Showing posts with label DILLA AHMAD. Show all posts
Showing posts with label DILLA AHMAD. Show all posts

Monday, 17 July 2017

BUKAN KEMAHUAN FIKIRAN KARYA DILLA AHMAD

Bab 1 

  SUASANA ruang tamu mewah Tengku Shah Putra sudah mula dipenuhi saudara-mara serta tok 
kadi ketika mereka sedang mencari tempat masing-masing untuk turut serta menyaksikan majlis akad nikah yang akan bermula sebentar lagi. Kemudian mata  memandang ke arah anaknya, Tengku Hadif yang sudah duduk bersila di hadapan tok kadi. Bersedia untuk akad nikah. Cuma menunggu pengantin perempuan saja memunculkan diri.
Baju Melayu putih satin milik abangnya, Tengku Zarif yang tersarung di tubuh direnung. Keluhan perlahan dilepaskan. Kenapa semua ini boleh berlaku kepadanya? Kenapa dia tak membantah saja permintaan yang entah apaapa ni?
Bila mukanya diangkat, mata tua tok abah sedang memerhatikannya. Bibir tua itu kemudian mengorak senyuman segaris dan kepala dianggukkan, bagai mengatakan ‘segalanya akan baik-baik saja’. Dia menghela nafas lagi. Apa yang dia buat sekarang ini adalah sebab datuknya itu. Kalau Ayah Ku yang suruh, memang tidaklah dia nak ikut.
“Tok abah tak pernah meminta apa-apa dari cucu tok abah ni. Cuma kali ini aje, Hadif. Tok abah minta tangan Hadif untuk menikahi Nurul Ain. Tok abah tahu tentu Hadif rasa marah dan tak suka dengan cara tok abah dan Ayah Ku. Tapi cuma cara ini aje yang boleh selamatkan maruah Ain.”
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata tok abah di telinganya sejak tadi. Dia juga masih tidak lupa bila Ayah Ku menghubunginya semalam dan menyuruhnya segera pulang. Sangkanya tok abah tidak sihat. Lalu, tanpa bertanya apa masalahnya, dia segera membeli tiket bas dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Malas nak memandu jauh. Badannya penat sangat.
Tapi sampai saja dia memasakkan kaki di hadapan pintu pagar, dia lihat tok abah masih boleh menyiram pokok dan mengarahkan Pak Kudin membersihkan halaman rumah serta menyusun pasu bunga. Pelik sungguh dia.
Bila tok abah ternampak saja dia, segera tubuh tua yang berjalan dengan menggunakan tongkat itu mendekati lalu memeluknya erat. Ya. Dia juga rindu sangat pada datuk sebelah arwah mamanya ini. Sayang tok abah kepada Tengku Hadif lebih daripada Tengku Zarif dan menantunya sendiri, Tengku Shah Putra. Anak ini memang nakal dan liar dulu. Tapi dengan tok abah, Tengku Hadif selalu mendengar katakatanya.
“Tok abah bukan nak paksa Hadif terima Ain. Tapi tok abah rasa ini saja pilihan yang kami ada. Tolong jangan salahkan Ain dalam hal ni, Hadif. Dia tak salah apa-apa pun. Tok abah harap kamu terimalah dia sebagai isteri kamu. Walaupun sepatutnya Zarif yang jadi suami dia. Tapi abang kamu tu dah melarikan diri. Tok abah cuma nak Hadif gantikan Zarif. Entah ke mana dia pergi, kami pun tak tahu. Dia cuma tinggalkan nota aje. Dia cakap dia tak ada hati nak nikah dengan Ain. Yang kami marah sangat, kenapa sebelum ni dia langsung tak membantah bila kami nak jodohkan dia dengan Ain?” tanya tok abah, seolah-olah bertanya pada diri sendiri.
Panjang lebar tok abah dan Ayah Ku menjelaskan kedudukan sebenar semalam. Tengku Hadif menghela nafas. Bukan dia tak mahu menggantikan tempat Tengku Zarif. Tapi mampukah dia? Bolehkah dia meletakkan dirinya sebagai suami Ain, adik sepupunya itu? Dia yang sudah dihalau oleh Ayah Ku sebab perangai mengalahkan ketua ahli kongsi gelap!
Empat tahun dirinya tercampak jauh dari kehidupan mewahnya. Kesenangan yang dulu dinikmati sudah jauh ditinggalkan. Tidak ada kereta mewah, rumah besar atau kad kredit yang berkeping-keping itu. Semuanya sudah ditarik Ayah Ku. Gara-gara dia hampir menikam seorang lelaki yang berketurunan Tengku juga di dalam sebuah kelab malam. Hanya disebabkan seorang perempuan? GRO pulak tu!
Wajah tua tok abah dipandang lagi. Hati tiba-tiba terasa sayu. Entah bila dia merasakan perasaan begini, dia tidak tahu. Dia bukan macam ni dulu. Dia, Tengku Hadif Shah, tak suka mengikut perintah orang. Dia lebih suka ikut kepala sendiri dan buat hal sendiri. Ke mana perginya Tengku Hadif yang berhati kering itu?
Bunyi suara-suara di belakangnya buat dia mengangkat muka sedikit dan menoleh. Mata sudah terpandangkan kelibat seorang gadis menuruni tangga bersama mak sunya atau bakal emak mentuanya sebentar lagi. Pertama kali matanya memandang wajah Ain, otaknya terus mengatakan, ‘lawa jugak budak ni bila dah besar!’
Nurul Ain, anak perempuan mak sunya. Kalau nak diikutkan mereka berdua bukanlah sepupu sangat pun. Mak sunya itu adalah anak angkat tok abah. Tok abah tak punya ramai anak. Cuma mamanya itu sajalah satu-satunya anak tok abah. Kemudian tok manya mahukan seorang anak lagi sebab dengarnya, tok ma tak boleh mengandung lagi.
Jadi, tok abah mengambil seorang anak angkat dari sebuah keluarga yang susah. Tok abah dan tok ma menjaga mak su macam anak sendiri. Apa yang mamanya ada, mak sunya pun mesti ada. Sama rata. Tak ada pilih kasih. Tok ma pun sayang sangat dengan mak su sebab mak su pandai jaga hati tok ma hinggalah tok ma sakit dan kemudian meninggal dunia.
Mata dijeling lagi ke arah Ain. Gadis itu hanya menundukkan muka sejak tadi. Nak jugak dia tahu apa yang bermain dalam fikiran gadis itu saat ini. Dulu masa kecil dia memang rapat dengan Ain. Kawan sepermainan dan selalu kena buli dengan dia dan Hadri, abang Ain. Kesian budak tu. Asyik menangis aje.
Tapi bila semakin dewasa, jarak dan waktu mula merubah kelakuan masing-masing. Dia buat hal sendiri dan mula berkawan dengan budak-budak yang sama kaya macam dia. Mentelah pula Ain sudah duduk di asrama dan Hadri pula belajar hingga ke luar negara. Dia dengan Tengku Zarif pula memang tak rapat. Kalau jumpa ada aje bahan nak cari gaduh hingga Ayah Ku pun pening kepala.
“Dah boleh mulakan?” Pertanyaan tok kadi yang duduk di hadapannya buat dia mengangkat kepala sedikit. Tengku Shah Putra dan yang lain semuanya mengangguk.
“Baiklah. Kalau semuanya dah bersedia, kita mulakanlah ya...” kata tok kadi lagi seraya tersenyum memandang Tengku Hadif. Tiada balasan daripada pihak dia. Cuma mata saja tunak memandang wajah tua tok kadi itu.
Kala akad nikah dilafazkan dengan tenang, maka terpatrilah kisah di antara Tengku Hadif dan Nurul Ain sebagai suami isteri. Dengan muka tanpa senyuman, tangan Ain diraih dan cincin perkahwinan disarungkan ke jari isterinya. Bulat saja mata itu memandangnya. Tak ada masa nak berbasa-basi dengan Ain. Upacara membatalkan air sembahyang pun tak ada. Tak ada kiss-kiss kat dahi atau apa. Dah sentuh jari Ain pun dah kira okeylah tu. Kemudian jarinya pula disarungkan dengan cincin oleh Ain. Cincin Tengku Zarif!
Walaupun dia tak suka dengan title suami ni, tapi itulah. Hendak tak hendak kena jugalah dia turutkan. Lagi pula bila Ayah Ku sudah berjanji dengan dia. Kalau dia sanggup menikahi Ain, Ayah Ku akan menyalurkan wang untuk meluaskan lagi ladang ternakannya. Kalau itu perjanjiannya, dia sedia menikahi Ain tanpa kompromi lagi.
Macam kisah drama dalam TV aje. Macam kena kahwin paksa pun ada. Hati dan perasaannya memang tak suka langsung dengan apa yang terjadi sekarang ni. Dia merasakan dirinya terikat dengan perempuan bernama Nurul Ain binti Shamsul Bahari ni.
Tanggungjawab suami pun dia tak tahu kecuali 
yang ‘satu’ itu. Tapi fikir balik, takkan dia terus nak tunaikan tanggungjawab yang ‘satu’ itu tanpa mengenali Ain? Dia pun kenalah fikir dan hormati perasaan Ain yang sudah berganti suami itu. Entah apa yang budak tu fikirkan tentang dia, dia tak ingin tahu. Dia pun tak peduli kut. Bukan dia yang hendak sangat berkahwin.
Dia bukan lelaki yang mengambil kesempatan pada orang perempuan. Lebih-lebih lagi Ain. Sepupunya yang masih mentah itu. Dengarnya baru sembilan belas tahun usianya. Dia pun dah tak ingat. Mana nak ingat. Bila dah besar masing-masing buat hal sendiri.
Wajah Ain yang menunduk itu direnung lagi. Otaknya kosong dan tak tahu apa yang hendak dikatakan tentang bakal isterinya ini. Dia rasakan Ain ni macam orang asing yang baru dikenali. Dia tak harap Ain akan menganggap dia sebagai suami sebab dia sendiri tak tahu sama ada dia boleh jadi suami yang bertanggungjawab kepada Ain atau tidak.
Dia hanya mahu hidup tenang dan menguruskan halnya sendiri tanpa sibuk nak fikirkan apa yang akan terjadi kepada dia dan Ain di kemudian hari nanti. Bukan sekarang. Sekarang banyak perkara yang perlu difikirkan.
Usai saja majlis akad nikah itu, tanpa berlengah lagi dia terus masuk ke bilik. Wajah Ayah Ku langsung dia tak pandang. Hati masih berdendam dengan lelaki itu sebab menghalau dia keluar dari rumah dulu.
