BAB 4
SEBENTAR lagi matahari akan menyembunyikan wajah di ufuk barat dan
rembulan penuh bakal mengambil alih menyinari langit hitam pekat. Awan hitam
yang membawa hujan lebat petang itu baru saja berhenti berarak. Namun hujan
tetap masih turun renyai-renyai. Seolah-olah belum puas menyirami bumi.
Haruman rumput tumbuh menghijau di sekitar kampus yang baru
disiram hujan petang tadi langsung tidak menggangu Nina yang mengatur langkah
pulang ke asrama. Keadaan jalan bertar hitam berlopak air di sana sini tidak
menggugat aturan derap langkah Nina.
Nina mengambil laluan pejalan kaki untuk sampai ke asrama. Lebih
selamat dari kesibukan kenderaan yang berpusu-pusu keluar dari kampus yang
kemungkinan besar akan menyimbah lopak air yang membanjiri jalan ke arah
pejalan kaki. Jarak antara asrama dan kampusnya cuma beberapa meter saja. Dia
sendiri yang membuat pilihan untuk berjalan kaki daripada berebut-rebut dengan
pelajar lain di situ untuk menaiki bas.
Sebuah novel dan sebuah lagi buku catatan hariannya digenggam erat
sambil menghayun langkah pantas. Sekali-sekala Nina akan berlaga bahu dengan
pengguna jalan kaki yang datang dari arah bertentangan. Tidak pula Nina ringan
mulut meminta maaf seperti selalu.
Sudah seminggu fikiran Nina sarat dengan wajah Amil. Perasaan
benci terhadap lelaki itu sungguh tak tergambar. Selepas kali pertama Nina
keluar berdua dengan lelaki itu, dia sudah nekad untuk memutuskan saja tali
pertunangannya dengan Amil.
Masih terbayang-bayang lagi perbuatan Amil padanya sewaktu lelaki
itu menghantar dia pulang ke asrama malam itu selepas mereka berkunjung ke
restoran steak.
“Terima kasih Nina sebab sudi temankan Amil makan malam.” Amil
memulakan bicara tatkala kereta dipakir di hadapan pintu pagar utama asrama. Lelaki
itu memalingkan wajahnya ke arah Nina, menatap wajah mulus Nina yang disimbahi
cahaya lampu neon jalan. Masih kelihatan lembut dan tenang.
“Sama-sama.” Nina menjawab ringkas. Jam pada dashboard kereta direnung sekilas. Waktu itu sudah menginjak ke
angka 11. Setengah jam saja lagi para pelajar dibenarkan berada di luar kawasan
asrama. Jika terlambat masuk ke asrama nanti, nama akan diambil oleh pengawal
keselamatan asrama dan akan dibawa ke jabatan disiplin pelajar asrama.
“Mungkin lain kali kita boleh keluar lagi. Mungkin hujung minggu
nanti.” Amil menyambung. Dia masih berharap dapat keluar lagi dengan Nina. Dia
masih tidak puas menatap wajah itu dan mendengar Nina berbicara memandangkan
gadis itu lebih suka berdiam diri dan hanya menjadi pendengar saja.
“Nina tak pasti Nina ada masa nak keluar lagi ke tak. Amil pun
faham sajalah, Nina ambil IB. Tak boleh nak main-main sangat.” Nina menekan
perkataan main-main supaya Amil mengerti.
Dia sebenarnya mencari alasan untuk tidak lagi bertemu dengan Amil.
Selepas menemani Amil mengisi perut di restoran steak tadi, dia lebih suka mendengar. Lelaki itu banyak bercerita
tentang keluarganya. Dia terlalu berbangga dengan kekayaan yang dimiliki oleh
keluarganya sehingga membuatkan Nina hilang minat untuk mendengar. Sudahnya,
gadis itu diam saja dan mengangguk bila perlu.
Lagipun tak lama lagi mereka akan menikah. Tak salah rasanya
mereka simpan saja keinginan untuk mengenal hati budi. Apa salahnya mereka
bercinta selepas berkahwin? Kan lebih manis begitu?
“Nina tak suka keluar dengan Amil?” soal Amil kecewa. Bukan dia
tidak mencuba untuk mendekati gadis itu, cuma Nina saja yang bersikap dingin.
Memang dia akui dia terlalu memilih gadis yang lebih suka bersikap terbuka,
bergaya dan semestinya seksi. Tetapi mereka semua hanya teman untuk bersuka
ria. Bukannya untuk dijadikan isteri.
