Showing posts with label JAJA AHMAD. Show all posts
Showing posts with label JAJA AHMAD. Show all posts

Wednesday, 13 January 2016

CINTA HAN & NAD KARYA JAJA AHMAD

BAB 2



KEADAAN wad Tiga yang tadinya agak huru hara sudah kembali tenang. Ahli keluarga para pesakit yang memenuhi ruang bilik hadapan juga sudah kembali ke katil pesakit masing-masing. Jarum jam menunjukkan tepat pukul dua pagi. Farhan mengeluh perlahan.
            “Doktor Han, okey ke?” Tegur Kak Nor, jururawat senior wad Tiga.
            Farhan senyum. “Okey Kak Nor, penat sikit je.”
            “Kalau doktor nak berehat pergi lah.”
            “Tak apa lah Kak Nor, saya nak siapkan laporan ni kejap.”
            Kak Nor menarik kerusi di sebelah Farhan dan menyambung tugasannya yang tergendala sebentar tadi.
            Tepat pukul dua belas malam tadi tiba-tiba ada pesakit yang ditempatkan di dalam bilik bahagian hadapan meracau. Hampir setengah jam para jururawat cuba meredakan keadaan tetapi tidak berjaya sehinggakan mereka terpaksa meminta bantuan daripada doktor yang oncall pada malam itu iaitu Doktor Farhan.
            “Kak Nor...”
            Kak Nor pandang Farhan di sebelah yang sedang tekun menulis laporan. Suara Doktor farhan ke tadi. “Ada apa doktor?”
            “Kak Nor tak penat ke?”
            Kak Nor senyum, betul lah Doktor farhan yang panggil dia tadi. Haila doktor ni, tengah sibuk buat laporan pun boleh bercakap lagi. Tapi kepala tu tak angkat langsung. Boleh pula dia bercakap sambil menunduk macam tu
 “Tipu lah kalau saya cakap tak penat doktor. Tapi dah tugas saya kan, nak buat macam mana.”
            “Dah berapa hari Kak Nor kerja shift malam?” Soal Farhan lagi. Tangan masih laju mencoret kertas laporan. Mengantuk punya pasal, diajaknya Kak Nor berbual.
            “Masuk hari ni dah tiga hari lah doktor. Esok saya cuti.” Kak Nor senyum lagi. Tak sabar rasanya nak cuti. Shift malam kali ni terlebih penat sikit. Mungkin sebab pesakit minggu ini agak ramai daripada kebiasaan sampaikan terpaksa keluarkan extend bed.
            “Biasanya lepas habis shift malam akak buat apa?”
            “Qada tidur lah doktor, buat apa lagi.” Jawab nurse di hujung kaunter sana sambil tergelak. Nurse yang lain juga turut gelak sama. Selamba je menyampuk perbualan Farhan dan Kak Nor.
            Farhan memandang ke arah yang bersuara sambil tersenyum. Kak Nor dah geleng kepala. Budak-budak ni la, suka ambil kesempatan nak bercakap dengan Doktor Farhan. Tahu la doktor ni jenis yang susah nak diajak berbual. Malam ni entah kenapa terbanyak cakap pula.
            “Suami akak okey tak dengan nature kerja akak yang macam ni?” Farhan menyambung kembali perbualan yang terhenti sebentar tadi.
            “Nak tak nak memang dia kena terima lah. Dah dia pilih nurse sebagai isteri.” kak Nor ketawa di hujung kata.
            “Kenapa doktor tanya macam tu?” Soal Kak Nor pula.
            Pen ditangan diputar gaya helikopter. Suasana di sekeliling dipandang sekilas. Nurse yang seronok bergelak ketawa tadi sudah hilang seorang demi seorang. Ada yang ke tandas, ada yang masuk ke bilik rehat. Kini hanya tinggal Farhan dan kak Nor sahaja.
            “Mommy saya suruh saya kahwin, tapi saya rasa saya belum bersedia.”
            “Kenapa doktor rasa macam tu?”
            Farhan mengeluh perlahan. “Dengan nature kerja saya yang macam ni, saya tak rasa ada yang mampu terima kak.”
            “Jangan cakap macam tu doktor. Cuba tengok doktor-doktor lain yang dah kahwin. Yang kahwin dengan orang yang bukan dari aliran yang sama, bahagia je saya tengok.”