Baru nak menanggalkan baju Melayu yang merimaskannya itu, pintu bilik dibuka dari luar. Dia menoleh dan mata terus memanah ke arah Ain. Mata Ain juga bulat memandangnya. Bibir yang dioles dengan gincu merah jambu itu macam takut-takut nak senyum kepadanya.
Tengku Hadif menyambung semula menanggalkan baju Melayunya. Di hadapan Ain dia membuka baju itu dengan muka bersahaja. Memang tak salah pun. Ainkan dah jadi isteri dia. Terpulanglah kepada Ain nak tengok atau tidak.
“Aku dah nak balik Kuantan sekejap lagi. Kalau kau nak ikut, siap-siaplah,” kata Tengku Hadif, mendatar saja. 
Bagai memberi kata dua kepada Ain. Yalah. Ain kan dah jadi isteri dia. Tapi dia tak akan paksa budak itu nak ikut dia atau tidak. Terpulang.
“Huh? Ain ingatkan Abang Hadif nak tidur semalam lagi kat rumah Ayah Ku ni... Errr... Baiklah. Ain kemaskan baju-baju Ain sekarang jugak!” balas Ain bila dah terpandangkan renungan tajam Tengku Hadif itu.
Setelah sekian lama tidak berjumpa, hari ini mereka dipertemukan dan disatukan. Jauh dalam sudut hati, dia bersyukur dengan apa yang terjadi dan berterima kasih kepada abang sepupunya itu kerana sudi mengambil dia sebagai isteri setelah ditinggalkan Tengku Zarif macam itu saja. Dia segan pada Tengku Hadif sebenarnya. Nak ucap terima kasih pun rasa lidahnya tidak mampu nak tuturkan.
Ain menoleh memandang abang sepupu yang sudah lama dia tak berjumpa itu. Tengku Hadif nampak lain dengan apa yang pernah dia ingat dulu. Kulit lelaki ini nampak gelap sedikit dan wajah serta rambut itu juga buat Tengku Hadif macam ahli ketua mafia aje. Nampak kasar dan ganas. Harap-harap suaminya ini bukan lelaki yang suka pukul perempuan. Ain dah pejam mata. Tak sanggup rasanya nak fikir lebih jauh tentang hala tuju hidupnya dengan Tengku Hadif nanti.
Kata Hadri, dia lebih suka kalau Tengku Hadif yang menjadi suami Ain. Bukan Tengku Zarif haprak itu. Mungkin abangnya lebih mengenali Tengku Hadif.
“Dia bukan macam apa yang kau fikirkan, Ain. Memang dia nampak kasar. Cakap pun tak pernah lembut atau bertapis. Tapi itulah Tengku Hadif,” kata abangnya tadi. Adakah ini dikatakan jodoh? Ain tidak tahu. Kalau ini yang Allah tentukan untuk dia, siapa dia nak menolaknya?
Segera dia mendekati beg pakaian yang dibawa ke rumah Ayah Ku ini. Ain merenung baju-baju itu. Mungkin cukup kalau nak dibawa ke Kuantan. Tengku Hadif pun tak memberitahu perancangannya. Nanti dia beritahu mamanya untuk membawa baju-bajunya lagi kalau mamanya datang ke Kuantan.
Gaya kelam-kabut Ain itu diperhatikan. Baju kebaya moden putih bermanik kecil-kecil dan bersulam indah yang tersarung ditubuh kecil molek Ain direnung. Bila Ain menoleh memandangnya, segera dia menyarungkan baju T putih ke tubuhnya.
“Aku tunggu kat luar,” kata Tengku Hadif setelah selesai saja menukar pakaiannya. Beg galasnya dicapai. Kaki terus menapak ke pintu.
“Ab... Abang Hadif!” panggil Ain tiba-tiba. Kepala Tengku Hadif segera menoleh.
“Ain nak mintak tolong kejap!” kata Ain, lembut dan perlahan. 
Kening Tengku Hadif berkerut sedikit. 
“Ain nak minta abang tolong tanggalkan sepit kat belakang selendang Ain ni. Boleh tak? Kalau tak boleh tak apalah...” Ain sudah menyengih. Perut memang kecut aje tiap kali bertentang mata hitam itu.
Sejak dulu lagi, dia memang takut dengan Tengku Hadif ini. Muka itu jarang nak manis dan bibir itu pun jarang nak senyum. Bukan hanya pada dia. Pada orang lain juga. Tengku Hadif ni tak macam abangnya, Tengku Zarif yang suka senyum itu. Tapi Tengku Zarif jugalah yang telah membatalkan pernikahan ini.
Buat beberapa ketika mata Tengku Hadif memandangnya tak berkelip. Mungkin terkejut dengan permintaan itu agaknya. Tapi bila tubuh tinggi dan tegap itu mula berpaling semula dan menapak ke arahnya, jantungnya pula dah mula berubah rentak.
Tengku Hadif berdiri tegak di hadapan Ain yang sudah menunduk itu. Perlahan tangannya naik dan mula menanggalkan setiap sepit rambut yang ada dirambut gadis itu. Tangan Ain cuma menadah saja menerima beberapa batang sepit yang diletakkan di atas tapak tangannya.
“Terima kasih, Abang Hadif...” ucap Ain perlahan. Mata naik memandang dagu Tengku Hadif yang berjambang halus itu. Dah kat situ aje takat ketinggiannya. Nak buat macam mana?
Tengku Hadif tidak membalas. Matanya saja menyoroti wajah yang mula berona bila ditenung lama. Dia merasakan ada getaran halus pada tangkai jantungnya. Dia menghela nafas perlahan.
“Aku tunggu kat luar. Aku bagi masa sepuluh minit untuk kau bersiap. Lambat, aku tinggalkan aje!” kata Tengku Hadif dengan muka kering.
Dia baru nak berpaling bila tangannya tiba-tiba ditangkap dari belakang. Tengku Hadif menoleh sekali lagi, merenung tepat ke wajah Ain yang segera melepaskan pegangannya itu.
“Errr... Ain... Ain nak ucapkan terima kasih pada Abang Hadif sebab dah selamatkan maruah Ain. Ain... Errr... Terima kasih, Abang Hadif...” Terasa macam nak luruh tangkai jantungnya bila mengatakannya. Bibir bawah dikemam. Otak dah tak tahu nak fikir apa lagi.
Mata lelaki itu nampak macam tersenyum saja merenungnya. Tapi wajah itu tetap kejung, ketat saja.
“Aku tunggu dekat bawah.” Itu saja yang Tengku 
Hadif katakan.
Kemudian tanpa menunggu kata-kata balas daripada Ain, dia terus keluar. Pintu bilik ditutup rapat. Tengku Hadif menghela nafas perlahan. Kaki dibawa ke tangga dan turun ke tingkat bawah.
Masih ada lagi rupa-rupanya tetamu di bahagian luar. Di ruang tamu masih ada lagi yang duduk berbual sambil menikmati juadah. Masing-masing dah pandang si pengantin yang sudah bertukar pakaian itu. Tengku Shah Putra juga menoleh kepada si anak yang sudah turun membawa beg galasnya.
“Kamu dah nak balik ke, Hadif?” tanya Tengku Shah Putra, kehairanan memandang si anak. 
“Ayak Ku ingatkan kamu nak tinggal dalam beberapa hari lagi kat sini? Tok abah pun tak sempat lagi nak 
habiskan masa dengan kamu.”
“Hadif kena balik hari ni, Ayah Ku. Pak Seman sorang-sorang yang uruskan ladang kambing tu. Lagipun, kami banyak kerja nak buat lagi ni. Hadif nak kena siapkan kandang baru sebelum kambing-kambing yang Hadif pesan tu datang minggu depan,” terang Tengku Hadif, memandang ayahnya itu.
Tengku Shah Putra hanya mampu mengangguk. Si anak dah nak balik takkan nak paksa. Lagipun dia tahu sangat dengan perangai Tengku Hadif itu. Cakap apa pun dia tak akan dengar kalau dah buat keputusan.
“Kalau kamu perlukan orang, Ayah Ku boleh carikan. Sempat ke siap kandang tu?” tanya Ayah Ku lagi. Cuba nak berbaik dengan anak bongsunya itu semula. Dia tahu hati Tengku Hadif masih marahkan dia.
“Sempat. Tinggal sikit aje lagi nak buat,” jawab 
Tengku Hadif, bersahaja. Tanpa memandang wajah Ayah Kunya. Mata hanya memandang keluar saja.
“Dah beritahu Ain?” tanya tok abah pula, mendekati cucunya itu.
“Dah, tok abah. Dia tengah bersiap tu,” balas Tengku Hadif lagi. Tok abah mengangguk dan memegang lengan kekar cucunya itu.
“Jaga diri kamu dan Ain baik-baik, Hadif. Ada masa... Kalau umur tok abah masih panjang, sampailah tok abah ke sana. Tok abah teringin sangat nak tengok ladang kambing kamu. Tapi...”
“Tok abah datanglah bila ada masa. Nanti Hadif bawa tok abah melawat ladang kambing Hadif tu,” balas Tengku Hadif, perlahan. Tubuh tua itu dipeluk kemas-kemas.
Ain kelam-kabut turun ke tingkat bawah. Tengku Hadif menoleh melihat Ain yang sudah bertukar pakaian itu. Seluar jean dan baju T. Rambut yang bersanggul tadi sudah diikat satu. Muka itu juga sudah bersih dari sebarang solekan.
 “Lina! Samsul! Anak-anak dah nak pergi ni!” panggil tok abah, memanggil Puan Maslina dan Encik Samsul yang sedang sibuk melayan para tetamu di bawah kanopi.
Terkocoh-kocoh si anak dan menantunya mendekati. Mereka dah saling berpandangan apabila melihat Ain sudah bertukar pakaiannya. Begitu juga Tengku Hadif.
“Ain dah nak pergi ni, ma. Ain ikut Abang Hadif balik Kuantan. Ada masa nanti mama datang, ya?” Ain terus memeluk mama, papa dan Abang Hadrinya.
Hadri memandang Tengku Hadif. Tubuh tegap itu 
dipeluk dan menepuk sekali belakang sepupunya itu. Lelaki ini dulu sangat rapat dengan dia. Tapi mungkin sebab salah pilih kawan, Tengku Hadif mula merenggang dari dia.
“Jaga diri baik-baik. Hadif, tolong mak su tengoktengokkan Ain ya, sayang?” pinta Puan Maslina ketika memandangnya.
Tengku Hadif mengangguk sekali saja. Muka langsung tak senyum sejak datang semalam. Entah suka atau tidak anak itu menikahi anaknya Ain, Puan Maslina tak tahu. Cuma dia berharap sangat Ain tidak disia-siakan oleh Tengku Hadif nanti. 

