Showing posts with label JODOH YANG TERTANGGUH. Show all posts
Showing posts with label JODOH YANG TERTANGGUH. Show all posts

Monday, 27 March 2017

JODOH YANG TERTANGGUH KARYA ROSE EZADORA

Bab 3 

AKU masuk semula ke bilik study dan terus mengetuk papan kekunci komputer. Laju pula jari-jari tua ini menekan abjad.
Tiba-tiba aku terdengar azan maghrib dari surau di hujung blok. Sudah maghrib rupanya. Aku menutup komputer dan berjalan ke tingkat atas untuk menunaikan apa yang wajib. Usai maghrib aku turun semula dengan niat mencari ilham. Hari ini tidak banyak yang dapat aku coretkan. Hanya beberapa helai coretan sahaja. Itu pun karakter yang bukan-bukan. Silap hari bulan apabila diedit nanti hanya tinggal sehelai coretan sahaja.
Hesy... Idea hilang hari ini. Nasib baik kunjungan Camelia sekeluarga sedikit sebanyak dapat menghiburkan hatiku terutama dengan telatah si kecil Casandra.
Baru beberapa bulan aku bersara awal, aku sudah tidak tahu apa yang hendak aku lakukan. Bagaimanalah agaknya jika sudah bertahun-tahun menjadi seorang doktor
haiwan pencen? Orang masih lagi bekerja pada usia 50 tahun. Malah ramai yang sanggup bertugas sehingga berusia 60. Tetapi aku mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan aku. Cukuplah rasanya aku berkhidmat lebih dari 28 tahun. Berilah peluang kepada orang-orang muda untuk memberikan khidmat mereka.
   Aku dah tak ada apa-apa tanggungan. Daniel, anak lelaki aku sudah mengambil keputusan untuk bermastautin di Switzerland setelah berumah tangga dengan Easter Reinhard, perempuan rakyat Swiss beberapa tahun lalu. Delailah, anak perempuan aku pula bertugas sebagai jururawat di Hospital Kota Kinabalu dan baru sahaja berumah tangga. Kini dia mengikut suaminya, Kolonel Mirza, seorang pegawai tentera yang bertugas di Sabah.
Yang tinggal hanyalah Camelia, anak angkatku. Dialah yang rajin menjenguk aku.
  AKU ke dapur memanaskan lauk yang telah dibekalkan oleh Camelia petang tadi. Masak lemak pisang muda dan ayam goreng berempah. Nampak sedap. Camelia memang pandai memasak. Mungkin disebabkan minat dan juga mewarisi bakat daripada arwah ibunya. Gulai lemak pisang muda aku kunyah perlahan. Lauk kampung ini mengingatkan aku kepada seseorang. Arwah suamiku. Kenapalah aku asyik terkenangkan dia sejak akhir-akhir ini walaupun sudah 7 tahun dia pergi meninggalkan aku? Sedangkan aku tak pernah lupa menghadiahkannya al-Fatihah setiap selesai solat. Dia pergi meninggalkan aku yang belum puas berkasih sayang dengannya. 20 tahun berkongsi kasih. Rasa terlalu singkat. Tetapi Ilahi lebih menyayanginya. Dia pergi tanpa aku duga. Menjadi mangsa langgar lari. Sehingga kini tidak diketahui siapakah yang bertanggungjawab atas kemalangan itu. Yang pasti ia meragut beberapa nyawa termasuk arwah suamiku.