            Farhan diam. Kata-kata Kak Nor ada juga yang betul. Contoh terdekat, Doktor Roslan. Dah hampir sepuluh tahun mendirikan rumah tangga dengan cikgu sekolah menengah. Sampai ke hari ni bahagia je hidup mereka.
            “Doktor dah ada calon?” Tiba-tiba Kak Nor bersuara.
            Farhan geleng.
            “Mungkin sebab tu kot doktor rasa macam tu. Kalau dah ada calon nanti doktor boleh la cuba bincang dengan dia pasal perkara ni. Saya rasa dia akan faham.”
            “Mungkin lah kak.”
            “Habis tu kalau dah tak ada calon, mommy doktor nak doktor kahwin dengan siapa?” Tanpa rasa kekok Kak Nor bertanya.
Kalau nak kira, dalam ramai-ramai dengan Kak Nor ni je yang Farhan rasa selesa nak bersembang. Kalau tidak, tak adanya dia bercerita pasal jodoh ni semua dengan Kak Nor.
“Mommy tengah carikan calon.”
“Ouh, doktor okey ye dengan calon pilihan keluarga?”
Farhan senyum. Sebenarnya dia langsung tak okay. Tapi kalau tak nak terima calon pilihan mommy, dia kena bawa balik calon pilihan dia sendiri. Masalahnya, dia mana ada calon pilihan hati. Tiba-tiba seraut wajah yang sentiasa di nanti muncul di fikiran. Awak kat mana sekarang ye?
“Doktor...” Kak Nor melambaikan tangan di hadapan Farhan. “Okey tak ni?”
Farhan senyum. Sempat pula berangan bagai. “Okay kak. Jom lah kita sambung buat laporan ni.”
Pen yang dah tercampak ke tepi tadi diambil kembali dan laju tangannya mencatat di atas kertas laporan. Kak Nor di sebelah masih merenung Farhan dengan wajah pelik. Macam-macam lah doktor ni. Tadi cakap tak ada calon, tapi muka macam orang tengah angau je. Apa-apa saja lah doktor...

SAMPAI saja di rumah memang katil dengan bantal je yang dia nampak. Farhan melangkah perlahan ke arah anak tangga. Nak menapak ke atas pun dah tak larat ni. Macam mana?
            On call yang paling memenatkan dalam sejarah. Belum sempat siapkan laporan dah ada kes baru masuk. Satu kes kemalangan dan satu lagi kes pendarahan usus. Tak menang tangan dibuatnya. Nasib baik ada houseman yang membantu, kalau tak memang pengsan.
            “Along...” Puan Maria yang baru keluar dari dapur memanggil.
            Kaki yang baru nak jejak anak tangga kedua diundur kembali. “Ye mom...”
            “Mommy nak cakap kejap boleh?”
            “Pasal apa mom?”
            “Pasal calon untuk Along.” jawab Puan Maria berterus terang.
            Farhan mengeluh perlahan. “Later mom, along penat sangat.” Mommy tak perasan ke mata along ni sikit lagi nak tertutup. Bisik hati Farhan.
            “Sekejap je Along, mommy nak bagi nombor telefon Seri ni.” Sekeping kad dihulurkan ke arah Farhan.
            Huluran Puan Maria disambut. Mata menjeling sekilas, Seri Khairani Anuar. Cantik nama.
            “Anak siapa mom?”
            “Anak Auntie Nora.”
            Dah agak, anak kenalan mommy juga. Haish, perlu ke semua ni. Kenapa hati macam tak rela je.
            “Mom, kalau Along tak nak boleh tak?” Langkah kaki melangkah ke arah ruang tamu. Rasa mengantuk sudah hilang ke mana. Yang ada rasa serabut je.
            “Kenapa tak nak pula?” Puan Maria mengikut langkah kaki anaknya.
            Farhan diam. Duduk dilabuhkan di sofa berangkai tiga dan kepala disandarkan perlahan. Penat. Puan Maria yang duduk di sebelah tidak dipedulikan.
            “Mar, anak baru balik kerja kan. Penat pun tak habis lagi. Bincang lain kali je lah.” Tuan Umar yang sedang berdiri di anak tangga paling bawah bersuara.
            Farhan angkat kepala. “Tak kerja daddy?”
            “Tak, rasa tak sedap badan pula hari ni.” Jawab Tuan Umar sambil melangkah ke arah anak dan isteri.
            “Along pergi la naik berehat, dah letih sangat dah daddy tengok.”
            “Tapi bang...”
