Showing posts with label HANYA KAMU JOHANNA. Show all posts
Showing posts with label HANYA KAMU JOHANNA. Show all posts

Wednesday, 11 November 2015

HANYA KAMU JOHANNA KARYA DILLA AHMAD

BAB 3



 J ohanna terus ketawa geli hati apabila melihat wajah Mak Mah yang nampak sungguh terkejut itu. Terus dipeluk bahu Mak Mah. Kesian, Mak Mah. Pucat sungguh muka orang tua itu! 

“Saya bergurau ajelah, Mak Mah,” katanya sambil tergelak kecil. 

Mak Mah terus memukul lengan Johanna kemudian dia berlalu ke dapur. Kepala digeleng perlahan. Betullah si Johanna ni. Buat dia terkejut saja. Seram juga Mak Mah tengok muka Tuan Syed Harraz merenung Johanna. Johanna... Johanna… 

“Very funny…” Suara Syed Harraz yang garau dan dalam itu membuatkan Johanna berhenti ketawa. Dia berdehem perlahan lalu memandang wajah mamat jambang itu semula. “Awak buat masalah ke kat rumah akhlak tu?” tanya Syed Harraz. Johanna pula hanya diam sahaja. 

“Kenapa tak jawab? Saya tanya ni.” Mata Syed Harraz bulat memandang Johanna. 

“Gua bergaduh… Pukul orang. Lepas tu umi hantar wa ke sini suruh tolong Mak Mah selama satu bulan atau lebih sebulan. Terletak kat tangan lu…” terang Johanna bersahaja. 

“Gua?” Kening Syed Harraz sudah terjongket sebelah. Tak sangka budak Gothic itu boleh berbahasa begitu dengannya. 

“Saya memang minta Umi Zakiah carikan seseorang yang boleh membantu Mak Mah sebab dia dah tua nak buat kerja berat. Tak sangka umi hantar budak Gothic.” Syed Harraz tersenyum sinis memandang Johanna. 

“Gua bukan budak Gothic. Gua rock!” Mendatar saja Johanna menjawab. Gothic dengan rock pun tak tahu nak bezakan. Huh! 

“Saya nak awak tolong Mak Mah buat kerja di tingkat atas,” arah Syed Harraz tanpa mempedulikan apa bezanya antara Gothic dan rock. Baginya tetap sama saja. “Bilik saya tu perlu dikemaskan setiap hari. Alas tilam tu kena tukar seminggu dua kali. Bilik air cuci setiap hari. Bersih atau tidak, kena cuci juga. Lepas tu, tolong sapu daun-daun kering dekat luar. Pagi dengan petang. Tugas awak bermula dari pukul lapan pagi sampai lima petang. Kalau saya tak balik lagi, tunggu saya. Tak kira saya balik lewat atau tidak. Saya nak tengok kerja awak,” terang Syed Harraz. 

Johanna hanya mengangguk mendengar arahan Syed Harraz. 

“Mak Mah!” panggil Syed Harraz agak kuat.

 “Ya, Tuan Harraz?”

 “Nanti Mak Mah suruh dia buat kerja dekat tingkat atas. Mak Mah tak payah nak naik turun lagi dah. Budak ni dah ada. Kalau dia tak buat kerja, beritahu saya.” Mata Syed Harraz merenung Johanna.

 Johanna ingatkan mamat jambang itu sudah selesai memberi segala arahan. Jadi dia nak berlalu dari situ. Malas nak tengok muka Tuan Harraz yang kerek dan poyo itu. Macam bagus aje! 

“Eh, nak ke mana pula tu? Saya belum habis lagi!” tempik Syed Harraz. Johanna berhenti melangkah kemudian memandang Syed Harraz semula. 

“Ada lagi ke? Gua ingat lu dah habis cakap, bro!” jawab Johanna selamba. 

“Bro? Awak tahu tak awak tengah bercakap dengan siapa?” tanya Syed Harraz. “Saya ni majikan awak. Tolong hormat sikit. Panggil saya tuan, faham? Tuan Harraz!” sambungnya lagi. 

“Hek eleh, sekarang ni bukan zaman jajahan, bro. Nak panggil tuan bagai. Kita kan dah merdeka. Lu dengan gua sama aje. Cuma, gua ni tak kaya. Lu pula orang kaya kerek!” balas Johanna berani. 