Wednesday, 11 November 2015

HANYA KAMU JOHANNA KARYA DILLA AHMAD

BAB 3



 J ohanna terus ketawa geli hati apabila melihat wajah Mak Mah yang nampak sungguh terkejut itu. Terus dipeluk bahu Mak Mah. Kesian, Mak Mah. Pucat sungguh muka orang tua itu! 

“Saya bergurau ajelah, Mak Mah,” katanya sambil tergelak kecil. 

Mak Mah terus memukul lengan Johanna kemudian dia berlalu ke dapur. Kepala digeleng perlahan. Betullah si Johanna ni. Buat dia terkejut saja. Seram juga Mak Mah tengok muka Tuan Syed Harraz merenung Johanna. Johanna... Johanna… 

“Very funny…” Suara Syed Harraz yang garau dan dalam itu membuatkan Johanna berhenti ketawa. Dia berdehem perlahan lalu memandang wajah mamat jambang itu semula. “Awak buat masalah ke kat rumah akhlak tu?” tanya Syed Harraz. Johanna pula hanya diam sahaja. 

“Kenapa tak jawab? Saya tanya ni.” Mata Syed Harraz bulat memandang Johanna. 

“Gua bergaduh… Pukul orang. Lepas tu umi hantar wa ke sini suruh tolong Mak Mah selama satu bulan atau lebih sebulan. Terletak kat tangan lu…” terang Johanna bersahaja. 

“Gua?” Kening Syed Harraz sudah terjongket sebelah. Tak sangka budak Gothic itu boleh berbahasa begitu dengannya. 

“Saya memang minta Umi Zakiah carikan seseorang yang boleh membantu Mak Mah sebab dia dah tua nak buat kerja berat. Tak sangka umi hantar budak Gothic.” Syed Harraz tersenyum sinis memandang Johanna. 

“Gua bukan budak Gothic. Gua rock!” Mendatar saja Johanna menjawab. Gothic dengan rock pun tak tahu nak bezakan. Huh! 

“Saya nak awak tolong Mak Mah buat kerja di tingkat atas,” arah Syed Harraz tanpa mempedulikan apa bezanya antara Gothic dan rock. Baginya tetap sama saja. “Bilik saya tu perlu dikemaskan setiap hari. Alas tilam tu kena tukar seminggu dua kali. Bilik air cuci setiap hari. Bersih atau tidak, kena cuci juga. Lepas tu, tolong sapu daun-daun kering dekat luar. Pagi dengan petang. Tugas awak bermula dari pukul lapan pagi sampai lima petang. Kalau saya tak balik lagi, tunggu saya. Tak kira saya balik lewat atau tidak. Saya nak tengok kerja awak,” terang Syed Harraz. 

Johanna hanya mengangguk mendengar arahan Syed Harraz. 

“Mak Mah!” panggil Syed Harraz agak kuat.

 “Ya, Tuan Harraz?”

 “Nanti Mak Mah suruh dia buat kerja dekat tingkat atas. Mak Mah tak payah nak naik turun lagi dah. Budak ni dah ada. Kalau dia tak buat kerja, beritahu saya.” Mata Syed Harraz merenung Johanna.

 Johanna ingatkan mamat jambang itu sudah selesai memberi segala arahan. Jadi dia nak berlalu dari situ. Malas nak tengok muka Tuan Harraz yang kerek dan poyo itu. Macam bagus aje! 

“Eh, nak ke mana pula tu? Saya belum habis lagi!” tempik Syed Harraz. Johanna berhenti melangkah kemudian memandang Syed Harraz semula. 

“Ada lagi ke? Gua ingat lu dah habis cakap, bro!” jawab Johanna selamba. 

“Bro? Awak tahu tak awak tengah bercakap dengan siapa?” tanya Syed Harraz. “Saya ni majikan awak. Tolong hormat sikit. Panggil saya tuan, faham? Tuan Harraz!” sambungnya lagi. 

“Hek eleh, sekarang ni bukan zaman jajahan, bro. Nak panggil tuan bagai. Kita kan dah merdeka. Lu dengan gua sama aje. Cuma, gua ni tak kaya. Lu pula orang kaya kerek!” balas Johanna berani. 

Syed Harraz seolah-olah terkaku di tempatnya. Dia tak sangka budak Gothic itu begitu berani bercakap. Kemudian dia tersenyum sinis. “Lu-gua... Tu bukan bahasa kita, sis. Gaya kau ni pun bukan gaya kita. Tak payahlah kau nak ajar aku pasal bab sejarah ni. Jajah atau tak, kau kena panggil aku ni Tuan Harraz sebab aku bos kau mulai saat ni,” balas Syed Harraz pula tak nak mengalah.

 “Apa-apa ajelah, bro,” balas Johanna. Malas dia nak bertekak dengan mamat bajet bagus ni. “Ada apa-apa lagi yang lu nak sambung, Tuan Harraz?” tanya Johanna, sinis. Syed Harraz sudah menjeling tajam. 

“Ada. Come, follow me.” Syed Harraz terus berdiri kemudian menggamit Johanna supaya mengikutnya. Tanpa berfikir panjang Johanna terus mengekori Syed Harraz. Mereka keluar dan berdiri di ruang depan. Syed Harraz sudah menunjukkan garaj keretanya. “Kau nampak kereta-kereta kat bawah tu?” Dia menoleh kepada Johanna yang sudah berdiri di sebelahnya. Gadis itu mengangguk. “Aku nak kau cuci ketiga-tiga kereta aku. Tapi, kereta yang warna perak tu tak payah cuci sebab aku nak guna. Kau cuci yang BMW dengan Audi tu dulu,” arah Syed Harraz lagi. 

“Weh, lu biar betul? Gua datang sini sebab nak tolong Mak Mah buat kerja rumah, faham? Bukan nak cuci kereta lu!” Johanna sudah bercekak pinggang sambil mendongak memandang Syed Harraz.

 “Itu juga termasuk dalam skop kerja kau sekarang. Faham tu, Cik Johanna?” tanya Syed Harraz dengan kening terangkat. 

“Fahamlah!” jawab Johanna keras. Hati sudah berdongkol geram. Mamat jambang ni memang dah lebih. Aku calar-calarkan juga kereta dia tu, baru tahu! omel Johanna dalam hati. 

“Jangan nak mengutuk aku dalam hati kau tu. Dan jangan terfikir pun nak calarkan kereta aku. Kalau aku nampak, jaga kau!” balas Syed Harraz.

 “Okey, bro!” Johanna terus angkat kaki kemudian masuk ke dalam semula. Dia meninggalkan Syed Harraz yang sudah tercengang. 

Budak ni memang langsung tak takut dengan dia. Kalau kat SAS Holdings, semua pekerja gerun dan hormatkan Tuan Syed Harraz. Tapi yang seorang ni… 

“I’m not your bro!” ucap Syed Harraz. Johanna sudah mengangkat tangan dan berlalu begitu saja tanpa meminta izin. Merengus keras Syed Harraz melihat kelakuan budak perempuan Gothic itu. Kemudian Syed Harraz masuk ke dalam semula. Dia melihat Mak Mah mula hendak mengemas meja makan. “Mak Mah, saya pergi dulu. Suruh aje dia buat kerja. Budak ni dari rumah akhlak. Jadi kita kena bentuk akhlak dia ni jadi elok sikit. Beritahu dia bilik kerja saya jangan berani-berani nak masuk. Saya tak akan ulang lagi apa yang saya cakap ni,” kata Syed Harraz sambil mencapai beg dan baju kotnya. Muka pula masam semacam. Hai, nampaknya di dalam rumah ni sudah tambah seorang lagi kepala batu. Bukan kepala batu. Tapi kepala biul! Rasa macam semakin meriah saja rumah besar ini nanti. 

Mak Mah sudah tersenyum. Johanna mula melakukan tugasnya pada hari pertama. Pagipagi lagi dia sudah buat senaman tak standard ni. Menyapu! Halaman rumah Tuan Syed Harraz ini memang luas macam padang bola. Tapi yang ada hanya gelanggang bola keranjang. Agaknya mamat jambang itu suka main bola keranjang. Ni, petang-petang boleh main basketball memang best, bisik Johanna ketika berdiri memandang jaring yang tergantung. Okey, besok aku bawa bola. Takkan mamat jambang tu nak marah dia main bola keranjang kalau dah habis buat kerja, kan? Hampir tengah hari barulah Johanna masuk ke dalam rumah. Halaman sudah siap dia kerjakan. Kali ini dia bahu bersihkan bahagian atas pula. 

“Jo, makan dulu. Lepas tu baru sambung buat kerja,” ucap Mak Mah. Johanna tersenyum. Memang dia rasa lapar sejak tadi. Tapi sebab nak kena menghadap ‘anak raja Arab’ itu, niat lapar ditelan saja. Johanna terus mengambil pinggan dan menyenduk mihun goreng. Punggung dilabuhkan ke atas kerusi lalu dia mula menyuap makanan. Sedap sungguh masakan Mak Mah ni. Macam masakan arwah nenek dia. Mak Mah menuangkan secawan kopi untuk Johanna. 

“Terima kasih, Mak Mah,” ucapnya dengan mulut yang penuh. Selesai saja makan, dia mula nak menyambung kerja semula. “Mak Mah, bilik bos kat sebelah mana?” tanya Johanna sebelum keluar dari dapur. 

“Belah kanan, nombor dua. Kat tengah-tengah tingkat atas tu. Master bedroom,” beritahu Mak Mah. Johanna mengangguk. Dia melangkah mendaki tangga untuk ke tingkat atas. Rumah ini memang besar. Tapi yang tinggal hanya Tuan Syed Harraz dan Mak Mah sahaja. Kepala meneliti setiap ruang tingkat atas itu. Ada ruang tamu kedua yang agak kecil sedikit daripada ruang tamu tingkat bawah. Ruang santai menonton TV juga nampak  simple. Johanna melangkah ke sebuah bilik yang Mak Mah katakan. Pintu bilik dibuka dan mata Johanna terus terbuka luas. Pergh! Ini bilik mamat jambang tu? Besar gila. Kaki dibawa masuk ke bilik yang luas dan besar itu. Siap ada lampu candelier lagi. Sebuah katil saiz king terletak di tengah-tengah bilik itu. Ada night stand di kiri dan kanan katil itu. Ada almari pakaian yang besar dan berwarna putih. Ruang untuk menonton televisyen juga ada di situ. Kagum Johanna melihatnya. Dia ni hartawan atau jutawan? Sure bini ramai keliling pinggang ni. Bukan isteri… Ooopsss..

HANYA KAMU JOHANNA KARYA DILLA AHMAD

BAB 2





 Johanna berdiri tegak sambil memandang pagar yang tersergam di hadapannya kini. Ini ke rumah yang Umi Zakiah suruh pergi? Headphone di telinga ditanggalkan. Papan luncur yang berada di kaki terus diinjak lalu dipeluk di celah ketiak. Kemudian kaki segera melangkah ke pondok pengawal yang berada di tepi pagar itu. 

“Nak cari siapa?” tanya Pak Mail yang bertugas sebagai pengawal keselamatan. Matanya tunak memandang gadis di hadapannya. Dari baju, seluar jean sampai ke kasut All America berwana hitam. Matanya naik semula ke wajah gadis itu. Mata hitam itu pula bercelak tebal. Pening kepala Pak Mail apabila memikirkan gaya budak-budak zaman sekarang. 

“Nak jumpa Tuan Syed Harraz… Errr… Mak Mah…” kata Johanna. Pak Mail mengangguk kemudian terus membuat panggilan. Beberapa minit kemudian, dia keluar semula. 
“Cik Johanna?” tanya Pak Mail. Johanna tersenyum dan mengangguk. “Sila bagi kad pengenalan,” kata Pak Mail. Johanna terus mengeluarkan dompetnya dari kocek belakang seluar kemudian segera menyerahkan kepada pengawal di hadapannya. Lama juga dia kena tunggu pengawal mencatat namanya di dalam buku kedatangan. 

“Okey, boleh masuk,” ujar Pak Mail ketika menyerahkan semula kad pengenalan Johanna. Mata pula tak lepas dari memandang Johanna yang mula melangkah masuk ke dalam kawasan rumah itu. “Awak ni dah tak ada baju warna lain ke nak pakai? Semua hitam. Macam berkabung dah!” tegur Pak Mail. 
Johanna menoleh kemudian dia meletakkan papan luncurnya ke kaki. “Asalkan saya tak bogel, pak cik! Have a nice day!” ucap Johanna selamba.

 Pak Mail hanya menggeleng. Johanna meluncur masuk ke kawasan rumah yang tersergam indah itu. Nampak macam ada dua buah rumah banglo di dalam kawasan ni. Pokok-pokok ru yang ditanam di kiri dan kanan jalan membuatkan suasana nampak redup dan nyaman. Dari jauh dia sudah ternampak pokok bunga pelbagai warna. Nampak cantik dan menarik. Dia menghela nafas panjang. Boleh ke dia hidup di dalam rumah besar ini dalam masa satu bulan? Hmmm... Rasa macam hukuman mandatori pula. Ini semua gara-gara dia bergaduh dengan Hanim. Sebab itu dia kena hukum dengan Umi Zakiah. Tapi apabila difikirkan balik, memang patut si Hanim itu kena belasah. Mulut tak ada insurans dan suka tuduh dia yang bukanbukan! Johanna sudah tersenyum jahat. Puas hati dia dapat tampar mulut si Hanim itu semalam. Tapi itulah... Sekarang dia terpaksa terima hukumannya.

 Setelah Johanna menghampiri rumah, matanya ternampak seseorang menyusup masuk dari pagar bahagian belakang. Tubuh macam seorang lelaki. Tinggi dan tegap. Kemudian lelaki itu terus menghilang di sebalik dinding. Malas Johanna nak fikir siapa lelaki itu. Dia terus berhenti di hadapan pintu utama. Sunyi saja. Mana Mak Mah ni? Terus papan luncur itu diangkat lalu dia menuju ke bahagian belakang dapur. 

“Assalamualaikum, Mak Mah!” Tak sampai lima minit, Mak Mah sudah tersembul di depan pintu dapur. 
“La, Johanna. Kenapa sampai belakang ni?” tegur Mak Mah, mesra. Dia kenal dengan budak Johanna ni. Dia pernah terserempak beberapa kali di Rumah Akhlak Mulia. Baik budaknya.

“Jo lalu kat depan sana. Sunyi aje. Jadi Jo datang sini. Dah agak dah. Mak Mah mesti ada kat dapur.” Johanna tersenyum seraya menyandarkan papan luncurnya ke dinding. 

“Haah. Mak Mak tengah siapkan sarapan untuk tuan rumah. Jom masuk dulu, Johanna,” ajak Mak Mah. 
“Panggil Jo aje, Mak Mah. Macam pelik pula bila Mak Mah panggil nama saya macam tu. Saya ni rock, Mak Mah. Mana layan yang ayu-ayu ni!” kata Johanna sambil membuka kasut hitamnya. “Nama Jo tu macam nama lelaki, Johanna. Kamu kan perempuan,” kata Mak Mah lagi. Dia terus menyambung memasak mihun goreng.

 “Tak apa, Mak Mah. Mak Mah panggil Jo aje. Lebih mesra.” Johanna sudah menyeringai. Bau masakan Mak Mah buat perutnya berbunyi. Lagipun dia tidak sempat sarapan tadi. 

“Jo dah sarapan?” tanya Mak Mah. Macam tahutahu aje apa yang dia fikirkan. 

“Belum, Mak Mah. Lapar ni. Bangun aje pagi tadi terus naik bas ke sini. Tak fikir apa dah,” ujar Johanna. Dia memerhatikan perempuan yang bertubuh sedikit gempal itu mengacau mihun di dalam kuali. 

“Kalau macam tu, Jo tolong Mak Mah siapkan meja kat depan tu. Sekejap lagi Tuan Harraz turun nak bersarapan sebelum pergi kerja. Hah, baru Mak Mah teringat. Dia nak jumpa Jo dulu,” kata Mak Mah. Kemudian dia menutup api dapur dan mencapai mangkuk besar pula. 

“Dia nak jumpa saya? Nak buat apa?” tanya Johanna sambil menyusun kuih-muih yang telah Mak Mah sediakan ke atas dulang. 

“Nak interviewlah tu… Senang hati Mak Mah sebab ada yang tolong. Jo cakap aje nak makan apa. 

Mak Mah boleh masakkan. Itu ajelah yang boleh Mak Mah buat. Nak bagi duit kat kamu, Kak Umi tak kasi.” 

“Tak apa, Mak Mah. Saya okey aje. Saya bawa makanan ni ke depan ya, Mak Mah.” Johanna sudah mengangkat dulang. 

“Yalah. Kamu susun sekali makanan tu di atas meja, ya.” 

“Baik,” sahut Johanna. Kaki segera melangkah menuju ke meja makan. Tangannya cekap menyusun piring yang berisi kuih-muih. Ramai ke orang kat dalam rumah ni? Macam-macam hidangan yang Mak Mah sediakan, soal Johanna dalam hati. Dia melangkah ke dapur semula untuk mengambil minuman dan piring. 
“Errr... Mak Mah!” panggil Johanna. 
“Ada apa, Jo?” tanya Mak Mah ketika meletakkan  mangkuk mihun itu ke atas dulang. “Berapa orang yang tinggal dalam rumah ni?” tanya Johanna. 
“Tuan Harraz ajelah. Kenapa?” tanya Mak Mah. 

Johanna pantas menggeleng. Kemudian dia menuju ke meja makan sambil membawa hidangan. Sorang aje tapi sarapan macam ada lima orang! Johanna tersengih sinis. 

Syed Harraz menuruni tangga untuk bersarapan sebelum ke tempat kerja. Langkahnya bertukar perlahan apabila ternampak seseorang di meja makan. Budak lelaki mana pula ni? Setahunya, Mak Mah tak ada anak lelaki. Kak Fairus itu sajalah anaknya. Tiba-tiba Johanna menoleh ke belakang dan terpandang ke arah Syed Harraz. Masing-masing terpegun untuk beberapa ketika. Mata Syed Harraz tajam merenung budak perempuan kurus di hadapannya itu. 

“Siapa ni, Mak Mah?” tanya Syed Harraz. Kaki mula melangkah mendekati meja makan. Beg bimbit hitam dan baju kotnya diletakkan di atas kerusi sebelah. 

“Ini Johanna, pembantu yang Mak Mah cakapkan semalam, tuan,” terang Mak Mah. Syed Harraz diam tapi matanya masih meneliti budak itu atas bawah. Semua serba hitam. Dari baju T gambar sebelah tengkorak, sebelah muka perempuan cantik... hingga ke seluar jean hitam. Gelang di kedua-dua belah tangan juga berwarna hitam. Mata bulat yang bercelak hitam buat kening Syed Harraz terjongket sebelah macam beruang panda. Style macam budak Gothic. Rambut pula pendek tapi gaya kusut-masai tak bersikat. Syed Harraz menggeleng perlahan. Mulut kecil itu pula tak berhenti mengunyah gula-gula getah. 
Budak macam ni yang Umi Zakiah hantar? Biar betul! 

Johanna melirik ke wajah lelaki di hadapannya. Gila kacak! Dengan jambang yang dicukur kemas dan raut wajah ala-ala model terkenal David gandy, pasti lelaki itu seorang yang berlagak. Mulut sudah mencebik. 

“Siapa namanya tadi?” tanya Syed Harraz. 

“Johanna…” balas Johanna bersahaja. Dia berdiri tegak sambil tangan menyeluk poket jean. 

Syed Harraz menghirup air kopi. Nama sedap, Johanna. Nama perempuan. Tapi bila tengok personaliti... Huh, langsung tak sesuai dengan nama! 

“Cik Johanna, awak dari Rumah Akhlak Mulia ke?” tanya Syed Harraz. Johanna mengangguk. “Awak tahu ke buat kerja rumah?” Mata Syed Harraz sudah mengecil merenung Johanna. Johanna pula sudah menjulingkan mata ke atas.

“Pasti ada sesuatu perkara yang awak buat sampai umi hantar awak ke mari, kan??” Syed Harraz merenung tajam ke arah wajah yang bersahaja itu. 

“Saya dah bunuh seseorang!” ucap Johanna dengan wajah yang serius. 

Kening Syed Harraz hampir bercantum. Mulut Mak Mah pula sudah melopong. Pasti orang tua itu terkejut. Hati Johanna sudah ketawa. Mata Syed Harraz meneliti wajah gadis di hadapannya itu. Nampak macam budak liar saja. Dari gaya pun Syed Harraz dah tahu. Hmmm..  
Johanna terus ketawa geli hati apabila melihat wajah Mak Mah yang nampak sungguh terkejut itu. Terus dipeluk bahu Mak Mah. Kesian, Mak Mah. Pucat sungguh muka orang tua itu! 


HANYA KAMU JOHANNA KARYA DILLA AHMAD

BAB 1



“Abah tak suka dengar apa yang kamu dah buat kat luar sana, Syed Harraz Hussain!” marah Tuan Syed Amiruddin.

 Syed Harraz cuma buat muka kering apabila abahnya mula nak menyinga. Sambil duduk bersandar di sofa, dia menjeling lelaki itu yang masih menunjukkan muka tak puas hati. Kemudian dia sibukkan diri bermain dengan telefon bimbitnya.

 “Apa yang Harraz dah buat, abah?” tanya Syed Harraz pura-pura tidak tahu. 

