Showing posts with label HANNAH EZATY. Show all posts
Showing posts with label HANNAH EZATY. Show all posts

Wednesday, 11 November 2015

MESEJ CINTA TERAKHIR : I LOVE YOU KARYA HANNAH EZATY

BAB 2

Farhah elok saja melepak di hadapan televisyen ketika telefon bimbitnya berbunyi.Ada satu pesanan baru masuk ke peti inboxnya.Dengan perasaan yang malas,dia buka dan baca pesanan tersebut.

 ‘Awak tak balik ke malam ni?’ Mesej daripada Muhsin membuatkan Farhah mencebik.

 “Huh,apsal pula sibuk tanya aku balik rumah ke tidak?Dah rindu kat aku sangat-sangat ke apa?” Telefon dipandang sebelum skrin ditekan-tekan.Farhah meleretkan satu senyuman sinis lantas mencampakkan saja telefon ke sofa di sebelahnya.Puas hati dapat membalas mesej Muhsin. 

Tit! Satu pesanan masuk lagi.Farhah tahu itu pasti daripada suaminya lagi. 

‘Jangan nak perasan sangat.Saya cuma nak tahu sebab awak tu masih di bawah tanggungjawab saya.Tak mahu nanti kena cop suami dayus pula!’ 

Mesej daripada Muhsin kali ini benar-benar membuatkan Farhah panas hati.Tadi,sebelum dia menerima SMS Muhsin,sedap saja dia bantai suaminya itu.Sekarang,kena balik ke batang hidung sendiri.Bibir diketap rapat.Hati tengah panas meluap-luap.Satu mesej dihantar lagi kepada Muhsin.

 ‘Dahlah,tak payah nak mesej saya.Esok petang saya balik rumah.’ Farhah mula membebel-bebel geram.Tak puas hati lagi dengan Muhsin walaupun kata putus sudah diambil.Dia pasti akan pulang juga ke rumah mereka esok petang.

 ‘Nak saya ambil awak atau macam mana?’ Mesej dari Muhsin masuk lagi.Farhah mengeluh deras sebelum tengkuk digaru-garu dengan perasaan sebal. 

“Apsal dia ni sibuk sangat duk main hantar mesej?”dengan rasa tak puas hati,Farhah tekan saja nombor Muhsin dan menunggu masa nak sembur lelaki itu.

 “Encik Muhsin,awak tak payah susah-susah nak datang ambil saya kat rumah mak saya.Saya boleh balik sendiri.Bukannya saya tak ada kudrat nak bergerak sendiri.Dan awak jangan sibuk-sibuk nak hantar mesej lagi pada saya nak bertanya macam-macam.Tak payah nak ambil hati saya sangat!”laju saja perkataan keluar dari mulut Farhah tanpa sempat pun Muhsin berkata apa-apa. 

“Eh,hello cik adik!Awak ni dah kenapa?Saya cuma bertanya aje tapi yang awak nak emo tak pasal-pasal ni kenapa?Datang period?” 

“Suka hati sayalah nak emo atau apa.Peduli pula awak,kan?Ni...sekali lagi saya nak pesan,tak payah nak tunjuk prihatin sangat.Saya tahu status saya,jadi awak jangan nak pandai-pandai fikir yang bukan-bukan.Kalau saya nak ke mana-mana nanti,saya mintalah izin daripada awak.Senang,kan?”

 “Okay,fine!Suka hati awaklah.” Talian telefon terus mati meninggalkan Farhah keseorangan melayan perasaan bukan-bukan.Telefon sekali lagi dicampak ke atas sofa. “Eee...serabutlah dia ni.Buat spoil mood aku ajelah!” Farhah menggosok-gosok kepala,sekadar cuba mencari perasaan sendiri. 

Petang-petang begini,bergaduh mulut dengan Muhsin melalui telefon buat dia rasa tak senang duduk.Mood melayang-layang entah ke mana.Nak melayan rancangan di televisyen pun dah tak berperasaan. Jam dinding dikerling laju.Dah dekat pukul 3 petang.Apa yang boleh dia buat seorang diri di rumah emaknya ini?Puan Mumtaz dah keluar sejak tengah hari tadi.Encik Farouk pula dua hari tak ada di rumah,ada urusan di luar daerah.Itu yang buat Farhah rasa macam orang bodoh saja balik ke rumah ibu bapanya ni. Telefon bimbitnya ditarik semula dan menekan-nekan skrin mencari nombor telefon seseorang.Seketika,telefon itu melekap cermat di telinganya. 

“Hello,beb.Kau free?Jom lepak!”

 *** 

“ So…apa cerita kau dengan Muhsin?Dah ada penyelesaian?”tiba-tiba Elia bertanya soalan sebegitu kepada Farhah ketika mereka keluar dari sebuah butik dalam mall dan menuju ke medan selera.Pertanyaan terus terang dari mulut Elia benar-benar membuatkan Farhah sesak dada sehingga dia rasa mood nya hilang begitu sahaja.Wajahnya berubah kelat.Langsung tidak ada secalit senyuman mahupun tawa serta keseronokan seperti tadi.Dia toleh pandang Elia lalu menjongketkan sedikit keningnya.Kemudian dia mencebik. 

