Sunday, 1 March 2015

PEGANTIN LELAKI UNTUK CIK GADIS KARYA AULIA IMAN

BAB 2


“Siapa yang mahu uruskan kolam ikan keli dengan perternakan itik babah dekat Perak tu sila angkat tangan?” Kameel menyoal anak-anak teruna yang sedang khusuk dengan gajed masing-masing. Tak harmoni langsung kehidupan mereka sekeluarga selepas kewujudan telefon pintar. Entah siapalah yang memperkenalkan teknologi secanggih ini. Semakin canggih aplikasi digital, semakin kurang keharmonian dalam kehidupan sosial. Contoh sedang berada di hadapan mata!
Masing-masing angkat wajah dan memandang satu sama lain. Semuanya senyap, satu suara pun tidak kedengaran apatah lagi untuk melihat salah seorang daripada mereka mengangkat tangan.
“Ada tak?” Kameel menyoal lagi.
Senyap! Yang menyapa halwa telinga hanyalah desir penghawa dingin yang sudah lama tidak diselenggara. Nak rosaklah tu, cuma tunggu masa sahaja!
“Khusyairi, macam mana? Boleh ke sana?” Kameel memetik nama anak sulung.
Anak lelaki berusia 29 tahun itu menggeleng perlahan. Hampa hati tuanya melihat reaksi si anak. Yang sulung tidak boleh membantu.
Sesudah itu, pandangan mata dihala pula ke arah Khairyl. Anak kedua dari lima beradik, baru sahaja menjengah usia 28 tahun.
“Ha… Aryl,  kamu okey ke tidak kalau babah hantar ke sana? Uruskan ladang tu!” ulang Kameel dengan nada seorang majikan. Tegas dan cukup energetik.
“Erm.. Aryl rasa tak okey! Lagi pun Aryl tak minatlah babah!” Jawabnya mudah.
“Ish, ada sahaja alasan kamu ya! Apa kata kamu uruskan ladang tu dulu, pulihkan dan naikkan semula hasil ternakan kita. Bila semuanya selesai, kamu baliklah semula ke sini!” pujuk Kameel cukup mengharap Khairyl dapat membantu dan memulihkan keadaan ladang ternak yang semakin menghampiri ambang kejatuhan.
Sorry bah, Aryl tak boleh tolong babah kali ni. Lagipun Aryl betul-betul tak minat, lagi pula kerja-kerja ladang ni, memang tak kena dengan jiwa Aryl bah.” Ajunya menghambur alasan yang tidak wajar.
“Takkan  nak tolong uruskan sekejap pun tak boleh?” Kameel masih mencuba memancing simpati anaknya.
“Dah Aryl tak minat, babah kenalah faham! I love my current job, please don’t force me okay!” ” aju Khairyl satu persatu. Harap babahnya faham kehendak dia yang tidak mahu ke ladang ternak itu.
“Yelah-yelah!” sahut Kameel bersama keluhan kecil. Sesudah itu, dia halakan pandangan ke arah anak bujang yang berusia 27 tahun. Muhammad Khair namanya!
“Ha.. Khair pulak macam mana? Boleh tolong babah jagakan ladang ternak tu?” Kameel menyoal seperti biasa. Khair seperti boleh diharap, apapun dia harus menanti penjelasan dari empunya diri sebelum apa-apa keputusan dibuat.
“Err.. Khair rasa tak sesuailah kalau Khair ke sana babah! Khair dah ada kerja tetap di sini! Rugilah kalau Khair tinggalkan apa yang Khair dah ada sekarang!” dengan bersahaja anak ketiga dari empat beradik memberi jawapan ringkas namun sudah pasti itu jawapan paling selamat untuk menyelamatkan diri dari dihantar ke tempat jin bertendang yang dikelilingi hutan belantara!
“Pulak…” Kameel mendengus perlahan. Siapa lagi yang harus dihantar ke sana? Dia pandang satu persatu anak bujangnya, Khusyairi dan Khairyl bernaung di bawah syarikatnya.  Masing-masing memegang jawatan pengurus jualan dan juga pengurus kewangan. Manakala Khair pula, berkhidmat di salah sebuah agensi kerajaan sebagai doktor vaterina. Habis, siapa lagi yang boleh diharapkan jika bukan si bongsu yang baru tamat pengajian.
“Ha, Kris macam  mana pulak? Semuanya tak mahu, jadi babah rasa Kris calon yang paling sesuai untuk uruskan ladang tu!”
