Bab 1
“PAPA... I want that ice cream,” rengek Farisya sambil menarik-narik lengan papanya yang leka dengan telefon. Farisya menunjuk ke arah penjual ais krim yang berniaga di tepi jalan.
“Wait a minute, baby. Papa ada kerja ni,” kata Ashraf meminta Farisya menunggunya sebentar. Ada e-mel yang perlu dihantar kepada pembantu peribadinya.
Farisya sudah menarik muncung di sebelah papanya. Kata mahu bersiar-siar di taman, sudahnya papa asyik sibuk dengan telefon. Baik duduk di rumah sahaja. Menyedari puterinya itu duduk diam sahaja, dia melarikan sebentar pandangannya dari telefon. Wajah cemberut puterinya itu dipandang sambil bibirnya mengulum senyum. Alahai, sayang papa ni!
“Merajuk dengan papa ke?” soal Ashraf sambil mencium pipi Farisya namun anaknya itu pantas menolak muka Ashraf yang mahu mengucupnya lagi. Protes! Ashraf ketawa kuat.
“Amboi, princess papa ni dah pandai merajuk!” usik Ashraf sambil tangannya mengusap lembut kepala Farisya.
Senang hatinya melihat Farisya membesar. Sudah 7 tahun berlalu. 7 tahun juga dia membesarkan Farisya seorang diri. Mujur ada Najwa yang sudi membantunya sekiranya dia ada kerja di tempat lain.
7 tahun menjaga Farisya, dia memang tak boleh berpisah dengan anak kecil ini. Farisya ialah dunia dan jiwanya. Sekali lagi kucupan dihadiahkan pada ubun-ubun anaknya itu. Kali ini Farisya tidak menolak lagi.
“Hai, Risya,” tegur satu suara. Dua beranak itu mendongak memandang seorang gadis yang berpakaian formal. Baru pulang dari kerja barangkali. Ashraf melemparkan senyuman kepada gadis itu. Farisya pula masih kekal dengan wajah masamnya.
Sudah biasa dengan Ashraf, Najwa mengambil tempat di sebelah lelaki itu. “Baru balik kerja?” soal Ashraf. Dia memandang ke arah Najwa sambil mengangkat Farisya duduk di atas ribanya. Najwa mengangguk sambil menguntum senyum manis. Dia mengusap pipi Farisya. “Kenapa sayang aunty ni? Masam aje. Cuba cerita dekat aunty,” tutur Najwa lembut. Bicaranya penuh dengan aura keibuan. Sememangnya dia sudah menganggap Farisya seperti anaknya sendiri.
Farisya memanjangkan muncungnya sambil menjeling papanya. Najwa mengerling Ashraf yang tersengih sahaja. Ni mesti ada yang tak kena.
“Fine. Dia nak pergi beli ais krim, tapi I sibuk tadi,” jelas Ashraf sambil ketawa kecil.
“Ala, sayang aunty ni nak ais krim ke? Jom! Papa tak nak beli, biar aunty yang beli. Papa memang macam tu,” ujar Najwa sambil berdiri. Tangan Farisya dipegang. Farisya sudah menjerit kegembiraan.
Baru sahaja Ashraf hendak bangun, telefonnya berbunyi. Nama yang tertera pada skrin membuatkan dia tidak jadi hendak bangun.
“I tak pergi. Nak jawab call kejap,” ujar Ashraf sambil menghulurkan beberapa keping not dolar kepada Najwa. Dia terus bergerak ke tempat yang sunyi sedikit. Dia tidak mahu perbualannya dengan si pemanggil terganggu.
Ikon hijau disentuh apabila si pemanggil membuat panggilan kedua. Suara ibu saudaranya, Hajah Taheera menyapa gegendang telinga. Salam yang diberi dijawab perlahan.
“Ingatkan tak nak jawab call mak su lagi dah,” sindir Hajah Taheera. Jauh dalam hati, dia bersyukur panggilannya berangkat kali ini.
Sejak seminggu lalu, dia cuba menghubungi anak saudaranya ini, namun asyik masuk peti simpanan suara sahaja. Ashraf pula langsung tidak menelefonnya kembali. Geram sungguh hatinya dengan anak saudaranya ini.
“Maaflah, mak su. Raf sibuk sikit lately ni. Bila balik rumah, dah penat. Tu yang lupa nak call mak su,” balas Ashraf yang mengerti sindiran mak sunya.