Syed Harraz seolah-olah terkaku di tempatnya. Dia tak sangka budak Gothic itu begitu berani bercakap. Kemudian dia tersenyum sinis. “Lu-gua... Tu bukan bahasa kita, sis. Gaya kau ni pun bukan gaya kita. Tak payahlah kau nak ajar aku pasal bab sejarah ni. Jajah atau tak, kau kena panggil aku ni Tuan Harraz sebab aku bos kau mulai saat ni,” balas Syed Harraz pula tak nak mengalah.

 “Apa-apa ajelah, bro,” balas Johanna. Malas dia nak bertekak dengan mamat bajet bagus ni. “Ada apa-apa lagi yang lu nak sambung, Tuan Harraz?” tanya Johanna, sinis. Syed Harraz sudah menjeling tajam. 

“Ada. Come, follow me.” Syed Harraz terus berdiri kemudian menggamit Johanna supaya mengikutnya. Tanpa berfikir panjang Johanna terus mengekori Syed Harraz. Mereka keluar dan berdiri di ruang depan. Syed Harraz sudah menunjukkan garaj keretanya. “Kau nampak kereta-kereta kat bawah tu?” Dia menoleh kepada Johanna yang sudah berdiri di sebelahnya. Gadis itu mengangguk. “Aku nak kau cuci ketiga-tiga kereta aku. Tapi, kereta yang warna perak tu tak payah cuci sebab aku nak guna. Kau cuci yang BMW dengan Audi tu dulu,” arah Syed Harraz lagi. 

“Weh, lu biar betul? Gua datang sini sebab nak tolong Mak Mah buat kerja rumah, faham? Bukan nak cuci kereta lu!” Johanna sudah bercekak pinggang sambil mendongak memandang Syed Harraz.

 “Itu juga termasuk dalam skop kerja kau sekarang. Faham tu, Cik Johanna?” tanya Syed Harraz dengan kening terangkat. 

“Fahamlah!” jawab Johanna keras. Hati sudah berdongkol geram. Mamat jambang ni memang dah lebih. Aku calar-calarkan juga kereta dia tu, baru tahu! omel Johanna dalam hati. 

“Jangan nak mengutuk aku dalam hati kau tu. Dan jangan terfikir pun nak calarkan kereta aku. Kalau aku nampak, jaga kau!” balas Syed Harraz.

 “Okey, bro!” Johanna terus angkat kaki kemudian masuk ke dalam semula. Dia meninggalkan Syed Harraz yang sudah tercengang. 

Budak ni memang langsung tak takut dengan dia. Kalau kat SAS Holdings, semua pekerja gerun dan hormatkan Tuan Syed Harraz. Tapi yang seorang ni… 

“I’m not your bro!” ucap Syed Harraz. Johanna sudah mengangkat tangan dan berlalu begitu saja tanpa meminta izin. Merengus keras Syed Harraz melihat kelakuan budak perempuan Gothic itu. Kemudian Syed Harraz masuk ke dalam semula. Dia melihat Mak Mah mula hendak mengemas meja makan. “Mak Mah, saya pergi dulu. Suruh aje dia buat kerja. Budak ni dari rumah akhlak. Jadi kita kena bentuk akhlak dia ni jadi elok sikit. Beritahu dia bilik kerja saya jangan berani-berani nak masuk. Saya tak akan ulang lagi apa yang saya cakap ni,” kata Syed Harraz sambil mencapai beg dan baju kotnya. Muka pula masam semacam. Hai, nampaknya di dalam rumah ni sudah tambah seorang lagi kepala batu. Bukan kepala batu. Tapi kepala biul! Rasa macam semakin meriah saja rumah besar ini nanti. 

Mak Mah sudah tersenyum. Johanna mula melakukan tugasnya pada hari pertama. Pagipagi lagi dia sudah buat senaman tak standard ni. Menyapu! Halaman rumah Tuan Syed Harraz ini memang luas macam padang bola. Tapi yang ada hanya gelanggang bola keranjang. Agaknya mamat jambang itu suka main bola keranjang. Ni, petang-petang boleh main basketball memang best, bisik Johanna ketika berdiri memandang jaring yang tergantung. Okey, besok aku bawa bola. Takkan mamat jambang tu nak marah dia main bola keranjang kalau dah habis buat kerja, kan? Hampir tengah hari barulah Johanna masuk ke dalam rumah. Halaman sudah siap dia kerjakan. Kali ini dia bahu bersihkan bahagian atas pula. 

