Showing posts with label AULIA IMAN. Show all posts
Showing posts with label AULIA IMAN. Show all posts

Saturday, 16 May 2015

PENGANTIN LELAKI UNTUK CIK GADIS

BLURB
Cinta? Dia datang tanpa diundang, dan perginya juga tanpa dipinta. Di mana sahaja cinta itu hadir, waktu dan ketikanya tidak pernah menjadi halangan. Begitu juga dengan cinta pandang pertama Kris Al-Hadi. Cintanya berputik saat terpandang gadis berpakaian penjara. Comel dan anggun. Tapi sayang, cik gadis yang diminati sedang menanti hari perbicaraan.
“Saya nak awak tahu, dari hari pertama saya lihat awak dengan pakaian penjara, hati saya sudah terdetik untuk ambil awak sebagai isteri. Saya sayangkan awak.”~ Kris Al-Hadi
“Kalau awak betul-betul sayangkan saya, buktikan rasa sayang awak tu pada saya.”~ Salsabila
Yang menjadi masalah, gadis tersebut terhumban ke penjara kerana perbuatan manusia yang iri hati. Mujur ada dia yang sudi menjadi hero dan penyelamat. Dan kerana sikap gentleman tersebut, ada cinta lain datang dan mendekat. Tapi sayang, cinta itu cinta terlarang. Mana mungkin untuk dia menyambut cinta dari  kekasih abang sendiri. Kerja gila namanya!
 “Kalau you tak sihat.. biar I temankan you! I jaga you, dan you pula jaga I.” ~ Yasmin
“I cari pekerja untuk jaga akaun syarikat, bukan jaga I. Please, jauh sikit! I tak selesa, I panas.”~Kris Al-Hadi
Kerana cinta terlarang, ada yang menjadi korban. Hendak tak hendak, majlis perkahwinan yang diatur harus diteruskan dan hanya pengantinnya sahaja yang terpaksa ditukar ganti tanpa pengetahuan sesiapa.
 “Jantan tak guna! Dengan tunang aku jugak kau nak buat perangai tak senonoh!”~Khairyl
“Sumpah demi Allah, aku tak buat semua tu!”~Kris
Kris mencintai si gadis bernama Salsabila, apa pun terjadi Yasmin bukan pilihan hatinya. Sudahnya, pengantin lelaki terpaksa membuat pilihan yang dirasakan terlalu payah untuk diputuskan. Antara dua gadis, Salsabila dan juga Yasmin, siapakan yang bakal dipilih? Dan antara dua pengantin lelaki, Khairyl dan juga Kris, yang mana satukah menjadi pilihan cik gadis yang indah dengan busana pengantinnya.
Ketahui kisah selanjutnya di dalam naskah Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis.

