BAB 2
“AWAK, petang tadi
awak jumpa siapa?” tanya Sufiyya lembut sebaik saja panggilannya disambut oleh
Khairy. Sufiyya tak menunggu lama untuk mendapatkan jawapan, malam itu juga dia
menghubungi Khairy.
“Saya
jumpa kawan-kawan sayalah. Minum-minum sebelum balik rumah. Kenapa sayang?”
tanya Khairy kembali. Tenang saja dia dengan pertanyaan Sufiyya.
“Saya tak suka awak bergaul dengan
orang-orang macam tu...”
“Orang-orang
yang macam mana?”
“Phea
kata...”
“Oh, Phea punya kerjalah ni, eh?” Khairy
memintas kata-kata Sufiyya. “Phea kata kawan-kawan saya tu orang jahat, kan?
Itu lelaki, kalau dia nampak saya keluar minum dengan perempuan lain, apa pulak
yang diburukkan saya ni, kan?” Sedikit keras suara Khairy.
Entah kenapa dia merasakan Sophea begitu
bencikan dirinya. Kalau tidak, masakan dari dulu sampailah sekarang, Sophea tak
pernah memanggilnya abang. Hanya memanggil namanya saja. Langsung tiada rasa hormat kepada diri Khairy yang
bakal menjadi abang iparnya. Sophea seolah-olah sengaja mahu mengkucar-kacirkan
perhubungan dia dan Sufiyya.
“Awak, Phea tak salah. Saya ni kakak dia,
tentulah dia akan beritahu kalau ada perkara yang dia rasakan tak kena. Saya
cuma nak tahu, siapa orang-orang tu?”
Sufiyya membela adiknya kerana dalam
banyak-banyak hal, tentulah dia kena utamakan adik sendiri. Khairy hanyalah
tunangan dan belum lagi sah ikatannya. Walaupun baik dan buruk Khairy sudah
diterima seadanya, namun tak semestinya Khairy boleh berbuat sesuka hati di
luar pengetahuan Sufiyya.
“Dia orang tu, kawan-kawan saya yang kerja
bengkel, kerja tarik kereta. Badan besar-besar, berminyak pulak tu. Memanglah
nampak macam orang jahat, dah itu kerjanya. Okeylah tu, daripada saya keluar
dengan perempuan lain. Adik awak tu kan, memang tak suka kat saya...”
“Awak, Phea bukan tak suka kat awaklah. Awak aje yang berperasaan macam tu.” Kali
ini giliran Sufiyya pula memintas. Tak tega mendengar lontaran kata yang tidak
enak terhadap Sophea.
“Huh!” Khairy mendengus marah.
“Lepas ni, awak kenalkan semua kawan-kawan
awak kat saya, boleh? Tak adalah orang tersalah sangka yang bukan-bukan.” Pinta
Sufiyya.
“Nak ajak awak keluar pun payah, banyak
sangat alasan. Macam mana nak kenalkan dengan kawan-kawan saya. Saya keluar
dengan perempuan lain, baru awak tahu.” Tempelak Khairy dalam nada serius.
Mengugut pun ada dan sengaja dia memprovok Sufiyya. Kadang-kadang dia naik
bosan untuk mengajak Sufiyya keluar, ada saja alasannya.
“Okeylah awak, saya dah nak tidur.”
“Ha, kan betul. Alasan semata-mata. Saya
tahu, awak tak suka...”
“Awak, saya tak nak gaduh-gaduh. Lebih
baik stop kat sini, sebelum
berlanjutan. Dan kalau awak nak keluar dengan perempuan lain pun, terpulang
pada awak.” Tenang saja Sufiyya menjawab walaupun dia sedikit terguris hati
dengan kata-kata Khairy. Kenapa sejak akhir-akhir ini Khairy sering
membentak-bentak dan mendengus begini?
“Merajuklah tu? Saya merajuk awak tak
peduli pun. Dah berapa lama
kita tak jumpa? Saya ni, sanggup tahan perasaan rindu saya kat awak semata-mata
ikutkan kehendak awak yang kononnya tak nak selalu sangat jumpa tu. Bukannya
kita nak buat benda tak elok, keluar makan aje.” Semakin keras suara Khairy.
“Memanglah kita tak buat perkara yang tak
elok, tapi masa bertunang godaan lagi kuat, syaitan tu menari-nari aje antara
kita.” Sufiyya masih cuba bersabar, mengawal emosi daripada meletup. Sakit hati
mendengarkan kata-kata Khairy.
“Selama kita berkawan ni, ada ke saya buat
yang tak elok kat awak?” Khairy semakin meradang.
“Saya tak kata awak buat perkara yang tak
elok...”
“Ah, sama saja maksudnya.” Belum pun
sempat Sufiyya meneruskan kata, Khairy memintas.
“Sudahlah awak, saya nak tidur. Bye.” Sufiyya mematikan talian. Sakit
hati.
Khairy mengetap bibir. Marah yang teramat
sangat dengan tindakan Sufiyya yang mematikan talian dengan serta-merta.
Dadanya berombak. Kalaulah Sufiyya berada di hadapannya pada ketika ini, mahu
saja ditarik tangan Sufiyya kembali kepadanya supaya terluah segala yang
terbuku di hati.
Sufiyya benar-benar terasa hati.
Fikirannya menerawang lagi. Khairy bertugas sebagai pegawai akaun di sebuah
syarikat multinasional, mana pula dia kenal orang-orang yang sebegitu? Ah,
mungkin dia mencari kawan yang sebegitu untuk memudahkannya menguruskan
keretanya andai kenderaannya mengalami masalah. Atau pun mereka itu merupakan
geng kelab kereta yang sekepala dengannya. Geng obses ubah suai kereta. Sufiyya
cuba berbaik sangka terhadap tunangannya sehinggalah dia terlelap.
No comments:
Post a Comment