Wednesday 17 September 2014

AGUNGNYA CINTA BY DALILA SOFEA


BAB 1 - AGUNGNYA CINTA


Khursiah, Kolej bergelar Kolej Janda itu akhirnya dijejaki juga oleh Zara Sofea, malah telah dihuninya.  Setelah mengharungi Minggu Silaturahim yang memenatkan, akhirnya Sofea berjaya juga terpilih untuk tinggal di kolej.  Disebabkan mempunyai tiga buah block bangunan untuk siswi dan sebuah sahaja untuk siswa, kolej tersebut mendapat gelaran Kolej Janda.  Bagi Sofea perkara tersebut merupakan  satu kelebihan.  Ramai siswi dari siswa,  tidaklah ramai makhluk Tuhan bernama lelaki.  Mengganggu sahaja.  Ternyata Sofea tidak teruja berada di tempat yang dihuni oleh ramai lelaki.  Mungkin benar kata kawan-kawannya di sekolah dulu, Sofea membenci lelaki. 
Betulkah begitu?  Ah, perlukah mereka di waktu-waktu begini?  Saat penting seorang remaja dalam menentukan masa depan di dunia ini.  Apa pun terima kasih Kolej Jandaku, kerana membenarkan aku tinggal di sini.  Jika tidak, mama pasti terpaksa turun ke Universiti Malaya semula mencarikan ku rumah sewa.  Biarkan mama tersenyum lebar di rumah setelah berjaya menghantar aku ke sini.  Tidak perlu aku mengganggunya buat sementara waktu!
Omel Sofea di dalam hati. 
Sofea masih ingat, seawal usianya tujuh tahun, mamanya selalu bercerita tentang zaman mudanya di UM.  Bajunya yang tidak bergaya kerana berasal dari kampung, tidak cantik, dan fakulti mamanya itu yang tidak popular di universiti tertua tanah air tersebut.  Bagi Sofea, mamanya terlalu merendah diri.  Sofea melihat mamanya itu tetap cantik, dan yang paling penting mamanya merupakan seorang wanita yang tabah.  Membesarkan dirinya seorang diri seawal usia Sofea tiga bulan, sedangkan mamanya adalah anak bongsu yang langsung tidak mempunyai pengalaman menjaga bayi. Bersyukur Sofea kepada Allah, mamanya berjaya mengharunginya juga.  Bayi comel, berkulit putih dan bermata sepet itu kini telah dewasa, menjadi kegilaan ramai lagi.  Opps, itu bukan pengakuan peribadi Sofea,  sebaliknya kata-kata Baizura, mama Sofea yang berkata begitu.  Mujurlah Sofea tidak tewas dengan pujian mamanya yang melangit itu.  Apalah ertinya kecantikan fizikal tanpa akal yang tajam.  Sofea tetap menganggap kepintaran akal lebih penting bagi mengharungi hidup di dunia.  Inilah yang dikejar oleh Sofea, ilmu di bumi Universiti Malaya kebanggaan mamanya.  Kejayaan mama yang jelas di mata Sofea, berjaya membesarkan dirinya dan meletakkan Sofea di Universiti Malaya, di gedung ilmu terkemuka. Bukankah itu satu kejayaan besar seorang wanita?  Ayah?  Miskin?  Adakah itu alasan baginya mengelak sebuah tanggungjawab membesarkan Sofea.
            Sofea berlari anak meninggalkan kolej. 
“Jogging ke?” Usikan abang-abang senior tidak dihiraukan.  Sofea pasti mereka merupakan pelajar senior, tidak mungkin pelajar junior sepertinya berani berjenaka seperti itu.  Sekejap sahaja berlari, Sofea sudah tiba di Fakulti Sastera.  Niat hati Sofea ingin melewatinya sahaja untuk ke Kompleks Perdana Siswa. Entah mengapa kakinya membelok memasuki fakulti tersebut.  Melalui bahagian belakang Fakulti Sastera, terlihat oleh Sofea dengan gahnya Dewan Kuliah F yang popular.  Selain merupakan dewan kuliah terbesar, ia juga dikenali oleh warga fakulti lain yang menumpang menghadiri kuliah di dewan tersebut.  Melewati DKF, Sofea bergerak ke arah Dewan Kuliah B dan C sebelum berjumpa tempat yang ditujunya, Dataran Sastera.  Sofea melihat dari jauh Dataran Sastera yang  menjadi tumpuan ramai, tempat  di mana mamanya selalu melepak bersama kawan-kawan.  Sofea masih ingat cerita mamanya. Jika berjalan seorang diri di situ, perlukan keberanian, banyak mata memandang.  Jika tidak mempunyai keyakinan jangan melewati Dataran Sastera itu, tentu malu.  Itu pesan mama kepada Sofea.  Tapi di petang Ahad itu, ia kosong dan sunyi.  Sofea boleh menikmati pemandangan di segenap ceruk ruang tanpa rasa malu. 
Apalah yang mama malukan sangat bila ada yang memandang? 
Sofea tersenyum sendiri mengingati pesanan mamanya. Di atas Dataran Sastera merupakan pejabat pentadbiran fakulti tersebut, sementara di tepi sebelah kanan adalah kantin Fakulti Sastera di mana Sofea pernah menjamu selera di situ.  Selain kenangan mama dan Sofea sendiri pernah menjamu selera di situ,  fakulti pengajian Sofea berada bersebelahan dengan kantin tersebut iaitu Fakulti Pendidikan. 
Angin petang yang bertiup, menyapa lembut wajah Sofea.  Hembusan  segar angin tersebut, memberi ketenangan yang tidak mampu dihuraikan oleh gadis cantik itu.  Dataran tersebut merupakan tempat terbaik siswa dan siswi melepak menanti kelas seterusnya.  Di situlah mereka berborak, bersenda gurau dan ketawa jika tidak ke perpustakaan mencari bahan bagi menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah.  Pilihan lain tentunya melepak di kantin.  Semua  cerita mamanya masih segar di ingatan Sofea, dan ianya seakan-akan hidup di depan matanya kini.  Sofea seperti  melihat bayang-bayang mamanya berlegar-legar di depan mata. 
