Showing posts with label SEIKAT CINTA TERSIMPUL RINDU. Show all posts
Showing posts with label SEIKAT CINTA TERSIMPUL RINDU. Show all posts

Wednesday, 10 February 2016

SEIKAT CINTA TERSIMPUL RINDU KARYA ANNIS RIZANI

BAB 3



“SUFI, boleh tak tolong pergi jumpa klien Kak Rina ni?” Arah Puan Marina kepada Sufiyya.
Aduhh, keluh Sufiyya di dalam hati. Semakin hari, semakin kerap pula Kak Rina mengarahkan aku untuk berjumpa dengan kliennya. Padahal, itu bukanlah sebahagian daripada tugas-tugas Sufiyya. Dia bungkam. Di dalam  hatinya masih merungut-rungut sendirian.
            Sufiyya hanyalah pembantu peribadi Puan Marina yang berjawatan Pengurus Unit di sebuah syarikat insurans terkemuka negara. Gaji pun bukanlah sebesar mana walaupun dia mempunyai segulung ijazah. Tugas hakiki Sufiyya adalah membantu urusan-urusan dokumentasi antara pejabat cawangan dengan ibu pejabat di Kuala Lumpur, dan bukannya pergi bertemu dengan klien-klien Puan Marina.
            Dengan langkah longlai Sufiyya menghampiri meja Puan Marina yang terletak bersebelahan dengan mejanya. Puan Marina sedang membelek-belek kertas sambil membebel sendirian.
            “Klien ni, tandatangan dia susah sangat nak tiru, Sufi. Dia kena sign borang revival ni, kalau tak, polisi dia lapsed nanti. Kalau sign dia senang, Kak Rina boleh tiru aje, tak payah susah-susah jumpa dia.” Puan Marina menghulurkan borang tersebut kepada Sufiyya. Borang yang berada di tangan, diperhati sedalam-dalamnya oleh Sufiyya. Hanya nombor polisi yang ditulis oleh Puan Marina.
            “Nanti Kak Rina call dia untuk buat appointment. Sufi tolong pergi jumpa dia, boleh?” Puan Marina mendongak memandangku yang sedang berdiri di sebelahnya. Hmm, apa pilihan yang aku ada Kak Rina oii... Antara ikhlas dengan tidak Sufiyya mengangguk.
            “Dia ni, kat mana Kak Rina?” tanya Sufiyya dalam keadaaan terpaksa.
            “Dia kat Petronas, kat Gebeng.” What? Hampir saja suara Sufiyya terlantun keluar mendengar tempat yang disebutkan itu. Agak jauh dari pejabat yang terletak di tengah-tengah pusat bandar.
Sufiyya hanya memerhatikan Puan Marina membelek-belek telefon Blackberry miliknya. Mungkin sedang mencari nombor telefon klien tersebut. Sufiyya kembali ke tempatnya bersama borang di tangan.
            “Helo Riz, apa khabar?” Kedengaran suara Kak Rina mesra menyapa kliennya. Aduhh, lelaki ke? Hati Sufiyya merintih lagi. Matilah aku kalau Khairy tahu, monolog Sufiyya berterusan mengenangkan lelaki yang baru saja tiga bulan menjadi tunangannya.
Hati Sufiyya mulai berbolak-balik. Bimbang Khairy akan berfikir yang tidak-tidak. Bukan Sufiyya tak tahu dengan sikap cemburu Khairy yang semakin menjadi-jadi selepas mereka bertunang. Semasa di alam percintaan tidaklah seteruk sekarang.
            Perbualan Puan Marina dengan kliennya sudah tidak  Sufiyya hiraukan. Hatinya sedang sibuk  berbicara sendiri sambil berharap agar Puan Marina membatalkan arahannya sebentar tadi.
