Saturday 14 March 2015

ARJUNA JELITA KARYA INTAN YUMERZA

BAB 1


Nama aku Ain Jelita. Arwah mama dan papa panggil aku Ain. Mak Long pula panggil aku Lita. Oleh sebab Mak Long panggil aku Lita, orang kampung turut memanggil aku dengan nama itu. Hanya seorang hamba Allah yang memanggil aku dengan nama Pelita!
Katanya nama Pelita lebih layak bagi aku sebab kulit aku hitam macam sumbu tapi tetap mencerahkan orang sekeliling. Perghh. Makan dalam betul!
Mahu tahu orang itu siapa? Namanya Adam Hilman. Tapi sebab dia panggil aku Pelita, jadi dia aku panggil dia, Abang Padam. Baru adil kan? Pelita Padam… Padam Pelita… Macam sepadan pula bunyinya kan?
Sayangnya, sudah hampir tiga tahun aku jarang mendengar panggilan itu dari bibirnya. Abang Padam kini berada di Jepun. Tahun ini merupakan tahun akhir dia melanjutkan pelajaran di sana. Cuma sesekali kami akan berbalas mesej melalui aplikasi Whatsapp. Ada beberapa kali juga Abang Padam pulang ke tanah air tetapi cuma dalam waktu yang sangat singkat.
Dahulu, dialah kawan, dia jugalah lawan buat aku. Segala kegembiraan dan kedukaan aku, dialah yang sanggup menadah telinga untuk mendengar dan yang pasti, dia akan belanja aku aiskrim di gerai Pak Cik Hamid.
Abang Padam kata, jika bersedih makanlah aiskrim. Pasti rasa sedih akan mencair bersama cairnya aiskrim di hujung lidah. Jika aku bergembira, pasti aiskrim juga yang dihulurkan. Katanya, rasa gembira yang berlebihan harus dibekukan dengan aiskrim. Kegembiraan yang tidak dikawal boleh membuatkan diri kita menjadi angkuh dan riak.
Emm… Itulah Adam Hilman. Seorang sahabat, juga seorang abang bagi diri aku. Sentiasa ada saat susah dan senang aku.
“Hoi Lita! Berangan saja kau kan? Fatin dan Farhana tu dah lambat nak pergi sekolah!” Opss! Siren sudah berbunyi. Nampaknya tugas kedua aku untuk hari ini perlu dilaksanakan serta merta.
Segera aku mengambil dua buah beg sekolah yang sudah tersandar di tepi dinding. Dua anak dara Mak Long sudah siap memakai kasut di beranda rumah. Budak-budak ni pun… beg sekolah sendiri pun mahu aku yang angkatkan. Ingat aku bibik dia orang gamaknya.
“Kak Lita! Cepatlah. Dah lambat ni.” Farhana yang berusia 13 tahun memanggil. Kakaknya Fatin yang tua setahun daripadanya pula sudah bercekik pinggang sambil merenung aku tajam. Sebijik macam Mak Long!
“Okey jom.” Aku bersuara sambil sedekahkan senyuman kepada mereka berdua. Ustazah kat sekolah aku dulu pernah kata, sedekah di pagi hari itu salah satu cara memanggil rezeki.
Kereta yang memang tidak pernah berkunci itu aku hidupkan enjinnya. Belum sampai dua minit, aku terus memecut meninggalkan kawasan rumah Mak Long.
Pecutlah sangat. Kereta Proton Saga keluaran tahun 1987 itu memang sudah semput. Cuma aku yang berani bawa kereta itu ke hulu ke hilir. Maklumlah, aku mana pandai menunggang motosikal. Jangankan menunggang, membonceng pun aku tidak berani.
Sebaik usiaku mencecah tujuh belas tahun, Pak Long terus menghantar aku ke sekolah memandu. Katanya itu merupakan wasiat arwah mama. Sebelum aku mendapat lesen memandu lagi, aku sebenarnya sudah mula memandu kereta antik Pak Long ini. Pak Long kata, anggap saja kereta ini seperti kereta aku sendiri. Baiknya hati Pak Long kan?