“Penyelesaian?” Elia angguk lagi. 

“Cerailah jawabnya."

 Elia mendengus kecil.Agak kecewa dengan keputusan Farhah.Sebenarnya dia tidak sangka akan begini jadinya hubungan Farhah dan Muhsin

.Dulu,mereka cukup dikenali sebagai pasangan secocok dan serasi.Ramai teman-teman mereka menggelarkan Farhah dan Muhsin sebagai Loving Couple.Bertahun-tahun mereka menyulam kasih ketika masih menuntut di universiti,bercinta bagai nak rak dan buat majlis perkahwinan pun gilang gemilang bagaikan selebriti popular tapi sudahnya,ini yang terjadi.Perceraian! Elia tak menyangka yang Farhah dan Muhsin akan mengambil keputusan yang bodoh begini.Baginya,mereka masih boleh berbincang dan selesaikan apa-apa juga masalah mereka berdua elok-elok.Bukannya mengambil keputusan untuk berpisah.Sayang sungguh dengan hubungan yang dah lama terjalin ini.

Di mata Elia,Farhah dan Muhsin adalah pasangan yang sangat romantis dan bahagia.Entah apa yang tidak kenanya,Farhah tiba-tiba beritahunya yang dia dan Muhsin akan bercerai. 

“Cik kak oi,bercerai tu bukan satu penyelesaian tau.”Elia berjeda sambil tenung wajah Farhah yang kadang-kadang serupa orang tak ada perasaan.Beku macam ketul ais.Kalau letak sebelah unggun api pun belum tentu boleh mencair. “Kau yakin ke dengan keputusan kau ni?” 

“Yakin.”Farhah angguk-angguk sambil melilaukan matanya memerhati ke sekeliling medan selera yang agak ramai manusia itu. 

“Kau dah fikir habis-habis?Takkan tak ada jalan lagi untuk pulihkan hubungan kau dengan Muhsin?”

 “Aku dah fikir habis-habis dan bercerai adalah jalan penyelesaian yang terbaik untuk pulihkan hubungan yang dah tak ada apa-apa makna ni.”balas Farhah selamba. 

Elia terjungkit kening.Agak terkejut dengan kenyataan yang baru keluar daripada mulut Farhah.Eee...ikut hati nak saja dia luku kuat-kuat kepala Farhah ni.Tak pedulilah kalau Farhah itu teman baiknya atau bukan.Kalau dah itu saja yang boleh dia buat untuk sedarkan wanita ini,dia akan buat. 

“Tak ada makna kau kata?Habis,selama ni apa maknanya hubungan kau orang?Dekat sepuluh tahun kau bercinta dengan dia,dah faham hati budi masing-masing,lepas tu kahwin pula dah nak masuk dua tahun...takkan tak ada makna?Banyak masa kau habiskan dengan dia,masih tak ada makna?”Elia sudah mula nak membentak. 

“Itu dululah,Elia.Kisah dah lepas.Tak ada apa lagi nak dikenang.Sekarang hati aku ni dah tawar.Tak ada rasa lagi untuk teruskan hubungan kami.Aku sedar yang aku dengan dia memang dah tak boleh hidup bersama lagi.Kami dah tak boleh sebumbung.Lebih baik aje kami berpisah dan bawa haluan masing-masing.Mungkin dengan cara tu kami akan temui kebahagiaan.” Elia hampir saja semput mendengar omelan Farhah yang baginya bila bercakap langsung tak pakai akal fikiran.Farhah hanya tahu menggunakan emosi dan perasaannya saja.Inilah yang jadinya bila dalam keadaan marah.Habis semua kenangan manis dan indah mahu dibuang begitu saja hanya kerana sebab yang Elia sendiri pun tak tahu.Sayang rasanya bila Farhah dan Muhsin membuat keputusan untuk bercerai sedangkan mereka masih boleh berusaha cuba menyelamatkannya lagi. 

“Kau ni kan Far...kalau bercakap,langsung tak nak fikir masak-masak.Ikut hati kau aje.Kau sedar tak dengan tindakan yang kau bakal buat ni?” 

“Apa maksud kau?”berkerut-kerut kening Farhah ketika dia baru saja nak duduk di sebuah kerusi berhadapan dengan meja yang baru mereka pilih.Agak terasing dari orang ramai. 

“Kau dah fikir habis-habis apa kesannya bila kau bercerai nanti?Status kau akan berubah tau.Kau akan jadi janda!”Elia berteriak tapi Farhah sempat menampar tangan Elia yang duduk di hadapannya sambil buat isyarat agar tidak bercakap kuat-kuat. “Apsal?Dah takut dengan gelaran tu ke?”sinis Elia menyindir.

 “Aku tak takut.Janda ke,anak dara ke...sama saja.Apa,kau ingat saham aku akan jatuh ke bila aku dah jadi janda nanti?Hei,ini Farhahlah.”Farhah tepuk-tepuk dadanya,sekadar mempertahankan pendiriannya yang cuba digugat dek Elia.Elia mencebik sambil menjeling tajam. 

