Showing posts with label AMANDA ZEE. Show all posts
Showing posts with label AMANDA ZEE. Show all posts

Thursday, 12 November 2015

BAHAGIA MENGETUK HATI KARYA AMANDA ZEE

BAB 4



AKU hanya memandang papa yang bergegas keluar dari biliknya. Sebaik mesyuarat tadi selesai kami sama-sama kembali ke sini. Entah ada apa agaknya papa terpaksa keluar pejabat. Mungkin ada janji temu dengan pelanggan syarikat.
Termangu-mangu aku sendirian di dalam bilik papa yang maha luas ini. Tidak tahu nak buat apa walaupun sebelum keluar tadi papa sempat tinggalkan pesanan penaja. Mengingatkan aku untuk segera pergi ke bahagian kewangan. Jangan nak melangut lama-lama di dalam bilik kerja dia. Banyak yang perlu aku pelajari di sana nanti katanya.
Ya Allah, malasnya. Sungguh aku tak main-main. Huruf M memang selalu mengekori aku kalau dipaksa membuat sesuatu yang aku tidak suka. Kenapalah aku mesti tahu pasal kewangan syarikat. Kata dah ada akauntan terbaik. Jadi apa perlunya aku tahu semua tu. Menyesal betul ikut cakap papa.
Perlahan-lahan aku menapak keluar dari bilik kerja papa. Mendekati Kak Yana yang ralit menghadap komputer.
“Kak Yana…” Aku merengek di depan meja Kak Yana. Pen di tangan aku ketuk-ketuk di atas meja. Sengaja menarik perhatian Kak Yana. Harap-harap Kak Yana tak memaksa aku.
Kak Yana mendongak. Merenung aku dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
“Dah sedia nak ke sana?” Kak Yana tersenyum.
Aku tahu senyuman Kak Yana ikhlas tapi kenapa hati aku terasa seperti senyuman mengusik.
“Kalau duduk dekat sini aje tak boleh ke?” Aku kerdip-kerdipkan mata. Manalah tahu Kak Yana terpancing dengan muka comel aku ni.
Ruang pejabat papa ni luas. Tak salah kalau disediakan satu meja untuk aku. Lagipun memudahkan papa untuk memantau aku. Aduh, Ernie! Banyaknya alasan kau.
“Banyak cantik muka kau.” Ada satu suara yang menyampuk dari belakangku.
Pantas aku menoleh. Dia? Mamat bajet bagus? Apa mahunya di sini? Aku tak seru pun nama dia. Apahal pula menyibuk dekat sini.
“Kenapa kau nak sibuk-sibuk pula? Kalau dah driver tu buatlah cara seorang driver.”
Terbatuk-batuk Hazim kala mendengar kata-kataku.
Aku menjeling dia tajam. Sesedap mulut aku aje kan cakap dia ni seorang pemandu. Walhal tiada seorang pun yang perkenalkan siapa dan apa jawatan Hazim kepada aku. Tapi rasanya memang profesion itu sesuai dengan dia.
“Cik Ernie, En…”
Aku memandang Kak Yana yang seperti ingin memberitahu sesuatu tetapi termati kata-katanya. Hanya gelengan yang diberikan kepada aku.
Aku memandang Hazim pula. Yalah tadi dia terbatuk-batuk tetapi sekarang merenung Kak Yana pula. Mereka berdua ini seolah-olah berbicara tanpa suara. Sakit pula hati aku. Tidak mengumpamakan aku yang ada di ruang yang sama.
“Apa, Kak Yana?” Kening aku jongketkan. Menuntut Kak Yana menghabiskan kata-katanya. Pelik dengan sikap Kak Yana yang berubah tiba-tiba. Sedari tadi asyik gugup aje nak bercakap. Hazim ni bukan siapa-siapa pun yang dia nak takutkan. Kalau Hazim lebih-lebih, tahulah aku nak mengadu dengan papa.
“Errr…” Kak Yana memandang aku sebelum memandang Hazim pula.
“Lebih baik kau ke sana cepat. Tak ingat apa Dato’ Ehsan cakap dalam mesyuarat tadi?” Hazim memotong.
“Alah itu semua aku boleh uruskan. Aku anak dia tahulah aku nak cakap dengan dia macam mana.” Aku membidas kata-kata Hazim bersama satu jelingan maut. Cukup aku tak suka bila ada yang pandai-pandai nak menentukan apa yang aku boleh dan tidak boleh buat. Lagilah dari orang yang aku tak kenali.
“Cuba jadi orang yang matang sikit, Ernie. Jangan campur adukkan hal rumah dengan pejabat.” Hazim berkeras. Sikit pun tidak takut dengan jelingan aku tadi.
“Eee… jangan sibukkan hal aku, boleh tak?” Aku besarkan mata memandang dia.
“Aku memang suka jadi penyibuk. Terpulang kau nak cakap apa. Amanah orang aku kena pegang. Tolonglah, Ernie. Banyak yang perlu kau pelajari. Dato’ Ehsan pun cakap macam itu juga, kan.” Hazim merayu. Wajahnya nampak sayu ketika memandang aku.
Wah! Mamat bajet bagus pandai pujuk. Seronoknya. Serius aku suka tapi kalau perangai dia seperti lelaki yang aku idamkan, sungguh aku patuh pada segala kata-katanya.
Okey, Ernie. Tolong jangan cepat cair. Tetapkan hati. Kau kena kuat. Aku memujuk hatiku sendiri. Biasalah hati aku ni. Suka sangat menderhaka.
“Penting ke aku kena ke sana? Apa guna syarikat gajikan akauntan hebat?” Aku membangkang. Menyindir dalam diam. Pada masa yang sama sengaja mahu bermain tarik tali dengan kedua-dua orang di hadapan aku ini. Dah papa yang canang macam tu. Jadi aku tak nampak apa kepentingan aku perlu ke sana.
“Kalaulah aku ni Dato’ Ehsan, dah lama aku tangankan kau. Tahu tak?” Hazim berdecit bersama mata yang membuntang. Menggeleng melihat kedegilan aku.