Alangkah indahnya jika dapat melihat mama sewaktu zaman mudanya  di sini!
Hati Sofea bersuara lagi.  Sofea mempercayai segala kata-kata mamanya sepenuh hati, namun satu perkara yang masih diraguinya.  Kekurangan diri mamanya.  Bagi mama dirinya sewaktu muda tidak cantik, tidak secantik Sofea.  Itu merupakan satu perkara yang tidak mampu Sofea percayai.  Jika benar mamanya tidak cantik sewaktu muda, mengapalah wajah mama masih kelihatan jelita di mata Sofea. 
“Mama mesti bohong kat aku ni.  Saja nak buat aku perasan!” Sofea bersuara perlahan.  Mungkin  mamanya cuma mahu merendah diri, gembira melihat Sofea ketawa terkekeh-kekeh geli hati dengan pujian yang diberi.  Bukankah satu kegembiraan seorang ibu melihat anaknya ketawa gembira? 
Mama,  aku sayang kepadamu.  Sungguh!
Kehangatan pelukan mama seakan-akan datang menguasai Sofea, menyeret Sofea ke lembah kerinduan yang amat dalam kepada mamanya.  Inilah kali pertama Sofea berada berjauhan dengan mama tersayang.  Di sinilah mama kesayangan Sofea berada selama empat tahun, memburu cita-cita murni menjadi pendidik bangsa.  Ternyata impian mamanya itu telah tertunai, namun Sofea percaya ada impiannya yang tidak pernah tertunai.  Cinta agung mamanya.  Walaupun  mamanya agak berahsia, tetapi dalam usia menuju kedewasaan, Sofea sudah cukup mengerti segalanya.
Sofea menjeling jam tangannya.  Jarum jam menunjukkan pukul 5.30 petang.  Hampir setengah jam Sofea tenggelam bersama kenangan mamanya di situ.  Ataupun sebenarnya tenggelam dalam kerinduannya  terhadap mama tersayang.  Sofea meneruskan larian anak menuju ke perpustakaan utama, melewati kawasan parkir kereta dan motosikal mahasiswa, menuju ke bahagian pintu utama perpustakaan.  Niat di hatinya mahu menyedut udara segar di kawasan perpustakaan utama, namun Sofea membatalkannya apabila teringat kepada tasik kesayangannya. Untuk sampai ke tasik kesayangannya itu, Sofea harus melalui Kompleks Perdana Siswa.  Sewaktu berdiri di pinggir jalan untuk melintas ke Kompleks Perdana Siswa , sebuah Vios hitam bergerak perlahan di depannya.  Sofea cukup mengenali pemandu tersebut, mahasiswa kegilaan ramai di Kolej Janda.  Tanpa mempedulikannya, Sofea melintas  menuju Ke Kompleks Perdana Siswa, meninggalkan perpustakaan utama tempat mamanya mengintai abang-abang senior kacak belajar.  Cerita dari mamanya menjelma lagi di kotak fikiran Sofea.  Sewaktu tahun pertama pengajian lagi mama sudah mula berjinak-jinak dengan perpustakaan, menanti kelas seterusnya di perpustakaan, mencari bahan bagi tugasan dan yang paling indah tentunya mengintai abang-abang senior yang kacak.  Sofea tersenyum sendiri mengingati cerita mamanya itu. 
“Mama oh mama,” mulut munggel Sofea memanggil mamanya.
Sofea berlari lagi melewati Kompleks Perdana Siswa, menuju arah belakang bangunan bernilai jutaan ringgit itu.  Tujuannya kini pasti, menuju tasik.
 Sofea tidak keseorangan di kawasan tasik nan indah itu.  Ramai  yang berjogging sepertinya petang itu.  Walaupun ramai yang menghayati ketenangan tasik, namun yang merindui mama masing-masing seperti Sofea mungkin Sofea seorang. Melihat air tasik membawa ketenangan yang tidak ternilai kepada Sofea, walaupun tasik tidak seindah pantai yang mempunyai deruan ombak dan pasir memutih.  Sofea menghentikan larian, berjalan ala-ala itik pulang petang, menyedut udara petang yang syahdu.  Tiba-tiba ingatan tentang mamanya begitu mendesak.  Fakulti di depan tasik itu!  Ya, Fakulti Kejuruteraan itu penah menjadi sebutan mama apabila mama bercerita tentang zaman mudanya kepada Sofea.  Mama pernah berkata cinta kampus memang indah, namun tiada kesudahan yang baik buat mama.  Sofea menduga  mungkin orang yang mama cintai pernah berada di fakulti itu dulu.  Jika benar tentu lelaki itu lelaki kebanggaan mama.  Mama mengagumi lelaki bijak, sudah pasti lelaki itu mahasiswa Fakulti Kejuruteraan.  Sofea begitu pasti.
Jam di tangan menunjukkan pukul 6.00 petang.  Kerinduan Sofea terhadap mama tersayang begitu menggoda jiwanya.
“Apalah yang mama buat sekarang ni?” Sofea bertanya kepada angin lalu.
Sebagai guru pencen, sudah pasti mama dengan bunga-bunga ros kesayangannya. Selain Sofea, bunga ros sememangnya mempunyai tempat istimewa di hati mamanya itu.  Setiap pagi dan petang setelah meninggalkan kerjaya sebagai guru, mama kesayangan Sofea akan menghabiskan masa di taman mini  di tepi rumah.  Selalu Sofea melihat mamanya menghidu harum pagi bunga ros.  Wangi dan segar katanya. 
“Call mamalah,” Sofea berkata tiba-tiba.  Nokia C3 pemberian mamanya dikeluarkan dari poket seluar. 
“Ya, busuk mama, rindu mama?” Kedengaran suara Baizura di talian. 
“Ada siapa yang istimewa di Fakulti Engineering mama?” tanya Sofea spontan.  Hanya kedengaran gelak tawa Baizura di hujung talian.  Baizura tidak menjawab pertanyaan anaknya itu, sebaliknya menyuruh Sofea segera pulang ke asrama sebelum Maghrib setelah Sofea memberitahu dirinya  berada di tasik.  Baizura cuba berahsia, tapi sampai bila?  Sofea akan tetap membongkar cinta agung mamanya itu.  Cinta yang menjadikan Baizura seorang perindu malang.  Tapi malang ke?  Sofea melihat mamanya gembira sahaja tanpa cinta.  Tapi hati mamanya?  Siapalah yang tahu.