            “Next time Mar. Sejak bila jadi tak bertimbang rasa macam ni?” Tuan Umar bersuara tegas. Puan Maria pula hanya menunduk.
            “Along naik dulu daddy, mommy.” Tuan Umar angguk. Puan Maria hanya memandang langkah longlai anak sulungnya itu.
            “Daddy, dah makan ubat?”
            “Dah Along, tak payah risau. Pergi berehat dekat atas sana.”
            Farhan meneruskan langkah. Nasib baik ada daddy, kalau tak harus dia tertidur kat sofa tu je tadi. Mommy nak cakap apa pun dia tak kisah dah.
            “Kenapa yang kalut sangat ni Mar?” Soal Tuan Umar perlahan. Dari tadi dia perhatikan anak dan isternya. Kesian si anak, nak duduk pun tak sempat. Si isteri ni pula, semua tak menyempat.
            “Abang, Nora cakap Seri dah ada pilihan hati dia sendiri.” Puan Maria mula cemas kembali.
            “Habis tu yang nak kenalkan dia dengan Along tu kenapa?”
            “Mar dah berkenan sangat dengan Seri tu abang. Baik budak nya. Belajar pun tinggi, sesuai sangat lah dengan anak kita  abang.”
            Tuan Umar geleng kepala. Sungguh lah dia tak faham dengan pemikiran orang perempuan. Suka menyulitkan perkara yang senang. Kenapa nak sesak kan fikiran dengan perkara remeh macam ni.
            “Mar, kalau dah Seri ada pilihan hati sendiri biar kan saja lah. Tak payah nak satukan dia dengan along ke apa. Biar budak tu bahagia dengan pilihan dia. Along pun mesti dah ada pilihan hati dia sendiri.”
            “Tak, Along tak ada sesiapa pun lagi.”
            “Kalau pun Along tak ada calon, kita tak boleh paksa dia untuk terima Seri.”
            Puan Maria mengeluh perlahan. Wajahnya sudah berubah muram. Abang tak faham...
            Tuan Umar merenung wajah suram isterinya. Macam ada sesuatu yang tak kena saja dengan isterinya ini. Tak pernah-pernah nampak terdesak macam ni.
            “Jangan cakap yang Nora paksa awak untuk kenalkan Along dengan Seri pula.”
            Wajah Puan Maria berubah lagi. Nampak terkejut dengan kata-kata suaminya. Tuan Umar mengeluh perlahan. Entah apa la yang dirancangkan oleh kawan isterinya itu.
            “Macam mana abang tahu?”
            “Perempuan. Kami yang lelaki ni kena berfikir di luar kotak kalau hal melibatkan kaum perempuan. Kenapa Nora nak awak buat macam tu?”
            “Sebenarnya Nora tak berkenan dengan pilihan hati Seri.”
            “Kenapa?”
            “Sebab kekasih Seri tu kerja dekat Dubai sekarang. Jadi, kalau mereka kahwin Seri akan ikut suami dia ke Dubai. Nora tak sanggup nak lepaskan anak dia pergi jauh abang.”
            “Jadi, dia mintak Along jadi pengganti. Nanti Seri boleh la berkepit dengan dia je. Macam tu?”
            Puan Maria angguk.
            “Lame excuses Mar... so lame. Dah, mulai hari ni abang nak awak batalkan saja niat untuk satukan Along dengan Seri. Jangan dibebankan lagi Si Along tu dengan masalah remeh macam ni.”
            “Masalah remeh abang cakap?”
            “Yes Mar. Soal nikah kahwin biar anak kita tentukan sendiri. Cukup lah Angah tu je yang kita pilihkan jodoh dia. Tengok sekarang apa yang jadi. Makan pakai terabai, yang isteri dia tahu nak melawa je.”
            Puan Maria tertunduk. Amri Shah, anak kedua mereka yang sangat patuh. Terima saja bila dijodohkan dengan anak kenalan mereka, Lisa. Siapa tahu yang hidup anaknya itu tidak seindah yang di impikan. Makan pakai Amri langsung Lisa tak peduli. Nak ikut balik ke rumah mereka jarang sekali. Bila disuruh berpisah, Amri tak nak. Sayang katanya. Walaupun diri sendiri merana dia tak kisah, asalkan orang tersayang sentiasa di sisi. Lagi pula dia risau hubungan antara kedua keluarga berantakan pula jika mereka berpisah nanti. Sampai macam tu sekali anaknya menjaga hati dan perasaan mereka.