“Sebab itu kau bukan papa.” Aku mencemik.
Tak suka dengan kata-kata Hazim. Mamat bajet bagus ini seolah-olah memperlekehkan papa. Apa yang dia muntahkan dari mulutnya itu seolah-olah menyatakan papa tidak pandai mengajar anak. Papa tak bersalah. Aku ini yang degil. Mewarisi sikap mama. Membantah jika ada peluang.
Errr… maknanya betullah kata-kata dia tu? Aku merenung wajahnya. Sedaya-upaya wajahku dibiarkan beriak sedih. Mengharapkan dia dan Kak Yana tidak mendesak aku lagi. Strategi perlu ditukar. Kekerasan bukan jawapan terbaik buat masa ini.
“Jangan nak buat muka sedih macam tu. Tak jalan dengan aku.” Hazim jegilkan matanya. Tangan sudah mencekak pinggang. Memandang aku tanpa perasaan belas.
“Kak Yana…” Aku berpaling pada Kak Yana. Suaraku sudah tidak sekeras tadi. Lembut dan manja.
Aku mendekati Kak Yana. Tangan Kak Yana aku paut. Kak Yana aku lihat tersenyum-senyum. Entah apa agaknya yang bermain dalam kepala otak Kak Yana tu agaknya. Mesti mengata aku macam-macam bila melihat aku dan Hazim bertekak. Tapi aku tak salahkan Kak Yana kalau dia berfikiran macam tu. Cara aku dan Hazim menegakkan pendapat masing-masing macam sudah kenal lama.
“Cik Ernie, apa yang dikatakan Encik Hazim tadi tu ada betulnya. Cik Ernie kan satu-satunya anak Dato’ Ehsan. Cik Ernie perlu tahu selok-belok kewangan syarikat. Di situlah mulanya sumber bagi sesebuah syarikat.” Kak Yana memujuk.
“Kena pergilah ni?” Bibirku sudah muncung ke depan.
Kak Yana mengangguk.
“Wajib.” Hazim menyampuk.
 “Sibuk.” Aku jelirkan lidah pada dia.
“Tak comellah.” Hazim mencebik.
Aku menjeling. Tak boleh agaknya zip mulut tu. Bukan aku nak suruh dia puji comel pun.
Kak Yana ketawa.
“Nak kena bawak apa-apa tak, Kak Yana?” Tangan Kak Yana masih aku pegang.
“Bawak badan kau ajelah.” Hazim menjawab lagi bagi pihak Kak Yana.
“Eee… aku tanya Kak Yanalah.” Sekali lagi satu jelingan tajam aku lemparkan. Tak suka betul aku bila Hazim sibuk menyampuk. Ada aje kata-kata sarkastik yang keluar dari mulut dia.
“Betul kan, Yana?” Hazim menyoal Kak Yana.
“Macam-macamlah korang ni.” Kak Yana masih lagi ketawa sebelum menyambung kata-katanya.
“Encik Hazim, baik bawa Cik Ernie ni ke sana sekarang. Saya ada banyak lagi surat-surat nak kena siapkan. Karang kalau Dato’ Ehsan dah balik pejabat, satu benda pun tak siap lagi. Saya juga yang kena marah.”
“Kak Yana halau Ernie?” Tangan Kak Yana aku lepaskan. Merajuklah konon-kononnya. Drama kena lebih. Lakonan kena mantap.
“Bukan macam tu, Cik Ernie.” Aku lihat Kak Yana dah kalut. Kini giliran tangan aku pula dipautnya.
Senyuman yang mahu terbit aku kulum sedalam-dalamnya. Takut Kak Yana tangkap tipu helah aku.
“Dah. Jangan nak berdrama sangat dekat sini. Meluat aku.” Hazim yang sudah duduk santai di sofa memandang aku dan Kak Yana.
“Kak Yana, dekat kewangan tu ada yang hot-hot tak?” Aku kalih topik. Malas nak melayan cakap-cakap Hazim. Baik aku cuba cari sumber ilham menarik dekat sana. Dapatlah juga mengubat hati yang lara ni sambil cuci mata.
“Ramai. Ada dalam 3 ke 4 orang macam tu. Termasuklah akauntan dia. Itu yang paling hot.” Kak Yana mula bergosip.
Really?” Aku sudah mula teruja.
Gadis mana yang tak suka bila dengar ada lelaki kacak dan tampan di depan mata. Mesti hari-hari aku seronok dekat situ. Tak adalah jemu sangat menghadap angka-angka. Sudahlah masa belajar dulu puas melihat nombor. Bekerja pun kena tengok angka.
Hello, Ernie! Lupa ke kau memang ambil jurusan perakaunan. Haruslah kena menghadap semuanya tu.
Ketika itulah Hazim terbatuk-batuk. Siap berdeham bagai.
Aku mengerling dengan ekor mata. Hish… apahal pula mamat bajet bagus ni. Macamlah orang mengata dia.
Kak Yana ketawa kuat.
“Kalau akauntan tu lalu, semua mata-mata anak dara tak lepas memandang. Mak-mak dara pun sama juga.” Kak Yana menyambung lagi.
“Sayanglah dia tak ada tadi. Kalau tak mesti Ernie dah jumpa dia, kan Kak Yana.” Aku mengeluh.
“Rasanya Cik Ernie dah jumpa dia.” Kak Yana tersenyum.
“Ya ke?” Berkerut dahi aku. Masalahnya papa tak ada pun kenalkan siapa akauntan syarikat masa mesyuarat tadi. Ke ada tapi aku tak perasan?
“Dah boleh pergi sekarang?” Hazim menyampuk. Sudah berdiri di muka pintu.
“Hish… tak boleh tengok orang senang.” Aku menjeling.
“Dah pergilah. Kata nak jumpa akauntan hot.” Kak Yana mengumpan.
“Okeylah.” Aku membalas lemah. Bersetuju sebab akauntan hot tu walau aku tak tahu siapa.
Aku berjalan setapak demi setapak mendekati Hazim.
“Belajar bukan menggatal.” Hazim terus berlalu.
“Ek eleh.” Aku mencebik. Suka hati akulah.
Good luck, Cik Ernie!” Kak Yana melaung padaku sebelum pintu aku tutup.