Sampai di bilik jam menunjukkan pukul 6.45 petang.  Bella, teman sebilik Sofea tersengih-sengih seperti kerang busuk memandangnya. 
“Kenapa ni?” Sofea bertanya laju, rimas dengan senyuman Bella.
“Nah, ambil ni.” Bella menghulurkan kertas kecil berlipat kepada Sofea.  Sofea membukanya.
Wasap saya, plz, 019-2925938”.  Ringkas tulisannya . 
“Siapa pulak ni?”
“Abang Iqram kesayangan engkau lah!”
Jawapan Bella benar-benar menyakitkan hati Sofea.  Terbayang wajah Iqram Haris, pelajar semester akhir Fakulti Undang-undang yang menjadi kegilaan ramai di mata Sofea. 
Bukan tadi aku baru nampak keretanya?  Vios hitam itu.  Apa pulak dia nak ni?  Ganggu aku?  Tarik perhatian aku?  Iqram Haris Dato’ Iskandar Hisham!  Idamanlah sangat ya? 
Segalanya tentang Iqram berpusat di depan mata Sofea.  Iqram Haris Dato’ Iskandar Hisham sememangnya cukup dikenali.  Masakan tidak, dengan penampilan ala-ala model, berkulit putih, bakal peguam dan yang paling penting anak dato’, Iqram cukup popular.  Rata-rata mahasiswi boleh terjatuh dari tangga apabila melihatnya.  Tapi tidak bagi Sofea, tidak semua perempuan akan gilakannya.  Sofea amat pasti dengan pendiriannya,  langsung tidak berminat dengan lelaki yang memperolehi sesuatu secara percuma.  Seperti  Iqram, dengan statusnya sebagai anak dato’, dia dikelilingi kemewahan, memperolehi apa sahaja yang diinginkan.  Sofea mahu memastikan Iqram tidak memperolehi dirinya, jika benar Iqram tergila-gilakan dirinya. 
Ya ampun, apa aku melalut dan perasan macam ni.  Dia pasti  cuba tarik perhatian aku bagi tambahkan popularnya di kolej, dan aku yang menjadi mangsa bagi semester ini.  Pasti!  Rasional Sofea bersuara. 
Sofea menuju ke arah Bella yang duduk di katil. 
“Nah, ambil kat engkau lah mamat buaya ni,” Sofea bersuara dengan nada menyampah.  “Benar?” Bella tersenyum riang. 
Sofea turut senyum melihat gelagat teman sebiliknya. 
“Nak dinner tak malam ni?” Suara Bella antara kedengaran dengan tidak.  Sofea melangkah laju ke bilik air tanpa menjawab pertanyaan Bella. 
Lepas solat Maghriblah!
Sofea menjawab di dalam hati. 
Sewaktu masuk ke bilik air, Sofea dirempuh dengan kasar oleh seseorang.  Tanpa meminta maaf perempuan tersebut terus berlalu pergi.  Melihatnya dari belakang Sofea merasa  cukup mengenali perempuan tersebut, Intan Farhana, kakak senior paling bergaya di kolej Janda.  Kelakuannya benar-benar menjengkelkan Sofea. 
Ah, biarlah.  Dia nak cepat kut!
 
Dengan jeans lusuh, t-shirt BUM dan tudung senget, Sofea mengekori Bella menuju ke kedai makan.  Dalam hatinya berdoa janganlah terserempak dengan jejaka perasan itu, Iqram. Sofea masih terbayang-bayang akan perbuatan Iqram memaksanya  menyanyikan lagu ‘Sedetik Lebih’ nyanyian Anuar Zain jika Sofea mahu mendapatkan tandatangannya sewaktu Minggu Silaturahim.  Antara lirik lagu tersebut yang membuat Iqram tersenyum puas masih Sofea ingat dengan jelas. 
“Ternyata kuperlukan cinta dari dirimu sayang, barulah kuterasa ku bernyawa, biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia, asal masih adanya kamu.” 
Bagi Sofea lelaki tersebut sungguh menjengkelkan.  Mujur memang benar Sofea meminati penyanyi kesayangan ramai tersebut, jika tidak pasti Sofea menyanyikan lagu ‘Ibu Oh Ibu’ untuk Iqram.  Lagu tersebut merupakan lagu kesayangan Sofea sewaktu kecil.  Selepas Minggu Silaturahim berakhir, Sofea terus melupakan Iqram.  Hinggalah petang itu, Sofea melihat kereta Iqram sewaktu melintas di depan perpustakaan untuk ke Kompleks Perdana Siswa.  Keadaan lebih merimaskan apabila Bella menunjukkan nota dari Iqram kepada Sofea. 
Apa sebenarnya drama Iqram kali ini dengan memberikan nombor telefon?  Ternyata Sofea tidak berminat untuk ambil tahu.  Apa yang Sofea dengar, Iqram mempunyai ramai kawan perempuan, kekasih?  Entah!
“Fea, kau tengok tu!”
Bella menarik tangan Sofea sambil mulutnya muncung ke arah depan.  Lamunan Sofea tentang Iqram berderai.  Sofea memandang ke arah depan.  Iqram tersenyum manis ke arah Sofea.  Di sebuah meja makan, Sofea melihat Iqram duduk bersama dua orang rakannya.  Dia memberi isyarat kepada dua orang rakannya agar tidak mengganggu Sofea dan Bella.  Lantas bunyi ‘pewit-pewit’ kedua-dua rakan Iqram berhenti.  Sofea berjalan terus tanpa perasaan.  Sofea berjaya memujuk Bella untuk membeli makanan bungkus sahaja.  Niat kedua-dua gadis tersebut untuk makan di gerai kesayangan kolej terpaksa dibatalkan.  Sofea tidak mahu sebarang drama berlaku.  Tindakan abang senior pelik itu agak meragukan Sofea.  Kadang Sofea terfikir, mungkin Iqram mahu memasukkan dirinya ke dalam senarai perempuan yang tergila-gilakannya.  Sofea pasti itu.  Syukur, tiada apa yang berlaku.  Iqram membiarkan sahaja Sofea dan Bella naik semula ke bilik asrama.