Sedang Sufiyya memerhatikan surat lampiran daripada ibu pejabat yang dikepilkan bersama borang revival, matanya tertancap kepada nama yang tertera. Muhammad Mukhriz bin Sulaiman. Sufiyya cuba mengingat sesuatu. Klien ini belum pernah culas membayar premium kerana dia membuat potongan gaji melalui bank. Kenapa pula boleh tertunggak selama tiga bulan?
            Pantas Sufiyya membuka sistem untuk melihat status pembayaran klien itu. Setelah memasukkan nombor polisi, tertera maklumat klien pada skrin komputer. Berusia 35 tahun dan telah berkahwin.
Eh, kenapa tiada nama untuk pewaris? Biasanya orang yang telah berkahwin akan mewariskan polisi kepada isteri atau pun anak. Sempat Sufiyya meneliti maklumat lelaki itu. Kemudian dia meneliti pula maklumat pembayaran premiumnya. Ya, tertunggak kerana status autodebit yang tertera,  failed.
            “Sufi,” panggil Puan Marina setelah dia menamatkan panggilan telefonnya. Sufiyya berpaling ke arah Puan Marina.
            “Nasib baik, tak payah ke Gebeng. Petang ni dia ke Megamall sebab dia ada latihan boling. Tapi, Kak Rina memang tak sempat nak jumpa dia  sebab dah lambat nak hantar anak tuisyen pulak ni. Sufi pergi jumpa dia kejap, ya?” Untung juga pejabat ini letaknya berhampiran dengan Megamall.
            “Pukul berapa nak jumpa tu?” tanya Sufiyya inginkan kepastian.
            “Kak Rina forward nombor telefon dia, nanti Sufi call dia sebelum Sufi balik, boleh?” Sufiyya hanya membalas dengan anggukan lemah.
            “Jangan lupa, minta bayaran premium daripada dia, ya. Kak Rina dah beritahu tadi, dia kena bayar sehingga bulan terkini dan sampaikan salam Kak Rina kepada dia, ya?” Sufiyya mengangguk lagi sambil berdoa di dalam hati agar klien ini tak jadi datang.
            “Kak Rina pergi dulu ya Sufi. Jangan lupa tau, jumpa dia.” Sufiyya hanya memerhatikan Puan Marina tergesa-gesa meninggalkan pejabat. Dah lewat sangatlah agaknya tu. Sufiyya kembali meneliti skrin komputer.
            “Hai, bos dah balik pun moyok ke?” Teguran Fakizah yang sedang melintasi meja untuk ke tandas, meleraikan lamunan Sufiyya.
            “Dia balik pun, tak senang juga. Nak kena jumpa klien dia pulak petang ni,” adu Sufiyya kepada Fakizah.
            “Hmm, nasib baik bos aku tak pernah nak suruh aku buat kerja luar. Kalau tak, aku pun jadi macam kau. Moyok memanjang,” balas Fakizah sambil tertawa kecil. Ya, dia beruntung kerana mendapat Pengurus Unit yang memahami skop kerja sebenar seorang pembantu peribadi yang tugasnya hanya di pejabat.
            “Aku bukannya apa, takut juga kalau-kalau Khairy bising. Sudahlah di luar waktu pejabat, jumpa lelaki pulak tu. Marah cemburu satu hal, marah kerja lebih masa secara percuma satu hal. Yang sini bos, yang sana tunang. Dua-dua nak kena jaga,” rungut Sufiyya lagi.
            “Lain kali cakap aje dekat Kak Rina, ada hal. Lainlah kalau dalam waktu pejabat. Siapa tak marah, nak suruh kerja luar, kerja lebih masa sampai malam, tapi tak pernah nak bayar claim dengan overtime.” Sufiyya mengangguk lemah usai cadangan Fakizah itu. 
            Sufiyya menanti detik tibanya jam 5.30 petang dengan perasaan yang bercampur-baur. Berat benar rasa hati kali ini. Kenapa ya? Sebelum ini, pernah juga dia bertemu dengan klien lelaki tapi tak adalah berperasaan sebegini. Macam ada yang tak kena saja. Janganlah ada perkara buruk berlaku ke atasku, doa Sufiyya di dalam hati. Dia menyibukkan diri dengan mengemas meja dan menyediakan dokumen untuk ditandatangani oleh klien ini.