BAHAGIA MENGETUK HATI KARYA AMANDA ZEE

BAB 3



TELINGAKU diganggu bunyi yang membingitkan. Kalut aku mencari puncanya. Tanganku menggagau di bawah bantal. Tersentuh benda keras, jari kutekan. Bunyi itu hilang. Lega. Baru hendak menutup semula mata yang terpisat-pisat, pendengaranku diganggu lagi. Ketukan bertalu-talu di pintu bilik pula.
"Siapa pula ni? Sekejap!" Kacau daun betul namun aku gagahkan juga bangkit dari katil. Sempat aku kerling jam di dinding. 5.45 pagi.
"Hmmm..." tanya aku malas tanpa memandang orang di depan sebaik pintu aku kuak dari dalam. Sebaliknya aku ralit menenyeh mata yang masih sukar untuk dibuka. Berat betul kelopak mataku pagi ini. Entah berapa ratus ekor syaitan agaknya yang bergayut.
“Apa nak jadi dengan kamu ni?”
“Papa…” Meleret suaraku bernada malas. Tak sangka papa sanggup mencemar duli datang ke tingkat atas semata-mata mahu mengejut aku.
"Masuk pejabat hari ni." Satu arahan muntah dari mulut papa.
"Huh?" Terlopong mulutku. Dan dan mataku terbeliak. Terkedip-kedip menatap wajah papa. Patutlah papa rela hati mengejutkan aku. Itu sebenarnya tujuan papa ke sini.
"Jangan nak buat muka terkejut. Selepas solat, turun sarapan. Kita pergi pejabat sama-sama," arah papa lagi.
"Kalau tak pergi?" Aku cuba tawar menawar. Bukan tak biasa berurusniaga dengan papa. Sudah selalu dan selalunya papa menerima tawaran aku.
"Semua kemudahan papa tarik balik. Perintah berkurung akan berkuatkuasa." ugut papa.
"Benci." Terus kututup pintu tanpa pedulikan papa yang masih berdiri di situ. Kaki aku hentak-hentak tika berjalan ke katil. Tanda memprotes atas arahan papa tadi.
Entah apa angin papa agaknya hari ini. Memaksa aku menurut perintahnya. Mungkinkah sebab semalam? Takkan lah. Aku tahu papa tahu aku selalu keluar rumah setiap malam. Tak mungkin papa tahu apa yang berlaku melainkan Hazim bercerita. Ya, melainkan Hazim bercerita.
"Jangan lambat." Papa beri amaran bersama satu ketukan kuat pada pintu bilikku.
"Arghhh!" Aku menjerit sekuat hati. Ingatkan papa sudah tiada. Rupa-rupanya setia berdiri di depan pintu bilikku. Lagi satu papa ni macam tahu-tahu aje aku nak beradu semula. Pasal kerja tu bukan ke papa tahu aku belum bersedia hendak bekerja. Belum puas enjoy.