Perkara yang dia buat pun adalah perkara yang biasa dilakukan oleh anak-anak muda sepertinya. Kecuali yang satu itu. Dia hampir kena tangkap basah dengan Gina, gadis Cina kacukan mat salih. Bukan salah dia pun. Tapi salah perempuan itu. Sengaja nak perangkap dia. Tak ke pelik bila dia hampir ditangkap di kondonya sendiri sedangkan perempuan itu yang datang menyerah diri? Syed Harraz sudah menggeleng perlahan apabila mengingati perkara tersebut. Nasib baik si Kevin dan Remy ada di tempat kejadian. Kalau tidak, memang kahwin freelah dia. Lepas saja kejadian itu, dia terus balik ke rumah besar ini. Lagi bagus, selesa dan paling penting tidak ada orang lain yang sesuka hati datang ke rumahnya sebab mereka kena berjumpa dengan pengawal terlebih dulu. 

“Hari tu kamu kena tahan sebab bawa kereta macam Formula 1. Lepas tu, kena tahan lagi sebab bergaduh di kelab malam. Yang ni pula hampir kena tangkap basah. Apa lagi lepas ni ya, Harraz?” perli Tuan Syed Amiruddin.

 “Kalau kamu tu gatal sangat nak kahwin, cakap aje kat abah dan mama ni. Boleh kami carikan calon untuk kamu. Tu, si Dania.. Dia memang dah lama tunggu kamu. Cakap aje nak bila. Abah boleh pergi pinangkan anak pak ngah kamu tu!” Suara Tuan Syed Amiruddin sudah naik satu oktaf. Tangan sudah bercekak di pinggang. Mata pula merenung tajam ke arah Syed Harraz.

 “Dania tu sepupulah, abah. Harraz dah anggap macam adik pun…” balas Syed Harraz.

 “Habis, yang kamu usung dia ke hulu ke hilir tu bukan kamu suka kat dia? Kamu jangan main-main dengan anak pak ngah kamu tu, Harraz. Kalau jadi apa-apa, kamu kena bertanggungjawab. Abah tak nak masuk campur!” Tuan Syed Amiruddin sudah mengangkat tangan seolah-olah menyerahkan segala keputusan di tangan Syed Harraz.

 Semakin berkerut dahi Syed Harraz. Dia selalu keluar dengan Dania pun sebab si Dania tu ajak dia jadi peneman. Inilah masalahnya kalau selalu keluar bersama.

 “Bertanggungjawab apanya, abah? Harraz tak akan buat benda tak senonoh dekat Danialah. Yang pasal kes khalwat tu pun bukan salah Harraz. Salah perempuan tak tahu malu tu. Bukan Harraz yang bawa dia ke rumah…” Syed Harraz sudah menjeling Datuk Syed Amiruddin 

Walaupun betul apa yang si anak katakan, Datuk Syed Amiruddin tidak akan mengakuinya. Tidak boleh. Nanti naik kepala pula anaknya.

 “Mama boleh kenalkan Harraz dengan anak-anak kawan mama kalau Harraz mahu.” Suara Datin Dalilah pula mencelah. “Anak-anak kawan mama semuanya cantik-cantik dan tinggi macam model. Taste Harraz kan suka yang macam tu,” sambungnya sambil menjeling anak tirinya itu.

 “Nasib baik si Kevin dan Remy ada kat rumah tu. Kalau tidak, kami bakal dapat menantu Cina. Manalah kami nak letak muka nanti?” Sinis saja Datin Dalilah bersuara. Syed Harraz sudah menjongketkan kening dan merenung tajam perempuan yang telah menggantikan tempat umminya itu. Setiap kali dia melihat wajah sombong dan sinis Datin Dalilah, hatinya jadi sakit.

 “Abah nak kamu berubah, Harraz. Kamu tu bukannya muda lagi. Kalau kahwin, dah ada anak dua. Macam Abang Haziq kamu tu.” Datuk Syed Amiruddin sudah menggeleng perlahan. Di mana silapnya dia mendidik anak keduanya ini, dia pun tidak tahu. Yang pasti, sejak arwah isterinya meninggal beberapa tahun yang lalu, segalanya berubah. Termasuk diri Syed Harraz Hussain. Syed Haziq Amri, anak sulungnya tidak banyak buat hal. Anaknya itu menerima pemergian umminya dengan tenang. Sekali lagi anaknya menerima dugaan yang hebat apabila isterinya pula meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Kini, Syed Haziq Amri bersendirian membesarkan anak-anaknya yang dua orang itu.

 “Abah bagi tempoh masa setahun untuk kamu cari isteri. Kalau tidak, semua saham kamu akan abah serahkan kepada Haziq. Fikir. Bukan abah nak susahkan kamu tapi demi kebaikan kamu semata-mata. Sampai bila kamu nak bersendiri macam ni? Sekurang-kurangnya bila dah kahwin, kamu belajar erti tanggungjawab dan belajar macam mana nak handle your life!” putus Datuk Syed Amiruddin lagi. 

“Abah mana boleh buat macam tu!” bantah Syed Harraz. Dia sudah duduk tegak sambil merenung wajah Datuk Syed Amiruddin.

 “Then get married!” balas Datuk Syed Amiruddin, keras. Kemudian dia terus keluar dari bilik bacaannya itu. Kepala mula terasa sakit apabila memikirkan tentang Syed Harraz. Tak habis-habis beri masalah kepadanya. 
“Betul kata abah tu, Harraz. Kamu tu dah boleh kahwin sekarang. Umur dah tiga puluh dua. Sedang elok untuk mendirikan rumah tangga,” kata Datin Dalilah pula bagai menangguk di air keruh.

 “I boleh cari isteri untuk diri I sendirilah, mak cik. You tak payah nak susah-susahkan diri nak fikirkan pasal diri I. Baik you carikan isteri untuk Abang Haziq tu. Dia masih ada anak-anak yang perlukan kasih sayang ibu. Sebab, ada nenek pun tak guna juga kalau asyik nak menengking cucu saja!” Sinis Syed Harraz bersuara. Bukan dia tak tahu Datin Dalilah tidak sukakan anak-anak saudaranya. Syed Harraz terus bangun lantas meninggalkan bilik itu. Malas nak dengar bebelan perempuan yang tidak diiktiraf sebagai ibunya itu. Bikin sakit hati saja. 

Berubah riak wajah Datin Dalilah. Kemudian dia hanya mencebik mendengar kata-kata Syed Harraz. Kalau nak diikutkan, dia lebih sukakan Syed Haziq yang tidak banyak cakap itu. Anak tirinya itu banyak mendengar kata. Tak macam Syed Harraz yang suka membantah dan membencinya. Siapa yang tak kenal dengan Syed Harraz? Seluruh Syarikat SAS Holdings kenal dengan jejaka kacak berdarah Arab itu. Seorang yang pandai membawa diri ketika bekerja tanpa perlu diajar apa yang perlu dibuat walaupun baru lima bulan bekerja di syarikat itu. Syed Harraz juga menjadi kegilaan para pekerja wanita. Tapi yang peliknya, Syed Harraz langsung tidak ambil kesah dengan wanita-wanita itu. Dulu, Datin Dalilah ada juga terfikir, yang Syed Harraz mungkin lebih minat kepada kaum sejenis. Maklumlah, terlalu lama duduk di luar negara. Hesy, nauzubillah min zalik… Tapi, nasib baiklah Syed Harraz bukan macam tu. Setiap minggu lelaki itu bertukar-tukar pasangan seperti menukar baju lagaknya. Datin Dalilah tahu pun sebab dia mengupah spy di dalam syarikat itu. Hatinya sudah berkenan kepada anak gadis Datin Lydia. Tapi apabila memikirkan yang Syed Harraz itu suka membantah kata-katanya, nampak gaya hanya tinggal angan-angan sajalah nak bermenantukan si Naomi itu. Datin Dalilah menggeleng perlahan. Hai, nampaknya kenalah buat aksi pujuk-memujuk dengan Datuk Syed Amiruddin. Hmmm... 