Pak Long sendiri mempunyai dua buah lagi kereta lain. Toyota Hilux dan Proton Inspira untuk kegunaan Mak Long. Jadi kereta antik ini, memang aku tak perlu berebut dengan sesiapa. Lagipun kan… siapalah yang mahu  berebut kereta separuh berkarat ni?
Untuk merasa menggunakan dua buah lagi kereta yang ada tu, aku tidak payah beranganlah. Jangankan diberi peluang untuk memandu, ingin menolong mencuci pun aku tak diberi kebenaran. Sayang benar Mak Long pada kereta yang dua buah tu.
“Kak Lita! Simpang sekolah dah terlepas!”
Ya Allah! Jauhnya aku berangan. Sampai simpang sekolah yang cukup sibuk itu pun aku boleh terlepas. Hurmm… lambat lagilah sepupu aku hari ni. Nasib lah!
“Kak Lita, kalau nak berangan pun, biarlah kami sampai ke sekolah dulu. Ni tidak. Menyusahkan betullah!” Siapa lagi yang kuat membentak di belakang tu kalau bukan Farhana. Emm, tadah telinga sajalah Lita… Dah memang kau kuat berangan kan?
“Macam mana nak jadi peguam kalau asyik berangan? Baik jadi novelis.” Si kakak pula meningkah. Dia orang ni kan, kalau bersuara, tajam dan berbisa sungguh. Menyucuk sampai ke usus, kau! Memang sah budak dua orang ni anak kandung Mak Long!
Aku memang bercita-cita ingin menjadi seorang peguam. Kerana cita-cita itulah aku melanjutkan pelajaran dalam Asasi Undang-undang di Uitm Bukit Sekilau Kuantan. Selama setahun aku berada di situ menimba ilmu. Sayangnya sudah dua kali aku mengulang menjalani ujian MUET yang diwajibkan mencapai band 4 jika ingin melanjutkan pelajaran di dalam jurusan undang-undang.
Dua kali aku menjalani ujian itu, dua kali juga aku hanya mendapat band 3. Kerana keputusan itu jugalah Mak Long sudah mengharamkan aku dari mencuba untuk kali ketiga. Malah, untuk memohon memasuki mana-mana universiti di dalam jurusan lain pun Mak Long menegah keras. Katanya aku memang akan menghabiskan beras dia jika melanjutkan pelajaran.
Sedih tau! Aku bukannya benak sangat. Kalau aku benak, manakan aku dapat menempatkan diri dalam asasi undang-undang itu dahulu? Tapi, itulah dia, Mak Long aku yang sebenar. Sayang sangat dengan beras dia…
Kerana tidak mahu mendengar sumpah seranah Mak Long yang mungkin akan menjadi doa kepada diriku, aku sudah memutuskan akan mencari jalan sendiri. Suatu hari nanti, aku akan merealisasikan impian aku itu dengan titik peluh dan kudrat aku sendiri.
“Kak Lita, kami balik pukul dua tau. Jangan lambat!” Fatin menjerit dari luar tingkap kereta yang separuh terbuka.
Mereka berdua sudah keluar dari kereta rupanya. Jauh benar aku mengalamun. Mujur juga otak aku ni sudah terbiasa bekerja dua perkara dalam satu masa. Membuat kerja dengan kecekapan tahap lima bintang dan mengelamun juga pada tahap bintang yang sama. Ha ha ha.
Sebaik selamat menghantar anak-anak Mak Long, aku segera pulang ke rumah. Tugas ketiga pula harus dilaksanakan untuk hari ini. Tugas ketiga ini merupakan kesinambungan daripada tugas pertama yang terpaksa aku lakukan sebelum subuh lagi. Memasak untuk sarapan seluruh keluarga tetapi dalam kuantiti yang banyak. Selebihnya akan aku bungkus untuk dijual.
Mak Long kata, hasil jualan ini, aku boleh pegang selepas ditolak modal. Jika jualan habis, dapatlah sepuluh ringgit. Kalau tak habis, pernah aku hanya dapat lima ringgit. Walaupun aku tahu Mak Long selalu menghelat dalam pembahagian duit hasil jualan, aku terpaksa diamkan saja. Sekurang-kurangnya, aku dapat juga pegang duit. Betul tak?