“Huh,ego nak mampus!Sekarang ni bolehlah kau cakap macam tu...lepas dah bercerai nanti,bila kau terpaksa tanggung risikonya dan perlu berhadapan dengan dunia,baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah.”

 “Kau nak kata yang janda ni low class lah?Gitu?” “Aku tak cakap macam tu tapi kau tahulah apa persepsi masyarakat kita pada seorang perempuan yang bergelar janda.Mentaliti masyarakat kita masih tak berubah.Kau sanggup hadapinya?”

 “Tak kisahlah apa pun risikonya tapi yang aku tahu aku nak bercerai.Full stop!”Farhah sudah mula panas hati.Ini yang malas ni bila berbual dengan Elia tentang topik yang agak sensitif begini.Dia keluar dengan Elia pun sebab nak hilangkan bosan dan kembalikan moodnya yang hilang tapi Elia pula nak bagi ceramah macam pakar motivasi hal ehwal rumahtangga sedangkan Elia sendiri pun masih membujang sampai sekarang. 

“Kau dah pergi kaunseling kat pejabat agama?”tiba-tiba Elia menyoal setelah masing-masing menyepikan diri. Farhah menggeleng. 

“Tak ada sebab aku nak ke sana,Elia.Kan aku cakap pada kau yang hubungan aku dengan Muhsin dah tak ada apa-apa makna jadi tak guna aku ke pejabat agama dan dapatkan khidmat nasihat dan bantuan.” Elia mencerunkan mata memandang wajah Farhah yang masih beriak selamba. 

“Kau ni,degil tak sudah-sudah.Aku bukan apa,Far.Aku sayang kau tahu?Aku dah kenal kau dari sekolah lagi.Kita dah berkawan berbelas-belas tahun pun.Apa-apa yang terjadi pada kau,aku turut sama rasanya.Aku agak terkilan dengan apa yang terjadi antara kau dan Muhsin.Aku tahu yang aku ni tak layak bercakap soal hubungan suami isteri pada kau sebab aku sendiri pun masih single sampai sekarang tapi sebagai kawan baik kau,aku cuma nak lihat kau bahagia.Itu saja.Dan aku rasa keputusan kau untuk bercerai ni adalah keputusan yang paling bodoh pernah kau buat dalam hidup kau.Kau tak pernah fikir apa perasaan orang tua kau?Apa pandangan saudara mara kau bila kau dengan Muhsin berpisah nanti?Sedih Far...sedih sangat.”bening mata Elia hampir basah.Menggigil tangannya bila bercakap hal ini dengan Farhah sedangkan Farhah masih tayang wajah selamba bagaikan tak terkesan sedikit pun dengan apa yang dituturkan Elia. 

“Tak payahlah nak sedih sangat.Yang nak bercerai tu aku,bukannya kau.Tapi kau punya reaksi tu,dramatik sangat okey!Dah macam pemenang kategori pelakon wanita terbaik dalam Anugerah Skrin.”Farhah tayang senyuman sebelum tergelak kecil.Separuh menyindir.  

“Mestilah aku sedih sebab aku ada perasaan.Bukannya macam kau!” 

“Heh,dahlah.Aku nak pergi order makan.Kau nak makan apa?Aku tolong belikan.”Farhah bangkit mendadak dari kerusinya sambil tenung muka Elia yang dah suram.Kalau bercakap dengan Elia dan melayannya,silap-silap dia sendiri yang akan rasa sakit hati nanti.Bimbang perkataan Elia akan terbenam dalam hatinya dan membuatkan dia berubah hati nanti.Dia tak mahu.Keputusannya untuk berpisah adalah muktamad.Dia tak mahu kata-kata Elia akan membuatkan dia berfikir banyak kali sehingga boleh menjejaskan hati sendiri. 

“Macam biasa.”Elia jawab mendatar dan membiarkan Farhah bergerak ke bahagian menjual makanan. Meja di depan dihentak lembut sambil mengetap bibir.

 “Kau ni memang degil sangat-sangat,Farhah!Ego!Jangan satu hari nanti kau menyesal dengan keputusan yang kau buat sudah!”gumam Elia melepas rasa sambil menghantar kelibat Farhah melalui ekor matanya.

 ***

 Seperti yang dicanangkan semalam kepada Muhsin,petang ini juga dia sampai ke rumah mereka.Kalau ikutkan hati,memang tak ingin dia balik ke sini dan menghadap muka suaminya itu tapi apa boleh buat.Esok dia kerja.Tak mungkinlah nak bermastautin di rumah emaknya untuk berulang alik ke pejabat.Tak mahu nanti dikatakan yang dia dan Muhsin sengaja nak timbulkan masalah.Selagi Muhsin belum lafaz kata cerai,dia masih isteri lelaki itu.Dan dia tidak akan keluar dari rumah ini selagi tidak disuruh. 