“Jo, makan dulu. Lepas tu baru sambung buat kerja,” ucap Mak Mah. Johanna tersenyum. Memang dia rasa lapar sejak tadi. Tapi sebab nak kena menghadap ‘anak raja Arab’ itu, niat lapar ditelan saja. Johanna terus mengambil pinggan dan menyenduk mihun goreng. Punggung dilabuhkan ke atas kerusi lalu dia mula menyuap makanan. Sedap sungguh masakan Mak Mah ni. Macam masakan arwah nenek dia. Mak Mah menuangkan secawan kopi untuk Johanna. 

“Terima kasih, Mak Mah,” ucapnya dengan mulut yang penuh. Selesai saja makan, dia mula nak menyambung kerja semula. “Mak Mah, bilik bos kat sebelah mana?” tanya Johanna sebelum keluar dari dapur. 

“Belah kanan, nombor dua. Kat tengah-tengah tingkat atas tu. Master bedroom,” beritahu Mak Mah. Johanna mengangguk. Dia melangkah mendaki tangga untuk ke tingkat atas. Rumah ini memang besar. Tapi yang tinggal hanya Tuan Syed Harraz dan Mak Mah sahaja. Kepala meneliti setiap ruang tingkat atas itu. Ada ruang tamu kedua yang agak kecil sedikit daripada ruang tamu tingkat bawah. Ruang santai menonton TV juga nampak  simple. Johanna melangkah ke sebuah bilik yang Mak Mah katakan. Pintu bilik dibuka dan mata Johanna terus terbuka luas. Pergh! Ini bilik mamat jambang tu? Besar gila. Kaki dibawa masuk ke bilik yang luas dan besar itu. Siap ada lampu candelier lagi. Sebuah katil saiz king terletak di tengah-tengah bilik itu. Ada night stand di kiri dan kanan katil itu. Ada almari pakaian yang besar dan berwarna putih. Ruang untuk menonton televisyen juga ada di situ. Kagum Johanna melihatnya. Dia ni hartawan atau jutawan? Sure bini ramai keliling pinggang ni. Bukan isteri… Ooopsss..

HANYA KAMU JOHANNA KARYA DILLA AHMAD

BAB 2





 Johanna berdiri tegak sambil memandang pagar yang tersergam di hadapannya kini. Ini ke rumah yang Umi Zakiah suruh pergi? Headphone di telinga ditanggalkan. Papan luncur yang berada di kaki terus diinjak lalu dipeluk di celah ketiak. Kemudian kaki segera melangkah ke pondok pengawal yang berada di tepi pagar itu. 

“Nak cari siapa?” tanya Pak Mail yang bertugas sebagai pengawal keselamatan. Matanya tunak memandang gadis di hadapannya. Dari baju, seluar jean sampai ke kasut All America berwana hitam. Matanya naik semula ke wajah gadis itu. Mata hitam itu pula bercelak tebal. Pening kepala Pak Mail apabila memikirkan gaya budak-budak zaman sekarang. 

“Nak jumpa Tuan Syed Harraz… Errr… Mak Mah…” kata Johanna. Pak Mail mengangguk kemudian terus membuat panggilan. Beberapa minit kemudian, dia keluar semula. 
“Cik Johanna?” tanya Pak Mail. Johanna tersenyum dan mengangguk. “Sila bagi kad pengenalan,” kata Pak Mail. Johanna terus mengeluarkan dompetnya dari kocek belakang seluar kemudian segera menyerahkan kepada pengawal di hadapannya. Lama juga dia kena tunggu pengawal mencatat namanya di dalam buku kedatangan. 