****
“Jomlah tengok Merong Mahawangsa!” Rengekan Bella  kedengaran jelas di telinga Sofea. 
“Malaslah,  aku tak suka hero luar, if Aaron Aziz ok lah,” Sofea memberi alasan. 
“Cik Tipah oi, bukan Aaron pun orang luar, mamat Singapore,” Bella meneplak sahabatnya.  Punah juga hujah Sofea dalam kemalasannya mahu menemani Bella ke Mid Valley untuk menonton wayang.  Tiba-tiba Sofea mendapat idea. 
“Apa kata kau ajak saja boyfriend kau!”   
Bella menarik tudung Sofea kuat. 
“Mana aku ada boyfriend!” Bella melepaskan tudung Sofea semula.  Sofea tersenyum menyedari dirinya dan Bella masih hijau di kampus UM, mustahil Bella sudah mempunyai pacar. 
“Ala, nanti-nanti lah,” Sofea menyejukkan hati Bella. 
Perjalanan  pulang ke kolej diteruskan oleh Sofea dan Bella.  Angin petang yang bertiup lembut membantu mereka meneruskan perjalanan tanpa rasa penat. 
“Kenapa kau tak suka Iqram tu?” Tiba-tiba Bella bersuara memecah keheningan petang.  Sofea senyum memandang Bella. 
“Takut mama marah kut!”  Sofea memberi jawapan tanpa berfikir kepada Bella. 
“Jadi kau sukalah sebenarnya?”  Bella terus menagih jawapan dari Sofea. 
“Entah!” Sofea menjawab malas. 
Sofea sendiri tidak mengetahui mengapa dirinya tidak berminat terhadap Iqram.  Betul tidak suka atau takut menjadi barang mainan Iqram.  Atau memang benar Sofea takut akan mamanya yang tidak suka dirinya bermain cinta seawal usia 20 tahun itu.
Memasuki pintu gerbang kolej, Sofea dan Bella terus menuju block asrama mereka,  block C.  Tiba-tiba telefon bimbit milik Sofea mengalunkan lagu ‘Dj got us fallin’ in love ‘oleh Usher. 
“Siapa tu?  Iqram ekh?” 
Bella menambah kekalutan Sofea yang sedang tercari-cari telefon bimbit di dalam beg. 
“Hello, mama ni, cuba pandang kanan.” Suara Baizura kedengaran di talian.   
Serta-merta Sofea memandang ke arah kanan.  Baizura tersenyum berdiri di tepi sebuah Myvi putih.  Sofea berlari mendapatkan mamanya, lantas memberikan pelukan erat.  Bagi Sofea, dua bulan sama ertinya dua tahun tidak memeluk mama tersayang.  Sedang Sofea mencium tangan mamanya, Bella menolak Sofea kasar. 
“Tepi, aku pula nak peluk Puan Baizura!”
Baizura dengan senang hati menerima pelukan Bella pula. 
“Eh, mana kereta mama?  Kereta siapa ni, mama?” Soalan Sofea yang bertalu-talu membuatkan Baizura senyum. 
“Siapa lagi kalau bukan puteri mama yang bermata sepet,” Baizura menjawab selamba.  “Yahoo, bergumbiralah aku naik kereta baru!” Jeritan Bella menarik perhatian ramai. 
Sofea mencubit Bella setelah menyedari mereka bertiga menjadi perhatian. 
“Untuk puteri mama, birthday gift yang ke-20, walaupun masih lama lagi!” Keterangan Baizura membuatkan Sofea terharu.  Ingin rasanya Sofea memeluk mamanya sekali lagi, namun memikirkan mereka bertiga sudah cukup menjadi perhatian, Sofea membatalkan sahaja niatnya itu. 
Ya Allah, sayangnya mama kepadaku, hari jadiku belum sampai, tapi mama dah hantar hadiah!
Sofea mengucap syukur di hati.
Setelah solat Maghrib, ketiga-tiga perempuan tersebut bersiap seadanya.  Baizura memberitahu akan membawa Sofea dan Bella ke tempat istimewa.  Sofea lihat Bella begitu manja dengan mamanya, asyik berkepit dengan Baizura.  Asyik  memanggil-manggil aunty! Aunty!  Kadang-kadang naik rimas Sofea mendengarnya.  Namun apabila memikirkan Bella tidak mempunyai ibu kandung, Sofea membuang perasaan rimas itu jauh-jauh.  Sofea mencipta perasaan belas kepada Bella. 
Kesian Bella, tidak rasa seronoknya ada mama.  Seorang mama yang faham semua kehendak anaknya.  Hanya perempuan yang memahami perempuan! 
Sofea memandang Bella dari jauh.  Biar pun Bella tidak mempunyai ibu lagi, tetapi Bella mempunyai seorang ayah yang baik dan penyayang.  Uncle Ismail, seorang guru seperti Baizura, namun masih belum bersara. 
Apa kata jodohkan sahaja mama dan Uncle Ismail, kan senang!  Angan-angan nakal muncul di fikiran Sofea. 
Semburan minyak wangi ‘Pleasure’ dari jenama Estee Lauder benar-benar menghentikan khayalan Sofea. 
“Nah, biar wangi sikit anak mama!”
Baizura menyeburkan wangian kegemaraannya ke baju Sofea.  Bella yang melihat telatah dua beranak tersebut ketawa terbahak-bahak. 
“Sofea memang busuk, aunty!” Bella menambah rancak suasana.