“Mak su ada benda nak beritahu ni. Haraf Raf boleh terima dan balik Malaysia cepat. Kalau boleh, hari ni juga mak su nak tengok Raf ada di Malaysia,” kata Hajah Taheera dengan suara yang sudah berubah nada. Tadi menyindir, sekarang tegas bukan main.
Cuak Ashraf dibuatnya. Cuak kerana disuruh balik ke Malaysia. Sudah 8 tahun dia meninggalkan tanah airnya itu dan dia tidak terfikir untuk kembali ke sana dalam masa yang terdekat. Tetapi, dia dapat merasakan ada sesuatu yang terjadi di sana. Kalau tidak, masakan mak su memintanya untuk pulang.
Bukannya mak su tidak pernah menyuruhnya pulang, namun sikapnya yang berkeras untuk terus menetap di sini membuatkan mak su tidak lagi membuka mulut soal kepulangannya ke Malaysia. Selama ini pun dia hanya berhubung dengan mak su melalui telefon. Apa yang terjadi pada adiknya juga, mak su yang setia menjadi pelapor.
Bukannya dia tidak rindu pada Raihana tetapi keadaan tidak membenarkan dia untuk kembali. Jadi, dia hanya mengambil tahu perkembangan Raihana melalui mak su sahaja. Lebih mudah dan lebih selamat.
“Rai koma,” ujar Hajah Taheera sambil menahan sendu. Matanya memandang Raihana yang terlantar di atas katil melalui cermin kaca dari luar bilik. Keadaan Raihana yang agak parah selepas terlibat dalam kemalangan seminggu lalu membuatkan Raihana terlantar di sini.
Pilu hatinya melihat keadaan Raihana. Dia cuba menelefon Ashraf namun tidak dapat. Dia yakin, andai Ashraf ada di sini, pasti Raihana akan cepat sembuh. Dia tahu, ikatan adik-beradik antara Ashraf dan Raihana sangat kuat. Ashraf adalah semangat bagi Raihana. Dia tahu itu kerana dia yang menjaga dua beradik ini sejak mereka berdua kecil.
Ashraf terdiam mendengar khabar itu. Benarkah? Mungkinkah mak su menipunya agar dia balik ke Malaysia? Masakan mak su mahu menipu semata-mata mahu dia pulang ke Malaysia? Dia meraup wajahnya.
Dari jauh, dia memandang Farisya yang ketawa senang di sisi Najwa. Tanggungjawabnya ada di sini. Raihana juga tanggungjawabnya. Dia yakin, kini hanya mak su yang sibuk menguruskan Raihana, bukan mama, bukan papa. Tidak mungkin dia sewenangnya membiarkan mak su menguruskan adiknya sendirian. Mak su juga ada komitmen lain yang perlu diberi perhatian. Dia jadi serba salah.
“Macam mana keadaan dia, mak su? Parah ke?” soal Ashraf penuh kebimbangan.
“Raf baliklah sini. Mak su tak sanggup nak cakap tapi doktor kata, kemungkinan untuk Rai sedar, tipis. Rai mungkin akan pergi tinggalkan kita,” ujar Hajah Taheera. Tangisannya sudah mula berbunyi. Dia tidak mampu hendak meneruskan kata-kata lagi.
Susahnya nak telan kenyataan. Ya Allah, jangan Engkau ambil dia sebelum aku sempat meminta maaf dengannya! Hatinya berdoa. Matanya sudah berkaca. Hatinya pedih mengenangkan adiknya yang sedang bertarung dengan nyawa ketika ini. “Raf dengar tak apa yang mak su cakap ni?” Suara Hajah Taheera meninggi sedikit. Geram kerana Ashraf yang diam sahaja. Orang bercakap dengan dia, dia diam pula. “Dengar, mak su. Sebolehnya memang Raf nak balik tapi... Raf ada kerja dekat sini. Pasal kos rawatan, Raf akan tanggung. Mak su cuma pastikan Rai dapat rawatan yang terbaik. Kalau boleh, Raf nak nombor telefon doktor yang rawat Rai. Raf akan pantau Rai dari sini,” ujar Ashraf panjang lebar. Harapnya mak su bersetujulah kerana dia memang tak boleh pulang.