Sunday, 5 April 2015

PENGANTIN LELAKI UNTUK CIK GADIS KARYA AULIA IMAN

BAB 5



“Kamu pekerja yang telefon nak datang tadi?” seorang lelaki menyergah dari belakang. Kris yang baru turun dari teksi berpaling kebelakang. Ada seorang lelaki menyoal dirinya di tengah-tengah panas.
“Encik tanya saya ke?” Kris yang tak faham apa-apa menyoal semula.
“Yelah, dengan siapa  lagi kalau bukan dengan kamu?”
Kris mengangguk berkali-kali. Tahulah dia, lelaki lingkungan 40-an ini pasti penyelia yang bernama Abu Bakar. Insan yang paling disayangi babahnya.
“Kamu datang dari mana? Lambok? Atau Madura?”
Erkk…. Kris pandang diri sendiri. Dia yang berjeans koyak dilutut dan ber-tshirt lengan pendek serta jaket lusuh dikatakan warga asing. Seiras sangatkah?
“Ada bawa visa bekerja dengan passport?” sekali lagi Kris ditebak dengan soalan sebegitu. Sabar sajalah Kris!
“Ada encik!” Kris layankan sahaja pertanyaan penyelia Abu. Malas menafikan! Ketika ini dia masih penat dengan perjalanan yang panjang, tambahan pula ini pengalaman pertamanya menaiki KTM.  Sungguh memenatkan hingga tiada kuasa hendak berbalas cakap.
“Baguslah… oh ya, kamu punya bahasa bagus! Tak bunyi macam orang Indon!” puji penyelia Abu. Sudah tentulah, kerana dia memang orang tempatan. Celah mana pula harus dia bertutur dalam bahasa dan loghat Indonesia.
“Ya, memang bagus.” Angguk Kris bersama wajah cemberut.
“Pergi letak beg dalam stor, kejap lagi saya tunjukkan kerja-kerja yang harus kamu buat! Mungkin petang nanti atau esok, anak bos akan datang. Jadi, kamu kena pandai buat kerja! Dengar cerita anak bos seorang yang garang dan tegas.”
Kris mengangguk, barulah dia faham! Rupa-rupanya penyelia Abu sudah tersalah orang. Dialah anak bos, bukan orang lain. Lain yang ditunggu, lain pula yang tiba. Lelaki itu tersalah maklumat agaknya!
“Sudah makan?” tebak Pak Abu bersama pandangan serius.
“Belum!” pendek sahaja Kris menyahut.
“Kalau belum, pergilah makan! Dekat kantin sana ada gulai itik, bos korbankan sepuluh ekor itik untuk kenduri kesyukuran sempena kedatangan anak bos!” tukas penyelia Abu buat kerongkong Kris terasa kembang.
“Gulai itik… uweekkk tak lalu aku nak makan! Ishh… geli!” hati Kris berdesis. Walaupun babahnya mengusahakan penternakan itik daging, namun dia masih belum tergamak menjamah daging haiwan berbulu putih itu. Baginya itik seekor haiwan yang comel namun berbaur sedikit hanyir. Tak sampai hati nak makan haiwan secomel itik.
“Sebelum saya terlupa, apa nama kamu?” Penyelia Abu baru terfikir untuk bertanyakan nama lelaki berpakaian agak selekeh ini. Dan Kris yang disoal terus sahaja menguntum senyuman nipis.
“Nama saya Kris Al-Hadi, panggil saja Kris!” tukas Kris ringkas.
“Nama macam orang arab!” Penyelia Abu mengomel perlahan namun masih sempat dia menjeling ke arah susuk tubuh Kris. Pada pendapatnya, nama dan penampilan lelaki itu tidak selari!
“Ha, pergilah letak beg kamu!”
“Yelah, sekejap ya!”
Dengan pantas Kris bergerak ke tengah-tengah ladang ternakan seluas empat hektar. Ditengah-tengah ladang, terdapat sebuah bangunan yang menempatkan pejabat kecil dan juga deretan rumah pekerja. Disebelah kiri bangunan batu itu, kolam-kolam ikan keli dan juga ikan air tawar yang lain menyapa pandangan mata. Manakala di sebelah kanan pula terdapat lombong yang menempatkan itik-itik daging. Luas juga ladang ternak milik babahnya ini!
“Perghh… busuknya tempat ni!” bibir mengomel tidak senang namun kaki tetap dihayun hingga ke dalam bangunan. Sebaik sahaja pintu dikuak, pandangan matanya menangkap beberapa orang pekerja sedang tidur lena.
Dia geleng kepala! Patutlah penternakan yang diusahakan tidak menepati perolehan yang dijangkakan. Rupa-rupanya, ini yang terjadi. Pekerja malas, tidur pada waktu kerja dan tidak efisen! Selama ini, dia fikir dia yang paling malas. Rupa-rupanya masih ada yang lebih malas dari dirinya.