 
Sesungguhnya kedatangan Baizura hari itu membawa seribu kegembiran buat Sofea, di mana penuh dengan kejutan-kejutan yang tidak terduga.  Pertama, sudah pasti kereta Myvi Putih idaman Sofea yang kini menjadi miliknya.  Kedua, filem Hikayat Merong Mahawangsa yang baru ditonton oleh mereka bertiga sebentar tadi.  Rupa-rupanya Baizura tergesa-gesa membawa Sofea dan Bella keluar dari kampus untuk menonton filem tersebut di Mid Valley Megamall.  Sejak dari awal Baizura telah menempah tiga tiket filem tersebut.  Orang yang paling gembira sudah tentu Bella.  Impiannya melihat  Stephan Rahman beraksi terlaksana.  Sofea juga tidak kurangnya terpesona dan hanyut di dalam kemerduan suara Anuar Zain mengalunkan lagu ‘Sedetik Lebih’.  Sewaktu lagu itu berkumandang entah mengapa wajah lelaki buaya kolej Janda terjelma dengan tiba-tiba di mata Sofea.  Cepat-cepat Sofea melawan jelmaan wajah itu. 
Jam menunjukkan pukul 12.30 malam, mereka bertiga sampai di kolej dengan tawa riang.  Baizura beredar ke Hotel Armada Petaling Jaya untuk bermalam.  Bella menyanyi dengan riang lagu ‘Sedetik Lebih’ bersama bekalan Mc Donald’s yang dibeli bagi makan malam mereka yang lewat. 
“ Setiap nafas yang dihembus, setiap degupan jantung, aku selalu memikirkanmu, dalam sedar..” Suara Bella terhenti apabila kedengaran suaranya diganggu. 
“Dibuai  angan dalam tidur dan khayalan, aku selalu memikirkanmu, ternyata ku perlukan cinta darimu sayang”. 
Sofea dan Bella menoleh ke belakang.  Amirul tersenyum memandang mereka berdua. 
“Kenapa?  Terkejut?  Suara abang tak sedap ke?”  Abang senior yang tidak kurang popularnya berbanding Iqram Haris tersenyum mesra ke arah Sofea dan Bella. 
“Sedap sungguh, kalah Anuar Zain,” Bella berkata lancar. 
Sofea menyangkutkan sejadah dan telekungnya di penyangkut baju lalu bergerak ke meja tulis.  Bella di katil telah lama hanyut dibuai mimpi indah.  Tentunya bermimpikan Stephen Rahman Hughes, hero pujaannya.  Sofea menekan telefon bimbit.  Sepuluh   minit lagi pukul satu setengah pagi.
Tentu mama juga sudah tidur.  Mengapa pulak aku tak ngantuk ni?
Sofea mengeluh seorang diri.  Sofea kembali mengingati perancangan mamanya.  Baizura akan mengambilnya dan Bella tepat pada pukul 8.00 pagi.  Setelah bersarapan bersama di Kompleks Perdana Siswa, mama akan menyerahkan Myvi milik Sofea, lantas mengambil teksi  ke Pudu Raya untuk pulang. 
Kesian mama, sudah tentu penat kerana lima jam di dalam bas nanti!
Hati Sofea resah memikirkan akan mamanya.  Sofea menyarankan kepada Baizura agar menaiki kapal terbang sahaja ke Pulau Pinang, namun Baizura menolak memikirkan tidak mahu menyusahkan sesiapa untuk menjemputnya di Lapangan Terbang Bayan Lepas. 
Mama oh mama, kalau kahwin lagi kan senang!
Wajah Uncle Ismail muncul di depan mata.  Sofea senyum sendiri.    
 Sofea kembali teringat akan kejadian di tempat letak kereta sebentar tadi.  Sedang Bella asyik berbual dengan Amirul berkenaan pengarah Filem Hikayat Merong Mahawangsa, Yusri KRU, Vios Hitam bergerak perlahan mengambil parkir bersebelahan tempat mereka berbual.  Iqram keluar dari kereta memandang mereka bertiga. 
“Dari mana?” tanya Amirul. 
“Futsal,” jawab Iqram sepatah. 
Tanpa memandang ke arah mereka  lagi, Iqram bergerak ke block asrama lelaki. 
“Cemburu tu,” Amirul menduga. 
“Kat siapa?  Bella?” Bella mula bercanda dengan Amirul. 
“Yang sebelah Bella tu lah!”Amirul kembali bersuara.  Sofea tergamam. 
“Satu kolej tau dia sukakan Sofea,”Amirul menambah. 
“Jangan berguraulah.  Dah lewat ni, kami naik dulu!”
Sofea menarik tangan Bella pantas.  Sofea tidak mahu terus mendengar cerita mengenai Iqram dari Amirul yang belum pasti benar.
                      
            ****                                                                                                                                       
Calar di Vios Hitam itu Sofea sentuh sekali lagi.  Ketara dan Sofea harus bertanggungjawab.  Sofea menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.  Menyesal tidak terkira kerana tidak berhati-hati sewaktu memasuki petak letak kereta sebentar tadi.  Kalau kereta orang lain, tentu dirinya tidak segelisah itu.  Boleh sahaja Sofea mencari tuan punya kereta dan membayar ganti rugi yang diminta.  Tentunya tidak semahal mana.  Namun masalah bakal timbul kerana itu kereta Iqram.  Sofea tidak dapat membayangkan reaksi Iqram nanti.  Sudahlah Sofea tidak pernah mengendahkannya, tiba-tiba memohon maaf akibat kecuaiannya.  Malu betul Sofea memikirkannya. 
“Bella pun satu, mengapa tak balik lagi ni!”Gumam Sofea. 
Gembira sahaja Bella mengikut Sarah dan Tini ke KLCC mencuci mata.  Sofea mengambil keputusan untuk menelefon Iqram, memberitahu perkara sebenar. 
“Kat mana pula nak cari nombor mamat ni?”
Sofea menggaru lagi kepalanya.  Baru Sofea sedar kertas kecil mengandungi nombor telefon Iqram telah diserahkan kepada Bella. 
Bella simpan lagi nombor Iqram?  Telefon Bella?  Tidak, nanti kecoh pula Bedah tu tanya itu dan ini.  Aduyai betullah!
            Dari jauh Sofea melihat abang senior pujaan ramai itu turun menuju ke arahnya.  Iqram menyarung t-shirt putih dan berseluar jeans biru.  Cukup bergaya.  Setelah memperolehi nombor telefon Iqram dari Amirul, Sofea terus menghubungi Iqram.  “Assalamualaikum, boleh turun kat kereta awak tak?” 