Bila melihat Nina petang tadi, dia akui dia mula jatuh cinta buat
pertama kali. Kerana itulah, dia mahu mereka luangkan lebih masa bersama-sama.
“Kita tak pernah kenal dengan lebih dekat, Nina. Apatah lagi nak
luangkan masa bersama-sama sebelum ni. Setiap kali keluarga Amil melawat
keluarga Nina, Amil tak pernah ada peluang nak bercakap dengan Nina. Mungkin
waktu nilah kita boleh ambil peluang untuk kenal diri masing-masing,” luah Amil,
mohon Nina memahami hatinya.
“Bukan macam tu maksud Nina. Tak lama lagi kita akan kahwin. Apa
salahnya kalau kita bercinta lepas nikah? Waktu tu kita boleh kenal hati budi.
Kita boleh keluar sama-sama, habiskan masa berdua. Amil pun akan temankan Nina
sambung belajar di U.K. Masih panjang lagi masa untuk kita bersama.”
Nina meluahkan pendapat, meminta Amil mengerti. Selebihnya dia
mula resah kerana masih berada di dalam perut kereta lagi. Takut nanti namanya
tersenarai dalam pelajar yang lambat masuk ke asrama. Tak pernah dibuatnya
sebelum ini.
Amil mengeluh berat mendengar alasan Nina. Pelbagai alasan yang
diterimanya oleh Nina namun kali ini hujah gadis itu panjang lebar. Sudahnya
dia mula menyandarkan tubuh ke bahu tempat pemandu, melepaskan keluhannya di
situ. Nina sememangnya seorang gadis yang dingin. Tak punya hati untuk
bercinta.
“Nina dah lambat. Tinggal 15 minit lagi nak masuk ke asrama.” Nina
sudah menggenggam beg tangan.
Tanpa Nina duga, tidak semena-mena
Amil menarik tubuhnya ke dalam pelukkan. Bukan itu saja, lelaki itu tanpa segan
silu mendaratkan bibirnya ke pipi Nina.
Terkejut dengan perilaku Amil, tak semena-mena telapak tangan Nina
mendarat di pipi lelaki itu. Marahnya meluap-luap dengan tindakan Amil tadi.
Turun naik dadanya menahan getar.
“Tergamak Amil buat Nina macam ni?” Menggigil tangannya selepas
menampar pipi Amil. Dia tidak menduga Amil berani bertindak sejauh itu. Mereka
baru saja pertama kali keluar bersama. Perbuatan Amil sudah melampaui batas!
“Oh relakslah, Nina!
Kita dah bertunang pun. Tak salah kalau Amil cium Nina sekalipun.” Amil mula
hilang arah. Tak pernah mana-mana gadis sebelum ini menolak perilakunya pada
mereka. Bahkan mereka semuanya suka, seronok!
“Tak salah? Amil jangan nak samakan Nina dengan mana-mana
perempuan yang Amil bawa ke katil. Nina ada maruah, ada harga diri. Kalau macam
nilah perbuatan Amil, baik kita putuskan saja pertunangan kita. Nina tak sudi
bersuamikan lelaki macam Amil ni.” Nina meluahkan kata geram. Geram dan marah
bercampur baur menimbulkna rasa benci dengan mendadak.
Cincin pertunangan di jari manis ditanggalkan dan dibaling ke
wajah Amil. Lelaki seperti Amil patut diajar. Bukan semua perempuan sama saja.
Dia ada maruahnya yang perlu dipertahankan. Ikatan pertunangan bukannya boleh
dijadikan medium untuk mereka bebas melakukan apa saja!
“Nina!”
Jeritan Amil langsung tidak diendahkan oleh Nina. Gadis itu
cepat-cepat menghilang di balik dinding bangunan asrama. Marahnya bukan
kepalang. Bila tiba di bilik nanti, akan dia buangkan jambangan mawar yang
dihadiahkan oleh Amil padanya ke dalam tong sampah saja.
NINA kini sudahpun tiba di hadapan pintu bilik. Selepas menyelak
daun pintu, Nina mendapati keadaan bilik sunyi sepi tanpa Hana. Keadaan bilik
yang tersusun rapi menandakan Hana masih belum pulang dari keluar berdua
menonton wayang bersama-sama teman lelakinya. Kata Hana, hari ini adalah hari
untuk menghabiskan masa bersama-sama Zamir.
Nina mengambil tempat di birai katilnya lalu memandang kosong ke
arah katil Hana di sebelah. Kini hanya sepi menyelubungi hati tatkala
berseorangan di bilik. Akhirnya Nina menarik tuala di birai katil lalu menapak
ke bilik air. Usai solat Maghrib nanti, Nina mahu bersiap-siap untuk
menghabiskan bacaan novelnya di atas katil saja.