Wednesday, 11 March 2015

PENGANTIN LELAKI UNTUK CIK GADIS KARYA AULIA IMAN

BAB 4



“Di sana nanti, Kris akan tinggal dekat rumah yang babah sediakan. Berkenaan pengangkutan, babah sudah sediakan motosikal dengan sebuah Ranger. Tentang pengurusan ladang dan penternakan, babah mahu Kris belajar bersunguh-sungguh. Sebarang seminar dan kursus yang dianjurkan oleh pihak kementerian, Kris wajib hadir. Tiada alasan, dan babah sasarkan setahun dari sekarang hasil keuntungan bersih mencecah setengah juta ringgit. Tapi ingat, sasaran akan meningkat dari tahun ke tahun!” bicara Kameel bagaikan angin lalu yang menyapa gegendang telinga. Sikit pun tak sampai ke hati yang sedang ketandusan.
Suraya yang menjadi pendengar sejak tadi, hanya mampu menadah telinga. Namun hatinya sedang dilanda badai gelora. Berat hatinya membenarkan Kris pergi.
“Kris… dengar tak babah cakap?”
Kris Al-Hadi mengangguk perlahan. Dia angkat kepala lalu dihala ke arah si ibu. Wajah itu sugul!
“Bu..” Kris cuba memujuk.
“Tak sangka anak ibu akan berjauhan dengan ibu. Selama 24 tahun Kris tinggal dengan ibu, sejak bersekolah hinggalah ke universiti Kris tinggal dekat rumah ni. Tapi, dengan sekelip mata saja Kris nak pergi.” Suara Suraya sudah kedengaran sayu untuk melepaskan Kris memulakan kehidupan baru.
Kameel yang mendengar celoteh isterinya sekadar mampu menggeleng kepala. Kerana Surayalah, si anak terlebih manja. Hendak dihantar Kris ke sekolah berasrama penuh, isterinya menegah. Memilih universiti juga harus disekitar kawasan lembah Klang. Tidak terlalu jauh dari rumah dengan alasan Kris boleh pulang setiap hari.
Kerana perhatian yang sedikit lebih daripada yang lain, dia akui Kris Al-Hadi tidak berapa disenangi oleh anak-anaknya yang lain. Ada sahaja yang menjadi isu dan perbalahan! Bukan dia tidak sedar, namun sebagai bapa, selagi sesuatu itu tidak memudaratkan selagi itu dia bertindak untuk menjadi pemerhati.
“Kris…”
Suara Suraya kembali membawa Kameel ke alam realiti. Isteri dan anak bongsunya masih berdiskusi. Kedua-duanya diperhatikan.
“Ya, bu!” 
“Sebelum terlupa, ibu nak pesan sesuatu!”
Suraya bangkit lalu bergerak mendekati Kris yang duduk di tengah-tengah sofa berangkai. Tanpa sempat Kris membalas apa-apa, Suraya melabuhkan punggung.
“Jangan lupa baca surah Yassin dan ayat Qursi bila sampai ke sana nanti.” Gumam Suraya sambil memperkemaskan jaket yang tersarung ditubuh Kris.
Kris pula sudah tersenyum nipis mendengar pesanan ibunya.
“Kenapa bu?” soalnya ringkas.
“Yelah, manalah kita tahu apa yang  ada dekat sana!”
“Maksud ibu?” Kris mula merasa tidak sedap hati. Berkerut dahinya memikirkan maksud disebalik bicara puan besar. Kameel yang masih berada di ruang yang sama, hanya mampu menggeleng. Surat khabar di tangan, bukan lagi menjadi fokusnya.
“Rumah yang Kris nak duduk nanti, sudah dekat dua belas tahun tak pernah dihuni orang! dulu stor, mungkin Kris nak datang mereka akan kemas. Jadi, ibu harap Kris pandai jaga diri dan berdoalah semoga tak berlaku perkara-perkara yang tak elok!” pesanan Suraya menyebabkan Kris menelan liur.
Jangan-jangan dia akan berkongsi rumah dengan penghuni dari makhluk lain tak? Ah, tiba-tiba dia berasa gerun!
“Bu…. Tolong jangan takutkan Kris!”
“Eh, ibu tak takutkan Kris. Ibu cakap perkara yang betul. Biasalah Kris.. lombong tinggal memang macam tu. Benda-benda mistik memang sudah selalu kita dengar. Sekarang terpulang pada Kris untuk hadap semua tu. Ibu doakan anak ibu selamat dimana sekalipun kaki Kris melangkah!” tukas Suraya cuba memujuk hati sendiri. Namun Kris yang mendengar semakin tidak keruan. Mahu sahaja dibatalkan perjalanannya kali ini.
“Ish, takutlah bu!”
“Itulah awak, Su! Anak nak pergi, kalut duk bercerita tentang alam mistik! Bukannya nak bagi galakan ke apa ke.. ini ditakut-takutkan budak tu!” Kameel membebel.
“Eh, mana ada bang!”
“Yang awak cakap tu, bukan ke menakutkan si Kris?”
“Ish.. taklah sampai macam tu sekali! Kenapa pulak nak takut, ibu yakin hantu tak berani kacau Kris!” tutur Suraya optimis.
“Kenapa pulak tak berani nak kacau Kris?” Ujar Kris sudah naik hairan.
“Oh, Kris tahu!” dia tersenyum. Terlupa bahawasanya, hantu atau syaitan tidak mengganggu orang beriman seperti dia. Mereka pun fikir dua tiga kali sebelum timbul keinginan untuk menyakat dirinya. Kris tersengih sendiri.
“Apa yang Kris tahu ni?” tanya Suraya hairan melihat Kris tersengih-sengih.
“Yelah bu, hantu tak ganggu manusia yang alim!” ucap Kris membuatkan Suraya dihambat lucu. Kris memang cepat perasan orangnya!
“Kau silaplah, Kris! Sebenarnya, hantu takkan kacau hantu, percayalah!” Celah Khair yang baru turun dari tingkat atas. Dia tersenyum dan terus sahaja melabuhkan punggung di sofa bertentangan dengan babah, ibu dan adik lelakinya. Mereka yang lain-lain, dia tak tahu kemana perginya.
“Sebenarnya, apa yang cuba kau sampaikan?” Kris menyoal dengan mata yang sengaja dikecilkan.
“Faham-faham sendirilah!” luah Khair bersama ketawa besar.
“Ish, main-main pulak Khair ni.” Suraya menegur bersama tawa halus.
“Jangan risau, Insya-Allah tak ada apa-apa! Pergilah!” sambung Suraya setelah reda dengan tawanya sendiri. Wajah si anak kesayangan, direnung penuh kasih.
“Ibu ni… buat Kris cuak je!” Kris yang tadi berdebar kini sudah boleh menarik nafas lega. Rupa-rupanya mereka hanya bergurau!
“Ha, pukul berapa Kris nak pergi?” Khair pula mengubah topik.
“Kejap lagi!”
“Dekat tempat orang, pandai-pandailah bawa diri! Jangan menyombong tak bertempat.” pesan Khair ringkas dan padat. Dia tahu, Kris bukan jenis manusia yang suka bermasyarakat. Tidak suka bercampur dengan orang, kalau sikap itu diteruskan, kelak diri sendiri yang susah nanti.
“Insya-Allah aku ingat segala pesanan kau bro!” balas Kris bersama anggukkan kecil.