“Siapa ni?  Puteri ke? Tunggu kejap,” Iqram menjawab mesra dan talian diputuskan. 
Siapa pulak puteri ni?  Biarlah, asal dia turun!
Sofea menyimpan telefon bimbitnya di dalam poket seluar.  Sebentar tadi Amirul memberikan nombor telefon Iqram tanpa banyak bicara kepada Sofea, tiada kemesraan seperti selalu. 
Mungkin aku kacau dia petang-petang ni kut!” Bisik hati Sofea bersifat optimis terhadap Amirul.  
“Hai!” 
Alamak, lelaki perasan ni dah sampai!
“Saya tak sengaja.” Sofea bersuara sambil jari telunjuknya menuding ke arah calar di kereta Iqram. 
“Hahaha.  Perempuan kalau bawa kereta macam ni lah.  Tengok lesen boleh?”
Ketawa dan ejekan Iqram bercampur menyakitkan hati Sofea.  Namun Sofea sedar, dirinya yang bersalah. 
“Saya bayar ganti rugi.  Nanti bagitau saya berapa!” Sofea berkata agak kasar. 
“Ini ke perangai puteri yang buat salah?” Iqram tersenyum sinis kepada Sofea. 
Aku ke puteri tu?  Aduhai seronoknya. 
“Saya minta maaf.” Sofea cepat menyedari kesilapannya. 
“Boleh, tapi ada syarat.”
Iqram kembali mengukir senyuman.  
“Apa dia?” 
“Nantilah bila puteri dah tenang, saya bagitau.  Sekarang puteri mandi dan berehat.  Tunggu panggilan saya, nak tau syaratkan?” 
Iqram berteka-teki dengan Sofea sambil bergerak menuju ke asramanya.  Sofea terkebil-kebil melihat Iqram berlalu pergi.
Malam itu Sofea bersolat I’syak awal dari biasa.  Dari terus gelisah memikirkan kejadian petang itu dan menunggu Bella yang belum pulang, alangkah baik Sofea memohon ketenangan.  Peristiwa petang itu masih segar di ingatan Sofea. 
Apalah syarat Mamat tu?
Sofea terus gelisah.   Telefon bimbit milik Sofea berbunyi, tanda terdapat pesanan ringkas dari Aplikasi WhatsApp masuk.  Tertera nombor yang asing bagi Sofea.    
“Syarat pertama, plz turun ke tempat kejadian segera,..putera.” 
“Putera?  Uwek!”
Sofea merasa hendak muntah membaca WhatsApps dari Iqram. 
Perasan tahap gaban ni!
Sofea tidak mempunyai pilihan, menyarung jeans lusuh dan berbaju t-shirt seperti selalu.  Langkahnya pantas menuruni anak tangga menuju ke tempat kereta.  Sofea melihat Iqram duduk di tempat pemandu sambil menghisap rokok dengan pintu kereta terbuka.  Sekali pandang persis aksi Farid Kamil di dalam filem I’m Not Single.  Kalau Iqram adalah Farid Kamil, sudah tentu dirinya adalah Lisa Surihani. 
Aku berangan apa ni?
Sofea menyedarkan dirinya. 
Iqram yang menyedari kehadiran Sofea keluar dari kereta. 
“Berapa?  Esok saya bayar ye!” 
“Siapa kata saya nak duit!” 
“Habis tu?” Sofea keliru. 
“Sebab buat kereta saya bercalar, kena teman saya makan malam ni.”
Jawapan Iqram membuatkan Sofea berserabut.  Mana mungkin dirinya keluar berdua-duaan dengan lelaki.  Jika ini terjadi Iqramlah lelaki pertama yang bertuah dapat keluar dengannya.  Melihat Sofea tidak bersuara, Iqram bersuara lagi. 
“Ala, pergi Mc Donald’s saja.  Sofea  suka kan?  Tak pernah berlaku di dalam sejarah putera mencederakan puterinya!”
Iqram bergerak membukakan pintu kereta buat Sofea.
****
Sewaktu Sofea membuka pintu bilik, Bella sedang asyik dengan komputer ribanya.   
“Dari mana ni?” Bella bertanya manja. 
“Pergi Mc Donald’s dengan Iqram,” jawab Sofea jujur. 
“Ha!” Bella ternyata terkejut.  Namun, selepas itu Bella ketawa berdekah-dekah apabila mengetahui cerita yang sebenar dari Sofea.  Seperti biasa Bella tetap mempersoalkan perasaan Sofea terhadap Iqram.  Bagi Sofea adalah penting mempersoalkan kejujuran perasaan Iqram dari perasaan dirinya.  Dirinya tidak mempunyai sesiapa, sedangkan Iqram dikelilingi wanita-wanita cantik di kolej, dan di fakulti.  Malas Sofea hendak membayangkannya.
Sofea membaringkan badannya di katil.  Peristiwa makan malam mengejut bersama Iqram kembali bermain di fikirannya.  Kereta bergerak sahaja, kedengaran suara Anuar Zain.  Lagu ‘Lelaki Ini’ dendangan Anuar Zain menguasai ruang kereta. 
“Dengar lagu Melayu ke?” Sofea jelling manja kepada Iqram. 
“Bukan setakat lagu Melayu, perempuan Melayu wajib jadi pilihan,” Iqram menjawab dengan penuh merepek. 
Mereka makan tidak sampai satu jam.  Iqram sendiri tidak selesa melihat Sofea asyik memandang jam di tangan. 
“Okey lah, kita balik,” kata Iqram lembut. 
Sepanjang perjalanan pulang tidak banyak yang mereka bicarakan.  Lagipun ianya cuma mengambil masa lebih kurang dua puluh minit dari Amcorp Mall ke kolej.  Cuma sebelum Sofea bergerak meninggalkan kereta, Iqram sempat berpesan. 
“Call saya sebelum tidur!”
Tanpa menjawab, Sofea meneruskan perjalanan ke block asrama.
