Tuesday 30 June 2015

KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

BAB 3



Dania memandang sekeliling ruang di dalam rumah banglo dua tingkat itu dengan pandangan kosong. Berserabut kepalanya, tidak tahu mana satu kerja yang hendak dimulakan dahulu. Banyak sangat amanah yang ditinggalkan oleh Ku Ariff tadi namun tidak ada satu pun yang melekat di kepalanya. Dahinya diketuk-ketuk perlahan. Nafasnya ditarik.
“Fokus Nia, fokus. Apasallah kau lembab sangat hari ni!” bebelnya kepada diri sendiri. Matanya dipejamkan seketika sebelum dibuka semula. Nafasnya ditarik lagi untuk meredakan kebuntuan yang melanda jiwanya ketika itu.
“Okey, mula-mula basuh baju dulu. Lepas tu bersihkan bilik kemudian bersihkan ruang tamu, kemudian dapur dan akhir sekali porch,” Bisiknya perlahan kemudian dia tersenyum. See, kau boleh buat Nia. Kerja senang aje tu. Kau kan superwoman. Bisiknya lagi sambil tergelak kecil.
“Okay, let’s start!” ucapnya perlahan.  
Tanpa berlengah dia terus naik ke tingkat atas dan menuju ke bilik utama iaitu bilik Ku Ariff.  Sebaik pintu bilik lelaki itu dibuka,  Dania sudah  terpaku di muka pintu.  Setiap genap ruang bilik itu diperhati. Luas dan kemas. Perabut yang digunakan juga  tentu jenis yang mahal. Tengok sajalah ukiran pada kepala katilnya, cantik siot! bisiknya.
Dia terus melangkah masuk sedang mata masih leka memerhati keadaan di dalam bilik tersebut. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Bilik dia pun tidak sekemas itu. Desisnya perlahan.
“Ku Ariff...Ku Ariff..dah reti mengemas sendiri yang sibuk nak ambil pembantu rumah lagi buat apa? Sengaja nak membazir. Aku tahulah kau banyak duit.” Bebelnya sambil matanya melilau mencari bakul baju yang disebutkan oleh Ku Ariff sebentar tadi. Sebaik bakul baju tersebut menerjah ruang matanya kakinya diayun lagi. Bakul baju tersebut dicapai dan dia terus turun semula ke tingkat bawah. Nasib baik masa mula-mula dia datang ke rumah itu, Ku Ariff sudah menunjukkan kepadanya selok belok rumah tersebut jadi tak adalah dia kekok sangat. Dia terus berjalan menuju ke belakang. Sebaik terlihatkan mesin basuh di sudut veranda belakang rumah itu, Dania terus berjalan menuju ke situ. Bakul baju tersebut diletakkan di atas lantai. Penutup mesin basuh  dibuka kemudian pergerakannya terus terkaku. 
Jemarinya diketuk-ketuk perlahan di atas mesin basuh tersebut. Kemudian dia mengeluh berat. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu. Macam mana nak guna ni? Soalnya. Butang-butang yang terdapat di atas mesin basuh tersebut diperhati. Start, stop, pause, spin dan banyak lagi menu lain dibacanya tetapi masalahnya, macam mana nak guna benda alah ni? Kepalanya digaru lagi. Ya Allah, nak tanya siapa pulak ni. Ku Ariff? Soalnya sendiri. Laju kepalanya digelengkan. Mampus aku kena bebel nanti. Aduh, tension sungguh! Nak tanya mama? Tapi nanti kalau mama tanya nak bagi alasan apa? Ish! Tak boleh. Setelah hampir sepuluh minit termangu di situ, terus nombor telefon Zahirah di dail. Itulah pilihannya yang terakhir. Tentu Zahirah pandai kerja-kerja macam ni. Fikirnya.
"Irah, aku ada masalah besar ni," laju Dania bersuara sebaik Zahirah menjawab panggilannya. Sebelah tangannya dicekakkan ke pinggang.  
