Monday 19 January 2015

TAKDIR CINTA KITA BY SHAQIR IMAN

PROLOG


Setiap yang bernyawa di atas muka bumi ini, pasti akan merasai kematian. Bilakah tiba masanya? Biarlah Allah sahaja yang menentukan...
WANDA IMANI duduk menghadap jasad abahnya yang terbujur kaku dan ditutupi dengan kain putih itu. Air matanya yang sejak daripada tadi mengalir, langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Kalau boleh dikumpulkan air mata itu, silap-silap sebuah empangan akan terbentuk daripadanya.
Beberapa orang penduduk kampung yang sedang membaca surah Yaasin, hanya memandang simpati ke arah Wanda. Masing-masing melahirkan rasa kasihan terhadap gadis muda itu. Bukannya mereka tidak tahu nasib malang yang menimpa gadis muda itu selama ini. Sejak daripada kecil lagi, Wanda sudah kematian ibunya. Sekarang ini, abahnya pula yang pergi dijemput Illahi.
“Wanda...” Puan Munirah memanggil anak kepada arwah sahabatnya itu dengan suara yang lembut.
Wanda mengangkat kepalanya dan menoleh ke arah Puan Munirah. Senyuman yang tawar dan penuh duka dihadiahkan kepada Puan Munirah. Puan Munirah itu merupakan rakan karib kepada arwah abahnya. Namun, dia sudah menganggap wanita yang berumur 50-an itu sebagai ibu kandungnya sendiri.
“Mak cik, kenapa abah pergi terlalu awal? Abah sudah tak sayangkan Wanda dan Fiq lagi ke?” soal Wanda dalam nada yang sayu. Matanya dihalakan ke arah Puan Munirah. Dia cuba memohon penjelasan daripada wanita itu.
Puan Munirah memejamkan matanya. Entah kenapa soalan yang ditanya oleh Wanda itu begitu menyentak tangkai hatinya. Semakin melimpah-limpah rasa kasihannya buat gadis muda itu.
“Wanda jangan cakap macam tu, nak. Mak cik amat yakin yang arwah abah sayang sangat pada Wanda dan juga Fiq. Tetapi, Allah lebih sayangkan abah, nak...” balas Puan Munirah seraya mengusap-usap kepala Wanda.
“Tapi kenapa, mak cik? Wanda dan Fiq belum puas merasa kasih sayang abah. Kami dah tak ada sesiapa pun di dunia ni lagi, mak cik. Hanya abah satu-satunya tempat Wanda dan Fiq bergantung. Tetapi, sekarang ni abah dah tak ada...” tangisan Wanda jadi semakin lebat. Dirinya semakin tidak terkawal.
Puan Munirah yang melihat keadaan Wanda itu, terus menarik gadis muda itu ke dalam pelukannya. Dipeluknya dengan erat tubuh Wanda dan kepala gadis itu diusap-usapnya.
“Sabar, nak. Ini semua qada' dan qadar Allah yang sudah tersurat. Kita sebagai hambanya kena redha dan sabar menghadapi dugaan yang diberikan kepada kita. Hidup perlu diteruskan, Wanda.” pujuk Puan Munirah.
Wanda merenggangkan sedikit pelukan dengan Puan Munirah. Wajah Puan Munirah yang manis dan penuh dengan sifat keibuan itu dipandang.
“Macam mana kami nak teruskan kehidupan kami, mak cik? Abah dah pergi tinggalkan kami. Kepada siapa kami mahu bergantung, mak cik?”
“Jangan cakap macam tu, sayang. Mak cik ada untuk kamu dan juga Fiq. Kamu pun jangan lupa yang Allah sentiasa ada bersama kamu walau di mana pun kamu berada. Sekarang ini, mak cik nak kamu kuatkan hati kamu. Redhakan pemergian abah, ya sayang?” Puan Munirah cuba untuk menyedarkan Wanda tentang kekuasaan Allah.
Wanda perlahan-lahan menganggukkan kepalanya. Betul juga apa yang dikatakan oleh Puan Munirah tadi. Orang yang sudah meninggal dunia pasti tidak akan kembali lagi. Kita yang masih bernyawa ini yang perlu meneruskan kehidupan. Biarlah orang yang sudah tiada itu, sentiasa terpahat kukuh di dalam hati kita.
Wanda menoleh ke arah adik lelakinya, Afiq yang sedang duduk sambil memeluk lutut itu. Wanda tahu yang dalam diam, adik lelakinya itu sedang menangis dan merintih di dalam hati. Cuma adiknya itu tidak mahu menunjukkan kesedihannya itu kepada mereka semua.
“Mak cik, boleh Wanda nak kucup jenazah arwah abah untuk kali yang terakhir?” tanya Wanda kepada Puan Munirah.
Puan Munirah tersenyum tawar. Air mata yang mengalir di pipinya segera diseka. Kemudian, dia menganggukkan kepalanya. 
“Boleh sayang. Tapi sebelum tu, Wanda kena lap dulu air mata. Jangan biarkan air mata Wanda tu jatuh di muka arwah abah, boleh?”
Wanda menganggukkan kepalanya sebagai tanda faham dengan kata-kata Puan Munirah tadi. Perlahan-lahan dia mengelap wajahnya yang dibasahi dengan air mata itu. Setelah dipastikan wajahnya sudah bersih daripada air mata, dia menghampiri jenazah abahnya. Kain putih yang menutupi muka arwah abahnya itu dibuka dengan perlahan-lahan.
Tubuhnya ditundukkan sedikit dan kemudian sebuah ciuman dihadiahkan ke kedua belah pipi arwah abahnya. Setelah itu dia mendekatkan bibirnya ke tepi telinga arwah abahnya. Perlahan-lahan, dia berbisik di telinga arwah abahnya itu.
“Abah, maafkan segala salah dan silap yang pernah Wanda dan Fiq lakukan pada abah. Halalkan segala makanan dan minuman yang pernah abah berikan kepada kami berdua. Sesungguhnya, kami berdua begitu menyanyangi diri abah. Abahlah satu-satunya bapa yang terbaik di dunia dan juga akhirat. Kami doakan abah tenang di sana bersama ibu. Semoga kita dapat berkumpul sekali lagi sebagai sebuah keluarga di sana nanti. Kami sayang abah...”
Selesai sahaja berbisik di tepi telinga arwah abahnya, Wanda terus merasakan yang dunianya semakin kelam. Tidak semena-mena, Wanda terus jatuh pengsan di situ juga.


1 comment: