Showing posts with label AILAH DIELA. Show all posts
Showing posts with label AILAH DIELA. Show all posts

Thursday, 12 November 2015

MISI MENANTU MR BAD GUY KARYA AILAH DIELA

BAB 2




HILANG saja mama nya dari pandangan, cepat Ahqaf bergerak merapati Anggerik yang berdiri di tepi peti ais.
“Anggerik. Kongsi.” Pintanya sambil memandang ke arah vitamin yang berada di tangan isterinya.
“Ini vitamin untuk ibu mengandunglah. Kan mama kata bos tak boleh makan.” Vitamin yang berada di tapak tangan Anggerik larikan ke belakang tubuh.
Setiap kali dia nak makan vitamin mesti terpaksa bergelut dengan Ahqaf. Dah lah jenis tak mahu kalah.
“Hiss! Bagi ajelah. Kau makan satu je. Jangan nak kedekut dengan suami sendiri boleh tak.” Tangannya melangkau ke belakang Anggerik. Dia tak kira! Dia nak juga vitamin yang Anggerik makan tu.
Bau tu saja dah buat dia telan liur. Manis. Pertama kali dia obses dengan bau ubat.
“Bos...” Terkial-kial Anggerik cuba mengelak sehingga tubuhnya tersandar ke peti sejuk.
“Along?”
Suara seseorang di muka ambang pintu dapur mengejutkan keduanya. Anggerik terkaku dengan tangan Ahqaf yang membelit ke bahagian belakangnya.
Alamak! Mama.
“Mama. Boleh tak jangan nak kacau daun. Kami nak bertelenovela pun tak boleh la.” Cepat Ahqaf berdalih. Macam mana pulak mama boleh berpatah semula ke dapur ni.
“Telenovela? Dekat dapur ni?” Soal Maira dengan riak tak percaya.
“Ye la. Kenapa pulaknya. Berkasih sayang di mana saja. Itu Along punya tagline.” Ahqaf buat muka selamba. Tapi tangannya di belakang Anggerik masih berusaha keras. Bibir sudah mampu tersenyum bila dia dah dapat pegang apa yang dia mahukan.
“Alahai. So sweet anak mama ni. Okey sayang, mama tak kacau.” Maira atur kaki masuk ke dalam.
Terjenguk-jenguk kepala Ahqaf cuba mengintai mamanya. Pasti saja yang wanita itu sudah tiada, cepat dia melepaskan tubuh Anggerik. Vitamin yang berada di dalam tangannya dipandang dengan mata yang berkilau.
Dengan pantas disumbat masuk ke dalam mulut. Sedap amat!
“Orang yang mengandung. Dia pulak yang lebih-lebih.” Bebel Anggerik. Geram!
“Ehhh. Tapi aku yang teruk tau. Aku yang pening, muntah-muntah. Tak selera makan. Aku cuma selera dengan vitamin ni je tau. Tengok ni ha, four pack aku dah tinggal two pack je.” Ahqaf tepuk-tepuk bahagian perutnya.
Memang dia rasa badan dia dah agak susut sekarang. Tapi dia rela, asalkan bukan Anggerik yang kurus kering. Tak best kalau peluk batang pisang.
“Apa-apa je lah. Jom, sayang.”
“Pergi mana?”
“Cendol pulut tepi simpang sekolah tu.”
Ahqaf tepuk dahi. Tak habis-habis dengan cendol pulut tu. Sudahlah dekat tepi simpang yang berhabuk dan panas pulak tu. Kenapalah Anggerik boleh berselera dengan cendol dekat situ. Tempat lain kan banyak.
“Sayang...” Rengek Anggerik. Tengok aksi Ahqaf pun dia dah tahu yang lelaki tu menolak.
“Baby, please. No.”  Ahqaf geleng sambil menekankan perkataan NO.
Yes.” Anggerik angguk.
No!”
“Yes.”
Adoii...”
Ahqaf peluk peti ais. Kepala dihantukkan perlahan ke pintu peti ais tersebut. Tolonglah wahai isteri! Kenapalah suka sangat minta yang bukan-bukan. Hiss! Rasa nak masuk je dalam peti ais ni, biar sejuk sikit otak dia.
“Baby, kenapa selera awak pelik sangat. Mintaklah kek sepuluh tingkat dari Secret Recipe ke.. Daddy sanggup! But why, cendol pulut?” Rungut Ahqaf. Kali ini dia tujukan kepada anak di dalam kandungan Anggerik.
Please, daddy.”
Suara meleret Anggerik membuatkan mata Ahqaf terpejam rapat. Kenapa sekarang dia suka dengar suara meleret-leret macam tu. Kenapa banyak sangat perkara pelik yang jadi ni.
“Adoii... Peningnya. Kaki pun dah tak larat nak jalan ni.” Ahqaf lemahkan badan. Tubuh dipusingkan menghadap Anggerik sambil buat muka kesian. Tak tipu okey! Memang dia tengah tak larat pun ni.
Dia hanya nampak Narita berbunga pink dalam bilik je sekarang ni. Dia malas nak pergi melangut bawah payung merah dekat gerai cendol tu. Help!
“Bukannya lama pun kita pergi.” Anggerik masih berkeras.
“Ye. Tapi aku nak angkat tangan pun dah tak boleh ni ha... Tak kesian ke dekat aku ni.” Yela tu tak lama! Kalau dah dapat hadap cendol tu, dia depan mata pun Anggerik tak nampak.
“Bos kan kuat.”
“Alahai... Anggerik. Kenapalah degil sangat ni. Malas la...” Ahqaf atur langkah keluar dari ruang dapur. Melangkah masuk ke dalam bilik kemudian terus terjun atas Narita tengah bilik. Memang dia tak bagi sesiapa kemas. Senang dia nak berguling-guling.
Anggerik gosok-gosok hidung. Sampai hati Ahqaf. Tak apa, kalau suami dia tak nak. Dia boleh ajak orang lain. Bibir mengorak senyuman. Suspek dicari kemudian menyampaikan hasratnya. Setuju saja, terus dia naik ke bilik. Tudung dicapai tanpa langsung mempedulikan Ahqaf.
“Nak ke mana pulak tu?” Soal Ahqaf bila tengok Anggerik bersiap.
“Cendol pulut lah.”
“Kau jangan nak mengada drive ye.” Ahqaf tegakkan badan. Aku ikat juga bini aku ni nanti!
“Siapa kata saya nak drive? Saya nak dating dengan papa.”
Bulat mata Ahqaf. Papa? No! Cepat dia bangun dan berdiri tegak depan pintu bilik.
“Tak payah! Suka hati ye nak curang dengan aku.” Mata dijegilkan.
Anggerik cekak pinggang. Buruk betul perangai lelaki seorang ni. Cemburunya ya ampun!
“Tepilah. Biarlah curang pun, siapa suruh bos tak nak pergi.”
“Tapi gerai tu...” Belum sempat Ahqaf meneruskan ayat. Tekaknya terasa ada sesuatu. Cepat dia berlari ke bilik air. Tengkuk ditepuk-tepuk menggeluarkan apa saja yang mahu keluar dari tekaknya.
Adoii! Memang tinggal tulanglah dia tak lama lagi.
“Bos, okey?” Soal Anggerik sambil mengosok belakang suaminya. Kesian betul suami dia, terpaksa menghadapi alahan. Dia pulak yang terasa segar bugar.
“Hmm.” Ahqaf angguk. Selesai membasuh mulut. Kepala direhatkan ke bahu Anggerik. Tangan naik memeluk pinggang itu. Nasib baiklah dia sayang, muntah setiap minit demi Anggerik pun dia sanggup.
“Jom, cendol pulut.” Ajak Anggerik.
“Baby. Why? Why? Adehh...” Raung Ahqaf kemudian bergerak masuk ke dalam bilik.
Anggerik sudah lepaskan gelak. Manjanya lah suami dia ni. Nak marah tapi terpaksa bertahan, jadi keluarlah suara garau yang merengek-rengek. Tambah lebar senyuman dia bila tengok Ahqaf capai kunci kereta.
“Baby. Sila jadi hero yang membanggakan papa. Please!” Bebel Ahqaf lagi.
Sebelum keluar sempat dia capai minyak angin dan ditepuk-tepuk ke dahinya. Dia kena kuat demi Anggerik. Dia kena kuat demi anaknya yang bakal lahir itu. Dia tak nak lagi melakukan kesilapan dan melukakan hati wanita kesayangannya itu.
“Jom.” Tangan Anggerik dia capai.
Rela dia pergi melangut bawah payung merah tepi simpang tu. Kalau dia duduk rumah pun nanti, dia akan terbayangkan papa dengan Anggerik menikmati cendol berdua.
Tidak!
Walaupun dengan papa sendiri atau sesiapa saja. Anggerik Medina hanya boleh berduaan dengan dia. Tidak akan ada lelaki lain. Dan akan datang, dia akan pastikan kesemua anak-anak dia akan menyayangi Anggerik Medina seperti dirinya.



















MISI MENANTU MR BAD GUY KARYA AILAH DIELA

BAB 1



GERAKAN  di sebelahnya memaksa Anggerik membuka mata. Buka saja mata dia nampak Ahqaf yang sedang memunggah Narita dari dalam almari. Ini sejak bila pulak Umar Ahqaf rajin sangat mengemas malam buta ni.
“Sayang. Buat apa dengan Narita tu?” Soal Anggerik dengan suara seraknya. Mata digenyeh perlahan. Mengantuk. Tapi suami pulak buat tidur dia terganggu.
Sorry. Aku ganggu kau ye?” Ahqaf mendekati katil kemudian mengambil bantalnya. Kemudian disusun elok ke atas Narita yang dah elok terbentang di atas lantai. Rasanya tadi dia dah buat seperlahan mungkin. Tapi kenapa pulak Anggerik boleh juga terjaga. Telinga kalau dah besar, memang cepat je dengar.
“Tak lah. Buat apa ni?” Soal Anggerik lagi bila soalannya tidak berbalas. Pergerakan Ahqaf dia perhatikan dengan dahi berkerut. Betul ke tidak apa yang dia tengah nampak ni? Ataupun dia tengah mengigau.
“Kita tidur bawah, jom.”
Belum sempat dia nak hadam dengan apa yang diucapkan oleh Ahqaf tubuhnya sudah diangkat oleh lelaki itu. Kemudian perlahan-lahan Ahqaf membaringkan dirinya di atas lantai yang beralaskan Narita. Mujur tak main campak-campak. Reti pulak berlembut, mesti kes ingat yang dia tengah mengandung.
Rasa mengantuk yang masih bersisa tadi hilang serta merta. Mendadak dia bangun dan bersila di sebelah suaminya. Pandangan dilemparkan ke atas Narita yang didudukinya. Pink? Biar betul suami dia pilih warna ni untuk tidur. Kan banyak lagi corak lain.
“Ahhh... syoknya..” Ahqaf buat aksi kuak lentang. Suara itu bukan main bahagia lagi.
“Ini yang kenapa tiba-tiba tidur bawah. Atas Narita ni?” Soal Anggerik tidak percaya. Ahqaf tidur atas Narita yang nipis macam ni? Sungguhlah mustahil. Itu tak apa lagi, yang paling dia tak boleh terima bila lelaki itu wangi semacam.
Ahqaf pakai losyen dia ke? Buang tabiat agaknya.
Sah suami dia ni tengah mengigau!
“Aku tak sedap badan lah tidur atas katil tu. Bawah ni best. Barulah aku boleh buat gaya bebas.” Reaksi Anggerik dia buat tak nampak. Macamlah dia tak nampak mata tu pandang dia seolah dia ni beruang kutub. Dia jadi beruang kutub betul-betul nanti baru tahu.
Memang dia sendiri yang rasa menyampah tengok katil besar gedabak tu. Dia lagi suka tidur atas Narita dengan corak bunga-bunga warna pink ni. Rasa macam nyaman dan selesa sangat. Suruh baring dekat sini sepanjang hari pun dia sanggup. Terasa seperti berada di taman bunga yang dipenuhi bunga tulip.
“Bos pakai apa ni? Wangi.” Soal Anggerik tanpa mempedulikan riak muka Ahqaf yang ceria semacam. Puncak hidung dia picit sedikit. Wanginya bukan main lagi. Malam buta pulak tu. Buat bulu tengkuk dia meremang aje la.
“Losyen kau. Wangi ek? Ha kan. Aku pun suka. Dah nak habis tu. Esok aku beli baru.”
Jawapan Ahqaf membuatkan mulut Anggerik terbuka. Melopong. Ahqaf dengan losyen jenama Garnier? Losyen yang pernah lelaki itu kategorikan sebagai kapur barus. Apa yang dah jadi ni?
“Kenapa bos pelik sangat?”
“Eh? Aku pulak yang pelik. Kau tu yang pelik. Yang tengok suami sendiri macam tengok beruang kutub tu kenapa?” Ahqaf buat muka selamba. Tangan Anggerik ditarik supaya berbaring. Kemudian mata dipejamkan dengan senyuman.
“Memanglah. Dah bos ni pelik sangat. Ke bos dah tersampuk hantu kubur?” Tangan Ahqaf ditepis perlahan. Dah buat mata dia segar, sekarang boleh pulak nak paksa dia ikut baring.
“Alah! Kalau kena sampuk hantu kubur pun. Aku tetap lelaki paling handsome. So kau jangan takut.”
Geram dengan jawapan itu. Tangan Anggerik naik mencubit lengan yang terdedah itu. Ahqaf tak pernah nak bagi jawapan yang serius. Memanjang nak main-main. Tak padan dengan diri tu yang dah nak jadi ayah.
“Dengki cakaplah dengki. Jangan nak main cubit-cubit.” Cubitan Anggerik itu Ahqaf balas semula dengan mencubit peha itu. Itu mujur Anggerik cubit. Kalau isteri dia tu bagi penyepak tadi, dah tak pasal pulak mereka berdua bergusti malam ni.
“Nak tidur atas!” Anggerik tarik muncung. Menyampah betul! Tak pernah nak mengalah. Sakit betul jiwa raga dia ni.
Ahqaf jeling isteri yang dah merangkak naik atas katil. Bibir dicebikkan. Sikit-sikit nak merajuk. Eleh! Sekejap lagi mesti Anggerik akan merangkak cari dia semula. Dia gerenti!
Sepuluh minit berlalu. Dia jeling lagi Anggerik yang diam tak berkutik di atas katil nun di hujung sana. Kenapa mata dia degil sangat nak lelap ni. Aduhai..
“Anggerik.” Panggilnya.
Nampaknya dia memang tak boleh kalau tak ada Anggerik. Tambah lagi dah terbiasa saban malam tidur berkongsi haba dari tubuh wanita itu. Kalau tak bersentuh kulit dengan Anggerik, mata dia memang tak nak lelap.
“Sayang...” Serunya lagi bila tengok Anggerik diam tak menjawab. Kali ini dia bangun dan mendekati tubuh itu. Dia tahu Anggerik belum tidur.
“Maaf.. Ye, aku tersampuk hantu kubur. Tak kisah lah hantu apa pun. But please... Teman aku tidur bawah. Jom.” Katanya sambil menarik bahu itu supaya menghadapnya. Dan ternyata tekaannya benar apabila melihat mata itu masih membulat.
Sengih ditarik. Sengih bersalah sebab sombong sangat tadi. Kononnya Anggerik akan datang merangkak cari dia. Tapi akhirnya dia juga yang merayap cari Anggerik.
“Em okey.” Anggerik jawab hendak tak hendak. Saja je nak menguji hati seorang suami.
“Jom. Tidur bawah..” Ahqaf bangun dan berdiri di tepi katil.
Anggerik buat-buat menguap dan selimut ditarik. Alahai hati! Sejak bila entah dia jadi mengada sangat. Seronok pulak bila sekarang Ahqaf dah pandai mencemar duli memujuk.
“Tidur bawah lah. Biar katil kita ni rehat malam ni.” Melihat mata Anggerik yang dah terpejam. Cepat Ahqaf sauk tubuh itu perlahan-lahan. Tak kira! Anggerik kena tidur sebelah dia juga malam ni.
Sementara itu Anggerik dah sembunyi senyum di sebalik dada Ahqaf. Yes! Merasa kena dukung dua kali malam ni.
Come, baby.” Kata Ahqaf sebaik sahaja dia baringkan tubuh itu sebelum dia sendiri berbaring.
Anggerik lemparkan senyuman. Tubuhnya didekatkan ke arah Ahqaf. Tak tunggu lama terasa tangan itu sudah membelit tubuhnya. Suka dia bila Ahqaf jadi sesopan itu. Tak adalah nak terjerit terpekik macam selalu.
Thanks sebab sudi jadi wife yang baik. And thanks sebab sudi kandungkan anak aku. I love you, baby.”
Makin lebar senyuman dia apabila terdengar bisikan itu di telinganya. Ahqaf memang jarang ungkapkan kata sayang. Memang payah nak dengar perkataan ‘I love you’ keluar dari bibir tu. Tapi kalau lelaki tu cakap, itu bermakna hati seorang Umar Ahqaf sedang berbahagia.
Dan dia juga turut berbahagia dan berasa bangga kerana berjaya mengandungkan benih dari lelaki itu. Diharap agar anak yang bakal lahir nanti boleh menjadi pengikat kasih sayang antara mereka.

MISI MENANTU MR BAD GUY KARYA AILAH DIELA

PROLOG



BIBIR bawah digigit perlahan. Pandangan mata si suami Anggerik balas. Mata hazel itu memandangnya atas bawah. Riak muka itu adalah riak orang terkejut.
“Seriously?”
Baru saja mulutnya ingin mengajukan soalan. Suaminya terlebih dahulu sudah mengeluarkan kata-kata. Kini pandangannya tertumpu pula ke arah Doktor yang sedang duduk di hadapan mereka.
Doktor itu mengangguk dengan senyuman. “Yes! Dah tiga minggu pun.”
Ahqaf pandang siling hospital. Terkebil-kebil matanya cuba mencerna sekali lagi berita yang baru diterimanya itu. Dia datang ke klinik tersebut sebab dia yang rasa lemah-lemah badan. Doktor Maira pula tak ada, sibuk pergi honerymoon dengan papa. Kononnya!
Tapi sekarang ni, kenapa berita yang dia terima macam susah sangat nak masuk dalam otak dia. Yang lemah badan dia, tapi takkanlah sampai ke otak kut lemah.
“Baby. Kau yang subur sangat ke atau aku?” Kini pandangannya beralih pula ke arah isteri yang diam tak berkutik di sebelah.
Anggerik bulatkan mata. Ahqaf! Boleh pulak tanya soalan macam tu dalam keadaan sekarang ni. Berbisik lah kononnya. Tapi apabila melihat doktor lelaki tu dah mula senyum. Dia dah tahu yang suara Ahqaf memang tak layak digelar berbisik.
“Eh! Mestilah aku kan.”
Sendiri tanya, sendiri yang jawab. Itulah yang Ahqaf lakukan sekarang. Anggerik julingkan mata. Geramnya! Lebih lagi bila suami dia tu boleh pula buat perangai ketawa terbahak-bahak.
“Yahoo! Thanks, Doktor. Saya rasa macam mimpi lagi ni.” Ucap Ahqaf dalam ketawanya. Sekarang ni dia rasa macam nak peluk Anggerik ketat-ketat. Bukan tu je. Dengan doktor tu sekali kalau boleh dia nak peluk.
Yes! Akhirnya sudah terserlah yang dia memang lelaki sejati.