            Tepat jam 5.30 petang, seperti yang dijanji, Sufiyya menunggu klien itu di kopitiam berhampiran pejabat. Setelah sepuluh minit menunggu, Sufiyya dihampiri oleh seorang lelaki.
            “Sufiyya, kan?” tanya lelaki itu. Suffiya mendongak. Wow, maskulin betul. Kalau Sophea tengok, tentu tak berkelip matanya, bisik Sufiyya lagi merujuk kepada adiknya. Bukan dia tak tahu selera adiknya itu yang gemar mencuci mata melihat lelaki bertubuh tegap dan tinggi.
            “Ya saya. Err, Encik Mukhriz ke?” tanya Sufiyya kembali sambil memerhatikan lelaki itu yang sedang tersenyum dan melabuhkan punggung di hadapannya.
            “Nasib baik tak salah orang. Panggil saya Riz aje.” Sufiyya mengangguk ketika Mukhriz melambai tangan ke arah pelayan.
            “Panggil saya Sufi aje,” arah Sufiyya pula dibalas senyuman Mukhriz.  
            Untuk seketika Sufiyya membiarkan Mukhriz membuat pesanan untuk dirinya. Sufiyya sendiri telah pun menghabiskan satu set roti bakar. White coffee yang dipesan tadi masih lagi bersisa.
            “Berapa bulan ya outstanding?” tanya Mukhriz setelah pesanannya tiba.
            “Tiga bulan.” Sufiyya membalas ringkas.
            “Jadi saya kena bayar penuh ke?”
            “Ya, sebab takut lapsed polisi Encik Mukhriz kalau tak bayar penuh.” Terang Sufiyya lagi.  
            “Err, Riz, please.” Suara Mukhriz tegas. Mungkin tidak selesa berencik-encik begitu.
            “Err, maaf. Riz.” Sufiyya menyebut nama panggilan itu. Lalu terukir senyuman di wajah Mukhriz.
            “Sebenarnya macam ni, saya nak stop polisi ni sebab saya dah ada insurans nyawa syarikat. Boleh ke nak stop? Awak rasa Kak Rina setuju ke?” Sufiyya menelan liur. Kenapa tak tanya dengan Kak Rina, pertanyaan yang hanya terluah di dalam hati Sufiyya. Sudah tentulah Puan Marina tak setuju kerana ini akan menjejaskan komisyennya.
            “Saya rasa boleh.” Kalau Kak Rina tahu, begini jawapan yang diberikan kepada kliennya, mati aku.
            “Tapi, awak kena fikir, berapa banyak yang awak rugi kalau awak stop. Lagi pun, polisi yang syarikat tu, kalau awak berhenti kerja, awak tak akan dapat apa-apa. Sedangkan yang ini, akan berterusan dan awak akan dapat hasil daripada akaun pelaburan awak tu. Belum lagi kira duit poket yang awak dapat kalau awak masuk hospital.” Selamba saja Sufiyya menggunakan perkataan awak, macam dah lama kenal lagaknya.
            “Iya juga eh? Saya dah bayar polisi ni, lebih dua tahun dah rasanya. Darab dengan RM200 saya bayar tiap-tiap bulan, dah berapa kat situ?” Mukhriz mencongak-congak sendirian.
Hmm, berjaya juga aku menyelamatkan satu akaun Kak Rina, Sufiyya tersenyum di dalam hati sambil  memerhatikan Mukhriz yang sedang terkumat-kamit mengira. Ah, kenapa aku risaukan akaun klien Kak Rina, sedangkan dia semakin kaya tapi kebajikan aku langsung tidak dijaganya, satu suara berbisik ke telinga Sufiyya. Isy, tapi Kak Rina baik, cuma dia agak berkira, satu suara lagi menekan suara yang pertama tadi.