“Okey, boleh masuk,” ujar Pak Mail ketika menyerahkan semula kad pengenalan Johanna. Mata pula tak lepas dari memandang Johanna yang mula melangkah masuk ke dalam kawasan rumah itu. “Awak ni dah tak ada baju warna lain ke nak pakai? Semua hitam. Macam berkabung dah!” tegur Pak Mail. 
Johanna menoleh kemudian dia meletakkan papan luncurnya ke kaki. “Asalkan saya tak bogel, pak cik! Have a nice day!” ucap Johanna selamba.

 Pak Mail hanya menggeleng. Johanna meluncur masuk ke kawasan rumah yang tersergam indah itu. Nampak macam ada dua buah rumah banglo di dalam kawasan ni. Pokok-pokok ru yang ditanam di kiri dan kanan jalan membuatkan suasana nampak redup dan nyaman. Dari jauh dia sudah ternampak pokok bunga pelbagai warna. Nampak cantik dan menarik. Dia menghela nafas panjang. Boleh ke dia hidup di dalam rumah besar ini dalam masa satu bulan? Hmmm... Rasa macam hukuman mandatori pula. Ini semua gara-gara dia bergaduh dengan Hanim. Sebab itu dia kena hukum dengan Umi Zakiah. Tapi apabila difikirkan balik, memang patut si Hanim itu kena belasah. Mulut tak ada insurans dan suka tuduh dia yang bukanbukan! Johanna sudah tersenyum jahat. Puas hati dia dapat tampar mulut si Hanim itu semalam. Tapi itulah... Sekarang dia terpaksa terima hukumannya.

 Setelah Johanna menghampiri rumah, matanya ternampak seseorang menyusup masuk dari pagar bahagian belakang. Tubuh macam seorang lelaki. Tinggi dan tegap. Kemudian lelaki itu terus menghilang di sebalik dinding. Malas Johanna nak fikir siapa lelaki itu. Dia terus berhenti di hadapan pintu utama. Sunyi saja. Mana Mak Mah ni? Terus papan luncur itu diangkat lalu dia menuju ke bahagian belakang dapur. 

“Assalamualaikum, Mak Mah!” Tak sampai lima minit, Mak Mah sudah tersembul di depan pintu dapur. 
“La, Johanna. Kenapa sampai belakang ni?” tegur Mak Mah, mesra. Dia kenal dengan budak Johanna ni. Dia pernah terserempak beberapa kali di Rumah Akhlak Mulia. Baik budaknya.

“Jo lalu kat depan sana. Sunyi aje. Jadi Jo datang sini. Dah agak dah. Mak Mah mesti ada kat dapur.” Johanna tersenyum seraya menyandarkan papan luncurnya ke dinding. 

“Haah. Mak Mak tengah siapkan sarapan untuk tuan rumah. Jom masuk dulu, Johanna,” ajak Mak Mah. 
“Panggil Jo aje, Mak Mah. Macam pelik pula bila Mak Mah panggil nama saya macam tu. Saya ni rock, Mak Mah. Mana layan yang ayu-ayu ni!” kata Johanna sambil membuka kasut hitamnya. “Nama Jo tu macam nama lelaki, Johanna. Kamu kan perempuan,” kata Mak Mah lagi. Dia terus menyambung memasak mihun goreng.

 “Tak apa, Mak Mah. Mak Mah panggil Jo aje. Lebih mesra.” Johanna sudah menyeringai. Bau masakan Mak Mah buat perutnya berbunyi. Lagipun dia tidak sempat sarapan tadi. 

“Jo dah sarapan?” tanya Mak Mah. Macam tahutahu aje apa yang dia fikirkan. 

“Belum, Mak Mah. Lapar ni. Bangun aje pagi tadi terus naik bas ke sini. Tak fikir apa dah,” ujar Johanna. Dia memerhatikan perempuan yang bertubuh sedikit gempal itu mengacau mihun di dalam kuali. 

“Kalau macam tu, Jo tolong Mak Mah siapkan meja kat depan tu. Sekejap lagi Tuan Harraz turun nak bersarapan sebelum pergi kerja. Hah, baru Mak Mah teringat. Dia nak jumpa Jo dulu,” kata Mak Mah. Kemudian dia menutup api dapur dan mencapai mangkuk besar pula. 

“Dia nak jumpa saya? Nak buat apa?” tanya Johanna sambil menyusun kuih-muih yang telah Mak Mah sediakan ke atas dulang. 

