang.
“Okey aje. Dia tengah cuti semester sekarang.”
“Rindulah dengan dia. Kau pun dah jarang bawak dia keluar sekarang, kenapa? Takut kita orang mengurat adik kau tu eh?” Soal Johari lagi.
Danial tergelak. "Bukan aku tak nak bawaklah tapi sejak dia buat kerja amal di rumah anak yatim sepanjang cuti semester ni memang dia asyik memerap aje kat rumah. Yang aku tak larat tu aku yang jadi mangsa kalau dia sakit sana sini. Tak habis-habis nak kena memicit dia. Manja terlebih-lebih. Dah tahu diri tu tak biasa buat kerja macam-macam mengada nak buat jugak,"  bebelnya pula.
Johari dengan Khir sudah tergelak mendengar cerita Danial tentang adiknya yang seorang itu. Mereka tahu sangat yang Dania memang manja orangnya. Sedangkan dengan mereka pun Dania tidak malu-malu hendak bermanja. Maklumlah mereka pun sudah kenal Dania sejak Dania kecil lagi.
"Nak buat macam mana, dah anak manja. Kau pun aku tengok manjakan dia sangat. Ha, sesekali bawalah dia keluar, beritahu abang Joe dia ni nak belanja," sambung Johari lagi.
"Kalau kau nak jumpa dia sangat datang aje ke rumah. Macam tak biasa pulak. Dania ada aje kat rumah tu. Kau tahulah dia tu bukannya suka keluar tak tentu pasal," sanggah Danial dengan senyuman.
"Korang cerita pasal siapa pulak ni?" soal Ku Ariff hairan. Sedari tadi dia hanya mendengar saja tapi tidak dapat menangkap siapa yang sahabat-sahabanya itu bualkan.
"Adik si Danial ni, Dania. Cantik tau orangnya," jawab Khir sambil tersenyum.
Ku Ariff pamer senyum saja. Malas hendak ambil port lagipun dia bukannya kenal.
“Amboi Khir, lain macam memuji adik aku tu? Ada hati nak jadi adik ipar aku ke?” seloroh Danial sambil tersengih.
Khir tergelak. “Tak nak aku ada abang ipar macam kau. Demanding!”
Tergelak besar Danial mendengar kutukan sahabatnya itu. Hampir tersembur air milo yang baru diteguknya ketika itu.
“Aku pun tak ingin ada adik ipar macam kau. Kalau Ariff, aku terus bagi green light. Pakej lengkap tu untuk jadi adik ipar.” selorohnya pula sambil memandang Ku Ariff di hadapan. Sengaja mengusik. 
“Memilih!” kutuk Johari pula.
Danial tergelak. “Wajib! Demi adik kesayangan aku yang sorang tu.”
Ku Ariff menggeleng dan tergelak sahaja mendengar gurauan sahabatnya itu. Tiba-tiba namanya pula yang dipetik. Kenal Dania pun tidak!


Haji Rahim menghulurkan buah limau yang sudah dikupaskan kulit kepada anak gadis yang sedang duduk bersandar di sebelahnya. Kemudian kepala Dania diusap perlahan sebaik buah limau tersebut dicapai oleh anak gadisnya itu.  Dania hanya tersenyum saja diperlakukan begitu. Anak manjalah katakan. Bukan setakat manja tetapi mengada yang lebihnya.
"Mengadalah adik ni, nak makan buah limau pun nak suruh abah  kupaskan kulit. Tak ada tangan ke nak kupas sendiri?" Kutuk Danial sambil bahu Dania ditepuk perlahan.
Dania mendongak dan mendengus. "Along dengki kenapa? Abah tak cakap apa-apa pun. Kan abah kan...abah tak kisah pun kan?" balas Dania sambil mencemikkan muka ke arah alongnya yang sedang membetulkan duduk di hadapannya. Tangan abahnya semakin dipeluk erat dan kepalanya disandarkan rapat ke bahu Haji Rahim. 
