BAB 3
“SUFI, boleh tak tolong
pergi jumpa klien Kak Rina ni?” Arah Puan Marina kepada Sufiyya.
Aduhh, keluh Sufiyya di dalam hati. Semakin hari, semakin kerap pula Kak Rina
mengarahkan aku untuk berjumpa dengan kliennya. Padahal, itu bukanlah
sebahagian daripada tugas-tugas Sufiyya. Dia bungkam. Di dalam hatinya masih merungut-rungut sendirian.
Sufiyya
hanyalah pembantu peribadi Puan Marina yang berjawatan Pengurus Unit di sebuah
syarikat insurans terkemuka negara. Gaji pun bukanlah sebesar mana walaupun dia
mempunyai segulung ijazah. Tugas hakiki Sufiyya adalah membantu urusan-urusan dokumentasi
antara pejabat cawangan dengan ibu pejabat di Kuala Lumpur, dan bukannya pergi
bertemu dengan klien-klien Puan Marina.
Dengan
langkah longlai Sufiyya menghampiri meja Puan Marina yang terletak bersebelahan
dengan mejanya. Puan Marina
sedang membelek-belek kertas sambil membebel sendirian.
“Klien
ni, tandatangan dia susah sangat nak tiru, Sufi. Dia kena sign borang revival ni,
kalau tak, polisi dia lapsed nanti.
Kalau sign dia senang, Kak Rina boleh
tiru aje, tak payah susah-susah jumpa dia.” Puan Marina menghulurkan borang
tersebut kepada Sufiyya. Borang yang berada di tangan, diperhati
sedalam-dalamnya oleh Sufiyya. Hanya nombor polisi yang ditulis oleh Puan
Marina.
“Nanti
Kak Rina call dia untuk buat appointment. Sufi tolong pergi jumpa
dia, boleh?” Puan Marina mendongak memandangku yang sedang berdiri di
sebelahnya. Hmm, apa pilihan yang aku ada Kak Rina oii... Antara ikhlas dengan
tidak Sufiyya mengangguk.
“Dia ni, kat mana Kak Rina?” tanya
Sufiyya dalam keadaaan terpaksa.
“Dia kat Petronas, kat Gebeng.” What?
Hampir saja suara Sufiyya terlantun keluar mendengar tempat yang disebutkan itu.
Agak jauh dari pejabat yang terletak di tengah-tengah pusat bandar.
Sufiyya hanya memerhatikan Puan Marina
membelek-belek telefon Blackberry miliknya. Mungkin sedang mencari nombor
telefon klien tersebut. Sufiyya kembali ke tempatnya bersama borang di tangan.
“Helo
Riz, apa khabar?” Kedengaran suara Kak Rina mesra menyapa kliennya. Aduhh,
lelaki ke? Hati Sufiyya merintih lagi. Matilah aku kalau Khairy tahu, monolog
Sufiyya berterusan mengenangkan lelaki yang baru saja tiga bulan menjadi tunangannya.
Hati Sufiyya mulai berbolak-balik. Bimbang
Khairy akan berfikir yang tidak-tidak. Bukan Sufiyya tak tahu dengan sikap
cemburu Khairy yang semakin menjadi-jadi selepas mereka bertunang. Semasa di
alam percintaan tidaklah seteruk sekarang.
Perbualan
Puan Marina dengan kliennya sudah tidak
Sufiyya hiraukan. Hatinya sedang sibuk
berbicara sendiri sambil berharap agar Puan Marina membatalkan arahannya
sebentar tadi.
Sedang Sufiyya memerhatikan surat lampiran
daripada ibu pejabat yang dikepilkan bersama borang revival, matanya tertancap kepada nama yang tertera. Muhammad
Mukhriz bin Sulaiman. Sufiyya cuba mengingat sesuatu. Klien ini belum pernah
culas membayar premium kerana dia membuat potongan gaji melalui bank. Kenapa
pula boleh tertunggak selama tiga bulan?
Pantas
Sufiyya membuka sistem untuk melihat status pembayaran klien itu. Setelah
memasukkan nombor polisi, tertera maklumat klien pada skrin komputer. Berusia
35 tahun dan telah berkahwin.
Eh, kenapa tiada nama untuk pewaris? Biasanya orang yang telah berkahwin akan
mewariskan polisi kepada isteri atau pun anak. Sempat Sufiyya meneliti maklumat
lelaki itu. Kemudian dia
meneliti pula maklumat pembayaran premiumnya. Ya, tertunggak kerana status autodebit yang tertera, failed.
“Sufi,”
panggil Puan Marina setelah dia menamatkan panggilan telefonnya. Sufiyya berpaling ke arah Puan Marina.