Monday, 3 August 2015

ABANG SAYANG ADIK MANIS KARYA AILAH DIELA

BAB 4



SEKALI lagi berlangsungnya pertemuan aku dengan lelaki RM10 ribu. Kali ini aku sendiri yang ajak jumpa. Ada perkara yang aku nak selesaikan. Tak boleh tunggu lama dah.
“Encik ni baru keluar hospital gila ke?” Sehabis boleh aku cuba kawal suara aku. Takut nanti akan keluar suara komunis aku. Perasaan aku tengah meruap-ruap nak marah ni.
“Kalau betul pun kenapa?” Dia tanya sinis.
Aku kemam bibir. Sepatutnya tadi aku pakai baju ala nenek kebayan. Barulah mamat ni fikir dua tiga kali nak kahwin dengan aku.
“Memang sesuai la tu dengan awak.” Jawab aku tak mahu kalah. Hilang terus panggilan Encik yang aku gunakan.
“Pergi masuk meminang pun salah ke?”
“Memang salah!” Boleh pulak dia tanya aku soalan tu.
Terkejut aku dibuatnya bila dapat panggilan telefon dari Mak Ngah di kampung. Mak Ngah kata ada satu rombongan datang masuk meminang. Cepat betul dia buat kerja. Dan yang paling aku tak boleh nak hadam adalah bila Mak Ngah dah pun terima perminangan tu. Entah apalah yang lelaki ni dah tabur dekat Mak Ngah.
“Saya kan dah cakap pada awak semalam. Then, mestilah step kedua saya kena pergi meminang awak.” Dia jawab tanpa perasaan.
“Gila!” Lepas ni aku nak telefon hospital gila. Kut la ada orang gila yang terlepas ke.
“Bukannya saya culik awak dan ajak kahwin dekat sempadan pun. Saya ajak cara elok kan. Masuk meminang itukan salah satu adatnya. Saya dah bagi tahu awak yang saya nak kahwin dengan awak. Step kedua mestilah saya kena mintak izin keluarga awak pulak. Am I wrong?” Jawab lelaki tersebut sambil menolak sepinggan roti canai ke depan aku.
Bila masa entah dia buat pesanan. Aku ingatkan tadi roti canai tu untuk dia.
“Macam mana awak tahu kampung saya?”
“Kalau saya kata saya nak. Sampai lautan Atlantik pun saya akan cari...”
“Konon...”
Try me...”
Dengan siapa aku sedang berdepan sekarang ni? Kenapa mesti dia yang tolong aku? Kenapa mesti aku lalui semua ni. Masyallah. Kenapa aku ni macam nak mempertikaikan jalan hidup yang Allah dah tentukan untuk aku pulak. Siapa aku nak mempertikaikan semua ni. Tapi masalahnya sekarang ni memang kepala aku ni dah tak larat nak menampung rasa ingin tahu.
“Makan...” Sekali lagi dia tolak pinggan roti canai tersebut ke arah aku.
Aku geleng. Dia suruh aku makan. Tapi dia tak nak makan.
“Makan. Saya tak nak isteri saya nanti kurus kering. Saya nak guna awak lama, untuk seumur hidup saya..”
Aku julingkan mata ke atas. Sesuka hati dia saja buat keputusan sendiri. Ayat tak boleh blah!
“Kenapa awak senekad ini? Kenapa awak nak kahwin dengan saya? Apa yang ada pada saya ni? Apa motif awak sebenarnya?” Ikutkan hati aku memang nak je aku tulis segala jenis persoalan dalam kepala aku sekarang ni. Banyak sangat. Nak tanya memang rasa tak tertanya. Kalau aku tulis,biar dia baca sendiri. Buat macam jawab soalan latihan.
“Sebab nak kahwin dengan awak la.”
Hampir je aku tepuk dahi sendiri. Punyalah lah banyak aku tanya dia. Dia jawab seciput je!
“Tahulah. Tapi sebab apa?” Sabar. Kalau tak sabar memang lelaki ni mandi kuah kari.
“Saya nak kahwin la.” Jawab dia tanpa perasaan. Mata tu langsung tak pandang kiri kanan. Memang statik pada aku je.
Jawapan yang langsung tak memuaskan hati.
“Tahu! Tapi kenapa dengan saya?!” Apasal dia ni. Nak merasa sangat ke makan penumbuk aku. Huh!
Simple. Sebab saya suka awak.”
“Ya Allah..” Aku pegang kepala dengan menongkat kedua belah tangan ke atas meja.
Tekanan!
“La. Saya cakap suka pun tak happy ke?”
“Tapi saya tak suka awak.”
“Kahwin dengan saya dulu. I’m sure you will fall in love with me..You want me and me again.” Dia angkat sedikit bahu dan ukir senyum manis. Senyum yang menyejukkan segala panas dalam hati aku. Sengaja la tu!
“Saya dah ada kekasih.. Mana boleh saya kahwin dengan awak.” Bagi tahu aku mengenai Zakuan.
Then, apa masalahnya? Kekasih aje kan. Saya ni pulak bakal suami awak, so saya lagi berhak.” Jawab dia santai dengan sebelah tangan menongkat ke atas pemegang kerusi. Ibu jari pula melekat di bibir.
“Masalahnya saya sayang dia..”
“Qaseh. You know what? The truth is you don’t need a boyfriend to be happy. But you need me. Your future husband. Trust me!” Dia petik jari sekali.
Aku boleh nampak dia terlalu yakin dengan setiap patah perkataan yang dia tuturkan.
“Bila masa pulak saya setuju nak kahwin dengan awak? So, awak bukan bakal suami saya...”
“Lupa ke? Saya dah dapat green light dari Mak Ngah awak. So, secara teknikalnya. I’m your future husband la.”
Bila aku boleh menang ni? Kenapa dia ni banyak sangat jawapan. Memang jenis tak reti mengalah betul!
“Awak. Tolonglah. Saya tahu awak memang baik hati. Dan saya percaya, awak faham saya.Saya akan bayar semua duit awak tu. Tapi bukan dengan cara macam ni. Jangan paksa saya. Janganlah buat saya macam ni.. Saya sayang kekasih saya sekarang ni.” Mulalah aku rasa nak menangis bila aku rasa yang aku dah nak kalah.
Marry me. I will love you more than you love him. I’m promise you, saya akan buat awak hanya nampak saya sebagai kekasih awak. Bukan orang lain. Sebab itu awak kena kahwin dengan saya.”
“Aduh...”
Marry me..” Ulang dia lagi.
“Kalau saya tak nak? Awak nak buat apa?” Soal aku ingin tahu.
Dia tak jawab. Hanya mengangkat kedua bahu dan bibir nipis tu membentuk senyuman herot. Pinggan roti canai aku ditarik dan cekap tangan dia mencarik-carik roti canai tersebut menjadi carikan kecil.
“Degil.” Komen dia perlahan. Tapi masih mampu untuk aku dengar.
“Awak lagi degil.”
“Oh. Dengar ye.. Kata hati saya awak boleh dengar tak?”
“Saya bukannya ada ilmu sehebat itu.”
“Baguslah kalau awak tak boleh tahu...”
“Kenapa pula?”
“Sebab kalau awak boleh dengar kata hati saya. I’m sure awak akan menjerit-jerit minta saya kahwin dengan awak. Nasib baik awak tak dengar, sebab saya tak rela dikejar perempuan. Saya lagi suka mengejar.” Lembut nada suara dia masuk ke dalam gegendang telinga aku. Tak tahu la kenapa, kali ini aku nampak keikhlasan diri dia.
Pinggan roti canai yang sudah siap dicarik-carik,ditolak kembali ke depan aku. Tak tahu la dah berapa kali roti tu kena tarik, tolak. Kali ini aku capai sudu dan suap roti canai tersebut masuk ke dalam mulut. Selagi aku tak makan memang dia akan terus memaksa. Tengok cara pun aku dah tahu.
“Nak bermanja rupanya...” Dia sengih nakal ke arah aku.
Aku bagi jelingan tajam. Tolong sikit!
“Saya makan ni sebab saya lapar tau. Tak ada kena mengena pun dengan awak.” Aku makan sebab aku nak cepat balik. Balik dan tidur! Penat dah otak aku ni dengan apa yang dah berlaku sekarang ni.
Lepas satu, satu lagi masalah yang datang.
So, kira setuju la ni kahwin dengan saya?”
“Tak! Hishh! Jangan paksa-paksa boleh tak. Menyampah!”
Dia pegang dada. Konon terkejut la sangat sebab aku marah. Mengejek aku!
Well..hmm.. You have one million reasons to hate me and one million reasons to love me. Just pick one. Pilihan di tangan awak.” Dia tegakkan jari telunjuk dan jari hantu. Dua pilihan!
“Saya pilih pilihan pertama. Muktamad!” Tak faham bahasa betul.
“Yeke? Sure?”
“Ye. Very sure!”
“Tapi saya rasa awak akan pilih pilihan kedua. Very sure!”
Aku kerutkan hidung. Suka hati kau la encik degil!


