Thursday 27 November 2014

AKU, ISTERIMU BY ZAIDAH HARUN

PROLOG

Zaidah Harun

Gerimis di senja hari semakin lebat, membasahi bumi ciptaan Ilahi. Alhamdulilah, inilah antara tandanya TUHAN masih sayang pada hamba-hambaNya untuk terus menikmati nikmatNya yang tidak terhitung.Walaupun menggusarkan sekeping hati dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan ini namun bersyukurlah. TUHAN masih ingin memberi kita rezeki yang melimpah ruah melalui buminya yang basah dek gerimis senja.dari bumi yang basah, akan hidup tumbuh-tumbuhan. Hasilnya nanti akan menjadi sumber makanan untuk beberapa jenis kehidupan. Dari hujan ini juga akan terbentuk penambahan pada banyaknya air di muka bumi yang merupakan sumber utama sebuah kehidupan. Tidak hanya buat manusia tapi untuk seisi alam ciptaan TUHAN.
      “Pukul berapa majlisnya mula, Ustazah?” soal salah seorang peserta program Akhawat Mukmin di petang yang redup itu.
Aleya di sebelah menyikuku.
      Aku tersedar dari terus membaca teks forum perdana yang akan kubentang dalam beberapa minit saja lagi. Aku kurang pasti pulak siapa yang akan menjadi panel dua orang lagi selain aku, termasuk pengerusi juga. Aku resah sebenarnya kerana kami semua tidak dipertemukan terlebih awal untuk membincangkan tajuk petang ini melainkan hanya dikirim soalan-soalan yang perlu dijawab melalui emel sahaja. Aku bimbang seandainya pengisian kami ahli panel nanti akan sama dan bimbang pula akan menjadi pengulangan dan menimbulkan kebosanan terhadap peserta-peserta yang hadir. Bagiku, mengapa majlis ilmu seperti ini jarang mendapat sambutan adalah disebabkan kadang isi penyampaian dari panel yang tidak menarik minat dan ada isi pengulangan. Bukan kerana isi pengulangan itu tidak sesuai, cuma perlu berikan points penting yang lebih agar maksud tajuk boleh berkembang dan tidak tersekat hanya pada beberapa skop ringkas saja.
      “Kenapa?” soalku separuh berbisik.
      “Peserta kita bertanya tu.. bila majlis nak mula..” sambungnya perlahan.
Aku mengalih pandangan kepada peserta perempuan yang nampak manis dengan baju kurung dan bertudung litup itu.
      “Maaf ya… lebih kurang jam dua petang kita mula…” balasku sopan.
Dia sekadar mengangguk-angguk dan kembali semula ke tempat duduknya. Sebenarnya, program Akhawat Mukmin ini adalah anjuran masjid kampong sebelah dan kerjasama dengan beberapa buah sekolah agama berasrama serta sokongan pejabat daerah. Lantaran itu, beberapa pegawai ugama dan juga guru-guru ugama telah dilantik dan diundang untuk turut sama menjayakan program ini. Menurut kertas kerja yang dikirim, program ini bakal berlangsung selama empat hari. Banyak aktiviti sudah dirancang dan program ini memilih masjid besar ini sebagai lokasi ia dilaksanakan. Di antara objektifnya pula adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama mukmin-mukminat dan memantapkan pegangan agama.Majlis sebegini sebenarnya memberikan banyak manfaat. Kalau pun manfaatnya tidak nampak saat itu, mungkin faedahnya di masa depan.
“Assalammualaikum ustazah..”sapa seseorang yang sedang menghampiri kami.
Aku dan Aleya serentak mendongak. Senyuman di wajah itu mencoret debar di dada. Cepat-cepat aku beristighfar dan membuang pandangan sekilas.