AKU bersandar lemah. Kenapalah aku tiada adik-beradik? Kalau ada bolehlah aku mengelat. Tidaklah aku ada di dalam kereta dengan papa sekarang ini. Aku menggeleng. Banyakkan beristighfar, Ernie. Percaya kepada qadak dan qadar Allah.
"Nak tunggu sampai bila?" Papa pandang muka aku.
Masa ini aku rasa macam nak cekik-cekik Pak Samad. Kenapalah dia pandu kereta ni perlahan sangat. Skema betul. Kalau bawa dengan kelajuan ala-ala budak baru lepas dapat lessen, pukul berapanya nak sampai ke pejabat. Selalunya tidak sampai setengah jam sudah sampai. Itu pada firasat akulah sebab papa selalu akan hantar laporan pada mama. Ini mesti papa berpakat dengan Pak Samad, dugaku.
"Kalaulah papa ada anak lelaki..." Papa merenung ke luar tingkap.
"Pa..." Tangan papa aku raih. Malas mahu mendengar melankolik papa di pagi hari. Suka sangat menduga hati aku dengan kata-kata syahdu.
Papa menoleh. Tersenyum memandangku. Tanganku ditepuk lembut.
Itu kelemahan aku. Tidak sampai hati melukakan hati papa. Sementelah dia yang menjaga aku selama ini selain mama.
"Ernie akan seronok, sayang. Trust me." Papa gosok kepalaku. Tona suara papa juga lembut. Mendalam hingga mampu menusuk ke dalam hatiku yang tebal ini.
Aku renung wajah papa. Cuba kuikhlaskan riak di wajah. Tidak mahu papa terasa hati dengan sikapku tadi. Akhirnya aku menadah telinga bersama senyuman di bibir sambil mendengar cerita papa.
"We're are here. Come." Papa menggamit. Sabar menunggu aku di luar kereta.
Aku terpinga-pinga. Sudah sampai rupa-rupanya. Khusyuk mendengar cerita papa hingga tidak sedar kami sudah tiba. Badan aku tegakkan. Ada debaran di dada. Seolah-olah ada sesuatu yang menanti aku di dalam sana.
"Selamat pagi, dato'." Itu sahajalah ayat yang aku tangkap sepanjang berjalan menuju ke bilik kerja papa.
Bosan. Tak pasal-pasal aku juga terpalit sama. Terpaksa lemparkan senyuman plastik. Itu pun selepas mendengar leteran papa. Papa kata kita kena kenal dan mesra dengan semua staff. Tanpa mereka kita tak akan jadi seperti apa yang kita ada hari ini.
"Pa, toilet?" Aku berpura-pura tidak senang berdiri apabila sampai di depan pintu bilik papa.
"Nervous?" Papa menyoalku.
Aku mengangguk kemudian menggeleng.
Papa ketawa tapi diberitahu juga arah ke tandas.
Kelam-kabut aku berjalan. Betul kata papa. Mungkin aku gementar. Jam 9.00 nanti papa akan memperkenalkan aku kepada semua staff. Aku akan diletakkan di bahagian kewangan untuk permulaan. Papa mahu aku tahu kedudukan kewangan syarikat. Papa kata akauntan syarikat ini adalah yang terbaik setakat ini. Bila masa aku dapat info semua ni? Dalam kereta tadilah.
"Opsss... maaf." Satu suara garau menerjah gegendang telingaku.
Serentak itu tanganku menekan dinding mengelak diriku dari tersembam ke lantai. Mana tidaknya. Badanku dilanggar kasar hingga hampir terjatuh. Nasib tangan aku cekap. Kalau tidak memang aku buat wayang percuma dekat sini. Orang yang melanggar aku ini pun matanya letak dekat manalah. Agaknya balasan Tuhan kerana aku tidak ikhlas menerima arahan papa.
Aku mendengus. Kepala aku dongakkan.
"Kau?" Terkejut aku melihat pemilik suara garau yang meminta maaf.
Penampilan dia berbeza dari semalam. Kalau semalam dia nampak segak dengan hanya berbaju t, denim biru dan sneakers. Hari ini dia bertambah segak dengan kemeja lengan panjang biru gelap, bertali leher biru lembut dan berseluar panjang hitam serta berkasut hitam berkilat.
"Memang betullah aku hensem." Hazim ketawa.
"Perasan." Aku berpaling. Cuba menyorokkan wajah.
Oh, Ernie! Kenapa kau suka tunjukkan kebodohan depan dia? Aku tak bersalah. Siapa suruh dia menjadi makhluk Allah yang paling indah untuk dilihat? Kalau perempuan lain yang memandang pasti akan bereaksi sama seperti aku.
Kepala aku dah ting tong agaknya. Sibuk bercakaran pasal mamat bajet bagus ini dalam otak. Wait, apa dia buat dekat sini?
"Akhirnya." Hazim bersuara. Bersandar santai di dinding dengan sebelah tangan di dalam kocek seluar.
Aku memandangnya semula. Dahi aku kerutkan. Tidak faham.
Hazim tersenyum nakal. Mata dikenyitkan sebelum dengan selamba dia berlalu dari situ.
Haish...mmamat bajet bagus ini, memang menduga iman aku betul. Suka sangat meninggalkan aku dengan teka-teki. Ingat aku ni mahir sangat meneka dalam kesamaran.
"Ernie!"
Laungan kuat suara papa mematikan lamunanku. Nampaknya aku tidak dapat melepaskan 'hajat'. Semuanya gara-gara mamat bajet bagus tadi.
"Sudah?" Papa tersenyum. Bertanya sebaik aku berdiri di hadapan dia.
Aku hanya mampu mengangguk. Malu dengan soalan papa. Boleh pula bertanya soalan serupa itu di depan orang.
Pembantu peribadi papa yang bersama-sama menunggu aku turut tersenyum memandang aku. Dia menghulurkan sebuah daily planner dan sebatang pen kepada aku.
"Semua dah masuk, Yana?" Papa menoleh kepada pembantu peribadinya.
"Sudah, dato'. Tunggu dato' dan Cik Ernie saja," jawab Yana yakin.
Berdebar-debar dada aku bila mendengar jawapan Yana. Mesti semua staf hadir. Mampukah aku berdepan dengan mereka semua? Come on, Ernie. You can do it, girl.
"Kalau macam tu, kita pergi sekarang. Saya pun ada hal lain selepas ni." Papa sudah melangkah terlebih dahulu.
Yana menurut.
Aku? Sengaja melengah-lengahkan langkahku. Macamlah aku tak perlu masuk ke dalam bilik mesyuarat itu kan.
"Assalamualaikum." Papa memberi salam sebaik pintu bilik mesyuarat dibukanya.
Salam papa dijawab serentak oleh semua yang ada di dalam.
Aku kaku. Mata meliar memerhati sekeliling. Pandangan aku terhenti pada satu susuk tubuh yang sedang leka berbual di sudut bilik.
Dia? Dia pun ada di sini? Bermakna aku akan berjumpa dengan dia setiap hari. Tuhan, rencanaMu sangat hebat tetapi mampukah aku?
"Ernie!"
Saat nama aku dipanggil, mata berlaga dengan pandangan Hazim. Aku termalu sendiri. Perasan ada senyuman sinis di bibirnya. Untuk kesekian kali, aku tertangkap ketika ralit memandang dia.