Aku garu kepala yang tak gatal. Aduh! Janganlah Mak Ngah mulakan ceramah ala Kak Ton. Ingatkan bila dah selesai kes RM 10 ribu tu, senang la hidup aku. Rupanya masalah semakin bertambah rumit pulak. Kalau lelaki tu mintak aku bagi separuh gaji aku untuk seumur hidup pada dia pun aku sanggup. Tapi dia mintak balasan nak kahwin.
Kahwin! Bukannya main kahwin-kahwin.
“Mak Ngah.. Ria tak sedia lagi.” Tipu aku.
“Dah ada lelaki yang baik macam tu, tak perlu nak bersedia bagai la Ria oi... Mak Ngah suka budaknya. Baik. Sopan je..”
Kalau macam tu baik Mak Ngah je kahwin dengan dia. Hiss! Nak je aku cakap macam tu. Tapi memikirkan aku tengah bercakap dengan ibu saudara kandung aku, maka aku tahankan saja hati ni.
“Ria kan baru habis belajar. Kerja pun baru je lima bulan. Bagilah Ria kerja lama sikit...” Entah apalah alasan yang aku bagi. Tak ada kena mengena langsung.
“Kalau dah kahwin tak boleh nak kerja ke? Kerja aje la. Mak Ngah percaya, bakal suami kamu tu nanti tak akan halang. Ria. Kamu tu amanah Mak Ngah. Duduk pulak jauh kat Kuala Lumpur sana. Ingat Mak Ngah ni tak susah hati ke? Kalau kamu tu dah kahwin. Lapang la sikit dada Mak Ngah ni.” Panjang lebar ayat Mak Ngah.
Ayat Mak Ngah yang terakhir itulah yang membuatkan aku sedih. Aku kalau boleh memang tak nak sangat menyusahkan Mak Ngah. Mak Ngah sekeluarga pun bukannya orang senang. Anak dia semuanya sekolah lagi. Ini nak tambah pulak aku lagi seorang. Aku tak nak sesiapa pun rasa susah disebabkan aku.
“Mak Ngah. Kat sini kan Ria ada Najwa. Mak Ngah janganlah risau.”
“Selagi kamu tu tak kahwin. Selagi itulah Mak Ngah ni susah hati.”
“Nak sangat Ria kahwin. Tak sayang Ria dah la tu...” Seloroh aku. Tak nak suasana jadi tegang sangat. Nanti susah aku nak memujuk.
“Sebab sayang la Mak Ngah nak kamu kahwin. Kamu pun, kalau betul sayang Mak Ngah ni. Dengar cakap Mak Ngah.”
Mula dah! Boleh pulak ada pertukaran macam tu.
“Mak Ngah ni saja je nak bagi Ria serba salah.” Aku bangun dari pembaringan. Nafas aku hela panjang. Lelah dengan semua perkara yang terjadi sekarang ni.
“Kamu pun satu. Kalau dah tak ready nak kahwin. Yang pergi gatal nak berpakwe tu kenapa? Bila orang tu ajak kahwin. Tak nak pulak. Dah sampai ke mari dia datang nak meminang kamu. Itupun tak terharu lagi ke? Pakwe punya handsome macam tu. Kamu nak jual mahal pulak. Kira bersyukur la pakwe kamu tu nak kahwin dengan kamu.”
Amboi Mak Ngah! Macam nak cakap aku tak layak sangat je dengan lelaki tu.
Masalahnya dia bukan kekasih aku. Huh! Kalau cakap pun bukannya Mak Ngah faham. Di mata Mak Ngah, memang dah nampak lelaki tu je. Agaknya Pak Ngah pun boleh kalah.
“Tak boleh batal ke Mak Ngah?”
“Tak boleh! Mata tua Mak Ngah ni tahu, Mak Ngah memang tak salah menilai. Bukan Mak Ngah je. Mak Anjang dengan Pak Anjang kamu pun setuju.  Ria, kamu tu lah satu-satunya anak arwah. Kalau jadi apa-apa pada kamu, apalah yang Mak Ngah nak jawab dengan arwah mak kamu kat sana nanti.”
Huwaa! Masuk bab arwah mak aku pulak.
“Mak ngah janganlah cakap macam tu..” Ini yang nak meleleh air mata ni.
“Dengarlah cakap Mak Ngah ni. Kalau lelaki tu tak sayang kamu, dia tak adanya datang sampai ke rumah buruk Mak Ngah ni. Janganlah kamu nak menolak tuah Ria. Sekali kamu dah menolak benda baik yang datang pada kita, itu namanya tak bersyukur. Mak Ngah tahu Ria budak bijak. Faham kan apa yang Mak Ngah cuba nak sampaikan ni?” Sayu suara Mak Ngah dihujung talian.
Aku pulak dah terhinjut-hinjut bahu menahan sendu. Tak nak Mak Ngah perasan yang aku dah mula menangis. Nanti lagi dia tambah susah hati.
Apa yang perlu aku buat ni? Kalau aku tak kahwin. Aku akan masuk penjara. Aku akan hancurkan hati Mak Ngah. Kalaupun lelaki tu tak sumbat aku dalam penjara. Aku tetap dah jadi manusia yang lupakan jasa orang lain. Dia dah berbuat baik pada aku. Tapi bila dia mintak sesuatu dari aku. Aku dengan sombong dirinya menolak. Tak bersyukurkah aku ni?
“Tak apalah. Pergi tidur. Nanti tengah malam, bangun buat solat sunat. Minta pertunjuk dari Allah. Sesungguhnya dia maha mengetahui. Mak Ngah tak memaksa. Tapi Mak Ngah simpan harapan yang besar supaya ria tak salah buat keputusan. Mak Ngah buat semuanya ni untuk kebaikan Ria.” Aku angguk berkali-kali. Macamlah Mak Ngah boleh nampak kepala aku yang terangguk-angguk macam burung belatuk ni.
Selesai memberikan salam aku rebahkan semula badan ke atas tilam. Air mata aku kesat dengan belakang tapak tangan. Rasa bersalah pada Mak Ngah membuatkan hati aku ni rasa macam dihimpit dengan papan lapis. Sesak. Kalau arwah mak masih ada, dia pun sama macam Mak Ngah ke? Betul ke lelaki tu adalah yang terbaik untuk aku.. Ya Allah. Bantulah aku.
Aku terjaga betul-betul ketika azan subuh berkemundang. Peluh yang memercik di dahi aku lap dengan selimut. Rasanya baru saja lagi aku tidur lepas bangun menunaikan solat sunat istikharah. Tapi kenapa aku rasa seolah aku dah tidur lama sangat. Mungkinkah sebab arwah mak muncul dalam mimpi aku dan membuatkan tidur aku terlalu lena.
Berbuat baiklah kamu selagi kamu mampu untuk berbuat demikian. Jangan ditanya kenapa dan mengapa Allah itu menguji kamu. Tetapi ambillah apa yang terjadi itu sebagai penguat untuk kita meneruskan kehidupan. Allah itu tidak akan menjadikan sesuatu perkara itu tanpa sebabnya. Dan Allah itu tidak akan memberikan jalan yang buruk untuk hambanya yang beriman. Sentiasalah berfikir baik dengan apa jua masalah yang datang.
Kata-kata arwah mak di dalam mimpi aku tadi membuatkan jantung aku berdegup laju. Berdosakah aku Ya Allah? Aku dah buat Mak Ngah sedih memikirkan tentang aku. Aku juga dah jadi manusia lalai. Lalai dalam mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan. Lelaki itu. Dia tiba-tiba muncul ketika aku mengalami kesusahan. Dia tak pernah meminta apa-apa dari aku. Dia hanya ingin aku menjadi isterinya. Berkahwin adalah satu perkara yang dipandang mulia oleh Allah.
Saya pilih pilihan yang kedua – Qaseh
Dan di pagi subuh yang tenang itu. Sepotong ayat yang cukup ringkas aku kirimkan kepada lelaki tersebut. Mungkin ini adalah jalan hidup aku. Dan aku redha jika inilah yang sudah ditentukan olehnya untukku. Lepas kahwin nanti, barulah aku fikir apa yang aku perlu buat. Samada nak ikut cadangan Zakuan atau terus setia disisinya sebagai isteri solehah.


