Wednesday 8 October 2014

BENCI / CINTA AWAK BUDAK NAKAL? BY QASEH FARINA


BAB 2

www.qasehfarina.blogspot.com


Oi! Aku suruh kau kemas dapurlah!”
Pantas tangan Mak Ngah merentap rambut Yaya lalu kepalanya dilagakan ke dinding. Terlepas keluhan di bibir Yaya, mengaduh kecil saat kepalanya bertemu tiang batu beranda itu. Hilang semua kenangan abah dan uminya sebentar tadi.
“Sedap pula dia duduk berangan dekat sini. Pinggan mangkuk yang bersepah dekat dapur tu, siapa nak kemaskan? Hantu?!”
“Sekejap lagi Yaya kemaskan, boleh tak mak ngah?”
Air mata yang sememangnya sedia mengalir, dikesat dengan hujung lengan baju. Yaya usap-usap tepi dahi yang terasa berdenyut.
“Sekejap bila? Dah bersemut nanti baru nak basuh?! Apasal kau ni pemalas sangat hah?! Semua kerja nak bersuruh. Tak reti nak buat sendiri ke?”
“Yaya penat mak ngah.”
Wajah Mak Ngah Yaya pandang sayu. Bukan dia tidak tahu, Mak Ngah sengaja tidak benarkan kaum ibu yang datang ketika kenduri arwah tadi, membantu mengemas pinggan mangkuk dan periuk belanga yang digunakan. Sudahlah semua lauk-pauk Mak Ngah kerah dia untuk masakkan. Usai kenduri pun Mak Ngah mahu dia uruskan juga? Tidak kasihankah Mak Ngah kepada dia? Sepanjang hari dia bertungkus lumus di dapur seorang diri. Sekejap pun dia tidak ada peluang untuk meluruskan pinggang dia ini.
Kiranya Yaya bernasib baik juga, Encik Kamil pengurus tempat Mak Ngah bekerja tu mahu membantu membekalkan bahan masakan untuk kenduri ini. Kalau tidak, terpaksa Yaya menaiki bot penambang mudik ke hulu sungai untuk ke pasar berhampiran, bagi membeli barang-barang keperluan. Jawabnya hari ini, sudah tentu dia hampir-hampir tidak bernyawa kerana kepenatan.
“Aku tak nak dengar kau penat ke, apa ke. Yang aku tahu kau pergi kemas dapur tu sekarang juga!” Mak Ngah menempik lagi. Tubuh Yaya juga ditolak kuat. Hampir dia mahu  tersembam ke tanah. Mujur juga tangan Yaya cepat menopang.
Selepas itu Mak Ngah tarik semula rambut Yaya. Memaksa gadis itu untuk berdiri.
“Mak ngah... sakit mak ngah...”
Rayuan Yaya tidak diendahkan. Mak Ngah tolak tubuh Yaya ke dalam rumah.
“Masuk sekarang! Aku nak kau kemas dapur tu. Sapu bersih-bersih. Lepas tu basuh lantai. Jangan tahu nak berehat saja.”
Mak Ngah tunjal kepala Yaya dengan telunjuk. Terdorong tubuh gadis itu ke hadapan.
“Besok pagi, kalau aku tengok lantai tu melekit, masih berminyak, aku suruh kau jilat. Kau dengar tak?”
Yaya berpaling dan mengangguk lesu.
“Faham?”
Yaya angguk lagi. Tidak kuasa mahu membantah. Kelak, tubuh dia juga yang habis diratah. Mak Ngah kalau sudah naik hantu, nanti ada juga tulang dia yang patah.
Selepas Mak Ngah hilang ke ruang depan, Yaya atur langkah menuju ke belakang dapur. Pinggan mangkuk, periuk belanga yang berlonggok-longgok menanti untuk dicuci. Yaya menarik bangku kecil. Dia duduk di situ. Kemudian diambil bekas berisi air sabun. Tangan Yaya mula mencuci sambil fikirannya kembali terkenangkan abah dan umi.
“Abah, umi, Yaya janji, Yaya akan balik semula ke Kampung Batu. Yaya nak ziarah kubur abah dan umi. Abah dan umi tunggu Yaya, ya?” Dia berbicara sendiri.
Detik dua belas tahun itu kembali menggamit memorinya.