Pintu rumah ditolak.Dia tahu yang Muhsin tak ada di rumah.Keretanya tak ada di halaman.Lega sikit rasa hatinya.Kalau suaminya itu ada,pasti mereka akan bertengkar lagi.Buat sakit hati,sakit jiwa.Bilik tidur dituju.Lega sangat bila dia dapat menguasai keseluruhan ruang bilik tidur yang besar ini seorang diri.Tak ada orang yang akan bising padanya.Dalam hati dia berdoa semoga Muhsin pulang lewat.Boleh dia melepak dan layan perasaan sendiri di sini. Tilam bersaiz king didekati dan dihumban saja tubuhnya ke situ melepas rasa. 

“Ya Allah,nikmatnya!”pekik Farhah lalu menggolek-golekkan tubuhnya ke kiri kanan.Elok menggolekkan diri di situ dengan rasa bahagia,almari baju yang terletak di hujung bilik dipandang. Farhah bingkas bangkit dan mendekati almari.Pintu dibuka dan menelek pakaian yang tergantung di dalamnya.Dagu diketuk dua tiga kali sebelum bercekak pinggang.Otak ligat memikirkan sesuatu.Kemudian,pakaian-pakaian yang bergantungan di dalam almari diselak satu demi satu. 

“I need to do something!”bisik Farhah sambil menekur pakaian milik Muhsin yang bersatu dengan baju-bajunya di dalam almari. 

Tak sampai seminit,Farhah terus capai kesemua baju-baju Muhsin yang tergantung di situ dan mengeluarkannya sebelum mencampakkannya ke atas katil buat sementara.Almari itu akhirnya dibersihkan dan hanya membiarkan pakaiannya yang berada di sana.Pakaian milik Muhsin diambil dan dibawa menuju ke bilik tetamu yang terletak bertentangan dengan bilik peraduannya.Tak mahu lagi berkongsi almari dengan lelaki itu.Dia tak mahu bau-bauan Muhsin melekat dan bersatu dengan baju-bajunya.Bilik tidurnya dijejaki semula dan mengeluarkan semua barang-barang peribadi Muhsin dan memindahkannya ke bilik tetamu.Hampir sejam juga dia buat acara pembersihan sehingga dia benar-benar puas hati. 

“Hmm...baru rasa dunia ni indah!”Farhah bersorak sambil memerhati ke sekeliling bilik.Namun otak jahatnya bertindak agresif sehingga mencipta idea-idea lain. 

MESEJ CINTA TERAKHIR : I LOVE YOU KARYA HANNAH EZATY

BAB 1



 Jantung Puan Mumtaz seakanakan mahu berhenti berdegup setelah telinganya dengan jelas menangkap ayat-ayat yang terlantun keluar dari bibir anak gadisnya yang sedang enak melepak di atas sofa di ruang tamu. Ketika itu, tangannya ligat menyusun pasu-pasu hiasan yang berada di dalam almari kaca. Mata terus membulat dan tangan yang ligat tadi berhenti mendadak. Tubuh yang sedang enak melepak di atas lantai tadi terus dibawa mendekati sofa yang diduduki oleh Farhah. 

Farhah cuma menayang wajah selamba bagai tidak ada apa-apa perasaan sambil mengunyah epal merah. Tidak cukup wajah selamba, gayanya yang ala-ala diva itu sedap saja bersandar ke sofa tanpa menghiraukan pandangan tajam ibunya.

 “Hang cakap sekali lagi apa yang hang sebut tadi? Mak tak berapa nak dengaqlah!” Suara Puan Mumtaz meninggi. Kedua-dua belah lengan baju kurungnya juga telah siap disingsing sehingga paras siku sambil merenung wajah Farhah di depan, bagaikan emak singa menunggu masa mahu menerkam mangsa. Gelang-gelang emas yang menghiasi kiri dan kanan tangan Puan Mumtaz juga turut ditolak-tolak naik ke atas. 

Panas hatinya. Panas! Suara Puan Mumtaz yang ala-ala macam jurulatih tae kwan do memberi arahan kepada anak-anak buahnya sedikit pun tidak menggentarkan hati Farhah sebaliknya dia sekadar menjongketkan kening, mengunyah lagi sisa epal di tangan dan terus menghalakan matanya ke arah kaca televisyen di depan. Betul-betul macam tak ada perasaan. Gelagat Farhah membuatkan Puan Mumtaz segera menghenyakkan tubuhnya di sebelah, sebelum menarik rakus bahu wanita itu. Lantas jari telunjuk naik ke muka Farhah, mengisyaratkan agar Farhah mengulangi lagi apa yang telah dituturnya tadi. 

Farhah melepaskan nafas panjang dan berat. Sisa epal di dalam mulut ditelan lalu wajah ibunya dipandang. 

“Far cakap Far nak bercerai!”