Tuesday, 24 March 2015

BAHAGIA MENGETUK HATI KARYA AMANDA ZEE

BAB 2



AKHIRNYA kami sampai juga di atas jalan raya. Hatiku berasa sedikit lega. Tiada lagi yang mengejar. Hazim pula kulihat turut menghela nafas. Aku rasa tadi kami berlari sekuat hati. Selagi ada tanah, semuanya kami pijak. Kalaulah kami dikurniakan kepak, pastinya dah bertebaran terbang di awang-awangan.
Ernie, stop it! Jauh sangat kau berimaginasi.
Aku berdiri tegak. Mataku pincing ke arah sorotan lampu yang mula mendekat. Cahaya yang menyuluh sangat banyak. Tika ini, aku sudah tidak mampu untuk bergerak. Tiada lagi dayaku. Kudratku sudah semakin lemah. Apa saja yang mendatang aku berserah kepada Tuhan.
Aku menoleh Hazim di sebelah. Dia juga aku lihat memandang ke arah yang sama. Riak wajahnya tidak dapat kubaca. Entah apa yang dia fikirkan, aku tak tahu. Hello, Ernie! Memanglah kau tak tahu. Apa ingat kau ada sixth sense ke. 
“Assalammualaikum.” Ada suara yang menegur.
“Waalaikumussalam.” Aku dan Hazim menjawab serentak.
Kami hanya memandang. Sebaik kumpulan itu berlalu, pandangan aku dan Hazim bertaut. Hazim tersenyum. Begitu juga aku. Lama-lama tawa kami meletus.
Perut kutekan sedalam-dalamnya. Penat berlari belum hilang, kini ditambah dengan penat ketawa. Hazim aku lihat juga begitu. Masih lagi ketawa.
Manakan tidak, ingatkan sorotan cahaya tadi dari lelaki-lelaki durjana yang mengejarku. Rupa-rupanya orang kampung yang baru pulang dari masjid. Pada perkiraan akulah bersandarkan pemakaian setiap dari mereka.
"Aku kena balik." Mulutku berbunyi bila aku sudah boleh bernafas secara normal. Kali ini aku betul-betul serius. Lebih lama aku di sini, entah apa-apa lagi bakal terjadi. Cukuplah tadi kami berlari tak cukup tanah.
"Aku hantarkan?" pelawa Hazim memandang tepat wajahku.
"Tak perlu. Aku tak kenal kau dan kau tak kenal aku." Aku menggeleng membantah cadangan Hazim.
Aku nampak Hazim ketawa. Apa yang lucu dengan kata-kataku tadi? Bukan aku buat lawak antarabangsa pun. Ada urat kat kepala yang putus ke apa mamat ni?
"Ernie Hairani Ehsan. Utm. Bandar Baru Uda." Hazim tersenyum-senyum memandang aku.
Serius, lelaki ini sungguh menakutkan. Membuat aku kagum atau dalam perkataan lain terpaku bila dia menyebut namaku. Dia kenal aku? Lelaki ini kenal aku? Siapa dia?
“Cukup tak tu?” Hazim angkat kening. Berdiri santai dengan gaya berlagak memandang aku.
Lidahku kelu. Suara seolah-olah tersekat. Mahu membalas tetapi apa yang dikatakan Hazim tadi bagaikan dia sudah lama mengenali aku. Otak kukerah bekerja keras. Cuba berfikir andai aku dan dia pernah berjumpa. Tiada. Tidak pernah. Tidak sekalipun lelaki ini pernah muncul di depan mataku.
“Hari dah semakin lewat. Kau tentu nak balik cepat, kan.” Hazim terangguk-angguk. Gayanya bagaikan sengaja menakut-nakutkan aku.
“Aku naik teksi.” Aku membalas. Cukuplah tadi dia sudah membantu. Tidak mahu termakan budi lagi. Silap-silap boleh tergadai body. Ernie! Kenapa kau suka merepek ni?
“Jangan degil. Lagi bahaya naik teksi malam-malam ni.” Hazim membidas.
“Bukan lagi bahaya ke naik dengan kau?” Aku memprotes.
“Sekurang-kurangnya untuk beberapa jam ini, kau dah kenal aku.” Hazim tersengih.
Aku mengeluh. Hazim betul. Memang bahaya untuk seorang gadis menaiki teksi seorang diri pada waktu begini. Lagilah telinga aku selalu disogok dengan pelbagai cerita kurang enak tentang pemandu teksi. Bukan maksudku pemandu teksi ini jahat tetapi disebabkan sikap segelintir mereka yang menyebabkan masyarakat berpandangan begitu termasuklah aku.
“Jom.” Hazim tarik tanganku tanpa sempat aku memberi kata putus dan aku tanpa rela terpaksa menurut. Itu pun sebab aku rasa sakit pada pergelangan tangan.
Punat kunci ditekan. Pintu sebelah penumpang kereta Honda CRZ berwarna merah dibuka Hazim. Dia menolak badanku agar masuk ke dalam.
“Hishhh…” Aku merengus. Menepis tangannya.
Hazim mengalah. Kedua-dua belah tangannya diangkat separas bahu.
Elok sahaja aku melabuhkan punggung, Hazim pantas menutup pintu dan berlari ke sebelah pemandu.
“Balik BBU, kan?” Hazim memandangku bersama kenyitan mata. Dia melemparkan senyuman kacaknya. Wajahnya kembali memandang ke jalan raya. Kereta dipandu selepas enjin dihidupkan.
Sakit mata aku tengok dia tersenyum. Dia faham tak banyak tanda soal dalam kepala aku ni. Serabut otak aku jadinya.
"Betullah muka aku ni hensem. Ralit betul kau, kan?" Hazim menoleh padaku sekilas. Pakej kenyit mata sekali lagi.
"Perasan." Aku jelir lidah panjang-panjang. Itulah Ernie. Kenapa suka sangat renung anak teruna orang? Tak pasal-pasal sampai dua kali kantoi.
"Tanyalah. Jangan simpan-simpan. Nanti makan dalam." Hazim bercakap macam dia boleh baca apa yang ada dalam benakku.
"Errr..." Lidahku kelu tiba-tiba. Mungkin banyak sangat persoalan yang berlegar dalam kepala. Sampai tak tahu mana satu nak ditanya dahulu. Kalau boleh semuanya nak dihamburkan serentak.
"Mana aku tahu nama kau? Itu soalan pertama yang kau perlu tanya." Hazim membantuku.
Aku angguk laju-laju. Serius. Lelaki di sebelahku ini sudah membuat aku berasa kagum dengan kelebihan dia membaca fikiranku. Mataku tidak lepas memandang dia. Berharap sangat ada jawapan yang jelas keluar dari bibir merah milik dia. Errr… aku puji dia? Oh, my!
"Rahsia." Hazim gelak.
Nak aje aku sepuk kepala dia. Memang bajet bagus betul. Tepat sekali aku gelar dia macam tu. Buang karan aje aku kagum bagai dengan dia ni. Balik-balik aku juga yang terkena.
"Damn!" Tiba-tiba ketawa Hazim mati. Stereng kereta diketuk. Dia menukar gear. Kelajuan kereta ditambah.
"Hazim!" Aku menjerit kuat. Panik dan terkejut. Tanganku kejap memegang pemegang pintu. Kecut perutku usah dicerita. Apahal pula dia ni nak pandu laju-laju? Dapat kurasakan kelajuan kereta ini hingga mampu buat hatiku mengecut.
"Sorry. Just hold on!" Serentak Hazim bersuara bersama halaju pemanduan yang ditambah. Matanya pula kulihat sekejap-sekejap memandang cermin pandang belakang.
