Wednesday 17 September 2014

BENCI/CINTA AWAK BUDAK NAKAL BY QASEH FARINA


BAB 1

http://www.qasehfarina.blogspot.com/



Yaya panggung kepala merenung bulan di langit tinggi. Kalau boleh diibaratkan keadaan dia ketika ini, saling tidak tumpah seperti pungguk rindukan bulan. Dia rindukan abah. Dia rindukan umi. Dia juga rindukan semua insan yang pernah hadir di dalam hidup dia. Nek Ngah, Mak Ina, Syidan, Ayip, Pak Long, Mak Long, Along. Dan paling dia rindui, si budak nakal. Pemilik nama ‘Ayin’ itu.

Sembilan tahun sudah berlalu. Sembilan tahun juga dia tersekat di pendalaman Sungai Sipitang ini. Sembilan tahun ini juga tidak cukup untuk menghapus semua kenangan dia di Semenanjung dahulu. Tanah di mana tempat dia dilahirkan.

Air mata Yaya mengalir lesu di sudut pipi. Menitis perlahan-lahan. Kemudian semakin laju ia berjujuran. Bukanlah dia sedang menangisi keperitan hidupnya ini. Bukan juga dia menyesal dengan apa yang sudah terjadi. Arwah abah selalu berpesan. Jangan merungut, jangan mengeluh ataupun menangis. Apatah lagi menyesali takdir yang menimpa. Itu bermakna tidak reda. Sepertinya enggan menerima ketentuan Allah SWT. Tetapi sesekali, air mata ini tidak mampu dia tahan. Bila kala hati menjeruk perasaan, ia turun tanpa diundang.

“Abah, Yaya rindukan abah. Yaya rindukan umi juga,” keluh Yaya perlahan.

Matanya kini terhala ke pekat malam. Gelapnya kala ini bagai membayangkan seluruh hidup dia. Sunyi dan sepi. Tambahan selepas Pak Ngahnya meninggal dunia dua minggu yang lepas. Yaya rasa masa depan dia semakin malap. Keadaan ini saling tidak ubah, sama seperti yang pernah dia alami dua belas tahun dahulu.

“Abah, umi... Yaya rindu...” Tangisnya semakin berlagu. Alangkah indahnya hidup dia, sekiranya kedua orang tua dia itu masih ada. Andainya mereka masih bernyawa, jalan hidupnya tentu bukan begini ceritanya.

Dua belas tahun, satu jangka masa yang terlalu lama. Tetapi Yaya rasa seperti baru semalam dia melaluinya. Semua masih utuh dan segar di ingatan. Pantas peristiwa ketika dia di tingkatan dua, berlayar di depan mata. Detik di mana dia mula bergelar anak yatim lagi piatu.

******

Tengah hari itu, seperti biasa bila Yaya sampai di rumah selepas tamat waktu sekolah, abah dan uminya masih belum pulang dari menoreh. Kebun getah milik orang kampung, tempat abah dan uminya mengambil upah menoreh, terletak jauh di kaki bukit di hujung kampung. Kadang-kadang hampir pukul tiga petang baru abah dan umi dia sampai ke rumah. Kebun tu jauh dari rumah mereka, satu perkara. Selain itu, banyak pula kebuh getah orang kampung yang harus abah dan uminya kerjakan. Selesai menoreh hendak dibubuh cuka pula. Sebab itulah abah dan umi dia selalu pulang lewat.

Walaupun Yaya sentiasa rasa sunyi di rumah, tapi dia tidak pernah merungut. Mengeluh jauh sekali. Kerana dia tahu, abah dan uminya mencari rezeki untuk mereka bertiga. Keluarga mereka bukannya dari golongan orang yang berada. Hidup mereka sekadar cukup dengan apa yang ada. Rumah tempat mereka berteduh itu pun, ihsan dari Nek Ngah. Rumah arwah kakak Nek Ngah yang sudah lama meninggal dunia. Umi Yaya kata, Nek Ngah izinkan abah dan uminya menumpang di rumah itu, semenjak hari pertama abah dan umi dia jejak ke Kampung Batu. Kalaulah tidak ada Nek Ngah, entah ke mana abah dan umi dia hendak berkelana.

Usai menyalin pakaian uniformnya, Yaya pantas menuju ke dapur. Penat kerana berjalan kaki selama hampir satu jam tadi, Yaya tolak ke tepi. Ada kerja yang harus dia uruskan. Yaya tahu apa yang mesti dia lakukan. Dia sudah betah melakukan kerja-kerja rumah, tanpa perlu diarah. Kesusahan hidup yang dialami oleh mereka, buatkan Yaya pandai berdikari.

Niat Yaya cuma satu. Mahu membantu umi dan abah dia. Seharian mereka membanting tulang bekerja di kebun getah, tentu mereka keletihan. Tiada salahnya kalau dia ingin meringankan beban abah dan umi. Biarlah abah dan umi berpenatan mencari rezeki. Manakala dia menguruskan rumah ini. Bila abah dan umi pulang nanti, Yaya mahu makanan sudah pun terhidang di bawah tudung saji. Rumah bersih berkemas. Baju siap tersidai di ampaian.