"Iyalah, belum kahwin bolehlah nak manja-manja dengan abah, nanti dah kahwin entah ingatkan abah lagi entah tidak." Haji Rahim mengusik.
"Apa abah ni, Nia belajar pun belum habis lagi dah sibuk cakap pasal kahwin. Tapi abah tak payah risau, kalau Nia kahwin pun nanti Nia tetap sayangkan abah. Abah tetap nombor satu di hati Nia tau."
"Belum kahwin bolehlah cakap macam tu kan bah, dah kahwin nanti lain pulak jadinya. Entah-entah nak balik tengok abah pun tak ada masa." Giat Danial pula. Wajahnya dicemikkan.
"Along ni saja aje tau," bebel Dania geram. Bantal di sebelahnya dicapai dan dibaling ke arah alongnya itu.
Danial mengelak dan lidahnya dijelirkan mengejek apabila bantal itu langsung tidak mengena sasarannya.
Haji Rahim hanya menggeleng sahaja melihat kerenah anak-anaknya itu.
“Bah, tengok along tu!” rengek Dania geram.  
“Sudahlah tu Along. Macam budak-budak,” tegur Haji Rahim  perlahan.
“Ala, gurau-gurau aje Bah. Adik tu mengada sangat tak boleh kena usik,” balas Danial membela diri. Dania diejek lagi.
Geram diperlakukan begitu, Dania mencemik. Ejekan Danial dibalas.
Melihat suasana yang riuh itu, tiba-tiba Haji Rahim melepaskan keluhan.
Dania mendongak. Wajah abah nya yang sudah berubah riak itu dipandang hairan. "Abah ni kenapa, tiba-tiba mengeluh pulak?"
Haji Rahim menunduk. Jemari anak gadisnya itu dicapai dan digenggam kemas. "Abah risaukan Nia sorang-sorang dekat Aussie nanti. Kenapa tak terus belajar dekat sini aje. Kenapa nak pergi sana?" perlahan Haji Rahim bersuara. Memang dia terkejut  apabila Dania tiba-tiba menghulurkan surat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara kepadanya tengahari tadi. Dia sendiri pun tidak tahu Dania ada memohon untuk belajar di sana. 
"Ala bah, tak payahlah risaukan Nia. Nia nak belajar berdikari. Nak belajar hidup sendiri. Lagipun dulu along pun belajar dekat luar Negara jugak. Okey aje."  pujuk Dania lembut.
"Along tu lelakilah Nia, Nia tu perempuan. Macam manalah mama dengan abah tak risau." sampuk Hajjah Zainon pula yang baru keluar dari dapur sambil menatang dulang air kopi panas di tangan. 
Dania mendengus perlahan. "Maa...Nia tahulah jaga diri bila kat sana nanti. Janganlah risau okey. Bila-bila free abah, mama dengan along datanglah tengok Nia dekat sana,"  sambungnya lagi.
"Betul cakap adik tu ma, bah. Along tahu pandailah adik jaga diri dekat sana nanti. Mama dengan abah tak payahlah risau." Pujuk Danial pula. Walau dia pun risau sebenarnya Dania keseorangan di sana tapi dia tahu Dania walaupun manja tetapi kuat orangnya.
Mendengar kata-kata Danial, Haji Rahim dan Hajjah Zainon terus terdiam. Lagipun mereka tahu anak gadisnya itu kalau sudah buat keputusan begitu memang susah hendak diubah lagi. Lebih-lebih apabila keputusan tersebut adalah dari keinginannya sendiri.


Ku Ariff berjalan merapati Puan Jasmin yang sedang berehat di balkoni rumah. Mummy nya itu disapa mesra dan pipi Puan Jasmin dikucup lembut.  
Puan Jasmin tersenyum. Huluran salam anak lelakinya itu disambut kemudian dahi Ku Ariff di kucup sekilas.
"Dari mana?" soalnya.
"Ariff dari office mummy.”
“Lewatnya? Dah pukul lapan lebih baru balik.” 