“Nasib
baik, tak payah ke Gebeng. Petang ni
dia ke Megamall sebab dia ada latihan boling. Tapi, Kak Rina memang tak sempat
nak jumpa dia sebab dah lambat nak
hantar anak tuisyen pulak ni. Sufi pergi jumpa dia kejap, ya?” Untung juga
pejabat ini letaknya berhampiran dengan Megamall.
“Pukul
berapa nak jumpa tu?” tanya Sufiyya inginkan kepastian.
“Kak
Rina forward nombor telefon dia,
nanti Sufi call dia sebelum Sufi
balik, boleh?” Sufiyya hanya membalas dengan anggukan lemah.
“Jangan
lupa, minta bayaran premium daripada dia, ya. Kak Rina dah beritahu tadi, dia
kena bayar sehingga bulan terkini dan sampaikan salam Kak Rina kepada dia, ya?”
Sufiyya mengangguk lagi sambil berdoa di dalam hati agar klien ini tak jadi
datang.
“Kak Rina pergi dulu ya Sufi. Jangan lupa
tau, jumpa dia.” Sufiyya hanya memerhatikan Puan Marina tergesa-gesa
meninggalkan pejabat. Dah lewat sangatlah agaknya tu. Sufiyya kembali meneliti
skrin komputer.
“Hai,
bos dah balik pun moyok ke?” Teguran Fakizah yang sedang melintasi meja untuk
ke tandas, meleraikan lamunan Sufiyya.
“Dia balik pun, tak senang juga. Nak kena
jumpa klien dia pulak petang ni,” adu Sufiyya kepada Fakizah.
“Hmm,
nasib baik bos aku tak pernah nak suruh aku buat kerja luar. Kalau tak, aku pun
jadi macam kau. Moyok memanjang,” balas Fakizah sambil tertawa kecil. Ya, dia
beruntung kerana mendapat Pengurus Unit yang memahami skop kerja sebenar
seorang pembantu peribadi yang tugasnya hanya di pejabat.
“Aku bukannya apa, takut juga kalau-kalau
Khairy bising. Sudahlah di luar waktu pejabat, jumpa lelaki pulak tu. Marah
cemburu satu hal, marah kerja lebih masa secara percuma satu hal. Yang sini bos, yang sana tunang. Dua-dua
nak kena jaga,” rungut Sufiyya lagi.
“Lain
kali cakap aje dekat Kak Rina, ada hal. Lainlah kalau dalam waktu pejabat.
Siapa tak marah, nak suruh kerja luar, kerja lebih masa sampai malam, tapi tak
pernah nak bayar claim dengan overtime.” Sufiyya mengangguk lemah usai
cadangan Fakizah itu.
Sufiyya
menanti detik tibanya jam 5.30 petang dengan perasaan yang bercampur-baur.
Berat benar rasa hati kali ini. Kenapa ya? Sebelum ini, pernah juga dia bertemu
dengan klien lelaki tapi tak adalah berperasaan sebegini. Macam ada yang tak
kena saja. Janganlah ada perkara buruk berlaku ke atasku, doa Sufiyya di dalam
hati. Dia menyibukkan diri dengan mengemas meja dan menyediakan dokumen untuk
ditandatangani oleh klien ini.
Tepat
jam 5.30 petang, seperti yang dijanji, Sufiyya menunggu klien itu di kopitiam
berhampiran pejabat. Setelah sepuluh minit menunggu, Sufiyya dihampiri oleh
seorang lelaki.
“Sufiyya,
kan?” tanya lelaki itu. Suffiya mendongak. Wow, maskulin betul. Kalau Sophea
tengok, tentu tak berkelip matanya, bisik Sufiyya lagi merujuk kepada adiknya.
Bukan dia tak tahu selera adiknya itu yang gemar mencuci mata melihat lelaki
bertubuh tegap dan tinggi.
“Ya
saya. Err, Encik Mukhriz ke?” tanya Sufiyya kembali sambil memerhatikan lelaki
itu yang sedang tersenyum dan melabuhkan punggung di hadapannya.
“Nasib
baik tak salah orang. Panggil saya Riz aje.” Sufiyya mengangguk ketika Mukhriz
melambai tangan ke arah pelayan.
“Panggil
saya Sufi aje,” arah Sufiyya pula dibalas senyuman Mukhriz.
Untuk
seketika Sufiyya membiarkan Mukhriz membuat pesanan untuk dirinya. Sufiyya
sendiri telah pun menghabiskan satu set roti bakar. White coffee yang dipesan tadi masih lagi bersisa.
“Berapa
bulan ya outstanding?” tanya Mukhriz
setelah pesanannya tiba.
“Tiga
bulan.” Sufiyya membalas ringkas.
“Jadi
saya kena bayar penuh ke?”