**
            Maka pagi itu bermulalah perjalanan kehidupan Kris di tempat orang. Dengan menaiki  Keretapi Tanah Melayu, Kris tinggalkan kota dan berhijrah ke sebuah desa di negeri Perak.  Di negeri ini, dia datang bersama sebuah harapan dan azam yang baru semoga sekembalinya nanti, dia adalah Kris Al-Hadi yang baru dan kepulangannya nanti penuh dengan penghormatan. 

Saturday, 7 March 2015

PENGANTIN LELAKI UNTUK CIK GADIS KARYA AULIA IMAN

BAB 3


“Ha, Kris.. lambat balik hari ni?” Suraya yang baru turun ke dapur menegur Kris yang baru mengunci pintu rumah. Haus di tengah-tengah malam.
“Oh ibu..” Dengan lambat-lambat, Kris menoleh ke belakang. Wajah ibunya direnung lama.
“Kris… kenapa ni? Tenung ibu lama-lama? Tak sihat?”
Kris menggeleng. Setiap kali dia memandang begitu, pasti ibunya berfikir dia tidak sihat dan memerlukan rawatan. Sebenarnya hati dia yang tak sihat! Semalam dia berfikir dan terus befikir. Akhirnya dia tahu, sesuatu harus dilakukan.
“Bu..” ibunya diseru lalu kaki dihayun mendekati batang tubuh wanita yang selama ini sentiasa ada menyokong dirinya.
“Ada apa ni Kris?”
Suraya mendekati anak bongsu berketinggian 175 sentimeter. Susuk tubuh itu kelihatan sedikit kurus dan rambut pula ala-ala dawai yang bersimpul. Keras! Tak tahulah sama ada Kris mencuci rambutnya atau pun tidak!
“Bu.. Kris nak cakap sesuatu dengan ibu!” tutur Kris satu persatu. Untuk seketika, dia telan liur. Terasa berdebar dengan tiba-tiba.
“Kris nak cakap apa? Anak ibu nak kahwin ke?” Suraya mengulum senyum. Dalam usia anak yang semakin menginjak dewasa, dia masih menanti salah seorang daripada mereka mendirikan rumah tangga. Dia memiliki lima orang anak, empat daripadanya lelaki manakala yang seorang lagi anak perempuan. Khairyl sudah bertunang, nama tunangnya Yasmin. Mungkin hujung tahun nanti, majlis perkahwinan akan menyatukan mereka. Apa pun, segala-galanya bergantung kepada keadaan.
Yang sulung berusia 29 tahun, namanya Khusyairi dan anak keduanya pula bernama Khairyl. Baru menyambut usia 28 tahun pada awal Januari tadi, manakala Khair pula sudah berusia 27 tahun. Sarah, satu-satunya anak gadis dalam keluarga kecil mereka, baru sahaja menginjak usia 26 tahun dan yang bongsu sudah tentulah si Kris Al- Hadi. Baru sahaja 24 tahun, namun manja dan tahap kebergantungan terhadap keluarga masih lagi menebal. Kerana itu, abang-abang dan kakaknya sering kali merasa iri hati.
Salah dia juga jika Kris jadi begitu, dia tidak sanggup berjauhan dengan si bongsu itu setelah keempat-empat anaknya yang lain melanjutkan pengajian di luar negara. Dia sunyi dan sebagai pengubat sunyi, dia meminta supaya Kris tidak dihantar ke sekolah berasrama dan tidak dibenar melanjutkan pengajian ke luar negara. Kris manja dan tidak berdikari adalah kerana salahnya juga!
“Bukanlah bu..” suara garau Kris menyedarkan Suraya dari lamunan. Dia kuntum senyum.
“Habis, Kris nak cakap apa?” soal Suraya bersama tangan yang kejap memegang tangkai mug.
“Bu.. Kris ni menyusahkan ibu dengan babah ke?” tanpa diduga oleh Suraya, soalan itu ditebak kepadanya. Dia terkedu! Sebagai orang tua, tidak sekalipun dia berasa terbeban atau merasa susah membesarkan anak-anak kandungnya. Kenapa pula Kris menyoal sebegitu.
“Kris… kenapa cakap macam tu? Ibu tak pernah anggap anak-anak ibu menyusahkan!”
Kris yang menyoal kini tertunduk menekur lantai. Sebenarnya ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Itu hanya mukadimahnya sahaja!
“Ibu tengok Kris macam nak beritahu sesuatu je. Kalau nak cakap apa-apa, sila cakap. Ibu boleh dengar.”
Suasana hening seketika, yang kedengaran hanyalah keluhan kecil Kris.
“Cakaplah Kris, mana yang ibu boleh tolong.. ibu akan tolong Kris!” gumam Suraya maish lembut memujuk si anak berterus terang tentang apa yang sedang menganggu fikiran.
“Bu…”
“Ya, Kris.. ibu dengar! Cakaplah.”
Kris tarik nafas dalam-dalam sebelum dihela perlahan. Mengumpul kekuatan untuk meluahkan semuanya.