            “Tapi umur Along dah masuk tiga puluh tiga tahun abang. Dah sesuai sangat untuk beristeri. Kalau kahwin lambat nanti bilanya nak menimang cahaya mata sendiri.”
            “Ya Allah Mar, kenapa sampai macam tu sekali awak fikir. Jodoh pertemuan, ajal maut rezeki semua tu kan di tangan tuhan. Dia yang tentukan segalanya. Kita hanya mampu berdoa dan berusaha.”
            “Ini lah yang Mar sedang lakukan abang, berusaha.”
            “Tapi kalau sampai melukakan hati orang lain lebih baik tak payah Mar.” Tuan Umar bingkas bangun untuk ke tingkat atas.
            “Sampai hati abang cakap macam tu dekat Mar.” Puan Maria sebak. Suaminya seperti mahu menyalahkan dirinya saja.
            Tuan Umar mengeluh. Bahu Puan Maria digosok perlahan. “Abang tak bermaksud nak sakitkan hati Mar. Jangan lah macam ni.” Tuan Umar memujuk.
            “Mar minta maaf abang.” Air mata mula memberat. Dia sebak memikirkan tentang anak keduanya juga sebenarnya. Rasa bersalah pula dengan angah.
            “Tak ada apa yang perlu abang maafkan. Dah lah jangan nangis, malu anak-anak tengok.”
            Tangan Puan Maria ditarik perlahan untuk ke tingkat atas. Macam tu lah mereka, segala perselisihan faham atau percanggahan pendapat akan diselesaikan dengan segera. Kalau di simpan lama nanti boleh jadi barah dalam perhubungan suami isteri. Resipi keharmonian rumah tangga Tuan Umar suami isteri.



Thursday, 7 January 2016

CINTA HAN & NAD BY JAJA AHMAD

BAB 1

NADIA menolak perlahan pintu kaca butik Nad’s Closet. Kelihatan Yuni sedang sibuk melayan beberapa orang pelanggan di sudut pakaian. Hawa pula sedang sibuk melayan pelanggan yang sedang membuat pembayaran di kaunter pembayaran.
            “Baru sampai Nad?” Tegur Kak Yus yang sedang mengisi biskut ke dalam balang kaca di hujung kaunter.
            Nad’s Closet adalah butik cetusan idea Nadia sendiri setelah dua tahun berniaga secara online. Kak Yus adalah pembantu Nadia yang sama-sama membantu sejak di awal penubuhan Nad’s Closet lagi.
            “Haah Kak Yus, penat lah.” Nadia menapak ke arah kaunter yang menempatkan beberapa balang kaca berisi biskut yang dibuat sendiri oleh Kak Yus. Di hujung kaunter pula terdapat coffee maker beserta peti ais kecil yang di dalamnya terdapat beberapa jenis jus.
            Butik Nad’s Closet bukanlah hanya menjual pakaian wanita sahaja. Di dalam butik tersebut turut di sediakan reading section, di mana terdapat pelbagai genre novel terpakai yang boleh dibaca oleh para pelanggan. Beberapa biji kerusi dan meja juga turut disediakan bagi memudahkan pelanggan untuk berehat sambil membaca. Bagi yang berminat boleh saja membeli novel-novel tersebut dengan harga yang berpatutan.
            Manakala di sebelah kanan butik pula terdapat satu kaunter panjang yang menempatkan kaunter bayaran serta cookies and coffee corner. Di sini para pelanggan bukan sahaja boleh cuci mata dan membeli pakaian, mereka juga boleh merehatkan minda sambil membaca dan juga boleh bersembang sambil mengisi perut dengan biskut dan minuman. Menarik bukan.
            “Nad dari mana sebenarnya?” Balang biskut yang sudah diisi disusun rapi agar kelihatan kemas.
            “Nad pergi jumpa supplier kejap tadi.”
            “Pasal batik tu ke?”
            “Haah Kak Yus.” Nadia mengeluh perlahan.
            “Dah kenapa pula mengeluh macam ni?”
            “Pasal harga tu la Kak Yus. Nad tak tahu nak cakap macam mana lagi dah.” Pelipis diurut perlahan. Dari pagi asyik ke hulu ke hilir di tambah pula dengan cuaca panas macam ni, memang senang lah dapat penyakit.
            “Dia orang tetap dengan harga tu juga ke?”