Sekali lagi aku reda. Reda dengan pemergian orang yang amat aku sayang. Sudah sampai ajalnya. Tuhan lebih mengasihinya. Aku bersyukur kerana Dia meminjamkan lelaki itu untuk menemankan aku. Walaupun tidak sehidup semati, namun kehadiran lelaki itu cukup memberi makna yang besar dalam hidupku.
“Abang, Lyna rindu abang.” Terkeluar suara hatiku dengan air mata bergenang.
  Aku sapu air mata dengan belakang tangan. Kemudian aku tenung gulai pisang tidak berkelip. Air mata aku tahan dari keluar. Tetapi aku tidak mampu. Air mata tetap mengalir di pipi tua aku.
“Gulai lemak. Kerana gulai lemak pisang muda ini aku terikat denganmu,” bisik hati kecilku.
GULAI lemak pisang muda membawa aku mengelamun jauh ke waktu silam. Teringat aku insiden 23 tahun lalu di bulan September. Aku tidak berapa ingat tarikh yang tepat.
“Liaaa...” Lembut sahaja aku memanggil Camelia tetapi Camelia tetap berlari meninggalkan aku yang sibuk hendak mengambil barang di dalam kereta.
“Lia… Lia sayang. Jangan berlari, nak. Nanti jatuh,” tegurku kepada Camelia yang sedang terkedek-kedek berlari hendak memasuki lif yang sudah terbuka.
Camelia, budak perempuan yang berusia tidak sampai dua tahun dan baru beberapa bulan di bawah jagaan aku. Lif memang sudah terbuka. Hanya menunggu untuk aku dan Lia masuk rupanya. Camelia sudah berada di dalam lif. Nasib baik ada insan yang baik hati sanggup menunggu aku.
“Terima kasih, encik...” kataku apabila melihat lif tersebut sudah ada penghuni. Seorang lelaki yang sedang menjinjing beg kerja. Air mukanya nampak bersih serta berkulit sawo matang. Jambang juga nampak dijaga kemas.
Aku terus memegang tangan Camelia dan tangan sebelah lagi cuba menekan angka 8. Tetapi jari aku terhenti daripada menekan butang 8 kerana ia sudah sedia menyala. Aku toleh ke arah lelaki itu yang hanya menumpukan pandangannya ke arah lampu lif. Aku tidak pernah bertemu dengan lelaki itu. Penghuni baru agaknya. Nampak gayanya lelaki itu juga akan turun di tingkat 8. Sama tingkat dengan aku. Aku yang sarat dengan beg bekalan Camelia serta beg tangan, membuatkan agak susah mengawal Camelia yang ingin bebas. Orang baru dapat kaki, memang hendak berjalan sahaja. Tidak mahu dipegang.
Lelaki itu menoleh. Mungkin perasan dirinya diperhatikan.
 “Anak ke?” tanyanya.
Hanya anggukan yang aku berikan.Nak menguratlah tu, bisik hati kecilku.
“Beri saya beg besar tu. Kita turun di tingkat yang sama,” kata lelaki itu ingin membantu.
Amboi hendak berbudi pula dia. Tidak takutkah nanti lebam biji mata ditumbuk suami perempuan yang cuba dibantu? Kan dah tahu aku ni ada anak. Jika ada anak, pasti ada bapa kepada budak tersebut!