Permintaan  Iqram itu kini mengganggu Sofea.  Memaksa Sofea membuat keputusan samada mahu menelefon Iqram atau tidak.  Jika Sofea menelefonnya ternyata dirinya memberi ruang dan peluang bagi Iqram terus memikatnya.  Tidak mustahil Sofea akan jatuh cinta kepada Iqram.  Lelaki itu cukup sempurna, siapalah Sofea untuk bertahan tidak tertarik kepadanya. 
“Sofea, pijak bumi nyata, Iqram umpama bulan yang tidak mampu kau gapai!” Tiba-tiba terdengar suara entah dari mana.  Sofea memejamkan mata.  Telefon bimbit berbunyi menandakan WhatsApp tiba.  Sofea sudah menduga siapa. 
“Penat tunggu call Sofea, sy tidur dlu, gnte..”
Sofea gagal melawan perasaannya sendiri.  Lantas nombor Iqram ditekan.  Namun Sofea kembali sedar, cepat-cepat talian diputuskan.  Harapan Sofea, telefon bimbit Iqram belum sempat berbunyi.  Sofea memaksa dirinya untuk tidur dengan memejamkan matanya rapat-rapat.
Pagi itu di Dewan Makan, Kolej Janda.  Bella menyuap nasi goreng ke mulut.  “Sedap,” Bella bersuara. 
“Yang kau tak nak makan ni kenapa?” Bella kembali bersuara. 
“Aku nak diet la.”
Sebenarnya Sofea berbohong kepada Bella.  Sofea telah makan dua keping roti Gardenier di dalam bilik tanpa pengetahuan Bella. 
“Siapa yang diet ni?”
Satu suara menghampiri Sofea dan Bella.  Tanpa meminta izin,  Amirul menarik kerusi lalu duduk di sebelah Sofea.  Sofea dapat menghidu haruman ‘Aramis’ yang dipakai oleh Amirul. 
Aduhai wanginya! Hati Sofea bersuara. 
Aiman Amirul,  pelajar semester akhir Fakulti Kejuruteraan ini tidak setampan Iqram, namun lebih popular disebabkan sifatnya yang seperti abang kepada adik-adik junior.  Masih single. Itu yang Sofea dengar melalui kakak-kakak senior di asrama.  Dia juga bukanlah anak dato’ seperti Iqram, hanya bermotosikal di kampus.  Seperti Iqram, Amirul juga kelihatan suka mendekati Sofea. 
Cewah, perasan pula aku.  Bukan semua pelajar junior dia dekat terutamanya perempuan!  Sofea tersenyum sendirian. 
“Eh Sofea, senyum sorang-sorang ini kenapa?”
“Sebab orang sebelah ni wangi sangat, terpikat Sofea nanti,” Sofea menjawab mesra. 
“Dialu-alukan,” Amirul mengusik Sofea.
“Wei, drama apa ni?  Bella macamana?  Mr. Amirul, pilih antara dua, Sofea or Bella?”
Lawak Bella benar-benar membuat Sofea dan Amirul besar.
            ****
Bella berlari ke arah Myvi kepunyaan Sofea dengan pantas. 
“Bungalah!”
Bella mengambil sekuntum mawar merah yang diletakkan di bahagian cermin depan kereta.  Bella mencium mawar tersebut sebelum menghulurkannya kepada Sofea.  Mawar merah yang segar itu disambut mesra oleh Sofea. 
Cantik sungguh.  Macam bunga ros mama di rumah.  Siapa punya angkara ni?  Untuk aku ke? 
“Untuk kau lah, takkan untuk aku pula!” Bella seakan dapat membaca isi hati Sofea yang berteka-teki. 
“Tapi dari siapa?” Sofea berwajah keruh. 
“Sudah terang lagi bersuluh lah mata sepet ni!”
Iqram?
Sofea telan air liur. 
Kena ucap mekacih ni.  Wasap aja lah.  Kena rahsia dari Bella ni!
Sofea sengeh sendiri.
“Ha, apa senyum-senyum, kelas kita pukul 8.00 ni!”  
“Thanks 4 da sweet rose.” 
WhatsApp untuk Mr. Iqram Haris dihantar oleh Sofea dengan perasaan berbunga-bunga.  Sofea mengaku telah menyukai lelaki idaman ramai itu.  Namun Sofea tidak menaruh sebarang harapan, cukuplah memujanya di dalam diam.  Tiada siapa yang akan tahu, termasuk Iqram sendiri.  Tiba-tiba telefon bimbit Sofea berbunyi.  Iqram menelefon Sofea.  Bella di sebelah senyum-senyum jeling Sofea. 
“Sofea, i jumpa u kejap  di kereta u pukul 11.00 k,” Iqram bersuara dan talian berakhir.  Parkir bagi kereta pelajar di Fakulti Pendidikan amat terhad.  Mungkin disebabkan itu, Iqram yakin akan menjumpai kereta milik Sofea.  Kuliah ‘Islamic Civilization and Asian Civilization’ yang disampaikan oleh Dr.Rosli selama satu jam, Sofea lalui tanpa tumpuan.  Sofea melihat jam di tangan.  Jam  menunjukkan pukul 10.45 pagi.  Ada lima belas minit lagi untuk Sofea melihat lelaki itu.  Iqram Haris. 
Tapi kenapa Iqram nak jumpa tiba-tiba?  Entah-entah nak aku tunai syarat kedua permohonan maaf aku.  Bukan peristiwa itu dah seminggu berlalu.  Mesti Iqram dah lupa.  Atau nak tengok berserinya muka aku bila dapat bunga?  Kalaulah mama tau apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, tentu mukanya kerut dan makin kedutlah! 
Sofea masih mengingati pesanan mamanya sewaktu menghantar dirinya ke Kolej Janda. 
“Jangan bermain cinta di sana!” Larangan mama masih terngiang-ngiang di telinga Sofea. 
Fea tidak bercinta mama, Fea hanya telah jumpa seorang lelaki idaman ramai, dan Fea telah tewas mempertahankan ego Fea untuk tak tertarik padanya!
Sofea bergegas ke tempat letak kereta.  Menuju ke keretanya.  Iqram tiada di situ.  Mana pulak mamat ni?