            “Yup. Dah mintak kurang tapi tak boleh. Nad dah cakap kita nak ambil banyak kot bukannya sikit. Tak kan tak boleh kurang sikit lagi. Tapi dia orang tetap dengan keputusan harga tak berubah. Tension betul.” Nadia mengeluh lagi.
            “Tak elok asyik mengeluh je Nad.” Tegur Kak Yus. Nadia sengih je.
            “Tak ada lah Kak Yus, orang extra penat sikit hari ni. Tu yang asyik mengeluh je.”
            Kak Yus senyum. “Tak nak tanya supplier lain ke? Kot ada yang boleh bagi harga murah sikit.”
            “Bukan tak nak tanya Kak Yus. Tapi yang ni kan supplier tetap kita. Karang kalau kita order dengan orang lain bising pula nanti.”
            “Habis tu sampai bila nak macam ni? Stok kita dah tak banyak dah Nad. Pelanggan pun asyik tanya tak ada design baru ke. Sayang lah kalau dah tak ada stok nanti.”
            “Itu yang Nad tengah pening ni Kak Yus. Nak tak nak terpaksa lah kita setuju dengan harga dia orang tu. Kita kan regular customer dia orang, sepatutnya tolerate la sikit.”
            “Kak Yus ni bukan nak mengutuk ke apa, cuma nak cakap je lah. Peniaga-peniaga besar ni macam tu la Nad, susah nak kompromi. Peniaga-peniaga kecil macam kita ni lah yang terpaksa menanggung semuanya. Dengan cukai yang macam-macam tu lagi. Hai, entah lah. Kak Yus pun dah tak tahu nak cakap apa lagi dah.” Dah tak pasal Kak Yus pun mengeluh sama. Berjangkit rupanya benda nih. Nadia gelak dalam hati.
            “Tak apa lah Kak Yus, nanti Nad cuba bincang lagi. Kalau tak boleh juga terpaksa lah kita ikut harga mereka tu.”
            “Nad, kalau boleh cuba la cari supplier lain.”
            “Okay Kak Yus, nanti Nad cuba. Oh ya, Abang Kamal datang tak tadi?”
            “Abang Kamal? Tak ada. Kenapa?”
            “Semalam dia janji nak datang tengok kedai yang kat atas tu. Kan kita nak renovate untuk buat bilik mengaji.”
            “Abang Kamal ada call tadi Kak Nad. Dia cakap tak sempat nak datang pagi, ada hal sikit. Petang karang dia datang.” Hawa yang sedang berdiri di kaunter pembayaran bersuara.
            “Dia cakap dengan Hawa ke?” Kak Yus menyoal.
            “Haah Kak Yus, kenapa? Jealous ek?” Sakat Hawa sambil tersengih sengih. Nadia turut ketawa.
            “Ah tak ada masa nak cemburu bagai. Dah lah, akak nak ke belakang. Layan kamu berdua sampai ke sudah lah kerja akak tak siap.” Jawab kak Yus sambil melenggang ke arah bilik belakang yang menempatkan bilik penyimpanan stok.
            “Eh eh, salahkan kita pula.” Nadia geleng kepala. Macam-macam lah.
            “Hawa nanti tolong Kak Nad angkat barang yang kat dalam kereta.”
            “Barang apa Kak Nad?”
            “Barang mainan.”
            “Melawak?!”
            Nadia gelak. “Bekal yang mama kirim. Kak Nad lupa nak keluarkan tadi. So tengah hari karang tak payah lah beli makanan dekat luar. Makan yang mama Kak Nad kirim tu je. Cukup sampai petang.”
            “Waaa bestnyaaa...” Hawa dah senyum sampai telinga.
            “Nanti bagi tahu Yuni sekali ye. Sibuk sangat layan pelanggan nampaknya. Jangan lupa nak makan sudah.” Nadia memandang ke arah Yuni.
            “Yuni kan pekerja yang berdedikasi. Soal makan tolak tepi.”
            “Ha, mengumpat.” Tegur Yuni. Barang-barang yang dipilih oleh pelanggan itu tadi diletakkan di atas kaunter.
            “Eh, dengar je dia.” Nadia senyum ke arah pelanggan yang mengekori belakang Yuni.
            “Telinga lintah kot Kak Nad. Kalau ada yang mengumpatkan Yuni cepat je telinga ni dengar.” Jawab Yuni bangga.
            “Ooo patut la lintah tak ada telinga, kau yang ambil rupanya.” Hawa dah ketawa.