“Kris rasa, ada baiknya Kris pergi dari sini bu.” Tuturnya perlahan namun sudah cukup menggoncang hati si ibu. Cepat-cepat Suraya meletakkan mug yang belum digunakan ke atas meja. Tak jadi ke peti ais, hilang terus rasa dahaganya!
Sesudah itu Kris kembali didapatkan dan lengan si anak ditarik menuju ke  arah meja di tengah-tengah ruang dapur.
“Duduk dulu!” Arah Suraya dituruti Kris. Kedua-dua mereka duduk di kerusi. Sebelah menyebelah!
“Kris nak kemana ni?” suara bimbang seorang ibu terlontar tanpa sedar. Ya, Suraya merasa bimbang untuk melepaskan Kris pergi jauh dari dirinya.
“Entahlah bu, kemana-mana pun Kris tak kisah! Asalkan jauh dari sini.”
Suraya terdiam mendengar nada lirih si anak, namun jauh disudut hati, dia sedar Kris sedang terluka dengan layanan adik beradiknya. Yang menyokong hanyalah Khair, selebihnya, tidak sudah-sudah memperkecil dan memperlekehkan kemampuan si bongsu yang paling disayang.
“Dah nekad? Takkanlah Kris sanggup tinggalkan ibu?” Suraya cuba memancing simpati si anak. Manalah tahu, Kris mengubah fikirannya semula. Dia hanya mencuba walaupun harapan yang diharap-harapkan adalah tipis. Dia cukup kenal siapa anaknya. Kris degil, keras kepala dan berhati batu namun masih lagi hormatkan dirinya dan jenis anak yang tidak gemar mencampuri urusan orang lain.
“Kalau terpaksa, Kris tak ada pilihan!” sahut Kris senada.
“Kris nak kemana ni nak? Utara, selatan, barat atau timur?”
“Entahlah bu, Kris belum fikirkan lagi. Apa yang nyata, Kris perlu pergi dari sini!” Kris Al-Hadi mengeluh perlahan. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu kemana hala tuju hidupnya selepas ini namun keputusan untuk berhijrah terpaksa diambil andai di sini sudah tiada apa-apa lagi yang tinggal untuk dirinya.
“Kenapa tiba-tiba je Kris nak pergi ni? Kris kecil hati dengan along dengan angah?” Suraya menebak namun Kris tetap seperti tadi. Tidak menafikan dan tidak pula mengakuinya.
“Kalau Kris kecil hati dengan mereka, ibu harap Kris maafkanlah mereka. Seburuk-buruk along dengan angah, mereka tetap darah daging Kris. Tetap abang kandung Kris!” ucap Suraya cuba memujuk hati anak yang sudah terluka.
“Tak perlulah bu… lebih baik Kris pergi dari sini. Biar semua orang puas hati.”
Keputusan Kris Al-Hadi tidak dapat ditentang lagi. Itulah anak bujangnya, kalau A katanya sudah tentulah A jawapannya. Mana mungkin B ataupun C.
“Ibu minta maaf biarkan along dengan angah cakap yang bukan-bukan tentang Kris. Sepatutnya ibu tegur perbuatan mereka!” Suraya sudah mula rasa bersalah. Kerana membiarkan kedua anaknya bercakap sesuka hati, salah seorang anaknya yang lain terluka dalam diam. Kini Kris mahu pergi, tegarkah dia melepaskan?
“Kris, ibu tak sanggup biarkan Kris pergi jauh dari ibu. Siapa nak jaga ibu nanti, siapa yang nak temankan ibu beli pokok bunga dan siapa yang nak hantarkan ibu ke pasar?”  ujar Suraya satu persatu.
Nanti, bila Kris tiada, tentu tiada siapa lagi yang akan menemankan dirinya ke nursery membeli pokok bunga. Tiada siapa yang akan ambil berat tentang kesihatannya yang akhir-akhir ini sering terganggu, dan yang pasti dia hilang seorang pembantu yang selama ini setia menemani.
“Ibu.. kalau ibu sayangkan Kris… ibu perlu lepaskan Kris.” pohon Kris seraya memaut eat lengan ibunya. Dia pandang wajah Suraya dalam-dalam, mengharapkan keizinan dan restu untuk memulakan langkah pertama.
“Tapi ibu tak sanggup berjauhan dengan Kris!” Suraya dihambat sebak.
“Kris akan sentiasa ada untuk ibu. Cuma jarak Kris dengan ibu sedikit jauh.”
“Tapi…”
“Shh, ibu kena izinkan Kris pergi dan doakan yang terbaik untuk Kris! Kris tetap dalam Malaysia. Tak jauh mana!”
Aju Kris seraya memaut tubuh ibunya ke dalam dakapan. Dia sayang ibunya, dan kerana sayang itu dia harus pergi agar insan yang disayang tidak gundah apabila melihat dia bertelagah dengan abang-abangnya yang lain.