Ashraf menanti balasan daripada Hajah Taheera namun tiada. Dia melihat skrin telefonnya, talian sudah terputus ke? Melihat talian masih bersambung, dia memanggil nama mak su.
“Kenapa dengan Raf ni?! Ya Allah, dah jadi macam ni pun, Raf masih dengan ego Raf. Yang tengah terlantar tu, adik Raf. Raf satu-satunya abang yang dia ada di dunia ni. Raf tahu dia perlukan Raf, kan? Sampai bila Raf nak duduk di negara orang tu?”
“Raf sedar tak yang Raf dah tinggalkan dia hampir 10 tahun! Rai tu belum habis sekolah lagi, Raf dah tinggalkan dia. Bukan Raf tak tahu yang Rai tu macam dah tak ada pegangan hidup. Mama dan papa kamu tu sibuk sepanjang masa. Kamu abang dia, Raf. Mak su tak pernah anggap dia beban untuk mak su tapi cara mak su lain, Raf. Raf tu pengganti papa untuk dia...” Suara mak su yang pada awalnya tinggi semakin mengendur. Nada sayu pula yang menjadi ganti.
Talian terputus tanpa sempat Ashraf membalas walaupun sepatah kata. Keluhan dilepaskan. Mak su benarbenar marah dengannya kali ini. Wajahnya diraup lagi.
“Are you okay, Raf?” soal Najwa sambil menyentuh bahu Ashraf yang kelihatan resah. Ashraf menoleh. Najwa sedang memimpin tangan Farisya yang sedang enak menjilat ais krim. Dia tersenyum kelat sambil bergerak menuju ke sebuah kerusi.
“My sister... She’s coma. Mak su suruh balik sana,” kata Ashraf sambil mengangkat Farisya duduk di atas bangku.
Mendengar khabar itu, Najwa tahu apa yang berada dalam fikiran Ashraf. Ashraf takut andai keluarganya di sana tahu akan kewujudan Farisya sebagai anaknya. Semua masalah Ashraf, dia tahu kerana dia adalah teman rapat Sofia.
Perkahwinan yang dirahsiakan daripada keluarga.Perkahwinan Sofia dan Ashraf yang kini sudah terkubur bersama Sofia. Yang tinggal, hanya Ashraf dan Farisya.
“I boleh jagakan Farisya kalau you nak ke sana,” ujar Najwa menawarkan diri.
“I tak nak susahkan you. Selama ni, you dah banyak tolong I. I rasa tak sedap pula dengan you,” tolak Ashraf. Cukup-cukuplah dia menyusahkan Najwa selama ini.
Najwa tersenyum sambil mengelap mulut Farisya yang comot dengan ais krim cair.
“Adik you perlukan you. Baliklah, Raf,” pujuk Najwa. Dia merenung wajah Ashraf yang jelas riak bimbang. Mengenali Ashraf sejak tahun pertama mereka di universiti membuatkan dia mampu menilai segala riak yang lelaki itu pamerkan.
“Thanks, Najwa. You dah banyak tolong I. Entah macam mana I nak balas jasa you pada I dan Farisya,” ucap Ashraf.
Rasa segannya terhadap teman arwah isterinya itu menggunung apabila mengenangkan dirinya yang asyik menyusahkan Najwa. Namun dia tiada pilihan lain selain Najwa. Hanya Najwa yang dia percaya untuk menjaga Farisya.
“I ikhlas tolong you,” balas Najwa sambil merenung wajah Ashraf.
Perasaannya terhadap Ashraf tidak pernah padam walaupun dulu Ashraf pernah berkahwin dengan sahabat baiknya. Dia rela menyimpan sahaja perasaannya. Dia tahu, Ashraf tidak pernah menganggap dirinya lebih daripada kawan. Dengan menjaga Farisya sahaja mampu mendekatkan dirinya dengan lelaki itu.
“PAPA kena outstation esok. Risya duduk dengan Aunty Najwa tau. Jangan nakal-nakal,” pesan Ashraf sewaktu menyiapkan beg barang keperluan anak kesayangannya itu.
Farisya yang sedang melukis di meja kerja memandang papanya.
“Aunty Najwa tu baikkan, papa?” tanya Farisya. Dia sudah memusingkan kerusinya menghadap papanya.
“Memanglah baik. Sebab tu papa tak nak Risya susahkan dia.” Ashraf meneruskan kerjanya sehinggalah Farisya melontarkan satu kenyataan yang membuatkan kerjanya terhenti.