“Tak apa. Terima kasih,” jawab aku cuba jual mahal. Lagak seperti bodoh sombong sahaja. Sebenarnya aku malas hendak terhutang budi dengan sesiapa. Nanti banyak soalan yang aku kena jawab.
Mata aku asyik memandang ke butang lif yang menyala dari satu tingkat ke satu tingkat. Aku tidak sedar rupanya Camelia sudah memimpin tangan si lelaki itu.
Aduh, Lia! Itu bukan ayah. Aku sudah menggelabah! Segera aku leraikan tangan Camelia.
“Maaf, encik,” jawabku sepatah.
Dia hanya pandang dan senyum. Aku segera kelek Lia walaupun agak sukar.
“Puan, bagi saya bantu puan. Lagipun kita turun sama tingkat, kan?” Ulangnya lagi seperti mendesak.
Ting. Bunyi lif memberi isyarat sudah sampai di tingkat 8.
Mahu tidak mahu, aku terpaksa juga menerima pertolongan lelaki itu. Malu juga kerana tadi jual mahal konon. Tetapi sombong bodoh sebenarnya.
“Unit mana?” tanyanya lagi.
“808,” jawabku pendek.
“Laaa... Saya 810. Sebelah aje. Kita ni berjiran rupanya,” katanya dengan senyuman.
Manis pula aku lihat wajahnya apabila dia tersenyum.
Dia tersenyum tetapi aku mengerutkan muka apabila dia menyebut unit 810. Memang unit 810 hanya bersebelahan dengan unit aku. Sudah dua tahun aku menyewa di apartmen ini. Tetapi aku tidak pernah pula tahu yang lelaki itu jiran aku. Setahu aku, jiran sebelah unit aku itu ialah Kak Rozi dan Abang Marzuki sekeluarga. Ke mana pula mereka pergi? Tidak pula aku dengar yang mereka sudah berpindah. Baru kelmarin aku nampak Joey, anak lelaki mereka pulang dari sekolah. Yang lelaki ini siapa pula?
Aku turunkan Camelia tetapi tangannya masih aku pimpin. Kemudian tangan meraba-raba ke dalam beg tangan, mencari kunci rumah.
“Terima kasih,” ucap aku setelah dia meletakkan beg bekalan Camelia betul-betul di hadapan aku. Dia hanya tersenyum dan terus menyeluk poket beg yang dijinjingnya. Kemudian dia mengeluarkan kunci lalu masuk ke unit 810.
Sah! Nampaknya lelaki itu penghuni baru unit tersebut. Yang aku hairan, kenapa Kak Rozi tidak beritahu yang mereka sudah berpindah? Setahu aku, unit tersebut milik mereka. Bukannya menyewa seperti aku.
Hesy, misteri betul. Kak Rozi dah jual unit itu agaknya.
Yang aku hendak pecahkan kepala fikirkan perkara itu buat apa? Bukannya lelaki itu memecah masuk. Dia ada kunci!
Jadi apa masalahnya lagi?
Aku pun bukannya selalu keluar. Hidup aku hanya di hospital haiwan dan rumah. Dan kini sejak ada Camelia, sekali-sekala aku ke taman permainan jika ada kelapangan. Membawa Camelia bermain di sana.
Ah, pedulilah siapa yang duduk di unit itu. Janji dia tidak mengganggu aku, bisik hati kecilku. Tetapi hati ini jahat pula. Masih hendak berkata kata.
Wahai hati, biarkan sahaja. Bukan ada kena mengena pun dengan diri aku. Asyik teringat aje. Buat aku runsing.