ABANG SAYANG ADIK MANIS KARYA AILAH DIELA

BAB 3


ADA seseorang yang ikhlas ingin membantu. Wujud lagi ke ikhlas pada zaman sekarang ni? Itulah yang membelenggu diri aku sekarang ni. Mr.Yap baru saja sampaikan berita baik pada aku. Ada seseorang yang baik hati dah tolong aku langsaikan duit RM 10 ribu ringgit itu pada Mr.Yap.
Berita baiklah tu sebab aku dah tak payah nak pening kepala cari duit. Cuma yang menjadi tanda tanya aku sekarang adalah, apa motif dia keluarkan duit sebanyak itu untuk aku?
“Siapa Mr.Yap?”
“Kawan kepada kawan I.”
Kawan kepada kawan? Maknanya Mr.Yap pun tak kenal la siapa orang tu.
“Lelaki ke perempuan?”
“Tak tahu. Sekejap lagi you pergilah jumpa dia.” Jawab Mr.Yap ringkas.
Aku gigit bibir. Geram! Mentanglah dah dapat duit dia. Aku ni dia buat tak nampak je. Cubalah jawab betul-betul. Takkan la aku nak main pergi jumpa je orang yang aku tak kenal. Kalau orang tu ada niat tak baik pada aku macam mana? Mr.Yap ni memang la tak perihatin.
“Siapa nama kawan Mr.Yap tu?”
“Haziq. Owner Hotel Plaza Inn.”
Haziq? Tak kenal.
“Macam mana pulak dia boleh tahu pasal ni?” Takkanlah Mr.Yap ni cerita dekat orang lain pasal aku kut. Teruknya!
“Lupa? Kan ke dia ada datang semalam?”
Aku garu kening. Memang aku tahu semalam ada wakil dari Hotel Plaza Inn datang nak order bunga untuk hotel tu. Masa tu aku tengah teruk kena marah, manalah aku nak pandang kiri kanan dah. Jadi orang tu dah dengar la yang aku kena marah semalam? Malunya!
Owner dia datang sendiri ke?” Bagusnya Haziq tu. Jadi bos, tapi kerja macam ni dia yang buat sendiri. Macamlah tak boleh suruh pekerja dia je yang baut.
Mr.Yap pandang aku tajam.
“Sorry...” Pinta aku. Faham Mr.Yap marah sebab aku banyak sangat tanya. Tapi aku memang perlu tanya pun kan. Ini kan berkaitan dengan hal aku.
Pelik la juga aku bila tiba-tiba ada orang buat baik dengan aku. Kalau Haziq tu sendiri yang bayar aku tak kisah la sangat. Ini kawan kepada Haziq tu. Haziq tu cerita dekat kawan dia ke?
Haihh! Pening aku.
“Saya tengah blur ni Mr.Yap...”
Then! Pergilah jumpa dia. Cara you nak bayar balik, itu terpulang la pada you. Itu urusan you dengan dia. You bernasib baik sebab dah ada orang yang nak tolong bayarkan. Kalau tak, I memang tak akan lepaskan you Daria.”
Aku jatuhkan bahu. Lemah! Aku tahulah. Kalau dah tak percayakan aku tu sudahlah. Membebel pulak. Tadi pun puas aku merayu supaya tak berhentikan aku kerja. Nasib baik dia masih nak bagi peluang walaupun membebel panjang berjela.
Cuma dia suruh aku jangan sentuh lagi apa-apa yang berkaitan dengan kewangan kedai. Habis tu aku nak buat kerja apa? Gubah bunga? Bagus juga. Ringan sikit tugas aku.
“Saya nak kena jumpa dia kat mana?”
Mr.Yap hulurkan pada aku sekeping kad. Tertera alamat Hotel Plaza Inn milik Haziq.
“Pergi jumpa dia sekarang.” Bagi tahu Mr.Yap.
Aku angguk. Kemudian pergi ke bilik kerja aku dan ambil beg tangan. Kali ini aku ambil teksi untuk ke Hotel Plaza. Tak nak naik bas, lambat! Tak salah rasanya jumpa. Jangan menilai sebelum aku bertemu secara berdepan dengan orang tu. Manalah tahu dia memang betul ikhlas.
Lima belas minit kemudian aku tiba di Hotel Plaza Inn. Seolah memang sudah ditetapkan temujanji, penyambut tetamu terus saja menunjukkan aku arah meja. Masa tu orang yang aku nak jumpa masih belum tiba.
 Aku pandang sekeliling hotel dari meja yang aku duduk. Gila punya mewah. Kalau nak harap aku saja-saja datang sini, memang tak lah. Aku sedut minuman yang aku sendiri pun tak tahu namanya. Air warna merah, macam sirap. Tapi tak rasa sirap pun. Tak sedap langsung, rasanya pelik sangat.
Aku seluk poket beg bila terasa gegaran telefon bimbit. Najwa!
“Hello...” Jawab aku lemah.
“Kau kat mana? Janji dengan aku nak pergi night market. Ni dah pukul 6, tak reti nak balik lagi ke...” Serang Najwa terus.
Aku betulkan ikatan rambut yang terasa senget. Dah sehari suntuk aku tak tengok cermin. Entah macam manalah rupa aku sekarang ni. Dah la duduk dalam hotel mewah, kalau selekeh. Memang memalukan je. Tukang cuci hotel ni pun lagi cantik dari aku.
“Aku ada hal. Kedai tutup lewat sikit. Kita pergi lepas isyak nanti la ye.” Maaf Najwa. Terpaksa menipu. Aku tak nak buat kau susah hati. Masalah aku,biarlah aku yang selesaikan sendiri.
“Alah. Nanti rangka ayam yang sedap tu habis. Aku tak nak beli gerai lagi satu tu. Tak best.” Rungut Najwa.
“Hiss kau ni. Sama aje la mana-mana pun. Rangka ayam juga kan...” Pandangan aku lemparkan ke arah cermin kaca di sebelah aku. Melihat jalan raya yang mula bersesak dengan kenderaan. Waktu orang balik kerja kan, normal la tu.
“Kau banyak kerja sangat ke? Aku ambik kau aje la.”
“Hesy! Tak payah. Jumpa kat rumah nanti je.” Najwa ni kalau pasal rangka ayam. Tak menyabar. Padahal setiap minggu pun dia makan rangka ayam pak cik tu. Sampaikan badan pun dah sama macam rangka ayam tu.
“Yela! Kau jangan lambat sangat tau.”
“Ye..” Tak tunggu balasan terus aku letak. Kalau dilayan, panjang pula pesanan penaja yang akan keluar dari mulut Najwa nanti.
Aku kalih kepala, ingin memandang ke arah pintu masuk. Sebab aku rasa dah lama sangat aku tunggu dekat sini. Tapi orang yang ditunggu masih juga belum tiba. Takkan la aku kena tipu kut. Entah-entah Haziq tu ada niat tak baik pada aku kut. Dia isi benda tak elok dalam air aku ni, lepas tu...dia bawak aku naik atas. Alamak! Takkanlah..