“Hah?” Kris tersentak. Tiba-tiba sahaja namanya dipetik. Tak sangka langsung!
“Ya, babah rasa Kris elok dihantar ke sana. Cari pengalaman kerja!”
“Kris? Kena jaga ladang?”  dia tunjuk diri sendiri.
“Ya, bila lagi nak cari knowledge dan timba pengalaman!” balas Kameel dengan senyuman mekar. Dia sudah jumpa calon yang paling sesuai walaupun sebenarnya tidaklah sesesuai mana. Tetapi, untuk permulaan ini, ada bagusnya Kris didedahkan dengan salah satu cabang perniagaan yang sedang diusahakan!
“No.. no.. itu bukan pilihan yang tepat!” dengan pantas, dia menggeleng di dalam senyuman senget. Enggan dihantar ke bumi asing yang cukup tidak digemarinya. Tambah-tambah, kawasan ladang ternak seperti itu! Mahu hitam kulitnya yang putih mulus.
“Babah tahu kamu semua tak mahu uruskan perniagaan keluarga, tapi babah dah tak ada sesiapa lagi. Yang ada hanya kamu, takkan babah nak suruh Sarah yang uruskan. Tak sesuai untuk Sarah! Dia perempuan, takkan babah nak bebankan urusan ladang kepada dia pulak!”
“Bah.. Kris bukan nak tolak ke apa... tapi agak-agaklah bah! Dekat situ, apa pun tak ada! Line internet pun slow, shopping complex tak pernah wujud! Sunyi dan macam-macam apa lagi bah! Mati kutu kalau Kris ke sana! Hutan belantara.. silap-silap harimau pun ada!”
“Jangan nak mengarut.. Mambang Diawan tu bukannya hutan rimba. Tak adanya harimau bermastautin dekat situ! Kalau betul pun ada harimau, hanya harimau buta saja yang sesat ke pekan kecil!” cantas Kameel memperbetulkan kenyataan si anak. Ada ke patut, pekan kecil itu disamakan dengan hutan rimba. Tak masuk akal langsung!
 “Yelah.. Kris salah!” akui Kris yang tersalah berbicara.
“Ha.. kamu ke sana ya! Minggu depan bertolak!”
No.. Apa kata babah suruh je along yang pergi! Dia anak sulung!” Kris memberi cadangan namun dengan pantas Khusyairi membalas.
“Along dah ada kerja tetap! Siapa yang tak ada kerja, pemalas, tak berdisiplin dan tak ada usaha untuk maju harus dihantar ke sana. Biar merasa hidup susah! Asyik bergantung harap dengan orang lain saja.” Khusyairi sempat menempelak dan dengan tiba-tiba Khairyl menyambut kenyataan itu dengan senyuman mengejek.
“Kau je lah yang pergi Kris! Dekat sini pun, kau tetap tak berubah! Pemalas, dan tak ada ciri-ciri nak maju! Harapkan muka je yang lebih, otak zero, skill langsung tak ada! Tak berubah langsung!” Khairyl pula menyampuk. Sempat lagi mempersenda dan memperkecilkan kredibiliti si adik!
“Along.. angah..... perlu ke mention semua tu? Tak perlu rasanya, kita ni bukan selalunya perfect, bukan selalunya di atas! Jangan terbang tinggi sangat, kalau jatuh sakit, boleh patah riuk dibuatnya!” Khair beri kiasan sinis. Namun dalam pada dia berkias, ada nasihat dan peringatan yang cuba disampaikan.
“Memang perlu! Kalau tidak, Kris tak pernah mahu berubah! Itu saja cara yang kita ada untuk ajar si pemalas ni supaya ubah sikap dan perbaiki tingkah-laku.” hambur Khusyairi garang.
“Aku sokong.. sampai bila ibu dan babah nak suap semuanya? Diberi itu ini, disediakan segala-galanya. Sampai bila lagi?” Khairyl menyoal sambil menyorot pandangan ke arah ibu dan babah mereka.
“Kalau kita tak paksa dia, sampai bila-bila pun perangai dia akan tetap begini! Tak boleh dibentuk lagi!” tokok Khairyl pula.
“Cukup...  babah panggil untuk berbincang bukan bergaduh atau perli memerli! Kalau nak bergaduh, pergi masuk ke gelanggang. Gusti sampai pengsan, jangan serabutkan kepala babah!” Potong Kameel bersama gelengan kecil.
