PROLOG
“JANJI jadi kawan aku sampai
bila-bila? Kau seorang saja
yang faham aku.” Ammara
Delisha menghulurkan jari kelengkengnya pada Shafinaz.
Shafinaz mengangguk. Jari kelengkeng Ammara
ditaut ke jari kelengkengnya.
“Sampai mati pun kau kawan aku. Tak kira apa jadi,
aku tetap sayang kau.” Shafinaz berjanji.
“Aku pun sayang kau. Dunia dan akhirat…” ucap
Ammara dengan jujur dan ikhlasnya.
“Woi! Kau orang ponteng KTT ya?” Tiba-tiba satu
suara garau menyergah mereka berdua yang sedang melepak
di belakang stor sukan yang menghadap ke arah padang
sekolah.
Mana tak terkejutnya kalau tengah sedap ponteng
Kelas Tambahan Terancang (KTT), tiba-tiba disergah begitu.
Jantung ini rasa nak melompat keluar!
Melihat empunya suara garau itu, pantas Ammara
bangkit. Tanpa berlengah kaki si jejaka dibentes kasar lantas perut yang agak berotot itu ditumbuk. Tidak kuat. Hanya
sekadar tumbukan manja saja.
“Aduh! Siot la kau, Ara. Sakit kaki aku tau.” Faiz
merungut dengan wajah yang cemberut. Perutnya diusapusap
perlahan.
“Aku tumbuk sikit aje kut! Mengada-ada lebih,”
balas Ammara sambil menjegilkan mata. Kemudian dia
kembali duduk di sebelah Shafinaz.
“Sikit kau tu sakit tau tak? Aku tahulah kau tu
belajar tekwando, tapi tak payahlah tibai aku.” Faiz merungut
lagi.
Shafinaz yang melihat dua orang sepupu itu
bertikam lidah hanya tersenyum kecil. Dia sudah lali dengan
keadaan seperti ini. Itu baru sikit. Dia selalu nampak
Ammara dan Faiz bergusti lagi.
“Mulut kau tu macam Puaka Tebing Biru. Pergi
menjerit tadi buat apa? Kalau Cikgu Zamri nampak macam
mana?” soal Ammara kasar.
Faiz tersengih. Punggung segera dilabuhkan di
sebelah Ammara. Mereka bertiga duduk bersila di kaki lima.
Faiz hulurkan plastik yang berisi pisang goreng dan
keropok lekor kepada Shafinaz. Bahu Ammara disenggol
dengan bahunya.
“Alah, janganlah merajuk. Aku dah beli pisang
goreng kesukaan kau ini.”
Ammara diam.
“Wahai tuan Puteri Gunung Ledang yang cantik
rupawan, maafkan hamba yang sengal ini,” gurau Faiz.
Ammara tersengih. Kepala Faiz ditunjalnya.
“Bukan
setakat sengal, tapi otak kau ada masalah juga!” ucapnya dengan ketawa riang.
“Hesy, korang ini asyik bergaduh aje. Pening kepala
akulah!” Shafinaz menegur.
“Si sengal inilah yang cari pasal dulu. Buatnya
bapak singa tu lalu, tak ke naya nanti? Tak pasal-pasal kena
rotan dekat perhimpunan pagi esok.”
“Aku bergurau aje,” balas Faiz sambil tersengih.
“Sudahlah, makan cepat.” Shafinaz menyampuk.
Kalau dibiarkan sampai ke sudahlah Ammara dan Faiz
bertegang urat.
Mereka bertiga mengunyah makanan yang dibeli
Faiz di kantin sambil melihat pasukan hoki sekolah berlatih
di turf hoki yang terletak bersebelahan dengan padang
sekolah.
“Ara, lepas ini kau nak sambung belajar dekat
mana?” Faiz menyoal dengan mulut yang penuh.
“Entah. Aku tak pasti lagilah. Kenapa?”
“Kau nak ikut aku tak? Mama aku suruh aku
sambung belajar di London.”
“Nantilah aku fikir macam mana. Aku tanya papa
dulu, ya.”
Faiz mengangguk.
“Kau pula nak ke mana Finaz?”
“Aku kalau dapat tajaan dapatlah belajar di luar
negara. Kalau tidak aku sambung di universiti tempatan aje.”
Shafinaz menjawab dengan senyuman kecil.
Dia bukannya
anak orang kaya seperti Ammara dan Faiz. Keluarganya
biasa-biasa saja. Ayahnya seorang pekerja kilang dan ibunya
pula suri rumah sepenuh masa. Dia mempunyai enam orang
adik-beradik dan semuanya masih belajar.
“Kau mesti dapat punya. Kawan aku seorang inikan pandai. Gerenti dapatlah!” Ammara menepuk bahu Shafinaz
perlahan. Memberi semangat.
“Insya-Allah...” balas Shafinaz lembut.
“Ingat, walau ke mana sekalipun kaki kita
melangkah lepas ini, jangan pernah terputus hubungan. Apaapa
yang jadi dalam hidup korang mesti update pada aku
tau.”
Faiz dan Shafinaz mengangguk serentak.
Itu janji
mereka sejak menjadi kawan baik. Mereka tidak pernah
melupakan antara satu sama lain walau apapun yang terjadi.
Tetapi jika takdir yang tertulis adalah sebaliknya, mampukah
janji itu ditepati lagi?
No comments:
Post a Comment