“Ehem!” Baru aku nak angkat punggung. Seseorang sudah berdiri tegak di hadapan aku.
Aku angkat sebelah kening memandang gerangan tersebut. Serius wajah itu memandang aku dengan kedua tangan berada di dalam poket seluar.
“Maaf encik. Tapi tempat ni dah ada orang. Saya tengah tunggu dia la ni.” Rasanya lelaki ini nak mintak kebenaran duduk sini kut. Tapi kenapa pula? Sedangkan meja lain banyak lagi yang kosong.
“Oh ye? Okey.” Selesai berkata-kata. Kerusi ditarik dan dia duduk.
Kali ini kedua belah kening aku pula yang naik. Eh! Dia ni tak faham ke apa yang aku cakap. Aku memandang lelaki di hadapan aku dengan rasa pelik. Rasanya aku tak kenal dia ni. Takkan la dia ni kawan kepada Haziq tu. Muda sangat. Macam tak sesuai nak jadi kawan kepada Haziq yang dah berumur tu.
“Err... Encik ni...”
“Yup. Saya.. Qaseh Daria right?”
Aku angguk lambat-lambat. Oh my! Jadi dia ke yang dah tolong keluarkan duit RM 10 ribu tu. Macam susah nak percaya. Memang aku tak nak percaya!
“Maaf. Saya tak kenal encik tadi...” Pohon aku.
It’s okey. Dah namanya pun pertama kali jumpa kan. Mestilah tak kenal.”
“Tapi encik kenal saya..”
“Kalau tak kenal, takkan la saya nak keluarkan duit sebanyak itu.” Lelaki tersebut senyum segaris. Aku pejam celikkan mata.
Kenapa handsome sangat ni? Makan apa sampai boleh handsome macam ni? Huh! Jealous aku tengok kulit muka dia yang licin tu.
“Terima kasih encik sebab dah tolong saya. Saya tak tahu nak cakap macam mana. Tapi terima kasih sangat-sangat. Encik cakap je, berapa yang saya kena saya bayar tiap bulan. Saya akan bayar sampai langsai duit tu. Nak suruh saya bayar dengan bunga, daun, akar sekali pun tak apa. Tapi janganlah tinggi sangat. Tak baik tau. Riba!” Ucap aku ikhlas.
Kalau dia perempuan. Memang aku dah cium-cium tangan dia yang pemurah sangat tu. Tak kisahlah dia kenal aku macam mana pun. Yang penting sekarang ni, aku dah boleh tidur dengan lena. Aku tak nak jadi banduan!
“Erm sama-sama.. Makan?” Pelawa dia.
“Tak apa. Tak nak. Encik, terima kasih. Terima kasih sangat. Saya tak sangka zaman sekarang ni masih ada insan yang berhati mulia macam encik ni. Semoga murah la rezeki encik.” Rasa menyesal pulak sebab aku dah buruk sangka sebelum ni. Mungkin dia betul ikhlas. Yela, muka aku ni kan memang muka kesian. Nampak sangat muka orang susah.
Don’t mention it..”
“Terima kasih encik..”
“Haihh awak ni. Kalaulah terima kasih awak tu bernilai, rasanya saya dah jadi jutawan sekarang ni agaknya. Dah banyak sangat terima kasih yang awak bagi.” Lelaki tersebut mengelengkan sedikit kepalanya. Mungkin dia rasa yang aku ni nampak terlalu kalut kut.
Aku senyum segan sambil membetulkan baju yang tersarung di tubuh. Segan pulak pada lelaki di depan aku ni. Dia punyalah kemas, segak. Aku pulak? Macam mokcik-mokcik!
“Encik nak saya bayar berapa bulanan? Er, berapa lama ye..” Janganlah dia bagi aku tempoh tiga bulan je. Mahunya aku makan nasi dengan garam je nanti. Habis semua duit gaji bayar dekat dia. Aku bukannya eksekutif, gaji sampai beribu ringgit.
“Berapa lama? Ermm...awak nak berapa lama?”
“Sepuluh bulan boleh?” Boleh la aku bayar dengan jumlah seribu ringgit sebulan. Memanglah gaji aku akan jadi ciput. Tapi tahanlah dari kena bayar sepuluh ribu ringgit sekaligus.
“Sepuluh bulan?”
Aku angguk.
Tapi dia geleng...
“Ermm. Lima bulan?” Soal aku lagi. Alah..mintak-mintak la dia ni jenis mudah berbincang. Jangan la dia buat keras hati dia je.
Dia geleng lagi...
“Habis tu.. Erm, terpulang pada encik la.” Duit dia kan. Ikut suka dia la dia nak bila pun..
“Seumur hidup.”
“Huh?” Seumur hidup? Nak kira macam mana tu? Sebulan seringgit ke?
“Yeah.. Seumur hidup. Tadi awak ada cakap pasal bunga, daun, akar kan.. Jangan risau. Saya tak charge untuk akar, daun atau batang sekali pun. Saya hanya perlukan bunga tu je...” Terang dia dengan tenang. Segaris senyuman pun tak ada.
Makin berkedut rasanya dahi aku sekarang ni. Tak faham! Sungguh aku tak faham.
“Tolong jadi bunga untuk seumur hidup saya. Jadi bunga yang sentiasa indah di mata saya dan menyerikan hidup saya.” Sambung dia lagi.
Aku pandang muka dia. Cuba mencari jawapan di sebalik muka handsome tu. Tapi tak jumpa. Apa kena mengena bunga, hutang dan hidup dia? Dia ni penyajak ke? Apahal tiba-tiba nak bermadah punjangga pulak.
“Maaf. Kalau encik nak cakap saya lembab pun saya tak kisah. Tapi, serius saya tak faham.”
Be my wife...”
“Erk?”
Aku pegang leher. Nyaris tertelan anak tekak sendiri.
“Jadi isteri saya... Kahwin dengan saya.” Dia meletakkan kedua belah tangan ke atas meja dan mendekatkan wajahnya ke arah aku.
“Kah... Kahwin?” Tergagap aku nak menyebut satu perkataan tu. Kut la aku salah dengar ke.
Yes! Simple thing. Come live into my heart and pay no rent. Will you?” Soal dia dengan mengerdipkan mata sekali. Senyuman senget terukir.
Aku menolak kerusi ke belakang pantas. Memegang dada sendiri. Terkejut. Senyuman dia tu memang boleh buat aku kena serangan angin ahmar. Tapi perkara yang membuatkan aku rasa nak tumbuk diri sendiri adalah, dia ajak aku kahwin. KAHWIN?