Setelah kereta kesayanganku itu aku parkir di tepi rumah, langkah aku atur memasuki ruang dapur mengikut pintu belakang. Kunci kereta aku sangkut di dinding lalu bakul yang sedia menunggu di atas meja makan aku capai.
Kenderaan kedua merangkap kenderaan rasmi aku pula aku tuju. Sebuah basikal yang aku tidak tahu apa jenamanya. Aku cuma tahu basikal itu pemberian Mak Cik Odah dua tahun lepas. Menurut Mak Cik Odah, basikal itu kegunaan anak sulungnya semasa dia sekolah menengah dulu. Sekarang, anak Mak Cik Odah sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.
Menurut Mak Cik Odah, dia kesihan melihat aku yang terpaksa berjalan kaki ke tempat ‘kerja’ aku setiap hari. Nampaknya, aku memang ditakdirkan hanya mendapat yang secondhand saja. Nasiblah…
Tempat ‘kerja’ pertama aku ialah deretan meja separas pinggang di hadapan jalan besar menuju ke bandar. Di meja itulah aku mengatur barang perniagaanku bersama dua lagi peniaga lain. Mak Cik Piah dan Kak Salmi.
“Berapa bungkus jualan hari ni Lita?” tanya Mak Cik Piah ramah. Barangan jualannya sudah elok tersusun. Malah sudah ada pelanggan yang singgah memilih.
“Nasi lemak 20, kuih kasui 20 Mak Cik,” jawabku juga ramah sambil menghamparkan alas di atas meja. Satu persatu barang jualan aku susun di dalam dulang yang sudah sedia aku bawa.
“Sikitnya hari ni? Mak Long kamu tak tanya ke?” Wanita itu mengerutkan dahi sambil memandang aku seketika.
“Bihun goreng tak sempat buat. Lewat bangun,” jawabku sambil pamer sengihan. Malu pula bila perkataan ‘lambat bangun’ itu aku sebut untuk diri sendiri.
“Tak apalah Lita. Yang ada ni pun dah banyak juga ni. Untung si Tina tu dapat anak saudara sebaik kamu ni. Menurut saja apa yang dia suruh.” Sekali sekala dipuji, kembang juga lubang hidung. Tapak kaki pun rasa tak cecah ke tanah. He he he
“Dah tanggungjawab Lita tolong Mak Long mana-mana yang patut mak cik,” jawabku rendah. Apa lagi yang harus aku ucapkan selain dari itu? Takkan aku nak kata yang Mak Long aku tu memang kedekut dan selalu mendera aku pula kan? Membuka aib keluarga pula namanya nanti.
“Mak long kamu tu bukannya sengkek sangat. Pak Long kamu tu berduit sebenarnya. Si Tina tu sengaja nak menyeksa kamu!” tingkah Kak Salmiah sedikit beremosi.
Bukan sekali dua mereka mengulang ayat tersebut. Sudah selalu malah aku sudah hafal segalanya. Mak Long dan Pak Long bukannya susah sangat. Rumah batu dua tingkat dan dua buah kereta yang selalu bertukar setiap dua tahun sekali itu membuktikan segalanya.
“Si Tina tu sengaja mencari susah dengan menjadikan Lita ni kelihatan susah. Hiss! Tak habis-habis menyusahkan darah daging sendiri! Dia tak terfikir kesusahan di akhirat sebab menyusahkan anak yatim agaknya.” Mak Cik Piah membebel.
Banyak pula perkataan susah dalam ayat mak Cik Piah. Dia tak rasa susah ke nak menyusun ayat-ayat tu? Hi hi hi.
“Betul tu Kak Piah. Berapa sangatlah keuntungan dari menjual kuih tepi jalan ni. Kalau betul-betul dia nak Lita tolong keluarga dia, kenapa dia tak ajak Lita kerja dengan suami dia saja?” Kak Salmi pula meningkah.
“Gadis seusia Lita sekarang ni sepatutnya duduk di universiti. Menimba sebanyak mana ilmu untuk masa depan. Bukannya duduk di tepi jalan macam sekarang ni.” Mak Cik Piah pula menyambung.