 “Apa hang kata?” Puan Mumtaz menguatkan suaranya. Peduli apa kalau jiran-jirannya terdengar. Sekarang ini, apa yang penting dia mahu ‘membasuh’ anaknya cukup-cukup. Tiba-tiba rasa geram dengan Farhah yang bereaksi seperti tak ada apa-apa sedangkan perkataan yang keluar dari mulutnya tadi membuatkan Puan Mumtaz sendiri hampir semput. Nak luruh dan gugur dah jantung ni! Farhah berdesit halus. Epal di tangannya diletakkan saja di atas meja kopi di depan lalu tangan digosok-gosok sesama sendiri sebelum menganjakkan diri sedikit menjauh dari Puan Mumtaz. 

“Mak, Far belum pekak lagilah. Suara mak tu boleh dengar sampai hujung taman ni tau!” Dia memprotes terang-terangan tapi mata tetap dihala ke depan bagaikan rancangan yang sedang bersiaran di televisyen sekarang sangat menarik perhatiannya berbanding Puan Mumtaz di sebelah. Farhah jeling sedikit wajah Puan Mumtaz. Ternyata wanita itu terus merenungnya bagaikan dia seorang pesalah jenayah berat yang sedang menunggu masa untuk menerima hukuman. 

“Mak tak puas hati ni, hang ulang balik apa yang hang cakap tadi!” Makin kuat suara Puan Mumtaz. Ini kalau tak diikutkan akal yang waras, mahunya dia buat jeritan menggunakan vokalnya yang paling tinggi dan dalam sekali. 

“Mak, janganlah pura-pura tak dengar! Far dah cakap lebih daripada dua kali dah. Nak Far buat siaran ulangan ke?” Farhah menjongketkan kening. Puan Mumtaz di sebelah rasa macam nak piat saja kuat-kuat telinga anak perempuannya walaupun usia Farhah sudah tidak layak menerima hukuman sebegitu. Masa kecil-kecil dulu seronoklah dia piat telinga Farhah jika dia berbuat salah tapi ini dah besar panjang, umur dah nak masuk 29 tahun. 

“Eh, Farhah... Hang jangan nak main-main tau! Jangan nak buat lawak depan mak! Hang ingat hang tu tengah on air dalam rancangan komedi ka apa?” tengking Puan Mumtaz dengan suara kuat.

 Farhah melepaskan nafas berat. Penat betul bercakap dengan emaknya yang seorang ini. Benda senang saja pun. Dah terang-terang dia beritahu tadi. Bukan sekali, bukan dua kali tapi lebih daripada itu dia beritahu kepada Puan Mumtaz dan dia yakin yang emaknya itu memang mendengar dengan jelas tapi sengaja nak dia ulang semula apa yang disebut tadi. 

“Hoi, mak tanya ni dia boleh duk tayang muka macam tapai basi. Jawablah!” Serentak Farhah rasa yang pahanya bukan main pedih lagi setelah ditampar oleh tangan ‘gagah’ Puan Mumtaz. 

“Mana ada Far main-main, mak. Far serius ni!” 

“Ya Allah, apa kena dengan hang ni, Farhah?” Puan Mumtaz memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangan sambil menayang muka berkerut. Pening sungguh dengan perkhabaran yang dibawakan oleh Farhah hari ini. “Tak ada apa-apa.” “Tak ada apa-apa konon! Kalau tak ada angin, tak ada ribut... Macam mana boleh tiba-tiba nak bercerai-berai pula ni? Hang jangan buat pasal, Farhah!”

 “Buat pasal apa, mak? Far cuma cakap kepada mak yang Far nak bercerai. Itu aje.” Farhah masih beriak selamba sedangkan Puan Mumtaz sendiri dah seperti kucing hilang anak saja. 

“Hang cuba cerita dengan mak betul-betul. Apa kes sampai hang nak bercerai ni? Hang bergaduh dengan Muhsin ka?” Bahu Farhah ditarik laju. Mata menjegil pandang Farhah. Hatinya tidak senang mendengar perkhabaran Farhah yang mahu bercerai dengan suaminya, Muhsin. Entah apalah kenanya budak berdua ni. Elok-elok saja hidup sebagai laki bini tiba-tiba nak bercerai pula! “Apa kes sebenarnya ni? Muhsin ada simpan perempuan lain ka?” tebakan Puan Mumtaz membuatkan Farhah mencebik. Laju saja dia menggeleng lalu memeluk tubuh. Mata sengaja dilarikan dari wajah Puan Mumtaz. Ini yang kadang-kadang dia rimas dengan gelagat emaknya ni. Suka betul buat reaksi yang menakutkan seperti ini, padahal dia cuma beritahu yang dia nak bercerai. Bukannya dia beritahu yang dia nak berpindah tinggal di planet Marikh pun. 

“Dah tu, hang yang ada jantan lain?” Ayat Puan Mumtaz yang serkap jarang membuatkan Farhah berdesitdesit kasar, memprotes. 

“Ada ke situ pula mak ni. Far ni masih waraslah, mak. Masih ada akal dan tahu beza hukum-hakam. Takkanlah Far nak buat perkara tak senonoh macam tu!”

 “Habis tu, kalau dah Muhsin sendiri tak ada perempuan lain dan hang pun tak pasang jantan lain kat belakang dia, apa hal yang hangpa berdua nak bercerai? Orang... Kalau ada akal, tak adanya nak buat perkara bodoh macam ni,” bebelan Puan Mumtaz masuk terus ke telinga Farhah. 

