BAB 1
SUFIYYA tergesa-gesa
bersiap memandangkan dia terlewat bangun. Bukan tidak dikejut emak, tapi salah dia sendiri.
Tertidur semula sehinggalah emak mengejutkannya semula. Berebut pula bilik air
dengan Sophea, adiknya.
“Phea,
cepat sikit. Akak dah lambat ni,” jerit Sufiyya kepada adiknya yang bakal
menduduki peperiksaan tahun kedua kursus kejururawatan. Dia perlu menghantar
Sophea terlebih dahulu ke kolej, sebelum ke pejabatnya.
“Iyalah,
siap dah ni. Eii, bising betul
perempuan ni,” gerutu Sophea sambil berlari-lari anak menuju ke pintu.
“Eh,
tak nak minum dulu ke kau orang ni?” tanya Hajah Mariam pula apabila dilihatnya
kedua-dua anak daranya tergopoh-gapah menyarungkan kasut.
“Tak
sempat dah mak.” Serentak laungan Sufiyya dan Sophea menerobos gegendang
telinga Hajah Mariam.
“Bye mak, abah. Doakan orang, ya.
Assalamualaikum,” jerit Sophea sambil berlari-lari anak menuju ke arah Sufiyya
yang sedang menunggu di dalam kereta.
“Waalaikumussalam.
Baca Bismillah dulu Phea, nak jawab soalan tu,” sempat emak menitipkan pesan. Sufiyya
segera memulakan pemanduan sebaik saja Sophea menutup pintu kereta. Mereka
berbual kosong sambil bergelak ketawa.
“Akak,
serius ke nak kahwin dengan Khairy tu? Kita ni, muda lagilah akak? Akak tak
rasa rugi ke?” Sophea tiba-tiba menukar topik, serius benar bunyinya.
“Kalau
masing-masing dah suka, buat apa tunggu lama-lama. Lagi pun, mak kan tak suka
kita berkawan dengan lelaki lama-lama. Tak elok. Akak kalau boleh tak mahu
bantah cakap mak, nanti tak berkat.”
Sufiyya tahu Sophea tak setuju dengan
keputusan ini. Sophea seorang yang lebih terbuka pemikirannya berbanding
Sufiyya yang agak konservatif, polos dan naif.
“Akak, memanglah kita kena ikut cakap mak,
tapi kan, akak dah betul-betul bersedia ke nak sehidup semati dengan Khairy tu?
Akak tahu tak sekarang ni, statistik perceraian 17 kes dalam satu hari tau.
Semua tu lelaki yang menyumbang, semuanya difailkan oleh pihak isteri.”
“Phea, tak ada orang nak bercerai. Dahlah,
kau tu, nak exam ni, dah ready ke? Semalam bukan main lagi kau duduk
mengadap televisyen.” Sufiyya kembali menukar topik sebaik saja kereta memasuki
pintu masuk kolej.
“Ala,
rileklah akak. So far so good.”
Sophea mengenyitkan mata sambil menunjukkan isyarat bagus kepada Sufiyya.
“Nak
riaklah tu. Result teruk nanti baru tau.” Sufiyya mengingatkan adiknya.
“Kalau result
orang cantik, akak belanja orang, eh?” Sophea melirik manja ke arah Sufiyya.
“Eh, bukan tiap-tiap hari ke akak belanja
kau makan?” Sophea ketawa
mengekeh.
“Result
bagus, belanja yang special sikitlah,
eh?”
“Banyaklah kau punya special. Dah, turunlah cepat. Good
luck!” Tawa Sophea berterusan. Senang hati benar gayanya, bisik hati
Sufiyya sebelum meneruskan pemanduan menuju ke pejabatnya.
“AKAK, akak, tadi
kan, orang ternampak Khairy tu, kat restoran mamak.” Tercungap-cungap Sophea
mendapatkan Sufiyya yang berada di dapur untuk menyediakan makan malam.
Sophea
yang baru saja balik daripada kolej, terus menyerbu ke dapur. Sangka Sufiyya,
adiknya kelaparan.
“Pelik
sangat ke, bandar ni bukanlah besar sangat pun. Tak mustahil kalau dua tiga kali kau terserempak
dengan dia. Kau pun kaki merayau juga,” balas Sufiyya sambil membantu Hajah
Mariam memotong sayur.
“Merayau
aje kau Phea, bukan nak terus balik ke rumah,” sambung Hajah Mariam. Sufiyya
tersenyum mengejek. Padan muka, memek bibir Sufiyya membuatkan Sophea mencubit
lengannya.
“Ala,
celebrate dengan kawan-kawan kejap
pun tak boleh ke?” Sophea
merengek manja. Sufiyya buat-buat tak dengar, begitu juga dengan emak.
“Eii, nak dengar tak ni. Penting ni! Akak
wajib dengar apa yang orang nak cakap ni.” Bersungguh-sungguh benar Sophea mahu
bercerita.
“Apa
yang pentingnya Phea...” Meleret Sufiyya bertanya. Malas nak layan sebenarnya.
“Khairy
tu tadi, ramai betul kawan-kawan dia. Lepas tu, kawan dia semuanya pelik-pelik,
macam geng kongsi gelap. Lepas tu kan, bila dia nampak orang, dia macam
terkejut gilalah, lepas tu dia buat-buat tak nampak kat orang. Macam orang yang
bersalah nampak polis, haa, macam itulah gayanya si Khairy buah hati akak tu
tadi.” Dalam satu nafas Sophea bersyarah sambil berdrama. Panjang lebar
penerangannya sampai Sufiyya turut semput mendengarnya.
“Kau
pergi tegur dia tak?” tanya Sufiyya.
“Taklah,
dah dia pun buat-buat tak nampak aje, padahal orang duduk meja depan dia.
Mustahil sangat kalau dia tak nampak orang.”
“Baik
kau siasat siapa kawan-kawan dia Sufi. Mak tak nak nanti dah berkahwin,
macam-macam pula cerita yang keluar.” Hajah Mariam bersuara membuatkan kedua
beradik ini terdiam sejenak.
Hati Hajah Mariam sememangnya tidak begitu
tenang sejak Sufiyya bertunang dengan Khairy. Entah mengapa, namun dia terpaksa
pendamkan saja demi kebahagiaan Sufiyya.
“Iyalah
mak,” balas Sufiyya lemah. Dia mengerling sekilas ke arah Sophea. Dengan wajah
rasa bersalah, Sophea memohon maaf melalui gerak bibirnya.
Fikiran
Sufiyya menerawang walaupun tangannya sedang sibuk membantu emak di dapur.
Segala yang berlaku adalah perancangan Tuhan. Telah setahun dia menyulam kasih
dengan Khairy sebelum mereka mengambil keputusan untuk bertunang. Telah mengenali
hati budi kedua ibu bapa Khairy dan juga abangnya. Kelihatannya mereka daripada
golongan yang baik-baik. Sufiyya hanya mampu berdoa agar tiada sesuatu yang
buruk akan berlaku antara dia dan Khairy.
“Akak,
orang minta maaf. Orang cuma cerita apa yang orang nampak. Bukan nak reka-reka
cerita, tau.” Sophea memujuk kakaknya. Dia tahu kakaknya terasa hati.
“Tak
apalah dik, akak akan cuba siasat.” Lirih Sufiyya membalas. Selebihnya dia mendiamkan diri sehinggalah
selesai menyediakan makan malam mereka.
No comments:
Post a Comment