“Ya,
sebab takut lapsed polisi Encik
Mukhriz kalau tak bayar penuh.” Terang Sufiyya lagi.
“Err,
Riz, please.” Suara Mukhriz tegas.
Mungkin tidak selesa berencik-encik begitu.
“Err,
maaf. Riz.” Sufiyya menyebut
nama panggilan itu. Lalu terukir senyuman di wajah Mukhriz.
“Sebenarnya
macam ni, saya nak stop polisi ni
sebab saya dah ada insurans nyawa syarikat. Boleh ke nak stop? Awak rasa Kak Rina setuju ke?” Sufiyya menelan liur. Kenapa
tak tanya dengan Kak Rina, pertanyaan yang hanya terluah di dalam hati Sufiyya.
Sudah tentulah Puan Marina tak setuju kerana ini akan menjejaskan komisyennya.
“Saya
rasa boleh.” Kalau Kak Rina tahu, begini jawapan yang diberikan kepada
kliennya, mati aku.
“Tapi,
awak kena fikir, berapa banyak yang awak rugi kalau awak stop. Lagi pun, polisi yang syarikat tu, kalau awak berhenti kerja,
awak tak akan dapat apa-apa. Sedangkan yang ini, akan berterusan dan awak akan
dapat hasil daripada akaun pelaburan awak tu. Belum lagi kira duit poket yang
awak dapat kalau awak masuk hospital.” Selamba saja Sufiyya menggunakan perkataan
awak, macam dah lama kenal lagaknya.
“Iya
juga eh? Saya dah bayar polisi ni, lebih dua tahun dah rasanya. Darab dengan RM200 saya bayar tiap-tiap
bulan, dah berapa kat situ?” Mukhriz mencongak-congak sendirian.
Hmm, berjaya juga aku menyelamatkan satu
akaun Kak Rina, Sufiyya tersenyum di dalam hati sambil memerhatikan Mukhriz yang sedang terkumat-kamit
mengira. Ah, kenapa aku risaukan akaun klien Kak Rina, sedangkan dia semakin
kaya tapi kebajikan aku langsung tidak dijaganya, satu suara berbisik ke
telinga Sufiyya. Isy, tapi Kak Rina baik, cuma dia agak berkira, satu suara
lagi menekan suara yang pertama tadi.
“Eh,
tak jadilah stop kalau macam tu.”
Sufiyya bagaikan tersedar daripada mimpi, lalu mengukir senyum. Ternyata
Mukhriz termakan psikologi yang dimainkannya.
“Kalau macam tu, awak sign kat
sini. Bayaran premium tiga
bulan, ya?” Sufiyya segera menghulurkan borang revival untuk ditandatangani bagi menghidupkan kembali polisinya.
“Amboi, laju aje mintak duit.” Mereka berdua tertawa. Orang-orang
syarikat insurans memang mata duitan, hati Mukhriz berbicara sendiri.
“Err,
kenapa awak tak letak beneficiary? Kena letak tau.” Busy body pula Sufiyya kali ini.
“Memang nak letak penama, tapi nantilah. Saya
belum terfikir nak letak nama siapa.” Ramai benar senarai pewarisnya, letak
nama aku boleh juga, hahaha... Sufiyya bermonolog lagi.
“Eh,
saya dah lambat ni, ada latihan boling. Ada apa-apa lagi tak?” tanya Mukhriz
sambil mengeluarkan sejumlah wang lalu dihulurkan kepada Sufiyya.
“Tak
ada apa-apa dah. Resit nanti
awak minta pada Kak Rina, ya?” Mukhriz mengangguk dan bingkas berdiri.
“Minggu depan ada tournament boling, datanglah tengok. Tapi kalau saya kalah jangan
gelakkan saya pulak, ya.” Mukhriz tersenyum. Sufiyya tertawa sambil memerhati.
Senyuman Mukhriz cukup menawan. Pandangan matanya menenangkan jiwa.
Sufi, tak ingatkah kau pada status diri? Dia
pula telah beristeri. Satu suara mengingatkan. Spontan, Sufiyya termalu
sendiri.
“Insya-Allah,” balas Sufiyya ringkas
sambil memerhatikan Mukhriz menuju ke kaunter pembayaran.
“Saya dah bayarkan. Sebagai balasan, kena
datang tengok saya main boling minggu depan,” ujar Mukhriz ketika melintasi
meja yang mereka duduki. Aik? Minta balasanlah pulak dia. Huh, tak ikhlas.
Sufiyya memandang sehinggalah kelibat
Mukhriz hilang ketika dia melintas jalan menuju ke Megamall. Sufiyya tersenyum
lagi. Ah, itu hanyalah gurauan nakal seorang lelaki.
No comments:
Post a Comment