Zakuan yang sedang menyedut minuman aku pandang tak berkelip. Kenapa dia boleh selamba je? Aku ni punyalah nak hilang nyawa disebabkan hal yang lelaki baik tu tawarkan. Jadi isteri dia? Huh! Tak pasal semalam aku terpaksa batalkan janji aku dengan Najwa.
Aku tak kira la kalau Najwa nak marah pun. Banyak benda yang aku nak tanya lelaki tu semalam sampaikan lupa terus pasal rangka ayam Najwa. Aku ni yang bakal jadi rangka!
“Habis tu? Awak nak ke?” Jumpa Zakuan, aku diajukan pula dengan soalan mintak pelempang.
“Tak nak!” Memang itulah jawapan aku. Tak akan berubah. Semalam pun itulah jawapan yang aku berikan pada lelaki mental yang tiba-tiba ajak aku kahwin.
Then? Awak ada duit ke nak bayar semula duit dia tu? Awak nak masuk penjara?” Soal Zakuan bertalu-talu.
“Awak kenalah tolong saya.”
“Saya tak ada duit!”
Aku rasa aku baru je mintak tolong, belum pun aku cakap nak pinjam duit dia. Tapi dia dah mengaku awal-awal yang dia tak ada duit. Dari awal lagi sepatutnya aku tahu bahawa Zakuan bukanlah orang yang sesuai untuk aku mintak pertolongan dari segi kewangan.
“Awak pergi la jumpa dia. Cakap yang saya ni bakal isteri awak. Kekasih awak.” Geram sungguh aku. Apasal la aku boleh sayang pada lelaki lembab macam ni.
Siapa yang tak terkejut kalau tiba-tiba ada orang yang kita langsung tak kenal ajak  kita kahwin. Semalam nyaris aku nak jatuh terlentang ke belakang. Nasib baik aku sempat nampak senyuman dari bibir lelaki tu. Itulah yang menyegarkan aku semula, senyuman dia memang boleh buat biji mata ni terbeliak. Kalau dia tak senyum, memang aku pecah rekod la jatuh terlentang dalam hotel tu.
“Kahwin aje la dengan dia....”
What?!”
Oksigen! Oksigen! Mana gorila besar tu? Aku harap sangat dia muncul sekarang ni. Kalau dia muncul, maknanya ini adalah rancangan Bang Bang Boom. Muncullah wahai gorila. Selamatkan aku dari manusia-manusia menyakitkan hati ni.
“Ria, awak jangan salah faham. Bukannya saya tak sayangkan awak. Tapi awak ada pilihan lain ke? Hanya ini pilihan yang awak ada. Dia dah pun bayarkan duit tu pada Mr.Yap. Kalau dia tak bayarkan, awak akan masuk penjara. Awak nak?”
“Tak nak...” Siapa yang nak masuk ke tempat tu.
Aku ada impian aku sendiri. Dan impian aku tu juga adalah impian arwah mak aku. Selagi aku tak dapat capai impian aku tu, aku tak boleh masuk penjara. Kalau dah capai pun, aku tetap tak nak masuk penjara. Tak nak!
“Bukan senang nak hidup senang ni, Ria. Dan lagi susah kalau kita ni hidup susah. Jangan menambahkan lagi masalah yang kita ada sekarang ni.” Zakuan meraup rambutnya ke belakang. Serabut!
Aku muncung. Menyampah. Tapi tak boleh nak salahkan Zakuan juga. Masalah dia dah cukup banyak, aku sibuk nak menyelit sekali. Aku tahu sekarang ni Zakuan sibuk fikirkan tentang kesihatan Mak Shimah. Siapa yang tak sayang mak, kalau aku pun aku akan utamakan mak aku sendiri.
“Habis tu macam mana ni. Saya tak nak kahwin dengan dia. Saya tak kenal dia pun.” Memanglah lelaki yang ajak aku kahwin tu handsome. Tapi kenyang ke dengan handsome? Apa motif dia entah ajak aku kahwin. Handsome macam tu, bersepah lagi orang nak dekat dia. Kenapa aku?
“Ria.. Kalau awak tanya saya. Saya pilih untuk hidup senang.”
Lama aku dan Zakuan saling berpandangan. Aku faham maksud dia. Tapi aku sengaja buat tak faham. Aku tak nak faham pun. Kenapa aku rasa seolah Zakuan yang ada di depan aku sekarang ni adalah lelaki yang suka memilih jalan mudah. Lelaki yang memandang kesenangan. Mana kasih sayang dia pada aku? Takkan semudah itu dia nak lepaskan aku pada lelaki lain.
“Kita macam mana?”
Think, Ria.. Awak kahwin je dengan dia. Tiga bulan lepas tu, cerai la. Dia nak sangat kahwin dengan awak kan. Awak buat la sampai dia ceraikan awak. Selesai masalah.”
Aku tarik nafas berkali-kali. Memang aku betul-betul perlukan oksigen sekarang ni. Boleh tak kalau aku nak tumbuk muka dodol Zakuan sekarang ni? Apa punya idea yang dia bagi kat aku ni. Entah apa-apa!