            “Eh, tak jadilah stop kalau macam tu.” Sufiyya bagaikan tersedar daripada mimpi, lalu mengukir senyum. Ternyata Mukhriz termakan psikologi yang dimainkannya.
            “Kalau macam tu, awak sign kat sini. Bayaran premium tiga bulan, ya?” Sufiyya segera menghulurkan borang revival untuk ditandatangani bagi menghidupkan kembali polisinya.
            “Amboi, laju aje mintak duit.” Mereka berdua tertawa. Orang-orang syarikat insurans memang mata duitan, hati Mukhriz berbicara sendiri.
            “Err, kenapa awak tak letak beneficiary? Kena letak tau.” Busy body pula Sufiyya kali ini.
            “Memang nak letak penama, tapi nantilah. Saya belum terfikir nak letak nama siapa.” Ramai benar senarai pewarisnya, letak nama aku boleh juga, hahaha... Sufiyya bermonolog lagi.
            “Eh, saya dah lambat ni, ada latihan boling. Ada apa-apa lagi tak?” tanya Mukhriz sambil mengeluarkan sejumlah wang lalu dihulurkan kepada Sufiyya.
            “Tak ada apa-apa dah. Resit nanti awak minta pada Kak Rina, ya?” Mukhriz mengangguk dan bingkas berdiri.
“Minggu depan ada tournament boling, datanglah tengok. Tapi kalau saya kalah jangan gelakkan saya pulak, ya.” Mukhriz tersenyum. Sufiyya tertawa sambil memerhati. Senyuman Mukhriz cukup menawan. Pandangan matanya menenangkan jiwa.
Sufi, tak ingatkah kau pada status diri? Dia pula telah beristeri. Satu suara mengingatkan. Spontan, Sufiyya termalu sendiri.
“Insya-Allah,” balas Sufiyya ringkas sambil memerhatikan Mukhriz menuju ke kaunter pembayaran.
“Saya dah bayarkan. Sebagai balasan, kena datang tengok saya main boling minggu depan,” ujar Mukhriz ketika melintasi meja yang mereka duduki. Aik? Minta balasanlah pulak dia. Huh, tak ikhlas.
Sufiyya memandang sehinggalah kelibat Mukhriz hilang ketika dia melintas jalan menuju ke Megamall. Sufiyya tersenyum lagi. Ah, itu hanyalah gurauan nakal seorang lelaki.


Monday, 18 January 2016

SEIKAT CINTA TERSIMPUL RINDU KARYA ANNIS RIZANI

BAB 2



“AWAK, petang tadi awak jumpa siapa?” tanya Sufiyya lembut sebaik saja panggilannya disambut oleh Khairy. Sufiyya tak menunggu lama untuk mendapatkan jawapan, malam itu juga dia menghubungi Khairy.
            “Saya jumpa kawan-kawan sayalah. Minum-minum sebelum balik rumah. Kenapa sayang?” tanya Khairy kembali. Tenang saja dia dengan pertanyaan Sufiyya.
            “Saya tak suka awak bergaul dengan orang-orang macam tu...”
            “Orang-orang yang macam mana?”
            “Phea kata...”
            “Oh, Phea punya kerjalah ni, eh?” Khairy memintas kata-kata Sufiyya. “Phea kata kawan-kawan saya tu orang jahat, kan? Itu lelaki, kalau dia nampak saya keluar minum dengan perempuan lain, apa pulak yang diburukkan saya ni, kan?” Sedikit keras suara Khairy.
Entah kenapa dia merasakan Sophea begitu bencikan dirinya. Kalau tidak, masakan dari dulu sampailah sekarang, Sophea tak pernah memanggilnya abang. Hanya memanggil namanya saja. Langsung tiada rasa hormat kepada diri Khairy yang bakal menjadi abang iparnya. Sophea seolah-olah sengaja mahu mengkucar-kacirkan perhubungan dia dan Sufiyya.