“Nak interviewlah tu… Senang hati Mak Mah sebab ada yang tolong. Jo cakap aje nak makan apa. 

Mak Mah boleh masakkan. Itu ajelah yang boleh Mak Mah buat. Nak bagi duit kat kamu, Kak Umi tak kasi.” 

“Tak apa, Mak Mah. Saya okey aje. Saya bawa makanan ni ke depan ya, Mak Mah.” Johanna sudah mengangkat dulang. 

“Yalah. Kamu susun sekali makanan tu di atas meja, ya.” 

“Baik,” sahut Johanna. Kaki segera melangkah menuju ke meja makan. Tangannya cekap menyusun piring yang berisi kuih-muih. Ramai ke orang kat dalam rumah ni? Macam-macam hidangan yang Mak Mah sediakan, soal Johanna dalam hati. Dia melangkah ke dapur semula untuk mengambil minuman dan piring. 
“Errr... Mak Mah!” panggil Johanna. 
“Ada apa, Jo?” tanya Mak Mah ketika meletakkan  mangkuk mihun itu ke atas dulang. “Berapa orang yang tinggal dalam rumah ni?” tanya Johanna. 
“Tuan Harraz ajelah. Kenapa?” tanya Mak Mah. 

Johanna pantas menggeleng. Kemudian dia menuju ke meja makan sambil membawa hidangan. Sorang aje tapi sarapan macam ada lima orang! Johanna tersengih sinis. 

Syed Harraz menuruni tangga untuk bersarapan sebelum ke tempat kerja. Langkahnya bertukar perlahan apabila ternampak seseorang di meja makan. Budak lelaki mana pula ni? Setahunya, Mak Mah tak ada anak lelaki. Kak Fairus itu sajalah anaknya. Tiba-tiba Johanna menoleh ke belakang dan terpandang ke arah Syed Harraz. Masing-masing terpegun untuk beberapa ketika. Mata Syed Harraz tajam merenung budak perempuan kurus di hadapannya itu. 

“Siapa ni, Mak Mah?” tanya Syed Harraz. Kaki mula melangkah mendekati meja makan. Beg bimbit hitam dan baju kotnya diletakkan di atas kerusi sebelah. 

“Ini Johanna, pembantu yang Mak Mah cakapkan semalam, tuan,” terang Mak Mah. Syed Harraz diam tapi matanya masih meneliti budak itu atas bawah. Semua serba hitam. Dari baju T gambar sebelah tengkorak, sebelah muka perempuan cantik... hingga ke seluar jean hitam. Gelang di kedua-dua belah tangan juga berwarna hitam. Mata bulat yang bercelak hitam buat kening Syed Harraz terjongket sebelah macam beruang panda. Style macam budak Gothic. Rambut pula pendek tapi gaya kusut-masai tak bersikat. Syed Harraz menggeleng perlahan. Mulut kecil itu pula tak berhenti mengunyah gula-gula getah. 
Budak macam ni yang Umi Zakiah hantar? Biar betul! 

Johanna melirik ke wajah lelaki di hadapannya. Gila kacak! Dengan jambang yang dicukur kemas dan raut wajah ala-ala model terkenal David gandy, pasti lelaki itu seorang yang berlagak. Mulut sudah mencebik. 

“Siapa namanya tadi?” tanya Syed Harraz. 

“Johanna…” balas Johanna bersahaja. Dia berdiri tegak sambil tangan menyeluk poket jean. 

Syed Harraz menghirup air kopi. Nama sedap, Johanna. Nama perempuan. Tapi bila tengok personaliti... Huh, langsung tak sesuai dengan nama! 

“Cik Johanna, awak dari Rumah Akhlak Mulia ke?” tanya Syed Harraz. Johanna mengangguk. “Awak tahu ke buat kerja rumah?” Mata Syed Harraz sudah mengecil merenung Johanna. Johanna pula sudah menjulingkan mata ke atas.

“Pasti ada sesuatu perkara yang awak buat sampai umi hantar awak ke mari, kan??” Syed Harraz merenung tajam ke arah wajah yang bersahaja itu. 

“Saya dah bunuh seseorang!” ucap Johanna dengan wajah yang serius. 