Syed Harraz mendaki tangga menuju ke biliknya. Selalunya kalau ada makan malam bersama keluarga, dia akan tinggal di bilik ini. Rumahnya hanya bersebelahan dengan rumah Datuk Syed Amiruddin. Abahnya sengaja membina rumahnya bersebelahan dengan alasan ingin tahu apa yang Syed Harraz buat. Cuma abahnya pesan jangan bawa perempuan masuk ke rumah sekiranya dia hendak tinggal lama di situ. Syed Harraz akur dengan peraturan itu. Nampak saja katil, dia terus merebahkan badan. Mata merenung ke siling sambil otak ligat berfikir. Hesy, macam mana nak buat ni? Perempuan mana pula dia nak cekau untuk dijadikan isteri? Tapi, macam seronok aje bunyinya nak main cari isteri ni. Syed Harraz sudah tersenyum sendiri. Bengong. Masalahnya sekarang, dia tidak ada perempuan yang sesuai untuk dijadikan isteri ! Bagai teringatkan sesuatu, tangannya terus menyeluk saku seluar jeannya lalu mengeluarkan telefon bimbit. Nombor telefon seseorang pantas didail. Lama juga talian hendak bersambung. Mana Mak Mah ni? Dah tidur ke orang tua ni? soalnya dalam hati. Baru aje dia nak matikan talian, telinganya terdengar orang memberi salam di hujung sana. Perlahan saja. Macam suara orang baru bangun dari tidur. 

“Mak Mah! Saya ni...” “Ya, Tuan Harraz!” Terus jelas suara Mak Mah. “Macam mana? Mak Mah dah dapat pembantu yang saya suruh cari tu?” tanya Syed Harraz. “Sudah, tuan. Besok budak tu datang. Umi Zakiah yang hantar dan suruh budak tu tolong saya,” kata Mak Mah lagi. Umi Zakiah? Jadi budak itu dari Rumah Akhlak Mulia? Dahi Syed Harraz sudah berkerut. “Okey, Mak Mah. Malam ni saya tidur kat rumah abah. Besok pagi saya balik. Mak Mah suruh dia jumpa saya dulu sebelum saya ke ofis,” arah Syed Harraz pula. “Baik, Tuan Harraz. Terima kasih sebab sudi benarkan Mak Mah cari pembantu untuk Mak Mah…” “Tak apa, Mak Mah. Kita tengok dulu orangnya macam mana. Kalau tak sesuai, kita suruh umi carikan yang lain pula. Okey, Mak Mah. Pergilah tidur,” kata Syed Harraz. Talian dimatikan dan dia masih berbaring. 

Kemudian dia mencapai semula telefon bimbitnya dan terus menghubungi Remy a.k.a Tengku Ryan Hakimi. Kawan baiknya. “Bro, malam ni aku tak jadi keluar. Ada masalah sikit kat rumah. Okey!” Panggilan terus ditamatkan. Kalau sudah berada di rumah abahnya, tak mungkin dia akan keluar malam. Cari pasal namanya. Tak sanggup nak dengar syarahan daripada Datuk Syed Amiruddin itu. Boleh cair tahi telinga. Jadi, dia pilih untuk jadi budak baik malam ini. Otak kembali berfikir untuk mencari bakal isterinya. Dah macam cerita Musang Berjanggut pulak. Hesy…

Saturday, 16 May 2015

ENCIK FAYED MY MAN

BLURB
Jatuh cinta dengan bos? Mustahil bagi Cik Nur Azah Amira untuk mengidamkan lelaki seperti Encik Fayed Arya.  Apatah lagi, lelaki kacak ini menjadi idaman Cik Liyana Datuk Manan yang sentiasaa vogue dan seksi.
Fayed Arya, bukan seperti lelaki lain yang memandang kecantikan luaran wanita. Hatinya sudah pun dimiliki. Tiga tahun hatinya dihuni cinta. Hari pertama terpandang gadis polos itu, hati terus mengangguk suka. Suka tapi tak terluah. Namun, satu kejadian menyebabkan gadis pujaan hati terlepas satu ayat yang menjadi pengikat janji.
“Jom kita couple!”~ Nur Azah Amira
“Daripada kita jadi couple, baik saya pinang awak terus! Dah sure awak tu akan jadi milik saya!” ~ Encik Fayed Arya

Menjadi pasangan bercinta, digertak dan dihalang, sedikit pun tidak memberi luka kepada Fayed Arya. Baginya, hanya Nur Azah Amira sahaja yang layak berdamping dengannya. Hanya Cik Nur kesayangannya yang mampu membahagiakannya. Walaupun jauh Nur melarikan diri, dia tetap akan menjejaki.
No matter what happens, you will never leave me. Understand? Sebab saya akan cari awak walau ke lubang cacing sekalipun!”~Fayed Arya

Akhirnya, mereka satukan dengan satu lafaz yang sah. Paling indah apabila perkahwinan mendapat restu keluarga. Bagi Fayed Arya, sudah lengkap hidupnya dengan adanya Nur Azah Amira di sisi. Namun, di hari pernikahannya itu, dia menerima tetamu yang tak diundang. Cik Liyana muncul menagih cinta Fayed. Bagai melukut di tepi gantang! Namun, Fayed Arya teguh dengan cinta hatinya. Cik Nur tiada tandingan.
“Ada tak saya cakap kat awak, hari ni yang awak nampak cantik, Nur Azah Amira,” ~ Fayed Arya

“Ada, Encik Fayed Arya,” ~ Nur Azah Amira

“Awak selalu nampak cantik di depan mata saya, sayang. Tak payah make up tebal pun, hati saya dah tertarik dan sayang,” ~ Fayed Arya

Amarah Liyana semakin memuncak. Melihat Fayed dan Nur bahagia. Bagi Nur, kepercayaan adalah penting. Bukan dia tidak tahu, Cik Liyana selalu mencari peluang untuk mendekati Fayed. Tapi rasa cinta Fayed kepada dia terlalu tinggi. Fayed memang tidak sukakan Liyana. Bagi Fayed, datang lah seribu Liyana pun, hatinya tetap pada Nur Azah Amira.

“Saya tak mahu lukakan hati awak, Nur. Walau datang seribu Liyana pun, Nur Azah Amira tetap menjadi keutamaan saya. Awak kena ingat tu”~Fayed Arya

Kata orang, dari mata turun ke hati. Namun, mampukah hati bertahan daripada dugaan dan desakan? Pasti ada yang kecewa dan terluka. Sanggupkah Nur Azah Amira menjadi seoarang isteri yang sentiasa berdiri di sisi suaminya? Menuruti setiap permintaan dan berhadapan dengan pelbagai ancaman? Setiakan Fayed dengan janjinya untuk melindungi cinta hatinya? Seperti kata Nur Azah Amira, Encik Fayed, My Man.