                                  Bab 4

SEPERTI biasa, aku mandikan Camelia kemudian bermain dengannya sebelum masak yang ringkas untuk mengisi perut aku. Janji kenyang. Goreng telur dengan kicap pun sedap. Kena pula nasi panas! Yummy!
Sedang aku leka bermain bersama Camelia, aku dengar pintu depan seperti dibuka. Terdengar kunci berlaga. Aku tahu siapa yang baru balik. Dian, teman serumah aku. Aku berkongsi menyewa apartmen ini dengan Dian yang bekerja sebagai setiausaha di Sime Darby. Bukan aku tidak mampu untuk menyewa satu unit, tetapi aku perlukan seorang teman. Sekurang-kurangnya jika apa-apa berlaku, sakit pening, ada juga teman yang mengetahui. Lagipun Dian anak saudara salah seorang rakan sejawat aku di hospital. Sudah dua tahun bersama. Setakat ini kami sangat rapat bagaikan saudara.
“Yan...” Aku memulakan perbualan.
Dian baru sahaja melabuhkan punggungnya tetapi aku sudah ajukan soalan. Tidak sempat-sempat hendak meluahkan apa yang terbuku dalam hati.
“Hemmm...” jawab Dian sambil lewa.
Malas melayan aku. Dia penat agaknya.
“Kau tahu tak pasal jiran kita?” tanya aku.
Dian menoleh. Terkejut agaknya. Lain macam sahaja soalan aku hari ini. Jiran sebelah!
“Jiran yang mana?” tanya Dian kerana jiran satu lagi dihuni oleh 3 orang lelaki bujang.
“Jiran sebelah. Rumah Kak Rozi. Kak Rozi tu pergi mana?” tanyaku kepada Dian yang sedang menonton TV.
Dian mengalihkan pandangannya ke peti TV. Cerita tidak menarik. Keluarga Kak Rozi, mana hendak menarik?
Berkerut muka Dian.
“Kenapa dengan Kak Rozi? Dia pergi mana pula?” soal Dian.
Hampeh betul budak ni. Sepatutnya aku dapat jawapan. Bukan dapat satu lagi soalan.
“Taklah... Tadi masa aku balik dari taska, ada sorang mamat ni satu lif dengan aku. Lepas tu... you know what?” Aku pula hendak berteka-teki dengan si Dian.
Dian mengerutkan lagi mukanya dengan teka-teki aku. Ada-ada aje Cik Ilyna Suffiyah, si minah sengal.
“What?” tanya Dian dengan nada tidak sabar.
“That guy turun tingkat ni dan masuk rumah Kak Rozi tu. Tapi dia ada kuncilah,” jelas aku agar Dian mengerti dengan soalan yang baru aku ajukan kepadanya.
“Tak tahu pula aku. Setahu aku dia ada aje. Baru kelmarin aku nampak anak lelaki dia kat luar dengan kawan dia,” jawab Dian.
“Aku pun nampak,” jelas aku dengan nada kendur.
17
“Dia ada kunci, ya? Jadi bukanlah pencuri ke apa... Apa yang nak dirisaukan? Cuma bukan Kak Rozi. Itu aje!” kata Dian selamba.
“Hemmm... Aku ingat kau tahu. Rupanya kau macam aku juga tak tahu. Ah, lantaklah. Janji dia tak ganggu kita sudah!” kata aku lagi ingin menyedapkan hati.
Sedangkan dalam hati masih banyak lagi tanda tanya mengenai lelaki misteri itu. Kisah Camelia memimpin tangan si lelaki itu tidak aku bangkitkan. Camelia pun satu, yang main hentam pimpin tangan orang yang tidak dikenali tu buat apa?
Buat malu aje!
GRRRINGGG… Nyaring bunyi grille yang aku tarik kerana hendak mengunci padlock. Camelia aku kepong agar tidak pergi ke mana-mana sementara beg bekalan Camelia aku letak ke tepi.
Sedang aku sibuk hendak menjinjing beg Camelia, aku terdengar pula bunyi grille dari rumah sebelah dibuka. Aku menoleh memandang rumah sebelah.
Aduh, mamat ni lagi, bisik hatiku.