Tapi dia cuma kaku di atas sofa seakan-akan sedang tercampak dalam sebuah dimensi yang berbeza dengan emaknya. 

“Hoi, cik kak! Hang dengaq atau tidak apa mak tanya ni?” Paha Farhah sekali lagi ditampar kasar dek tangan Puan Mumtaz yang berisi sehingga Farhah terkejut. 

“Sakitlah, mak.” Pahanya digosok-gosok sambil buat muka. 

“Kalau dah tahu sakit, soalan mak ni, hang jawablah!” Puan Mumtaz mengetap bibirnya menahan geram. Ikutkan hatinya, nak saja dia bagi ceramah percuma mengenai rumah tangga kepada Farhah tapi dia mesti mendengar apa masalah anak menantunya sampai nak bercerai-berai begini. Terkejut sungguh tapi dia tak berpuas hati dengan reaksi anaknya. Boleh dia buat muka selamba! Hei, nak kena ketuk ni! “Entah.” “Entah?” Menjegil mata Puan Mumtaz.

“Mungkin kami dah tak ada persefahaman dah kut?” 

“Hang ni biaq betul, Farhah? Itu saja alasan hang nak bercerai dengan Muhsin? Eee... Hang ni betul-betul buat mak sakit hati sajalah!” 

“Awat pula?” Farhah tenung muka Puan Mumtaz dengan perasaan pelik. Eh, mak aku ni. 

Tak puas hati apa lagi? 

“Hang ada sembunyikan apa-apa daripada mak ka? Baik hang cakap apa sebenarnya punca hang dengan Muhsin nak bercerai? Takkan dah tak ada persefahaman pun dah ambil keputusan nak bercerai? Tak masuk akal betullah!” Jari telunjuk Puan Mumtaz tepat di depan batang hidungnya.

 Farhah tenung Puan Mumtaz agak lama sebelum tertelan liur. Rengkungnya rasa sempit sedikit melihat gaya emaknya ini. Tu dia... Macam mami jarum naik angin! Ngeri! Seram! 

“Betullah, mak. Kalau dah tak ada persefahaman, buat apa nak teruskan hubungan yang dah retak menanti belah ni? Kalau Far ke kiri dan dia ke kanan, tak sama haluan... Kan lebih elok aje berpisah. Tak ada siapa yang akan sakit hati nanti.” 

“Senang saja hang bercakap, noh? Buat muka macam tak dak perasaan. Hang ingat perkara cerai-berai ni perkara mainan ka? Boleh duk buat main? Ni siapa yang mulakan dulu?” 

“Far tahu perkara ni bukan perkara kecil. Tapi Far dah fikir masak-masak dan kami berdua pun dah bersetuju. Jadi, kami berdua ambil keputusan untuk berpisah. Tak ada jalan lain lagi dah!” 

“Oh, waktu buat keputusan nak bercerai boleh pula hangpa berdua ada persefahaman. Hah, eloklah tu. Elok! Dua-dua dah bersetuju nak bercerai. Dulu masa kahwin, bukan main tak ingat dunia. Buat majlis besar-besaran, gah bukan main sampai boleh masuk Malaysian Book of Records. Apa orang la ni kata, wedding of the year? Hah, la ni nak bercerai-berailah pula! Hei, Farhah... Farhah... Hang dengan Muhsin fikir perkara kahwin cerai ni perkara main-main ka, hah? Bila suka, kahwin... Bila tak suka, bercerai. Macam tu?” Puan Mumtaz dah nak buat amukan kepada anaknya. Geram sungguh. 

“Janganlah diungkit benda yang dah lepas, mak. Far tahu masa Far kahwin dulu, dah banyak duit berhabis untuk majlis tu. Tapi apa yang jadi sekarang ni bukan kehendak Far ataupun dia. Kami pun sama-sama tak pernah fikir perkara macam ni akan berlaku. Tapi kita kena berbalik kepada kehendak takdir, kan mak? Far dah berusaha sehabis daya nak selamatkan perkahwinan kami tapi jalan penyelesaiannya tetap tak ada. Kami memang dah tak boleh hidup sebagai pasangan suami isteri lagi. Memang dah tak boleh. Far hanya nak bercerai dan mulakan hidup baru. Itu saja,” balas Farhah mendatar. 

Tangan Puan Mumtaz pantas diraih dan digenggamnya kemas-kemas. Anak mata wanita separuh abad itu ditenung meminta pengertian. 

“Far cuma nak sokongan daripada mak dengan ayah aje sekarang ni. Far nak restu mak ayah.”

 “Apa hang merepek ni? Restu apa? Restu nak jadi janda?” tempelak Puan Mumtaz sambil menarik tangannya dari genggaman Farhah. Marah betul dia. Nak saja dia lukuluku kepala Farhah. Ini mesti buat keputusan dalam keadaan marah. Mesti tak fikir panjang gamaknya. Apa, dia ingat senang nak galas status janda? Umur tak cecah tiga puluh tahun dah jadi janda. 