Kening Syed Harraz hampir bercantum. Mulut Mak Mah pula sudah melopong. Pasti orang tua itu terkejut. Hati Johanna sudah ketawa. Mata Syed Harraz meneliti wajah gadis di hadapannya itu. Nampak macam budak liar saja. Dari gaya pun Syed Harraz dah tahu. Hmmm..  
Johanna terus ketawa geli hati apabila melihat wajah Mak Mah yang nampak sungguh terkejut itu. Terus dipeluk bahu Mak Mah. Kesian, Mak Mah. Pucat sungguh muka orang tua itu! 


HANYA KAMU JOHANNA KARYA DILLA AHMAD

BAB 1



“Abah tak suka dengar apa yang kamu dah buat kat luar sana, Syed Harraz Hussain!” marah Tuan Syed Amiruddin.

 Syed Harraz cuma buat muka kering apabila abahnya mula nak menyinga. Sambil duduk bersandar di sofa, dia menjeling lelaki itu yang masih menunjukkan muka tak puas hati. Kemudian dia sibukkan diri bermain dengan telefon bimbitnya.

 “Apa yang Harraz dah buat, abah?” tanya Syed Harraz pura-pura tidak tahu. 

Perkara yang dia buat pun adalah perkara yang biasa dilakukan oleh anak-anak muda sepertinya. Kecuali yang satu itu. Dia hampir kena tangkap basah dengan Gina, gadis Cina kacukan mat salih. Bukan salah dia pun. Tapi salah perempuan itu. Sengaja nak perangkap dia. Tak ke pelik bila dia hampir ditangkap di kondonya sendiri sedangkan perempuan itu yang datang menyerah diri? Syed Harraz sudah menggeleng perlahan apabila mengingati perkara tersebut. Nasib baik si Kevin dan Remy ada di tempat kejadian. Kalau tidak, memang kahwin freelah dia. Lepas saja kejadian itu, dia terus balik ke rumah besar ini. Lagi bagus, selesa dan paling penting tidak ada orang lain yang sesuka hati datang ke rumahnya sebab mereka kena berjumpa dengan pengawal terlebih dulu. 

“Hari tu kamu kena tahan sebab bawa kereta macam Formula 1. Lepas tu, kena tahan lagi sebab bergaduh di kelab malam. Yang ni pula hampir kena tangkap basah. Apa lagi lepas ni ya, Harraz?” perli Tuan Syed Amiruddin.

 “Kalau kamu tu gatal sangat nak kahwin, cakap aje kat abah dan mama ni. Boleh kami carikan calon untuk kamu. Tu, si Dania.. Dia memang dah lama tunggu kamu. Cakap aje nak bila. Abah boleh pergi pinangkan anak pak ngah kamu tu!” Suara Tuan Syed Amiruddin sudah naik satu oktaf. Tangan sudah bercekak di pinggang. Mata pula merenung tajam ke arah Syed Harraz.

 “Dania tu sepupulah, abah. Harraz dah anggap macam adik pun…” balas Syed Harraz.

 “Habis, yang kamu usung dia ke hulu ke hilir tu bukan kamu suka kat dia? Kamu jangan main-main dengan anak pak ngah kamu tu, Harraz. Kalau jadi apa-apa, kamu kena bertanggungjawab. Abah tak nak masuk campur!” Tuan Syed Amiruddin sudah mengangkat tangan seolah-olah menyerahkan segala keputusan di tangan Syed Harraz.

 Semakin berkerut dahi Syed Harraz. Dia selalu keluar dengan Dania pun sebab si Dania tu ajak dia jadi peneman. Inilah masalahnya kalau selalu keluar bersama.

 “Bertanggungjawab apanya, abah? Harraz tak akan buat benda tak senonoh dekat Danialah. Yang pasal kes khalwat tu pun bukan salah Harraz. Salah perempuan tak tahu malu tu. Bukan Harraz yang bawa dia ke rumah…” Syed Harraz sudah menjeling Datuk Syed Amiruddin 

Walaupun betul apa yang si anak katakan, Datuk Syed Amiruddin tidak akan mengakuinya. Tidak boleh. Nanti naik kepala pula anaknya.