Lelaki itu tersengih sahaja sambil melangkah menjinjing briefcase. Dia mara perlahan ke arah aku. Apa kes pula ni? Aku hanya tercegat sambil memimpin Camelia.
Selama ini aku tidak pernah berselisih dengan sesiapa begini. Secara kebetulan atau mamat tu memang tunggu aku, ya?
Wallahualam! Namun aku cuba mencari
18
jawapannya sendiri dengan mengatakan itu adalah satu kebetulan. Lagipun ini dunia bebas. Takkan aku hendak halang dia jika dia mahu keluar pada waktu begini? Oleh itu Cik Ilyna Suffiyah, jangan perasan orang stalking ke apa, tambah hatiku lagi.
“Mari saya bantu,” katanya perlahan.
Tanpa perlu menunggu kebenaran aku, dia sudah mencapai beg bekalan Camelia yang berada di hadapan aku. Selamba badak aje dia.
“Jangan segan, puan. Saya ikhlas nak membantu. Lagipun kita berjiran,” sambungnya lagi.
Aku terdiam dan hanya membiarkan sahaja beg Camelia berada di tangannya. Kemudian dia berjalan mendahului aku menuju ke pintu lif. Aku bagaikan terpukau! Aku hanya mengekorinya dari belakang sambil mendukung Camelia.
“Saya Fahmi... Mohd Zulfahmi.” Dia memperkenalkan dirinya.
Ada aku tanya? Rasanya tidak? Over peramahlah pula dia ni...
Siapalah agaknya yang nak tahu nama dia?
Tetapi apabila difikirkan, dia sudah membantu aku, takkan aku hendak menyombong pula?
“Lyna...” jawab aku sepatah.
Tak kuasa aku hendak memperkenalkan nama penuhku. Cukuplah dengan nama panggilan aku sahaja. Entah dia ingat entah ke tidak. Silap-silap keluar sahaja dari lif, dia terus lupa nama aku.
“Si comel ni?” soalnya sambil mencuit pipi Camelia.
19
“Lia.” Sepatah lagi dari mulut aku.
“Hemmm... Lia dan Lyna. Lyna... Lia... Pandai beri nama. Mak dengan anak nama dekat-dekat. Dua-dua start dari huruf L dan akhir dengan A,” jawabnya.
Hesy, lelaki ni nak apa sebenarnya?
Ting. Bunyi lif sudah sampai. Kami masuk dan ada beberapa orang penghuni sudah ada di dalam lif.
Keadaan di dalam lif sunyi sepi. Aku dukung Camelia. Sibuk pula Camelia bermain dengan kaca mata aku. Sebaik sahaja keluar dari lif, aku segera menuju ke tempat parkir kereta.
“Puan, ni jangan lupa,” kata lelaki itu.
Aduh! Macam mana pula aku boleh lupa beg bekalan Camelia? Kalut betul aku bila bersama dengan jiran baruku ini. Nasib baik dia ingat. Jika tidak Camelia tidak ada bekalan susu dan Pampers jawabnya.
“Terima kasih,” jawabku secara spontan.
Dia hanya mengangguk lalu meninggalkan aku. Nampak gayanya dia bukan lelaki yang suka mengambil kesempatan. Aku tidak seharusnya bersangka buruk dengannya. Apa namanya tadi? Hemmm... Tak silap aku, namanya bermula dengan huruf F. Itulah, silap sendiri. Tadi tak nak ambil tahu. Sekarang tercari-cari!
Aku menghidupkan enjin kereta lalu memandu kereta Mazda merah menuju ke taska Camelia yang tidak jauh dari apartmen. Dalam fikiran masih tercari-cari nama lelaki itu. Manalah tahu suatu hari nanti diperlukan. Tetapi sayang, tidak ada satu nama pun yang match dengan nama yang aku dengar tadi. Itulah gara-gara sombong, kini sombong memakan diri sendiri. Untuk mengelak dari bertembung dengan lelaki yang aku sudah lupa namanya, nampak gayanya aku kena keluar sedikit awal dari waktu biasa.
“Yes! Esok kena keluar 10 minit lagi awal!” Plot perancangan untuk hari esokku. Aku sengih lagi.