“Tak kesahlah, mak... Nak jadi janda ke, balu ke... Kalau dah itu takdir Far, nak buat macam mana lagi, kan?” Farhah jawab pasrah. Sebenarnya, hatinya sakit apabila mendengar perkataan janda meniti di bibir sendiri. Tapi dia dah tekad, nak jadi apa pun jadilah. Yang penting, niatnya untuk bercerai tetap diteruskan.

 Puan Mumtaz mendengus deras lalu meraup kepalanya. Susah benar kalau ada anak seperti Farhah. Kalau dah hitam katanya, hitamlah. Tak adanya nak jadi putih, kelabu, biru, merah atau sebagainya. Pening kepala dibuatnya. Ini mujurlah dia ada anak seorang saja, kalau dia ada anak yang lain tak tahulah kerenah yang macam mana lagi dia perlu hadap. 

“Mak dah tak tau nak cakap apa lagi kat hang. Hang tu dah besaq, kalau mak membebel panjang berjela nanti hang kata mak tak sporting. Mak sekolahkan hang nanti hang cakap hang dah cukup bijak pandai. La ni, mak nak hang pikiaq dalam-dalam sebelum buat tindakan melulu. Umur hang tu pun bukannya muda lagi. Dah nak masuk 29 tahun. Dah boleh pikiaq yang mana baik dan yang mana buruk. Jangan buat keputusan yang akan memakan diri sendiri nanti.” Sesaat kemudian, Puan Mumtaz terus berlalu meninggalkan Farhah sendirian di ruang tamu. 

“Mak, Far tetap nak bercerai!” pekiknya. Bertekad.


Puan Adibah menuju ke bahagian luar rumahnya, ke kawasan kolam renang sambil membawa segelas air yang baru siap dibancuh. Hati masih tak sudah berdongkol geram sebenarnya tapi dia gagahkan juga diri agar tidak cepat melatah. Ikutkan hatinya, nak simbah aje air sejuk yang dipegang ni ke atas kepala anaknya. Bukan main seronok lagi, landing di tepi kolam renang seolah-olah dia tu pelancong yang sedang berjemur di tepi pantai. Siap dengan baju bunga-bunga, seluar pendek, topi besar di atas kepala dan kaca mata hitam yang elok tersangkut di batang hidungnya. 

“Air, Sein,” tegurnya sambil menghulurkan gelas kepada Muhsin. Puan Adibah mengambil tempat di kerusi sebelah Muhsin sambil merenung wajah lelaki itu yang nampak tenang saja. 

“Terima kasih, ibu.” Ceria betul Muhsin membalas sambil mencapai gelas dari tangan Puan Adibah. Air disisip sedikit dan gelas diletakkan ke atas meja kecil di tepi kerusinya. Kemudian, dia kembali merehatkan diri dengan meletakkan kedua-dua tangannya ke belakang kepala. 

“Kau cuti berapa lama ni?” Soalan Puan Adibah memang disengajakan. Sejak lebih sejam yang lalu anaknya singgah ke sini, Puan Adibah hanya dimaklumkan oleh Muhsin yang dia bercuti hari ini. Tapi, nampak pada gayanya macam nak bercuti lama. Beg baju yang dibawa seperti nak berpindah rumah lagaknya. Dia tahu anaknya itu sentiasa sibuk dengan kerja. Hari Sabtu pun sibuk di pejabat. Itu yang dia rasa pelik sedikit apabila tiba-tiba saja Muhsin datang ke sini dan beritahu yang dia cuti sedangkan dua tiga hari lepas Muhsin asyik sibuk dengan urusan pejabat. 

“Tiga hari. Hari Selasa Sein masuk pejabat semula.”

 “Sepanjang cuti ni, nak tinggal kat sini ke? Siap bawa beg baju lagi macam nak lari rumah. Tak nak balik rumah ke?” 

“Nak balik rumah buat apa, ibu? Tak ada apa pun kat sana.” 

“Amboi, habis tu bini kau tu apa? Nak biar Farhah seorang diri kat sana?” Muhsin selak topi besarnya lalu melurutkan kaca mata sebelum tenung wajah Puan Adibah. Seketika, keningnya mula bercantum rapat. 

“Pergilah balik. Waktu-waktu cuti macam inilah patutnya kamu berdua meluangkan masa bersama. Isi masa lapang berdua. Paling tidak pun, bawalah Farhah berjalanjalan.” Cadangan Puan Adibah mendapat cebikan halus daripada Muhsin. 

“Hah, apa hal tayang muncung macam tu dekat ibu?” 

“Nak bawa Farhah berjalan-jalan apanya, ibu? Dia dah balik rumah mak dia.” 