Dalam takut-takut aku turut sama menoleh ke belakang juga. Berderau dadaku apabila ternampak ada sebuah kereta mengekori rapat kereta kami. Siapa pula kali ini?
Hazim pandu selaju yang boleh. Menyusup bagai lipas kudung. Memotong setiap kenderaan tanpa gentar tetapi aku yang kecut melihat cara pemanduan dia. Tolonglah, Hazim. Aku belum kahwin lagi. Kalau kau nak mati, matilah sorang-sorang. Janganlah heret aku sama.
"We're clear." Hazim pandang cermin pandang belakang. Kelajuan kereta perlahan-lahan dikurangkan sehingga kembali kepada kelajuan normal.
Aku menarik nafas lega. Kalaulah apa-apa terjadi tadi, memang Hazim aku persalahkan.
Setelah setengah jam perjalanan, akhirnya kereta yang dipandu Hazim berhenti. Brek tangan ditarik. Enjin kereta dibiarkan terpasang. Lampu dipadamkan.
"Okey, kali ini aku tak tipu. You're safe now." Hazim memandangku bersama senyuman lebar.
"Rumah aku." Terketar-ketar jari telunjukku menuding kepada sebuah banglo. Bagaimana Hazim tahu rumah aku? Berbual pun tidak apatah lagi bertanyakan alamat rumahku. Tahu-tahu aje kereta yang dipandu dia sudah berhenti di depan rumah keluarga aku.
"Mestilah rumah kau. Takkanlah rumah aku pula." Kening Hazim terangkat bersama renungan yang tak lepas pada wajahku.
"Kau siapa sebenarnya?" Sungguh apa yang Hazim lakukan buat aku takut. Siapa Hazim? Mengapa dia tahu semuanya pasal aku? Untuk sekian kalinya aku paksa otakku bekerja keras mengingati lelaki ini. Manalah tahu aku pernah amnesia.
"Manusia macam kau. Bukan Ultraman, Superman, Batman atau apa-apa karakter superhero khayalan tu." Hazim ketawa.
"Aku tahulah. Aku bukan bodoh nak diomokkan dengan semua superhero tu." Aku hadiahkan satu jelingan tajam kepada Hazim.
"One fine day kau akan tahu juga, Ernie. Sekarang lebih baik kau masuk dalam rumah sebab aku rasa sekejap lagi mama dan papa kau akan pulang." Hazim menari-narikan keningnya.
Dia betul-betul tahu pasal aku. Orang upahan papa ke? Bodyguard? Mataku mengitari wajahnya sebelum turun ke bahagian bawah tubuh lelaki ini. Tak ada ciri-ciri seorang bodyguard. Tak mungkin.
"Ernie..." Hazim menunjukkan jam tangannya.
"Hmmm... terima kasih." Dengan berat hati kupegang pembuka pintu walaupun kepala aku sarat dengan pelbagai persoalan.
"Lain kali jangan berani-berani berlawan dengan lelaki macam malaun-malaun yang kejar kau tadi." Hazim sempat berpesan.
"Hei! Aku..."
"Walaupun kau ada talipinggang hitam." Kata-kataku dipintas Hazim sebelum sempat kuhabiskan.
Memang bajet bagus. Ku hempas kuat pintu keretanya. Sebal.
Hazim membunyikan hon dan berlalu pergi.
Aku hanya mencebik. Berpaling pada rumah sambil jemariku menggagau dalam beg selempangku. Mencari kunci pintu pagar. Kalau tidak aku tak boleh masuk.
"Mana pula benda alah ni. Masa inilah kau nak hilang. Semalam-semalam elok aje ada kat dalam ni."
Sumpah. Memang aku letak dalam kocek beg ni selepas keluar petang tadi. Masak aku. Pagar tinggi macam ni mana boleh panjat. Kalau bibik ada, boleh juga dia bukakan. Ini dia balik kampung 2 minggu.
Penyudahnya aku hanya pandang pagar rumah. Mengharapkan keajaiban pagar itu terbuka sendiri. Ernie, kau ingat ini cerita dongeng! Aku mengalah. Mahu atau tidak terpaksalah tunggu mama dengan papa balik.
"Looking for this?" Segugus kunci disuakan betul-betul di depan wajahku.
"Hei!" Aku menoleh.
Hazim tersengih nakal sambil menggoncang kunci di tangannya.
Dari mana dia muncul, aku malas nak ambil tahu. Apa yang aku mahukan sekarang ialah kunci itu. Tanganku cuba merampas gugusan kunci dalam genggaman tangannya.
Namun Hazim sengaja mengangkat tinggi untuk tidak membolehkan aku menggapainya. Seronok dia mentertawakan aku yang terjengket-jengket cuba mencapai kunci tersebut.
Leka berebutkan kunci. Tidak sedar entah bila pintu pagar terbuka. Ada lampu menyoroti kami berdua.
Masing-masing tergamam. Kaku berdiri tidak bergerak. Terkebil-kebil memandang kereta yang masuk ke dalam rumah.
Selang seminit, aku hanya mampu menelan liur melihatkan susuk tubuh yang merenung aku dan Hazim.
"Dato'." Hazim menunduk hormat pada empunya wajah serius yang memandang kami berdua.
Aku pandang Hazim. Aku pandang papa. Arghhh…! Kepala aku semakin sakit. Persoalan siapa Hazim dan bagaimana dia tahu serba-serbi tentang diriku belum hilang. Kini timbul pula persoalan baru. Kalau Hazim tahu namaku dan tempat tinggalku. Tak mustahil mamat bajet bagus ini kenal papa.
"Hmmm... buat apa malam-malam dekat luar ni?" Papa merenung aku dan Hazim bersilih ganti. Gaya papa seperti seorang warden menyoal pelajar yang cabut dari asrama. Lembut tetapi tegas.
Aneh. Papa tak marah. Kalau tidak melengking satu oktaf suara papa memarahi aku. Mungkinkah kerana ada Hazim? Perlu ke aku berterima kasih dengan mamat bajet bagus ini?
“Ernie…”
“Saya terserempak dengan dia tadi. Itu yang tumpangkan dia sampai ke rumah.” Hazim memangkas kata-kataku. Sekali lagi. Hobi lelaki ini agaknya suka mematikan kata-kata orang lain sebelum orang itu menghabiskannya.
“Betul?” Papa pandang aku.
Aku teragak-agak ingin mengangguk tetapi kuangguk juga sambil mata memandang Hazim yang selesa dengan senyuman senget tersungging di bibirnya. Nampak gayanya semakin banyaklah hutang aku pada mamat bajet bagus ni.
“Dah pergi masuk. Tak elok anak dara berembun malam-malam ni,” arah papa kepadaku.
Aku hanya mampu mengangguk lagi. Berjalan lurus masuk ke dalam rumah. Membiarkan papa dan Hazim berdua di luar. Lantaklah kau, Hazim. Kalau kau pandai bercakap, mesti kau pandai menjawab soalan-soalan papa.
Sebaik kaki melangkah masuk ke dalam rumah, aku mengintai di balik langsir. Aku lihat Hazim dan papa ketawa-ketawa. Macam ada sesuatu. Musykil betul.
Apa semua ni? Tak apa. Esok aku akan tanya sendiri dengan papa. Segarang-garang papa, kalau aku bertanya papa tidak pernah tidak menjawab. Sekarang baik aku naik ke bilik, bersihkan diri dan tidur. Hal Hazim, esok baru aku fikirkan.