******
Bila Yaya sedar sahaja dari pengsan, jenazah abah dan uminya terbaring di tengah ruang rumah. Saat itu, tidak mampu dia gambarkan bagaimana perasaan dia. Luluh segala rasa. Kaki tidak mampu untuk berdiri.  Tidak bermaya menampung badan. Apatah lagi untuk berjalan.
Yaya bangkit. Lalu merangkak menghampiri jenazah abah dan uminya.
“Abah..... Umi.... Apa ni buat Yaya macam ni? Janganlah main-main abah..., umi. Bangunlah...”
Air mata Yaya mula mencurah. Yaya goyang tubuh abah dia. Dia goncang pula badan uminya. Tetapi mereka senyap. Tetap terbujur kaku di situ. Yaya turunkan kain yang menutupi wajah abah dan uminya.
“Bukalah mata ni abah..., umi.” Suara Yaya parau. Pipi abah dan uminya di usap-usap. Air mata semakin laju berjuraian.
Suara bacaan surah Yaasin dari orang-orang kampung yang datang menziarah, berkumandang seisi rumah. Yaya tidak ambil pusing. Terus juga dia mahu mengejutkan abah dan uminya.
“Abah bangunlah.... Umi...., bukalah mata ni.”
Yaya goyang lagi tubuh abah dan umi dia.
Mungkinkah aku sedang bermimpi?
Yaya tampar muka sendiri. Berharap agar dia segera tersedar sekiranya ini adalah sebuah mimpi. Sakit. Pipi dia terasa perit.
Aku tak bermimpi! Betul ke abah dan umi dah tak ada? Betul ke abah dan umi dah tinggalkan aku?
Melihat kenyataan yang ada di hadapan dia ketika ini, detik itu juga Yaya terus meraung sekuat hati. Hilang segala perasaan malunya. Semua mata yang berada di sekeliling Yaya, memandang Yaya penuh sayu. Bersimpati atas nasib gadis itu. Nampaknya kini dia tinggal sebatang kara. Anak yatim piatu.
“Sudahlah Yaya... Tak baik buat macam ni. Menangis meraung macam ni... Berdosa Yaya... Abah dan umi kamu dah tak ada. Kamu kena reda. Kena terima. Yaya sayangkan abah dan umi kan?” pujuk wanita itu. Dia masih lagi setia di sisi Yaya sedari tadi.
Pujukan itu tidak berbekas di hati Yaya. Dia terus meraung kuat. Tubuh abah dan uminya yang sudah sejuk dipeluk erat. Seperti dia tidak mahu melepaskannya.
“Sudahlah Yaya.... Mari basuh muka. Ambil air sembahyang. Kita sama-sama baca surah Yaasin untuk abah dan umi kamu, ya?” Wanita itu masih lagi memujuk. Dia angkat tubuh Yaya. Dibawa berdiri, lalu dipapah menuju ke bilik air.
Yaya akur. Tiada daya untuk dia membantah. Seluruh perasaannya kini berkecai. Hatinya berderai. Jiwanya hancur. Segalanya telah lebur.
Ketika melalui tingkap, Yaya pandang ke bawah. Dia melihat beberapa orang lelaki sedang sibuk menyiapkan papan penutup liang lahat dan tempat untuk memandikan jenazah. Saat itu, tidak semena-mena kaki Yaya jadi lumpuh. Tidak berdaya untuk melangkah. Dia terduduk di tepi jendela. Anak mata memandang sayu ke bawah rumah. Tidak percaya kepada apa yang sedang terjadi. Seperti mata dia sedang menipu. Menipu melihat apa yang dia nampak sekarang ini.
Yaya menangis lagi sambil memeluk tiang jendela.
“Yaya.... Janganlah macam ni, Yaya. Tak baik sayang.... Yaya kena reda. Ini ujian tuhan kepada Yaya....” Wanita tadi bersuara, tetap ingin memujuk. Lembut tapak tangannya mengurut belakang Yaya. Tetapi ia masih tidak mampu meredakan tangisan Yaya.