Thursday, 9 April 2015

ENCIK FAYED MY MAN KARYA DILLA AHMAD

BAB 7



Jadi, keesokan pagi dia datang ke rumah. Aku yang masak nasi lemak terus ajak dia masuk ke rumah sebab kami sedang bersarapan. Kebetulan abah ada sama, jadi abah ajak dia sekali. Aku memperkenalkan abah pada Encik Fayed, sebagai bos aku. Dah memang bos pun. Bukannya teman lelaki. Nama aje couple .Tapi kami ni couple olok-olok aje. Abah bukan main gembira lagi berbual itu-ini dengan bos aku ni.
            Rumah kami jarang sangat di kunjungi tetamu. Ada pun hanya nenek dan mak long. Kakak abah yang tak berkahwin itu . Kalau nenek dan mak long datang memang best. Sebab, adik-beradik abah yang seramai lima orang itu akan datang bila dengar nenek turun KL. Rasa seronok berkumpul ramai-ramai ni. Meriah rumah kami yang sunyi ini.
            “Tambah lagi, Fayed. Bukan selalu si Amira ni buat nasi lemak. Sibuk selalu. Ni, hari minggu ni ajelah dia ada masa.” Cerita abah. Encik Fayed senyum saja.
            “Saya tak boleh makan banyak ni, pakcik. Nak main futsal. Ada game  hari ni.” Kata Encik Fayed pula. Abah angguk kepala. Abang Azahar hanya jadi pemerhati sejak tadi.
            Lepas makan dan berbual serba sedikit, Encik Fayed minta diri dan minta izin nak bawa aku pergi sama dari abah.  Abah izinkan dan aku kucup tangan abah sebelum ikut Encik Fayed.
            “Jaga diri.. jaga kelakuan..” Pesan abah.  Aku angguk dan segera sarung kasut getahku. Nak  pergi tengok orang main futsal. Takkan nak glamour kot? Jadi aku hanya sarung t-shirt putih di dalam dan hoodie jacket di luarnya dan seluar track hitam. Okay set!
            “Kumpulan saya dapat masuk final hari ni, Nur . I am so exited. Tak menang pun tak apa, asalkan kami terpilih masuk pertandingan akhir. Tapi rasanya, memandangkan awak ada ni nak kena usaha lebihlah !” Kata Encik Fayed ketika memandu dan sesekali pandang aku.
            “Kenapa  pulak?” Tanya aku, blur.
            “Awek saya datang tengok. Takkan nak kalah kot? Malulah saya!” Dia tarik senyum. Oh, jadi  nak  suruh  aku  jadi  penyokong  ajelah  ni.  Bukan  ajak  main  futsal  tu .  Fuh ,  lega ..
            “Tadi kata tak kisah kalau kalah?” Tanya aku. Hati dah kembang-kumcup bila dia cakap awek saya.
            “Cakap aje tadi. Siapa yang tak nak menang? Tapi kalah-menang tu kan  adat bertanding,kan? Lagi satu, kat sana jangan panggil saya encik pulak, sayang.” Katanya lagi, sekilas memandangku. Dia tenang saja  memandu dan senyuman itu tak pernah lekang di bibirnya.
            “Habis nak panggil apa?” Tanyaku, pelik. Peliklah . Request   yang  macam-macam di  pagi  hari .
            “Panggillah, sayang ke…baby ke…abang lagi bagus. .Fayed pun tak apa. Asal jangan encik. Faham, sayang? Tengok, saya dah mula panggil awak sayang. Nak biasakan diri..” Dia pandang aku sekilas dan tersenyum menawan. Cantik sungguh senyuman itu. Jantung aku bergetar aje tiap kali dia senyum macam tu.
            Nak panggil dia sayang ke? Macam pelik pulak sebab aku sendiri tak tahu apa hubungan aku dengan dia. Dia pun tak declare apa-apa tentang hubungan kami.
            “Saya panggil encik, Fayed  ajelah…” Kataku, buat keputusan.
            “Kenapa tak nak panggil abang pulak?” Dia pulak tanya aku, macam tak puas hati. Aik, kata tadi panggil nama pun tak apa? Apalah bos aku ni…
            “Encik nak saya panggil encik, abang ke?” Tanyaku pula, tersenyum.
            “Yalah. Awak kan awek saya..  Kan semua couple  macam tu.!” Kata dia lagi.
            “Okaylah, abang Fayed.” Aku sudah tersengih. Gelihati pulak dengar diri sendiri panggil dia macam tu. Dia senyum dan mengangguk. Puas hatilah tu.
            Kami tiba ke gelanggang dan dia memperkenalkan aku pada kawan-kawan dia. Semua menyengih pandang aku. Aku mencari tempat duduk di bangku panjang sambil memegang beg galas Encik Fayed, sebab di dalamnya ada benda berharga seperti dompet dan telefon bimbit dia. Rasa macam aku benar-benar dah jadi awek dia pulak. Heh!
            Perlawanan sudah bermula di antara pasukan Encik Fayed dan pasukan musuh. Semua penonton merasa teruja dan memberi sokongan pada pasukan masing-masing.  Aku cuma tengok saja Encik Fayed beraksi . Lincah sungguh pergerakan dia dan pasukan dia.  Aku toleh pandang kanan dan kiri pada semua muka yang hadir di situ. Seronok. Itulah yang aku rasakan sekarang. Tak pernah aku tengok perlawanan secara live macam ni. Inilah pertama kali. Setiap wajah yang datang menampakkan keterujaan. Aku ingat game  futsal ni hanya lelaki saja yang main. Tapi kata Encik Fayed, perempuan juga ada yang bermain sama. Wow, hebat...
            Dari tempat duduk aku,  aku terpandang satu wajah.  Oh,no… Kenapalah kat sini pun aku akan jumpa minah ni? Aku pandang lagi wajah Cik Liyana yang sedang berdiri dari arah bertentangan. Matanya tertumpu pada, siapa lagi kalau bukan pada lelaki kacak yang menjadi dambaan dia. Mata dia juga bagai tercari-cari sesuatu dan bila dia ternampak aku segera dia cepat-cepat melangkah ke arah aku. Hendak saja aku menyorokkan diri di antara penonton-penonton yang ada ni. Tapi rasanya dah terlambat untuk aku berbuat demikian nampaknya. Dia sudah melambai dan senyum kat aku. Kenalah aku senyum juga dan lambai dia balik.
            “Nasib baik  I  jumpa dengan muka yang I  kenal!” Katanya, macam gembira jumpa aku. Rambutnya yang panjang tak berikat itu di kibar-kibarkan. ”Kat sini tak ada kipas ke?” Tanya dia lagi.  Aku geleng. Biar betul minah ni. Ingat  kat sini apa?  Restoran?  Nak berkipas bagai?
            “You datang dengan bos you ke, Cik Nur?” Tanya Cik Liyana. Tak , dengan  boyfriend saya !  Nak  saja  aku  cakap  macam  tu . Aku senyum dan angguk. Tiba-tiba semua orang bersorak. Segera mataku memandang ke gelanggang. Encik Fayed baru menyumbatkan gol ke pihak lawan. Semua kawan-kawan dia peluk dia. T-shirt dia dah lencun dengan peluh. Muka dan rambut dia juga. Mata dia tepat pandang aku dan senyumannya terus mati bila dia nampak lambaian Cik Liyana pada dia. Berpaling, tanpa membalas lambaian Cik Liyana dia terus melangkah  ke tengah gelanggang semula.
            “Semalam I dinner kat rumah Fayed.” Kata Cik Liyana tiba-tiba, tanpa di tanya.Aku pandang dia dan tunggu apa dia nak cakap.

            “Our parents ada berbincang nak satukan  I  dengan Fayed.  I rasa Fayed  tentu setuju dengan pilihan  parents  dia.” Dia senyum sinis pandang aku. Mata dia juga seolah mengatakan,  ‘Jangan mimpi nak dapatkan Fayed.Dia , milik aku.’.

            Para penonton menjerit lagi dan bersorak. Semua bangun bila ada pasukan yang berjaya menyumbatkan gol. Entah pasukan mana dan siapa, aku sudah tak ambil kisah. Aku bagai hanyut meninggalkan semua. Aku tak dengar apa-apa lagi. Hanya suara hati yang merintih sedih. Sepatutnya aku tahu yang semua ini akan berlaku juga sebab Encik Arie sudah beritahu aku dulu.
            Akhirnya, perlawanan tamat dan pasukan Encik Fayed mendapat tempat kedua. Itu pun dah kira bagus dan pasukan dia mendapat pasukan terbaik. Bukan main gembira lagi dia. Cik Liyana terus datang pada dia dan ucapkan tahniah pada dia dan pasukannya. Cik Liyana ajak dia keluar makan sebab nak belanja dia dan kawan-kawannya yang menang itu. Tapi Encik Fayed menolak sebab nak hantar aku pulang. Nampak berubah muka Cik Liyana tadi.  Dengan muka tak ada perasaan,  Encik Fayed terus raih tangan aku dan bawa aku keluar dari situ.
            “Macam mana perempuan tu boleh tahu saya ada game  hari ni? Ini mesti abang Arie yang cakaplah ni!” Kata  Encik Fayed, seraya merengus keras. Kami melangkah ke parkir. Aku senyap tak cakap apa-apa.Encik Fayed lantas pandang aku. Mungkin dia terasa aku tak bagi respon pada tiap kata dia.
            “Are you okay,sayang?” Tanya dia. Aku pandang dia dan senyum segaris.
            “Tahniah, encik.” Kataku, perlahan. Dia dah buat muka pelik .”Cik Liyana dah beritahu saya tadi..” Sambungku. Dia merengus kasar lagi.
            “I knew it! Saya dah agak  she must say something stupid and make her look stupid too!” Kata Encik Fayed bercekak pinggang . Langkah kami terhenti.
            “Awak kecewa,  Nur?” Dia sudah pandang aku. Cepat aku geleng kepala. Aku tak mahu dia tahu yang aku memang sedih. Tapi tak kecewa sangat sebab kami tak ada apa-apa hubungan.

            “Saya tak apa-apa, Encik Fayed.  Sebab, Encik Arie pun ada cakap dengan saya hari tu yang dia nak satukan encik dan Cik Liyana..”
            “Damn!”  Dia menyumpah.  ”Saya dah jelaskan semalam lagi yang saya tak nak ada apa-apa hubungan dengan dia. Kenapa perempuan ni tak malu?”  Kata Encik Fayed lagi.
            Aku diam tak nak beri apa-apa balasan.  Aku tak mahu fikiran dia semakin serabut. Satu perkara yang aku harus ingat kini, tak semua yang kita inginkan akan jadi milik kita. Dan, antara aku dan Encik Fayed pula, aku rasa hubungan ini akan kekal sebagai bos dan pekerja. Tak mungkin ia akan berkembang lebih jauh walaupun Encik Fayed panggil aku sayang atau kami ni couple. Sebab, aku harus sedar diri mulai sekarang. Jangan berharap pada yang mustahil akan menjadi milik aku.