            “Awak, Phea tak salah. Saya ni kakak dia, tentulah dia akan beritahu kalau ada perkara yang dia rasakan tak kena. Saya cuma nak tahu, siapa orang-orang tu?”
Sufiyya membela adiknya kerana dalam banyak-banyak hal, tentulah dia kena utamakan adik sendiri. Khairy hanyalah tunangan dan belum lagi sah ikatannya. Walaupun baik dan buruk Khairy sudah diterima seadanya, namun tak semestinya Khairy boleh berbuat sesuka hati di luar pengetahuan Sufiyya.
“Dia orang tu, kawan-kawan saya yang kerja bengkel, kerja tarik kereta. Badan besar-besar, berminyak pulak tu. Memanglah nampak macam orang jahat, dah itu kerjanya. Okeylah tu, daripada saya keluar dengan perempuan lain. Adik awak tu kan, memang tak suka kat saya...”
“Awak, Phea bukan tak suka kat awaklah. Awak aje yang berperasaan macam tu.” Kali ini giliran Sufiyya pula memintas. Tak tega mendengar lontaran kata yang tidak enak terhadap Sophea.  
“Huh!” Khairy mendengus marah.
“Lepas ni, awak kenalkan semua kawan-kawan awak kat saya, boleh? Tak adalah orang tersalah sangka yang bukan-bukan.” Pinta Sufiyya.
“Nak ajak awak keluar pun payah, banyak sangat alasan. Macam mana nak kenalkan dengan kawan-kawan saya. Saya keluar dengan perempuan lain, baru awak tahu.” Tempelak Khairy dalam nada serius. Mengugut pun ada dan sengaja dia memprovok Sufiyya. Kadang-kadang dia naik bosan untuk mengajak Sufiyya keluar, ada saja alasannya.
“Okeylah awak, saya dah nak tidur.”
“Ha, kan betul. Alasan semata-mata. Saya tahu,  awak tak suka...”
“Awak, saya tak nak gaduh-gaduh. Lebih baik stop kat sini, sebelum berlanjutan. Dan kalau awak nak keluar dengan perempuan lain pun, terpulang pada awak.” Tenang saja Sufiyya menjawab walaupun dia sedikit terguris hati dengan kata-kata Khairy. Kenapa sejak akhir-akhir ini Khairy sering membentak-bentak dan mendengus begini?
“Merajuklah tu? Saya merajuk awak tak peduli pun. Dah berapa lama kita tak jumpa? Saya ni, sanggup tahan perasaan rindu saya kat awak semata-mata ikutkan kehendak awak yang kononnya tak nak selalu sangat jumpa tu. Bukannya kita nak buat benda tak elok, keluar makan aje.” Semakin keras suara Khairy.
“Memanglah kita tak buat perkara yang tak elok, tapi masa bertunang godaan lagi kuat, syaitan tu menari-nari aje antara kita.” Sufiyya masih cuba bersabar, mengawal emosi daripada meletup. Sakit hati mendengarkan kata-kata Khairy.
“Selama kita berkawan ni, ada ke saya buat yang tak elok kat awak?” Khairy semakin meradang.
“Saya tak kata awak buat perkara yang tak elok...”
“Ah, sama saja maksudnya.” Belum pun sempat Sufiyya meneruskan kata, Khairy memintas.
“Sudahlah awak, saya nak tidur. Bye.” Sufiyya mematikan talian. Sakit hati.
Khairy mengetap bibir. Marah yang teramat sangat dengan tindakan Sufiyya yang mematikan talian dengan serta-merta. Dadanya berombak. Kalaulah Sufiyya berada di hadapannya pada ketika ini, mahu saja ditarik tangan Sufiyya kembali kepadanya supaya terluah segala yang terbuku di hati.