Ku Ariff mengangguk. “Banyak kerja sekarang ni mummy.”
“Dah solat magrib?” soal Puan Jasmin lagi.
Ku Ariff mengangguk. “Solat dekat office tadi.” Jawabnya. “Mummy macam mana hari ni?" soalnya pula.
Puan Jasmin tersenyum. "Alhamdulilah, mummy okey. Tiba-tiba balik jumpa mummy ni kenapa?" usiknya. Jemari anak lelakinya itu digenggam erat.
"Mummy ni, Ariff balik jumpa mummy pun tak boleh ke?" Soalnya dengan senyum yang masih terukir di bibir.
"Ada pulak tak boleh. Mestilah boleh. Kalau ikutkan, mummy nak Ariff pindah balik ke sini semula,"
Ku Ariff tersengih. "Ariff lebih senang duduk sorang-sorang mummy." balasnya sopan. "Daddy mana? Ariff tak nampak pun,"
"Daddy pergi rumah adik, nak ambil Aiman. Daddy dah rindu dengan cucu," Puan Jasmin lempar tawa.
Ku Ariff turut tergelak. "Baru aje beberapa malam lepas adik balik sini, dah rindu dengan cucu?"
"Bukan Ariff tak kenal daddy."
Ku Ariff mengangguk mengiakan.
"Dah makan?" Soal Puan Jasmin lagi.
Sekali lagi Ku Ariff mengangguk.
"Pembantu baru Ariff macam mana?"
Ku Ariff tunjuk sengih. Semua bertanya tentang pembantu barunya itu. Tak pasal-pasal glamour Zahirah di mata orang-orang yang rapat dengannya padahal semua tak pernah berjumpa Zahirah lagi. "Setakat ni okey aje. Bolehlah diharap." Jujur dia menjawab.  
"Mummy nak tanya, sampai bila Ariff nak menyendiri? Tak fikir nak kahwin? Kalau dah kahwin kan bagus, ada isteri yang jaga semua keperluan Ariff, " Soal Puan Jasmin mengulang lagi pertanyaannya.  Anak lelakinya itu dipandang sayang.
Ku Ariff terdiam. Kepalanya ditundukkan memandang lantai. Perlahan-lahan nafasnya dihela.
"Ariff..." Panggil Puan Jasmin lembut. "Ariff masih fikirkan adik? Masih tak boleh buangkan perasaan tu jauh-jauh?" Tebaknya pula. Bukan dia hendak mengungkit tapi tak siapa  tahu apa yang tersimpan di dalam hati anak lelakinya itu. Manalah tahu kerana kecewa yang disimpan,  Ariff memilih untuk menyendiri.
Ku Ariff terus mendongak. Kepalanya digelengkan perlahan.
"Tak mummy. Ariff dah boleh terima kenyataan cuma Ariff belum jumpa calon yang sesuai dengan Ariff," nafi Ku Ariff bersungguh. Itu kenyataannya. Sejak dia berbicara dari hati ke hati dengan Zairil dulu, dia sudah nekad untuk melupakan perasaan yang ada dihatinya buat Irina. Biarlah Irina bahagia dengan Zairil kerana itu yang dia doakan selalu. Melihat Irina gembira dengan kehidupannya sekarang dia juga turut bahagia.
"Dah tu nak tunggu sampai bila?" Puan Jasmin bertanya lagi. Risau dia memikirkan anak yang satu ini.
"Nantilah mummy, ada jodoh Ariff kahwinlah." balas Ku Ariff tenang. Jemari Puan Jasmin digenggam kemas. "Mummy jangan risau okey. Setakat ni Ariff senang macam ni," pujuknya lembut.
Mendengar kata-kata anak lelakinya itu akhirnya Puan Jasmin akur. Kalau tuan punya diri sudah berkata begitu, apa lagi yang mampu diucapkan. Biarlah Allah sahaja yang menentukan segalanya.














No comments:

Post a Comment