Sungutan dua wanita itu sekadar aku jawab dengan gelengan dan anggukan. Kalau aku ada kudrat dan harta, sudah tentu aku tak akan berada di tepi jalan sambil menunggu pelanggan datang. Rasa malu dan rendah diri sudah mula sebati di dalam hatiku. Segala motivasi yang aku dapat semasa di Bukit Sekilau dulu mula terhakis sedikit demi sedikit.
Mama, papa… Lita benar-benar rindukan kalian. Kalaulah dengan mengambil sebahagian dari nyawa Lita yang tinggal ini mampu mengembalikan kalian walau untuk seketika, maka pasti akan Lita lakukan.
Setitis demi setitis air hangat mengalir di pipi tanpa dipinta. Hanya mereka yang mengalami sendiri apa yang aku alami ini yang akan memahami apa yang aku rasa. Memahami makna kerinduan dan kesakitan sebagai seorang anak yatim piatu. Menumpang kasih kepada mereka yang jelas menerima hanya kerana rasa terpaksa.

                                                            *****
“Lita, lepas ambil Fatin dan Farhana nanti, kamu pergi rumah Mak Cik Odah. Macam biasa.” Mak long bersuara sejurus aku menjengulkan kepala di pintu dapur.
Peluh yang merintik di dahi aku kesat dengan hujung tudung. Walaupun rasa penat dan panas, mendengar berita itu tetap membuatkan aku mampu tersenyum.
Pergi ke rumah Mak Cik Odah memang aku cukup suka. Aku merupakan pembantu sambilan di rumah Mak Cik Odah. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu, pasti wanita itu akan memanggil aku untuk ke rumahnya.
Di rumah wanita itu, tugasku adalah membersihkan dapur dan ruang tamu. Selain itu,  mengemas pakaian yang sudah siap di cuci. Sekali sekala aku akan membersihkan halaman dan longkang rumah.
Biasanya Mak Cik Odah akan memberi upah sebanyak 30 ringgit sekali berkhidmat. Separuh dari nilai itu, akan aku serahkan kepada Mak Long sementara separuh lagi akan menjadi hak mutlak aku. Itu perjanjian yang Mak Long sendiri buat sebelum aku mula bekerja dulu.
Selain dari rumah Mak Cik Odah, sebuah lagi rumah yang sering memerlukan khidmat aku ialah rumah Puan Rozy. Isteri seorang ahli perniagaan terkenal di daerah ini. Oh ya, Puan Rozy inilah ibu Abang Padam aku tu.
Di rumah Puan Rozy, kerja aku hanyalah menemankan wanita itu menonton televisyen ataupun mengait benang di halaman rumah. Sekali sekala, Puan Rozy akan mengajak aku makan-makan di luar. Aku memang tiada kerja yang perlu dibuat kerana Puan Rozy sudah mempunyai dua orang pembantu. Tidak cukup dengan itu, Puan Rozy selalu juga membelikan aku pakaian dan berbagai aksesori kegemaran seorang gadis seperti aku.
Sebenarnya segan juga bila menerima upah untuk kerja yang langsung tidak pernah aku lakukan. Tetapi bila aku menyuarakan rasa kepada Puan Rozy, wanita itu hanya akan kata semua itu rezeki aku. Tak perlu dipersoal dan diungkit.
“Berangan! Siang ikan siakap seekor pun berjam-jam. Kalau aku jumpa sisik kat ikan masa makan nanti, siap kau!”
Oh mak kau! Mujur tak gugur jantung aku disergah Mak Long. Hai Ain Jelita… baik kau buat kerja cepat. Karang timbul tanduk Mak Long kau tu, lunyai kau ditanduknya!
Pap! Satu tamparan mengena di bahu kanan aku. Perghh! Perit giler.
“Tak habis-habis berangan!” desis Mak Long sambil gigi dikacip rapat.
“Tepat pukul dua belas, jika semua masakan tak ada atas meja, jangan harap kau boleh makan tengah hari nanti!” Mak Long berlalu tanpa memandang aku yang masih terkial-kial di tepi sinki.
Sabar ajelah Ain Jelita oi!

No comments:

Post a Comment