"Kenapa Nia?" soal Zahirah cemas apabila mendengar suara sahabatnya yang sudah kedengaran lain macam sahaja ketika itu.
“Kau mesti tolong aku,”
“Iyalah tapi tolong apa?”  
"Aku tak tau macam mana nak guna mesin basuh ni. Tolong aku." tutur Dania perlahan. Malu sebenarnya hendak bertanya, apa tidaknya  nak guna mesin basuh pun tak reti. Entah apa-apalah kau ni Dania. Berlagak macam bagus tapi mesin basuh pun tak reti guna. Ejeknya kepada diri sendiri.
 Pecah tawa Zahirah sebaik mendengar kata-kata sahabatnya itu. Dania…Dania…soalan lawak apa yang ditanyakan agaknya. Mesin basuh pun tak tahu guna? Aduhlah!
"Kau gelak ni apa hal?" tingkah Dania geram. Kalau ada depan mata memang dah kena lekuk dah si Zahirah ni.
"Aku tahulah bunyinya macam bodoh sangat kan tapi nak buat macam mana, aku mana pernah basuh baju sendiri. Si mamat ni lah baju dia pun nak suruh aku basuh. Stress aku!" bebel Dania pula melepaskan perasaannya. Dinding mesin basuh disepak perlahan.
"Ala Nia, susah-susah sangat kau hantar aje ke dobi selesai satu kerja kau," balas Zahirah memberikan cadangan.
Mendengar kata-kata Zahirah, Dania tersengih lebar.
“Ting!”
Hurm, betul juga. Beres satu kerja. Bisiknya dalam hati.
"Ha'ah lah Irah, kenapa aku tak terfikir pasal tu ek. Fuh! kau memanglah penyelamat aku. Terima kasih Irah untuk idea bernas kau tu. Inilah yang buat aku sayang kau sangat-sangat…muah..muah…muah," ucapnya teruja.
Zahirah tergelak kecil. Sengal betullah kau ni Dania. Kutuknya dalam hati.
“Aku bagi cadangan aje tapi nanti kau yang kena bayar tau.” Zahirah mengingatkan pula.
“Ala, sikit punya hal lah tu. Berapa sen sangat,” selamba Dania membalas.
“Iyalah, jangan nanti kau bising duit kau habis sebab berbakti untuk Ku Ariff pulak.”
"Tak apalah. Anggap ajelah aku buat amal jariah.” Gelak Dania pula. “Okaylah babe, aku nak sambung kerja," sambungnya lagi.
Mendengar kata-kata sahabatnya itu, Zahirah lepaskan keluhan. Panjang.
“Kenapa?” soal Dania hairan.
“Sorry Nia,  sebab aku kau kena tanggung semua ni,” luahnya kesal.
"Sudahlah Irah,  kau tak payahlah nak buat mood sedih kat aku. Aku redo dengan apa yang berlaku pada aku sekarang. Ini mesti sebab tuhan nak tunjuk supaya aku jadi rajin sikit lepas ni. Jadi tak adalah aku asyik nak mengharap  mama dan kak  Aisyah aje. Sesungguhnya aku insaf!"  tutur Dania lagi sambil menekankan perkataan insaf dihujung-hujung ayatnya.   
Mendengar kata-kata sahabatnya itu, Zahirah terus tergelak besar. “Nia..Nia, kau ni tak pernah nak serius,”
“Aku seriuslah babe, mana ada main-main.”
“Iyalah..iyalah,”
“Okeylah aku nak sambung kerja.”
“Okey Nia, take care,”
“Don’t worry, tahulah aku.”
Sebaik talian dimatikan, Dania terus menuju ke bilik Ku Ariff semula dan terus menghala ke arah bilik air. Sekali lagi dia melepaskan keluhan berat. Bilik air aku sendiri pun kak Aisyah yang cuci, ini aku sibuk-sibuk nak cuci bilik air orang pulak. Nasib kaulah Nia. Bebelnya kepada diri sendiri tapi dalam kuat membebel tangannya ligat pula mencapai berus untuk menyental bilik air tersebut. Selesai membasuh bilik air, bilik Ku Ariff di vacuum pula. Nak pasang vacuum pun satu hal. Terkial-kial. Hampir setengah jam baru vacuum tersebut berjaya dipasang. Puas digodek sana sini sebab tak reti nak sambungkan batang vacuum tersebut. Nasib baik  boleh hidup lagi kalau tidak harus kopak duit nak kena beli vacuum baru.  Untung Ku Ariff dapat pembantu rumah macam dia. Barang rosak harus dia ganti tapi lepas itu dia yang sesak tak berduit. Haish!