Sunday, 1 March 2015

PEGANTIN LELAKI UNTUK CIK GADIS KARYA AULIA IMAN

BAB 2


“Siapa yang mahu uruskan kolam ikan keli dengan perternakan itik babah dekat Perak tu sila angkat tangan?” Kameel menyoal anak-anak teruna yang sedang khusuk dengan gajed masing-masing. Tak harmoni langsung kehidupan mereka sekeluarga selepas kewujudan telefon pintar. Entah siapalah yang memperkenalkan teknologi secanggih ini. Semakin canggih aplikasi digital, semakin kurang keharmonian dalam kehidupan sosial. Contoh sedang berada di hadapan mata!
Masing-masing angkat wajah dan memandang satu sama lain. Semuanya senyap, satu suara pun tidak kedengaran apatah lagi untuk melihat salah seorang daripada mereka mengangkat tangan.
“Ada tak?” Kameel menyoal lagi.
Senyap! Yang menyapa halwa telinga hanyalah desir penghawa dingin yang sudah lama tidak diselenggara. Nak rosaklah tu, cuma tunggu masa sahaja!
“Khusyairi, macam mana? Boleh ke sana?” Kameel memetik nama anak sulung.
Anak lelaki berusia 29 tahun itu menggeleng perlahan. Hampa hati tuanya melihat reaksi si anak. Yang sulung tidak boleh membantu.
Sesudah itu, pandangan mata dihala pula ke arah Khairyl. Anak kedua dari lima beradik, baru sahaja menjengah usia 28 tahun.
“Ha… Aryl,  kamu okey ke tidak kalau babah hantar ke sana? Uruskan ladang tu!” ulang Kameel dengan nada seorang majikan. Tegas dan cukup energetik.
“Erm.. Aryl rasa tak okey! Lagi pun Aryl tak minatlah babah!” Jawabnya mudah.
“Ish, ada sahaja alasan kamu ya! Apa kata kamu uruskan ladang tu dulu, pulihkan dan naikkan semula hasil ternakan kita. Bila semuanya selesai, kamu baliklah semula ke sini!” pujuk Kameel cukup mengharap Khairyl dapat membantu dan memulihkan keadaan ladang ternak yang semakin menghampiri ambang kejatuhan.
Sorry bah, Aryl tak boleh tolong babah kali ni. Lagipun Aryl betul-betul tak minat, lagi pula kerja-kerja ladang ni, memang tak kena dengan jiwa Aryl bah.” Ajunya menghambur alasan yang tidak wajar.
“Takkan  nak tolong uruskan sekejap pun tak boleh?” Kameel masih mencuba memancing simpati anaknya.
“Dah Aryl tak minat, babah kenalah faham! I love my current job, please don’t force me okay!” ” aju Khairyl satu persatu. Harap babahnya faham kehendak dia yang tidak mahu ke ladang ternak itu.
“Yelah-yelah!” sahut Kameel bersama keluhan kecil. Sesudah itu, dia halakan pandangan ke arah anak bujang yang berusia 27 tahun. Muhammad Khair namanya!
“Ha.. Khair pulak macam mana? Boleh tolong babah jagakan ladang ternak tu?” Kameel menyoal seperti biasa. Khair seperti boleh diharap, apapun dia harus menanti penjelasan dari empunya diri sebelum apa-apa keputusan dibuat.
“Err.. Khair rasa tak sesuailah kalau Khair ke sana babah! Khair dah ada kerja tetap di sini! Rugilah kalau Khair tinggalkan apa yang Khair dah ada sekarang!” dengan bersahaja anak ketiga dari empat beradik memberi jawapan ringkas namun sudah pasti itu jawapan paling selamat untuk menyelamatkan diri dari dihantar ke tempat jin bertendang yang dikelilingi hutan belantara!
“Pulak…” Kameel mendengus perlahan. Siapa lagi yang harus dihantar ke sana? Dia pandang satu persatu anak bujangnya, Khusyairi dan Khairyl bernaung di bawah syarikatnya.  Masing-masing memegang jawatan pengurus jualan dan juga pengurus kewangan. Manakala Khair pula, berkhidmat di salah sebuah agensi kerajaan sebagai doktor vaterina. Habis, siapa lagi yang boleh diharapkan jika bukan si bongsu yang baru tamat pengajian.
“Ha, Kris macam  mana pulak? Semuanya tak mahu, jadi babah rasa Kris calon yang paling sesuai untuk uruskan ladang tu!”