“Awalnya balik hari ni.” Hana bersuara lalu meletakkan beg tangan
ke atas katil. Gadis itu baru saja pulang setelah Nina selesai menunaikan solat
Maghrib. Nina sudah bersiap-siap di atas katil, mencari muka surat yang
ditandanya pada novel yang baru dipinjamnya semalam.
“Kau ni aku tengok kalau tak ulangkaji, baca novel. Tu novel yang
kat atas meja tu mesti pinjam petang tadi, yang kat tangan belum habis baca
lagi.” Hana mula mengomel. Tangannya ligat menarik baju tidur di dalam loker
pakaian sebelum menapak ke bilik air.
Dia kasihankan Nina. Sudahlah hidupnya banyak dihabiskan dengan
buku-buku ilmiah, gadis itu lebih suka terperap di dalam bilik saja. Tak suka
bergaul dan berkawan dengan orang lain. Itu tak termasuk lagi dengan hal dia
dan Amil. Dia turut perasan Nina pulang dari keluar berdua dengan Amil minggu
lepas dengan wajah basah. Dia tidak mahu masuk campur hal peribadi gadis itu
jika Nina tidak mahu bercerita.
Nina hanya senyum. Dia meneruskan bacaannya setelah muka surat
yang ditandanya sudah dijumpai. Dibiarkan saja Hana mengomel sendirian.
“Sekali-sekala ikutlah aku keluar. Ni tak, dah macam kera sumbang
aku tengok kau ni,” luah Hana sungguh-sungguh. Menanti reaksi Nina dengan
sabar. Tetapi mata Nina tetap tertancap pada barisan ayat-ayat di dalam novel
di tangan.
“Daripada layan kau macam ni, baiklah aku pergi mandi dulu,” kata-kata
Hana berselang keluhan.
‘Nina ni, kalau dia tak mahu layan kita jangan harap dia nak
dengar apa yang kita cakapkan,’ omel Hana di dalam hati.
Melihat mata Nina masih tertancap pada novel di tangan, Hana menapak
ke pintu bilik dengan gelengan.
Nina biarkan saja Hana pergi begitu saja. Bukannya dia tak mahu
keluar bersama Hana, dia cuma tak mahu mengganggu Hana dan teman lelakinya.
Mengenai hal berkawan, bukannya dia tak ada kawan. Kawan-kawan di kelas memang
ramai. Cuma dia lebih suka menyendiri setelah tamat waktu belajar.
Sekejap saja bacaan Nina, panggilan telefon membantutkan keinginan
Nina untuk meneruskan bacaan. Tatkala nombor telefon Vila Tengku tertera di
skrin, dada Nina mula bergendang hebat.
“Kenapa Nina buat nenda macam ni?” Suara nenda terus menerjah
tatkala Nina tekapkan telefon ke telinga. Tak ada salam dihulurkan, nenda terus
menjerkah.
“Nina tahu tak Nina dah malukan nenda di depan Uncle Madi?” Suara
nenda meninggi, menggetarkan perasaan Nina.
Nina hanya diam. Masih menanti kata-kata nendanya yang seterusnya.
“Kalau keputusan Nina putuskan pertunangan dengan Amil muktamad,
Nina jangan harap Nina dapat sambung belajar di U.K.!” Kata-kata nenda
muktamad. Talian ditamatkan begitu saja oleh nenda, menyentap jantung Nina.
Tak semena-mena airmata Nina mengalir lesu menuruni pipinya. Nendanya
langsung tidak bertanya sebabnya Nina bertindak sedemikian bahkan menetapkan
keputusannya. Sungguh tak adil. Bertahun dia hidup dibawah telunjuk wanita itu.
Apa salahnya kali ini giliran nendanya pula menurut keinginannya yang satu ini?
Tidak mahu Hana melihat dia dalam keadaan begini, Nina berlari
keluar dari bilik itu. Langkah disusun sehingga tiba ke pinggir tasik yang menjadi
pemisah antara asrama perempuan dan asrama lelaki.
Di situ, dia menjerit sekuat hatinya. Biar reda perasaan yang
terbuku di hati. Dia sungguh terluka dengan keputusan yang dibuat oleh
nendanya. Keinginan untuk mencari ayahnya di U.K. akan lenyap begitu saja jika
dia tidak menurut kata nenda. Sampai bila-bila dia tidak akan bertemu ayahnya
lagi.
Akhirnya Nina terjelepuk ke atas rumput. Dilepaskan tangis
sepuas-puasnya.