Setiap kali diajak bermusyawarah, pasti ini yang akan terjadi. Susah benar untuk menyatukan anak-anak bujangnya.
“Ha Kris.. setuju tak? Minggu depan kamu ke sana!”
            “Kalau babah rasa mahu business babah lingkup, pilihlah Kris yang tak berdisiplin dan pemalas ni ke sana! Dialu-alukan!” Ujar Kris lantas bangkit meninggalkan ruang yang hangat dengan perdebatan. Menyampah sungguh!
“Kurang ajar!” Tukas Khusyairi geramkan perangai Kris!
“Entah apa nak jadi, dah tua bangka asyik mengharapkap mak bapak lagi!” Selar Khairyl pula.
“Ah, suka hati akulah! Kau orang macamlah bagus sangat! Kalau babah tak tolong, sama je level dengan aku!” Balas Kris berterus terang, biar mereka semua sedar di mana kedudukan mereka tanpa bantuan mak bapak! Sama saja dengan dia yang tak ada apa-apa ni!
“Biadab!” Jerkah Khusyairi segera bangkit dari sofa.
“Kau pun apa kurangnya!” balas Kris selamba. Terdongak kepalanya saat menghambur kata-kata. Marah benar pada si abang yang bajet bagus.
“Hish, ada juga yang kena terajang kejap lagi!”
“Sekali kau terajang aku, seratus kali aku terajang kau balik!”
Sahut Kris yang sudah sampai ke muka pintu. Kameel yang tidak senang segera menyampuk. Tak elok membiarkan anak-anaknya bertelagah sebegini.
“Kris.. kalau tak melawan tak boleh ke? Hormat sikit dengan yang lebih tua.” Marah Kameel apabila melihat ada sahaja yang Kris jawab. Langsung tak hormatkan abang-abang yang lebih berusia daripadanya.
“Kris juga yang salah?” soal Kris seraya berpaling ke balakang dan memandang babahnya.
“Memanglah!” sahut Khusyairi bersama wajah menjengkelkan.
See.. perangai anak babah pun lebih kurang sama! Tak layak dapat penghormatan Kris. kalau dia hormat Kris… don’t worry, i will do the same thing! Seikhlas hati, tanpa paksaan!” ujar Kris menekan ayat dibarisan terakhir itu.
“Kris…” Kameel cuba meredakan ketegangan yang sedang berlaku.
“Sebelum mereka menyalahkan orang, ada baiknya cermin diri tu sendiri! Diri sendiri pun banyak lopak sana sini. Kambus bagi rata, bila dah rata baru sibuk kambus lopak orang lain pulak!” Tukas Kris lalu meneruskan langkahnya.
“Kris!” Kameel memanggil anak bongsunya namun Kris yang sudah panas hati terus sahaja melangkah dan berlalu keluar hingga Sarah yang baru tiba langsung tidak di sapa.
“Nak kemana?” aju Sarah ringkas.
“Kemana-manalah!” Sahut Kris acuh tak acuh!
“Sombong, elok sangatlah perangai tu!” Herdik Sarah yang baru pulang dari kerja.
“Suka hati oranglah, tak payah busy body!” Sembur Kris bersama jelingan tajam. Sejurus itu dia terus sahaja berlalu. Puas hatinya dapat menjawab herdikan dari Sarah dan dari mereka-mereka semua! Selama ini, dia senyap bukanlah bermakna dia bisu! Cuma dia masih ada sisa hormat, tapi hari ini sisa-sisa semuanya sudah dicuci bersih! Habis tak tinggal apa!
“Ah, Kris.... semua orang tak habis-habis kondem kau!” suara hati sudah mula bersoal jawab namun Kris tiada jawapan untuk semua itu.
“Pergilah ke sana Kris... berhijrah! Mana tahu, di sana kau lebih dihargai dan disayangi. Hijrah itu perlu andai sudah tiada apa-apa yang tinggal di tempat asal usulmu!”
“Hijrah?” Kris menyoal diri sendiri.
“Ya, hijrah!” sahut suara dari hati yang paling dalam.
“Perlu ke?”
“Sudah tentu perlu. Jika kau di sini, aku khuatir kau akan lebih derhaka!”
“Baiklah, aku akan berhijrah!” Kris tanamkan azam dalam diri. Dia perlu jauh, andai jauh itu bakal mendekatkan bahagia dengan dirinya. Orang kata, yang jauh akan berbau wangi tetapi jika dekat dan berada di depan mata, pasti busuk dan ada sahaja yang tidak kena

No comments:

Post a Comment