            “Ish, kau ni...” Marah Yuni.
            “Dah, tak payah nak bising. Customer tengah tunggu tu. Maaf ye adik-adik, banyak main pula budak berdua ni.” Nadia memohon maaf kepada pelanggan yang dari tadi asyik tersenyum saja melihat telatah Yuni dan Hawa.
            “It’s okay kak.” Jawab salah seorang daripada mereka.
            Nadia senyum. “Hawa jangan lupa ambil barang dekat dalam kereta Kak Nad ye. Kejap lagi Kak Nad dah nak keluar.”
            “Nak keluar lagi?”
            “Yup, nak jumpa Kak Kirah jap.” Nadia kenyit mata sambil melangkah ke arah bilik belakang.
            “Hai, sibuk betul bos kita yang seorang ni.” Hawa geleng kepala sambil tersenyum.

NADIA menyedut perlahan jus tembikai. Untung lah, sampai je dah tersedia jus tembikai dan sepotong kek kegemaran. Kawan dia yang seorang ni memang sangat memahami.
            “Kau kenapa lambat?” Kirah menyoal.
            “Macam biasa lah, heavy traffic.”
            “Ah kau, bukan jauh pun butik kau dengan tempat ni kan.” Kirah dah tarik muncung. Tahu sangat dah perangai kawan dia yang seorang ni. Kalau tak lambat memang tak sah. Tapi kalau temujanji dengan pembekal ke apa boleh pulak datang on time. Tak faham betul.
            Nadia sengih je. Dah tau taktik dia rupanya. Tapi apa yang pelik, dah sembilan tahun kot berkawan dengan Si Kirah ni. Semua luar dan dalam dia Kirah dah tahu. Sama macam dia juga la, semua luar dan dalam Kirah dia dah tahu.
            “Bila nak datang butik?” Tanya Nadia sambil memotong kecil kek di dalam piring dan disuap ke dalam mulut. Tadi dah makan bekalan mama dekat butik, sekarang makan lagi. Tapi badan cikeding juga. Untung la kau Nadia.
            “Minggu depan kut, minggu ni tak sempat la.”
            “Ah kau, bukan jauh pun butik aku tu kan.”
            Kirah sengih. “Aku tak sempat la babe. Banyak sangat tempahan minggu ni.”
            “Kau dari mana sebenarnya ni?”
            “Baru lepas hantar kek kat customer aku. Penat lah nak mencari rumah. Aku ni dah lah fail bab tengok map.”
            “Delivery kat kawasan pedalaman ke apa?”
            “Agak la, jauh ke dalam hujung kampung mana entah. Tapi rumah kemain besar tau. Dah macam resort aku tengok. Cun la babe.”
            “Ouh rumah orang kaya. Padan lah order kek dengan kau.”
            Kirah buat muka pelik. “Apa cakap macam tu.”
            “Ye la, kek kau kan mahal. Orang-orang kaya je yang mampu beli.”
            “Ooo, kau perli aku?” Kirah dah kemam bibir. Dah geram lah tu.
            Nadia gelak. Kawan dia ni nak marah pun still maintain cute. Macam mana lah orang nak takut.
            “Tak la, aku gurau je. Kau ni, dah buat kek tapi ajak aku lepak kat kedai kek juga. Tak bosan ke. Kalau aku dah naik muak dah nak tengok segala macam kek ni semua.”
            “Tak lah, aku suka je tengok kek. Tak makan pun tak apa asal boleh tengok kek.” Senyum macam orang tengah angau je Kirah ni. Angau dengan kek pun ada ke?
            “Kenapa kau susah-susah nak hantar? Kenapa kau tak suruh customer kau tu datang ambil sendiri je.”
            “Aku hantar mana yang sempat je Nad. Yang tak sempat memang dia orang datang ambil sendiri kat rumah aku.”
            “Bertambah lah penat kau.”
            Kirah senyum. “Kita ni Nad, kalau buat perkara yang kita suka, penat pun tak rasa tau. Aku suka macam ni, jadi aku buat lah. Kalau dah suka tu, yang susah pun boleh jadi senang tau Nad.”
            “Eleh kau sembang. Tadi baru je cakap penat cari rumah customer.
            Kirah dah ketawa lepas. Kantoi disitu nampaknya. “Kali ni je penat sikit sebab susah nak cari rumah. Yang sebelum ni okay je.”