Selesai kerja membersihkan tingkat atas, Dania terus melihat jam di tangan. Sudah pukul dua petang. Patutlah lapar  bukan main lagi tapi hendak keluar terasa malas. Keretanya pula di parkirkan jauh dari rumah ‘bos’ nya itu. Badannya terasa bukan main penat lagi. Kalau boleh rasanya hendak sahaja dia membuta ketika itu. Dania terus menuju ke dapur mencari apa-apa yang boleh di makan. Hurm…satu apa pun tak ada. Mulalah rasa macam hendak menangis sahaja. Ku Ariff pun satu, peti air besar gedabak tetapi satu makanan apa pun tak ada. Kedekut taik hidung masin betul! Bebelnya. Tiba-tiba dia teringatkan masakan mama. Kalau di rumah waktu-waktu begini dia sudah melengkar macam ular sawa kekenyangan tapi sekarang dia keseorangan dan kebuluran. Uwaaa, sadis betul nasib kau Nia!
Perut yang sudah mula mengeluarkan bermacam-macam bunyi itu diusap. Jazz ada, dangdut ada, rock kapak pun ada. Tidak berlengah, Dania terus mengambil telefon bimbitnya. Nombor telefon pizza delivery terus di dail. Pizza pun pizza lah Nia asal kau tak mati kebulur dekat rumah Ku Ariff. Kalau tiba-tiba Ku Ariff balik jumpa kau dah terbaring kaku di rumah dia tak ke naya dia nanti. Tak pasal-pasal jadi suspek menculik dan membunuh kau pulak. Kesian Ku Ariff  jadi mangsa keadaan. Bisiknya sendiri sambil tergelak kecil. Usai membuat pesanan, dia terus duduk santai di ruang tamu sementara menunggu pesanannya dihantar.
“Saya rehat dulu ya Ku Ariff, dah kenyang nanti saya sambung balik,” bisiknya.
Dania membetulkan tudung di kepalanya. Sudah naik herot tudung itu dikerjakannya. Apa tidaknya dari mula sampai sehinggalah ke petang tudung itu langsung tidak dibuka. Cabut tudung pun semasa hendak solat Zuhur tadi tetapi itupun di dalam bilik belakang. Diluar dari kawasan bilik tersebut dia terpaksa menjaga perlakuannya. Bahaya kerana rumah Ku Ariff dilengkapi CCTV. Tak boleh...tak boleh, nanti kantoi!
Jam yang terlekat kemas di dinding  dikerling sekilas kemudian dia tersenyum. Lagi lima minit akan menghampiri ke pukul lima petang. Yeay...masa untuk balik! Jeritnya perlahan. Akhirnya berjaya juga dia menghabiskan masa sehari di situ. Kerja-kerja yang Ku Ariff pesan semuanya sudah dibereskan cuma baju Ku Ariff sahaja yang masih belum dibasuh. Balik nanti dia sudah berkira-kira untuk singgah ke kedai dobi dan menghantar baju-baju tersebut. Dia lebih rela membayar kos dobi dari dimarahi kalau baju-baju tersebut rosak.
Sambil merehatkan tubuhnya di atas sofa, tangannya dipicit-picit perlahan. Sungguh, dia memang sudah tidak larat sangat. Hampir habis tenaganya hari itu kerana membersihkan rumah banglo dua tingkat tersebut.  Selepas ini mati hidup semula pun dia tak akan buat macam ini lagi. Selepas saja tiga bulan ini berakhir dia memang tak akan tengok muka Tengku Syakila lagi. Cukuplah apa yang telah berlaku selama ini. Semakin dilayan semakin melampau-lampau perangainya. Kalau kau dah menyampah sangat tengok muka aku biar aku saja yang nyah dari hidup kau mangkuk! Tekad Dania di dalam hati.  