“Yaya dah jadi anak yatim sekarang Acik Ina... Yaya dah tak ada siapa-siapa... Yaya dah tak ada abah. Yaya dah tak ada umi. Selama ni, Yaya tak pernah merungut walau apapun kesusahan yang Yaya hadapi. Tetapi, kenapa kali ini Allah uji Yaya dengan ujian yang seberat ini, Acik Ina? Yaya tak berdaya, Acik Ina. Yaya tak kuat.”
“Istighafar Yaya... Jangan cakap macam tu. Tak baik. Acik Ina kan ada? Dah..., jangan macam ni. Sekejap lagi nak mandikan jenazah. Yaya boleh tolong mandikan jenazah umi. Lepas maghrib ni kita selesaikan urusan pengkebumian.”
Yaya melihat wajah wanita itu. Matanya masih lagi bengkak dan merah. Tentu dia juga turut bersedih. Bukankah dia  juga berkawan rapat dengan uminya?
Yaya gelengkan kepala. Masih enggan menerima kenyataan.
“Kalau Yaya buat macam ni, seksa roh abah dan umi. Yaya tak sayangkan abah dan umi ke?” soal wanita itu.
Yaya angguk sekali. Amat perlahan.
Wanita itu kembali memaut tubuh Yaya. Membantu Yaya berdiri. Dan dipapah semula untuk dibawa ke bilik air. Yaya mengikut tanpa membantah. Dalam longlai dia melangkah, Yaya berusaha menguatkan semangatnya. Demi abah dan umi dia.
Yaya perlu tabah. Yaya anak yang soleh kan abah, umi? Yaya akan sentiasa doakan abah dan umi. Semoga abah dan umi tenang di sana.
Malam itu, selepas maghrib jenazah umi dan abah Yaya selamat dikebumikan. Kenduri arwah juga selesai diadakan selepas itu. Kelihatan beberapa orang kampung masih belum pulang. Mereka membantu mengemaskan ruang depan rumah dan juga dapur.
Yaya duduk termenung di tengah tangga. Air mata mengalir tidak henti. Malam yang gelap itu, direnung kosong. Sekosong hidup dia sekarang ini.
“Macam mana Yaya nak hidup lepas ni abah, umi? Yaya sebatang kara. Kepada siapa Yaya nak mengadu? Yaya dah tak ada tempat nak bermanja, menumpang kasih. Abah..., umi...”
Saat itu ada suara menyapa Yaya di muka pintu.
“Yaya... Acik Ina ada benda nak cakap dengan Yaya ni.”
Yaya alih pandangan kepada wanita itu. Yaya perhati wanita itu mengambil tempat di sisi dia.
“Apa dia Acik Ina?” suara Yaya tidak bermaya. Tubir mata dikesat dengan hujung lengan baju kurung. Wanita itu kemudian meraih tangan Yaya lalu digenggam erat.
“Acik Ina sempat jumpa umi kamu sebelum dia meninggal. Dia ada tinggalkan amanat pada Acik Ina.”
Yaya tatap sayu raut wanita di sisi dia itu. Menunggu bicara selanjutnya.
Amanat apakah yang telah ditinggalkan oleh umi? Detak Yaya.
“Sebelum umi kamu meninggal, dia ada cakap dengan Acik Ina. Dia sayangkan kamu. Dia mahu kamu hidup dengan baik, walaupun selepas umi dan abah kamu dah tak ada.”
Yaya tunduk merenung tanah. Air mata dia mengalir laju semula. Sedaya upaya Yaya menyapunya.
“Umi mahu Acik Ina jaga kamu. Pelihara kamu. Acik Ina pun dah janji dengan umi kamu, Acik Ina akan jaga kamu macam anak Acik Ina sendiri. Lepas ni kamu tinggal dengan Acik Ina, ya?”  
Yaya angkat muka. Sesaat wajah wanita itu dia tatap. Kemudian dilabuhkan mukanya ke bahu wanita itu. Lalu tubuhnya Yaya peluk kuat. Malam yang terasa gelap kini dia rasa ada sedikit sinarnya.
Dan mulai malam itu, maka bermulah gelaran ‘Mak Ina’ buat wanita itu. Wanita yang sudi menjadi tempat dia untuk menumpang kasih. Tempat mengadu untung nasib dia.

No comments:

Post a Comment