            “Kau tak nak buka kedai sendiri ke Kirah? Sampai bila nak buat kek dekat rumah je.” Banyak soal pula Nadia ni. Mulut tu dari tadi tak berhenti mengunyah. Hantu kek betul. Sesuai sangat lah berkawan dengan tukang buat kek ni ha.
            “Nanti lah dulu, setakat ni aku selesa je berniaga dari rumah. Lagi pula, nak buka kedai kena ada modal yang banyak. Aku tengah kumpul modal la ni. Tak nak aku buat pinjaman bank.”
            “MARA kan ada.”
            “Tahu. Tapi kena buat kertas kerja la apa kan. Malas lah aku.”
            “Kau semua malas. Dah tu bila nak maju.”
            “Bisnes aku memang dah maju apa.”
            “Berlagak!”
            Dua-dua gelak. Kutuk mengutuk di antara mereka itu perkara biasa.
            “Babe, hari tu aku terserempak dengan Fariz.”
            Nadia terdiam. Piring kek terus ditolak ke depan. Asal dengar nama Fariz je terus hilang selera nak makan. Nasib baik kek yang Kirah order tadi dah habis dia telan, kalau tak buat rugi je order kek mahal-mahal.
            “Then?
            “Dia minta nombor telefon kau.”
            Dah agak dah. “Habis tu, kau bagi?”
            Kirah geleng. Amanah kawan tak akan dia lupakan.
            “Bagus. Macam ni la kawan aku.” Nadia angkat ibu jari tanda bagus.
            “Tapi aku kesian la tengok dia Nad.”
            “Nak kesian kenapa?”
            “Bersungguh mintak nombor telefon kau. Nasib baik iman aku masih kuat. Dia pujuk aku macam mana sekalipun langsung aku tak tergugat tau.”
            “Waaa hebatnya kawan aku. Ni nak aku bagi reward ke apa?”
            “Ish minah ni, orang serious dia main-main pula.”
            “Sudah lah Kirah, kau tak payah nak kesian sangat dengan Si Fariz tu. Dulu bukan main dia mengutuk aku kan, siap sebarkan cerita yang bukan-bukan lagi pasal aku dengan dia kat kawan-kawan kita. Sekarang sibuk nak nombor telefon aku pula. Apa hal?”
Riak wajah Nadia sudah berubah tegang. Geram sebenarnya dengan perangai Fariz yang tak sudah-sudah nak mengganggu hidup dia. Salah apa la yang dia buat dekat Fariz ni dulu. Eh kejap, dia ada buat salah dengan Fariz ke? Dia ada buat salah ke? Kalau Fariz yang buat salah dengan dia memang ada. Salah yang dia akan ingat sampai bila-bila dan hanya dia dengan Fariz saja yang tahu.
Kirah angkat bahu. “Mungkin dia nak minta maaf dengan kau.”
“Tak payah! Aku dah malas la nak fikir pasal dia. Cukup lah dia dah tak munculkan diri depan aku.”
“Ke dia minat kat kau sebenarnya.” Serkap jarang Kirah buat muka Nadia pucat.
“Tak nak lah aku kat dia.”
“Kenapa? Ke kau dah ada pilihan yang lain?” Sengih Kirah sengih. Macam kelakar je kan soalan kau.
“Tak ada masa aku nak berpilihan-pilihan segala.” Nadia tarik muncung. Malas betul nak melayan soalan-soalan macam ni lah.
Kirah terdiam. Perubahan wajah Nadia membuatkan dia terfikirkan sesuatu.
“Eh babe, kau jangan cakap yang kau masih teringatkan...”
Wajah Nadia berubah mendung. “Aku tak nak cakap pasal ni, please...”
Babe! Seriously?!” Kirah melopong. Agak terkejut juga la.
“Eh babe, dah dua tahun kot. Tak kan lah kau masih ingatkan dia.”
“Aku...”
“Jangan cakap yang kau tengah tunggu dia juga.” pantas Kirah memotong kata-kata Nadia.
“Kirah...”
Wajah Nadia terus berubah. Bukan setakat mendung, dah ada titis-titis air hujan dah ni ha.
Babe kau jangan nak hujan kat sini. Tunggu aku pergi bayar kejap lepas tu kita balik.” Kirah berlalu ke arah kaunter bayaran.

Nadia memandang jauh ke hadapan sambil menyapu air mata yang mula menitis di pipi. Missing a stranger. You better not Nadia!