Tuesday, 17 March 2015

BAB 1 - BAHAGIA MENGETUK HATI KARYA AMANDA ZEE


LARIAN cuba kulajukan sepantas mungkin. Aku menyusup di balik semak dan belukar. Aku berpaling seketika ke belakang. Nafas kelegaan kuhela bila tiada lagi kelibat yang mengekori langkahku.
Pada ketika ini, tidak tahu kekuatan apa yang aku perolehi. Entah dari mana aku tidak tahu. Mungkin Allah mendengar doaku. Otakku pantas sahaja berfikir. Sebagaimana pantas aku membelasah lelaki-lelaki durjana itu tadi.
Mataku tertancap pada sebatang pokok yang dikelilingi rimbunan kecil. Cukuplah untuk badanku yang kecil molek ini. Segera aku menapak ke situ. Beg selempang aku campak ke sisi.
Sebaik sahaja aku menunduk, telingaku menangkap sesuatu. Aku mengintai. Lelaki-lelaki durjana itu tadi. Aku berpaling membelakangkan mereka. Nafasku mula turun naik luar dari kebiasaan. Berdebar-debar. Janganlah mereka perasan aku di sini.
"Ya Allah, Ya Tuhanku. Kau lindungilah hambamu ini. Amin." Mulutku terkumat-kamit berbisik. Wajah kuraup kasar.
Aku mengintai semula. Nasib baik rimbunan kecil ini mampu melindungi keseluruhan tubuhku. Kalau tidak tak tahulah apa nasibku. Kudratku semakin lemah. Untuk berlawan dengan mereka semua sekali lagi tidak mungkin aku mampu.
"Jumpa tak?" Satu suara garau bertanya.
"Entah tapi aku nampak dia lari ke sini tadi." Lelaki berbaju merah menjawab.
Masing-masing kulihat membesarkan mata memerhati sekeliling.
Terasa dihatiku debaran yang semakin menggila. Bermacam-macam doa aku baca. Berharap sangat lelaki-lelaki keparat ini tidak perasankan aku.
"Sekarang macam mana?" Lelaki berbaju merah itu bertanya pula.
"Siallah budak tu. Kalau aku dapat memang teruk aku kerjakan. Dah, jom blah." Si suara garau mengarah.
Nafas kelegaan kuhela setelah pasti mereka sudah berlalu jauh. Aku bersandar lemah pada pokok yang menjadi tempat aku berlindung.
"Fuhhh...nyaris aje tadi. Kenapalah aku berani sangat tadi." Aku menggeleng.
Beg selempang yang terdampar agak jauh kuambil. Langkahku mati bila satu dehaman menyapa dekat dengan telingaku. Aku menoleh mengikut arah datangnya bunyi tadi.
"Allah!" Terjerit kecil aku jadinya sebelum cepat-cepat tapak tanganku naik menekup mulut. Takut didengari orang. Manalah tahu lelaki-lelaki durjana tadi berpatah balik.
Aku lihat orang yang berdeham tadi tersengih sambil berjalan mendekati aku. Berdiri betul-betul di hadapan aku. Menghalang laluanku.
"Mati aku." Mulutku menggumam.
Aku kini umpama terlepas dari mulut buaya, masuk mulut harimau. Kukerling dengan ekor mata pada figura yang masih tersengih ini.
"Kau buat apa sampai malaun dua ekor tadi kejar kau?" Figura itu menari-narikan keningnya.
"Kau siapa?" Aku bertanya balik. Tak mungkin aku nak jawab soalan dari orang yang tidak aku kenali.
Namun soalan aku dibalasnya dengan jongketan bahu. Buat menyirap darah mudaku sahaja.
"Wei! Tepilah." Aku besarkan mata. Ada juga yang kena karate ni. Bila ditanya tidak mahu jawab. Apa dia ingat aku faham dengan sengihan dia tu.
"Nama aku Hazim." Figura yang tersengih tadi memperkenalkan dirinya kepadaku.
"Tak kisahlah nama kau apa pun." Aku tolak badan figura yang mengatakan namanya Hazim ini. Ingat aku ada masa untuk berkenal-kenalan. Sangat tak sesuai. Sekarang ini aku kena fikirkan nasib diri sendiri. Hidup atau mati. Namun sedikit pun dia tidak berganjak. Malah lelaki itu selamba bersilang tangan di dada. Tersengih memandang aku.
Kenapalah mama dulu tak makan banyak-banyak. Kalau tidak senang aje aku nak jentik mamat ni. Ini nak tolak dia pun aku tak kuat.
Aku ke kanan.
Dia ikut sama-sama melangkah denganku.
Mulutku sudah berbunyi. Aku merengus. Kaki kiri pula aku hayun.
Dia kenyit mata padaku sambil kaki turut sama mengikuti langkahku.
"Arghhh!" Aku menjerit. Penat melayan entah siapa-siapalah mamat bajet bagus ini.
"Kau jeritlah kuat-kuat. Kalau malaun dua ekor tu datang balik, aku tak tahu." Hazim angkat kedua-dua belah tangan tanda mengalah.