“Hah?” Kris tersentak. Tiba-tiba sahaja namanya dipetik. Tak sangka langsung!
“Ya, babah rasa Kris elok dihantar ke sana. Cari pengalaman kerja!”
“Kris? Kena jaga ladang?”  dia tunjuk diri sendiri.
“Ya, bila lagi nak cari knowledge dan timba pengalaman!” balas Kameel dengan senyuman mekar. Dia sudah jumpa calon yang paling sesuai walaupun sebenarnya tidaklah sesesuai mana. Tetapi, untuk permulaan ini, ada bagusnya Kris didedahkan dengan salah satu cabang perniagaan yang sedang diusahakan!
“No.. no.. itu bukan pilihan yang tepat!” dengan pantas, dia menggeleng di dalam senyuman senget. Enggan dihantar ke bumi asing yang cukup tidak digemarinya. Tambah-tambah, kawasan ladang ternak seperti itu! Mahu hitam kulitnya yang putih mulus.
“Babah tahu kamu semua tak mahu uruskan perniagaan keluarga, tapi babah dah tak ada sesiapa lagi. Yang ada hanya kamu, takkan babah nak suruh Sarah yang uruskan. Tak sesuai untuk Sarah! Dia perempuan, takkan babah nak bebankan urusan ladang kepada dia pulak!”
“Bah.. Kris bukan nak tolak ke apa... tapi agak-agaklah bah! Dekat situ, apa pun tak ada! Line internet pun slow, shopping complex tak pernah wujud! Sunyi dan macam-macam apa lagi bah! Mati kutu kalau Kris ke sana! Hutan belantara.. silap-silap harimau pun ada!”
“Jangan nak mengarut.. Mambang Diawan tu bukannya hutan rimba. Tak adanya harimau bermastautin dekat situ! Kalau betul pun ada harimau, hanya harimau buta saja yang sesat ke pekan kecil!” cantas Kameel memperbetulkan kenyataan si anak. Ada ke patut, pekan kecil itu disamakan dengan hutan rimba. Tak masuk akal langsung!
 “Yelah.. Kris salah!” akui Kris yang tersalah berbicara.
“Ha.. kamu ke sana ya! Minggu depan bertolak!”
No.. Apa kata babah suruh je along yang pergi! Dia anak sulung!” Kris memberi cadangan namun dengan pantas Khusyairi membalas.
“Along dah ada kerja tetap! Siapa yang tak ada kerja, pemalas, tak berdisiplin dan tak ada usaha untuk maju harus dihantar ke sana. Biar merasa hidup susah! Asyik bergantung harap dengan orang lain saja.” Khusyairi sempat menempelak dan dengan tiba-tiba Khairyl menyambut kenyataan itu dengan senyuman mengejek.
“Kau je lah yang pergi Kris! Dekat sini pun, kau tetap tak berubah! Pemalas, dan tak ada ciri-ciri nak maju! Harapkan muka je yang lebih, otak zero, skill langsung tak ada! Tak berubah langsung!” Khairyl pula menyampuk. Sempat lagi mempersenda dan memperkecilkan kredibiliti si adik!
“Along.. angah..... perlu ke mention semua tu? Tak perlu rasanya, kita ni bukan selalunya perfect, bukan selalunya di atas! Jangan terbang tinggi sangat, kalau jatuh sakit, boleh patah riuk dibuatnya!” Khair beri kiasan sinis. Namun dalam pada dia berkias, ada nasihat dan peringatan yang cuba disampaikan.
“Memang perlu! Kalau tidak, Kris tak pernah mahu berubah! Itu saja cara yang kita ada untuk ajar si pemalas ni supaya ubah sikap dan perbaiki tingkah-laku.” hambur Khusyairi garang.
“Aku sokong.. sampai bila ibu dan babah nak suap semuanya? Diberi itu ini, disediakan segala-galanya. Sampai bila lagi?” Khairyl menyoal sambil menyorot pandangan ke arah ibu dan babah mereka.
“Kalau kita tak paksa dia, sampai bila-bila pun perangai dia akan tetap begini! Tak boleh dibentuk lagi!” tokok Khairyl pula.
“Cukup...  babah panggil untuk berbincang bukan bergaduh atau perli memerli! Kalau nak bergaduh, pergi masuk ke gelanggang. Gusti sampai pengsan, jangan serabutkan kepala babah!” Potong Kameel bersama gelengan kecil.
