Monday, 17 July 2017

SUAMI TUAN PUTERI KARYA WARDINA AISYAH

Bab 1
  TENGKU PUTERI ESHAL RANIA berdiri tegak di hadapan cermin. Penampilannya diperhati. 
Rambutnya yang panjang diikat satu bak ekor kuda. Keningnya cantik terbentuk. Hidungnya mancung terletak. Bibirnya mungil kemerahan bak buah delima. Ramai yang kata, dia mempunyai iras wajah seperti Noor Neelofa. Namun, Eshal Rania tak rasa begitu. Baginya dia lagi cantik jika hendak disamakan dengan pengacara rancangan Meletop itu.
  Sekali lagi penampilannya diteliti. Gaun separas lutut yang melekat indah ditubuhnya dibelek. Gaun pendek berwarna kuning telur itu amat sesuai dengannya yang berkulit putih kemerah-merahan. Kulit cantik yang diwarisi daripada walidnya yang mempunyai darah kacukan MelayuInggeris. Eshal Rania memang bertuah kerana dilahirkan sebagai anak Melayu yang mempunyai darah kacukan. 
 Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Eshal Rania mencapai tas tangan Louis Vuitton dan turun ke bawah sambil berlagu riang. 
“Morning!” sapa Eshal Rania sebaik terpandangkan 
wajah walid dan bondanya di meja makan.
Serentak itu, Datuk Paduka Tengku Azlan dan Datin Paduka Syarifah Mastura yang berada di meja makan berpaling. Tergeleng kepala Datuk Paduka Tengku Azlan melihat pakaian anak daranya seorang itu. Sudah persis orang tak cukup kain. Jika diikutkan, kekayaan yang dimilikinya ini lebih daripada cukup untuk Eshal Rania membeli kain menutup tubuhnya dari dibiarkan terdedah. Sudah berbuih mulutnya menegur, tetapi anaknya itu buat endah tak endah saja.
  Sebaik melabuhkan punggung di atas kerusi, Eshal Rania mencapai gelas berisi jus oren asli di atas meja. Diteguk perlahan. Tekaknya ini tidak lalu hendak minum Nescafe atau kopi. Baginya, minuman berkafein tak elok untuk kesihatan. Eshal Rania memang mementingkan kesihatan luaran dan dalaman.
  Melihat si anak, Datin Paduka Syarifah Mastura membuka bicara.
“Malam ni ada program tak?” tanyanya.
Eshal Rania mengherot bibir. Cuba berfikir apa aktiviti yang hendak dijalankan malam ini. Kebiasaannya, malamnya akan dihabiskan di pusat-pusat hiburan bersama Adara dan Zetty. Sekadar melepaskan rasa bosan terperuk di rumah.
“Not sure. Why?”
Bibir Datin Paduka Syarifah Mastura mengorak senyum. “Kalau macam tu... Malam ni balik awal. Kita ada tetamu istimewa nak datang.”
“Tengoklah macam mana. I can’t promise.” Selambanya Eshal Rania membalas.
Padanya, soal tetamu yang hendak datang ke rumah bukanlah urusannya. Mereka tetamu walid dan bonda. Sama ada dia ada atau tidak, itu tidak penting.
“Rania, please... Rania kena ada.” Datin Paduka Syarifah Mastura seakan merayu. Besar harapannya mahu Eshal Rania ada sama untuk malam ini. Tetamu yang bakal berkunjung ke rumah mereka begitu penting bagi Datin Paduka Syarifah Mastura.
“Kenapa Rania kena ada pula? Bonda, Rania ada 
atau tak, itu tak jadi masalah, kan? Sama aje...”
“Rania kena ada. Please, sayang...” Mendayu-dayu suara Datin Paduka Syarifah Mastura merayu.
“Ya la! Ya la!” Dalam degil, Eshal Rania mengalah. Tidak sampai hati melihat wajah bonda memujuk rayu.