Besar kecik besar kecik aje aku tengok mamat bajet bagus ni. Kalau tak mengenangkan perbezaan saiz badan mereka, memang lunyai mamat bajet bagus ni.
Sempat matanya mengerling jam di tangan. Pukul 10 dah? Aduh, aku dah lewat sangat ni. Karang mama dengan papa dah sampai rumah, tahu aku tak ada. Kantoi. Kena perintah berkurunglah jawabnya.
Tiba-tiba terasa sesuatu pada pergelangan tanganku. Terkebil-kebil mataku memandang tidak percaya.
"Ikut aku." Hazim menarik aku berlindung di balik belukar jauh dari tempat tadi.
Keadaan kelam malam menyebabkan aku sukar untuk mengagak apa yang ada di depanku. Hinggakan hampir sahaja aku tersadung. Nasib Hazim pegang tanganku.
Hazim apa? Oh! Ernie. Kau dah ternoda. Poyolah kau, Ernie. Takkanlah setakat pegang tangan sudah ternoda. Mazhab mana yang kau ikut.
"Hish...apa tarik-tarik ta..." Kata-kataku termati di situ. Tapak tangan Hazim elok saja menekup mulutku. Sebelah lagi tangan Hazim menekan kepalaku. Memaksa aku bertinggung sama macam dia.
What the heck? Suka-suka sentuh anak dara orang. Haram tahu tak. Mama! Papa! Tolong Ernie.
Baru sahaja aku ingin bersuara lagi bila Hazim menjauhkan tangannya dari mulutku, telingaku menangkap suara lelaki sedang berbual.
Berderau dadaku. Itu lelaki-lelaki tadi. Apa mahunya lagi? Dan bukan ke tadi Hazim tidak mahu menolongku?
Aku memerhati Hazim di sebelah. Dia nampaknya ralit memerhati pada arah datangnya suara-suara itu.
Hmmm... boleh tahan juga mamat bajet bagus ni. Kalaulah perangai dia elok, boleh juga aku usyar. Aku tersenyum sendiri.
"Hensem sangat ke aku ni?" Hazim yang sudah berdiri memandang aku tanpa riak.
"Errr..." Tengok Ernie kau dah memalukan diri sendiri. Dalam keadaan genting macam ini pun kau sempat nak menggatal. Aduhhh…
Bila masa pula mamat bajet bagus ni berdiri? Kenapa aku tak perasan? Eh, malaun-malaun tu? Aku panjangkan leher. Cuba mencari kelibat orang-orang yang dimaksudkan.
"You're safe." Selamba Hazim berkata-kata. Seolah-olah tahu apa yang aku cari.
Aku segera bangkit. Seluar ku kibas. Setelah berpuas hati, kaki ku hayun. Ingin segera beredar dari situ. Aku memang dah terlewat sangat ni.
"Not so fast, young lady." Sekali lagi tanganku digenggam Hazim.
Ini tak boleh jadi. Memanglah situasi sekarang boleh dikatakan meruncing tetapi itu bukan tiket untuk Hazim melakukan sesuka hati dia. Aku tak suka. Mamat bajet bagus ini perlu diajar.
"Kau orang Islam kan?" soalku pada Hazim.
Nak tergelak pun ada juga tengok muka Hazim yang pelik dengan soalan aku. Sebelum dia kenakan aku baik aku kenakan dia dahulu.
"Apahal kau ni?" Kulihat kening Hazim semakin bertaut.
"Jawab dulu soalan aku." Mataku melirik ke bawah. Buat tak tahu pula dia ni. Bodoh juga mamat bajet bagus ni. Ke dia pura-pura tak faham?
"Untuk pengetahuan kau. Nama aku Hazim Arif Bin Abdul Halim. Kalau itu tak dapat yakinkan kau apa agama aku. Tak dapat aku nak tolong." Hazim pamer senyuman sinis buatku.
"Orang Islam rupanya. Ni pegang tangan anak dara orang apahal?" Keningku rancak menari-nari.
Dan dan Hazim lepaskan tangannya.
“Maaf. Tak sengaja.” Hazim kulihat seperti menyesali tindakannya.
Inilah masanya, Ernie. Aku tersenyum.
“Aku maafkan dan sekarang boleh tak kau ke tepi. Aku nak balik.” Aku besarkan mata. Meminta dia memberi laluan kepadaku.
Aku seperti terdengar satu keluhan kecil terbit dari mulut Hazim. Dia berganjak ke kiri.
Aku pantas membuka langkah. Cukuplah untuk hari ini. Aku lelah dengan apa yang terjadi. Aku mahu berehat. Aku mahu melupakan semuanya. Mungkin Tuhan mahu menguji. Sampai rumah nanti, aku berjanji mahu muhasabah diri.
Belum pun beberapa tapak aku berjalan, tanganku disambar semula. Hazim membawa aku lari masuk lebih ke dalam. Jauh dari tempat tadi.
Tidak sempat aku bertanya, ada beberapa cahaya seperti cahaya lampu suluh yang sedang berjalan ke arahku dan Hazim. Kali ini Hazim tidak perlu memaksa aku mengekorinya. Aku sendiri dengan rela hati menuruti lariannya.