 “Mama boleh kenalkan Harraz dengan anak-anak kawan mama kalau Harraz mahu.” Suara Datin Dalilah pula mencelah. “Anak-anak kawan mama semuanya cantik-cantik dan tinggi macam model. Taste Harraz kan suka yang macam tu,” sambungnya sambil menjeling anak tirinya itu.

 “Nasib baik si Kevin dan Remy ada kat rumah tu. Kalau tidak, kami bakal dapat menantu Cina. Manalah kami nak letak muka nanti?” Sinis saja Datin Dalilah bersuara. Syed Harraz sudah menjongketkan kening dan merenung tajam perempuan yang telah menggantikan tempat umminya itu. Setiap kali dia melihat wajah sombong dan sinis Datin Dalilah, hatinya jadi sakit.

 “Abah nak kamu berubah, Harraz. Kamu tu bukannya muda lagi. Kalau kahwin, dah ada anak dua. Macam Abang Haziq kamu tu.” Datuk Syed Amiruddin sudah menggeleng perlahan. Di mana silapnya dia mendidik anak keduanya ini, dia pun tidak tahu. Yang pasti, sejak arwah isterinya meninggal beberapa tahun yang lalu, segalanya berubah. Termasuk diri Syed Harraz Hussain. Syed Haziq Amri, anak sulungnya tidak banyak buat hal. Anaknya itu menerima pemergian umminya dengan tenang. Sekali lagi anaknya menerima dugaan yang hebat apabila isterinya pula meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Kini, Syed Haziq Amri bersendirian membesarkan anak-anaknya yang dua orang itu.

 “Abah bagi tempoh masa setahun untuk kamu cari isteri. Kalau tidak, semua saham kamu akan abah serahkan kepada Haziq. Fikir. Bukan abah nak susahkan kamu tapi demi kebaikan kamu semata-mata. Sampai bila kamu nak bersendiri macam ni? Sekurang-kurangnya bila dah kahwin, kamu belajar erti tanggungjawab dan belajar macam mana nak handle your life!” putus Datuk Syed Amiruddin lagi. 

“Abah mana boleh buat macam tu!” bantah Syed Harraz. Dia sudah duduk tegak sambil merenung wajah Datuk Syed Amiruddin.

 “Then get married!” balas Datuk Syed Amiruddin, keras. Kemudian dia terus keluar dari bilik bacaannya itu. Kepala mula terasa sakit apabila memikirkan tentang Syed Harraz. Tak habis-habis beri masalah kepadanya. 
“Betul kata abah tu, Harraz. Kamu tu dah boleh kahwin sekarang. Umur dah tiga puluh dua. Sedang elok untuk mendirikan rumah tangga,” kata Datin Dalilah pula bagai menangguk di air keruh.

 “I boleh cari isteri untuk diri I sendirilah, mak cik. You tak payah nak susah-susahkan diri nak fikirkan pasal diri I. Baik you carikan isteri untuk Abang Haziq tu. Dia masih ada anak-anak yang perlukan kasih sayang ibu. Sebab, ada nenek pun tak guna juga kalau asyik nak menengking cucu saja!” Sinis Syed Harraz bersuara. Bukan dia tak tahu Datin Dalilah tidak sukakan anak-anak saudaranya. Syed Harraz terus bangun lantas meninggalkan bilik itu. Malas nak dengar bebelan perempuan yang tidak diiktiraf sebagai ibunya itu. Bikin sakit hati saja. 