“Hei, ibu tak fahamlah dengan kamu berdua ni. Seorang ke sana, seorang ke sini. Apa kata kau pergi rumah mak mentua kau tu dan ambil Farhah. Bincang elok-elok masalah kau orang tu. Jangan biar macam ni, nanti melarat. Benda masih boleh dibawa berbincang, Sein!” Puan Adibah cuba bagi cadangan. Sejak diberitakan oleh Muhsin yang anaknya itu mahu bercerai, hatinya tak sudah berdoa semoga tak ada apa-apa yang tak baik akan berlaku. “Tak ada benda yang boleh dibawa berbincang dah, ibu. Persetujuan dah dicapai. Sein dengan Farhah akan bercerai tak lama lagi.” Puan Adibah mengalihkan posisi tubuhnya. Ikut hati nak saja dia tarik anaknya dan tolak masuk ke dalam kolam. Tayang muka selamba macam tak ada apa-apa masalah sedangkan dia baru saja buat keputusan untuk bercerai dengan isterinya. 

“Hei, budak bertuah... Geram pula ibu dengan kau ni!” Puan Adibah mengepal-ngepal penumbuknya sambil mengetap gigi menahan rasa. “Kau dah fikir masak-masak ke, Sein? Kau jangan buat main benda kahwin cerai ni boleh tak?” 

“Mana ada Sein buat main, bu. Sein serius ni.” 

“Habis tu, kau betul-betul nak bercerailah ni?” “Dah itu yang Farhah nak. Sein ikutkan aje.” “Hoi, Sein! Kalau tak fikir yang kau tu dah besar panjang, memang ibu ketuk kuat-kuat kepala tu. Bercakap ikut sedap mulut saja. Apa kata Farhah, kau ikut saja. Habis tu apa peranan kau sebagai suami dia? Jadi pak turut? Menonong ikut kata bini. Dia minta cerai, kau nak bercerai. Esok-esok kalau dia suruh kau terjun lombong, kau buat jugalah macam tu? Hei, ini kalau abah kau tahu ni... Sampai hujung tahun kau tak tidur lena dengar tazkirah dia. Kau dah fikir habis-habis ke pasal hal ni?” 

“Sein dah buat keputusan pun, ibu. Tak ada apa yang boleh diubah lagi.” 

“Hei, kepala batu betul! Dah tak ada jalan lain lagi ke nak selamatkan rumah tangga kamu berdua? Kahwin tak sampai dua tahun dah nak bercerai. Kau fikir hal kahwin cerai ni macam makan ais kacang?” Muhsin hanya tersengih mendengar bebelan Puan Adibah seakan-akan bebelannya itu sebuah melodi yang membuai jiwa. Tambahan pula cuaca di luar cantik, duduk pula di depan kolam renang. Bertambahlah terbuai jiwanya. “Ibu bercakap sampai berbuih mulut ni kau boleh sengih aje, kan?” 

 “Tak adalah. Dengar ibu bercakap, rasa nak layan tidur kat sini. Syok!” 

“Banyaklah kau punya syok. Sudah, ibu tak kira... Kau pergi ambil Farhah kat rumah mak mentua kau dan bawa dia balik. Pergi berbincang elok-elok masalah kau orang ni. Selagi boleh selesai, kau selesaikan. Jadi seorang lelaki yang matang sikit, Sein. Jadi manusia yang tegas.” 

Muhsin sisip air lagi dari gelas lalu bersandar enak kembali ke kerusi dan menarik topi besar ke hadapan sehingga menutup keseluruhan wajahnya. Terasa indah betul kalau tidur di luar begini.

 “Sein! Ibu bercakap ni kau boleh buat derk aje.” Bahu Muhsin laju ditampar oleh Puan Adibah sehingga dia mengaduh sakit. “Pergilah bawa balik Farhah tu. Pujuk isteri tu...” 

“Nak buat apa, bu? Buang masa ajelah. Baik lagi Sein lepak kat sini sambil dengar ibu membebel.” “Astaghfirullahalazim, Sein! Kau nak ibu campak kau masuk dalam kolam ni ke?” 

“Sein sanggup kena campak masuk kolam seribu kali daripada Sein kena ambil Farhah dan bawa dia balik ke rumah Sein.” 

“Apalah yang kau merepek ni, Sein?” Puan Adibah dah tayang wajah mencuka. Nak gugur jantungnya dengar kata-kata Muhsin. Ini kalau tak diikutkan rasa sabar, memang betul-betul dia buat apa yang dia canangkan sebentar tadi. 

“Sein tak merepek, ibu. Sein malas nak pergi rumah mak dan hadap Farhah tu. Ibu tahulah dia tu macam mana. Lagipun, kami berdua dah bersetuju dan dah capai kata sepakat. Sein harap sangat yang ibu tak halang keputusan kami ni. Sein cuma nak buat yang terbaik untuk diri Sein. Itu aje, ibu.”

 Sambil muka bertutup dengan topi, dia masih mampu bercakap lagi. Puan Adibah tenung dalam-dalam anaknya lantas melepaskan satu nafas berat. 

“Kau masih sayang Farhah?” 

“Apa soalan macam tu yang ibu tanya pula?” Muhsin selak topinya, mencari bebola mata Puan Adibah. “Kau sayang dia lagi tidak?” tekan Puan Adibah tapi Muhsin hanya membiarkan saja pertanyaan itu tergantung dan terus menikmati suasana damai di tepi kolam renang.