Sofea teringat bagaimana Bella terkebil-kebil apabila dirinya memberitahu mahu segera ke tandas dan meninggalkannya.  Dari jauh Sofea melihat Vios Hitam bergerak mendekatinya.  Iqram memberhentikan kereta di depan Sofea.  Iqram keluar dan menghadiahkan sekuntum senyuman buat Sofea. 
“Bunga tu bukan dari saya,” kata Iqram.  Sofea terkesima. 
Jadi siapa pulak yang bagi bunga tu?  Apa yang lebih penting kenapa pulak Iqram sanggup jumpa aku di fakulti semata-mata nak bagitau bukan dia yang bagi bunga tu!
“Nampaknya saya ada saingan,” Iqram bersuara setelah melihat Sofea mendiamkan diri. 
“Apa awak merepek ni?  Jangan masukkan saya ke dalam senarai koleksi girlfriend awak!” Entah dari mana Sofea mempunyai kekuatan untuk berterus-terang dengan Iqram.  Bukankah kata-kata tersebut menjelaskan dirinya juga suka kepada Iqram. 
“Saya tidak main-main memilih awak, dan saya nak awak buang bunga tu!” Iqram menuding jarinya ke dalam kereta.  Memang benar, jelas kelihatan bunga mawar di tempat duduk pemandu di dalam kereta Sofea.  Sofea yang meletakkannya di situ selepas puas menciumnya pagi itu. 
“Saya ada kelas ni.”
Iqram masuk semula ke dalam kereta dan meninggalkan Sofea dengan perasaan suka dan bengang.  Suka mendengar kata-kata indah Iqram, bengang dengan sikapnya yang menguasai keadaan.  Ya, menyuruh Sofea membuang bunga kesayangannya.
“Bunga tu bukan dari Iqram lah.” Lemah suara Sofea memberitahu Bella perkara yang sebenar.  Bella mendongak memandang wajah Sofea yang kepenatan.  Masakan tidak, Sofea kepenatan berjalan pantas ke perpustakaan utama semata-mata untuk mencari Bella.  Malas Sofea membawa keretanya dari fakulti, apabila memikirkan masalah parkir.  Belum sempat Sofea duduk, Bella bertanya. 
“Kau dari mana sebenarnya?”
Sofea menarik kerusi dan duduk.  Sofea yang tidak mempunyai pilihan terpaksa menceritakan perkara yang sebenar kepada Bella.  Bella senyum. 
“Kau suka Iqram ekh?”
Sofea tidak memberi jawapan dan membawa jari ke bibir memberi isyarat agar Bella tidak lagi bersuara.  Beberapa mata memandang mereka berdua yang membuat bising. 
Yang jadi persoalan, siapa bagi bunga tu?  Tapi penting ke?  Kan perasaan sebenar Iqram  pada aku lebih penting?
“Macamana dengan assignment Dr. Rosli kau?” Bella menyoal Sofea. 
Alamak, baru aku sedar  minggu ini asyik berangan sampai terbiar assignment Dr. Rosli.  Kalau mama tahu lah.  Eh, sempat lagi!
Senyuman kembali terukir di bibir Sofea.
“On the way!” Sofea menjawab pasti.
****
Sofea melontar seketul batu ke dalam tasik.  Lontaran tersebut ternyata berjaya mengganggu ketenangan air tasik.  Setelah melalui minggu yang memenatkan dengan asyik mengunjungi perpustakaan dan menghadap komputer riba, hari ini ianya berakhir.  Sofea kembali bersantai di tasik universiti kesayangannya bersama Bella.  
“Kau rasa betul ke Iqram sukakan aku?”
Bella berpaling ke arah Sofea setelah mendengar soalan mendadak itu. 
“Aku rasa ya dan tak.  Nampak macam suka, tapi kau tau lah dia, girlfriend ramai.  Apa kata kau duga dia?” Bella berhujah panjang sambil memberikan cadangan kepada Sofea. 
“Macamana nak duga?  Kau ni macam-macamlah!” 
“Kau cari saja siapa yang bagi kau bunga hari tu.  Kemudian kau layan, kita tengok macamana reaksi Iqram,” Bella melontarkan cadangan yang cukup bernas kepada Sofea.  Sofea diam memikirkan cadangan Bella.  
“Inilah masanya untuk memperolehi cinta sejati atau sekadar melihat aksi seorang Romeo mempermainkan perasaan kan?  Tapi macamana nak tau siapa bagi aku bunga tu?” Sofea cukup berminat dengan cadangan sahabatnya itu. 
Bella meraba peha Sofea, mencari telefon bimbit.  
“Call Abang Amirul, dia pasti tahulah,” Bella mendesak. 
“Betul juga kata kau, block asrama lelaki hanya satu.  Berapa sangat jumlah mahasiswa di Kolej Janda?  Pelajar junior seperti kita, tidak mungkin.  Tak ada siapa yang aku kenal.  Mengikut kajian yang tidak dapat dibuktikan, secret admirer ini selalunya orang yang kita kenal.  Tetapi entah betul entah tidak teori cinta merapu aku ini.  Betul-betul!  Abang Amirul mesti tau ni!” Sofea bersuara riang.
Jawapan dari Amirul benar-benar melontarkan Sofea ke lubuk emosi yang dalam.  Dengan selamba sahaja Amirul menjawab, bahawa dirinya yang memberi bunga ros tersebut kepada Sofea.  Mujur perbualan hanya di telefon, jika bersemuka apakah Sofea mampu memandang wajah Amirul?  Setelah hampir empat bulan Sofea menganggapnya abang, dan memanggilnya abang, kini mengapa pula bunga mawar itu akhirnya.  Sungguh tidak disangka.  Bella yang pada awalnya mentertawakan Sofea turut bersimpati.  Bella menawarkan diri memandu pulang ke kolej senja itu.  Harapan Sofea di perjalanan cuma satu, tidak terserempak dengan Amirul nanti.  Sofea mahu mengelaknya buat sementara waktu.  Entah mengapa wajah Iqram dan Amirul silih- berganti di mata Sofea. 

1 comment:

  1. Saya ingin bertanya novel agungnya cinta masih ada stock tak

    ReplyDelete