Setiap kali diajak bermusyawarah, pasti ini yang akan terjadi. Susah benar untuk menyatukan anak-anak bujangnya.
“Ha Kris.. setuju tak? Minggu depan kamu ke sana!”
            “Kalau babah rasa mahu business babah lingkup, pilihlah Kris yang tak berdisiplin dan pemalas ni ke sana! Dialu-alukan!” Ujar Kris lantas bangkit meninggalkan ruang yang hangat dengan perdebatan. Menyampah sungguh!
“Kurang ajar!” Tukas Khusyairi geramkan perangai Kris!
“Entah apa nak jadi, dah tua bangka asyik mengharapkap mak bapak lagi!” Selar Khairyl pula.
“Ah, suka hati akulah! Kau orang macamlah bagus sangat! Kalau babah tak tolong, sama je level dengan aku!” Balas Kris berterus terang, biar mereka semua sedar di mana kedudukan mereka tanpa bantuan mak bapak! Sama saja dengan dia yang tak ada apa-apa ni!
“Biadab!” Jerkah Khusyairi segera bangkit dari sofa.
“Kau pun apa kurangnya!” balas Kris selamba. Terdongak kepalanya saat menghambur kata-kata. Marah benar pada si abang yang bajet bagus.
“Hish, ada juga yang kena terajang kejap lagi!”
“Sekali kau terajang aku, seratus kali aku terajang kau balik!”
Sahut Kris yang sudah sampai ke muka pintu. Kameel yang tidak senang segera menyampuk. Tak elok membiarkan anak-anaknya bertelagah sebegini.
“Kris.. kalau tak melawan tak boleh ke? Hormat sikit dengan yang lebih tua.” Marah Kameel apabila melihat ada sahaja yang Kris jawab. Langsung tak hormatkan abang-abang yang lebih berusia daripadanya.
“Kris juga yang salah?” soal Kris seraya berpaling ke balakang dan memandang babahnya.
“Memanglah!” sahut Khusyairi bersama wajah menjengkelkan.
See.. perangai anak babah pun lebih kurang sama! Tak layak dapat penghormatan Kris. kalau dia hormat Kris… don’t worry, i will do the same thing! Seikhlas hati, tanpa paksaan!” ujar Kris menekan ayat dibarisan terakhir itu.
“Kris…” Kameel cuba meredakan ketegangan yang sedang berlaku.
“Sebelum mereka menyalahkan orang, ada baiknya cermin diri tu sendiri! Diri sendiri pun banyak lopak sana sini. Kambus bagi rata, bila dah rata baru sibuk kambus lopak orang lain pulak!” Tukas Kris lalu meneruskan langkahnya.
“Kris!” Kameel memanggil anak bongsunya namun Kris yang sudah panas hati terus sahaja melangkah dan berlalu keluar hingga Sarah yang baru tiba langsung tidak di sapa.
“Nak kemana?” aju Sarah ringkas.
“Kemana-manalah!” Sahut Kris acuh tak acuh!
“Sombong, elok sangatlah perangai tu!” Herdik Sarah yang baru pulang dari kerja.
“Suka hati oranglah, tak payah busy body!” Sembur Kris bersama jelingan tajam. Sejurus itu dia terus sahaja berlalu. Puas hatinya dapat menjawab herdikan dari Sarah dan dari mereka-mereka semua! Selama ini, dia senyap bukanlah bermakna dia bisu! Cuma dia masih ada sisa hormat, tapi hari ini sisa-sisa semuanya sudah dicuci bersih! Habis tak tinggal apa!
“Ah, Kris.... semua orang tak habis-habis kondem kau!” suara hati sudah mula bersoal jawab namun Kris tiada jawapan untuk semua itu.
“Pergilah ke sana Kris... berhijrah! Mana tahu, di sana kau lebih dihargai dan disayangi. Hijrah itu perlu andai sudah tiada apa-apa yang tinggal di tempat asal usulmu!”
“Hijrah?” Kris menyoal diri sendiri.
“Ya, hijrah!” sahut suara dari hati yang paling dalam.
“Perlu ke?”
“Sudah tentu perlu. Jika kau di sini, aku khuatir kau akan lebih derhaka!”
“Baiklah, aku akan berhijrah!” Kris tanamkan azam dalam diri. Dia perlu jauh, andai jauh itu bakal mendekatkan bahagia dengan dirinya. Orang kata, yang jauh akan berbau wangi tetapi jika dekat dan berada di depan mata, pasti busuk dan ada sahaja yang tidak kena