Sufiyya benar-benar terasa hati. Fikirannya menerawang lagi. Khairy bertugas sebagai pegawai akaun di sebuah syarikat multinasional, mana pula dia kenal orang-orang yang sebegitu? Ah, mungkin dia mencari kawan yang sebegitu untuk memudahkannya menguruskan keretanya andai kenderaannya mengalami masalah. Atau pun mereka itu merupakan geng kelab kereta yang sekepala dengannya. Geng obses ubah suai kereta. Sufiyya cuba berbaik sangka terhadap tunangannya sehinggalah dia terlelap.










SEIKAT CINTA TERSIMPUL RINDU KARYA ANNIS RIZANI

BAB 1


SUFIYYA tergesa-gesa bersiap memandangkan dia terlewat bangun. Bukan tidak dikejut emak, tapi salah dia sendiri. Tertidur semula sehinggalah emak mengejutkannya semula. Berebut pula bilik air dengan Sophea, adiknya.
            “Phea, cepat sikit. Akak dah lambat ni,” jerit Sufiyya kepada adiknya yang bakal menduduki peperiksaan tahun kedua kursus kejururawatan. Dia perlu menghantar Sophea terlebih dahulu ke kolej, sebelum ke pejabatnya.
            “Iyalah, siap dah ni. Eii, bising betul perempuan ni,” gerutu Sophea sambil berlari-lari anak menuju ke pintu.
            “Eh, tak nak minum dulu ke kau orang ni?” tanya Hajah Mariam pula apabila dilihatnya kedua-dua anak daranya tergopoh-gapah menyarungkan kasut.
            “Tak sempat dah mak.” Serentak laungan Sufiyya dan Sophea menerobos gegendang telinga Hajah Mariam.  
            “Bye mak, abah. Doakan orang, ya. Assalamualaikum,” jerit Sophea sambil berlari-lari anak menuju ke arah Sufiyya yang sedang menunggu di dalam kereta.
            “Waalaikumussalam. Baca Bismillah dulu Phea, nak jawab soalan tu,” sempat emak menitipkan pesan. Sufiyya segera memulakan pemanduan sebaik saja Sophea menutup pintu kereta. Mereka berbual kosong sambil bergelak ketawa.
            “Akak, serius ke nak kahwin dengan Khairy tu? Kita ni, muda lagilah akak? Akak tak rasa rugi ke?” Sophea tiba-tiba menukar topik, serius benar bunyinya.
            “Kalau masing-masing dah suka, buat apa tunggu lama-lama. Lagi pun, mak kan tak suka kita berkawan dengan lelaki lama-lama. Tak elok. Akak kalau boleh tak mahu bantah cakap mak, nanti tak berkat.”
Sufiyya tahu Sophea tak setuju dengan keputusan ini. Sophea seorang yang lebih terbuka pemikirannya berbanding Sufiyya yang agak konservatif, polos dan naif.
“Akak, memanglah kita kena ikut cakap mak, tapi kan, akak dah betul-betul bersedia ke nak sehidup semati dengan Khairy tu? Akak tahu tak sekarang ni, statistik perceraian 17 kes dalam satu hari tau. Semua tu lelaki yang menyumbang, semuanya difailkan oleh pihak isteri.”
“Phea, tak ada orang nak bercerai. Dahlah, kau tu, nak exam ni, dah ready ke? Semalam bukan main lagi kau duduk mengadap televisyen.” Sufiyya kembali menukar topik sebaik saja kereta memasuki pintu masuk kolej.
“Ala, rileklah akak. So far so good.” Sophea mengenyitkan mata sambil menunjukkan isyarat bagus kepada Sufiyya.
“Nak riaklah tu. Result teruk nanti baru tau.” Sufiyya mengingatkan adiknya.
“Kalau result orang cantik, akak belanja orang, eh?” Sophea melirik manja ke arah Sufiyya.
“Eh, bukan tiap-tiap hari ke akak belanja kau makan?” Sophea ketawa mengekeh.
Result bagus, belanja yang special sikitlah, eh?”