Tuesday, 21 March 2017

JODOH YANG TERTANGGUH KARYA ROSE EZADORA

Bab 2

"Bu ...” 
Aku menoleh ke arah suara Camelia yang 
memandang aku dengan wajah hairan. 
Alamak! Aku mengelamun lagi! Kan dah tertangkap. Malunya aku. 
“Ibu dengar tak apa yang Lia tanya tadi?” soal Camelia dengan raut muka yang masih hairan.
“Hemmm... Tadi Lia tanya apa?” soal aku.
“Lia tanya, ibu nak pergi SPCA tak esok? Kita buat kerja amal sikit. Lia dah lama tak jenguk tempat tu. Tak tahu si comot tu masih ada ke tak. Lia bukan tak nak adopt si comot tu... Tapi si kecil ni bukan faham sangat tentang kucing. Mahu mati kucing tu dibuatnya,” jelas Camelia sambil tersengih. Tangan menggosok kepala Sandra yang kini sudah berada di pangkuannya.
Aku faham situasi Camelia. Tengok apa yang telah dilakukannya kepada si Ginger, kucing Parsi aku. Entah hilang ke mana agaknya sekarang ini. Pastinya kucing itu lari atau menyorok. Mana tidaknya, kunjungan si kecil Casandra dua minggu yang lalu pasti memberi kenangan buruk kepada Ginger. Casandra telah mengetuk kepala Ginger dengan botol susu dan telah menjinjing kucing itu hanya dengan memegang ekor sebelum memeluknya. 
“Bu, mana Ginger? Lia tak nampak pun masa sampai tadi?” soal Camelia. Dia baru perasan si kucing oren itu tidak kelihatan. 
Aku menoleh ke arah tempat Ginger tidur. Memang Ginger tiada. Sudah lesap! 
“Entah! Tapi ibu perasan ada dalam bilik ni tadi. Temankan ibu. Ni entah mana dia hilang. Kejap lagi keluarlah dia tu,” kata aku. 
“Meow... Meow...” Tiba-tiba terkeluar suara Casandra. 
Dia mengerti, ibu tok dan uminya membicarakan tentang Ginger, si kucing oren. Dia membongkok sambil mencekak pinggang. Aku dan Lia hanya tersenyum melihat telatah si kecil Casandra. Comel... Sungguh comel!
“Bu... Alim tengok gate tu kena cat semula. Nak Alim catkan ke?” Tiba-tiba Halim muncul. 
“Suka hati Alim la... Ibu tak kisah. Ibu boleh aje upah sesiapa nanti,” jawabku, beralas. 
“Tak payah upah orang, bu. Alim buatlah nanti,” jawab Halim penuh yakin. 
Aku hanya tersenyum. Dalam hati terasa lega. Aku tahu niat Halim yang jujur ingin membantu aku.
“Abang nak air apa? Lia ambilkan,” tanya Camelia kepada suaminya. 
“Apa-apa aje yang sejuk,” jawab Halim. Kemudian dia membiarkan Casandra berjalan terkedek-kedek mengikut uminya.
Aku dan Halim turut sama ke dapur.
“Esok jadi tak?” soal Camelia kepada aku.
“Jadi apa?” tanya aku sambil menghirup jus. 
Camelia senyum.
“Pergi SPCA tu ke? Lia pergi sorang atau dengan Alim? Habis tu, Sandra macam mana?” sambung aku untuk mendapatkan kepastian.  
“Haah.. Pergi SPCA,” jawab Camelia.
“Esok berapa hari bulan?” tanya aku lagi.
“5 September,” jawab Camelia.
“Lia pergi dengan ibu aje. Alim jaga Sandra kejap. Bukannya lama. Paling lama pun dua tiga jam aje,” jelas Camelia. 
“Boleh tak bang?” tanya Camelia lagi. 
“Bila?” tanya Halim.
“Esok,” jawab Camelia sepatah.
Halim diam. Diam tandanya tidak ada bantahan. 
Camelia tersenyum.
“Hemmm... Pukul berapa nak ambil ibu?” tanya aku lagi. 
“Lapan,” jawab Camelia sepatah.
“Hemmm... Okey. Nanti Lia jangan lupa bawa bekas lauk minggu lepas. Ibu dah simpan kat kabinet dapur tu,” kata aku. 
Camelia hanya mengangguk. Kemudian dia membawa gelas-gelas yang telah kosong ke dapur untuk dicuci. Kemudian dia membuka kabinet dapur untuk mengambil dua bekas makanan lalu dimasukkan ke dalam beg. 
“Kami nak pergi Giant kejap ni. Ibu ada apa-apa nak kirim ke? Ada barang-barang yang tak cukup?” tanya Camelia lagi. 
Aku hanya menggeleng. 
“Kalau macam tu, esok kita jumpa. Dah, jom bang,” ajak Camelia ingin meminta diri untuk pulang.
“Nanti teman ibu tok lagi tau? Bye sayang...” ucap aku sambil melambai ke arah Casandra yang turut membalas lambaian aku.
Perlahan Camelia berjalan meninggalkan aku yang berdiri di depan pintu.
“Assalamualaikum… Insya-Allah jam 8 esok, bu,” 
ulang Camelia sekali lagi.
Aku hanya memerhatikan kereta bergerak meninggalkan halaman rumah. Tanpa aku sedar, Ginger turut berdiri di kakiku. Entah bila dan dari mana dia muncul. Seperti faham-faham sahaja keadaan sudah selamat untuk memunculkan dirinya. 
Aku geleng kepala. 