"Along, adik mana?" soal Hajjah Zainon sambil membuang pandang ke arah anak lelakinya yang sedang santai di atas sofa. Hairan apabila kelibat Dania langsung tidak kelihatan. Biasanya kalau selepas waktu magrib anak perempuannya itu mesti turun duduk menonton televisyen sebelum makan malam. Ini batang hidungnya langsung tidak kelihatan. Balik tadi pun anak gadisnya itu langsung tidak bercakap banyak. Balik sahaja terus naik ke bilik.  
"Entahlah ma, along pun sejak balik tadi tak nampak pun kelibat adik. Kereta dia ada kat luar tu. Tidur kot," balas Danial sambil mengangkat bahunya tanda tidak tahu.
"Tidur magrib-magrib ni? Nia..Nia, entah dah sembahyang entah belum tu," Bebel Hajjah Zainon lagi dan terus mendaki anak tangga menuju ke bilik anak perempuannya itu.
"Apahal mama kamu membebel-bebel aje tu?" tegur Haji Rahim pula. Sampai sahaja di rumah sekembalinya dari surau tadi sudah terdengar bebelan isterinya. Daun pintu ditutup semula.
"Adik bah, dari tadi tak keluar bilik," balas Danial perlahan. Pandangannya dijatuhkan ke arah Haji Rahim yang sedang membetulkan duduk di sebelahnya sebelum mengalihkan pandangan ke arah skrin televisyen semula.
"Kenapa dengan adik? Merajuk dengan siapa pulak tu sampai tak keluar bilik?" Haji Rahim bertanya lagi dengan dahi berkerut seribu. Dia faham sangat perangai anak perempuannya yang satu itu. Sudahlah manja kuat merajuk pulak tu. Nampak saja macam keras tapi hati kecil saja sebenarnya.
"Entahlah,  along pun tak tahu." Danial menggelengkan kepala tidak tahu. 
"Haa, kamu dah sembahyang along?" Soal Haji Rahim pula sambil memanah pandang anak lelaki sulongnya itu. Selalunya dia dan Danial akan sama-sama bersembahyang di surau berdekatan rumahnya itu tetapi disebabkan Danial balik lewat dia seorang sahaja yang pergi magrib itu.
Danial mengangguk. "Baru sudah bah," jawabnya lembut.
Mendengar jawapan anaknya itu Haji Rahim hanya mengangguk sahaja. Baginya hal-hal yang berkaitan dengan agama memang tidak boleh diambil mudah. Sembahyang lima waktu wajib dijaga. Itulah yang selalu dipesankan kepada ketiga-tiga anaknya. Dia tidak mahu anak-anaknya leka dan lalai dengan dunia sampai terlupa mengejar akhirat.
"Haa, kenapa dengan anak dara awak tu?" Sebaik terlihat kelibat isterinya menuruni mata tangga, Haji Rahim terus bertanya. Songkok di atas kepalanya dibuka dan diletakkan di atas meja.
"Penat sangat. Kan dia sekarang ni tengah buat kerja amal di rumah anak-anak yatim dengan Zahirah," balas Hajjah Zainon perlahan. Suaminya itu dihampiri.
Haji Rahim hanya tersenyum saja mendengar jawapan isterinya. Kepalanya digelengkan perlahan. "Kenapa tak ajak Nia turun boleh makan sekali."
"Saya suruh dia sembahyang dulu," sambung Hajjah Zainon lagi dan terus berjalan menuju ke dapur untuk membantu Aishah menyediakan makan malam. Haji Rahim hanya mengangguk saja mendengar jawapan isterinya.  
"Along tolong picitkan tangan Nia ni. Lenguhlah." tutur Dania dengan muka  sedih meminta simpati dan terus duduk rapat di sebelah Danial sambil kepalanya disandarkan ke bahu alongnya itu. Serentak itu, kedua-dua tangannya dihulurkan.
Danial mendengus perlahan. "Itulah, along dah kata kalau tak biasa buat kerja-kerja macam tu tak payah susah-susahkan diri. Haa tengok! dah macam apa dah ni. Ini baru sehari kalau tiga bulan along tak tahulah macam mana. Harus muka tu dah macam nyonya jual sayur kat pasar borong selayang tu nanti," panjang lebar Danial membebel tetapi tangannya ligat pula memicit-micit tangan adik kesayangannya itu.
"Degil tak nak dengar cakap orang. Bila dah penat menyusahkan orang," sambungnya lagi.  
Dania mencemik. "Along ni dah tolong tu janganlah nak membebel. Nampak sangat tak ikhlas. Nia penat tau," Balasnya pula sambil tarik muka.
"Iyalah...iyalah.." balas Danial pendek. Sudah malas hendak membebel lagi. Dia tahu Dania memang kuat menjawab. Bila ditegur bukannya tahu hendak mengalah pun. Walaupun mulutnya  membebel tapi kesian pula bila melihat keadaan Dania yang seperti orang baru lepas kena denda bersihkan kawasan sekolah itu. Haji Rahim dan Hajjah Zainon hanya tersenyum sahaja melihat tingkah laku kedua-dua anaknya itu. 


Ku Ariff memandang sekeliling rumahnya. Sejak mula kakinya melangkah masuk ke dalam rumahnya, habis satu rumah itu diperiksa. Dari tingkat bawah sampailah ke tingkat atas dan dari luar sampailah ke dalam.
"Nasib baik walau banyak cakap tapi kerja bagus." bisiknya perlahan. Tetapi sebaik sahaja dia melangkah ke dapur dia terus menggelengkan kepalanya. Fail!


No comments:

Post a Comment