“Banyaklah kau punya special. Dah, turunlah cepat. Good luck!” Tawa Sophea berterusan. Senang hati benar gayanya, bisik hati Sufiyya sebelum meneruskan pemanduan menuju ke pejabatnya.

“AKAK, akak, tadi kan, orang ternampak Khairy tu, kat restoran mamak.” Tercungap-cungap Sophea mendapatkan Sufiyya yang berada di dapur untuk menyediakan makan malam.
            Sophea yang baru saja balik daripada kolej, terus menyerbu ke dapur. Sangka Sufiyya, adiknya kelaparan.
            “Pelik sangat ke, bandar ni bukanlah besar sangat pun. Tak mustahil kalau dua tiga kali kau terserempak dengan dia. Kau pun kaki merayau juga,” balas Sufiyya sambil membantu Hajah Mariam memotong sayur.
            “Merayau aje kau Phea, bukan nak terus balik ke rumah,” sambung Hajah Mariam. Sufiyya tersenyum mengejek. Padan muka, memek bibir Sufiyya membuatkan Sophea mencubit lengannya.
            “Ala, celebrate dengan kawan-kawan kejap pun tak boleh ke?” Sophea merengek manja. Sufiyya buat-buat tak dengar, begitu juga dengan emak.
“Eii, nak dengar tak ni. Penting ni! Akak wajib dengar apa yang orang nak cakap ni.” Bersungguh-sungguh benar Sophea mahu bercerita.
            “Apa yang pentingnya Phea...” Meleret Sufiyya bertanya. Malas nak layan sebenarnya.
            “Khairy tu tadi, ramai betul kawan-kawan dia. Lepas tu, kawan dia semuanya pelik-pelik, macam geng kongsi gelap. Lepas tu kan, bila dia nampak orang, dia macam terkejut gilalah, lepas tu dia buat-buat tak nampak kat orang. Macam orang yang bersalah nampak polis, haa, macam itulah gayanya si Khairy buah hati akak tu tadi.” Dalam satu nafas Sophea bersyarah sambil berdrama. Panjang lebar penerangannya sampai Sufiyya turut semput mendengarnya.
            “Kau pergi tegur dia tak?” tanya Sufiyya.
            “Taklah, dah dia pun buat-buat tak nampak aje, padahal orang duduk meja depan dia. Mustahil sangat kalau dia tak nampak orang.”
            “Baik kau siasat siapa kawan-kawan dia Sufi. Mak tak nak nanti dah berkahwin, macam-macam pula cerita yang keluar.” Hajah Mariam bersuara membuatkan kedua beradik ini terdiam sejenak.
Hati Hajah Mariam sememangnya tidak begitu tenang sejak Sufiyya bertunang dengan Khairy. Entah mengapa, namun dia terpaksa pendamkan saja demi kebahagiaan Sufiyya.
            “Iyalah mak,” balas Sufiyya lemah. Dia mengerling sekilas ke arah Sophea. Dengan wajah rasa bersalah, Sophea memohon maaf melalui gerak bibirnya.
            Fikiran Sufiyya menerawang walaupun tangannya sedang sibuk membantu emak di dapur. Segala yang berlaku adalah perancangan Tuhan. Telah setahun dia menyulam kasih dengan Khairy sebelum mereka mengambil keputusan untuk bertunang. Telah mengenali hati budi kedua ibu bapa Khairy dan juga abangnya. Kelihatannya mereka daripada golongan yang baik-baik. Sufiyya hanya mampu berdoa agar tiada sesuatu yang buruk akan berlaku antara dia dan Khairy.
            “Akak, orang minta maaf. Orang cuma cerita apa yang orang nampak. Bukan nak reka-reka cerita, tau.” Sophea memujuk kakaknya. Dia tahu kakaknya terasa hati.
            “Tak apalah dik, akak akan cuba siasat.” Lirih Sufiyya membalas. Selebihnya dia mendiamkan diri sehinggalah selesai menyediakan makan malam mereka.