Berubah riak wajah Datin Dalilah. Kemudian dia hanya mencebik mendengar kata-kata Syed Harraz. Kalau nak diikutkan, dia lebih sukakan Syed Haziq yang tidak banyak cakap itu. Anak tirinya itu banyak mendengar kata. Tak macam Syed Harraz yang suka membantah dan membencinya. Siapa yang tak kenal dengan Syed Harraz? Seluruh Syarikat SAS Holdings kenal dengan jejaka kacak berdarah Arab itu. Seorang yang pandai membawa diri ketika bekerja tanpa perlu diajar apa yang perlu dibuat walaupun baru lima bulan bekerja di syarikat itu. Syed Harraz juga menjadi kegilaan para pekerja wanita. Tapi yang peliknya, Syed Harraz langsung tidak ambil kesah dengan wanita-wanita itu. Dulu, Datin Dalilah ada juga terfikir, yang Syed Harraz mungkin lebih minat kepada kaum sejenis. Maklumlah, terlalu lama duduk di luar negara. Hesy, nauzubillah min zalik… Tapi, nasib baiklah Syed Harraz bukan macam tu. Setiap minggu lelaki itu bertukar-tukar pasangan seperti menukar baju lagaknya. Datin Dalilah tahu pun sebab dia mengupah spy di dalam syarikat itu. Hatinya sudah berkenan kepada anak gadis Datin Lydia. Tapi apabila memikirkan yang Syed Harraz itu suka membantah kata-katanya, nampak gaya hanya tinggal angan-angan sajalah nak bermenantukan si Naomi itu. Datin Dalilah menggeleng perlahan. Hai, nampaknya kenalah buat aksi pujuk-memujuk dengan Datuk Syed Amiruddin. Hmmm... 

Syed Harraz mendaki tangga menuju ke biliknya. Selalunya kalau ada makan malam bersama keluarga, dia akan tinggal di bilik ini. Rumahnya hanya bersebelahan dengan rumah Datuk Syed Amiruddin. Abahnya sengaja membina rumahnya bersebelahan dengan alasan ingin tahu apa yang Syed Harraz buat. Cuma abahnya pesan jangan bawa perempuan masuk ke rumah sekiranya dia hendak tinggal lama di situ. Syed Harraz akur dengan peraturan itu. Nampak saja katil, dia terus merebahkan badan. Mata merenung ke siling sambil otak ligat berfikir. Hesy, macam mana nak buat ni? Perempuan mana pula dia nak cekau untuk dijadikan isteri? Tapi, macam seronok aje bunyinya nak main cari isteri ni. Syed Harraz sudah tersenyum sendiri. Bengong. Masalahnya sekarang, dia tidak ada perempuan yang sesuai untuk dijadikan isteri ! Bagai teringatkan sesuatu, tangannya terus menyeluk saku seluar jeannya lalu mengeluarkan telefon bimbit. Nombor telefon seseorang pantas didail. Lama juga talian hendak bersambung. Mana Mak Mah ni? Dah tidur ke orang tua ni? soalnya dalam hati. Baru aje dia nak matikan talian, telinganya terdengar orang memberi salam di hujung sana. Perlahan saja. Macam suara orang baru bangun dari tidur. 

“Mak Mah! Saya ni...” “Ya, Tuan Harraz!” Terus jelas suara Mak Mah. “Macam mana? Mak Mah dah dapat pembantu yang saya suruh cari tu?” tanya Syed Harraz. “Sudah, tuan. Besok budak tu datang. Umi Zakiah yang hantar dan suruh budak tu tolong saya,” kata Mak Mah lagi. Umi Zakiah? Jadi budak itu dari Rumah Akhlak Mulia? Dahi Syed Harraz sudah berkerut. “Okey, Mak Mah. Malam ni saya tidur kat rumah abah. Besok pagi saya balik. Mak Mah suruh dia jumpa saya dulu sebelum saya ke ofis,” arah Syed Harraz pula. “Baik, Tuan Harraz. Terima kasih sebab sudi benarkan Mak Mah cari pembantu untuk Mak Mah…” “Tak apa, Mak Mah. Kita tengok dulu orangnya macam mana. Kalau tak sesuai, kita suruh umi carikan yang lain pula. Okey, Mak Mah. Pergilah tidur,” kata Syed Harraz. Talian dimatikan dan dia masih berbaring. 

Kemudian dia mencapai semula telefon bimbitnya dan terus menghubungi Remy a.k.a Tengku Ryan Hakimi. Kawan baiknya. “Bro, malam ni aku tak jadi keluar. Ada masalah sikit kat rumah. Okey!” Panggilan terus ditamatkan. Kalau sudah berada di rumah abahnya, tak mungkin dia akan keluar malam. Cari pasal namanya. Tak sanggup nak dengar syarahan daripada Datuk Syed Amiruddin itu. Boleh cair tahi telinga. Jadi, dia pilih untuk jadi budak baik malam ini. Otak kembali berfikir untuk mencari bakal isterinya. Dah macam cerita Musang Berjanggut pulak. Hesy…