Sunday, 19 March 2017

JODOH YANG TERTANGGUH KARYA ROSE EZADORA

Bab 1

“HELO... Helo… Salam sejahtera. Apa khabar pendengar di luar sana? Okey! Diharap pendengar masih lagi setia bersama saya mendengar lagu-lagu nostalgia yang merdu dengan bait-bait cinta dalam lagu yang akan saya siarkan bagi santapan telinga pendengar yang setia pada pagi ini.” 
“Tanpa banyak bicara, saya hidangkan lagu Ingatan Manis di Bulan September untuk para pendengar yang setia. Nyanyian Datuk Syarifah Aini. Lagu yang menjadi hits pada 
hujung tahun 70-an. Layannn...” 
Tiba-tiba aku tersenyum sendiri. Jari terhenti daripada mengetuk papan kekunci yang tadinya rancak menghabiskan coretan manuskrip yang aku karang. Hilang sesaat nafasku mendengar lagu ini. Sebuah lagu yang pernah aku puja suatu masa dahulu. Oh, betapa kenangan itu tidak pernah luput dari ingatanku!
Aku dengar setiap rangkap bait lagu yang 
didendangkan dengan senyuman. Alunan iramanya bagaikan membawa aku melayang jauh 25 tahun ke belakang iaitu
pada zaman sewaktu aku masih muda. Ah, alangkah indahnya waktu itu!
Dendangan suara Dato Syarifah Aini sudah sampai penghujungnya namun senyuman aku masih di bibir. Bagaikan sudah digam senyumanku oleh gam gajah. September, bulan yang banyak kenangan padaku.
KRINCING... Krincing... Krincing... Kedengaran bunyi kasut kanak-kanak yang semakin menghampiri. Aku mengalihkan 
pandangan ke arah bunyi kasut tersebut. Aku tahu siapa yang baru sampai menjenguk aku. 
“Sandra, umi mana?” tanya aku kemudian 
mengucup kedua-dua belah pipi mongel itu. Wajah Casandra yang bulat dengan pipi gebu, bermata bulat dengan alis mata 
yang lebat, mulut yang kecil serta merah, ditambah pula dengan rambut lebat berwarna hitam yang lurus membuatkan orang sekeliling geram.Itulah wajah Casandra, cucu aku. Comel, kan?
“Assalamualaikum ibu... Ibu buat apa tu? Menulis novel lagi ke?” soal Camelia. Dia segera menghulur tangan dan terus mengucup kedua-dua belah pipiku.
“Haah. Nak buat apa lagi kalau tak depan komputer ni? Lia dari mana?” jawab aku. 
“Halim mana?” tanya aku lagi apabila tidak melihat kelibat Halim, bapa si Casandra.
“Kami dari rumah. Halim ada kat depan tu,” jawab Camelia.
Tangan Camelia menarik sebuah lagi bangku duduk dekat dengan aku. 
“Ibu masak apa hari ini?” tanya Camelia.
“Makan apa aje yang ada, Lia. Umur-umur ibu ni, selera bukannya ada sangat. Makan sekadar hilangkan lapar 
aje,” jawab aku.
“Tuuu... Lia ada bawa lauk sikit. Lia dah bubuh kat atas meja dapur...” sambung Camelia lagi. Kemudian matanya memandang ke skrin komputer.
Aku hanya diam. Memang Camelia selalu membawa bekalan lauk setiap kali mengunjungi aku. Alhamdulillah, 
lepas lauk untuk makan malam ini. 
“Apa cerita novel ibu kali ni? Yang last time tu, Lia baca dua kali. Not bad jugalah. Lain daripada yang lain.” 
Camelia memberi pendapatnya. 
“Ibu tak nak buat sequel pada kisah si Murni dan si Zamri tu ke? Atau ibu buat cerita anak dia tu pula ke... Siapa 
nama dia? Hmmm... Mila... Mimi Sharmila,” sambung Lia lagi memberi pendapat. 
Aku sengih. 
“Lia jangan puji lebih-lebih pula. Ibu menulis ni saja suka-suka, tau? Bukan apa pun.”
Camelia tersenyum mendengar kata ibunya. Tapi dia juga bangga dengan ibu yang berjaya mencipta nama dalam bidang penulisan ini walaupun tak sehebat nama besar yang lain.
Aku menjadi seorang ibu sebelum berkahwin. Malah pada usia aku yang masih muda iaitu baru mencecah 
25 tahun. Aku teringat keputusan ini ditentang hebat oleh keluargaku. Bermacam-macam tohmahan yang aku terima. Namun aku tetap menerima Camelia dalam hidup aku. Aku sayang anak ini. Tidak sia-sia aku menjaganya dari kecil. Amanat daripada seorang teman yang tidak dapat aku tolak kira-kira 23 tahun yang lalu. Anak malang yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam sekelip mata. Kata-
kata gurauan yang terakhir oleh arwah Sumayyah, ibu Camelia rupa-rupanya menjadi kenyataan. Namun aku 
bersyukur atas kehadiran Camelia yang aku panggil Lia dalam hidupku. Anak yatim piatu yang sudah tersurat untuk menggembira dan menceriakan hidup aku. 
Syukur alhamdulillah... Ya Allah.