“Boleh saya tahu yang mana satu Ustazah Auni Jazilah?” soal lelaki yang segak berbaju cara Melayu biru muda itu dengan sopan.
“Saya..” balasku pendek.
“Majlis nak mula tapi semua panel diminta berkumpul sekejap…” khabarnya. Aku pantas berdiri dari tempatku duduk. Aku sempat meminta diri dari Aleya untuk mengikut lelaki itu menuju ke tempat khas di dalam masjid itu. Sesampainya bertemu dengan panel-panel yang lain, aku bersalaman dengan pegawai ugama yang lain. Aku merasa segan pulak kerana dua orang panel itu adalah bekas guruku di sekolah dulu.
“ Dah besar Jazilah… Ikut macam kita juga…” puji Ustazah Suhana seraya menarik tanganku untuk duduk di sebelahnya.
Aku sekadar tersipu diusik ustazah-ustazahku itu. Aku sempat mengerling lelaki yang sedari tadi menggaris senyuman tidak jauh dari kami itu.
“ Kira kita bertiga ni panel lah ya..” sambung ustazah Marliani pula.
Aku mengangguk saja. Rasa segan sangat bila duduk sebaris pulak dengan bekas-bekas guru yang pernah mengajarku dulu.Terasa kerdil sedangkan mereka adalah ilmuan yang banyak menyimpan pengetahuan berbanding aku.
“ Dah kahwin, Jazilah?” soal ustazah Suhana.
Aku tersentak. Pantas aku menggeleng.
“ Belum sampai seru…” sahutku, membalas usikan. Jujur saja, aku memang sudah lali dengan soalan cepu emas itu kerana bukan setakat ustazah-ustazah yang kutemui ini bertanya tetapi banyak juga kawan-kawan seintake yang kini menyandang jawatan pegawai ugama, turut serta terlibat dengan program ini menanyakan soalan yang sama.
“Tak sangka Jazilah sudah besar… Alhamdulilah hebat juga kerjaya Jazilah ni…”sambung ustazah Suhana.
Aku menggaris senyuman kecil dengan pernyataan ustazah Suhana.Terasa sedikit dihargai dengan penat lelah pada perjuangan menuntut ilmu.
“ Biasa saja ustazah… tak banyak mana pun saya dapat..”
Ustazah Suhana dan Ustazah Marliani tertawa.
“ Tambahan lagi ustazah, saya teringat dengan ungkapan ini. Kalau ada murid atau pelajar yang berjaya hari ini, kita lihat kepada siapa gurunya. Alhamdulilah, Allah pinjamkan ustazah berdua untuk beri ilmu kepada saya suatu masa dulu…” aku berterus-terang.Kira aku dalam masa yang sama mengambil kesempatan membeli jiwa mereka dengan ucapan penghargaan yang dalam kiasan. Aku benar-benar merasa bersyukur kerana begitu tabah guru-guru memberi tunjuk ajar. Berkat keikhlasan memberi ilmu, itulah yang membuatkan kekal. Benarlah kata orang, bicara dari hati akan kekal sampai di hati. Dalam masa kami menanti untuk mula, ustazah Marliani sempat menambah isi cerita.
“ Kenal tak pengerusi kita tu?” soal ustazah Marliani berbisik padaku. Aku memandang kepada si gerangan yang dimaksudkan ustazah itu. Dengan pantas aku menggeleng saat anak mata pemuda itu menusuk jauh ke dasar hatiku.
“ Tak kenal…”
Ustazah Suhana dan Ustazah Marliani serentak tertawa.
“ Mana nak kenal, sebab dia dah berubah handsome…”
Aku sekadar diam, tidak menyahut usikan mereka. Ustazah berdua ini memang terkenal suka menyakat murid-muridnya sejak dulu lagi. Seingatku, aku dan teman karibku selalu juga disakat ustazah zaman sekolah dulu. Rupanya, waktu juga kadang belum merubah apa-apa.
“Itu Amirul Moaz…”
Dahiku berkerut.
Pernahkah aku seintake dengannya?

No comments:

Post a Comment