“Kalau dia baik, papa kahwinlah dengan dia.”
Terkedu dia sebentar. Farisya memintanya berkahwin dengan Najwa? Dah kenapa? Ni mesti ada apa-apa ni. Dia bangun mendekati puterinya.
“Orang lain semua ada mama. Stephanie tu... Mama dia selalu jemput bila balik sekolah. Jay pun. Risya aje yang tak ada mama dekat sekolah tu,” petah Farisya melontarkan hujahnya. Wajah papanya dipandang lama.
“Risyakan ada papa,” kata Ashraf sambil menggosok kepala puterinya. Matanya meneliti lukisan Farisya di atas meja. Cantik dan kemas. Ternyata Farisya mewarisi bakat Sofia yang pandai dalam bidang seni. Masih segar dalam ingatannya, Sofia melukis potret dirinya sewaktu di perpustakaan. Kini, potret itu sudah disimpan dalam kotak yang berada di dalam stor. Tidak sanggup dia mahu melihat barang-barang kenangannya bersama Sofia.
Adanya Farisya di depan mata, sudah cukup untuk mengingatkannya tentang Sofia yang pernah muncul dalam hidupnya satu ketika dahulu. Farisya yang mengingatkannya tentang manis dan pahitnya kehadiran seorang insan yang bernama Sofia Delilah ke dalam hidup Tengku Ashraf Furqan.
“Tapi Risya nak mama. Mama yang macam ni,” ujar Farisya.
Dia menunjuk ke arah wanita dewasa di dalam lukisannya. Ashraf memegang lukisan anaknya. Terdapat seorang wanita bertudung berdiri sambil mendukung seorang bayi yang comel. Seorang lelaki turut berdiri di sisi wanita itu. Di bahagian hadapan, tiga orang kanak-kanak berdiri bersama senyuman menghiasi wajah. Kelihatan seperti sebuah keluarga bahagia. “Gambar keluarga siapa ni?” tanya Ashraf. Pelik melihat ramai kanak-kanak di dalam lukisan itu.
“Keluarga kitalah. Ada papa, mama. Yang ni, Risya. Tiga lagi ni, adik-adik Risya,” ujar Farisya sambil tersengih.
Hati Ashraf sudah semacam dengan perangai anaknya yang satu itu. Bagi menyorokkan perasaannya, dia menyuruh Farisya segera tidur. Sebelum tidur, sempat lagi anaknya mengusik dirinya.
“Papa... Ingat tau. Risya nak mama. Yang pakai tudung, sama macam Risya lukis tu,” kata Farisya sebelum melelapkan mata. Ashraf tersenyum sahaja. Setelah menghadiahkan kucupan pada dahi puteri kesayangannya itu, dia keluar menuju ke biliknya.
FIGURA pantulan dirinya di dalam cermin ditenung lama. Jam sudah menunjukkan angka 1 pagi. Dia tidak terasa mengantuk langsung apabila mengenangkan permintaan Farisya.
Berkahwin? Dengan perempuan bertudung? Siapa yang menghasut Farisya untuk meminta begitu? Figura dirinya diperhati. Memang berubah dengan dirinya sewaktu sebelum dia datang ke Australia. Rambutnya sudah diwarnakan kepada biru gelap. Telinganya bertindik. Rantai perak pada batang lehernya dibelek.
Ashraf terduduk di birai katil. Wajahnya diraup. Matanya disorotkan ke arah kabinet berpintu kaca di atas almari pakaian. Di dalamnya terdapat sejadah berwarna krim dan al-Quran yang dibawa bersama-sama ke negara ini dahulu. Entah bila kali terakhir dia menyentuh al-Quran dan bersujud di atas sejadah itu. Dia sendiri lupa.
Esok dia akan kembali ke Malaysia. Dia mengambil keputusan untuk tidak berlama-lamaan di sana. Mungkin sehari sahaja. Kepulangannya tidak dimaklumkan langsung kepada Hajah Taheera. Sengaja mahu mengadakan kejutan buat ibu saudaranya yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri itu.
Memikirkan Hajah Taheera, apa reaksi orang tua itu agaknya apabila melihat dirinya yang sudah jauh berubah kini? Keluhan dilepaskan perlahan. Gementar dalam dada terasa apabila memikirkan hari esok.
No comments:
Post a Comment