Selesai semua kerja, Yaya tunggu kepulangan abah dan uminya di muka pintu. Entah kenapa saat itu ada sesuatu yang terdetik di hati Yaya. Dada dia rasa tidak berapa tenang. Panas dan berbahang di situ. Berdebar tanpa sebab.

Lama Yaya menunggu di muka pintu itu. Abah dan umi dia tidak juga pulang. Setiap kali ada motosikal melalui jalan di hadapan rumahnya, panjang leher Yaya menjengah ke sana. Tetapi dia hampa. Yang ditunggu tidak muncul-muncul juga.

Dada semakin berdebar. Yaya beralih melihat jam di dinding. Waktu sudah melebihi setengah jam dari pukul tiga petang. Tidak pernah abah dan uminya pulang selewat ini.

“Mungkin kerja abah belum habis.” Yaya menyedapkan hati sendiri. Perasaan serba tidak kena tadi, dia campak jauh-jauh. Dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan.

Cuaca panas terik, kini bertukar menjadi redup. Angin juga semakin galak bertiup. Mulut sudah menguap beberapa kali. Mata Yaya pula bertambah berat. Pandangan dia turut kabur. Kelopak matanya berkerdip perlahan. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Empat kali. Dan akhirnya Yaya terlelap di muka pintu itu.

Ketika di dalam lena itu, Yaya bermimpi. Abah dan uminya datang menghampiri dia. Pakaian mereka pelik sekali. Serba serbi berwarna putih. Yaya lihat abah dan umi tersenyum kepada dia. Mula-mula mereka mendekat. Kemudian perlahan-lahan mereka bergerak jauh, dan semakin menjauh. Yaya lihat juga abah dan uminya melambai-lambai kepada dia. Selepas itu bayang abah dan umi terus lenyap. Yaya cuba mencari. Tetapi tidak berjumpa. Melilau matanya ke sana ke mari, namun dia tidak melihat mereka berdua di mana-mana.

Dalam Yaya mencari-cari abah dan uminya, dia terdengar namanya dipanggil berkali-kali. Sayup-sayup. Kemudian semakin jelas. Tubuhnya juga terasa seperti digoncang.

“Yaya... Yaya... Bangun Yaya.”

Jelas di telinganya suara itu memanggil dia.

Mungkinkah itu umi?

“Yaya... Bangun Yaya.”

Terasa tubuhnya digoncang lagi. Perlahan Yaya membuka kelopak mata.

“Umi?” Nama itu meluncur di mulut Yaya.

Saat pandangan Yaya jatuh ke wajah itu, dia terus kaku.

Kenapa dia?

“Acik Ina?”

Mata Yaya berlegar ke ruang rumah. Wajah yang ingin dia lihat tiada di situ.

Mana Umi?

Yaya beralih pula melihat ke halaman rumah, mencari motosikal dan kelibat abahnya. Juga tiada. Yaya kembali merenung wajah wanita itu.

Mengapa lain benar rautnya kali ini? Tidak seperti biasa. Hati Yaya tertanya-tanya.

Dia tolak badan untuk bangun. Kemudian Yaya duduk bersimpuh di hadapan wanita itu. Baru sahaja dia ingin bersuara, terus tubuh dia dipeluk erat. Wanita itu menangis di bahu dia. Hebat sendunya. Yaya jadi pelik. Entah apa punca hingga begini teruk tangisnya.

“Kenapa Acik Ina?”

Yaya tolak tubuh wanita itu jauh dari dia. Wajahnya Yaya tenung tepat. Sarat benar mendung di raut itu.

“Umi dan abah kamu dah tak ada, Yaya...” Suara itu tenggelam timbul antara esakannya. Bahu Yaya dipaut kuat.

Hah! Tak ada? Tak ada pergi mana pula Acik Ina?”

Yaya kaget. Cuba memahami maksud kata-kata itu. Hati semakin tidak keruan.

“Dah tak ada Yaya, dah tak ada! Abah dan umi kamu dah tak ada!” Kata-kata itu diulang berkali-kali.

Yaya semakin keliru. Dia kembali dihambat rasa itu. Rasa tidak sedap.

“Tak ada? Tak ada pergi mana Acik Ina? Abah dan umi kan pergi menoreh? Sekejap lagi baliklah tu.” Yaya masih cuba untuk memahami maksud kata-kata ‘tak ada’ itu.

“Yaya dah siap masak, Acik Ina. Tunggu umi dan abah balik saja. Nanti bolehlah Acik Ina makan dengan kita orang sekali, ya?” Di dalam kepala kekal mentafsir gelagat wanita itu.

 Kenapa dia begini? Debar di dada Yaya semakin kuat memalu. Otak mula membayangkan yang tidak-tidak. Tetapi hati dia menafikan.

“Umi dan abah kamu dah tak ada! Kena langgar lori masa balik dari menoreh tadi Yaya...” Dan tubuh Yaya terus dipeluk lagi. Wanita itu menangis semahunya.

Kini mengertilah Yaya akan makna kata-kata ‘tak ada’ tadi. Maka dengan itu, segala rasa yang menebak fikiran dia adalah benar belaka.

Mimpi? Mimpi abah dan umi melambai kepada dia?

Itu sebenarnya adalah ucapan selamat tinggal dari mereka berdua.

Yaya kelu. Pana. Pegun. Statik. Dua saat selepas itu tubuh dia terus longlai di situ.

No comments:

Post a Comment