Setelah menghabiskan jus orennya, Eshal Rania bangun dari duduk. Dia mahu segera ke pejabat. Sudah menjadi kebiasaan, Eshal Rania akan sampai awal ke pejabat meski dia seorang ketua. Dia mahu menunjukkan disiplin yang baik kepada pekerja-pekerja bawahannya.
“Eh, tak nak jamah nasi goreng tu?” tanya Datin Paduka Syarifah Mastura.
Eshal Rania menggeleng. Pagi-pagi begini perutnya menolak makanan berat. Cukuplah sekadar jus oren dan secubit sandwich mengalas perutnya dari dimasuki angin. 
Setelah bersalaman dengan walid dan bonda, dia terus bergerak ke muka pintu utama. Sewaktu mengambil kasut tumit tinggi dalam rak kasut, tiba-tiba tubuhnya dilanggar seseorang sehingga membuatkan Eshal Rania terduduk ke atas lantai.
“Opsss... Sorry!” Pinta suara itu. Terkejut melihat si 
tuan puteri terduduk jatuh kerana kecuaiannya.
Eshal Rania mengetap bibir. Wajahnya yang putih bersih sudah menjadi merah. Pagi-pagi lagi, lelaki itu sudah mencari pasal dengannya. Cuba membangkitkan amarah dalam hati.
“You ni buta ya? Tak nampak I yang sebesar gajah ni kat sini?” sergah Eshal Rania garang. Kedua-dua belah tangan sudah naik mencekak pinggang.
Ihraz Zahin kerut kening. Eshal Rania diperhati atas ke bawah. Kemudian bawah ke atas. Pada pandangannya, anak majikannya itu tidaklah sebesar gajah. Kurus keding saja orangnya. Boleh pula Eshal Rania mengaku sebesar gajah. Kelakar.
Tak semena-mena, Ihraz Zahin melepaskan tawa.
Mendengar tawa itu, mata Eshal Rania mencerlung. Sakit hati dengan tingkah Ihraz Zahin. Sejak lelaki itu bekerja di sini, hidupnya jadi tidak menentu. Belum pernah ada pekerja di rumah ini yang berani ingkar arahannya. Tapi Ihraz Zahin, lelaki itu seakan memperlekehkan kewujudannya sebagai anak tuan rumah.
“Stop it! I tak suruh you ketawa. Yang you ketawa macam orang gila ni kenapa?”
Tawa Ihraz Zahin masih bersisa. “Sorry, Cik Eshal Rania. Saya tak sengaja nak ketawakan cik. Tapi... Saya rasa cik buat lawak. Cik kata, cik sebesar gajah. Tapi saya tengok... Cik ni tak adalah besar mana pun. Kurus macam sup tulang aje.”
Inilah dia Ihraz Zahin. Cakapnya tak pernah bertapis. Main lepas sahaja. Itu yang membuatkan Eshal Rania tidak sukakan Ihraz Zahin. Asal lelaki itu buka mulut, bicaranya tidak pernah menyenangkan hati. Lebih banyak yang jahat dari baik.
Nafas Eshal Rania sudah naik turun. Bercakap dengan Ihraz Zahin membuatkan amarahnya meningkat dua kali ganda. Ihraz Zahin memang lelaki paling menyebalkan dalam dunia. Kenapalah dia perlu bertemu dengan lelaki menyebalkan ini? Tak suka!!!
“You!!!” Jari telunjuk Eshal Rania lurus menegak. Betul-betul tepat ke batang hidung Ihraz Zahin. Namun marahnya tak terluah. Sikap selamba lelaki itu semakin menyakitkan hati.
“Arghhh!” Kerana marah yang tak terluah, Eshal Rania melepaskan jeritan. Kemudian terkedek-kedek dia berlalu ke kereta, membuang tubuh masuk ke dalam Porsche Panamera kesayangannya.
Disebabkan marah, Eshal Rania memecut kereta dengan laju. Puas hati dapat bagi Ihraz Zahin makan asap. Padan muka!
Ihraz Zahin pula sudah terbatuk-batuk dek asap yang dihadiahkan Eshal Rania kepadanya.

No comments:

Post a comment