“Awak…”
Nina disapa lembut dari belakang. Perlahan-lahan Nina mengangkat
wajah memandang ke arah air tasik yang tenang. Airmata di wajah diseka dengan
hujung jari.
Sekilas dia mencari wajah yang menegurnya tadi di belakang.
Tatkala pandangan mata mereka bersabung, Nina melarikan anak mata ke arah tasik
di hadapannya semula.
“Awak ada masalah ke?” Raof masih berdiri menatap belakang tubuh
Nina. Kedua-dua tangannya menyeluk poket jaket bagi melawan kedinginan malam.
Sewaktu dia melintasi kawasan ini tadi, dia ada terdengar suara
gadis menjerit. Tatkala dia tiba di situ, dia melihat Nina menangis sendirian.
Sayu hatinya tatkala mendengar tangis Nina. Nina seolah-olah kesal dengan apa
yang berlaku padanya. Sebab itu di sini, menanti tangis Nina reda. Tapi gadis
itu tetap begitu. Sudahnya, dia menegur.
“Kalau awak tak kisah, saya temankan awak kat sini.” Raof masih
diam berdiri di tempatnya tadi. Dia bimbangkan keselamatan Nina. Di sini
merupakan laluan pejalan kaki pelajar lelaki berulang alik dari asrama ke
kampus. Dia bimbang Nina akan diganggu oleh mereka.
Nina hanya diam. Perasaannya sudahpun reda. Dia mula bangun dan
ingin mengatur langkah menuju ke asrama. Teringatkan akan diri yang baru sudah
menangis dan pastinya akan dikesan oleh Hana, dia mengambil tempat duduknya
semula.
“Awak dah makan?” Raof menyoal, cuba mencari raut wajah empunya
diri. Dari tadi dia hanya melihat belakang tubuh Nina saja.
Nina diam. Menggeleng tidak apatah lagi hendak mengangguk. Dia
bingung dengan siapa dia sedang bercakap. Dia tak pernah kenal mana-mana lelaki
di situ kecuali rakan sekelas saja.
Melihat Nina hanya membatu, Raof membuka mulut.
“Saya rasa elok saja kalau awak balik. Tak elok kalau awak duduk
kat sini sorang-sorang. Bahaya. Sini laluan pejalan kaki budak-budak asrama
lelaki. Saya takut nanti berlaku benda yang tak elok pada awak.” Raof meluahkan
kata dengan harapan Nina mengerti. Bukannya dia tidak ingin menemani gadis itu
di sini lama-lama. Rasanya tak elok jika hanya mereka berdua dalam keadaan
gelap begini.
Nina masih diam. Dia tidak mahu balik ke biliknya lagi. Dia tak
mahu Hana melihat dia dalam keadaan begitu. Nanti gadis itu akan membedilnya
dengan pelbagai soalan. Dia belum bersedia untuk bercerita kepada sesiapa
tentang masalahnya.
“Tapi kalau awak masih nak duduk kat sini, saya tetap akan
temankan awak.” Raof akhirnya mengalah bila Nina masih berdegil duduk di situ.
Sudahnya dia mencari kerusi yang tak berapa jauh dari tempat Nina duduk.
Matanya tak lepas-lepas dari mengawasi Nina. Bimbang Nina akan bertindak di
luar jangkaannya. Entah apalah yang bermain di fikiran Nina sekarang ini
sehingga gadis itu tidak takut berada di situ keseorangan?
Setengah jam Nina di situ, akhirnya Nina bangun mengatur derap ke
arah asrama. Sewaktu melintasi Raof, lelaki itu turut bangun.
Raof terkedu melihat Nina. Rupa-rupanya gadis yang sedang menangis
sendirian tadi adalah gadis yang diintainya dalam diam. Lama matanya terpaku
pada Nina. Bibirnya kelu untuk berkata-kata. Selebihnya, dia langsung tidak
menyangka akan bersua dengan Nina dalam keadaan begitu.
“Terima kasih sebab temankan saya.” Nina bersuara dalam serak. Dipandang
sekilas ke arah Raof. Dia malu bila lelaki yang langsung tak dikenalinya itu
sudi menemani dia melepaskan sedih yang terbuku di hati.
Raof mula sedar tatkala Nina mula meninggalkan dia di situ. Segera
dia mengejar Nina, menyaingi langkah gadis itu.
“Saya temankan awak balik.” Mereka berjalan seiring. Biarpun Nina
tak bersuara sepanjang langkah mereka, bagi Raof, dia sudah cukup bertuah.
No comments:
Post a Comment